Surah ‘Abasa – سورة عبس
بِسْمِ اللهِ الرَّحْمٰنِ الرَّحِيْم
Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani.
MUQADDIMAH DAN INTISARI SURAH, MUNASABAH, ALLAH MENEGUR NABI SAW & AL-QURAN SEBAGAI TAZKIRAH.
Full video : https://youtu.be/9DbfFayvx_A?si=_WW-3dsd8CjtDft5
MUQADDIMAH SURAH :
- Alhamdulillah pada pagi ini, Jumaat 14 Syawwal 1444H bersamaan 5hb Mei 2023 kita dapat mulakan pengajian Kuliah tafsir bagi Surah ‘Abasa – سورة عبس.
- Syukur kepada Allah SWT kerana kita dapat meneruskan pengajian dalam tafsir al-Quran & tadabburnya.
Semoga Allah SWT kabulkan amalan kita, buka dan cerahkan hati kita untuk menerima panduan & hidayat dari al-Quran ini yang dapat membawa kita syurga-Nya.
- Surah ‘Abasa – سورة عبس adalah surah ke-80 dalam tertib susunan al-Quran, surah yang ketiga dalam juz ke 30, iaitu selepas Surah An-Nazi’at – سورة النازعات.. Mengandungi 42 ayat yang pendek-pendek.
- Ramai ulama’ tafsir ijma’ mengatakan : Surah ini Makkiyyah, yakni turun di Makkah sebelum hijrahnya Rasulullah SAW ke Madinah.
NAMA SURAH :
- Dinamakan surah ini sebagai:
i- Surah ‘Abasa – سورة عبس yang bermakna {Dia Bermasam Muka} kerana pada awal surah ini Allah SWT menegur Baginda Rasulullah SAW seperti yang dijelaskan dalam ayat-ayat suci.
- Kata al-Alusi RHM : Surah ini juga dikenali dengan beberapa nama lain seperti:
i- As-Shokhah {ٱلصَّآخَّةُ}- nama Kiamat.
ii- As-Safarah {السَفَرَةٍۢ}- gelaran untuk malaikat.
iii- Al-A’ma {ٱلْأَعْمَى}- orang buta.
- Kata Ibnu Asyur RHM : Semua nama-nama yang disebut ini diambil daripada perkataan yang tidak disebut dalam surah-surah lain. Ataupun diambil daripada tuan kisah yang menjadi sebab turun surah ini.
INTISARI KANDUNGANNYA:
- Membentangkan satu peristiwa yang menyebabkan Rasulullah SAW ditegur oleh Allah SWT supaya insiden kejadian itu tidak akan berulang lagi.
- Ia berhubung dengan seorang Islam yang buta, yang datang kepada Nabi SAW hendak bertanya perkara yang berkait tentang agama. Tetapi Baginda Nabi SAW tidak dapat melayaninya kerana Baginda ketika itu sedang memberi penerangan kepada pemuka-pemuka kaum musyrikin Makkah.
Iaitu dengan harapan jika mereka memeluk Islam maka ramailah juga pengikut mereka yang akan turut serta. Ini adalah maslahah di sebalik perbuatan Baginda itu.
- Setelah diingatkan supaya kejadian sedemikian tidak berulang lagi, maka diterangkan akan hakikat al-Quran yang menjadi pengajaran & peringatan, yang mencukupi bagi orang-orang yang mahu mencari keselamatan & mengharapkan keredhaan Allah SWT!
- Kemudian Allah SWT menerangkan setakat mana kufurnya manusia yang kufur, yang tidak memikirkan tentang hakikat kejadiannya! Dia dijadikan daripada air benih yang sedikit, serta dilengkapkan keadaannya dengan persedian untuk bertanggungjawab.
Kemudian jalan baik & jalan jahat dipermudahkan kepadanya, untuk dia menimbang dan memilih mana satu yang dia pilih!
- Setelah menerangkan tentang nikmat-nikmat yang telah dilimpahkan-Nya kepada umat manusia, agar mereka bersyukur dengan iman & taat.
Maka pada akhir surah ini Allah SWT menggambarkan peristiwa yang akan berlaku pada hari Kiamat yang amat mengerikan supaya manusia akan bersiap sedia dengan iman & amal soleh untuk kebaikannya di dunia juga di akhirat.
