View Categories

Surah ‘Abasa : Ayat 17-32

MANUSIA KELUAR KE DUNIA, CUAI DARI BERIBADAT & NIKMAT SEBAHAGIAN REZEKI.

Full video : https://youtu.be/GsGBIjIuUoo?si=GQGNHHad4FEW4tFs

MUQADDIMAH :

  1. Dalam siri ini Allah SWT menceritakan tentang proses kejadian manusia dari awal sehingga keluar ke dunia dan juga sehingga keluar semula dari dunia ini.
  1. Kemudian Allah SWT suruh kita tengok kepada rezeki kita, makanan yang kita makan itu dari mana asalnya, siapa yang beri dan sediakannya.
  1. Kemudian Allah SWT peringatkan kepada kita nama-nama sebahagian nikmat & rezeki-Nya supaya manusia bersyukur kepada Allah, mantapkan keimanan dan sentiasa taat melakukan ibadat kepada Allah SWT & meninggalkan segala larangan-Nya.
  1. Munasabah ayat dengan yang sebelumnya:
    i- Dalam ayat yang lepas Allah SWT sebut tentang kedudukan al-Quran, ketinggian & kemuliaannya. 
    Serta keagungan kesannya ke atas orang beriman. Serta betapa besar manfaat al-Quran untuk membersihakan jiwa orang yang tadabbur, mengkaji & meneliti al-Quran.

    ii- Dalam ayat ini Allah bawa takziah kepada orang yang tidak menerima al-Quran. Dinyatakan tentang kerugian & kecelakaan manusia { قُتِلَ ٱلْإِنسَـٰنُ} yang menolak & ingkar terhadap al-Quran. 

أَعُوذُ بِاَللَّهِ السَّمِيعِ الْعَلِيمِ مِنْ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ

AYAT 17- {BINASALAH HENDAKNYA MANUSIA (YANG INGKAR) ITU, BETAPA BESAR KEKUFURANNYA?} (‘ABASA 80:17)

  1. Binasalah kamu wahai manusia! Ayat { قُتِلَ ٱلْإِنسَـٰنُ}- Ini adalah celaan kepada manusia yang ingkar & kufur! 
  1. Kata Ibnu Juzai RHM : ayat ini adalah doa ke atas orang yang menolak & menentang al-Quran! 
    Mengikut gaya bahasa yang biasa digunakan oleh orang Ara pada waktu itu. 
    Yakni binasalah kamu, menunjukkan betapa kejinya perbuatan menolak al-Quran itu! 
  1. Tetapi yang binasa & celaka itu hanyalah manusia yang kafir, yang menentang & mendustakan al-Quran.
    Manakala manusia yang beriman, taat & ikut Sunnah Rasulullah SAW tetaplah dia selamat dengan izin Allah SWT! 
  1. Allah kata lagi betapa besarnya kekufuran ini { مَآ أَكْفَرَهُۥ}.
  1. Kata Imam Ibnu Jarir at-Tobari RHM :
    Ada dua wajah tentang ayat ini:
    i- Menunjukkan rasa pelik & takjub atas perbuatan ini, kamu kafir juga walaupun mendapat semua nikmat ini? 
    Ada juga manusia begini!

    ii- Marah dan mengingkari perbuatan mereka itu, mahu kafir lagi kamu selepas segala nikmat ini???? 

AYAT 18- {(TIDAKKAH IA MEMIKIRKAN) DARI APAKAH IA DICIPTAKAN OLEH ALLAH?} (‘ABASA 80:18)

  1. Lalu Allah SWT ungkit kepada manusia: Kamu tidak fikir dan tidak lihat kepada apa asal kejadian kamu?? 
  1. Sehingga kamu berani lawan, ingkar & tolak al-Quran sedangkan nikmat Allah SWT penuh di depan mata kamu!

AYAT 19- {DARI AIR MANI DICIPTAKANNYA, SERTA DILENGKAPKAN KEADAANNYA DENGAN PERSEDIAAN UNTUK BERTANGGUNGJAWAB;} (‘ABASA 80:19)

