Galakan Berfikir Tentang Nabi SAW, Merenung Kepada Makhluk Ciptaan Allah SWT & Golongan Sesat Tiada Penyelamat.
Full video : https://youtu.be/tx8MU_W7Dxs?si=-9VazbRguLXRHnXx
MUQADDIMAH :
- Alhamdulillah pada hari ini kita dapat teruskan pengajian kita dalam tafsir Surah Al-A’raf ini dengan ayat 184 sehingga 186 dalam juzuk kesembilan.
- Dalam ayat ini Allah SWT perintahkan suruh kita berfikir tentang benarnya ajaran yang dibawa oleh Nabi SAW.
Bukanlah Baginda SAW seorang yang gila, ahli sihir atau menyeleweng.
Kamu lihatlah keadaannya; seorang yang begitu sempura dari segi akhlak dan elok kejadian fizikalnya takkanlah gila atau ahli sihir seperti yang didakwa oleh kaum musyrikin.
- Allah juga suruh memerhati dan merenung kepada makhluk ciptaan Allah SWT seperti langit & bumi serta isi kandungannya.
Logikkah berjalan dan berfungsi tanpa tuan yang mentadbirnya.
Betapa matahari dan bulan beredar pada paksi masing-masing tanpa pernah eksiden atau lari dari jadualnya.
- Kemudian Allah nyatakan siapa yang Allah tidak beri hidayah petunjuk maka itulah golongan yang sesat dan tiada yang dapat menyelamatkannya.
Ya Allah jadikan kami dari golongan yang mendapat petunjuk-Mu jangan jadikan kami dari kalangan orang yang sesat!
- Munasabah dengan ayat sebelumnya :
i- Dalam ayat yang lepas Allah SWT nyatakan tentang kumpulan orang fasiq yang mendustakan ayat-ayat Allah.
Maka Allah beri tempoh agar mereka berpeluang untuk bertaubat.
Apabila tiba tempohnya azab Allah itu pasti datang.
ii- Maka datang ayat ini perintah Allah untuk lihat & berfikir kepada keadaan Rasulullah SAW, seorang rasul & nabi yang diutus Allah SWT atas muka bumi.
Yakni Allah suruh fikir dengan baik jangan mudah nak buat tuduhan dan dakwaan jahat!
أَعُوذُ بِاَللَّهِ السَّمِيعِ الْعَلِيمِ مِنْ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ.
AYAT 184- {PATUTKAH MEREKA (INGKAR DAN) TIDAK MAHU MEMIKIRKAN (DENGAN FIKIRAN YANG SIUMAN BAHAWA) SAHABAT MEREKA (MUHAMMAD) TIDAK SEKALI-KALI MENGIDAP PENYAKIT GILA (SEBAGAIMANA YANG MEREKA TUDUH ITU), BAHKAN IA HANYALAH SEORANG (PESURUH ALLAH) YANG MEMBERI AMARAN YANG JELAS.} (AL-A’RAF 7:184)
- Apakah mereka itu tidak berfikir dan menggunakan akal yang benar lagi siuman akan Nabi Muhammad SAW, seorang sahabat dari kalangan mereka sendiri adalah seorang yang benar & waras; bukannya gila atau tidak siuman seperti tuduhan yang mereka dakwa!!!
Orang yang suka tuduh orang gila biasanya dia yang gila, tak percaya cuba pergi ke wad hospital sakit jiwa, pelawat datang dikatanya orang gila sudah datang!
- Kata orang Arab : Gila itu ada banyak macam, الجنون فنون , ada orang gilakan harta, ada yang gila pangkat, ada yang gila glamer, ada gila nak cantik, dan bermacam jenis kegilaan lagi!
Jika kita nak jadi gila pun gila menuntut ilmu, tetapi jangan gila cari ilmu sesat pula!
Rahsia Allah kata Nabi SAW sebagai sahabat mereka {بِصَاحِبِهِم} kerana mereka (musyrikin Quraisy) mengenali Nabi SAW sejak dari kecil bahkan sejak dari lahir Baginda SAW lagi.
Mereka tahu Baginda seorang yang jujur, benar & amanah bahkan mereka sendiri yang memberinya gelaran sebagai al-Amin (seorang yang benar) sebelum ini.
Mereka kenal Nabi tetapi mereka tetap kata dia sesat & tak betul!
