SURAH AL-QIYAMAH : AYAT 16-19

\"\"

ADAB MENERIMA BACAAN QURAN, AKAN DISEMAT DALAM DADA & DIBERIKAN KEFAHAMAN.

Full video: https://www.youtube.com/watch?v=i1XSr8pR0EQ

MUQADDIMAH:

  1. Dalam siri ini Allah s.w.t mengajar Rasulullah s.a.w adab menerima bacaan al-Quran. Iaitu dengar dulu dengan teliti kemudian baru ikut baca.
  2. Kemudian Allah s.w.t jamin & janji bahawa al-Quran akan disemat dalam dada Rasulullah s.a.w, Baginda akan hafaznya!

Hari ini terdapat ramai orang yang menghafaz al-Quran, ada yang al-Hafiz sungguh, ada yang cuma \”al-Habis\”, habis cuma ikut silibus.

  1. Kita ini walaupun tidak hafaz al-Quran, kita kena belajar al-Quran, terus belajar sehingga kita boleh faham dan beramal dengan isi kandungannya!
  2. Itulah objetif al-Quran diturunkan, untuk baca, di hayati sehingga diberikan kefahaman lalu diamalkan dalam hidup kita.

أَعُوذُ بِاَللَّهِ السَّمِيعِ الْعَلِيمِ مِنْ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ

AYAT 16- {JANGANLAH ENGKAU (WAHAI MUHAMMAD) – KERANA HENDAKKAN CEPAT MENGHAFAZ QURAN YANG DITURUNKAN KEPADAMU – MENGGERAKKAN LIDAHMU MEMBACANYA (SEBELUM SELESAI DIBACAKAN KEPADAMU).}
(AL-QIYAMAH 75:16)

  1. Allah s.w.t menyuruh Rasulullah s.a.w bersabar dan jangan gopoh untuk ikut membaca al-Quran dan cepat menghafaz al-Quran yang diturunkan kepadanya.
  2. Ayat ini membayangkan bahawa apabila al-Quran diturunkan kepada Baginda, Rasulullah s.a.w segera mahu ikut membacanya.
    Lalu diperintahkan untuk mendengar dulu bacaan Jibril itu, selepas itu barulah dibolehkan untuk membaca & menghafaznya dengan tepat.
  3. Sabab Nuzul ayat ini:
    i- sebelum ini Allah s.w.t sebut tentang keadaan orang kafir yang berpaling lari tidak mahu mendengar apabila al-Quran dibacakan kepada mereka seperti zebra yang lari dari singa! Mereka juga mengikut hawa nafsu apa mereka nak.
    ii- maka Allah s.w.t ajar kepada Rasulullah s.a.w agar menerima al-Quran ini dengan tenang, dengar betul-betul, kemudian baru hafaznya lalu ajar kepada orang lain


Yakni dalam bab al-Quran kita kena belajar dan mahir dulu baru ajar orang. Jangan mudah-mudah nak jadi guru al-Quran!

Al-Quran juga perlu pembelajaran secara (syafahi) yakni ikut gerakan bibir/mulut, dan talaqqi iaitu kena dengar & perhati bacaan. Kerana itu dinasihatkan tidak elok untuk belajar al-Quran silang-jantina kerana boleh menimbulkan fitnah dan perasaan yang tidak diingini serta untuk menjaga kesucian hati.

Bahkan para sahabat pun diajar oleh Allah s.w.t adab untuk berkomunikasi dengan para Ummahatul-Mukminin, isteri Rasulullah s.a.w dalam firman-Nya:
{Apabila kamu meminta sesuatu (keperluan) kepada mereka (isteri-isteri Nabi), maka mintalah dari belakang tabir. Cara yang demikian itu lebih suci bagi hatimu dan hati mereka.} [al-Ahzab: 53].

Yakni tidak berdepan dan lepas bebas walaupun atas nama menuntut ilmu & bertanya hukum-hakam dan keperluan.

ii- Riwayat dari Ibnu Abbas r.a bahawa Rasulullah s.a.w apabila turun wahyu kepada Rasulullah s.a.w, Baginda menggerak-gerakkan lidahnya kerana ingin cepat hafal. Maka Allah menurunkan ayat ini (al-Qiyaamah: 16) sebagai petunjuk dalam menerima ajaran Allah. [HR Bukhari].

Rasulullah s.a.w segera ingin ikut membacanya kerana takut lupa & ingin menghafaznya dengan segera dan kerana kecintaan Baginda s.a.w terhadap al-Quran.