  1. Manusia itu dicipta daripada air mani yang sedikit sahaja. 
    Kemudian ditetapkan tempohnya berada dalam rahim ibunya, membesar dengan peringkat kejadian sehingga sempurna lalu dilahirkan ke dunia ini.
  1. Allah memberinya pancaindera & anggota yang melengkapkan kehidupannya atas dunia ini.
  1. Ayat ini ditafsirkan oleh hadis Rasulullah SAW: 
    Daripada Abdullah bin Mas’ud RA, bahawa Nabi SAW bersabda: إِنَّ أَحَدَكُمْ يُجْمَعُ خَلْقُهُ فِي بَطْنِ أُمِّهِ أَرْبَعِينَ يَوْمًا، ثُمَّ يَكُونُ فِي ذَلِكَ عَلَقَةً مِثْلَ ذَلِكَ، ثُمَّ يَكُونُ فِي ذَلِكَ مُضْغَةً مِثْلَ ذَلِكَ، ثُمَّ يُرْسَلُ الْمَلَكُ فَيَنْفُخُ فِيهِ الرُّوحَ، وَيُؤْمَرُ بِأَرْبَعِ كَلِمَاتٍ: بِكَتْبِ رِزْقِهِ، وَأَجَلِهِ، وَعَمَلِهِ، وَشَقِيٌّ أَوْ سَعِيدٌ، فَوَالَّذِي لَا إِلَهَ غَيْرُهُ إِنَّ أَحَدَكُمْ لَيَعْمَلُ بِعَمَلِ أَهْلِ الْجَنَّةِ حَتَّى مَا يَكُونُ بَيْنَهُ وَبَيْنَهَا إِلَّا ذِرَاعٌ، فَيَسْبِقُ عَلَيْهِ الْكِتَابُ، فَيَعْمَلُ بِعَمَلِ أَهْلِ النَّارِ، فَيَدْخُلُهَا، وَإِنَّ أَحَدَكُمْ لَيَعْمَلُ بِعَمَلِ أَهْلِ النَّارِ، حَتَّى مَا يَكُونُ بَيْنَهُ وَبَيْنَهَا إِلَّا ذِرَاعٌ، فَيَسْبِقُ عَلَيْهِ الْكِتَابُ، فَيَعْمَلُ بِعَمَلِ أَهْلِ الْجَنَّةِ، فَيَدْخُلُهَا
    Maksudnya: “Sesungguhnya setiap kamu dikumpulkan penciptaannya dalam perut ibunya dalam keadaan: air mani selama empat puluh hari, kemudian berubah menjadi seketul darah selama empat puluh hari, kemudian menjadi segumpal daging selama empat puluh hari. Kemudian diutus kepadanya malaikat untuk ditiupkan kepadanya roh dan (malaikat) diperintahkan untuk menetapkan empat perkara: Menetapkan rezekinya, ajalnya, amalnya dan kesudahannya sama ada derita atau bahagia. Demi Allah yang tidak ada tuhan melainkan-Nya, sesungguhnya di antara kamu ada yang melakukan amalan ahli syurga sehingga jarak antara dirinya dengan syurga tinggal sehasta, akan tetapi telah ditetapkan baginya ketentuan, lalu dia melakukan amalan ahli neraka, maka masuklah dia ke dalam neraka. Sesungguhnya di antara kamu ada yang melakukan amalan ahli neraka sehingga jarak antara dirinya dengan neraka tinggal sehasta, akan tetapi telah ditetapkan baginya ketentuan, lalu dia melakukan amalan ahli syurga, maka masuklah dia ke dalam syurga.” [HR Muslim (2643)]

AYAT 20- {KEMUDIAN JALAN (BAIK DAN JAHAT), DIMUDAHKAN TUHAN KEPADANYA (UNTUK MENIMBANG DAN MENGAMBIL MANA SATU YANG IA PILIH);} (‘ABASA 80:20)

  1. Kemudian Allah SWT permudahkan bagi manusia untuk memilih jalan yang baik & buruk. Ke atasnya untuk memilih, menimbang dan mengambil mana satu yang ia pilih.
  1. Bagi ayat ini ada dua tafsiran:
    i- Jika Allah mahu seseorang itu jadi orang baik, Allah SWT akan permudahkan segala jalan yang baik baginya. 
    Contoh: Dengar azan terus ke masjid, dengar & baca al-Quran terus beramal dengannya, jumpa Sunnah Nabi SAW & beramal dengannya dan lain-lain jalan kebaikan.

    ii- Tafsiran kedua: Jalan keluar janin dari perut ibunya dipermudahkan oleh Allah SWT! 
    Walaupun proses bersalin satu proses yang amat mencabar, seolah nyawa dihujung rambut, tetapi Allah SWT telah permudahkannya, jika tidak lebih susah & sakit lagi!
    Allah juga permudahkan urusan bayi itu dengan memberinya rezeki bermula dari susu ibu dan seterusnya dalam kehidupannya.