- Begitulah apabila kita kenal seseorang yang baik akhlaknya & benar sifatnya, jangan pula apabila mendengar tuduhan dibuat terhadapnya kita terus percaya dan terima bulat-bulat tanpa siasat & pastikan kebenarannya dulu.
Jangan jadi seperti lalang yang tiada prinsip, didepan baik tetapi di belakang lain pula sifatnya.
Orang kutuk join sama walaupun kawan yang kita kenal demi menjaga kedudukan dan jawatan.
- Firman Allah SWT tentang ini juga:
{Engkau (wahai Muhammad), dengan sebab nikmat pemberian Tuhanmu, bukanlah seorang gila (sebagaimana yang dituduh oleh kaum musyrik, bahkan engkau adalah seorang yang bijaksana).} (Al-Qalam 68:2)
- Yakni dalam ayat ini Allah suruh fikir tentang Nabi SAW dan menegaskan dengan yakin bahawa Baginda adalah seorang pesuruh Allah yang jelas tugasnya memberi amaran yang jelas. Bukan seorang yang gila atau ahli sihir.
- Begitulah manusia ini, jika orang bawa & cerita tentang perkara baik sahaja mungkin tidak ada orang yang marah.
Tetapi apabila tegur perbuatan yang salah, beri nasihat tentang amalan yang tidak betul, maka disitulah orang akan mula tidak suka & benci. Walaupun yang kita cakap itu ada nas & dalil daripada al-Quran & as-Sunnah.
- Ayat ini Allah suruh kita berfikir tentang Nabi SAW!
AYAT 185- {PATUTKAH MEREKA (MEMBUTAKAN MATA) TIDAK MAHU MEMPERHATIKAN ALAM LANGIT DAN BUMI DAN SEGALA YANG DICIPTAKAN OLEH ALLAH, DAN (MEMIKIRKAN) BAHAWA HARUS TELAH DEKAT AJAL KEBINASAAN MEREKA? MAKA KEPADA PERKATAAN YANG MANA LAGI SESUDAH (DATANGNYA KALAMULLAH AL-QURAN) ITU MEREKA MAHU BERIMAN?} (AL-A’RAF 7:185)
- Munasabah ayat:
i- Dalam ayat sebelum ini Allah suruh lihat kepada Rasulullah & berfikir akan keadaan Rasulullah SAW sebagai seorang rasul & nabi utusan Allah SWT!
Apabila Nabi SAW betul maka ajaran tauhid yang dibawanya pastilah benar & betul juga!
Allah tidak dapat dikenali kecuali dengan 3 cara:
a- Dengan nama-nama-Nya yang indah.
b- Dengan sifat-sifat-Nya yang mulia.
c- Dengan makhluk-makhluk ciptaan Allah.
ii- Maka datang ayat ini Allah suruh manusia lihat kepada makhluk ciptaan Allah sebagai dalil yang menunjukkan kepada keEsaan & keagungan Allah Azza wa Jalla yang sangat penting untuk kita menguatkan iman.
Serta bagi yang tidak beriman supaya mereka tunduk akur bahawa alam ini ada Penciptanya yang maha Esa & maha Agung!
- Allah menyeru wahai para pendusta yang menolak kebenaran, apakah kamu tidak perhati lihat kepada alam ciptaan Tuhan yang bergitu laus langit & bumi serta pelbagai kejadian atas muka bumi ini!
- Biasanya orang yang kuat meneroka mengkaji keajaiban alam ini, yang masuk hutan naik bukit masuk ke laut padang pasir adalah puak bukan Islam seperti dari kumpulan National Geographic yang suka mencari benda pelik!
Tetapi malangnya mereka hanya fikir dengan sebelah mata; kaji & lihat kepada barang sahaja, tetapi tidak lihat kepada tuan atau penciptanya!
Maka rugilah kerana mereka tidak akan jumpa kebenaran lalu tidak akan beriman.
- Beberapa siri Kuliah Bersama al-Quran yang menarik menceritakan tentang beberapa pengalaman orang bukan Islam bagaimana mereka boleh mendapat hidayah & menerima Islam.
Untuk memahaminya, boleh lihat video ini: https://youtu.be/Ca3aTw4NkZ8?si=ddMc8QY41H-8bfi5
- Antara perkara yang menakutkan ialah pengaruh dadah & candu dalam zaman modern ini!
Betapa ramai sekali anak melayu & Islam yang terjebak dengan dadah yang amat merbahaya ini!
Semoga Kerajaan dapat bertegas mengharamkan penjualan bahan ketagih yang diangap ringan seperti vape dan seumpamanya ini yang boleh dibeli kedai runcit & stor-stor!
