PERBINCANGAN TENTANG MIZAN AMALAN, KISAH NABI 1: NABI MUSA DAN KITAB TAURATNYA, SIFAT GOLONGAN MUTTAQIN & PERBANDINGAN ANTARA ISI TAURAT DAN AL-QURAN.
Full video: https://youtu.be/e5Q9luTjaZI
MUQADDIMAH :
1. Sesuai dengan namanya, al-Anbiya’ (Nabi-nabi), surah ini menceritakan beberapa kisah para nabi yang agak ramai.
2. Dalam siri ini kita akan memulakan kisa nabi yang pertama iaitu Nabi Musa a.s. Kisahnya hanyalah pendek, kisah nabi Musa yang panjang kita telah lalui dalam surah Toha sebelumnya.
3. Tadabbur sebelum ini firman Allah s.w.t: {(Dan (ingatlah) Kami akan mengadakan neraca timbangan yang adil untuk (menimbang amal makhluk-makhluk pada) hari kiamat; maka tidak ada diri sesiapa akan teraniaya sedikitpun; dan jika (amalnya) itu seberat biji sawi (sekalipun), nescaya Kami akan mendatangkannya (untuk ditimbang dan dihitung); dan cukuplah Kami sebagai Penghitung.} (Al-Anbiyaa\’ 21:47)
Kisah neraca ini diterangkan dengan panjang sebagaimana dalam hadis Abdulah bin Amru al-‘As r.a tentang Bitaqah, iaitu kad yang lebih berat daripada 99% rekod timbangan amalan yang lain. Kerana kad itu tertulis: أشهد أن لا إله إلا الله وأشهد أن محمدا رسول الله
maka bila ia diletakkan atas neraca terangkat semua yang lain.
4. Perbincangan ulama\’ juga kenapa Allah s.w.t sebut neraca timbangan itu sebagai -mawazin, plural kepada mizan, {وَنَضَعُ الْمَوَازِينَ } iaitu disebut dengan lafaz jamak?
Antara pandangannya:
i- Ia hanya satu mizan sahaja, tetapi untuk menunjukkan kebesarannya. Dalam bahasa Arab sesuatu yang dimuliakan biasanya disebut dengan lafaz jamak. Sebagaimana dalam al-Quran Allah sering menggunakan lafaz Kami, sedangkan Dia hanya SATU.
ii- Kerana banyaknya benda yang hendak ditimbang dan banyaknya individu yang bertugas dan amalan-amalan yang hendak ditimbang.
iii- Kerana jamaknya dengan benda yang timbang (al-Mauzun). Iaitu banyaknya segala kebajikan dan segala keburukan yang ditimbang.
iv- Kerana setiap seorang hamba Allah s.w.t itu ada neraca (mizan) khasnya sendiri.
5. Sabda Rasulullah s.a.w: “Dua kalimat yang ringan di lisan, namun berat ditimbangan, dan disukai Ar-Rahman iaitu “سُبْحَانَ اللَّهِ وَبِحَمْدِهِ ، سُبْحَانَ اللَّهِ الْعَظِيمِ”
(Maha Suci Allah dan segala puji bagi-Nya. Maha Suci Allah Yang Maha Agung). [HR Bukhari].
6. Ayat ini juga menjadi dalil akan wujudnya timbangan dan ia wujud secara hakiki.
7. Apa pula maksud tiada timbangan bagi orang kafir dalam ayat ini: {..maka akibatnya Kami tidak akan memberi sebarang timbangan untuk menilai amal mereka, pada hari kiamat kelak.} (Al-Kahfi 18:105). Ulama\’ memberi dua pandangan:
i- bukan kerana amalan orang kafir itu tidak ditimbang, ditimbang tetapi kerana terlalu ringan/sedikit amalannya, maka seolah tiada nilai.
Firman Allah s.w.t: {Sebaliknya orang yang ringan timbangan amal baiknya.} (Al-Qaari\’ah 101:8)
ii- Amalannya ada tetapi tiada nilainya di sisi Allah s.w.t.
8. Timbangan itu pula sukatannya dengan sebesar zarrah (atom).
Firman Allah s.w.t: {Maka sesiapa berbuat kebajikan seberat zarah, nescaya akan dilihatnya (dalam surat amalnya)! Dan sesiapa berbuat kejahatan seberat zarah, nescaya akan dilihatnya (dalam surat amalnya)!} [Az-Zalzalah 99: 7-8].
9. Maka jangan pandang lekeh dan kecil setiap amalan baik atau jahat kita, semuanya akan dikira sebagai pahala dan dosa. Hadis kisah UM Aisyah r.anha.
AYAT 48- {( DAN DEMI SESUNGGUHNYA, KAMI TELAH MEMBERI KEPADA NABI MUSA DAN NABI HARUN KITAB (TAURAT) YANG MEMBEZAKAN ANTARA YANG BENAR DENGAN YANG SALAH, DAN YANG MENJADI CAHAYA YANG MENERANGI, SERTA YANG MENGANDUNGI PENGAJARAN, BAGI ORANG-ORANG YANG MAHU BERTAQWA. (AL-ANBIYAA\’ 21:48)
1. Untuk menguatkan semangat Rasulullah dalam meneruskan dakwah dan perjuangan disamping tentangan kaum musyrikin Quraisy, Allah s.w.t bawa contoh kisah nabi-nabi lain sebelumnya yang mengalami cabaran dan tentangan seperti Baginda juga.
2. Untuk menenangkan hati Baginda juga diceritakan bagaimana mereka semua nabi-nabi itu akhirnya menang dengan pertolongan Allah s.w.t.
