LARANGAN BERTANYA YANG TIDAK BERFAEDAH, DIMAAFKAN SOALAN LEPAS & BINASA GOLONGAN BANYAK SOAL.
Full video : https://youtu.be/J77rb-wDYoI?si=Yu5I9n6f8fXTGRuc
MUQADDIMAH :
- Alhamdulillah pada hari ini kita dapat teruskan pengajian kita dalam tafsir Surah Al-Ma’idah ini dengan ayat 101 sehingga 102 dalam juzu’ ketujuh.
- Dalam siri ini Allah SWT menyatakan tentang larangan bertanya soalan yang tidak berfaedah atau boleh menyusahkan diri sendiri & masyarakat.
- Manakala soalan yang ditanya sebelum turun ayat ini dimaafkan. Yakni hukum soalan lepas sebelum taklif tidak mengapa.
- Allah juga menyatakan antara sebab binasa golongan yang terdahulu adalah kerana banyak soal.
- Munasabah dengan ayat sebelumnya:
i- Dalam ayat yang lepas Allah SWT nyatakan bahawa tugas Rasulullah SAW ialah menyampaikan.
Maka apa yang disampaikan oleh Rasulullah kepada kamu maka ambilllah dengan akur, patuh & taat.
ii- Maka datang ayat ini menyatakan apa yang Rasulullah tak beritahu kamu jangan tanya, jangan soal minta perincian!
Ini kerana jika kamu tanya & Rasulullah SAW jawab; takut dikhuatiri akan menjadi perundangan sedangkan kamu tidak mampu nak penuhinya!
Maka jangan kamu menyusahkan diri kamu sendiri!
أَعُوذُ بِاَللَّهِ السَّمِيعِ الْعَلِيمِ مِنْ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ
AYAT 101- {WAHAI ORANG-ORANG YANG BERIMAN! JANGANLAH KAMU BERTANYAKAN (KEPADA NABI) PERKARA-PERKARA YANG JIKA DITERANGKAN KEPADA KAMU AKAN MENYUSAHKAN KAMU, DAN JIKA KAMU BERTANYA MENGENAINYA KETIKA DITURUNKAN AL-QURAN, TENTULAH AKAN DITERANGKAN KEPADA KAMU. ALLAH MAAFKAN (KAMU) DARI (KESALAHAN BERTANYAKAN) PERKARA-PERKARA ITU (YANG TIDAK DINYATAKAN DI DALAM AL-QURAN); KERANA ALLAH MAHA PENGAMPUN, LAGI MAHA PENYABAR.} (AL-MA’IDAH 5:101)
- Sabab nuzul ayat ini:
i- Dari Anas bin Malik RA: Bahawa Rasulullah ﷺ bersabda dalam satu khutbah: “Demi Yang nyawa Muhammad berada di tangan-Nya, sekiranya kamu melihat apa yang aku lihat, nescaya kamu akan sedikit ketawa dan banyak menangis. Mereka berkata: Apakah yang kamu lihat wahai Rasulullah? Baginda bersabda, melihat Syurga dan Neraka.” Tiba-tiba ada seorang yang bertanya: “Siapa bapak saya?”.
Nabi menjawab: “Fulan”. Maka turunlah ayat ini (Al-Maidah ayat 101) sebagai teguran bagi orang-orang yang suka bertanya tentang hal yang bukan-bukan”. [HR: Muslim 426]
ii- Berdasarkan hadis di atas juga, riwayat dari Ibnu Abbas RA. mengatakan bahawa: “Sekelompok orang bertanya kepada Rasulullah dengan nada mengejek. Salah seorang dari mereka bertanya, “Siapakah ayahku?” dan seseorang lain yang kehilangan untanya juga bertanya, “Di manakah untaku?” Maka Allah menurunkan ayat ini berkenaan dengan mereka. (HR Bukhari)
Mengikut kajian para ulama’ : Sebab nuzul ayat ini berlaku kepada banyak peristiwa.
Serta kata Ibnu Hajar RHM : Tidak menjadi kesalahan jika ayat ini turun kepada beberapa peristiwa.