AYAT 21- {KEMUDIAN DIMATIKANNYA, LALU DIPERINTAHKAN SUPAYA IA DIKUBURKAN;} (‘ABASA 80:21)

  1. Selepas itu ia dimatikan (diambil nyawanya oleh malaikat dengan perintah Allah) apabila tamat tempoh ajalnya di atas muka bumi ini.
  1. Ia kemudian dikuburkan di dalam kubur. Tempat simpanan mayat manusia adalah di dalam tanah, hanya yang hidup atas tanah, yang mati disimpan di dalam perut tanah.

AYAT 22- {KEMUDIAN APABILA ALLAH KEHENDAKI DIBANGKITKANNYA (HIDUP SEMULA).} (‘ABASA 80:22)

  1. Apabila tiba hari Kiamat, dengan kehendak Allah SWT semua manusia akan dibangkitkan hidup semula.
  1. Pada hari itu kita semua akan dikumpulkan, dihitung dan dihisab, melalui pengadilannya kemudian akan diberi pembalasan mengikut apa amalan yang telah dilakukan!
  1. Maka jika kita nak selamat pilihlah jalan yang baik dengan beriman dan taat kepada segala perintah Allah SWT!

AYAT 23- {JANGANLAH HENDAKNYA IA KUFUR INGKAR LAGI! SEBENARNYA IA BELUM MENUNAIKAN APA YANG DIPERINTAHKAN KEPADANYA.} (‘ABASA 80:23)

  1. Janganlah kamu kufur tetapi jalankan tugas kamu dengan beriman dan beribadat kepada Allah SWT dengan:
    i- Menunaikan apa yang diperintahkan kepadanya.

    ii- Meninggalkan apa yang Allah SWT larang.

AYAT 24- {(KALAULAH IA TIDAK MEMIKIRKAN ASAL DAN KESUDAHAN DIRINYA), MAKA HENDAKLAH MANUSIA MELIHAT KEPADA MAKANANNYA (BAGAIMANA KAMI MENTADBIRKANNYA):} (‘ABASA 80:24)

  1. Dalam ayat ini Allah menyuruh manusia melihat kepada makanan yang telah diberi kepadanya!
  1. Lihatlah dari mana ia datang & bagaimana Allah telah mencipta kemudian menggurus tadbirnya dibahagikan kepada seluruh makhluk-Nya.

AYAT 25- {SESUNGGUHNYA KAMI TELAH MENCURAHKAN HUJAN DENGAN CURAHAN YANG MENAKJUBKAN.} (‘ABASA 80:25)

  1. Allah telah mencurahkan hujan lebat yang menyuburkan bumi yang kering!

AYAT 26- {KEMUDIAN KAMI BELAH-BELAHKAN BUMI DENGAN BELAHAN YANG SESUAI DENGAN TUMBUH-TUMBUHAN,} (‘ABASA 80:26)

  1. Bumi menjadi subur dengan air hujan lalu terbelah mengeluarkan tunas tumbuh-tumbuhan! 

AYAT 27- {LALU KAMI TUMBUHKAN PADA BUMI BIJI-BIJIAN,} (‘ABASA 80:27)

  1. Lalu Allah SWT tumbuh dan keluarkan dari bumi benih-benih dari biji-bijian!
  1. Yakni bijiran yang menjadi makanan utama setengah manusia seperti beras, gandum, barli, oat dan lain-lain.

AYAT 28- {DAN BUAH ANGGUR SERTA SAYUR-SAYURAN,} (‘ABASA 80:28)

  1. Serta buah anggur & sayur-sayuran.
  1. Kita telah nyatakan sebelum ini kenapa anggur selalu dibuat contoh dalam al-Quran. Kerana orang Arab sebelum Islam sinonim dengan arak, maka anggur adalah antara punca utama arak. Maka lihatlah kepada kejadian anggur itu!

AYAT 29- {DAN ZAITUN SERTA POHON-POHON KURMA,} (‘ABASA 80:29)

  1. Juga pokok zaitun & pokok kurma yang menjadi sumber makanan utama bagi orang Arab pada zaman itu.

AYAT 30- {DAN TAMAN-TAMAN YANG MENGHIJAU SUBUR,} (‘ABASA 80:30)

  1. Serta pokok-pokok yang hijau subur indah menjadi taman perhiasan bagi kamu! 

AYAT 31- {DAN BERBAGAI BUAH-BUAHAN SERTA BERMACAM-MACAM RUMPUT,} (‘ABASA 80:31)

  1. Serta bermacam lagi buahan & rumput-rumput.

AYAT 32- {UNTUK KEGUNAAN KAMU DAN BINATANG-BINATANG TERNAK KAMU.} (‘ABASA 80:32)

