View Categories

(43) Surah Al-A’raf : Ayat 154-155

Nabi Musa AS Tenang, Memilih 70 Orang Untuk Bermunajat & Mohon Ampun.

Full video : https://youtu.be/CT4VUdHYiks?si=0hH9yF6Vyh9NNMkP

MUQADDIMAH :

  1. Alhamdulillah pada hari ini kita dapat teruskan pengajian kita dalam tafsir Surah Al-A’raf ini dengan ayat 154 sehingga 155 dalam juzuk kesembilan.
  1. Dalam siri ini Allah SWT nyatakan bahawa selepas marah melihat kesesatan kaumnya tadi, Nabi Musa AS kembali tenang, ambil balik Lauh Taurat yang jatuh & tak berlaku kerosakan seperti yang dikatakan.
  1. Kemudian Allah perintahkan Nabi Musa memilih 70 orang yang baik-baik dari kalangan bani Israil untuk pergi bermunajat minta ampun.
  1. Mereka bermunajat sambil memohon keampunan kepada Allah.
    Kisah Nabi Musa ini diulang-ulang banyak kali dalam al-Quran kerana watak-watak yang wujud dalam kisahnya seperti Fir’aun berulang terjadi di sepanjang zaman, maka kisah Musa perlu diulang sepanjang masa untuk diambil iktibar pengajaran.
  1. Munasabah dengan ayat sebelumnya:
    i- Dalam ayat yang lepas Allah SWT nyatakan tentang nabi Musa yang marah dan kecewa akan keadaan bani Israil yang menyembah patung lembu juga marah kepada saudaranya Harun yang disangka tidak cuba melarang mereka.

    ii- Maka dalam ayat ini diceritakan keadaan Musa yang kembali tenang & reda marahnya.
    Ini kerana:
    Nabi Harun menceritakan apa sebenarnya yang berlaku, dia tidak cuai lalai tetapi dikalahkan oleh kaumnya.
    Sebahagian besar penyembah lembu itu menyesal dan kembali bertaubat meninggalkan perbuatan yang sesat itu!
  1. Insya’ Allah hari ini 29hb Ramadhan, kemungkinan esok kita di Malaysia akan menyambut hari Raya Idil-Fitri, kerana sudah genap kitaran bulan dan orang Makkah sudah beraya hari ini.
    Apapun kita tunggu perisytiharan rasmi dari kerajaan malam ini.
  1. Cuma nak ingatkan agar kita semua ihya’ (perhidupkan) Sunnah Nabi SAW dengan perbanyakkan takbir dengan kita sendiri yang bertakbir; bukan gajet radio tv atau alat-alat lain.
    Semoga Allah menerima ibadat solat, puasa dan qiyam kita & kita semua layak ke syurga, layak memasuki pintu ar-Rayyan yakni pintu khas untuk orang berpuasa.

أَعُوذُ بِاَللَّهِ السَّمِيعِ الْعَلِيمِ مِنْ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ

AYAT 154- {DAN APABILA KEMARAHAN NABI MUSA ITU REDA, DIA PUN MENGAMBIL LAUH-LAUH TAURAT ITU YANG DALAM NASKHAHNYA TERKANDUNG PETUNJUK DAN RAHMAT, BAGI ORANG-ORANG YANG BERSUNGGUH-SUNGGUH TAKUT KEPADA TUHAN MEREKA (DARIPADA MELANGGAR PERINTAHNYA).} (AL-A’RAF 7:154)

  1. Apabila kemarahan Nabi Musa reda & tenang; dia mengambil semula Lauh Taurat yang dilemparkannya tadi.
    Ini menolak pandangan yang mengatakan Lauhah Taurat itu pecah & hilang beberapa hukum-hakamnya!
    Al-Quran tidak menyebutnya lansung!
  1. Dalam naskhah lauh-lauh Taurat itu terkandung petunjuk dan rahmat yang menyelamatkan dari azab bagi orang yang menerimanya.
  1. Mereka yang akan mendapat manfaat dari kitab Taurat ini (al-Quran juga) ialah orang-orang yang bersungguh-sungguh takut kepada Tuhan mereka daripada melanggar perintah-Nya!
  1. Maka berakhirlah episod Nabi Musa dan kaum bani Israil penyembah patung anak lembu sekarang episod kisah nabi Musa & pengikutnya yang baik.

