View Categories

(57) Surah Al-A’raf : Ayat 199-203

3 Asas Akhlak, Cara Menolak Gangguan Syaitan & Nabi SAW Mengikut Wahyu.

Full video : https://youtu.be/6GYcPqYqVN0?si=54htqHShYRVzhzO1

MUQADDIMAH :

  1. Alhamdulillah pada hari ini kita dapat teruskan pengajian kita dalam tafsir Surah Al-A’raf ini dengan ayat 199-203 dalam juzuk kesembilan.
  1. Dalam siri ini Allah SWT nyatakan tentang 3 asas akhlak,
    (أصول الأخلاقية الإسلامية)
    yang perlu ada pada seorang mukmin yang baik.
    Jika beramal dengan tiga ini insya’ Allah hidup kita akan aman, akan kurang pergeseran.
  1. Kemudian apabila kamu dikacau, diganggu oleh syaitan, Allah ajar bagaimanakah cara untuk menolak gangguan syaitan itu.
  1. Nabi SAW isytiharkan apa yang disampaikannya, dibawa kepada umatnya hanyalah mengikut wahyu Allah yang diturunkan kepada Baginda, bukan ikut nafsunya semata.
    Maka jika kita nak selamat kita ikutlah wahyu Allah berpandukan ajaran Nabi SAW.
    Jika tidak, tidak ada keselamatan kecuali pada jalan yang diajar oleh Allah & Rasul-Nya.
  1. Munasabah dengan ayat sebelumnya:
    i- Dalam ayat yang lepas Allah SWT nyatakan tentang bagaimana puak kafir dok seru dan minta tolong dari para patung berhala yang kaku tidak bergerak tidak punya kuasa.
    Tetapi pastilah apa yang kamu larang ini wahai Muhammad SAW akan membawa tentangan dari mereka!
    Maka kamu tetaplah ada prinsip dan tauhid kepada Allah SWT.

    ii- Maka dalam ayat ini Allah bawa wasiat untuk menjaga keamanan, bagi orang yang tidak menentang menjadikan mereka tertarik kepada Islam serta sekaligus untuk menjadikan orang yang menentang agar lebih lunak & jinak.
    Iaitu asas akhlak yang mulia.

أَعُوذُ بِاَللَّهِ السَّمِيعِ الْعَلِيمِ مِنْ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ

AYAT 199- {TERIMALAH APA YANG MUDAH ENGKAU LAKUKAN, DAN SURUHLAH DENGAN PERKARA YANG BAIK, SERTA BERPALINGLAH (JANGAN DIHIRAUKAN) ORANG-ORANG YANG JAHIL (YANG DEGIL DENGAN KEJAHILANNYA).} (AL-A’RAF 7:199)

  1. Ayat ini membawa tiga usul atau 3 asas akhlak Islam yang mulia:
    Pertama: Terimalah apa yang mudah dilakukan { خُذِ ٱلْعَفْوَ} jangan cari yang pelik & payah.
    Ayat ini Allah ajar Nabi SAW untuk menerima yang mudah, yang senang dari akhlak manusia selagi tidak bercangah dengan Syari’ah.
  1. Iaitu kamu terimalah apa yang simple & mudah dalam kehidupan manusia jangan kamu cuba berkeras.
    Jika dia buat baik kita warwarkan dan hargai. Jika dia buat tak baik, kita cuba tak ambil kira & maafkan, yang penting kita jaga prinsip tauhid & Syari’ah kita; jika tak bercanggah dengan Syari’ah kita terima pakai, jika bercanggah jangan kita ambil.
  1. Kata Ibnu Athiyah RHM : Ayat ini asalnya wasiat Allah kepada Nabi SAW tetapi ia juga merangkumi semua umatnya.
    Maka maksudnya kamu terimalah keadaan manusia, jika kita nak manusia yang sempurna dari segenap segi & sudut, kita tidak akan jumpa!