AYAT 17- {SESUNGGUHNYA KAMILAH YANG BERKUASA MENGUMPULKAN AL-QURAN ITU (DALAM DADAMU), DAN MENETAPKAN BACAANNYA (PADA LIDAHMU);} (AL-QIYAMAH 75:17)

  1. Dalam ayat ini, Allah s.w.t nyatakan sebab kenapa Rasulullah s.a.w dilarang gopoh, dengar dulu jangan terus baca. Ini kerana Allah s.w.t akan menolongnya dengan mukjizat.
  2. Yakni kamu jangan bimbang, tidak mengapa walaupun tidak terus ikut, Tuhanmu akan meletakkan al-Quran itu dalam dadamu dan menetapkan bacaanya pada lidahmu.
  3. Yakni Baginda s.a.w akan dapat lancar membaca & menghafaznya dengan pertolongan Allah s.w.t!
  4. Firman Allah s.w.t tentang al-Quran yang akan dijaga-Nya:
    i- {Sesungguhnya Kamilah yang menurunkan Al-Quran, dan Kamilah yang memelihara dan menjaganya.} (Al-Hijr 15:9)
    ii- {Kami sentiasa menjadikan engkau (wahai Muhammad) dapat membaca (Al-Quran yang diturunkan kepadamu – dengan perantaraan jibril), sehingga engkau (menghafaznya dan) tidak lupa,} (Al-A\’laa 87:6)
    Allah juga jamin bahawa Rasulullah s.a.w tidak akan lupa al-Quran selamanya!
  1. Tiada siapa yang dapat kacau & ubah al-Quran, orang putih ke barat.
    Tetapi mereka berjaya menjauhkan al-Quran dari orang Islam dalam kehidupan mereka! Inilah peranan para penjajah & orientalis dalam merosakkan agama orang Islam!
    Al-Quran hanya menjadi pembuka majlis, dibuat musabaqah dan seumpamanya. Tetapi bukan menjadi cara hidup & undang-undang yang rasmi!

AYAT 18- {OLEH ITU, APABILA KAMI TELAH MENYEMPURNAKAN BACAANNYA (KEPADAMU, DENGAN PERANTARAAN JIBRIL), MAKA BACALAH MENURUT BACAANNYA ITU;} (AL-QIYAMAH 75:18)

  1. Allah s.w.t nyatakan jaminan bahawa akan disempurnakan bacaan al-Quran kepada Rasulullah s.a.w melalui Jibril a.s yang mebacakan kepadanya.
  2. Maka sabar dengar dulu betul-betul apabila dibacakan al-Quran, jangan gopoh untuk terus ikutnya, apabila Jibril selesai bacaanya maka barulah Rasulullah s.a.w baca balik sebagaimana yang telah dibaca oleh Jibril a.s. yang menerimanya dari Allah s.w.t!
  3. Kemudian Rasulullah s.a.w akan memanggil para sahabat yang telah dilantik sebagai penulis wahyunya dan dibacakan kepada mereka pula.
  4. Kemudian mereka akan menyusun ayat-ayat itu mengikut yang diajar oleh Rasulullah s.a.w berpandukan wahyu dari Allah.
    Dikatakan al-Quran ini diturunkan atas TUJUH huruf. Kerana itu terdapat pelbagai Qira\’at, semuanya muktabar, yakni diterima, boleh dibaca dalam solat dan di luar solat.
  5. Riwayat dari Ibnu Abbas r.a bahawa Rasulullah s.a.w telah bersabda:
    \”Malaikat Jibril as telah membacakan kepadaku dengan satu huruf (bentuk bacaan) lalu aku mengulang bacaan itu, aku sentiasa meminta Jibril supaya menambahkan lagi huruf yang lain (meminta Jibril a.s supaya mohon dari Allah s.w.t bentuk bacaan yang lain) dari ayat tersebut dan beliau menambahkan sehingga kepada tujuh huruf\”. [HR Bukhari & Muslim].
  6. Firman Allah s.w.t:
    {Dan apabila Al-Quran itu dibacakan, maka dengarlah akan dia serta diamlah (dengan sebulat-bulat ingatan untuk mendengarnya), supaya kamu beroleh rahmat.} (Al-A\’raaf 7:204)
    Yakni apabila orang baca al-Quran jangan bising, diam dan dengarnya dahulu.
  7. Inilah uslub talaqqi secara syafahi iaitu baca dengan bunyi & bergerak bibir & lidah.