AYAT 155- {DAN NABI MUSA MEMILIH TUJUH PULUH ORANG LELAKI DARI KAUMNYA (UNTUK DI BAWA BERSAMA KE GUNUNG TURSINA) PADA WAKTU YANG TELAH KAMI TENTUKAN. MAKA KETIKA MEREKA DIGEGAR OLEH GEMPA, NABI MUSA MERAYU DENGAN BERKATA: “WAHAI TUHANKU! JIKA ENGKAU KEHENDAKI, ENGKAU BOLEH BINASAKAN MEREKA BERSAMA-SAMA DENGANKU SEBELUM INI. ADAKAH ENGKAU HENDAK MEMBINASAKAN KAMI DISEBABKAN APA YANG TELAH DILAKUKAN OLEH ORANG-ORANG YANG BODOH DI ANTARA KAMI? (APA YANG MEREKA TELAH LAKUKAN) ITU HANYALAH CUBAANMU. DENGAN CUBAAN ITU ENGKAU SESATKAN SESIAPA YANG ENGKAU KEHENDAKI DAN ENGKAU BERI PETUNJUK KEPADA SESIAPA YANG ENGKAU KEHENDAKI. ENGKAU JUALAH PELINDUNG KAMI; OLEH ITU AMPUNKANLAH KAMI DAN BERILAH RAHMAT KEPADA KAMI, KERANA ENGKAU JUALAH SEBAIK-BAIK PEMBERI AMPUN.} (AL-A’RAF 7:155)

  1. Kemudian Allah memerintahkan nabi Musa AS untuk memilih tujuh puluh orang lelaki dari kaumnya yang baik-baik untuk dibawa bersamanya ke gunung Tursina pada waktu yang telah Allah tentukan.
  1. Kenapa arahan ini?
    Kata Ibnu Jarir : Ini sebagai peluang kepada mereka yang telah bertaubat, untuk pergi bermunajat meminta keampunan dari Allah SWT atas perbuatan buruk mereka yang mudah terpengaruh dengan perkara sesat & syirik itu!
  1. Di mana miqat {لِّمِيقَـٰتِنَا} tempat yang dijanjikan itu???
    Kata ulama’ : Terdapat begitu banyak pendapat tentangnya, antaranya:
    i- Tursina, tempat sama Musa bermunajat & menerima Taurat sebelum ini.

    ii- Tempat yang Allah tentukan hanya Allah & Nabi Musa tahu.

    iii- Kerana mereka pertikaikan Nabi Musa bercakap dengan Tuhan maka di bawa ke satu tempat untuk mereka saksikan sendiri juga.

    iv- Satu tempat untuk bertaubat bagi puak bani Israil yang telah menyembah berhala sepeninggalan Musa.
    Miqat iaitu tempat yang telah ditetapkan ada dua seperti:
    i- Miqat makan (الميقات المكاني), tanda tempat, Ketentuan tempat atau sempadan untuk berniat ihram sebelum memasuki Kota Makkah. Contoh, Bir Ali, Qanal Manazil Yalamlam dan lain-lain.

    ii- Miqat zaman (الميقات الزماني), tanda waktu, Ketentuan masa bagi seseorang untuk berniat ihram haji atau umrah.
  1. Tetapi tiada dalil yang jelas dimanakah miqat (tempat yang dijanjikan) bagi Nabi Musa dan kaumnya ini.
    Kebanyakan ahli tafsir pilih pandangan yang pertama iaitu Bukit Tursina.
    Yang penting Allah sebut suruh pilih 70 orang lelaki bawa ke miqat untuk bemunajat memohon keampunan dari Allah!
  1. Setibanya mereka di miqat itu sebagai ujian ke atas mereka tiba-tiba berlaku gempa bumi, gegaran yang begitu menggerunkan.
    Yang menyebabkan mereka semua rebah jatuh. Ada kata mereka jatuh mati atau pengsan.
  1. Nabi Musa AS terus berdoa merayu kepada Allah agar jangan binasakan, matikan mereka semua di situ.
    Jika Allah kehendaki boleh saja mereka dibinasakan bersamanya sebelum ini, iaitu di kampung asal mereka.|
    Doa Nabi Musa ini bukan kerana mengingkari perbuatan Allah tetapi merayu memohon agar mereka jangan dibinasakan.
  1. Nabi Musa merayu lagi:
    i- {Adakah Engkau hendak membinasakan kami disebabkan apa yang telah dilakukan oleh orang-orang yang bodoh di antara kami?}

