View Categories

(58) Surah Al-A’raf : Ayat 204-206

Adab Mendengar Al-Quran, Cara Berzikir Yang Betul & Malaikat Sentiasa Beribadat.

Full video : https://youtu.be/Qb7cnM-W-ck?si=sporMtvb-PRxJrpS =

MUQADDIMAH :

  1. Alhamdulillah pada hari ini kita dapat tamatkan pengajian kita dalam tafsir Surah Al-A’raf ini dengan ayat 204 sehingga ayat 206 dalam juzuk kesembilan dengan 58 siri keseluruhannya.
    Ini adalah antara nikmat yang besar dari Allah kepada kita kerana dapat bersama al-Quran pada setiap pagi alhamdulillah jika tidak kita akan hanyut dan lagha entah ke mana.
    Peringatan terdapat ayat sujud tilawah pada ayat yang terakhir iaitu ayat 206.
  1. Dalam siri ini Allah SWT nyatakan adab ketika mendengar bacaan al-Quran; kita kena diam & perhati.
    Jangan dok buat hingar-bingar seperti di kedai ikan atau bertempik seperti di stadium.
  1. Kedua Allah nyatakan adab ketika berdoa dan cara berzikir yang betul; dengan suara yang perlahan, penuh khusyuk, jangan bertempik melaung serta tidak diiringi dengan lagu & muzik dapat di gereja.
  1. Kemudian Allah nyatakan salah satu makhluk-Nya ialah malaikat yang mulia, yang sentiasa beribadat, bertasbih & sujud kepada Allah serta tidak pernah mengingkarinya.
  1. Munasabah dengan ayat sebelumnya:
    i- Dalam ayat yang lepas Allah SWT nyatakan bahawa Al-Quran adalah kitab hidayah, kitab petunjuk, obor yang menjadi penerang jalan kamu untuk ke Akhirat; bagaimana kamu nak dapat manfaat darinya?

    ii- Maka datang ayat ini menyatakan caranya adalah dengan; dengar & diam, fikir & tadabbur serta hayati dan perhati supaya kamu dapat manfaatnya.
    Suasana & keadaan pun kena diam & tenang.

أَعُوذُ بِاَللَّهِ السَّمِيعِ الْعَلِيمِ مِنْ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ

AYAT 204- {DAN APABILA AL-QURAN ITU DIBACAKAN, MAKA DENGARLAH AKAN DIA SERTA DIAMLAH (DENGAN SEBULAT-BULAT INGATAN UNTUK MENDENGARNYA), SUPAYA KAMU BEROLEH RAHMAT.} (AL-A’RAF 7:204)

  1. Allah ajar kepada kita apabila mendengar al-Quran dibaca; maka,
    i- Maka dengarkanlah akan ia {فَٱسْتَمِعُوا۟}, kamu kena mendengarnya,

    ii- Serta diamlah {وَأَنصِتُوا۟}, diam serta sampaikan hati & lapangkan dada.
    Ini dua arahan yang berbeza, jika dengar saja tetapi dalam keadaan bising, tak jadi juga.
    Atau dalam keadaan diam tetapi kamu tak dengar!
  1. Imam Ahmad ketika menafsirkan ayat ini:
    i- Ulama’ tafsir kata : Ayat ini diturunkan untuk orang yang sedang solat, makmum kena dengar ketika imam baca ayat al-Quran.

    ii- Ada ulama’ kata : Ketika imam sedang berkhutbah, jemaah kena diam & dengarnya, tak boleh lagi bercakap hatta berzikir.
  1. Kata Syeikh Sa’adi pula : Ayat ini turun umum untuk semua orang dalam semua keadaan, sama ada ketika solat, khutbah atau dalam apa majlis sahaja.
  1. Apa perbezaan (الفرق) pula antara:
    i- Diam {وَأَنصِتُوا۟}, senyap pada zahirnya tak bercakap, tak buat kerja lain.

