SURAH AR-RAHMAN : AYAT 37-45

\"\"

KEADAAN HURU HARA HARI KIAMAT, LANGIT TERBELAH & GOLONGAN KAFIR DIHUMBAN KE NERAKA.

Full video : https://youtu.be/B0Gyb1Tzatg

MUQADDIMAH :

  1. Dalam siri ini Allah s.w.t menceritakan tentang ini keadaan huru-hara pada hari kiamat, apabila langit terbelah dan ia menjadi merah, serta lain-lain kebinasaan dunia ini.
  2. Pada hari itu setiap manusia tidak akan ditanya lagi tentang dosa-dosanya, bahkan akan dihisab terus kerana rekod yang lengkap sudah ada!
  3. Manusia yang jahat dikenali dengan tanda-tanda yang ada & golongan kafir dihumban ke neraka yang disediakan bagi mereka yang jahat!
  4. Dalam siri ini disebut 4 kali soalan {فَبِأَىِّ ءَالَآءِ رَبِّكُمَا تُكَذِّبَانِ}- ia adalah dalam kategori 7 soalan selepas diceritakan tentang azab Allah s.w.t.
    Ya Allah selamatkan kami & keluarga kami dari azab neraka-Mu.

AYAT 37- {SELAIN ITU (SUNGGUH NGERI) KETIKA LANGIT PECAH-BELAH LALU MENJADILAH IA MERAH MAWAR, BERKILAT SEPERTI MINYAK;} (AR-RAHMAAN 55:37)

  1. Yakni sebelum ini mereka telah ditimpa azab dibakar dengan api yang menjulang serta dituang cairan tembaga, maka diceritakan pula tentang keadaan hari Kiamat.
  2. Ayat ini menggambarkan kehancuran langit apabila tiba hari Kiamat, ia terbelah & menjadi kemerahan seperti mawar (وَرْدَةًۭ) dan berkilat seperti minyak (كَٱلدِّهَانِ).
  3. Munasabah ayat:
    i- Ayat ini adalah isyarat kepada ayat yang lepas tentang suasana yang berlaku sebelum mereka dihantar ke neraka. Yakni apabila langit terbelah maknanya tiada lagi tempat tinggal bagi malaikat, bumi pula hancur lebur yakni musnah juga tempat tinggal bagi manusia & jin. Tiada tempat untuk lari lagi.

ii- ini juga kesinambungan ayat sebelumnya juga apabila Allah menyatakan nikmat-nikmat ke atas manusia yang wajib disyukuri. Kemudian nikmat itu akan hilang bahawa tiada benda yang akan kekal.

iii-Allah juga telah nyatakan bahawa manusia & jin akan dihitung dihisab amalan mereka- serta mereka tidak akan dapat lari keluar dari langit & bumi. Tidak akan selamat dari kekuasaan & hukum Allah s.w.t.

  1. Yakni Allah s.w.t nyatakan bahawa kelak apabila tiba hari Kiamat; sistem perjalanan dunia & langit akan hancur binasa semuanya!
  2. Kata ulama\’: Yakni pada hari Kiamat langit terbelah dan menjadi kemerahan dan berkilat apabila hancur, manakala bumi pula akan menjadi rata dan sama, tiada lagi bukit bukau dan hancur lebur segala bangunan yang tinggi!

AYAT 38- {MAKA YANG MANA SATU DI ANTARA NIKMAT-NIKMAT TUHAN KAMU, YANG KAMU HENDAK DUSTAKAN?} (AR-RAHMAAN 55:38)

  1. Lalu selepas cerita ini Allah s.w.t tanya sekali lagi! Ini adalah soalan yang ke-4 dalam siri soalan selepas diceritakan tentang azab!
  2. Munasabah ayat: Allah nyatakan sebelum ini bahawa Dia jadikan langit sebagai satu binaan yang kukuh, tiada kecacatan atau retak terbelah. Langit juga sebagai tempat tinggal malaikat, tempat turunnya hujan dan rezeki, roh-roh juga diangkat & tinggal di langit.
  3. Maka Alllah tanya nikmat mana lagi yang kamu nak dustakan wahai jin & manusia? Jawapan; TIADA!