3. Lalu dibawa kisah pertama tentang Nabi Musa a.s yang diberikan Kitab Taurat serta perbandingannya dengan al-Quran.
4. Fungsi & sifat Taurat:
i- sebagai pembeza atau pemisah kebenaran dan batil. الْفُرْقَانَ
ii- sebagai satu kilauan cahaya. ضِيَاءًYang menerangi jalan yang benar.
ii- sebagai peringatan ذِكْرًا bagi orang yang mahu mengambil pengajaran.
5. Sifat Taurat juga sebagai al-Furqan:
i- Sebagai pembeza antara yang halal dan haram.
ii- Pemisah antara yang hak yang dibawa Musa a.s dan batilnya Firaun.
iii- Pertolongan dan kemenangan Allah s.w.t kepada Musa a.s dan binasanya Firaun.
6. Sifatnya sebagai kilauan cahaya, iaitu menunjukkan pengajaran tazkirah bagi orang yang bertaqwa (mutaqqin).
AYAT 49- {(IAITU MEREKA YANG TAKUT (MELANGGAR HUKUM-HUKUM) TUHANNYA SEMASA MEREKA TIDAK DILIHAT ORANG, DAN MEREKA PULA GERUN CEMAS AKAN (PERISTIWA-PERISTIWA YANG MENGERIKAN PADA) HARI KIAMAT.} (AL-ANBIYAA\’ 21:49)
1. Siapakah orang yang mutaqqin ini? Iaitu orang yang bertaqwa dan takut kepada Allah s.w.t (Khasy-yah) خشية iaitu takut ketika nampak ada di hadapan atau ketika tak nampak. Yakni secara berdepan atau sembunyi (ghaib).
2. Orang yang mempunyai sifat (Khasy-yah) خشية ini akan menjadi penyekat dan penghalangnya daripada melakukan keburukan setiap waktu dan tempat.
3. Mereka juga gerun cemas kepada peristiwa-peristiwa yang mengerikan yang akan berlaku pada hari kiamat nanti.
4. Kata-kata motivasi yang sangat indah dari Imam asy-Syafei rhm tentang bagaimana hendak merawat hati: “Sesiapa yang mahu supaya dadanya lapang dan hatinya cerah hendaklah:
i- Dia tinggalkan percakapan yang tidak bermanfaat.
Zaman kita ini termasuk penulisan, share, komen dan bincang.
ii- Meninggalkan dosa-dosa yang lepas, menyesal dan berazam tidak akan buat lagi serta menjauhinya.
iii- Hendaklah ada sesuatu amalan yang tersembunyi antara dia dan Allah s.w.t sahaja. Iaitu ibadat khas yang hanya dia dan Allah s.w.t sahaja tahu, samada sedekah, solat malam dan lain-lain amalan yang tersembunyi.
Jika sesiapa yang ada tiga perkara ini maka Allah s.w.t akan buka hatinya untuk mencari ilmu, mengingati mati dan tidak sibuk lagi dengan perkara-perkara lain seperti dunia.”
AYAT 50- {(DAN AL-QURAN INI JUGA PENGAJARAN YANG BERKAT, YANG KAMI TURUNKAN (KEPADA NABI MUHAMMAD); DENGAN KEADAAN YANG DEMIKIAN MAKA PATUTKAH KAMU MENGINGKARINYA?} (AL-ANBIYAA\’ 21:50)
1. Al-Quran adalah kitab yang diturunkan oleh Allah s.w.t kepada Nabi Muhammad s.a.w. ia juga penuh pengajaran yang diberkati, sama juga seperti kitab Taurat.
2. Jadi kenapa kamu puak-puak kafir tidak mahu menerimanya???
3. Sifat al-Quran sebagai:
i- Pemberi peringatan dan pengajaran.
Pengajaran dalam segenapa sudut, dari segi akidah, sifat Allah sifat rasul, sifat wali-walinya, muamalat, jenayah, pembalasan di akhirat.
ii- Diberkati. Yakni al-Quran ini akan banyak membawa keberkatan untuk ahlinya yang membaca, menghafaz, belajar, beramal dan mengambil pengajaran darinya dunia dan akhirat.
PENUTUP/BEBERAPA FAEDAH RINGKAS:
1. Kita hendaklah takut kepada Allah s.w.t tidak kira semasa nampak (depan orang lain) atau secara ghaib (tiada orang).
2. Allah s.w.t sebutkan persamaan sifat al-Quran dan Taurat sebagai: Cahaya dan petunjuk serta pemberi peringatan untuk umat masing-masing.
3. Allah gambarkan Taurat sebagai dhiya’ ضِيَاءً, manakala al-Quran sebagai nur- نُورٌ. Keduanya bermaksud sinaran dan cahaya.
4. Perbezaan antara Nur dan Dhiya’:
i- Dhiya’- cahaya sinaran yang membakar seperti cahaya matahari– ini kerana dalam Taurat mengandungi hukum Syariah yang berat dan tegas. Contohnya; umat dahulu jika terkena najis, kena koyakkan kulit.
ii- Nur- cahaya yang lembut dan sejuk seperti cahaya bulan – ini kerana Syariah Nabi Muhammad ini mudah dan ringan, Allah s.w.t tidak jadikan dalam Syariah ini sesuatu yang berat dan payah untuk umatnya. Rasulullah s.a.w itu sendiri datang membawa rahmat kepada umatnya.
5. Tetapi ingat!! Syariah itu mudah bukan untuk bermudah-mudah. Contoh; jika tidak mampu berdiri, dibolehkan solat sambil duduk, tetapi bukan kata masuk hospital terus tidak solat!
6. Peringatan tambahan: Tiada istilah hari raya puasa enam. Jika kita selesai puasa Syawwal alhamdulillah, kerana Hari Raya bagi umat Islam yang disyariatkan hanya dua sahaja, iaitu Eidil Fitri dan Eidil-Adha sahaja.
Wallahu a’lam.