View Categories

(47) Surah Al-A’raf : Ayat 161-162

Bani Israil Diperintahkan Masuk Baitul Maqdis, Mereka Tukar Arahan & Ditimpa Azab.

Full video : https://youtu.be/z-J0tsUa1jI?si=nWPayxvKVJ7G1TCQ

MUQADDIMAH :

  1. Alhamdulillah pada hari ini kita dapat teruskan pengajian kita dalam tafsir Surah Al-A’raf ini dengan ayat 161 sehingga 162 dalam juzuk kesembilan.
  1. Dalam siri ini Allah SWT nyatakan kisah bani Israil diperintahkan masuk Baitul Maqdis dengan cara merendah diri sambil meminta ampun kepada Allah SWT.
  1. Tetapi dahsyatnya mereka tukar arahan Allah dan permainkannya:
    i- Tukar arahan untuk istighfar {حِطَّةٌۭ} dengan mengatakan perkataan perlian
    (حنطة / حبة في شعرة)

    ii- Dan arahan masuk dengan tawadhuk tukar dengan masuk cara mengengsot iaitu bergerak perlahan-lahan dengan punggung!!
  1. Akhirnya mereka ditimpa azab iaitu bala datang dari langit {رِجْزًۭا مِّنَ ٱلسَّمَآءِ} dengan sebab sifat mereka yang sentiasa menzalimi diri sendiri, tak dengar kata keras kepala.
  1. Munasabah dengan ayat sebelumnya:
    i- Dalam ayat yang lepas Allah SWT peringatkan bani Israil apa yang Allah anugerahkan kepada mereka ketika mereka sesat di padang pasir Sinai selama 40 tahun.
    Allah beri mereka rezeki makanan & minuman serta peneduh.

    ii- Selepas dapat keluar dari padang pasir itu Allah perintahkan mereka untuk masuk ke sebuah bandar (kebanyakan ulama’ kata Baitul Maqdis) dengan cara & SOP yang Allah telah tetapkan kepada mereka!

أَعُوذُ بِاَللَّهِ السَّمِيعِ الْعَلِيمِ مِنْ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ

AYAT 161- {DAN (INGATLAH) KETIKA DIKATAKAN KEPADA MEREKA: “TINGGALLAH DALAM BANDAR INI DAN MAKANLAH DARI MAKANANNYA APA SAHAJA YANG KAMU SUKAI, DAN BERDOALAH DENGAN BERKATA: ` (WAHAI TUHAN KAMI), GUGURKANLAH (DOSA KAMI) ‘, DAN MASUKLAH MELALUI PINTU (BANDAR) ITU DENGAN TUNDUK MERENDAH DIRI, SUPAYA KAMI MENGAMPUNKAN DOSA-DOSA KAMU. KAMI AKAN MENAMBAH (BALASAN) BAGI ORANG-ORANG YANG BERBUAT KEBAIKAN”.} (AL-A’RAF 7:161)

  1. Allah SWT bawa peringatan ketika dikatakan kepada bani Israil untuk masuk & tinggal di dalam sebuah bandar,
    Ulama’ kata : Yang masyhurnya bandar itu adalah Baitul Maqdis.
  1. Allah perintahkan kepada mereka untuk tinggallah di situ dan makan apa saja yang kamu sukai dari buah-buahan, bijiran dan tumbuhannya yang subur.
    Dalam al-Quran apabila disebut {ٱلْقَرْيَةَ} ia membawa maksud bandar walaupun jika kita belajar bahasa ia dengan makna kampung.
  1. Tetapi bani Israil ini tetap dengan perangai mereka yang degil keras kepala.
    Allah jelaskan kisah mereka ini dalam firman-Nya ini:

    {(Nabi Musa berkata lagi): “Wahai kaumku, masuklah ke Tanah Suci (Palestin) yang telah diperintahkan oleh Allah untuk kamu (memasukinya); dan janganlah kamu berbalik undur ke belakang, (kalau kamu undur) maka kamu kelak menjadi orang-orang yang rugi (di dunia dan di akhirat)”.
    Mereka menjawab: “Wahai Musa bahawasanya di negeri itu ada kaum yang gagah perkasa, dan sesungguhnya kami tidak akan memasukinya sehingga mereka keluar daripadanya; kemudian jika mereka keluar daripadanya, maka sesungguhnya kami akan masuk (ke negeri itu)”.} (Al-Maidah 5:22)
    Mereka banyak cakap dan suka buat alasan lagi penakut dan malas!
    Sedangkan jika mereka masuk pastilah kejayaan bagi mereka kerana itu adalah arahan Allah SWT!
  1. Allah bagi syarat & SOP kepada mereka untuk masuk Baitul Maqdis kena:
    i- Masuk dengan penuh penyesalan & bertaubat {حِطَّةٌۭ} sambil berdoa kepada Tuhanmu: `(Wahai Tuhan kami), gugurkanlah (dosa kami)‘,

    ii- Dan masuklah melalui pintu (bandar) itu dengan tunduk merendah diri, iaitu dengan penuh tawadhuk merendah diri.
    Yakni dua SOP: mulut istighfar, badan tunduk tawadhuk.
  1. Jika mereka berbuat begitu, Allah kata & berjanji Dia akan:
    i- Kami mengampunkan dosa-dosa kamu.

    ii-Kami akan menambah (balasan) bagi orang-orang yang berbuat kebaikan.
  1. Orang yang taat dengar kata Allah akan tambah kebaikannya dunia & Akhirat. Itulah untungnya orang yang baik & soleh! Tetapi apakah bani Israil akan ikut perintah Allah yang simple ini???

AYAT 162- {MAKA ORANG-ORANG YANG ZALIM DI ANTARA MEREKA MENUKARKAN PERINTAH ITU DENGAN PERKATAAN YANG TIDAK DIKATAKAN KEPADA MEREKA. OLEH ITU, KAMI TURUNKAN AZAB DARI LANGIT MENIMPA MEREKA, DENGAN SEBAB KEZALIMAN YANG MEREKA LAKUKAN.} (AL-A’RAF 7:162)

  1. Tetapi malangnya yahudi yang buruk & jahat sifatnya itu, orang-orang yang zalim di antara mereka menukarkan perintah itu dengan perkataan yang tidak dikatakan kepada mereka.
  1. Mereka menukar perintah Allah: dan masuk dengan tawadhuk dengan mengatakan:
    i- Untuk meminta ampun {حِطَّةٌۭ} dengan berkata (حبة في شعرة) yang bererti, satu biji yang lekat dicelah rambut!
    Perkataan tak dak maksud / tak ada faedah.

    ii- Mereka juga tukar arahan untuk masuk dengan tawadhuk & merendah diri, tukar dengan masuk sambil mengengsot dengan punggung.
  1. Ayat ini sebagaimana firman Allah juga:

    {Dan masuklah kamu melalui pintunya dengan tunduk (merendah diri); dan (mintalah ampun dengan) berkata: ‘ Ya Allah ampunilah dosa kami ‘; supaya kami ampunkan kesalahan-kesalahan kamu, dan Kami akan tambah pula pahala orang-orang yang berbuat baik”.} (Al-Baqarah 2:58)
  1. Apabila mereka ingkar keras kepala; lalu dengan sebab perangai buruk mereka itu menukar arahan Allah, maka Allah turunkan azab yang datang dari langit menimpa ke atas mereka.
  1. Allah tak sebut apakah jenis azab itu hanya kata azab dari langit.
    {رِجْزًۭا مِّنَ ٱلسَّمَآءِ}.
    Ada setengah ulama’ kata : Ia adalah penyakit taun.
    Taun ini sejenis wabak yang merbahaya yang berjangkit dan membawa maut!
    Ada kata azab lain, wallahu a’lam.
  1. Ayat ini ditafsirkan juga dengan firman Allah ini:

    {Maka Kami turunkan ke atas orang-orang yang zalim itu bala bencana dari langit, dengan sebab mereka sentiasa berlaku fasik (menderhaka).} (Al-Baqarah 2:59)
  1. Hadis tentang taun:
    i- Hadis riwayat dari Usamah bin Zaid RA katanya:

    عَنْ عَامِر بْن سَعْد ” أَنَّهُ سَمِعَ أَبَاهُ يَسْأَل أُسَامَة بْن زَيْد : مَاذَا سَمِعْت مِنْ رَسُول اللَّه صَلَّى اللَّه عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فِي الطَّاعُون ؟ فَقَالَ أُسَامَة : قَالَ رَسُول اللَّه صَلَّى اللَّه عَلَيْهِ وَسَلَّمَ : الطَّاعُون رِجْس أُرْسِلَ عَلَى طَائِفَة مِنْ بَنِي إِسْرَائِيل , أَوْ عَلَى مَنْ كَانَ قَبْلكُم ” الْحَدِيث” .
    Maksudnya: Dari Amir bin Saad mendengar bapanya bertanya kepada Usamah bin Zaid: Apa yang kamu pernah dengar dari Rasulullah SAW mengenai taun?
    Jawab Usamah: Sabda Rasulullah SAW : “Taun adalah satu ‘kekotoran’ (رِجْس) yang diutus ke atas satu golongan dari Bani Israil, atau diutus ke atas kaum yang sebelum kamu
    “. [HR Bukhari & Muslim].

    ii- Hadis dari Saad RA bahawa Rasulullah SAWbersabda:
    عن ‏سَعْد ‏ ‏عَنْ النَّبِيِّ ‏ ‏صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ‏ ‏أَنَّهُ قَالَ : ‏إِذَا سَمِعْتُمْ بِالطَّاعُونِ بِأَرْضٍ فَلَا تَدْخُلُوهَا وَإِذَا وَقَعَ بِأَرْضٍ وَأَنْتُمْ بِهَا فَلَا تَخْرُجُوا مِنْهَا . رواه البخاري
    Maksudnya: “Apabila kamu mendengar tentang taun di sebuah negeri, maka janganlah kamu memasukinya.
    Dan apabila sudah berlaku di sebuah negeri pula dan kamu di dalamnya, maka janganlah kamu keluar daripadanya
    “. [HR Bukhari].
  1. Ini adalah kaedah lockdown sepertimana yang telah kita lakukan semasa diserang wabak COVID-19 beberapa tahun dulu.
    1400 tahun dulu Nabi SAW sudah ada ajar cara menangani wabak yang berjangkit ini!
  1. Ini kerana jika kita sudah ada di dalam itu jangan keluar kerana bimbang kita sudah ada kumannya lalu akan menyebar & merebakkannya pula diluar kawasan.
    Manakala jika dari luar kawasan penyakit, jangan masuk, jangan cari pasal kerana dikhuatiri akan dijangkit penyakit itu.
    Ini adalah ikhtiar & usaha untuk mengelakkan mudharat.
  1. Satu lagi kisah tentang penyakit taun: Dicatatkan bahawa Saidina Umar bercadang menuju ke Syam atas sesuatu urusan.
    Pada ketika itu Syam sedang dilanda wabak taun.

    Beliau lalu membuat perbincangan dengan para sahabat dan mereka mengambil keputusan untuk tidak memasukinya.
    Ada sahabat yang bertanya: Adakah perbuatan ini termasuk melarikan diri dari takdir Allah?
    Umar menjawab: Ya betul, kita lari dari takdir Allah menuju kepada takdir Allah yang lain.
    Yakni tidak mengapa kerana kita tahu di depan ada mara bahaya maka kita cuba elakkannya.
    Kemudian datang Abdul Rahman bin ‘Auf bertanya keputusan & membacakan hadis ini kepada Khalifah Umar Al-Khattab RA :
    Nabi SAW bersabda: “Jika kamu mendengar taun di sesuatu tempat, jangan kamu pergi kepadanya.
    Jika berlaku di sesuatu tempat sedangkan kamu berada di situ, jangan kamu keluar daripadanya.”
    [HR al-Bukhari dan Muslim].
    Mendengar bacaan hadis ini, tepatlah ijtihad yang diambil & Umar RA terus membatalkan niatnya ke sana dan berpatah balik.
    Apa yang kita nak ceritakan bahawa kemungkinan azab dari langit ke atas bani Israil itu ialah wabak taun- wallahu a’lam.