    Kata syair :
    “إذا كنتَ في كُلِّ الأمور معاتبًا..
    صديقَكَ؛ لم تَلْقَ الَّذي لا تُعاتِبُهْ!
    فعِش واحدًا، أو صِلْ أخاك فإنَّهُ..
    مقارفُ ذَنْبٍ مَرَّةً ومُجانِبُه
    إذا أنتَ لم تشربْ مرارًا علىٰ القذىٰ؛
    ظمِئتَ، وأيُّ الناسِ تصفو مشارِبُهْ”!
    Jika kamu tak terima semua perangai manusia, semua perkara nak komen & kritik, maka kamu hidup seorang dirilah!
    Terimalah kekurangan mereka sebagaimana mereka terima kekurangan kamu!
  1. Ayat ini ditafsirkan dengan firman Allah ini:
    {Dan tidaklah sama (kesannya dan hukumnya) perbuatan yang baik dan perbuatan yang jahat. Tolaklah (kejahatan yang ditujukan kepadamu) dengan cara yang lebih baik; apabila engkau berlaku demikian maka orang yang menaruh rasa permusuhan terhadapmu, dengan serta merta akan menjadi seolah-olah seorang sahabat karib.
    Dan sifat yang terpuji ini tidak dapat diterima dan diamalkan melainkan oleh orang-orang yang bersikap sabar, dan tidak juga dapat diterima dan diamalkan melainkan oleh orang yang mempunyai bahagian yang besar dari kebahagiaan dunia dan akhirat.} (Fussilat 41:35)
    Kita cuba baik dengan orang akan melembutkan hati manusia, hatta musuh akan lunak juga akhirnya.
  1. Hadis, riwayat dari Abdullah bin Jubir RA, bahawa Allah turunkan ayat ini untuk mengajar manusia tentang akhlak

    «عَنْ عبدِ اللَّهِ بنِ الزُّبَيْرِ، {خُذِ العَفْوَ} وأْمُرْ بالعُرْفِ قالَ: ما أنْزَلَ اللَّهُ إلَّا في أخْلَاقِ النَّاسِ، قالَ: أمَرَ اللَّهُ نَبِيَّهُ صَلَّى اللهُ عليه وسلَّمَ أنْ يَأْخُذَ العَفْوَ مِن أخْلَاقِ النَّاسِ، أوْ كما قالَ.»
    Maksudnya: Allah ajar kepada Nabi SAW untuk mengambil yang mudah-mudah dari akhlak manusia. [HR Bukhari].
    Iaitu mengambil pendekatan yang mudah dengan mengambil kira kemampuan dan kekurangan manusia dalam berurusan dengan mereka.
  1. Asas yang kedua ialah:
    Suruhlah manusia berbuat baik yang diterima oleh Syara’ { وَأْمُرْ بِٱلْعُرْفِ}.
    Sama ada melalui pergaulan, perbuatan atau perkataan, apa yang diterima oleh akal yang baik, masyarakat yang baik & fitrah yang sempurna, kita kena usahakan!
  1. Firman Allah SWT juga:
    {Dan hendaklah ada di antara kamu satu puak yang menyeru (berdakwah) kepada kebajikan (mengembangkan Islam), dan menyuruh berbuat segala perkara yang baik, serta melarang daripada segala yang salah (buruk dan keji). Dan mereka yang bersifat demikian ialah orang-orang yang berjaya.} (A-li’Imran 3:104)
  1. Maka kita kena kerjalah, amar ma’ruf dan nahi munkar, jangan malas!
    Jika para pendakwah malas tak buat kerja ini maka akan huru-hara dan kucar-kacirlah masyarakat.
    Kena bertugas dengan dua-dua aspek ini, jangan suruh baik saja tak larang yang munkar!
    Jangan ambil satu saja seperti suruh yang baik saja tak larang yang mungkar, tak boleh kerana sebagaimana burung terbang dengan dua sayap, pendakwah kena buat dua-dua!
  1. Yang bahayanya apabila orang yang ada ilmu, yang tahu, diam!!
    Maka orang yang jahil akan ingat apa yang mereka buat itu sudah betul & Sunnah!
    Mereka akan sandar & dakwa kepada orang yang tahu tetapi tak tegur & ingkar itu.
    Apa saja medium yang ada kita guna untuk sampaikan dakwah seperti media sosial yang ada hari ini!
    Contoh seorang Jepun masuk Islam di JDC dengan maklumat yang didapatinya dari Tik Tok.
  1. Apabila larang pasti akan timbul tentangan maka ini usul yang ketiga ialah:
    Berpalinglah (jangan dihiraukan) orang-orang yang jahil (yang degil dengan kejahilannya) { وَأَعْرِضْ عَنِ ٱلْجَـٰهِلِينَ}.
  1. Yakni jika kita sudah dakwah & larang orang tak dengar; maka kita jangan peduli, jangan ambil berat dan perbesarkan benda itu.
    Jika dia tak dengar tak ikut maka biarlah dia, kita cari orang lain atau teruskan urusan lain pula.
  1. Jika dia kita kepada kita macam-macam pun jika ia tidak melibatkan maruah diri atau agama; biarkan saja.
    Tetapi menyatakan yang benar itu wajib!
  1. Contoh, jika orang menuduh kita sesuatu yang besar seperti aqidah tak benar menyamakan Tuhan dengan makhluk dan seumpamanya, kita kena jelaskan dan nyatakan pendirian & dalil yang kita guna.
    Bahawa kita berpegang dengan apa yang dinyatakan oleh para ulama’ yang muktabar : Mengisbatkan apa yang diisbatkan oleh Allah & Rasulullah SAW kenapa pula dituduh sedemikian, kena beri penjelasan!
    Jika yang karut seperti ada yang tak pergi solat Jumaat kerana dakwa solat dengan bunian dan lain-lain itu yang perlu disiasat dan diperiksa.
  1. Anggaplah semua tentangan, komen & kritikan orang itu seperti kemuncup di tengah padang, teruskan perjalanan selepas itu baru buang cucinya, jangan dok layan cabut satu-persatu di tengah jalan, nanti kita tak akan dapat berjalan & kerja sebenar akan tertangguh!
  1. Kata ar-Razi RHM tentang usul yang ketiga ini : Maksudnya Allah perintahkan Nabi SAW supaya sabar dengan perangai buruk puak yang menentang.
    Kata-kata buruk mereka jangan kita jawab, akhlak buruk mereka jangan kita buat seperti mereka juga.
  1. Tetapi ingat walaupun Allah larang kekerasan tetapi peperangan & jihad tetap diteruskan!
    Betul kita diseru untuk maafkan keslaahan orang, jangan peduli puak jahil, tetapi jika mereka menentang Islam kita tetap wajib jalankan hukum jihad!
    Jangan pula atas nama “rahmatan lil-alamin”; mansuhkan undang-undang Syari’ah!
    Itu satu penyelewengan!
  1. Memang Allah jadikan Nabi SAW sebagai rahmatan lil-Alamin, seorang yang amat rahmat & lemah lembut.
    Tetapi ingat tangan yang rahmat & yang lembut itu juga yang menjalankan hukum hudud terhadap mereka yang melanggar perintah Allah!
    Rahmat jika menjalankan Syari’ah tetapi jika tak jalankan Syari’ah atas nama rahmat itu nak meruntuhkan Syari’ah namanya!
  1. Ayat ini ditafsirkan dengan firman Allah ini:

    {Dan hamba-hamba (Allah) Ar-Rahman (yang diredhaiNya), ialah mereka yang berjalan di bumi dengan sopan santun, dan apabila orang-orang yang berkelakuan kurang adab, hadapkan kata-kata kepada mereka, mereka menjawab dengan perkataan yang selamat dari perkara yang tidak diingini;} (Al-Furqan 25:63)
  1. Sebuah kisah riwayat dari Ibnu Abbas RA tentang:
    وعن ابن عباس رضي الله عنهما قال‏:‏ قدم عيينة بن حصن فنزل على ابن أخيه الحر بن قيس، وكان من النفر الذين يدنيهم عمر رضي الله عنه، وكان القراء أصحاب مجلس عمر رضي الله عنه ومشاورته كهولاً كانوا أو شباناً، فقال عيينة لابن أخيه ‏:‏ يا ابن أخي لك وجه عند هذا الأمير فاستأذن لي عليه، فاستأذن فأذن عمر‏.‏ فلما دخل قال‏:‏ هِىَ يا ابن الخطاب، فوالله ما تعطينا الجزل ولا تحكم فينا بالعدل، فغضب عمر رضي الله عنه حتى همّ أن يوقع به، فقال له الحر‏:‏ يا أمير المؤمنين إن الله تعالى قال لنبيه صلى الله عليه وسلم‏:‏ ‏{‏خذ العفو وأمر بالعرف وأعرض عن الجاهلين‏}‏ ‏(‏‏(‏الأعراف ‏:‏198‏)‏‏)‏‏.‏ وإن هذا من الجاهلين، والله ما جاوزها عمر حين تلاها، وكان وقافاً عند كتاب الله تعالى‏.‏ ‏(‏‏(‏رواه البخاري‏)‏
    Seorang yang bernama Uyainah bin Hisn, datang ke Madinah sebagai tamu kepada anak saudaranya, al-Hurr bin Qais RA.
    Al-Hurr adalah seorang yang rapat dengan Sayyidina Umar RA dan sering diajak bermusyawarah, kerana para ahli pembaca al-Quran, yang pandai maknanya, adalah sahabat-sahabat yang menjadi ahli majlis Umar RA, serta orang-orang yang diajak bermusyawarah olehnya, baik orang-orang tua mahupun yang masih muda usianya.
    Uyainah minta kepada al-Hurr untuk meminta izin dia berjumpa dengan Khalifah Umar lalu dibenarkan.
    Setelah diizinkan bertemu, Uyainah terus berkata kepada Sayidina Umar RA : “Wahai Ibnu al-Khattab, demi Allah SWT, kamu tidak memberi banyak kepada kami dan tidak pula memimpin dengan adil.”
    Mendengar kata-kata yang kasar dan tidak beradab itu, Umar menjadi sangat marah sehingga hampir menghukum Uyainah.