    ii- Dengar {فَٱسْتَمِعُوا۟}, ini adalah tambahan kepada diam.
    Telinga kita perhati dan mendengarnya, hati berfikir akan apa yang disampaikan serta kita tadabbur akan maksudnya.
  1. Kedua adab ini mesti serentak dan bersama dalam adab mendengar al-Quran barulah kita akan mendapat rahmat Allah.
  1. Nota: Setelah Allah terangkan tentang faedah al-Quran al-Karim maka Allah terangkan cara untuk mendapat rahmat serta faedah yang terkandung dalam al-Quran.
    Iaitu dengan mendengarnya dengan sebaik apabila al-Quran dibaca sera diam dengan penuh ingatan untuk memahami makna dan pengajarannya.
  1. Hari ini manusia nampaknya kurang adab ini, apabila mendengar al-Quran orang ramai lebih fokus kepada lagu yang dibaca.
    Walaupun Qari sedangkan membaca ayat-ayat tentang azab siksa pun mereka bersorak gembira dan memuji kagum dengan suara & lagunya.
  1. Begitu juga para pembaca al-Quran, jangan baca dengan lagu & taranum semata; tetapi bacalah dengan tadabbur, memahaminya serta mencari hidayah dalam al-Quran.

AYAT 205- {DAN SEBUTLAH SERTA INGATLAH AKAN TUHANMU DALAM HATIMU, DENGAN MERENDAH DIRI SERTA DENGAN PERASAAN TAKUT (MELANGGAR PERINTAHNYA), DAN DENGAN TIDAK PULA MENYARINGKAN SUARA, PADA WAKTU PAGI DAN PETANG DAN JANGANLAH ENGKAU MENJADI DARI ORANG-ORANG YANG LALAI.} (AL-A’RAF 7:205)

  1. Ayat ini pula Allah ajar cara & adab untuk berzikir kepada Allah.
  1. Munasabah ayat:
    i- Dalam ayat Allah yang lepas Allah perintahkan kepada Nabi SAW untuk menyampaikan al-Quran serta perintahkan para pendengar al-Quran dengan dua adab iaitu dengar & diam.
    Allah juga perintahkan Rasulullah SAW untuk membaca al-Quran dengan suara yang didengari!
    Jika tidak macamana nak sampaikan al-Quran kepada orang kafir.

    ii- Maka datang ayat ini Allah ajar ketika nak berzikir kena perlahankan suara.
    Zikir khas adalah antara kita dengan Tuhan maka tak perlulah kita melaung bertempik mengangkat suara.
    Manakala waktu zikir yang diajurkan ialah pada waktu pagi & petang serta zikir-zikir yang berwaktu lain seperti selepas solat dan lain-lain.
  1. Dalam ayat ini Allah suruh kita berzikir iaitu mengingati Allah dengan hati:
    i- Dengan merendah diri serta dengan perasaan takut jika kita telah melanggar perintahnya,