- Setiap perkara yang Allah ciptakan adalah ujian kepada kita, penyakit fizikal & semasa seperti bahan memabukkan atau penyakit gejala sosial yang buruk!
Apatah lagi amalan & perbuatan sesat yang berselindung di sebalik pakaian agama dan Melakukan perbuatan keji dan mungkar.
Banyakkan berdoa kepada Allah semoga kita & keluarga kita semua tidak terjebak dengan perkara yang tidak baik ini!
- Kita fikir & ingat, bahawa tempoh ajal kita sudah hampir, kematian sudah dekat dengan kita!
Apabila tengok orang mati ingat akan ajal kematian kita juga!
Tengok orang sakit insaf dan segera beramal ibadat!
Ingatkan mati barulah kita insaf & akan menambahkan bekalan untuk Akhirat kelak!
Jika tidak ada terasa apa-apa penyesalan dan ketakutan maka rugilah kita!
- Jika dengan semua ingatan ini, al-Quran datang, amaran datang masih tidak mahu beriman, maka kamu tunggu apa lagi baru mahu beriman!
Nak tunggu malaikat maut datang nak cabut mnyawa atau neraka di depan mata baru nak beriman??
Tidak ada faedah lagi pada waktu itu, kerana pintu taubat sudah tertutup!
AYAT 186- {SESIAPA YANG DISESATKAN OLEH ALLAH (KERANA KEINGKARANNYA), MAKA TIDAK ADA SESIAPA PUN YANG AKAN DAPAT MEMBERI PETUNJUK KEPADANYA; DAN ALLAH MEMBIARKAN MEREKA MERABA-RABA (DENGAN BINGUNG) DALAM KESESATAN MEREKA.} (AL-A’RAF 7:186)
- Munasabah ayat:
i- Apabila Allah sebut dalam ayat yang lepas bahawa mereka itu tidak mahu beriman, serta Allah nyatakan sebabnya iaitu mereka tidak mahu berfikir, tidak merenung kepada ciptaan Allah SWT maka mereka menjadi sesat!
ii- Maka sesiapa yang Allah telah cop atas hatinya dengan kesesatan kerana keingkarannya, maka tiada siapa yang dapat menolong membimbingnya kepada hidayah lagi!
- Ayat ini ditafsirkan dengan firman Allah ini:
{Dan (ingatlah) sesiapa yang disesatkan oleh Allah (dengan pilihannya yang salah), maka tidak ada sesiapapun yang dapat memberi hidayah petunjuk kepadanya.} (Az-Zumar 39:36)
- Allah juga akan biarkannya terus teraba-raba dalam kesesatan tanpa petunjuk hidayah!
Allah biarkan mereka dalam kekufuran & kesesatan mereka, terumbang-ambing tak tahu ke mana hendak dituju tanpa mendapat pedoman hidayah!
PENUTUP & FAEDAH :
- Ayat 184- {Patutkah mereka (ingkar dan) tidak mahu memikirkan (dengan fikiran yang siuman bahawa) sahabat mereka (Muhammad) tidak sekali-kali mengidap penyakit gila (sebagaimana yang mereka tuduh itu),}-
Kata ulama’ tadabbur : Ayat ini menggalakkan kamu untuk berfikir & memerhati bertadabbur; menggunakan fikiran, jangan gopoh untuk mendapat ilmu & mengetahui sesuatu, kerana itulah lorong & cara untuk kita mendapat kebenaran.
Orang yang sentiasa berfikir & kaji dengan ilmu & fakta yang jelas insya’ Allah maka orang inilah yang akan mendapat kebenaran & kebaikan.
Maka Allah suruh puak kafir Makkah untuk berfikir, perhati tengok & tilik kepada Rasulullah SAW, kawan kamu, teman kamu {بِصَاحِبِهِم} yang kamu kenalinya dengan mendalam.
Ini untuk beritahu bahawa mereka kenal & duduk lama dengan Nabi SAW sejak dari Baginda kecil lagi sehingga umurnya 40 tahun.
Kemudian apabila Baginda SAW mendapat wahyu dan diberi tugas oleh Allah SWT untuk menyampaikan dakwah tauhid, mereka mula meragui & mempertikaikan kebenarannya dan menuduhnya menyeleweng dan sesat!
Begitulah alasan dan tindakan yang dibuat oleh orang yang tidak mahu kebenaran walaupun tahu ia adalah benar!