    Namun, al-Hurr dengan segera mengingatkan Sayidina Umar RA akan firman Allah SWT dalam al-Quran:
    خُذِ ٱلۡعَفۡوَ وَأۡمُرۡ بِٱلۡعُرۡفِ وَأَعۡرِضۡ عَنِ ٱلۡجَـٰهِلِینَ
    Maksudnya: {Terimalah apa yang mudah engkau lakukan, dan suruhlah dengan perkara yang baik, serta berpalinglah (jangan dihiraukan) orang-orang yang jahil (yang degil dengan kejahilannya).} [Al-A‘raf: 199].
    (Yakni maksudnya Uyainah, adalah termasuk golongan orang-orang yang jahil maka jangan ambil kira).
    Setelah mendengar ayat tersebut, Sayyidina Umar segera tunduk dan meredakan kemarahannya sehingga tidak jadi menghukum Uyainah
    . [HR Bukhari].
    Kisah ini membuktikan betapa tingginya kepatuhan Umar bin al-Khattab terhadap setiap perintah daripada Allah SWT.
  1. Jika orang tak tahu lawan kita kena ajarnya tetapi jika orang yang tahu lawan, kita biarkan dia tak perlu lawan lagi!
    Yakni apabila kita larang orang tak dengar, maka buat tak tahu ajalah.

AYAT 200- {DAN JIKA ENGKAU DIHASUT OLEH SESUATU HASUTAN DARI SYAITAN, MAKA MINTALAH PERLINDUNGAN KEPADA ALLAH, SESUNGGUHNYA ALLAH MAHA MENDENGAR, LAGI MAHA MENGETAHUI.} (AL-A’RAF 7:200)

  1. Munasabah ayat:
    i- Syaitan ini adalah musuh manusia, yang cuba menyesatkan manusia sejak dari sulu, kini dan selamanya.
    Itu kerja syaitan, nak melagakan sesama manusia, terutamanya sesama Islam, hatta suami isteri mahu diceraikan!

    ii- Maka Allah SWT ajar dalam ayat ini, apabila syaitan mari kacau & ganggu kamu, maka mintalah perlindungan dari Allah.
    {فَٱسْتَعِذْ بِٱللَّهِ}.
  1. Hadis riwayat, Dari ‘Adiy bin Tsabit dari Sulaiman bin Shurad berkata:
    عَنْ عَدِيِّ بْنِ ثَابِتٍ عَنْ سُلَيْمَانَ بْنِ صُرَدٍ قَالَ:
    كُنْتُ جَالِسًا مَع
    النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَرَجُلَانِ يَسْتَبَّانِ
    فَأَحَدُهُمَا احْمَرَّ وَجْهُهُ وَانْتَفَخَتْ أَوْدَاجُهُ
    فَقَالَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِنِّي لَأَعْلَمُ كَلِمَةً لَوْ قَالَهَا ذَهَبَ عَنْهُ مَا يَجِدُ لَوْ قَالَ: أَعُوذُ بِاللَّهِ مِنْ الشَّيْطَانِ. ذَهَبَ عَنْهُ مَا يَجِدُ. فَقَالُوا لَهُ إِنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ تَعَوَّذْ بِاللَّهِ مِنْ الشَّيْطَانِ. فَقَالَ وَهَلْ بِي جُنُونٌ.