    ii- Dan dengan tidak pula menyaringkan suara.
    Kerana ini hanya khas antara kita dengan Allah. Tak perlu orang lain dengar dan tahu.
  1. Kata Syeikh ar-Razi RHM : Ayat ini walaupun nampaknya ditujukan kepada Nabi SAW tetapi ia juga umum ditujukan kepada kita semua.
    Zikir lidah kena bergerak tanpa kuat, manakala fikir baru diam hanya dalam hati.
  1. Jika berzikir ini lidah mesti bergerak dan ada suara yang dapat didengar dengan lidah kita, jangan kuat, yang penting lidah bergerak.
    Jika tidak itu menjadi fikir atau niat sahaja.
    Majoriti ulama’ kata : Zikir itu dengan lidah serta secara perlahan & tersembunyi.
    Allah sebut dalam al-Quran, zikir dengan perlahan.
  1. Ini adalah adab pertama dalam berzikir jangan angkat keraskan suara, berzikir dengan perlahan dan penuh ketenangan.
    Berlawanan dengan manusia hari ini apabila berzikir kena bertempik & melaung bahkan guna mikrofon yang berkilometer boleh didengar!
  1. Kata Ibnu Asyur : Zikir ini juga termasuk dalam membaca al-Quran, kena bergerak lidah dan ada ada bunyi untuk telinga kita sendiri!
  1. Semua ucapan memuji Allah serta semua kalimah tauhid & doa seperti:
    سُبْحَانَ اللَّهِ، وَالْحَمْدُ لِلَّهِ، وَلاَ إِلَـٰهَ إِلاَّ اللَّهُ، وَاللَّهُ أَكْبَرُ-
    semuanya kena ada gerak lidah!
  1. Yang terbaik kita jamakkan antara dua amalan hati & lisan iaitu zikir & fikir tadabbur.
    Lidah bergerak kita baca dengan perlahan, hati kita memikirkan keagungan Allah SWT dengan ayat atau zikir yang kita baca!
  1. Kita juga kena berzikir kepada Allah dengan merendah diri & perasaan penuh takut kepada Allah.
    Tidak mungkin kita boleh menjiwai zikir atau doa itu jika tidak memahaminya!
    Kita ingat & berzikir kepada Allah dengan penuh khusyuk & tawadhuk, merendah diri, tunduk akur kod perintah Allah & hati gementar takut kepadanya.
    Ini adab yang kedua!
  1. Ini adab ketiga iaitu jika kita berzikir atau membaca dalam solat seperti menjadi imam, boleh baca secara sederhana jangan terlalu nyaring dan kuat atau terlalu perlahan jika kita imam.
  1. Sebagaimana firman Allah SWT ini:
    {Dan janganlah engkau nyaringkan bacaan doa atau sembahyangmu, juga janganlah engkau perlahankannya, dan gunakanlah sahaja satu cara yang sederhana antara itu.} (Al-Isra’ 17:110)
  1. Hadis, dari Abu Musa al-‘Asya’ari RA :
    كنا مع رسول الله صلى الله عليه وسلم في غَزَاة فجعلنا لا نصعد شَرَفًا، ولا نعلو شَرَفًا، ولا نهبط واديًا إلا رفعنا أصواتنا بالتكبير. قال: فدنا منا فقال:
    “يا أيها الناس، أرْبعُوا على أنفسكم؛ فإنَّكم لا تدعون أصمّ ولا غائبًا، إنما تدعون سميعًا بصيرًا، إن الذي تدعون أقربُ إلى أحدكم من عُنُق راحلته.
    يا عبد الله بن قيس، ألا أعلمك كلمة من كنوز الجنة؟
    “ لا حول ولا قوة إلا بالله”

    Ketika kami bersama Rasulullah SAW di dalam sebuah peperangan, tidaklah kami mendaki tanah tinggi, memanjat bukit, dan menuruni lembah, melainkan kami meninggikan suara ketika bertakbir.
    Kemudian Baginda SAW pun mendekati kami lalu bersabda:
    Wahai sekamu manusia, tahanlah diri kamu, sesungguhnya kamu tidak berdoa kepada yang pekak dan yang ghaib, sesungguhnya kamu berdoa kepada Tuhan yang Maha mendengar dan Maha melihat.
    Sesungguhnya Tuhan yang kamu seru itu lebih dekat kepada seseorang di antara kamu daripada leher binatang tunggangannya.
    Wahai ‘Abdullah Bin Qais, mahukah engkau aku ajarkan sebuah kalimah yang termasuk perbendaharaan Syurga? Iaitu ucapan:

    “ لا حول ولا قوة إلا بالله”
    (Tidak ada daya dan kekuatan melainkan hanya dengan pertolongan Allah). [HR Ahmad, Musnad Ahmad, no. 19599.].
  1. Adab yang seterusnya berzikirlah dengan masa yang tetap.
    Antara waktu yang penting untuk berzikir ialah pada waktu pagi & petang.
    Waktu yang paling afdhalnya;
    i- Pagi bermula selepas solat subuh sehingga naik matahari.
    Jika tak sempat sehingga dhuha atau zohor, Tetapi yang afdhalnya awal tadilah.

    ii- Waktu petang yang afdhalnya selepas solat asar sehingga maghrib, jika tak sempat sehingga Isya atau selepasnya.
  1. Sebagaimana firman Allah SWT:
    i- {وَٱذْكُرِ ٱسْمَ رَبِّكَ بُكْرَةًۭ وَأَصِيلًۭا},
    {Dan sebutlah dengan lidah atau dengan hati akan nama Tuhanmu (di dalam dan di luar sembahyang), pada waktu pagi dan petang;} (Al-Insan 76:25)

    ii- {وَسَبِّحُوهُ بُكْرَةًۭ وَأَصِيلًا}
    {Dan bertasbihlah kamu kepadaNya pada waktu pagi dan petang.} (Al-Ahzab 33:42)
  1. Kemudian Allah mengingatkan di akhir ayat agar: {..dan janganlah engkau menjadi dari orang-orang yang lalai.}.
    Maksudnya setiap masa kita kena berzikir jangan lupa & lalai.
  1. Kata seorang ulama’ hadis & feqah yang masyhur, Abu Amru ibnu as-Solah : Antara zikir setiap masa yang kita kena jaga agar tidak jadi orang yang lalai ialah zikir setiap pergerakan.
    Iaitu bermula dari bangun tidur ada doa & zikirnya, kemudian doa masuk & keluar tandas, selepas wudhu’, memakai baju, sebelum & selepas makan minum dan seterusnya, semua pergerakan kita ada zikir, maka kita akan termasuk dalam firman Allah ini :
    {… dan orang-orang lelaki yang menyebut nama Allah banyak-banyak serta orang-orang perempuan yang menyebut nama Allah banyak-banyak, Allah telah menyediakan bagi mereka semuanya keampunan dan pahala yang besar.} (Al-Ahzab 33:35).
    Boleh rujuk kitab Perisai Muslim untuk doa-doa & zikir sepanjang hari:
    Perisai Muslim https://dartaibah.com/…/Perisai-Muslim-RUMI-Cetakan…
  1. Kata ulama’ : Zikir pergerakan inilah yang ikut Sunnah Nabi SAW, bukan kata pergi bertapa dalam gua, berzikir berjuta-juta kali seperti yang dikata oleh ahli tarikat yang tidak ikut Sunnah Nabi.
  1. Kesimpulannya Allah ajar kepada kita:
    i- Cara berzikir, dengan perlahan & hati yang khusyuk.

    ii- Dengan masa yang tetap, pagi petang & jangan lupa pada semua masa & pergerakan kita!

AYAT 206- {SESUNGGUHNYA MEREKA (MALAIKAT) YANG ADA DI SISI TUHANMU TIDAK BERSIKAP ANGKUH (INGKAR) DARIPADA BERIBADAT KEPADANYA, DAN MEREKA PULA BERTASBIH BAGINYA, DAN KEPADANYALAH JUA MEREKA SUJUD.} (AL-A’RAF 7:206)

  1. Ini adalah ayat sejadah yang pertama dalam al-Quran iaitu pada akhir Surah Al- A’raf.
  1. Munasabah ayat:
    i- Dalam ayat yang lepas Allah suruh kita bezikir pada setiap waktu pagi & petang.

