PENGIKUT SETIA AJARAN NABI MUSA AS, 12 QABILAH KAUM MUSA & NIKMAT ALLAH SWT KETIKA MEREKA SESAT DI PADANG PASIR.
Full video : https://youtu.be/Wh1i9JR3c5g?si=zxQJl0dTscdZROvY
MUQADDIMAH :
- Alhamdulillah pada hari ini kita dapat teruskan pengajian kita dalam tafsir Surah Al-A’raf ini dengan ayat 159-160 dalam juzu’ kesembilan.
- Dalam siri ini Allah SWT nyatakan kisah pengikut setia ajaran Nabi Musa AS. Mana-mana umat pasti akan berpecah kepada dua, ada yang setia ikut Nabi ada yang yang lawan menderhaka terus.
- Kemudian Allah nyatatakan telah dipecahkan kaum Nabi Musa kepada 12 qabilah iaitu berdasarkan anak-anak Nabi Yaakob AS (الأسباط).
- Diceritakan tentang nikmat Allah SWT ketika mereka sesat di padang pasir, iaitu keluar 12 mata air daripada batu untuk mereka minum serta diturunkan manna wa salwa {ٱلْمَنَّ وَٱلسَّلْوَىٰ} dari langit sebagai makanan.
Kemudian Allah nyatakan balasan bagi orang yang derhaka.
- Munasabah dengan ayat sebelumnya:
i- Dalam ayat yang lepas Allah SWT telah perintahkan supaya beriman dengan Allah & Rasul-Nya SAW dan perintah supaya ikut Nabi SAW.
ii- Dalam ayat ini Allah nyatakan bahawa ada di antara kalangan umat nabi Musa AS iaitu ahli kitab yang diberi hidayah, mereka juga adil dalam berhukum.
Mereka ini tidak akan mendapat hidayah kecuali mereka beriman & mengikut ajaran Syari’ah Nabi Musa sebelum kebangkitan Nabi SAW dan beriman dengannya selepas kebangkitan Baginda menjadi rasul.
أَعُوذُ بِاَللَّهِ السَّمِيعِ الْعَلِيمِ مِنْ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ
AYAT 159- {DAN DI ANTARA KAUM NABI MUSA, ADA SATU GOLONGAN YANG MEMBERI PETUNJUK (KEPADA ORANG RAMAI) DENGAN PERKARA-PERKARA YANG HAK, DAN DENGANNYA MEREKA MENJALANKAN KEADILAN.} (AL-A’RAF 7:159)
- Allah nyatakan bahawa ada di kalangan bani Israil pengikut Nabi Musa AS yang mendapat petunjuk hidayah lalu beriman dan bersikap adil.
Mereka juga berdakwah kepada orang ramai untuk ikut Nabi Musa dan beramallah dengan kitab Taurat.
- Ini cara Allah nak ajar kepada kita untuk bersikap insof (adil), yakni sebelum ini Allah telah ceritakan tentang kedegilan dan perangai jahat bani Israil ini, lalu dinyatakan bahawa ada juga di kalangan bani Israil yang jujur yang mendapat hidayah & berdakwah kaumnya kepada Taurat.
Sama seperti pada zaman Nabi SAW juga ada yahudi ahli kitab yang beriman seperti bekas ketua pendeta iaitu mereka Abdullah bin Salam RA.
- Begitulah kita kena bersikap adil, setiap orang atau bangsa pasti ada pro-kontra, ada positif ada negatifnya, maka kita pilih orang yang baik untuk dijadikan contoh teladan yang baik atau sebagai ikon.
- Ayat ini ditafsirkan dengan firman Allah ini:
{Ahli-ahli Kitab itu tidaklah sama. Di antaranya ada golongan yang (telah memeluk Islam dan) tetap (berpegang kepada agama Allah yang benar) mereka membaca ayat-ayat Allah (Al-Quran) pada waktu malam, semasa mereka sujud (mengerjakan sembahyang).}
(Ali-‘Imran 3:113)
- Siapakah kaum Musa {قَوْمِ مُوسَىٰٓ} ini?