    Maksudnya: “Aku sedang duduk bersama Nabi SAW dan ada dua orang yang sedangkan saling mencaci. Seorang diantaranya merah wajahnya dan urat
    lehernya menegang.
    Maka Nabi SAW bersabda:
    “Sesungguhnya aku mengetahui satu kalimat yang bila diucapkan akan hilang apa yang sedang dialaminya.
    Seandainya dia mengatakan: Aku berlindung kepada Allah dari syaitan,
    (
    أَعُوذُ بِاللَّهِ مِنْ الشَّيْطَانِ) “.
    Lalu ada sahabat mengatakan kepada orang tersebut kalimah itu; “Sesungguhnya Nabi SAW bersabda; “Berlindunglah kamu kepada Allah dari syaitan”.
    Orang itu berkata: “Apakah aku sudah gila?”

    (HR Bukhari No: 3040).
    Pernah apabila Nabi SAW tegur seorang lelaki lain begini, dia menjawab kembali: Apakah kamu ingat aku gila???
    Begitulah orang marah ini dia seolah sudah tidak sedar & hilang pertimbangan, kerana itu kita berpalinglah dulu dari mereka sehingga reda kemarahannya.
  1. Di akhir ayat Allah kata: Sesungguhnya Allah Maha Mendengar, apa yang diganggu oleh syaitan serta lagi Maha Mengetahui apa yang ada dalam diri kamu!
  1. Yakni Nabi SAW ajar kepada kita untuk berlindung dengan Allah daripada gangguan syaitan!

AYAT 201- {SESUNGGUHNYA ORANG-ORANG YANG BERTAQWA, APABILA MEREKA DISENTUH OLEH SESUATU IMBASAN HASUTAN DARI SYAITAN, MEREKA INGAT (KEPADA AJARAN ALLAH) MAKA DENGAN ITU MEREKA NAMPAK (JALAN YANG BENAR).} (AL-A’RAF 7:201)

  1. Munasabah ayat:
    i- Dalam ayat yang lepas Allah ajar kepada Nabi SAW jika ada gangguan syaitan, maka mintalah perlindungan dengan Allah

    ii- Dalam ayat ini adalah tip yang kedua; jika jika ada gangguan lintasan syaitan kepada orang yang bertaqwa, sedikit gangguan bagi orang yang beriman.
    Kena cepat-cepat ingat kepada Allah supaya waswas gangguan syaitan itu hilang segera!
  1. Orang yang bertaqwa, yang sentiasa melakukan kebaikan, sesekali ada juga datang gangguan syaitan seperti lintasan atau imbasan; dia kena cepat-cepat ingat kepada Allah SWT!
  1. Orang beriman kena cepat ingat akan keagungan Allah Azza wa Jalla.
    Kena ingat jika dia buat benda yang tidak betul, banyak kerosakannya:
    i- Dimurkai Allah SWT.

    ii- Menyalahi Sunnah Nabi SAW.

    iii- Menjatuhkan maruah.
    Kerana orang marah tidak akan sedar & tak dapat kawal dirinya!
  1. Maka kena cepat-cepat ingat kepada Allah agar segera hilang gangguan syaitan itu! Insya’ Allah orang yang bertaqwa akan mudah sedar & mudah nampak jalan yang benar!
  1. Zaman sekarang ini kita kena ingat banyak benda yang tidak jelas, juga betapa komen & pandangan netizen akan memasukkan lintasan waswas ke dalam hati kita!
  1. Seperti seseorang yang nak puji atau ceritakan kehebatang gurunya tetapi diceritakan apa yang tak patut dan amat tak sesuai bagi taraf seorang guru atau orang alim dalam Islam sehingga menjatuhkan maruah atau kredibilitinya pula! Nak tunjuk hebat tapi jadi fitnah pula!
    Jangan jadi seperti beruang yang menjaga tuannya, nak halau lalat yang hinggap di pipi tuannya ditampar dengan kukunya yang tajam. Walaupun tujuan baik tetapi boleh mencederakan tuannya!