MAQASID/OBJEKTIF SURAH :
- Antara objektifnya yang terpenting ialah Allah mahu menyatakan hakikat dakwah al-Quran dan mulianya orang yang berdamping dengan al-Quran iaitu belajar & beramal dengannya. Celakalah sesiapa yang meninggalkan al-Quran, apatah lagi melawannya!
ISU PENTING DALAM SURAH :
- Allah SWT menegur Rasulullah SAW dengan teguran yang cukup halus & berhemah, dengan penuh kasih sayang atas apa yang berlaku antara Baginda SAW dengan Abdullan ibnu Ummi Maktum RA yang buta matanya.
- Allah SWT puji al-Quran dan menyatakan bahawa ia adalah peringatan & menjadi pengajaran nasihat bagi mereka yang berakal & bertadabbur al-Quran.
- Allah mahu tegakkan dalil yang menunjukkan kepada keesaan Allah SWT dengan menyebut asal kejadian manusia daripada air mani; maka jangan sombong & takabbur. Nikmat Allah SWT yang menjadikan manusia yang sempurna dan elok, kemudian dipermudahkan sebab-sebab untuk hidup atas dunia ini dengan makanan, pakaian & tempat tinggal.
- Allah SWT memperingatkan kita tentang huru-hara hari Kiamat & keadaan manusia pada hari itu!
MUNASABAH SURAH ‘ABASA- سورة عبس DENGAN SURAH AN-NAZI’AT – سورة النازعات SEBELUMNYA:
- Hubung kait surah ini dengan Surah An-Nazi’at – سورة النازعات:
i- Allah sebut dalam An-Nazi’at bahawa tugas Rasulullah SAW ialah untuk menyampaikan peringatan & amaran untuk orang yang takut kepada Allah.
ii- Dalam surah ini Allah SWT nyatakan siapakah jenis manusia yang mendapat manfaat dari peringatan ini. Iaitu mereka yang Rasulullah SAW berbisik-bisik dengan mereka, berbincang dan mengajak kepada Islam.
Sebahagian kitab tafsir menamakan mereka ini sebagai:
Utbah & Syaibah bin Rabi’ah, Abu Jahal, al-Abbas bin Abdul Mutalib, Ummayyah bin Khalf, al-Walid bin al-Mughirah.
Apakah mereka ini mendapat manfaat atau tidak?
- Persamaan dalam dalam isu dua surah:
i- Persamaan dari perbincangan tentang hari Kiamat, huru-haranya serta keadaan manusia & jin yang dibangkitkan semula.
Firman Allah SWT: nama-nama Kiamat dalam dua surah ini hampir sama sebutannya:
i- { فَإِذَا جَآءَتِ ٱلصَّآخَّةُ}- {Kemudian (ingatlah keadaan yang berlaku) apabila datang suara jeritan yang dahsyat,} (‘Abasa 80:33)
ii- {فَإِذَا جَآءَتِ ٱلطَّآمَّةُ ٱلْكُبْرَىٰ}- {Maka apabila datang hari yang bencananya amat besar,} (An-Nazi’at 79:34)
Apabila sesuatu perkataan itu dibaca dengan huruf yang panjang & bersabdu menunjukkan kepada berat dan susah maksudnya.
- Persamaan pada akhir surah:
i- Dalam An-Nazi’at Allah SWT bawa dalil tentang kebangkitan semula manusia dengan penciptaan langit, bumi & bukit, (sebagai bekasnya).
ii- Dalam Surah ‘Abasa ini Allah SWT bawa dalil berdasarkan penciptaan manusia, tumbuh-tumbuhan & makanan, (sebagai isi kandungan bekas itu.)
أَعُوذُ بِاَللَّهِ السَّمِيعِ الْعَلِيمِ مِنْ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ
بِسْمِ اللهِ الرَّحْمٰنِ الرَّحِيْمِ
AYAT 1- {IA MEMASAMKAN MUKA DAN BERPALING,} (‘ABASA 80:1)
- Dia memasamkan muka & berpaling; iaitu Rasulullah SAW. tetapi Allah SWT tidak sebut namanya atau menyebutnya sebagai kamu!