    ii- Maka dalam ayat ini Allah nyatakan ada satu lagi makhluk-Nya yang bernama malaikat, yang kerjanya sentiasa beribadat kepada Allah, bertasbih berzikir kepada Allah setiap waktu!
    Mereka adalah hamba-Nya yang sentiasa tunjuk sujud merendah diri kepada Allah, tidak pernah bersikap angkuh dan ingkar kepada Allah.
  1. Manusia yang tidak mahu sujud kepada Allah adalah manusia yang sombong & takabbur.
    Sujud kepada Allah adalah ibadat yang terbesar, orang suruh solat sunat kita enggan, itulah contoh tidak mahu sujud kepada Allah!
    Allah bawa kisah malaikat ini kepada kita sebagai motivasi untuk manusia dalam beribadat serta bahawa kita sangat berhajat kepada rahmat Allah SWT.
  1. Hadis Sabda Nabi SAW:
    “إِنِّي أَرَى مَا لَا تَرَوْنَ، وَأَسْمَعُ مَا لَا تَسْمَعُونَ أَطَّتِ السَّمَاءُ، وَحُقَّ لَهَا أَنْ تَئِطَّ مَا فِيهَا مَوْضِعُ أَرْبَعِ أَصَابِعَ إِلَّا وَمَلَكٌ وَاضِعٌ جَبْهَتَهُ سَاجِدًا لِلَّهِ”.
    Maksudnya: “Sesungguhnya aku melihat apa yang kamu tidak lihat, aku mendengar sesuatu yang tidak kamu dengar. Langit merintih dan layak baginya untuk merintih. Tidak ada satu ruang selebar 4 jari, kecuali di sana ada malaikat yang sedang meletakkan dahinya, bersujud kepada Allah.” [HR at-Tirmizi & Ibnu Majah].
    Terlalu ramainya bilangan malaikat serta sangat hebat kepatuhan mereka kepada Allah sentiasa bersujud kepada-Nya.

PENUTUP & FAEDAH :

  1. Ayat 204- {Dan apabila Al-Quran itu dibacakan, maka dengarlah akan dia serta diamlah (dengan sebulat-bulat ingatan untuk mendengarnya), supaya kamu beroleh rahmat.}-

    Allah SWT ajar kepada kita dalam ayat ini adab mendengar al-Quran.
    i- Adab pertama apabila berada dalam majlis al-Quran kena diam!
    Jika berasa tidak boleh diam jangan pergi ke majlis orang baca al-Quran atau majlis tilawah!

    ii- Dengar, tadabbur perhati apa yang Allah nak sampaikan kepada kita melalui al-Quran.
    Inilah adabnya mendengar al-Quran; jika berada dalam majlis al-Quran, tak perlu kita berzikir atau buat benda lain kerana hati manusia tidak dapat fokus kepada dua perkara dalam masa yang sama!

    Kata ulama’ : Sesiapa yang cukup dua syarat adab ini dia akan mendapat banyak manfaat & ilmu daripada al-Quran, menambahkan keimanan, menguatkan taqwa dan dapat janji di akhir ayat akan mendapat rahmat Allah!
    Rahmat Allah sangat besar & banyak kepada orang yang mendengar al-Quran.
    Peringatan kepada mereka yang terlebih wara’, serta salah guna al-Quran:
    i- Penternak binatang seperti ayam atau seumpamanya, yang memasang bacaan al-Quran untuk ayam mereka agar ayam tak tidur dan makan supaya cip besar!
    Ayat al-Quran diturunkan kepada manusia bukan kepada ayam!
    Bukan bahan untuk ayam makan tetapi diturunkan Allah untuk kita dengar, tadabbur dan amal hukumnya.
    Bagi orang yang sibuk dengan taranum semata : Kena campur antara taranum dan tadabbur, orang yang suara sedap itu adalah bonus & anugerah dari Allah, tetapi kena faham sekali & tadabbur maknanya.
    Jangan baca dengan lidah saja tetapi kena sekali dengan hati.
    Kena jamak sekali, bacaan yang bagus dan maknanya difahami.
    Baca al-Quran kena ada adab & SOP-nya barulah kita akan dapat manfaat yang besar dari al-Quran.
    Bagi pengendali-pengendali kelas al-Quran sila jaga adab & SOP ini di dalam kelas-kelas anda.
  1. Ayat 205- {Dan sebutlah serta ingatlah akan Tuhanmu dalam hatimu, dengan merendah diri serta dengan perasaan takut (melanggar perintahnya), … dan janganlah engkau menjadi dari orang-orang yang lalai.}-