PENUTUP & FAEDAH :

  1. Ayat 161- {Dan (ingatlah) ketika dikatakan kepada mereka:…}-

    Allah bawa peringatan ketika dikatakan, yakni Allah memberi arahan kepada bani Israil.
    Persoalan:
    Kenapa Allah sebut dalam ayat ini: {ketika dikatakan kepada mereka :… وَإِذْ قِيلَ لَهُمُ}- bukan ketika Allah mengatakan (قال الله)??
    Jawapan:
    Digunakan uslub bina majhul (الفعل المبني للمجهول) atau kata kerja pasif diri ketiga ini (dikatakan- قِيلَ) ini, iaitu siapa yang kata, siapa yang perintah tidak disebut kerana menunjukkan kata-kata kemurkaan Allah terhadap bani Israil yang tak dengar kata itu!
    Mereka keras kepala tak mahu bersyukur kepada Allah, disuruh masuk dibuat macam-macam alasan.
    Orang suruh istighfar dia kata lain, orang suruh tunduk tawadhuk, dia mengengsot dengan punggung!
    Ayat ini sama dengan dua ayat yang telah kita bawa di atas tadi iaitu ayat 58 & 59 dari Surah Al-Baqarah.
    Ianya adalah kisah yang sama, persamaan dari beberapa sudut cuma berbeza lafaz seperti:
    i- Dalam surah ini Allah berfirman {ٱسْكُنُوا۟} yakni {tinggallah} manakala dalam Surah Al-Baqarah Allah kata {ٱدْخُلُوا۟} yakni {masuklah}.

    ii- Dalam surah ini Allah berfirman {وَكُلُوا۟} yakni {dan makanlah} manakala dalam Surah Al-Baqarah Allah kata {فَكُلُوا۟} yakni {maka makanlah}.
    Terdapat lapan perbezaan lafaz perkataan kesemuanya antara dua ayat ini yang dikeluarkan oleh ulama’ tafsir Ar-Razi.
    Kita hanya bawa dua contoh sahaja.

Begitulah indahnya al-Quran, walaupun kisah yang sama diulang beberapa kali; tetapi gaya bahasanya, uslub penceritaan, perkataan & ayat yang digunakan adalah yang berbeza & berlainan yang membuatkan orang tidak jemu membacanya semula.
Bukan hanya copy & paste semata-mata.

  1. Ayat 161- {… supaya Kami mengampunkan dosa-dosa kamu.}-

    Allah kata Dia akan ampunkan dosa-dosa atau kesalahan kamu.
    Dalam ayat ini Allah guna perkataan jamak yang sedikit {خَطِيٓـَٔـٰتِكُمْ}.
    Ini kerana Allah nak isyaratkan bahawa dosa & kesalahan kamu itu kecil dan sedikit sahaja berbanding dengan rahmat & keampunan Allah SWT!
    Jika kamu minta amapun Allah akan ampunkan.
    Tetapi jika kamu tek reti bahasa, keras kepala degil tidak mahu bertaubat dan minta ampun; maka rahmat yang luas itu akan menjadi sempit kepada kamu!
    Kita kena belajar Fiqhul-hayat; Ingatlah sebanyak mana dosa kita; rahmat Allah lebih luas.
    Sebesar mana dosa kita; keampunan Allah lebih besar!
    Maka jangan putus asa putus harap, teruskan berdoa, minta ampun & bertaubat!
    Allah letakkan sifat-Nya dengan begitu rahmat!
  1. Ayat 162- {Maka orang-orang yang zalim di antara mereka menukarkan perintah itu dengan perkataan yang tidak dikatakan kepada mereka.}-