Ini adalah satu perkara yang menakutkan dan membahayakan!
- Ayat 184- {Patutkah mereka (ingkar dan) tidak mahu memikirkan (dengan fikiran yang siuman bahawa)… أَوَلَمْ يَتَفَكَّرُوا۟ ۗ}-
Ayat 185- {Patutkah mereka (membutakan mata) tidak mahu memperhatikan… أَوَلَمْ يَنظُرُوا۟}
Dua perkara yang Allah perintahkan dalam dua ayat ini, perhati & fikir.
Dalam pemerhatian, fikir & lihat, berfikir ini tak tengok pun tak apa;
Seperti kita sekarang kita tidak pernah lihat Rasulullah SAW tetapi kita hanya boleh memikirkan tentangnya dengan akal & otak kita gambarannya.
Tetapi kepada makhluk ciptaan Allah seperti langit & bumi, bukit-bukau, haiwan & tumbuhan dan segalanya; kita boleh tengok kerana di depan mata kita!
Maka datanglah perbincangan antara ulama’ : Mana yang lebih besar & afdhal; kita fikir sahaja tanpa beribadat?
Jawapan, terdapat beberapa pendapat:
i- Berkata puak sufi (ahli tasauf) : Berfikir lebih besar kerana dengan fikir kita dapat ilmu makrifah, dengan makrifah kita akan dapat kenal Syari’ah.
Kerana itu puaknya ahli tariqat yang sesat, lewat solat kerana asyik dok berfikir.
ii- Ulama’ feqah pula berpendapat : Solat & zikir lebih afdhal daripada hanya berfikir sahaja.
Ini kerana terdapat banyak dalil dari hadis Nabi SAW yang menyuruh kita lakukan solat, zikir dan lain-lain ibadat.
Tetapi dalam masa yang sama tidak menafikan fikir, zikir & fikir datang bersama.
iii- Kata Sheikh Ibnu al-‘Arabi :
a) Sesungguhnya berfikir itu afdhal bagi orang alim, para ulama’ yang cendikiawan yang mempunyai kekuatan akal untuk berfikir tentang makhluk Allah.
Kerana mereka ini boleh cari dalil, korek analisa yang hebat untuk mencari keagungan Allah SWT!
b) Manakala bagi orang awam, lebih baik dia tumpu kepada solat & jaga lain-lain ibadat daripada dia berfikir sahaja yang tidak dapat membawa apa-apa hasil atau yang ditakuti lagi tergelincir ke dalam fikiran yang sesat pula!
Kerana itu ada ulama’ kata : Bagi penuntut ilmu, berfikir & menuntul ilmu itu lebih afdhal dari perkara/ibadat sunat.
Ini kerana jika mereka tak fikir kaji & murajaah, bagaimana mereka nak sampaikan kepada masyarakat!
Kerana itu dinasihatkan kepada ahli ilmu, para pendakwah, ahli agama, penceramah & pengkuliah; kena baca dulu & semak kaji, cari dalil, serta periksa dulu bahan & dalil yang ada sebelum disampaikan kepada masyarakat awam.
Jika tidak mereka akan menyampaikan maklumat yang tidak kena & tidak tepat.
Manakala bagi masyarakat awam tak perlu fikir banyak, berzikir yang lebih baik, kerana jika berfikir pun dia tidak akan nampak.
Wallahu a’lam.
- Ayat 185- {Patutkah mereka (membutakan mata) tidak mahu memperhatikan alam langit dan bumi dan segala yang diciptakan oleh Allah, dan (memikirkan)…}-
Allah tanya apakah kamu tidak perhati tengok kepada kejadian langit & bumi!
Ulama’ tadabbur kata : Kita kena tengok segala makhluk yang ada dengan mata & hati yang celik, bukan hanya lihat dengan pandangan kosong!
Itulah tegok alam dengan dimensi mencari tuhan, Masyarakat indahnya, hebatnya ciptaan Allah.
Bukan hanya tengok dengan mata kamera, hp atau lain-lain gajet, maka bekulah otak kita!
Otak kita ini sebenarnya telah dibekukan oleh banyak perkara!
Antaranya ialah seperti:
i- Alat-alat gajet yang canggih dihujung jari, sehingga tak perlu guna otak lagi untuk berfikir sehingga mandul pemikiran manusia hari ini.
Dua campur dua pun guna kalkulator untuk kira!
ii- Peraturan. Dulu kita berjuang untuk mendapatkan kebebasan melahirkan pendapat, kebebasan berbicara dan sebagainya.