    ii- (Apa yang mereka telah lakukan) itu hanyalah cubaan dari-Mu.
    Yakni Allah nak lihat siapa yang istiqomah atas jalan kebenaran.
  1. Dengan cubaan itu Allah berkuasa untuk:
    i- Sesatkan sesiapa yang Dia kehendaki dan,

    ii- Allah boleh beri petunjuk kepada sesiapa yang Dia kehendaki.
    Cuma manusia diberi akal untuk memilih jalan yang baik!
  1. Firman Allah SWT tentang ini:

    {(Setelah selesainya urusan itu) maka Allah berfirman kepada Nabi Musa: “Sesungguhnya Kami telah mengenakan kaummu satu fitnah ujian sepeninggalanmu, dan mereka telah disesatkan oleh Samiri”.} (Taha 20:85)
  1. Nota: Nabi Musa AS memilih dan membawa 70 orang dari kaumnya ke bukit Tursina untuk memohon taubat nagi kaum mereka bani Israil yang telah sesat menyembah patung anak lembu.
    Apa yang menimpa mereka ialah kerana mereka tidak menjadikan dasar amar ma’ruf & nahi mungka.
    Puncanya kerana orang yang baik tidak melarang perbuatan keji yang dibuat oleh orang yang tak baik!
    Maka apabila datang bala semua akan kena.
    Kerana itu orang yang baik-baik, orang yang soleh kena buat kerja, kena menasihat & cuba usaha untuk menyelamatkan ummah semuanya.
    Bukan kata biarlah mereka, kita baik dah sudah sentiasa di masjid.
    Ini kerana apabila Allah datangkan bala semuanya akan kena.
  1. Nabi Musa berdoa lagi:
    أَنتَ وَلِيُّنَا فَٱغْفِرْ لَنَا وَٱرْحَمْنَا ۖ وَأَنتَ خَيْرُ ٱلْغَـٰفِرِينَ.
    Engkau jualah Pelindung kami; oleh itu Ampunkanlah kami dan berilah rahmat kepada kami, kerana Engkau jualah sebaik-baik Pemberi ampun.
  1. Nabi Musa minta dua perkara ini:
    i- Minta ampun, yakni ampunkan & maafkan dosa yang telah lepas.

    ii- Minta rahmat Allah, dan berilah kami rahmat untuk masa yang akan datang!
    Supaya kita tidak terjebak dengan kemungkaran yang lama & tidak megulanginya.

    iii- Allah adalah sebaik-baik Pengampun.
    Doa ini amat baik juga untuk kita amalkan.

PENUTUP & FAEDAH :

  1. Ayat 154- {Dan apabila kemarahan Nabi Musa itu reda…}-

    Musa kembali tenang & reda kemarahannya.
    Kata ulama’ : Begitulah sifat manusia, ada yang perangainnya mudah berang, cepat marah.
    Jika ada sifat begini kena jaga jangan pergi ke tempat atau keadaan yang boleh menimbulkan kemarahannya!
    Juga kena pilih kerjaya yang sesuai.
    Kemarahan Nabi Musa ini tidak dicela bahkan sepatutnya! Nabi Musa AS marah dalam kes ini kerana Allah; marah kerana Allah SWT, marah untuk menjaga kesucian agama.
    Sifat marah tidak boleh dibuang dari diri manusia, kerana manusia perlu ada marah untuk membenci kemungkaran yang berlaku & marah kepada musuh Islam dalam perperangan.
    Jika tiada sifat amarah bila orang buat kemungkaran di depannya tak rasa apa & tak terasa nak lerang, tegur & benci!
    Tetapi bukan marah ikut nafsu & tidak tentu hala!
    Kerana sesuai ikut keperluan keadaan jangan melampau dan tidak tentu hala.
    Yang paling penting kita marah kerana nak pertahankan agama.
  1. Ayat 154- {… Taurat itu yang dalam naskhahnya terkandung petunjuk dan rahmat, bagi orang-orang yang bersungguh-sungguh takut kepada Tuhan mereka (daripada melanggar perintahNya).}-