- Allah berpesan kepada orang beriman agar jangan bertanya soalan yang pelik & boleh menyusahkan diri sendiri.
Jika al-Quran atau Rasulullah SAW tidak nyatakanya tak perlu bertanya mengoreknya.
Kita lihat beberapa contoh peristiwa melalui hadis Rasulullah SAW. Ia boleh menjadi sebab nuzul ayat ini juga.
- Hadis-hadis Rasulullah SAW tentang isu ini:
i- Dalam sebuah hadis daripada Ibn Abbas RAnhuma, beliau berkata: Rasulullah SAW telah menyampaikan khutbah kepada kami seraya bersabda:
يَا أَيُّهَا النَّاسُ إِنَّ اللَّهَ كَتَبَ عَلَيْكُمُ الْحَجَّ. فَقَامَ الأَقْرَعُ بْنُ حَابِسٍ فَقَالَ : أَفِى كُلِّ عَامٍ يَا رَسُولَ اللَّهِ؟ قَالَ :« لَوْ قُلْتُهَا لَوَجَبَتْ ، وَلَوْ وَجَبَتْ لَمْ تَعْمَلُوا بِهَا ، وَلَمْ تَسْتَطِيعُوا أَنْ تَعْمَلُوا بِهَا. الْحَجُّ مَرَّةٌ فَمَنْ زَادَ فَتَطَوُّعٌ »
Maksudnya: Wahai manusia, sesungguhnya Allah fardhukan ke atas kamu ibadat haji. Lantas bangun al-Aqra’ bin Habis seraya bertanya: “Adakah kewajiban ini pada setiap tahun wahai Rasulullah? Lantas jawab Baginda SAW: “Jika aku katanya ‘Ya’, nescaya jadilah wajib, dan jika wajib nescaya kamu tidak dapat lakukan dengannya dan kamu tidak mampu untuk lakukannya. Haji itu sekali sahaja. Sesiapa yang menambahnya maka hukumnya sunat. [HR Imam Ahmad (2642)].
Manakala dalam lafaz Muslim disebut dengan tambahan:
ذَرُونِى مَا تَرَكْتُكُمْ فَإِنَّمَا هَلَكَ مَنْ كَانَ قَبْلَكُمْ بِكَثْرَةِ سُؤَالِهِمْ وَاخْتِلاَفِهِمْ عَلَى أَنْبِيَائِهِمْ فَإِذَا أَمَرْتُكُمْ بِشَىْءٍ فَأْتُوا مِنْهُ مَا اسْتَطَعْتُمْ وَإِذَا نَهَيْتُكُمْ عَنْ شَىْءٍ فَدَعُوهُ.
Maksudnya: Tinggallah bertanya kepadaku apa yang aku tidak menyebutnya kepada kamu. Sesungguhnya telah binasa orang yang sebelum kamu kerana banyaknya bertanya dan khilafnya mereka kepada para Nabi. Justeru apabila aku perintahkan kamu dengan sesuatu, maka lakukanlah sesuai dengan kadar kemampuan kamu, dan apabila aku larang kamu daripada sesuatu maka tinggalkanlah. [HR Muslim (3321)].
ii- Hadis dari Abu Hurairah RA. dari Baginda SAW.:
Maksudnya: “Apa sahaja yang aku larang terhadap kalian, maka jauhilah. Dan apa sahaja yang aku perintahkan kepada kalian, maka kerjakanlah semampu kalian. Sesungguhnya apa yang membinasakan umat terdahulu sebelum kalian, hanyalah kerana mereka banyak bertanya dan menyelisihi nabi-nabi mereka.” (HR Bukhari & Muslim)
Kisah bani Israil dengan lembu yang Allah perintahkan suruh mereka sembelih.
iii- Sabda Rasulullah SAW: “Orang muslim yang paling besar dosanya ialah orang yang bertanya tentang sesuatu yang tidak diharamkan, lalu ia diharamkan kerana sebab pertanyaannya.” [HR Bukhari & Muslim].
Yakni soalan yang menyusahkan orang & dia sendiri.
- Adapun antara sebab mengapa Allah melarang hamba-Nya dari banyak bertanya bagi mengelakkan mereka ditimpa kesusahan hanya kerana pertanyaan mereka yang melampau-lampau.