Tetapi sekarang bila dah dapat kuasa sebaliknya yang berlaku, dia pula yang menyekat segala kebebasan itu demi menjaga pangkat & kerusi kedudukannya!
Manusia akan terganggu hidupnya apabila kena selidik & soal-siasat!
Begitulah bahayanya atas dunia ini- manusia apabila dapat kerusi (kedudukan) dia akan sayang dan buat apa saja untuk jaga kerusinya itu!
Kata pepatah Arab : Syaitan lari apabila dibaca ayat kerusi, tetapi manusia pula sibuk berebut kerusi!
Kita perlu lihat & teliti segala yang ada atas dunia ini untuk memberi pulangan hasil yang berfaedah!
Tetapi ingat, sebagaimana kata ulama’ :
Jangan kamu salah guna galakan untuk melihat ciptaan Tuhan ini untuk melihat kepada yang haram seperti melihat wajah perempuan atau lelaki yang amrad (remaja).
Akan menimbulkan dosa & maksiat lain pula!
Disuruh kita tengok kepada makhluk yang ada di depan mata kita seperti kejadian langit bumi, bukit bukau, laut sungai dan seumpamanya yang baik.
Mula-mula untuk kenal adalah dengan beriman kepada Allah kemudian lihat kepada kekuasaan-Nya!
- Ayat 185- {… dan (memikirkan) bahawa harus telah dekat ajal kebinasaan mereka?}-
Ingatlah boleh jadi ajal kematian kita sudah dekat, maka insaflah!
Antara tanda-tanda bahawa kematian kita ini telah dekat ialah seperti umur tua, rambut uban, badan yang semakin lemah, penyakit yang datang dan lain-lain.
Maka apabila kita lihat telah ada tanda-tanda kematian ini kita sibukkan diri kita berfikir dan sibuk apakah persiapan kita untuk mati!
Maka segeralah menambahkan bekalan kita, amalan ibadat kita untuk dibawa di Akhirat kelak!
Jika kita tak memikirkan akan kematian; makin tua makin galak, makin panjang umur makin sibuk nak cari harta, masih lagha dengan perkara dunia!
Cukuplah masa yang ada kita tumpukan dan guna perkara yang berfaedah dan bermanfaat.
Sentiasalah fikirkan tentang kematian dan menambah bekaan untuk Akhirat.
Apakah perbezaan antara:
i- Takut mati, kita cuba nak lari daripada mati, beli segala ubat dan cuba dapatkan pelbagai rawatan untuk panjang umur lagi.
ii- Ingat mati, kita tak berani buat maksiat kerana kita tahu kita akan mati & dibangkitkan semula kelak.
Di akhir ayat Allah kata: Selepas daripada Nabi SAW, selepas daripada al-Quran yang ada di tangan kamu, dengan apa lagi kamu nak beriman!
- Ayat 186- {Sesiapa yang disesatkan oleh Allah (kerana keingkarannya), maka tidak ada sesiapa pun yang akan dapat memberi petunjuk kepadanya;…}-
Sesiapa yang Allah telah cop atas hatinya sesat maka tiada siapa yang boleh buka hati & mindanya, tiada siapa boleh selamatkannya, tiada siapa yang boleh beri petunjuk kepadanya lagi.
Allah ciptakan sefgala perkara, tetapi ingat Allah beri kepada kamu akal, Allah hantar rasul, Allah beri kepada kamu kita, maka kamu kena berfikirlah, kenapa kamu nak jadi sesatnya!
Ayat ini menyatakan sudah menjadi ketetapan Allah Azza wa Jalla bahawa Dia beri dua jalan sama ada kamu bersyukur atau kamu kufur.
Kamu fikir sendirilah, kamu ada otak, kamu ada akal, kamu bukan lembu, maka pilihlah mana jalan yang terbaik.
Kita minta kepada Allah agar anugerahkan kepada kita hati & akal yang sentiasa berfikir, sentiasa memerhatikan makhluk dan sentiasa muhasabah diri bahawa kematian itu boleh datang bila-bila masa sahaja!
Ya Allah tetapkanlah kami atas petunjuk hidayah-Mu dan matikanlah kami dalam husnul-khatimah.
Alhamdulillah tamatlah kuliah tafsir kita untuk hari ini, semoga memberi manfaat & kebaikan dunia Akhirat.
Wallahu A’lam.