    Dalam ayat ini Allah ajar kepada kita adab berzikir.
    i- {.. Dengan merendah diri serta dengan perasaan takut (melanggar perintahnya),}, berzikir dengan khusyuk & tawadhuk merendah diri kepada Allah serta takut akan dosa-dosa kita.

    ii- {… Dan janganlah engkau menjadi dari orang-orang yang lalai.}, ayat ini motivasi untuk memberi semangat agar kita sentiasa ingat & berzikir kepada Allah, jangan sesekali lalai.
    Pagi petang ada zikirnya serta lain-lain zikir pergerakan yang bemula dari kita bangun tidur sehingga nak pejam mata tidur kembali.
    Istiqomahlah dengan zikir yang ada dalam kitab Perisai Muslim yang telah kita usahakan terjemahannya.
    Begitu juga dengan lafaz selawat yang diajar sendiri oleh Rasulullah SAW, kenapa kita nak cari & amal yang lain sedangkan yang ori dari Nabi sudah ada!
    Untuk belian kitab:
    https://dartaibah.com/…/Perisai-Muslim-RUMI-Cetakan…
    Untuk yang PDF boleh minta dengan admin DT: + 60 18-900 0235.
    Alhamdulillah inilah usaha kami supaya masyarakat mudah nak berzikir pagi petang siang malam dengan zikir yang ma’thur (sahih) datang dari Rasulullah SAW yang diajar dan yang dibaca oleh Baginda SAW sendiri.
  1. Ayat 205- {… dan dengan tidak pula menyaringkan suara…}

    Allah ajar dari sudut suara untuk berzikir.
    Antara perlahan & kuat, lihat keadaan, serta kena berzikir dengan khusyuk & tenang.
    Yakni dari sudut suara jangan kuat, sedrhana dari sudut hati dengan tenang & khusyuk.
    Betapa ramai manusia yang beramal & buat tak ikut Sunnah Nabi SAW.
    Contoh:
    a- Seperti zikir selepas solat, imam baca dengan kuat, suara kuat bahkan guna mikrofon lagi tanpa lihat & hiraukan jemaah yang ada di belakang.

    b- Solat jenazah, begitu juga semasa solat jenazah cepat & pendek doa dalam solat, tetapi berlagu bertaranum baca al-Fatihah selepas solat dengan kuat serta berdoa panjang yang tiada kaitan dengan jenazah!
    Sedangkan solat jenazah tujuan utamanya untuk mendoakan mayat itu!

    Betapa jauhnya kita dengan Sunnah Nabi SAW.
    Begitulah apabila orang yang yang tahu, yang ada ilmu diam; maka masyarakat akan menyangka itu perbuatan yang betul & benar!
    Menganggap orang yang tak berzikir kuat atau berzikir secara perlahan itu salah!
    Sedangkan jelas dalam Kitab Feqah kita Imam Syafei ajar : Sunat dan Sunnah untuk kita perlahankan zikri & doa selepas solat.
    Kecuali di belakang kita itu ada orang yang baru mahu belajar seperti muallaf atau kanak-kanak.
    Cukuplah tempoh seminggu dua untuk mereka belajar.
    Bukan 30 tahun masih berzikir dengan kuat bergegar masjid begitu tetapi makmum di belakangnya masih tak pandai-pandai berzikir sendiri!
    Inilah satu kerugian apabila Sunnah tidak diamalkan maka berlakulah seperti sekarang!
    Jadi kita ingatlah larangan Nabi SAW agar jangan baca al-Quran dengan kuat apabila ada orang sedang solat dekat kita, sama juga dengan berzikir, apatah lagi berbual kosong!
  1. Ayat 205- {Dan sebutlah serta ingatlah akan Tuhanmu … pada waktu pagi dan petang dan janganlah engkau menjadi dari orang-orang yang lalai.} –