Bayangkan dengan hasil pertanyaan mereka yang keterlaluan, sesuatu perkara yang halal menjadi haram. Ibadah yang ringan menjadi berat.
Bukankah ini akan mendatangkan kesusahan bagi mereka untuk beramal.
- Tetapi Allah maaf & ampunkan apa yang telah lepas, yakni sebelum adanya larangan ini.
Atau soalan yang memberi faedah & ilmu pengetahuan juga pastilah dibenarkan untuk bertanya agar tidak jahil dan faham.
- Maksud dimaafkan sini {عَفَا ٱللَّهُ عَنْهَا ۗ} ada beberapa pendapat pula:
i- Allah maafkan soalan-soalan kamu yang lepas kerana belum turun lagi ayat larangan.
ii- Walaupun Allah larang bertanya tetapi dimaafkan untuk tanya soalan yang tidak dinyatakan dalam al-Quran. Untuk ilmu & kefahaman.
iii- Perkara yang tidak disebut dalam al-Quran boleh kita bertanya untuk memahami suasana. Tetapi jika kita diam lagi baik, kerana Allah tak sebut itu untuk memberi rahmat kepada kamu bukan kerana lupa!
- Allah tutup ayat ini dengan mengatakan-:
i- Allah Maha pengampun {غَفُورٌ}- Allah tutup, ampunkan dosa mereka yakni apabila hamba-Nya bertaubat. Allah maaf & lepaskan pab mereka insaf menyesal.
ii- lagi Maha penyabar {حَلِيمٌ}- besar mana dosa hamba-Nya jika mereka bertaubat Allah akan ampunkan.
- Firman Allah SWT juga:
Maksudnya: {Dan kalaulah Allah mengirakan kesalahan manusia serta terus menyeksa mereka disebabkan amal-amal jahat yang mereka telah kerjakan, tentulah la tidak membiarkan tinggal di muka bumi sesuatu makhluk yang bergerak; akan tetapi (dia tidak bertindak dengan serta merta, bahkan) Ia memberi tempoh kepada mereka hingga ke suatu masa yang tertentu; kemudian apabila sampai tempoh mereka (maka Allah akan membalas masing-masing dengan adilnya), kerana sesungguhnya Allah sentiasa Melihat keadaan hamba-hambaNya.} (Faatir 35:45)
- Alhamdulillah Allah Maha kasih sayang kepada hamba-nya Dia tidak amabil tindakan ke atas kita atas dunia ini.
Lihat saja kematian & mayat orang Islam atau orang kafir sama saja.
Allah tidak zahirkan lagi atas dunia ini tetapi akan dedahkan di Akhirat kelak!
AYAT 102- {SESUNGGUHNYA PERKARA-PERKARA YANG SERUPA ITU PERNAH DITANYAKAN (KEPADA NABI MEREKA) OLEH SUATU KAUM DAHULU SEBELUM KAMU, KEMUDIAN MEREKA MENJADI KAFIR DENGAN SEBAB PERTANYAAN ITU (KERANA SETELAH DITERANGKAN, MEREKA TIDAK MENERIMANYA).} (AL-MA’IDAH 5:102)
- Allah ceritakan keadaan umat terdahulu yang telah binasa akibat banyak bertanya kepada para nabi mereka.
Iaitu mereka bertanya kepada nabi mereka, nabi mereka jawab tetapi mereka tak ikut pun! Maka kafirlah mereka.
- Itu kerana mereka bertanya bukan nak tahu sungguh atau nak minta pendapat atau nasihat, tetapi bertanya dengan niat buruk, kerana degil, keras kepala dan nak melawan.
Sama seperti yang telah dijelaskan dalam hadis di atas tadi.
- Maka kita jangan banyak bertanya, kita amalkan apa yang telah ada dalam al-Quran & hadis Nabi SAW.
Jika tak faham al-Quran kena tanya, jangan pula tafsir sendiri nanti rosak pula!
Wajib bertanya dengan ikhlas untuk mencari ilmu & kefahaman!