- Rasulullah didatangi oleh Abdullah bin Ummi Maktum RA yang buta, yang mengharapkan agar Rasulullah SAW membacakan kepadanya ayat-ayat Al-Qur’an yang telah diturunkan Allah Ta’ala. Tetapi, Rasulullah SAW bermuka masam dan memalingkan muka dari Ibnu Ummi Maktum yang buta itu kerana berasa terganggu.
- Dalam ayat ini Allah SWT menegur Rasulullah SAW seperti tersebut kerana Allah tahu pemuka-pemuka musyrik itu tidak akan masuk Islam, hanya rugi masa & membuang tenaga.
Serta mahu Baginda memberi layanan yang selayaknya bagi seorang mukmin yang sedia menerima Islam walaupun dia seorang yang msikin dan lemah.
- Sabab nuzul ayat ini:
Hadis yang diriwayatkan dari Ummul Mu’minin, ‘Aisyah radhiyallahu ‘anha berikut ini:
أُنْزِلَ عَبَسَ وَتَوَلَّى فِي ابْنِ أُمِّ مَكْتُوْمٍ الأَعْمَى أَتَى رَسُوْلَ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَجَعَلَ يَقُوْلُ يَا رَسُوْلَ اللهِ أَرْشِدْنِي، وَعِنْدَ رَسُوْلِ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ رَجُلٌ مِنْ عُظَمَاءِ الْمُشْرِكِيْنَ فَجَعَلَ رَسُوْلُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يُعْرِضُ عَنْهُ وَيُقْبِلُ عَلَى الآخَرِ وَيَقُوْلُ أَتَرَى بِمَا أَقُوْلُ بَأْسًا فَيَقُوْلُ لاَ فَفِي هَذَا أُنْزِلَ
“Diturunkan ‘Abasa wa Tawallaa’ { عَبَسَ وَتَوَلَّى} berkenaan dengan Ibnu Ummi Maktum yang buta, ia mendatangi Rasulullah SAW dan berkata : ‘Wahai Rasulullah berilah saya bimbingan’. Sedangkan di sisi Rasulullah SAW saat itu ada salah seorang pembesar kaum musyrikin. Maka Rasulullah SAW berpaling dari Ibnu Ummi Maktum dan berbalik ke arah lelaki pembesar musyrikin tersebut, lalu Baginda berkata: ‘Apakah menurutmu apa yang aku sampaikan kepadamu ini baik?” Maka para pembesar musyrikin itu menjawab: ‘Tidak’. Kerana peristiwa inilah turun Surah ‘Abasa.” (HR At-Tirmizi).
- Adalah Rasulullah SAW selepas turunnya ayat ini Baginda sangat memuliakan Ibnu Ummi Maktum RA. Pernah dia menjadi pembawa bendera perang & memakai baju rantai perang!
AYAT 2- {KERANA IA DIDATANGI ORANG BUTA.} (‘ABASA 80:2)
- Nabi SAW masam muka kerana ia didatangi oleh seorang buta. Iaitu Abdullah bin Ummi Maktum RA, seorang sahabat yang buta.
- Kata Ibnu al-‘Arabi RHM : Tiada khilaf ulama’ tafsir bahawa ayat ini turun kerana Ibnu Ummi Maktum yang buta, yang datang bertemu dengan Rasulullah SAW.
- Pada dasarnya, ikut adab jika orang sedang bercakap dengan orang lain; kita kena tunggu dulu jangan rempuh masuk.
Tetapi dalam kes Ibnu Ummi Maktum RA ini, kerana dia seorang yang buta maka dia dimaafkan kerana tidak nampak Rasulullah SAW sedang melayani orang lain!
AYAT 3- {DAN APA JALANNYA ENGKAU DAPAT MENGETAHUI (TUJUANNYA, WAHAI MUHAMMAD) ? BARANGKALI IA MAHU MEMBERSIHKAN HATINYA (DENGAN PELAJARAN AGAMA YANG DIDAPATINYA DARIPADAMU)!} (‘ABASA 80:3)
- Kemapa kamu tidak layannya, apakah kamu tahu apakah tujuan datang berjumpa kamu itu?
- Sedangkan tujuannya datang untuk belajar atau ikhlas mahu membersihkan dosanya dengan mendengar pelajaran agama dari Rasulullah SAW.
- Sebenarnya teguran Allah kepada Rasulullah SAW ini juga peringatan dan teguran untuk seluruh umatnya sehingga ke akhir zaman.
