View Categories

(56) Surah Al-A’raf : Ayat 194-198

Sembahan Kamu Makhluk Juga, Anggota Tak Berfungsi & Allah Penjaga Orang Mukmin.

Full video : https://youtu.be/bN5TJR0yAjw?si=S4ZlDvv6TcxmEU0p

MUQADDIMAH :

  1. Alhamdulillah pada hari ini kita dapat teruskan pengajian kita dalam tafsir Surah Al-A’raf ini dengan ayat 194 sehingga ayat 198 dalam juzuk kesembilan.
  1. Dalam siri ini Allah SWT menyatakan bahawa semua sembahan manusia, seperti berhala, dewa-dewa, tunggul kayu, batu nisan semua itu adalah makhluk seperti manusia juga!
    Mereka tidak ada kuasa, panggil tak jawab, mata tak berkelip tidak dapat bergerak sendiri!
    Yakni Allah tempelak orang kafir yang menyembah berhala yang tak ada kuasa itu, inilah kesalahan besar yang dilakukan mereka.
  1. Orang tidak beriman ada anggota tapi tak berfungsi, tidak dapat digunakan untuk berfikir untuk mengenali Allah & berfikir tentang kekuasaan-Nya.
  1. Allah nyatakan Dia yang menurunkan Kitab & Allah adalah penjaga orang-orang mukmin yang soleh.
  1. Munasabah dengan ayat sebelumnya:
    i- Dalam ayat yang lepas Allah SWT nyatakan tentang berhala-berhala & segala sembahan orang kafir itu tidak ada kuasa lansung, ia pun tidak hidup.

    ii- Ayat ini datang untuk menguatkan ayat yang lepas bahawa berhala & segala sembahan itu tidak kuasa untuk memberi manfaat & darurat kepada manusia.
    Ini untuk menanam tauhid dalam hati manusia & mencabut akar umbi syirik dari dalam jiwa manusia!

أَعُوذُ بِاَللَّهِ السَّمِيعِ الْعَلِيمِ مِنْ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ

AYAT 194- {SESUNGGUHNYA BENDA-BENDA YANG KAMU SERU SELAIN ALLAH ADALAH MAKHLUK-MAKHLUK SEPERTI KAMU. OLEH ITU, (CUBALAH) MENYERUNYA SUPAYA BENDA-BENDA ITU DAPAT MEMPERKENANKAN PERMOHONAN KAMU, KALAU BETUL KAMU ORANG-ORANG YANG BENAR.} (AL-A’RAF 7:194)

  1. Allah SWT mencela puak kafir musyrikin kerana mereka menyembah sesuatu yang tidak dapat memberi manfaat & darurat kepada mereka.
    Sesuatu seperti patung-patung berhala yang tidak dapat bergerak dengan kemampuannya sendiri!
  1. Bahkan benda-benda itu adalah makhluk seperti mereka juga, bahkan manusia yang lebih berkuasa daripada berhala itu kerana manusia yang ukir pahat membentuk sembahan itu kemudian mereka sembahnya.
    Ada setengah agama ukir buat berhala bentuk alat kemaluan dan menyembahnya!!
    Ada setengah patung huduh & menakutkan!!
  1. Allah perli puak kafir ini untuk menyedarkan orang kafir bahawa berhala sembahan itu tidak ada faedah, cubalah kamu panggil serunya apakah ia menjawab seruan kamu itu, apakah ia dapat menunaikan permintaan kamu???
  1. Kamu akan sedar dan sentap, nampak kebenaran ini jika betul kamu orang-orang yang benar!