Kata Ibnu Asyur :
i- Iaitu mereka yang beriman dan berpegang dengan kitab Taurat, ikut ajaran Nabi Musa sebelum kebangkitan Nabi Muhammad SAW.
ii- Beriman dengan Nabi Muhammad selepas kebangkitannya.
iii- Sesiapa yang masih berpegang dengan ajaran Taurat selepas kebangkitan Rasulullah SAW itu bukan kaum Musa.
iv- Mereka yang mengaku ahli kitab sekarang, yang tidak beriman dengan Nabi Muhammad SAW itu bukan kaum Nabi Musa tetapi Bani Israil atau kaum yahudi kerana berpegang dengan ajaran & kitab yang telah dimansuhkan.
- Sifat mereka yang kedua ialah mereka melaksanakan hukum & perundangan Syari’ah Allah SWT dengan adil dan tidak sesekali menzalimi manusia.
Tidak sebagaimana yahudi yang ada sekarang ini adalah sebaliknya, mereka merosakkan keamanan, memporak-perandakan sistem keadilan dengan dasar kapitalisnya, sosialis, riba, rasuah dan seumpamanya.
Ada ulama’ yang mengatakan : Terlalu banyak sistem lis-lis sekarang dan yang ketua terbesarnya adalah ibLIS!!
- Kesimpulan daripada ayat ini, bani Israil ada 3 kumpulan:
i- Mereka yang sempat berjumpa dengan Rasulullah SAW dan beriman dengannya.
Sebagaimana firman Allah SWT ini:
{Orang-orang yang Kami berikan Kitab kepada mereka, sedang mereka membacanya dengan sebenar-benar bacaan (tidak mengubah dan memutarkan maksudnya), mereka itulah orang-orang yang beriman kepadanya; dan sesiapa yang mengingkarinya maka mereka itulah orang-orang yang rugi.} (Al-Baqarah 2:121)
Ini golongan yang bertuah, beriman dengan Taurat sebelum Nabi SAW dibangkitkan dan selepas Nabi SAW dibangkitkan terus beriman dengan Baginda & al-Quran pula!
ii- Sekumpulan lagi yang beriman dengan Nabi Musa AS sahaja tidak dengan Nabi SAW, ikut Taurat tak mahu ikut al-Quran.
Mereka ini adalah golongan yahudi di Madinah seperti bani Nadhir, bani Quraizah dan lain-lain. Ketua penentang mereka ialah Huyai bin Akhtab dan gengnya yang degil melawan mati sehingga mati!
iii- Sekumpulan lagi yang beriman dengan keduanya, iaitu mereka yang beriman dengan kitab Taurat dan tahu tentang Nabi SAW melalui Taurat tetapi mereka tidak sempat berjumpa dengannya.
- Maka jelaslah kita sebagai orang beriman kena berlaku adil, nak nilai orang kena nilai dengan baik, jangan pukul rata, kata semua puak ini jahat atau zalim.
Kerana dalam setiap kumpulan itu pasti ada yang baik & ada yang buruk, ada yang positif, ada yang negatif.
AYAT 160- {DAN KAMI MEMBAHAGIKAN MEREKA (BANI ISRAIL) MENJADI DUA BELAS SUKU, SEBAGAI GOLONGAN-GOLONGAN BESAR, DAN KAMI WAHYUKAN KEPADA NABI MUSA, KETIKA KAUMNYA MEMINTA AIR KEPADANYA: “PUKULAH BATU ITU DENGAN TONGKATMU.” MAKA TERPANCARLAH DARIPADANYA DUA BELAS MATA AIR. TIAP-TIAP GOLONGAN (DI ANTARA MEREKA) MENGETAHUI TEMPAT MASING-MASING. DAN KAMI NAUNGI MEREKA DENGAN AWAN, DAN KAMI TURUNKAN KEPADA MEREKA “MANN” DAN “SALWA”.} (AL-A’RAF 7:160)
- Allah kata Dia bahagikan kaum Musa kepada 12 qabilah.
Satu qabilah adalah satu kumpulan yang ramai, bilangannya berapa, tidak dinyatakan.
Allah tak sebut tak perlu kita korek cari yang tidak penting.