AYAT 4- {ATAUPUN IA MAHU MENDAPAT PERINGATAN, SUPAYA PERINGATAN ITU MEMBERI MANFAAT KEPADANYA.} (‘ABASA 80:4)
- Ataupun dia mahu ambil peringatan untuk menjadi panduan dan manfaat untuk hidupnya.
AYAT 5- {ADAPUN ORANG YANG MERASA KEADAANNYA TELAH CUKUP, TIDAK BERHAJAT LAGI (KEPADA AJARAN AL-QURAN),} (‘ABASA 80:5)
- Manakala orang-orang yang Rasulullah SAW sedang layan itu, adalah mereka yang kaya-raya sudah berasa cukup, besar kepala tidak berhajat kepada ajaran al-Quran & dakwah Rasulullah SAW!
AYAT 6- {MAKA ENGKAU BERSUNGGUH-SUNGGUH MELAYANINYA.} (‘ABASA 80:6)
- Tetapi kamu pula bersungguh-sungguh melayan mereka!
- Pengajaran kepada kita jangan hanya layan & tumpu kepada orang yang besar-besar sehingga meminggirkan orang yang kecil!
AYAT 7- {PADAHAL ENGKAU TIDAK BERSALAH KALAU IA TIDAK MAHU MEMBERSIHKAN DIRINYA (DARI KEINGKARANNYA).} (‘ABASA 80:7)
- Bukan salahmu & tanggungjawabmu jika mereka si kafir itu tidak mahu beriman! Tiada kerugian & mudharat bagi kamu jika mereka tidak beriman!
- Yakni jangan kamu susah hati & berasa bersalah jika mereka tetap kafir tidak mahu beriman & ikut ajaran yang kamu sampaikan! Kerana kerja kamu hanya menyampaikan, hanya Allah yang memberi hidayahnya!
- Firman Allah SWT:
i- {Dan jangan sekali-kali orang-orang kafir menyangka bahawa Kami membiarkan (mereka hidup lama) itu baik bagi diri mereka; kerana sesungguhnya Kami biarkan mereka hanyalah supaya mereka bertambah dosa (di dunia), dan mereka pula beroleh azab seksa yang menghina (di akhirat kelak).} (Ali-‘Imran 3:178)
ii- {Dan (sebenarnya) Rasul Allah hanyalah bertanggungjawab menyampaikan perintah-perintah Allah dengan penjelasan yang terang nyata”.} (An-Nuur 24:54)
AYAT 8- {ADAPUN ORANG YANG SEGERA DATANG KEPADAMU,} (‘ABASA 80:8)
- Adapapun orang miskin (Ibnu bin Ummi Maktum RA, seorang sahabat yang buta) itu datang dengan bersegera untuk berjumpa Rasulullah SAW!
AYAT 9- {DENGAN PERASAAN TAKUTNYA (MELANGGAR PERINTAH-PERINTAH ALLAH),} (‘ABASA 80:9)
- Datangnya dengan penuh perasaan takut kepada Allah SWT! Untuk menuntut ilmu, menerima ajaran & panduan dari Rasulullah SAW!
AYAT 10- {MAKA ENGKAU BERLENGAH-LENGAH MELAYANINYA.} (‘ABASA 80:10)
- Tetapi Rasulullah SAW tidak acuh & berlengah melayannya kerana sibuk dengan pemuka Quraisy yang ada di depannya.
AYAT 11- {JANGANLAH MELAKUKAN LAGI YANG SEDEMIKIAN ITU! SEBENARNYA AYAT-AYAT AL-QURAN ADALAH PENGAJARAN DAN PERINGATAN (YANG MENCUKUPI).} (‘ABASA 80:11)
- Jangan kamu buat begitu lagi wahai Rasulullah SAW. Jangan tak acuh layan orang yang mahu beriman dan mengambil ilmu peringatan.
- Sedangkan al-Quran itu adalah adalah pengajaran dan peringatan yang mencukupi lagi sempurna!
AYAT 12- {MAKA SESIAPA YANG MAHUKAN KEBAIKAN DIRINYA, DAPATLAH IA MENGAMBIL PERINGATAN DARIPADANYA.} (‘ABASA 80:12)
- Sesiapa yang mahu kebaikan ambillah pengajaran & peringat daripada al-Quran!