    Kenapa Allah sebut dua waktu ini pagi & petang.
    Hikmahnya:
    i- Manusia ini pada waktu malam biasanya akan tidur 4-5 jam atau lebih lagi.
    Ketika kita tidur itu senyap begitu tanpa apa-apa zikir & doa.
    Maka apabila kita bangun dari tidur pada waktu pagi kita hidupkan & aktifakan hati kita dengan zikir.

    ii- Selepas asar tiada solat sunat maka diganti dengan zikir waktu petang.

    iii- Dua waktu inilah waktu pertukaran shift malaikat, malaikat siang turun selepas solat subuh & malaikat malam turun selepas solat asar, maka pada dua waktu ini biarlah kita sedang solat & sedang berzikir kepada Allah.

    iv- Ada juga ulama’ kata : Khas dua waktu ini kerana kemuliaannya.
    Maka kita jangan jadi orang yang lalai & leka dalam mengingati Allah pada setiap waktu.
    Ya Allah jadikan kami dari orang yang sentiasa berzikir kepada Allah pada watu pagi & petang.
  1. Ayat 206- {Sesungguhnya mereka (malaikat) yang ada di sisi Tuhanmu tidak bersikap angkuh (ingkar) daripada beribadat kepadaNya, dan mereka pula bertasbih bagiNya, dan kepadaNyalah jua mereka sujud.}-

    Dalam ayat ini Allah sebut sifat malaikat yang mulia.
    Iaitu sifat mereka:
    i- Mereka sentiasa bertasbih kepada Allah dengan lidah, ini ibadat dengan hati atau lidah.

    ii- Mereka juga sujud kepada Allah, ini ibadat anggota badan secara fizikal tunduk kepada Allah.
    Berdasarkan dua tertib (susunan) ini ulama’ kata : Ibadat kita bermula dengan ibadat hati kemudian dengan amalan anggota, bertasbih & sujud.
    Dua ibadat ini kena seiring & serentak, keduanya adalah ibadat kepada Allah.
    Peringatan untuk semua saudara kita:
    Maka semak ibadat kita, muhasabah diri & kesihatan kita, bagi yang tidak dapat melakukan solat dengan sempurna (yang solat atas kerusi atau sambil duduk) sudah berapa lama kita tidak rukuk atau sujud dengan sempurna???
    Apakah masih di tahap itu atau sudah semakin baik?
    Cubala usaha yang terbaik, hanya diri kita yang tahu keupayaan dan kemampuan kita!
    Sedangkan malaikat tidak sombong untuk beribadat sama ada dengan lidahnya atau dengan anggotanya.
    Semoga Allah beri taufiq kepada kita untuk hidup sebagai orang yang beriman, yang pagi petang siang malam sentiasa berzikir kepada Allah SWT dan matikanlah kami dalam husnul-khatimah.

Alhamdulillah tamatlah kuliah tafsir kita untuk hari ini untuk Surah Al-A’raf, semoga memberi manfaat & kebaikan dunia Akhirat.

Ya Allah berikanlah kami kefahaman, cintakan al-Quran, cintakan Sunnah Nabi SAW, dapat beramal apa yang diajar oleh Nabi SAW, orang yang sentiasa berzikir dan sujud kepada-Mu ya Allah dengan hati & dahi kami!

رَبَّنَا آتِنَا فِي الدُّنْيَا حَسَنَةً وَفِي الآخِرَةِ حَسَنَةً وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ

Wallahu A’lam.

Powered by BetterDocs