- 12 kumpulan ini adalah berasal dari keturunan anak Nabi Yaakub yang 12 orang, sebagaimana yang termaktub dalam al-Quran:
{(Ingatlah peristiwa) ketika Nabi Yusuf berkata kepada bapanya: “Wahai ayahku! Sesungguhnya aku mimpi melihat sebelas bintang…”. (Yusuf 12:4)
Sebelas bintang itu ialah adik beradiknya, termasuk dirinya menjadi 12 orang anak-anak Nabi Yaakub AS.
- Kenapa Allah suruh dipecahkan qabilah ini? Supaya mereka berdamai, tidak berkelahi & hasad dengki, senang untuk diuruskan dan diberi arahan.
- Ayat ini ditafsirkan dengan firman Allah ini:
{Dan Kami pecah-pecahkan mereka (kaum Yahudi itu) berpuak-puak (yang bertaburan di merata-rata) dunia ini.
Di antara mereka ada yang soleh dan di antaranya juga yang tidak demikian.} (Al-A’raf 7:168)
- Apabila mereka ini derhaka kepada Nabi Musa AS Allah sesatkan mereka di padang pasir Sinai selama 40 tahun lamanya.
Apabila mereka cuba keluar darinya mereka akan berpusing dan kembali ke tempat yang sama pada petangnya!
- Apabila sudah penat dan kepanasan di padang pasir; mereka meminta air dari Nabi Musa.
Lalu Allah wahyukan kepada Nabi Musa untuk memukul sebuah batu besar dengan tongkatnya.
- Setelah Nabi Musa pukul, lalu keluar terpancarlah daripada batu itu dua belas mata air.
Ini adalah salah satu mukjizat nabi Musa AS.
- Dan setiap 12 golongan di antara mereka mengetahui tempat masing-masing, tidak berebut dan membahagikannya dengan baik. Ini adalah nikmat pertama mereka.
- Nikmat kedua ialah Allah lindungi mereka daripada kepanasan matahari dengan awan yang menaungi mereka.
- Nikmat ketiga pula, Allah turunkan kepada mereka dari langit manna & salwa {ٱلْمَنَّ وَٱلسَّلْوَىٰ} sebagai makanan.
i- Manna ialah sejenis makanan yang manis & pekat seperti madu yang jatuh turun dari langit seperti titisan embun putih, jatuh ke atas batu & pokok.
ii- Salwa, sejenis burung. Ada kata seperti burung puyuh, wallahu a’lam.
Yakni mereka dapat rezeki tanpa perlu buat kerja, tak payah susah.
- Hadis- Diriwayatkan daripada Sa’id bin Zaid RA, Rasulullah SAW bersabda:
الْكَمْأَةُ مِنَ الْمَنِّ وَمَاؤُهَا شِفَاءٌ لِلْعَيْنِ
Maksudnya: “Al-Kam’ah itu berasal dari Manna dan airnya penyembuh sakit mata.” [HR al-Bukhari (5708) dan Muslim (5463)].
Iaitu sejenis tumbuhan tanpa batang & pokok, kulat/cendawan (mushroom).
Hakikatnya sekarang ini banyak kulat atau cendawan ini dijadikan ubat seperti black truffle, Ganoderma yang amat masyhur suatu ketika dulu dan lain-lain.
AYAT 160- {….(LALU KAMI BERFIRMAN): “MAKANLAH DARI BAIK-BAIK YANG KAMI TELAH KURNIAKAN KEPADA KAMU”. DAN TIDAKLAH MEREKA MENGANIAYA KAMI (DENGAN KEKUFURAN MEREKA), TETAPI MEREKA ADALAH MENGANIAYA DIRI MEREKA SENDIRI.} (AL-A’RAF 7:160)
- Lalu Allah SWT berfirman kepada mereka: Makanlah dari baik-baik yang Allah telah kurniakan kepada kamu.
- Tetapi begitulah perangai bani Israil yang degil tidak tahu bersyukur, sudah ada makanan yang baik-baik yang Allah kurniakan kepada mereka- mereka mengeluh dan minta lagi yang lain!