PENUTUP & FAEDAH :
- Ayat 101- {Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu bertanyakan (kepada Nabi) perkara-perkara yang jika diterangkan kepada kamu akan menyusahkan kamu,…}-
Kata ulama’ tadabbur : Antara yang menafikan kesempurnaan iman itu ialah bertanya yang pelik-pelik & tiada manfaat!
Contoh: Dok berlawan ustaz tanya kenapa subuh dua rakaat saja? Patut banyaklah kitakan baru bangun segar lagi dan seumpamanya!
Bila banyak persoalannya maka akan banyaklah masalahnya!
Apa yang tidak ada dari Nabi SAW kita jangan sibukkan diri mencari sebab, kita sibukkan diri kita dengan beribadat sebagaimana yang Nabi ajar & suruh.
Ayat ini juga mengajar adab orang Islam dengan Nabi SAW.
Apa yang kita terima dari Nabi, apa yang Baginda ajar & suruh ikut dan buatlah, apa yang nabi larang kita berhenti!
Jangan tanya atau minta yang lebih-lebih lagi.
Nabi SAW sangat rahmat kepada umatnya, apabila mereka bertyanya banyak, berubah muka Baginda kerana Baginda takut turun wahyu yang mewajibkan sesuatu yang berat bagi umatnya.
Baginda takut kita tidak mampu melakukannya maka akan jadi derhaka!
Contoh- kisah solat malam pada bulan Ramadhan:
Hadis riwayat daripada Umm Al-Mu’minin A’isyah RAnha bahawa:
أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم صَلَّى ذَاتَ لَيْلَةٍ فِي الْمَسْجِدِ فَصَلَّى بِصَلاَتِهِ نَاسٌ، ثُمَّ صَلَّى مِنَ الْقَابِلَةِ فَكَثُرَ النَّاسُ، ثُمَّ اجْتَمَعُوا مِنَ اللَّيْلَةِ الثَّالِثَةِ أَوِ الرَّابِعَةِ، فَلَمْ يَخْرُجْ إِلَيْهِمْ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم، فَلَمَّا أَصْبَحَ قَالَ قَدْ رَأَيْتُ الَّذِي صَنَعْتُمْ وَلَمْ يَمْنَعْنِي مِنَ الْخُرُوجِ إِلَيْكُمْ إِلاَّ أَنِّي خَشِيتُ أَنْ تُفْرَضَ عَلَيْكُمْ وَذَلِكَ فِي رَمَضَانَ
Maksudnya: Sesungguhnya Rasulullah SAW pada suatu malam sedang solat di dalam masjid. Maka orang ramai pun mengikut solat bersama baginda. Kemudian pada malam berikutnya, baginda solat sekali lagi dan jemaah yang mengikutnya semakin banyak. Pada malam yang ketiga atau keempat, orang ramai berkumpul menanti ketibaan Rasulullah SAW sebaliknya baginda tidak keluar kepada mereka. Apabila masuk waktu subuh, baginda bersabda kepada para jemaah: Sesungguhnya aku telah melihat apa yang kamu semua lakukan. Dan tidaklah yang menghalang aku dari keluar kepada kamu melainkan aku takut solat itu akan difardhukan ke atas kamu semua. Yang demikian itu berlaku pada bulan Ramadan. [HR Al-Bukhari (1129)].
- Ayat 101- {Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu bertanyakan (kepada Nabi) perkara-perkara yang jika diterangkan kepada kamu akan menyusahkan kamu,…}-
Kata ulama’ : Al-Quran yang turun bukan untuk membawa hukum & aqidah saja; tetapi ia juga untuk mentarbiyah dan mendidik ummat bagi melahirkan masyarakat & ummat yang harmoni!
Selain daripada kepada hukum-hakam; al-Quran juga fokus kepada adab & peraturan serta akhlak yang mulia!
CONTOH: Kita hari ini nak bertanya kepada ustaz pilihlah soalan yang membina & ada manfaat.
Kena lihat juga keadaan ustaz tu, sedang makan ke, atau belum siap zikirnya, sedangkan bercakap dengan orang lain dan seumpamanya.
Maka antara adab kita dengan Allah WT & dengan Rasulullah SAW ialah akur dengan perintah yang diberi!