AYAT 13- {(AYAT-AYAT SUCI ITU TERSIMPAN) DALAM NASKHAH-NASKHAH YANG DIMULIAKAN,} (‘ABASA 80:13)
- Ayat-ayat suci al-Quran itu tersimpan di dalam lembaran (naskhah) yang dimuliakan di sisi Allah SWT iaitu di Lauh-Mahfuz!
- Iaitu al-Quran itu asalnya:
i- Tertulis di Lauh Mahfuz.
ii- Pada malam Lailatul-Qadr, ia diturunkan dari Lauh-Mahfuz secara sekaligus ke langit dunia.
iii- Kemudian malaikat Jibril AS menurunkan al-Quran kepada Rasulullah SAW secara berperingkat. Mengikut keadaan, peristiwa, keadaan, mengikut suasana, keperluan, serta untuk menenangkan hati Rasulullah SAW.
AYAT 14- {YANG TINGGI DARJATNYA, LAGI SUCI (DARI SEGALA GANGGUAN),} (‘ABASA 80:14)
- Tinggi kedudukannya lagi suci dari sebarang, kekurangan, kelemahan & kekotoran. Al-Quran semua isi kanduangannya betul; Jika ada kesilapan, kita yang salah faham & salah tafsirnya, bukan salah al-Quran.
- Firman Allah SWT:
{(Sebenarnya apa yang engkau sampaikan kepada mereka bukanlah syair atau sihir), bahkan ialah Al-Quran yang tertinggi kemuliaannya;
(Lagi yang terpelihara dengan sebaik-baiknya) pada Lauh Mahfuz.} (Al-Buruuj 85: 21-22)
AYAT 15- {(TERPELIHARA) DI TANGAN MALAIKAT-MALAIKAT YANG MENYALINNYA DARI LAUH MAHFUZ;} (‘ABASA 80:15)
- Al-Quran ini terperlihara di tangan para malaikat yang menyalinnya yakni menulisnya.
- Firman Allah SWT:
{Yang tidak disentuh melainkan oleh makhluk-makhluk yang diakui bersih suci;} (Al-Waqi’ah 56:79)
- Kenapa malaikat dinamakan { سَفَرَةٍۢ} – apakah maknanyna?
i- Kata Ibnu Juzai RHM : Dengan makna perantara atau penulis. Yakni mereka adalah malaikat yang menulis al-Quran.
ii- Ia juga dengan makna duta/perantara antara Allah SWT & Rasulullah SAW iaitu malaikat.
iii- Ada juga yang kata ia adalah pembaca {قراء} al-Quran di kalangan manusia.
AYAT 16- {(MALAIKAT-MALAIKAT) YANG MULIA, LAGI YANG BERBAKTI.} (‘ABASA 80:16)
- Malaikat yang mulia {كِرَامٍۭ} lagi yang berbakti {بَرَرَةٍۢ}.
- Antara sifat malaikat itu ialah:
i- Rupanya cantik & perangainya juga elok.
Yang huduh & buruk itu syaitan.
ii- Banyak ketaatan & banyak kebaikannya.
- Ulama’ buat perbahasan tentang pezaan antara perkataan:
i- Malaikat yang mulia & berbakti { بَرَرَةٍۢ}
ii- Manakala untuk manusia anak Adam, Allah SWT guna perkataan {الأبرار}; yang taat & baik-baik.
Kenapa?
Jawapan:
i- Ini kerana makna perkataan {بَرَرَةٍۢ} lebih mendalam kerana ia jamak kepada perkataan {برّ} yang membawa erti kebaikan & bakti yang banyak! Ia digunakan untuk malaikat.
ii- Manakala perkataan {الأبرار} jamak kepada perkataan {بارّ} dan digunakan untuk manusia.
- Hadis Rasulullah SAW:
i- Daripada `Aisyah RAnha, Rasulullah SAW bersabda: الْمَاهِرُ بِالْقُرْآنِ مَعَ السَّفَرَةِ الْكِرَامِ الْبَرَرَةِ وَالَّذِي يَقْرَأُ الْقُرْآنَ وَيَتَتَعْتَعُ فِيهِ وَهُوَ عَلَيْهِ شَاقٌّ لَهُ أَجْرَانِ
Maksudnya: “Seorang yang mahir dalam membaca al-Quran akan bersama para malaikat yang mulia dan sentiasa taat kepada Allah dan bagi yang membaca al-Quran namun tersangkut-sangkut dan berasa susah buatnya maka untuknya itu dua ganjaran.” [HR Imam Bukhari & Muslim].