- Di akhir ayat Allah kata tidaklah mereka menganiaya Tuhan dengan kekufuran mereka, tetapi mereka adalah menganiaya diri mereka sendiri!
- Ini kerana siapa yang kacau, siapa yang kafir, siapa yang derhaka buat maksiat, bala dan azab itu akan naik ke atas kepala sendiri, sedikit pun tidak akan memberi kesan, merugikan atau melemahkan Allah SWT dengan kekufuran mereka itu!
PENUTUP & FAEDAH :
- Ayat 159- {Dan di antara kaum Nabi Musa, ada satu golongan yang memberi petunjuk (kepada orang ramai)…}-
Maknanya ada di antara kaum nabi Musa itu orang yang baik, orang yang ikhlas.
Ayat ini sebagai kesinambungan kepada ayat yang terdahulu, tentang kaum nabi Musa yang menyembah patung anak lembu, bukan semua mereka begitu, terdapat juga mereka yang ikhlas dan beriman kepada Allah & nabi Musa.
Tetapi ia isyarat menunjukkan mereka yang baik, yang ikhlas, yang beriman ini tidak ramai, yang ramainya yang kacau & degil itu!
Begitulah di mana-mana zaman & tempat pun – yang ramainya adalah di tempat mungkar, tempat maksiat.
Sebagaimana dalam ayat-ayat al-Quran sebelum ini, Allah kata yang ramainya yang tidak beriman, majoritinya yang ingkar!
Ayat al-Quran ini menyatakan hakikat sebenar bahawa manusia ini ada yang baik & yang tidak baik, ada soleh ada yang toleh, ada yang taat ada yang ingkar!
Maka kita kena bersikap adil, jika seseorang itu secara umumnya seorang yang baik cuma ada beberapa sifatnya yang buruk, kita kena nyatakan kebaikannya kemudian nyatakan juga kekurangannya itu, jangan pukul rata hanya cerita yang negatif & buruk saja.
Kebaikan manusia jangan disembunyikan manakala keburukannya boleh disembunyikan untuk kita beri nasihat dan jika tidak memberi mudharat.
Tetapi jika dia sendiri buat sesuatu yang tidak baik secara terang-terangan, dia sendiri yang dedahkan kepada umum, tidak mengapa kita tegur dan nasihatnya secara umum juga supaya orang yang ramai lihat perbuatannya itu tahu ianya adalah satu perbuatan yang tidak sepatutnya dan harus ditegur.
Sesuatu yang disiarkan secara publik, yang orang ramai tengok, tidak boleh dibiarkan atau nasihat secara pribadi sahaja; kerana nanti orang tidak tahu dan menyangka ia adalah satu perbuatan yang baik dan tidak salah, yang tidak perlu ditegur dan dinasihati!
Netizen ini ada yang pelik, lihat orang buat sesuatu yang tidak sepatutnya, dia diam tidak tegur, tetapi apabila ada orang yang tegur, dia boleh pula tegur orang yang menegur itu agar tegur secara senyap, pm sendiri dan bermacam komen yang tidak membina!!
Allahu al-Musta’an!
- Ayat 160- {Dan kami membahagikan mereka (Bani Israil) menjadi dua belas suku,…}-
Allah nyatakan bahawa Dia bahagikan bani Israil kepada 12 suku atau qabilah.
Dalam ayat ini Allah mengajar cara untuk menyusun kumpulan yang ramai, bahagikan kepada grup yang lebih kecuali untuk lebih mudah dipimpin dan diberi arahan.
Contoh dalam perjalanan kita ada 200 orang; maka kita bahagikan terus kepada beberapa bas tertentu yang mana setiap orang tahu basnya no barapa, jika tidak sekali bas datang semua berebut nak naik tak tahu yang mana.
Maka jika telah diatur jangan pula kita rempuh masuk dalam kumpulan atau bas orang lain, huru hara pula.
Ini amat penting supaya tidak mudah terjadi perkelahian & perebutan, hasad dengki dan seumpamanya.
Allah nak ajar manusia supaya berdisiplin, inilah tertib yang Allah nak ajar kepada manusia kenapa Allah bahagikan bani Israil ini kepada 12 kumpulan ikut keturunan anak-anak nabi Yaakub.