AYAT 39- {PADA MASA ITU TIADA SESIAPAPUN, SAMA ADA MANUSIA ATAU JIN, YANG AKAN DITANYA TENTANG DOSANYA (KERANA MASING-MASING DAPAT DIKENAL MENURUT KEADAANNYA);} (AR-RAHMAAN 55:39)

  1. Pada hari Kiamat nanti semuanya akan terdedah dan terbentang amalan setiap makhluk. Tidak perlu ditanya lagi apa dosa manusia & jin kerana semua rekod lengkap dan keadaan mereka dikenal-pasti.
  2. Hadis: Sabda Rasulullah s.a.w:
    ))لكل غادر لواء يوم القيامة، يقال: هذه غدرة فلان((
    Setiap penipu akan dipacak bendera atas kepalanya pada hari Kiamat. Ini adalah penipuan si fulan-si fulan. [HR Muslim].
    *Bahkan ada Rasulullah s.a.w kata siapa ambil kambing lembu orang juga akan memikulnya pada hari Kiamat kelak.
  3. Munasabah ayat:
    i- Apabila Allah s.w.t terangkan bahawa azab atas dunia ini akan ditangguhkan samada dengan kematian atau Kiamat, maka Allah s.w.t nyatakan bahawa Dia akan ambil satu hari khas iaitu Hari untuk Hisab!

ii- pada hari Kiamat nanti pelbagai warna & kedaan kita akan nampak, semuanya akan berdiri menunggu & Allah s.w.t akan selesaikannnya mengikut masa yang telah ditetapkan. Setiap orang akan lihat & baca buku rekod catatan amalannya masing-masing.

Semua dosa akan didedahkan kecuali bagi mereka yang telah bertaubat mengikut syarat-syaratnya!

AYAT 40- {MAKA YANG MANA SATU DI ANTARA NIKMAT-NIKMAT TUHAN KAMU, YANG KAMU HENDAK DUSTAKAN?} (AR-RAHMAAN 55:40)

  1. Maka Allah s.w.t tanya lagi, dengan soalan yang ke-13!
  2. Kita jawab tiada apa yang nak kita dustakan ya Rabb! Semuanya kita syukuri akan nikmat Allah s.w.t!

AYAT 41- {ORANG-ORANG YANG BERDOSA DAPAT DIKENAL DARI TANDA-TANDANYA, LALU DIPEGANG DARI ATAS KEPALA DAN KAKINYA (SERTA DISERET KE NERAKA);} (AR-RAHMAAN 55:41)

  1. Setiap dosa ada tandanya & setiap orang yang berdosa dapat dikenal dari tandanya! Bila malaikat mereka akan mengecamnya, setiap dosa ada tandanya!
  2. Kata al-Wahidi, kebanyakan ulama\’ tafsir: Dikenali orang yang berdosa dengan mukanya yang hitam & mata yang biru.
  3. Firman Allah s.w.t:
    i- {(Ingatlah akan) hari (kiamat yang padanya) ada muka (orang-orang) menjadi putih berseri, dan ada muka (orang-orang) menjadi hitam legam. Adapun orang-orang yang telah hitam legam mukanya, (mereka akan ditanya secara menempelak): \”Patutkah kamu kufur ingkar sesudah kamu beriman? Oleh itu rasalah azab seksa neraka disebabkan kekufuran kamu itu\”.} (A-li\’Imraan 3:106)

ii- {(Iaitu) hari ditiup Sangkakala, dan Kami akan himpunkan pada hari itu orang-orang yang bersalah dalam keadaan biru matanya.} (Taha 20:102)

  1. Kata Ibnu Kathir rhm.: Orang mukmin pula dapat dikenali dengan muka & kaki tangan yang bercahaya hasil dari kesan wudhuk mereka!
  2. Ada juga ulama\’ kata: Selain daripada muka hitam, wajah mereka juga berkerut masam penuh stress & kesusahan kehinaan!
  3. Setelah dikenali mereka, malaikat datang samada pegang kepala, ada yang pegang kaki mereka, lalu diheret untuk dicampak masuk ke dalam neraka Jahannam!
  4. Ya Allah hapuskan & tutuplah dosa-dosa kami kelak! Selamat & lindungi kami, keluarga kami & semua yang kami sayangi daripada api neraka!

AYAT 42- {MAKA YANG MANA SATU DI ANTARA NIKMAT-NIKMAT TUHAN KAMU, YANG KAMU HENDAK DUSTAKAN?} (AR-RAHMAAN 55:42)

  1. Maka Allah s.w.t tanya lagi, dengan soalan yang ke-14!
  2. Kita jawab tiada apa yang nak kita dustakan ya Rabb! Semuanya kita syukuri akan nikmat Allah s.w.t!

AYAT 43- {(LALU DIKATAKAN KEPADA MEREKA): \”INILAH NERAKA JAHANNAM YANG SELALU ORANG-ORANG YANG BERDOSA MENDUSTAKANNYA \”.} (AR-RAHMAAN 55:43)

  1. Lalu dikatakan kepada mereka: Inilah neraka jahannam yang kamu mendustakannya dulu! Sekarang ia berada di depan mata kamu!
  2. Maka kita orang yang percaya beriman, buatlah satu sempadan antara kita dan neraka Jahannam, sempadan yang dapat menyelamatkan kita dengan amal soleh & taqwa kepada Allah s.w.t!