PENUTUP & FAEDAH :
- Ayat 1- {Ia memasamkan muka dan berpaling,} & Ayat 2- {Kerana ia didatangi orang buta.}-
Ini adalah peringatan & galakan supaya kita beradab dan adil dalam melayan sesama Islam.
ii- Allah SWT mahu ajar para pendakwah agar jangan lebihkan kepada individu tetapi lebihkan kepada orang yang mahu didakwah (المدعو). Utamakan yang sudah berjaya didakwah, jangan dilayan yang belum Islam walaupun mereka orang berpengaruh!
- Ayat 1- {Ia memasamkan muka dan berpaling,} & Ayat 2- {Kerana ia didatangi orang buta.}-
Dalam ayat ini Allah SWT berlembut dalam menegur Rasulullah SAW, iaitu dengan penuh kasih-sayang!
Iaitu Allah tidak sebut nama atau panggil Nabi SAW secara direct sebagai seorang yang berpaling! Tetapi guna dhamir ghaib (kata ganti nama ketiga); iaitu dia. Siapakah dia? Orang yang buat itulah!
Itu kerana Rasulullah SAW sebenarnya berniat baik, mahu mereka itu memeluk Islam kerana itu Baginda berasa terganggu.
- Ayat 2- {Kerana ia didatangi orang buta.}-
Dalam ayat ini Allah SWT tidak sebut nama juga tetapi sebut terus: seorang buta. Kenapa begitu sedang Allah SWT telah berfirman agar jangan gelar, menggelar.
Sebagaimana firman Allah SWT:
{Dan janganlah pula kamu panggil-memanggil antara satu dengan yang lain dengan gelaran yang buruk.} (Al-Hujuraat 49:11)
Jawapan:
i- Untuk menyatakan keuzurannya Ibnu Ummi Maktum RA yang buta. Dia tidak nampak Rasulullah SAW sudah ada tetamu didepannya. Jika dia tidak buta mungkin tidak akan rempuh masuk ke dalam majlis Rasulullah SAW itu! Yakni jika kita orang yang celik jangan rempuh majlis orang, sabar dulu.
ii- Kita kena utamakan orang yang ada kekurangan & keuzuran (OKU), layan dia dulu daripada orang lain yang tiada kekurangan.
iii- Dalil bahawa boleh kita nyatakan sifat seseorang untuk dikenalinya. Nama-nama ini digunakan bukan dengan niat perli & beri gelaran; tapi untuk memperkenalkannya!
- Ayat 7- {Padahal engkau tidak bersalah kalau ia tidak mahu membersihkan dirinya (dari keingkarannya).}–
Allah SWT ajar kepada Rasulullah SAW & para pendakwah, bentangkan tugas kita, jalankan dakwah secara berterusan.
Jika orang tidak terima & tidak suka juga, yakni tidak beriman; itu bukan salah kita lagi! Tetapi dakwah & ajar itu wajib, kesannya terserahlah kepada Allah SWT, jangan pula kita lebih-lebih langar S.O.P.
- Ayat 12- {Maka sesiapa yang mahukan kebaikan dirinya, dapatlah ia mengambil peringatan daripadanya.}-
Al-Quran ini satu peringatan yang besar dan bawa kebaikan bagi sesiapa yang mahu ambil peringatan darinya!
Al-Quran ini satu wasilah (alat) dakwah yang paling penting! Tiada yang lebih daripadanya. Ia cukup sempurna & merangkumi segenap segi kehidupan manusia!
Para pendakwah Islam wajib berdakwah berdasarkan al-Quran & Sunnah Rasulullah SAW yang sahih, bukan dari ajaran dan cerita orang lain, wali itu wali ini, syeikh itu syeikh ini!
Ingat Jumaat ingat untuk:
1- Baca Surah Al-Kahfi
2- Banyakkan selawat ke atas Rasulullah SAW
3- Bersiap awal untuk ke masjid.
4. Banyakkan bersedekah.
Wallahu A’lam.