    Allah kata kitab Taurat ini ada petunjuk & rahmat dari Allah tetapi hanya orang yang benar-benar takut kepada Allah saja yang akan dapat manfaatnya!
    Bukan semua orang bol;eh terima hidayah & tunduk kepada hukum Allah.
    Ada orang yang baca al-Quran tetapi apabila diajak untuk beramal dengan undang-undang al-Quran tidak mahu terima pula.
    Manusia yang tidak mendapat manfaat daripada isi kandungan al-Quran tetapi dapat faedah kemasyhuran dari membaca (berlagu) al-Quran adalah satu kerugian!
    Al-Quran hanya akan dapat manfaat oleh orang yang betul-betul takut kepada Allah.
    Beberapa ayat al-Quran yang menunjukkan siapa yang dapat manfaat al-Quran:
    i- Ayat kita ini ialah orang yang takut kepada Allah. (Al-A’raf 7:154)

    ii- Orang yang ikut peringatan & takut kepada Allah.
    {Sesungguhnya peringatan dan amaran (yang berkesan dan mendatangkan faedah) hanyalah yang engkau berikan kepada orang yang sedia menurut ajaran Al-Quran serta ia takut (melanggar perintah Allah) Ar-Rahman semasa ia tidak dilihat orang dan semasa ia tidak melihat azab Tuhan. Oleh itu berilah kepadanya berita yang mengembirakan dengan keampunan dan pahala yang mulia.} (Ya Sin 36:11)

    iii- Orang yang takut. {Tugasmu hanyalah memberi amaran kepada orang yang takut akan huru-hara hari kiamat itu.} (An-Nazi’at 79:45)
  1. Ayat 155- {Dan Nabi Musa memilih tujuh puluh orang lelaki dari kaumnya…}-

    Nabi Musa memilih 70 orang dari kalangan mereka yang baik-baik dari kaumnya.
    Begitulah kata ulama’ ; Manusia ini ada kategorinya, sepertimana yang telah disusun:
    i- Pastilah antara Islam & bukan Islam.
    Mestilah Islam yang baik dari sudut aqidah.

    ii- Kemudian dari sesama Islam pula, golongan sahabat yang terbaik seperti Abu Bakar, Usman Umar dan lain-lain.
    Kemudian ia pergi kepada ahli Badar, Hudaibiyah, ahli keluarga Nabi SAW dan seterusnya.
    Kita kata yang terbaik dari golongan yang baik.
    Begitulah kita perlu ada orang yang terbaik dari kalangan sahabat baik kita! Para pendakwah & rasul perlu ada pendokong (hawariyyun), penyokong sahabat yang satu kefahaman untuk menyampaikan dakwah kepada orang ramai.

    Yakni dalam perjuangan kita kena ada penyokong kadang-kadang perlu ramai kadang-kadang tidak perlu ramai, cukup yang setia dan bertanggungjawab.
    Nabi Musa ada 70 orang penolong, Nabi Isa ada hawariyyin, Nabi Muhammad SAW juga ada beberapa orang sahabat yang tidak pernah meninggalkan sisi Baginda SAW seperti Abu Bakar, Umar, Usman, Ali dan lain-lain RA.
    Kerana itu ada perbezaan dalam kisah Isra’ Mikraj Rasulullah SAW dengan peristiwa hijrah Baginda ke Madinah.

    i- Semasa Isra’ Mikraj Nabi SAW pergi seorang diri, Allah hantar malaikat untuk bawa Nabi SAW dengan menaiki Buraq yang laju seperti jet.

    ii- Semasa hijrah pula perlukan pembantu dalam perjalanan yang penuh dengan ujian dan cabaran.
  1. Ayat 155- {Nabi Musa merayu dengan berkata: “Wahai Tuhanku! Jika Engkau kehendaki, Engkau boleh binasakan mereka bersama-sama denganku sebelum ini. Adakah Engkau hendak membinasakan kami disebabkan apa yang telah dilakukan oleh orang-orang yang bodoh di antara kami?}-