AYAT 195- {ADAKAH BENDA-BENDA (YANG KAMU SEMBAH) ITU MEMPUNYAI KAKI YANG MEREKA DAPAT BERJALAN DENGANNYA, ATAU ADAKAH MEREKA MEMPUNYAI TANGAN YANG MEREKA DAPAT MEMEGANG (MENYEKSA) DENGANNYA, ATAU ADAKAH MEREKA MEMPUNYAI MATA YANG MEREKA DAPAT MELIHAT DENGANNYA, ATAU ADAKAH MEREKA MEMPUNYAI TELINGA YANG MEREKA DAPAT MENDENGAR DENGANNYA? KATAKANLAH (WAHAI MUHAMMAD): “PANGGILAH BENDA-BENDA YANG KAMU JADIKAN SEKUTU ALLAH, KEMUDIAN KAMU SEMUA JALANKAN TIPU DAYA TERHADAPKU, SERTA JANGAN PULA KAMU BERTANGGUH LAGI.} (AL-A’RAF 7:195)

  1. Allah bertanya kepada orang kafir itu apakah berhala-berhala itu:
    i- Mempunyai kaki yang mereka dapat berjalan dengannya,

    ii- Atau adakah mereka mempunyai tangan yang mereka dapat memegang (menyeksa) dengannya,

    iii- Atau adakah mereka mempunyai mata yang mereka dapat melihat dengannya,

    iv- Atau adakah mereka mempunyai telinga yang mereka dapat mendengar dengannya???
  1. Allah SWT bertanya secara perli, satu persatu ini bukan kerana tak tahu; ayat sentap nak suruh manusia berfikir, untuk menyedarkan jangan buat benda pelik & tidak ada faedah, perkara syirik yang dapat menggugurkan segala amalan & kekal dalam neraka!
  1. Kemudian Allah suruh Rasulullah SAW untuk berlawan dengan puak kafir, mencabar mereka untuk berpakat dengan berhala itu untuk mendatangkan mudharat ke atas Baginda SAW, pastilah tidak dapat!
  1. Kata Ibnu Jarir at-Tabari : Allah ajar Nabi SAW cabar ini untuk menunjukkan:
    i- Bahawa Nabi SAW dijaga oleh Allah.

    ii- Sembahan mereka itu tidak mempunyai apa-apa kuasa.

AYAT 196- {“SESUNGGUHNYA PELINDUNGKU IALAH ALLAH YANG TELAH MENURUNKAN KITAB (AL-QURAN), DAN DIA LAH JUA YANG MENOLONG DAN MEMELIHARA ORANG-ORANG YANG BERBUAT KEBAIKAN”.} (AL-A’RAF 7:196)

  1. Dalam ayat ini Allah menyatakan bahawa Dia-lah penjaga & penolohg orang yang soleh, orang yang melakukan kebaikan.
  1. Munasabah ayat:
    i- Dalam ayat yang lepas Allah nyatakan bahawa berhala-berhala itu tidak kuasa & lemah

    ii- Maka datang ayat ini menyata & menegaskan yang ada kuasa & kekuatan hanyalah Allah SWT!
    Maka beriman, berpegang & bergantunglah sepenuhnya kepada Allah SWT!
  1. Allah perintahkan Rasulullah SAW untuk berkata, menegaskan kepada puak kafir bahawa penolong aku, penjaga aku yang memeliharaku daripada gangguan, khianat & perancangan jahat kamu semua adalah Allah!
  1. Allah yang telah menurunkan ke atas Nabi SAW kitab al-Quran, maka Allah akan jaganya!
    Jika Allah telah jaga kita pastilah akan selamat sepenuhnya!
  1. Firman Allah SWT juga:
    {Sesungguhnya Allah tidak memberi hidayah petunjuk kepada kaum yang kafir.}
    (Al-Maidah 5:67)
  1. Hadis, kisah tiang pengawal di dalam Masjid Nabi SAW & kaitannya dengan ayat dari Surah Al-Ma’idah ini, pada awal ketibaan Nabi SAW di Madinah para sahabat bergilir menjaga Baginda di luar rumahnya sehingga turunnya ayat ini.
    Kisah penuh boleh lihat kitab:
    Madinah Munawwarah.
    https://dartaibah.com/…/Madinah-Munawwarah-Kelebihan…
  1. Hadis, riwayat dari Jabir bin Abdullah RA bahawa beliau bersama Rasulullah SAW dalam satu ghazwah yang menuju ke Najd.
    Dalam perjalanan pulang, apabila mereka sampai di kawasan hutan yang ditumbuhi dengan pokok-pokok berduri, Rasulullah SAW turun dari tunganggannya untuk berehat, lalu para sahabat juga bertebaran untuk mencari tempat berteduh masing-masing.
    Rasulullah SAW berteduh di bawah sebatang pokok dan mengantungkan pedangnya pada pokok tersebut lantas kami pun tertidur seketika.
    Tiba-tiba kami mendengar suara Rasulullah SAW memanggil kami.
    Kami dapati di hadapan Baginda seorang badawi kafir.
    Baginda Rasulullah SAW bersabda:

    Dia telah mencuri pedangku ketika aku sedang tidur, apabila aku terjaga aku dapati sebilah pedang terhunus dihadapanku & dia berkata: ”Siapakah yang dapat melindungi kamu Muhammad dari pedang ini?
    Baginda SAW menjawab: Allah yang menjagaku, sebanyak 3 kali lantas orang itu terduduk dan jatuh pedangnya.
    Rasulullah SAW tidak menghukum dengan perbuatannya itu.
    [HR Bukhari].
  1. Allah juga menjaga orang-orang yang soleh. Sebagaimana kisah dalam Surah Al-Kahfi, tentang dua orang anak yatim yang dijaga Allah urusannya kerana tok nenek mereka sebelum ini adalah orang soleh.
    Allah hantar Nabi Musa & Khidir untuk membaiki tembok yang mengandungi harta peninggalan untuk mereka!
  1. Maka jika kita sayangkan zuriat kita, anak cucu kita, marilah kita jadi orang yang soleh agar Allah jaga kita & semua anak cucu kita juga!

AYAT 197- {DAN BENDA-BENDA YANG KAMU SEMBAH SELAIN ALLAH, TIDAK AKAN DAPAT MENOLONG KAMU, BAHKAN TIDAK DAPAT MENOLONG DIRINYA SENDIRI.} (AL-A’RAF 7:197)

  1. Allah suruh Nabi SAW nyatakan lagi kepada puak kafir itu, apa yang kamu sembah, seru panggil selain dari Allah itu; mereka tidak mampu untuk menolong kamu, tidak boleh menolak bahaya atau ancaman bahaya dari kamu!
  1. Berhala-berhala itu juga usahkan nak jaga & tolong kamu, orang lain yang menyembah mereka; bahkan mereka nak jaga diri mereka sendiri pun tidak mampu!!!

AYAT 198- {DAN JIKA KAMU MENYERU BENDA-BENDA (YANG KAMU SEMBAH) ITU UNTUK MENDAPAT PETUNJUK (DARIPADANYA), MEREKA TIDAK DAPAT MENDENGARNYA; DAN ENGKAU NAMPAK BENDA-BENDA ITU MEMANDANGMU PADAHAL MEREKA TIDAK MELIHAT.} (AL-A’RAF 7:198)

  1. Allah ulang lagi dalam ayat ini bahawa betapa lemahnya, tidak ada kuasa & faedahnya para berhala yang disembah itu!
    Ada mata tak boleh lihat ada telinga tak boleh dengar!
  1. Jadi amat rugi & tiada faedah untuk kita bergantung dengan makhluk yang lemah, juga yang tidak memberi apa-apa manfaat & pertolongan!
  1. Maka jika kita nak kuat, nak hebat, kita bergantunglah sepenuhnya kepada Allah SWT yang maha berkuasa lagi maha bijaksana!

PENUTUP & FAEDAH :

  1. Ayat 194- {Sesungguhnya benda-benda yang kamu seru selain Allah adalah makhluk-makhluk seperti kamu.}-

    Benda-benda yang kamu seru pangiil & doa itu adalah makhluk yang lemah, yang sama level dengan kamu!
    Allah sebut di sini (kamu seru- doa- تَدْعُونَ)- ini bererti doa itu satu ibadat!
    Dalam sebuah hadis, Nabi SAW mengatakan bahawa: Doa itu ibadat. [HR at-Tirmizi, Abu Daud dan lain-lain].