AYAT 44- {MEREKA (TERUS DISEKSA) BERULANG-ULANG DI ANTARA API NERAKA DENGAN AIR YANG MENGGELEGAK YANG CUKUP MASAK PANASNYA!} (AR-RAHMAAN 55:44)

  1. Siksaan yang dahsyat dikenakan lagi ke atas mereka, di ulang-ulang tanpa henti!
    Bergilir-gilir antara api neraka & air panas yang menggelegak!
    Ya Allah selamatkan kami daripada siksaan neraka-Mu!
  2. Semoga cukuplah apa yang kita belajar ini melembutkah hati kita, meruntuhkan keegoan kita, melemahkan nafsu kita dari terus mengejar dunia yang fana ini, yang menjadi rebutan ahli dunia!
  3. Kata ahli tasauf: Dunia ini ibarat bangkai; Pemburunya ibarat anjing!
  4. Bagi orang soleh pula; Dunia tempat kita bercucuk tanam, menabur amal soleh untuk dituai hasil pahalanya di Akhirat kelak.
  5. Maka tanamlah yang baik-baik; Setiap kebaikan dapat pahala, setiap kejahatan akan membawa bala!
  6. Firman Allah s.w.t:
    {Ketika belenggu dan rantai dipasung di leher mereka, sambil mereka, diseret;
    Ke dalam air panas yang menggelegak; kemudian mereka dibakar dalam api neraka;} (Ghaafir 40:72)

AYAT 45- {MAKA YANG MANA SATU DI ANTARA NIKMAT-NIKMAT TUHAN KAMU, YANG KAMU HENDAK DUSTAKAN?} (AR-RAHMAAN 55:45)

  1. Maka Allah s.w.t tanya lagi, dengan soalan yang ke-15 dalam surah ini dan soalan ke-7 dalam episod tentang azab neraka!
  2. Munasabah ayat: Setelah Allah nyatakan Dia siksa orang jahat & beri nikmat kepada orang yang bertaqwa: maka antara nikmat, rahmat & kasih ialah Allah s.w.t bagi amaran & peringatan kepada makhluk ini akan balasan atas dosa yang dibuat. Ini supaya mereka meninggalkan segala perbuatan syirik, maksiat, perbuatan bid\’ah & munkar serta derhaka kepada Allah Azza wa Jalla.
  3. Maka Allah s.w.t tanya soalan ini manakah nikmat Tuhanmua yang kamu dustakan???
    Kita jawab tiada apa yang nak kita dustakan ya Rabb!
    Semuanya kita syukuri akan nikmat Allah s.w.t!
  4. Tetapi jawapan dengan lisan ini kena selari dan di realisasikan dengan amal perbuatan, bukan hanya menafikannya sahaja tetapi tetap tidak meninggalkan segala larangan dan tidak mengingkari nikmat yang Allah anugerahkan ini!

PENUTUP & FAEDAH :

  1. Ayat 37- {Selain itu (sungguh ngeri) ketika langit pecah-belah lalu menjadilah ia merah mawar, berkilat seperti minyak;}- ayat ini melengkapkan cerita atas cerita.

i- Iaitu cerita yang Allah sebut kepada mereka di awal surah ini, iaitu ayat ke-31- Allah beri masa khas untuk muhasabah, hari yang diberi tangguh kepada mereka.

ii- Bilakah hari itu? Dijawab dalam ayat 37 ini: Iaitu hari Kiamat hari terbelahnya langit dan menjadi kemerah-merahan!

iii- Jika kamu masih mahu lawan dan mendustakannya, teruskanlah, tunggulah hari itu!

  1. Ayat 39- {Pada masa itu tiada sesiapapun, sama ada manusia atau jin, yang akan ditanya tentang dosanya (kerana masing-masing dapat dikenal menurut keadaannya);}- yakni pada hari itu manusia & jin tidak ditanya lagi tentang dosa-dosa mereka.

Firman Allah s.w.t:
{Dan (ingatlah) orang-orang yang berdosa (apabila mereka diseksa) tidak lagi ditanya tentang dosa-dosa mereka, (kerana Allah sedia mengetahuinya).} (Al-Qasas 28:78)

Persoalan: Macamana kita nak kumpulkan dua ayat ini dengan ayat yang Allah kata bahawa mereka orang kafir itu akan ditanya?
Iaitu firman Allah s.w.t:
i- {Demi Tuhanmu! Kami akan menyoal mereka (yang kafir itu) semuanya (pada hari kiamat kelak), -Mengenai apa yang mereka telah lakukan.} (Al-Hijr 15: 92-93)

ii- {\”Dan hentikanlah mereka (menunggu), kerana sesungguhnya mereka akan disoal:} (As-Saaffaat 37:24)

Jawapan: Tiada percanggahan antara ayat-ayat ini sama-sekali kerana ia datang dari sumber yang satu iaitu dari Allah s.w.t Azza wa Jalla.