    Apabila bumi bergegar bergoncang, nabi Musa AS berdoa bertawasul kepada Allah SWT supaya menyelamatkannya dan kaumnya.
    Katanya ya Rabbi kami ini orang yang baik-baik dah, takkan Allah nak ambil tindakan ke atas kami dengan sebab perbuatan orang bodoh yang sembah patung lembu di kalangan kami!!!!
    Inilah pentingnya orang yang tahu, yang ada ilmu mesti bertindak jangan biarkan orang yang bodoh {ٱلسُّفَهَآءُ} buat tak tentu hala.
    Orang sufaha’ ini licik, mereka pandai untuk berselindung di sebalik akta-akta, pembesar, yang menyebabkan mereka dapat tempat.
    Manakala orang yang baik, orang soleh yang berpaksikan kepada dalil & Sunnah akan terpinggir dari arus perdana kerana kita tak pandai nak ampu seperti mereka.
    Kerana itu pentingnya pendakwah bertindak & jaga agar orang bodoh jangan buat apa yang mereka nak, kerana takut kita juga akan dibinasakan bersama mereka.
    Nabi Musa selepas dia buat rayuan dia berdoa.
  1. Ayat 155- {.. Engkau jualah Pelindung kami; oleh itu ampunkanlah kami dan berilah rahmat kepada kami, kerana Engkau jualah sebaik-baik Pemberi ampun.}-

    Nabi Musa berkata hanya Engkaulah wali Pelindung kami.
    Kami tidak bergantung dan berpegang dengan sesiapa selain Engkau Allah Azza wa Jalla!
    i- Yakni kita mesti letak dari sudut aqidah pergantungan kita kepada Allah.

    ii- Nabi Musa minta keampunan dari Allah & minta rahmat dari Allah.
    Sebagaimana kata Ibnu Kathir : Apabila bergabung dua perkataan ini, ampun & rahmat { فَٱغْفِرْ لَنَا وَٱرْحَمْنَا} ia membawa dua makna yang berbeza:

    i- Minta ampun untuk dosa yang lepas.
    { فَٱغْفِرْ لَنَا}

    ii- Kemudian minta Allah kasihan & beri rahmat {وَٱرْحَمْنَا} kepada kita untuk masa akan datang! Supaya tidak berulang & terjebak lagi perkara yang buruk!
    Begitulah cara berdoa yang tertib dan indah.
    Penting untuk kita belajar Fiqh Doa ini, kerana bertambahnya keampunan Allah hasil dari rahmat Allah SWT.
    Sebagaimana doa yang Rasulullah SAW ajar kepada UM Aisyah doa jika bertemu Lailatul Qadr:

    اللَّهُمَّ إِنَّكَ عَفُوٌّ تُحِبُّ الْعَفْوَ فَاعْفُ عَنِّي
    Maksudnya: “Ya Allah, sesungguhnya Engkau Maha Pengampun, dan Engkau menyukai keampunan, maka ampunilah aku.”.

    Keampunan (عَفُوٌّ) di sini bererti maaf & ampunkan berserta dengan memadam atau melupakannya.
    Bukan hanya maaf dimulut tetapi hati masih sakit & dendam.
    Untuk doa-doa Nabi SAW yang ma’thur boleh rujuk kepada kitab Perisai Muslim: https://dartaibah.com/…/Perisai-Muslim-RUMI-Cetakan…
    Utk versi PDF boleh minta dengan Admin YPSD di no. HP: +60 18-900 0235.
    Boleh minta lain-lain poster, pamphlet & iklan-iklan.
    Sekarang tular sehari dua ini fenomen yang menakutkan pakat dok cari kubur yang ada busut untuk ambil berkat dan dikatakan ada keramat.
    Semakin besar busut semakin power wali.
    Jika tidak ditangani dengan cara yang baik akan bertambah tersebar kesesatan.

Alhamdulillah tamatlah kuliah tafsir kita untuk hari ini, semoga memberi manfaat & kebaikan dunia Akhirat.

Wallahu A’lam.

Powered by BetterDocs