    Maka tidak boleh kita minta seru berdoa kepada makhluk lain selain daripada Allah seperti berhala, batu, patung, batu nisan, wali dalam kubur dan seumpamanya.
    Berdoalah kamu kepada Allah SWT, inilah yang diajar & diperintahkan Allah SWT dalam ayat yang mulia ini!
    Allah juga kata berhala-berhala itu adalah hamba Allah {عِبَادٌ} seperti kamu juga!
    Berdasarkan ayat ini kata ulama’ : Kita boleh mengatakan semua benda itu hamba Allah termasuklah benda beku yang tidak bernyawa & tidak berakal seperti haiwan dan termasuk berhala-berhala itu!
    Ini kerana orang kafir menganggap berhala itu ada kuasa ada kekuatan, lalu Allah menafikannya terus bahawa TIDAK sesekali, semua itu adalah makhluk & hamba Allah yang tidak ada kuasa, maka janganlah kamu menyembahnya!
  1. Ayat 195- {Adakah benda-benda (yang kamu sembah) itu mempunyai kaki yang mereka dapat berjalan dengannya, atau adakah mereka mempunyai tangan yang mereka dapat memegang (menyeksa) dengannya, atau…}-

    Allah SWT sebut dalam ayat ini beberapa anggota manusia yang kita guna & bergerak dengannya.
    Allah senarai anggota berhala yang biasanya dibuat untuk mereka: Ada kaki, tapi berhala tak boleh berjalan.
    Ada tangan, tapi tak boleh buat kerja.
    Ada mata, tapi tak boleh melihat.
    Ada telinga, tapi tak boleh dengar.
    Yakni jika semua anggota yang ini tidak berfungsi maka tidak ada faedah & manfaatnya, kenapa kamu masih nak sembah dianya???
    Ini satu sentapan & sindiran Allah kepada manusia: “Barang tak pakai kerja, kamu gi sembah jadikan Tuhan?”
    Maka kenapa kamu sembah sesuatu yang tidak ada kuasa, yang tidak boleh berbuat apa-apa!
    Inilah kesilapan besar yang dilakukan manusia, beri kuasa kepada sesuatu yang tidak ada kuasa.
    Allah katakan manusia ini lebih baik daripada berhala-berhala itu, kamu ada mata telinga yang berfungsi, kaki tangan yang dapat bergerak, sepatutnya berhala itu yang sembah kamu kerana kamu yang buatnya!
    Ini supaya orang kafir sedar & insaf bahawa dalam kesusahan sesat!
  1. Ayat 196- {“Sesungguhnya pelindungku ialah Allah…}-

    Allah suruh Nabi SAW nyatakan lagi bahawa hanya Allah pelindung, penjaga & penolongnya!
    Itulah maksud {وَلِـِّۧىَ ٱللَّهُ} Allah sebagai wali di sini; iaitu sebagai penjaga, pelindung,
    Maka orang beriman yang soleh, yang bertaqwa; Allah yang akan jaga mereka.
    Sebagaimana kisah Tiang Pengawal Rasulullah SAW di atas tadi sehingga turun ayat ini.
    Serta kisah dalam surah al-Kahfi tentang dua orang anak yatim yang ada harta disebalik tembok yang mahu runtuh, Allah hantar Nabi Musa & Khidir untuk membaikinya bagi menjaga harta mereka itu.
    Ini kerana mereka berdua adalah anak cucu kepada orang yang soleh, kerana datuk mereka orang soleh, tempias kebaikan turun juga kepadanya
    Hadis: riwayat dari Amru bin al-‘As RA bahawa Nabi SAW bersabda:
    Sesungguhnya penjaga aku adalah Allah, dan semua orang-orang yang soleh.
    Mereka yang soleh yang membela agama ini.
    Maka jika kita nak jadi pembela agama, kita kena jadi orang soleh.
    Kisah Khalifah Umar bin Abdul Aziz yang ditanya dekat kematiannya: Apakah harta & simpanan yang kamu tinggalkan untuk anak-anak kamu yang masih kecil lagi ini??
    Beliau mati muda & meninggalkan anak-anak yang masih kecil tanpa meninggalkan harta yang banyak.
    Umar menjawab dengan yakin dan penuh tawakkal:
    “إِنْ كَانُوا صَالِحِينَ فَإِنَّ ٱللَّهَ سَيَتَوَلَّى ٱلصَّـٰلِحِينَ،
    وَإِنْ كَانُوا غَيْرَ ذَٰلِكَ فَلَا أَتْرُكُ لَهُمْ مَا يُعِينُهُمْ عَلَى مَعْصِيَةِ ٱللَّهِ”.
    “Jika anak-anakku soleh, maka Allah akan jaga orang-orang soleh.
    Dan jika mereka tidak soleh, aku tidak tinggalkan harta yang membantu mereka bermaksiat kepada Allah.”
    Ahli sejarah mengatakan : Selepas beliau meninggal dunia; semua anak-anak Umar bin Abdul Aziz menjadi orang soleh dan dihormati, walaupun mereka tidak mewarisi harta yang banyak, mereka menjadi orang yang soleh yang dijaga Allah.
    Sedangkan anak-anak khalifah lain yang mewarisi kekayaan, hidup dalam kelekaan, dan ada yang terjebak dalam pembaziran, hilang kuasa & menjadi hina.
    Ini pentingnya kita menjadi orang yang soleh.
  1. Ayat 197- {Dan benda-benda yang kamu sembah selain Allah, tidak akan dapat menolong kamu, bahkan tidak dapat menolong dirinya sendiri.}-