Buatlah atas nama apapun, circle, grup, usrah yang penting agar harmoni, lancar, tersusun teratur perjalanan & pergerakan aktiviti masyarakat.
Apatah lagi dalam keadaan mereka bani Israil yang dalam kesesatan di padang pasir. Perlunya tertib & peraturan yang tersusun.
- Ayat 160- {… dan Kami wahyukan kepada Nabi Musa, ketika kaumnya meminta air kepadanya: “Pukulah batu itu dengan tongkatmu.”}-
Apabila puak bani Israil yang sesat di padang pasir ini letih & dahaga dalam kepanasan, mereka mengadu, meminta air kepada nabi Musa AS. Nabi Musa pun mengadu pula kepada Allah SWT.
Allah SWT terus menjawabnya dengan menyuruh Musa memukul batu dengan tongkatnya lalu terus keluar 12 mata air darinya!
Inilah salah satu mukjizat nabi Musa AS.
Apabila keluar 12 mata air itu; setiap kumpulan memilih satu untuk minuman mereka, setiap orang tahu bahagiannya & tidak berebut.
Inilah kepentingan tertib & disiplin diterapkan.
Tentang mukjizat ini, dalam kitab (41 Kelebihan Nabi SAW):
Dibuat perbandingan antara mukjizat Nabi Musa ini dengan mukjizat Rasulullah saw.:
i- Mukjizat Nabi Musa, air keluar dari batu, memang peliklah sebab batu itu keras.
Tetapi sebenarnya memang sifat batu itu ada yang mengandungi air seperti kita lihat di waterfall atau gunung, di mana ada air yang memancut keluar daripada batu!
ii- Tetapi mukjizat Nabi SAW, lebih besar & lebih ajaib iaitu air keluar dari jari-jarinya.
Apabila ada air kena ada makanan, kerana itu
Untuk maklumat lebih lanjut boleh dapatkan buku ini di:
41 Kelebihan Nabi SAW. https://dartaibah.com/…/Buku-41-Kelebihan-Rasulullah…
- Ayat 160- {… Dan Kami naungi mereka dengan awan, dan Kami turunkan kepada mereka “Mann” dan “Salwa”.}-
Kemudian Allah limpahkan lagi nikmat-Nya ke atas mereka dengan:
i- Menjadikan awan sebagai naungan mereka daripada panas terik matahari.
ii- Menurunkan makanan dari langit yang berupa Manna dan Salwa, ianya sebagaimana yang disebut di atas tadi, getah manis seperti madu & sejenis burung.
Begitulah kehidupan manusia ini perlu tiga perkara utama sebagai asas kehidupan; minuman, makanan dan atap sebagai tempat berteduh maka cukuplah sebagai suatu nikmat.
- Ayat 160- {… Dan tidaklah mereka menganiaya Kami (dengan kekufuran mereka), tetapi mereka adalah menganiaya diri mereka sendiri.}-
Bila manusia kafir, derhaka, ingkar dan buat maksiat, semua itu tidak melemah & menyusahkan Tuhan.
Tetapi sesungguhnya mereka telah menganiayai diri mereka sendiri dengan kekufuran & keingkaran maksiat itu!
Mereka telah menzalimi diri mereka sendiri dengan sebab derhaka kepada Allah Azza wa Jalla kerana mereka telah dedahkan diri mereka, bentangkan diri mereka untuk diazab & dihukum oleh Allah SWT.
Begitulah sesiapa saja atas dunia ini, bani Israil, bani melayu atau bani apa saja; jika derhaka kepada Allah, akan menerima hukuman azab siksaan Allah di Akhirat kelak.
Kecuali jika mereka insaf, sempat bertaubat & kembali kepada Allah, Allah akan beri keampunan kepada mereka bi-iznillah.
Alhamdulillah tamatlah kuliah tafsir kita untuk hari ini, semoga memberi manfaat & kebaikan dunia Akhirat.
Semoga Bermanfaat Buat Pencinta llmu al-Quran.
Wallahu A’lam.