Ini kerana:
i- Di akhirat kelak banyak tempat perhentian atau station. Tak tanya di sini bukan di depan akan ditanya.

ii- Ia adalah bukan soalan nak tanya khabar atau nak tahu jawapan, tetapi soalan untuk mencerca, menghina atau mengherdik, Tanya soalan marah bukan soalan siasatan!

Soalan dalam al-Quran atau dua kategori:
i- untuk mencerca atau mencela. Biasanya Allah s.w.t guna lafaz (lamma- لما) – kenapa kenapa.

ii- soal tanya khabar dan nak tahu jawapan. Biasa diguna lafaz (hal-هل).

Yakni ayat al-Quran ini bertempat dan sangat halus, soalannya pun mengikut keadaan kita masa itu. Setiap ayatnya mengandungi hikmah dan maksud yang khas.
Jahat mulut orang kafir yang membuat tuduhan kepada Allah Tuhan kita yang Agung!

  1. Ayat 39- {Pada masa itu tiada sesiapapun, sama ada manusia atau jin, yang akan ditanya tentang dosanya (kerana masing-masing dapat dikenal menurut keadaannya);}- Allah s.w.t sandarkan dos aitu kepada dua makhluk iaitu jin & manusia.

i- maka ayat ini dalil bahawa jin 7 manusia sama dari sudut taklif – iaitu tanggung-jawab Syari\’ah.
Tetapi ada kelebihan & kemuliaan bagi manusia kerana kiata nabi & rasul.

  1. Ayat 41- {Orang-orang yang berdosa dapat dikenal dari tanda-tandanya, lalu dipegang dari atas kepala dan kakinya (serta diseret ke neraka);}- ayat ini menjelaskan bahawa di akhirat kelak setiap dosa dan orang jahat itu ada tandanya.
    Allah s.w.t mahu zahirkan perbuatan kamu di dunia dengan tanda yang telah dikhaskan bagi setiap kategorinya. Bagaimana tandanya wallahu a\’lam.

Cuma sebagaimana hadis di atas setiap orang akan memikul dosa barang curian masing-masing di Akhirat kelak, diletak bendera atas kepalanya, dihitamkan wajahnya, biru matanya dan lain-lain.

Manakala orang baik pula dengan wajah yang putih dan bersinar anggotanya kesan dari wudhuk.
YA Allah jadikanlah kami dari golongan yang putih wajahnya di akhirat kelak!

  1. Ayat 45- {Maka yang mana satu di antara nikmat-nikmat Tuhan kamu, yang kamu hendak dustakan?}- soalan ini Allah s.w.t sebut dan ulang ayat ini beberapa kali dalam surah ini semenjak dari awal lagi.

i- Allah sebut dari awal lagi iaitu pada ayat 26, bahawa semua makhluk atas dunia ini akan rosak, hanya Allah akan kekal.
Sehingga kepada ayat 45 ini adalah menjadi nasihat & amaran, menakutkan manusia bahawa semua nikmat yang Allah beri akan dipersoalkan. Kerana itulah selepas disebut setiap nikmat dan amaran itu diulang tanya soalan ini.

ii- manakala dalam episod kedua iaitu tentang neraka, Allah s.w.t ulang 7 kali; sebagai peringatan amaran kepada orang beriman bahawa pintu neraka itu ada tujuh buah juga!

iii- maka kita minta berlindung dengan Allah s.w.t dari ketujuh-tujuh pintu neraka dan segala amalan yang boleh membawa kepadanya.
Kita kena ingat jangan nerakakan orang kerana Neraka akan mencari menghuninya

v- Beringatlah setiap masa terutamanya kita pencinta al-Quran & Sunnah ini, pada musim ujian ini, jaga mulut & lidah juga, juga kaki & tangan daripada menulis & share apa yang tidak sahih dan buruk-buruk!

Ingat malaikat belum pencen & surat amalan kita yang kita nak baca nanti, kitalah penulisnya!

Kata kartunis Arab: Syaitan lari apabila dibaca ayat Kursi, tetapi ahli politik berebut cari kerusi!

Supaya kita tidak muflis di Akhirat, tidak diseret ke neraka Jahannam, marilah kita kawal diri daripada terjebak dengan komen dan tuduhan yang sewenang-wenangnya.

Kata ahli tasauf:
Dunia ini ibarat bangkai;
Pemburunya ibarat anjing!

Insya\’ Allah kita sambung lagi selepas ini.

Semoga Allah s.w.t tidak tinggalkan kita dalam dunia ini dengan terumbang- ambing tanpa pedoman & petunjuk.

Powered by BetterDocs