    Mereka menukar perintah Allah.
    Allah suruh yang mudah mereka yang tukarnya kepada yang payah!
    Kata ulama’ : Syari’ah Allah itu mudah tetapi manusia yang menukarnya menjadikannya susah & payah.
    Dalam Islam ini perkara yang simple & mudah disusahkan oleh sebahagian orang sama ada orang yang alim atau separuh alim!!!
    Contoh: Orang sakit boleh tinggal puasa & qadha’ apabila sihat, tetapi tetap nak puasa.
    Musafir boleh solat jamak tetapi dia tak mahu nak solat penuh juga.
    Berpegang tak boleh pergi haji lagi selagi tak khatam kitab-kitab tertentu gurunya!
    Agama itu indah & mudah, tetapi bukan bererti boleh bermudah-mudah dengan agama.
    Sibuk sikit tak mahu solat, sakit sikit tak mahu solat!
    Sedangkan orang sakit boleh solat sambil duduk, tak boleh duduk sambil baring pun boleh, tak boleh guna air untuk berwudhuk boleh bertayammum!
    Susah nak solat setiap waktu boleh jamak tanpa qasar, ini menunjukkan agama itu mudah!
    Tetapi jika mempermudahkan agama ialah dengan tak solat terus!
    Juga jangan ubah atau tukar nama atau perkataan yang telah Allah sebut, Allah kata riba maka ribalah ia, jangan tukar kepada bunga interest atau sebagainya, Nabi SAW kata rasuah maka rasuahla ia bukan duit kopi hadiah atau seumpamanya.
    Jangan tukar hukum & perintah Allah terus, sehingga menjadi lebih keras daripada Sunnah Nabi SAW atau tak ikut Sunnah Nabi terus!
    Contoh: Ada sebahagian muslim yang tak benarkan kaum wanita untuk keluar solat berjemaah di masjid dalam keadaan aman & tiada fitnah.
    Sedangkan Rasulullah SAW pada zamannya membenarkan kaum wanita untuk solat berjemaah dengan jaga SOP-nya tutup aurat selengkapnya dan jangan ada percampuran ikhtilat.
    Hatta untuk Solat Eid, Baginda SAW suruh bawa keluar semua keluarga hatta anak gadis/wanita yang sedang haidh pun.
    Jangan jadi seperti yahudi yang tukar perkataan { حِطَّةٌۭ} kepada (حَبَّةٌۭ) dan lain-lain.
  1. Ayat 162- {… Oleh itu, Kami turunkan azab dari langit menimpa mereka, dengan sebab kezaliman yang mereka lakukan.}-

    Allah turunkan azab dari langit ke atas mereka dengan sebab kezaliman yang mereka buat iaitu derhaka kepada Allah!
    Begitulah umat terdahulu apabila mereka kafir & derhaka Allah bayar cash atas dunia lagi, terus ditimpakan azab yang memusnahkan kesemua mereka.
    Di sini Allah tak ceritakan apakah jenis azab yang diturunkan ke atas mereka itu!
    Kata ulama’ : Tak perlu detail kerana tujuan untuk menyatakan sesiapa yang derhaka kepada Allah akan ditimpakan azab sudah tercapai.
    Sudah terlaksana maksudnya tujuan kisah itu iaitu siapa yang derhaka akan kena azab maka cukuplah jangan korek cari lagi!
  1. Ayat 162- {… dengan sebab kezaliman yang mereka lakukan.}-

    Allah timpakan azab-Nya ke atas sesiapa yang buat kemungkaran, zalim, kufur dan fasiq.
    Maka sifat zalim ke atas diri sendiri adalah sifat yang akan mengundang kemurkaan Allah Azza wa Jalla!
    Maka ibrah & pengajaran dari ayat ini adalah jelas, Allah akan timpakan azab-Nya ke atas sesiapa yang buat zalim, kemungkaran dan dosa maksiat juga orang yang fasiq.
    Kesimpulannya jika kita takut kepada azab, jangan buat maksiat & derhaka kepada Allah, insya’ Allah kita akan selamat.
    Tetapi jika orang yang baik pun ada dekat kelompok orang yang akan ditimpa azab atau ujian itu; ia akan kena semuanya- bukan kata banjir atau ribut itu akan membelok tukar arah.
    Maka kita jangan sedap hati, kena sentiasa berjaga-jaga dan ingat kepada Allah.

Alhamdulillah tamatlah kuliah tafsir kita untuk hari ini, semoga memberi manfaat & kebaikan dunia Akhirat.

Wallahu A’lam.

Powered by BetterDocs