AYAT 202- {SEDANG SAUDARA (PENGIKUT) SYAITAN-SYAITAN, DIBANTU OLEH SYAITAN-SYAITAN ITU DALAM MELAKUKAN KESESATAN, KEMUDIAN MEREKA TIDAK BERHENTI-HENTI (MELAKUKAN PERBUATAN YANG SESAT LAGI MENYESATKAN ITU).} (AL-A’RAF 7:202)

  1. Allah ceritakan bahawa sesama syaitan itu mereka ada penolong & pembantunya.
    Geng syaitan ini boleh jadi dari manusia & jin. Mereka inilah yang dok kempen ajak orang kepada maksiat & sekat orang dari jalan kebenaran.
  1. Syaitan amat bijak memesong & menyesatkan orang ramai!
    Ia akan mengajar manusia helah-helah yang boleh menghalalkan apa yang Allah larang & haramkan.
    Tidak ada malu kepada manusia apatah lagi kepada Tuhan!
  1. Lalu mereka tidak akan berhenti daripada melakukan kejahatan & perbuatan sesat itu!
    Menipu atas nama strategi, rasuah atau riba atas nama ekonomi, janji tak tunai atas nama peluang dan seumpamanya!

AYAT 203- {DAN APABILA ENGKAU (WAHAI MUHAMMAD) TIDAK MEMBAWA KEPADA MEREKA SESUATU AYAT AL-QURAN (SEBAGAIMANA YANG MEREKA KEHENDAKI), BERKATALAH MEREKA (SECARA MENGEJEK): “MENGAPA ENGKAU TIDAK BERSUSAH PAYAH MEMBUAT SENDIRI AKAN AYAT ITU?” KATAKANLAH: “SESUNGGUHNYA AKU HANYA MENURUT APA YANG DIWAHYUKAN KEPADAKU DARI TUHANKU. AL-QURAN INI IALAH PANDUAN-PANDUAN – YANG MEMBUKA HATI – DARI TUHAN KAMU, DAN PETUNJUK SERTA MENJADI RAHMAT BAGI ORANG-ORANG YANG BERIMAN”.} (AL-A’RAF 7:203)

  1. Syaitan ajar kepada puak kafir ini untuk serang Nabi SAW dengan meminta mukjizat dan tanda-tanda yang pelik sebagai tanda tak percaya.
  1. Lalu puak kafir ini sering menuntut Nabi SAW mengadakan sesuatu yang tak logik dan di luar akal manusia seperti minta bukit jadi emas, sungai mengalir di Makkah dan seumpamanya.
    Jika tak ada suruh Nabi reka sendiri.
  1. Maka Allah SWT ajar kepada Nabi SAW untuk menyatakan bahawa Nabi SAW bukan boleh reka & buat sendiri.
    Semua itu, ayat al-Quran & mukjizat yang ada; datang dari Allah SWT bukan rekaan.
  1. Rasulullah SAW beri jawapan yang mantap dengan panduan dari Allah; bahawa semua alamat & tanda-tanda ini datang dari Allah.
    Al-Quran ini petunjuk kepada orang yang beriman; siapa yang nak jalan yang baik & selamat maka ikutlah al-Quran.

PENUTUP & FAEDAH :

  1. Ayat 199- {Terimalah apa yang mudah engkau lakukan, dan suruhlah dengan perkara yang baik, serta berpalinglah (jangan dihiraukan) orang-orang yang jahil (yang degil dengan kejahilannya).}-

    Ayat ini mengandungi 3 kaedah Syara’ dalam arahan & larangan.
    i- Pertama: Kita ambil yang mudah & simple dalam akhlak manusia.
    Kita jangan berbalah sesama manusia, perkara yang boleh toleransi dan tolak ansur kita berlembut.
    Tetapi prinsip aqidah & tauhid tidak boleh berlembut, perbuatan yang salah jangan sesekali kita bertoleransi!

    ii- Suruh benda baik & larang yang mungkar.

    iii- Yang ketiga lari tinggalkan orang jahil yang tak mahu dengar selepas kita nyatakan kebenaran, dan tegurnya dengan cara yang baik & berhikmah.
    Ayat ini mengajar kita adab dalam bergaul dengan sesama manusia, mesti ada etika & peraturan agar kita tidak berkelahi & aman.
    Allah juga ajar cara bagaimana berinteraksi dengan orang yang buat salah.
    Jika mereka tak dengar sesudah kita nasihat & larang, tak dengar juga tinggalkan mereka, tumpu kepada usaha dakwah lain!
    Jika tidak kerja sebenar kita akan tertinggal jika dok layan mereka itu!
  1. Ayat 200- {Dan jika engkau dihasut oleh sesuatu hasutan dari Syaitan, maka mintalah perlindungan kepada Allah ..}–