Untuk menambah sedikit pengetahuan kita tentang hikmah disebalik beberapa hukum Islam boleh baca buku ini:
Keindahan Islam: https://dartaibah.com/…/Keindahan-Islam-Cetakan-Baru…
- Ayat 102- {Sesungguhnya perkara-perkara yang serupa itu pernah ditanyakan (kepada Nabi mereka) oleh suatu kaum dahulu sebelum kamu, kemudian mereka menjadi kafir…}-
Allah bawa bandingan & contoh kepada kita tentang umat terdahulu.
Contoh yang paling banyak ialah bani Israil dan Nabi Musa AS:
i- Kisah lembu bani Israil, hampir tak terbuat.
ii- Pengikut Nabi Musa minta nak tengok Tuhan!
iii- Firaun pula minta buat binaan dan nak naik tengok Tuhan Musa AS.
Ini semua adalah kerana keras kepala tak mahu terima kebenaran yang ada di depan mata.
Contoh juga seperti tak mahu terima tafsiran sebahagian ulama’ Salaf dalam al-Quran tentang sifat Allah, tak mahu terima satu hal, tetapi jangan menyindir dan mempermain-mainkannya seperti Firaun itu!
Kaedahnya: Jangan menyamakan Tuhan seperti makhluk & jangan memikirkan bagaimana sifat Allah itu. Jangan mudah terperangkap dengan mainan syaitan!
- Ayat 101- {Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu bertanyakan (kepada Nabi) perkara-perkara …}-
Ayat ini Allah larang dari bertanya.
Maka ia seolah berlawanan dengan firman Allah SWT: {…maka bertanyalah kamu kepada “Ahluz-Zikri” jika kamu tidak mengetahui.} (Al-Anbiyaa’ 21:7)
Tanyalah kepada guru atau ulama’ jika kamu tak tahu!
Jawapan:
i- Larangan bertanya pertama kepada perkara yang tidak berfaedah, yang keras kepala & ketika turunnya al-Quran.
ii- Manakala galakan untuk bertanya dalam ayat kedua ialah apa yang kita tak faham dalam agama!
Wajib tanya jangan buat hukum sendiri, tanya pula kepada ahlinya iaitu orang yang tahu iaitu orang alim!
Kefahaman:
i- Dalam ayat ini Allah mulakan dengan { لَا تَسْـَٔلُوا۟} kamu jangan tanya- yakni asalnya Allah larang supaya kita takut nak tanya benda yang tidak berfaedah.
ii- Kemudian dikatakan pula { وَإِن تَسْـَٔلُوا۟} jika kamu tanya juga, yakni apabila kamu dah bertanya maka al-Quran turun dengan hukum yang menyusahkan.
Maka itu adalah sebabnya kenapa dilarang.
Dalam al-Quran ini tidak dilarang saja tetapi akan dibawa sebabnya (العلة – الحكمة) kenapa dilarang.
- Ayat 101- {… Allah maafkan (kamu) dari (kesalahan bertanyakan) perkara-perkara itu (yang tidak dinyatakan di dalam Al-Quran);…}-
Allah maafkan kesalahan yang kita bertanya sebelum kita tahu hukumnya.
Begitu juga jika bertanya perkara yang memang kita tak faham seperti makna ayat atau makna hadis.
Kemudian Allah bawa bandingan tentang umat dulu yang datang bertanya kepada nabi mereka tetapi tak ikut & tetap kafir juga, maka itulah punca kebinasaan mereka.
Tanya banyak-banyak tetapi tak ikut juga!
Alhamdulillah tamatlah perbincangan ringkas kuliah tafsir kita hari ini semoga mendapat manfaat.
Projek Infaq kita bermula hri ini adalah:
Derma Untuk Pembinaan Masjid & Pusat Dakwah di Jepun, Japan Dakwah Centre.
Maybank 5621 0669 8373
Nama Akaun: Persatuan Fajar Iman Matahari Terbit Malaysi.
Semoga mendapat sambutan dari para dermawan semua.
Semoga Bermanfaat buat pencinta ilmu al-Quran.
Wallahu A’lam.