    Apa yang kamu sembah selain daripada Allah itu tidak akan mampu menolong kamu kerana mereka bukan kendiri, nak tolong diri mereka sendiri pun tidak boleh!!
    Allah ulang dua kali ayat ini, bahawa berhala itu tidak ada apa satu, lemah, tidak ada kuasa, tidak ada apa-apa!
    Faedah ulang ayat ini:
    i- Dalam ayat pertama Allah nak hina & cela puak kafir yang sembah berhala yang tiada faedah.

    ii- Diulang dalam ayat ini kerana Allah nak membezakan bahawa orang soleh sembah Allah manakala orang jahat sembah berhala.
    Maka siapa nak suruh Allah jaga dia, sembahlah Allah.
    Siapa nak suruh berhala jaga dia, sembahlah berhala!
    Maka tidak ada faedah kamu sembah berhala yang tidak apa-apa kuasa!
    Allah beri gambaran yang cukup nyata, amat merugikan jika kita tak dengar kata & perintah Allah.
  1. Ayat 198- {…. mereka tidak dapat mendengarnya; dan engkau nampak benda-benda itu memandangmu padahal mereka tidak melihat.}-

    Jika kamu seru pnggil berhala dia tak dengar, mata mereka terbuka tetapi tidak nampak tidak dapat lihat kamu!
    Dalam ayat ini Allah nak ajar kepada kita makhluk ini ada dua kategori:
    i- Makhluk yang memang tak bernyawa, tak hidup seperti berhala, patung, batu, pokok dan seumpamanya.
    Mereka ini memang tak ada mata telinga & akal untuk berfikri & tak boleh nak respon.

    ii- Makhluk yang bernyawa tetapi bersifat kebatuan, ada hati mata telinga, tetapi keras kepala & degil tak dengar kata & nasihat, kamu cakaplah rimau gajah, cakap apa sekali pun mereka tidak akan dengar; seolah seperti mencurah air ke daun keladi!
    Atau jika dengar sekalipun mereka tidak faham, tengok tapi tidak celik, sebab hati mereka tak hidup!
    Begitu juga jika nak berdakwah kena tengok keadaan, jika orang ini kita berdakwah & ajak tak dengar, biarkanlah mereka.
    Maka janganlah kita habiskan masa kita buat sesuatu yang sia-sia yang tidak ada faedah. Bergantung menyeru kepada sesuatu yang tidak kuasa seperti berhala itu adalah satu perbuatan yang sia-sia & kerugian yang besar!
    Marilah kita bergantung kepada Allah Azza wa Jalla.

Alhamdulillah tamatlah kuliah tafsir kita untuk hari ini, semoga memberi manfaat & kebaikan dunia Akhirat.

Wallahu A’lam.

Powered by BetterDocs