    Kita minta perlindungan dengan Allah SWT kerana dua sebab:
    i- Kerana Allah-lah yang menyelamatkan kita. Jika minta perlindungan dengan orang lain tak jadi!

    ii- Bila kita minta dengan Allah, kita akan ingat tugas kita iaitu kita kena lawan syaitan!
    Nak lawan syaitan ada caranya:
    i- Lawan dengan zikir, minta perlindungan dengan Allah.

    ii- Lawan dengan ilmu & kefahaman!
    Allah cerita bahawa syaitan itu musuh, kerjanya nak rosakkan kita, maka kita kena ingatlah syaitan itu musuh kita jangan jadikannya kawan kita pula.
    Kena lawan sama ada syaitan jin atau syaitan manusia!
  1. Ayat 201- {Sesungguhnya orang-orang yang bertaqwa, apabila mereka disentuh oleh sesuatu imbasan hasutan dari Syaitan,…}-

    Syaitan cuba rosakkan manusia yang baik dengan lintasan dalam hati.
    Ditiupnya dalam hati secara halus perasaan yang boleh merosakkan iman kita.
    Kadang-kadang orang yang bertaqwa & soleh dikacau syaitan juga!
    Orang yang rajin buat amal ibadat dimasuki melalui penyakit hati seperti riya’, ujub atau takabbur.
    Orang yang memang kasar dan ingar akan dihasut untuk buat keburukan & maksiat.
    Kerana itulah antara penawar besar yang Allah ajar kepada kita ialah ingat kepada Allah dengan berzikir serta ingat akan kesan keburukan perbuatan maksiat itu!
  1. Ayat 202- {Sedang saudara (pengikut) Syaitan-syaitan, dibantu oleh Syaitan-syaitan itu dalam melakukan kesesatan…}-

    Syaitan ini juga ada geng, kawan-kawan dan pembantunya {إِخْوَٰنُهُمْ}!
    Puak syaitan ini terdiri daripada sama ada jin atau manusia, keduanya boleh jadi geng syaitan!
    Kita pun jika nak berkawan jangan ikut & berkawan dengan syaitan!
    Syaitan manusia yang tidak solat yang suka buat maksiat jangan kita berkawan.
    Pilihlah mereka yang baik dan jauhi gemg yang tidak, kerana mereka akan memberi pengaruh buruk kepada kita!
    Syaitan ini akan kacau orang yang yang memang ahli maksiat dengan caranya, manakala orang ahli ibadat akan dikacau juga.
    Sama ada dengan penyakit dalam hati atau malas dan ringan dalam ibadat pula.
    Datang awal masjid tapi bukan solat sunat tetapi berbual dengan kawan sehingga lewat solat, tak masuk saf awal dan seumpamanya.
    Syaitan ini bermacam jenisnya, yang penting dia mengganggu mengacau kita!
    Kita kena ingat Syaitan ada gengnya mengikut lorong yang sesuai.
    Syaitan masjid tak sama dengan syaitan di tempat pesta, masing-masing ada caranya!
  1. Ayat 203- { Katakanlah: “Sesungguhnya aku hanya menurut apa yang diwahyukan kepadaku dari Tuhanku. Al-Quran ini ialah panduan-panduan – yang membuka hati – dari Tuhan kamu..}-

    Kita wajib ikut Nabi.
    Walaupun sekarang Nabi SAW dah wafat, tetapi Baginda tinggalkan al-Quran & ajarannya.
    Maka kita ikut al-Quran & Sunnah yang diajar oleh Baginda SAW.
    Allah kata, Al-Quran ini sebagai pedoman hidup, pemandu arah yang ditinggalkan oleh Nabi SAW maka jika nak selamat kita ikutlah al-Quran & Sunnah Nabi SAW.
    Jika tak mahu selamat ikutlah apa yang orang kata & buat; lalu apa nak jadi-jadilah!

Alhamdulillah tamatlah kuliah tafsir kita untuk hari ini, semoga memberi manfaat & kebaikan dunia Akhirat.

Insya’ Allah besok kita akan khatam surah A’raaf ini.

Wallahu A’lam.

Powered by BetterDocs