  1. Ianya untuk faedah kegunaan kamu (buah) dan binatang ternakan kamu (rumput).

PENUTUP & FAEDAH :

  1. Ayat 17- {Binasalah hendaknya manusia (yang ingkar) itu, betapa besar kekufurannya?}-

    Ayat ini Allah SWT mahu sentap manusia supaya berfikir, binasalah kamu wahai manusia yang ingkar & kufur!
    Bagaimana mereka boleh jadi kafir sedangkan begitu banyak dalil-dalil & nikmat yang menunjukkan kekuasaan Allah SWT di hadapan mereka!
    Satu tempelak terhadap orang kafir yang masih mendustakan dakwah Rasulullah SAW yang begitu lembut, mantap & sempurna.
  1. Ayat 21- {Kemudian dimatikannya, lalu diperintahkan supaya ia dikuburkan;}-

    Yakni setelah mati dia dikuburkan { فَأَقْبَرَهُۥ}.
    Maksud dikuburkan { فَأَقْبَرَهُۥ} ini ialah ia terpaksa dikuburkan oleh orang lain, bukan dia sendiri yang masuk ke dalam kubur itu. 
    Disandarkan kepada Allah, kerana Allah SWT yang bagi ilham kepada manusia, jika ada orang mati tanamnya, masukkan ke dalam kubur, dalam tanah. Sebagaimana kisah Qabil & Habil, anak nabi Adam AS.
    Kata ahli Feqah : Dari ayat ini menjadi dalil bahawa manusia yang mati hendaklah di tanam ke dalam kubur. 
    Bukan dibakar dengan api sebagaimana majusi, tinggalkan di padang atau hutan atau mengawetnya sebagaimana sebahagian agama lain!
    Ini kerana perut bumi adalah gedung bagi orang yang mati! 
  1. Ayat 22- {Kemudian apabila Allah kehendaki dibangkitkannya (hidup semula).}-

    Ayat ini sekaligus menolok provokasi orang kafir yang bertanya dan mencabar Rasulullah SAW tentang bilakah tarikh hari Kiamat. 
    Tidak perlu kamu tanya lagi kerana hanya Allah SWT yang tahu rahsia tentangnya.
    Rahsia disembunyikan tarikh Kiamat ialah supaya manusia itu sentiasa bersiap sedia untuk menghadapi kematiannya yang boleh tiba bila-bila masa saja. Sentiasa buat persediaan bukan tunggu saat dekat kematiannya yang telah diketahuinya sahaja!
  1. Ayat 24- {(Maka hendaklah manusia melihat kepada makanannya (bagaimana kami mentadbirkannya):}-

    Allah memerintahkan manusia untuk melihat kepada makanannya serta berfikir. 
    Kata ulama’ : Arahan untuk melihat ini adalah dalil untuk lihat dengan mata kemudian fikir & ambil pengajarannya! { إِلَىٰ طَعَامِهِۦٓ}- lihatlah kepada makanannya!
    Dalil tengok dengan tengok, bagaimana pokok boleh keluar daripada tanah yang kering, begitulah manusia keluar daripada kuburnya!
    Setelah Allah nyatakan kejadian manusia, iaitu apabila keluar dari perut ibunya manusia perlukan makanan. 

    Lalu ayat ini membawa tiga perbandingan & persamaan antara manusia dan tumbuhan:
    i- Air turun dari langit : Masuknya air mani ke dalam rahim.

    ii- Terbelahnya bumi : Keluarnya manusia ke dunia dari perut ibunya.

    iii- Tumbuhnya pelbagai tumbuhan selepas hujan dari air yang sama, taqdir manusia ini pelbagai : Ada yang beruntung ada yang tidak, begitu juga fizikalnya ada pelbagai!
  1. Ayat 32- {Untuk kegunaan kamu dan binatang-binatang ternak kamu.}-

    Segala nikmat yang Allah sediakan untuk manusia & haiwan.
    Ayat ini mengisbatkan hikmat, matlamat & sebab Allah SWT cipta manusia & makanannya untuk menjadi dalil akan kewujudan Allah SWT!
    Kemudian betapa banyaknya nikmat makanan yang Allah beri kepada kita. Maka bila kita tengok kepada nikmat Allah SWT ini, wajiblah kita bersyukur dengan beriman, taat kepada Allah SWT & beramal soleh! 
    Bukan sekadar syukur dengan buat majlis kesyukuran yang penuh dengan kekufuran kepada Allah pula!

Wallahu A’alm.

Powered by BetterDocs