AYAT 19- {KEMUDIAN, SESUNGGUHNYA KEPADA KAMILAH TERSERAH URUSAN MENJELASKAN KANDUNGANNYA (YANG MEMERLUKAN PENJELASAN).} (AL-QIYAMAH 75:19)

  1. Allah s.w.t bagi jaminan bahawa penjelasan dan makna al-Quran akan disampaikan dengan jelasnya. Tidak ada mana-mana ayat al-Quran yang Rasulullah s.a.w tidak faham & jelas maksudnya.
  2. Semua ayat al-Quran yang diturunkan, Allah s.w.t jamin akan diajar & dijelaskan isi kandungan dan maknanya kepada Rasulullah s.a.w. Baginda kemudiannya mengajar pula kepada para sahabat yang menjadi ulama\’ yang besar yang memahami al-Quran. Sahabat ajar pula kepada ulama\’ tabi\’in mereka fahamnya.

Tetapi apabila tiba ulama\’ yang sesat seperti Jaham bin Safwan mereka mula memandulkan makna ayat al-Quran yang berkait dengan sifat Allah dan menukar maknanya.

PENUTUP & FAEDAH:

  1. Ayat 16- {Janganlah engkau (wahai Muhammad) – Kerana hendakkan cepat menghafaz Quran yang diturunkan kepadamu – menggerakkan lidahmu membacanya (sebelum selesai dibacakan kepadamu).}- dari ayat ini adalah larangan agar jangan gopoh dan tidak sabar dalam apa jua perkara.

Jika sifat gopoh ini dicela dan dilarang oleh Allah s.w.t dalam perkara penting agama & baik, apatah lagi dalam perkara lain, bertambah di larang!
Jangan gopong- jangan gaduh atau lorat (Kelantan).

Apabila Allah s.w.t larang jangan gopoh dalam menuntut ilmu, maknanya kena dengar betul-betul sehingga faham, barulah boleh disampaikan kepada orang lain!
Jangan terlalu bersemangat sehingga gopoh menyebarkan.

Jadi Allah s.w.t mengajar Rasulullah s.a.w agar bersabar, dengar dulu al-Quran itu dibaca oleh Jibril a.s sehingga selesai, jangan gopoh untuk ikut membacanya!

  1. Ayat 17- {Sesungguhnya Kamilah yang berkuasa mengumpulkan Al-Quran itu (dalam dadamu), dan menetapkan bacaannya (pada lidahmu);}- kata ulama\’- ayat ini menjelaskan bahawa al-Quran itu turun secara berperingkat dan sedikit demi sedikit mengikut suasana dan peristiwa yang berlaku.
    Ia juga isyarat bahawa dengan jaminan dari Allah ini:
    i- Terkumpulnya al-Quran dalam satu mashaf seperti yang ada di depan kita ini,

ii- bahawa akan ada sepanjang zaman orang yang menghafaz al-Quran dalam dada mereka bermula dari zaman Rasulullah s.a.w & para sahabat r.anhum.
Perhatian bagi anak-anak huffaz; tak perlulah kita tulis sendiri al-hafiz sebagai gelaran.

  1. Ayat 18- {Oleh itu, apabila Kami telah menyempurnakan bacaannya (kepadamu, dengan perantaraan Jibril), maka bacalah menurut bacaannya itu;}
    Timbul persoalan: Kenapa Allah s.w.t kata {Kami telah menyempurnakan bacaannya}- sedangkan Jibril yang mebacakannya kepada Rasulullah s.a.w?

JAWAPAN :

Walaupun yang baca di sini adalah Jibril tetapi yang mememerintahkanya adalah Allah s.w.t dan al-Quran itu datang dari Allah s.w.t juga! Ini hanyalah uslub bahasa!

4. Ayat 19- {Kemudian, sesungguhnya kepada Kamilah terserah urusan menjelaskan kandungannya (yang memerlukan penjelasan).}
Di sini Allah s.w.t memberi jaminan bahawa makna al-Quran akan diajar dan dimaklumkan kepada hamba-Nya. Jadi jangan sesiapa kata ayat al-Quran hanya untuk dibaca sahaja kerana perkataannya tidak dapat difahami!

Tidak ada satu ayat atau perkataanpun dalam al-Quran yang tidak difahami oleh manusia biasa, seluruh umat manusia! Kecuali manusia yang tutup mata hati & akalnya daripada memahaminnya!

Ulama\’ yang paling memahami al-Quran ialah para sahabat r.a yang mendapat didikan dan ajaran secara lansung dari Rasulullah s.a.w!

5. Ayat 19- {Kemudian, sesungguhnya kepada Kamilah terserah urusan menjelaskan kandungannya (yang memerlukan penjelasan).}- ayat ini juga memberi makna bahawa Allah s.w.t tidak menyembunyikan apa-apa dari hamba-Nya!

Apa yang mahu diperintah jelas, apa yang dilarang juga jelas! Tidak ada perintah atau larangan yang yang tidak difahami sehingga membuat manusia ragu-ragu tentangnya!

Kata ulama\’ juga: Dari ayat ini kita dapat fahami bahawa pentingnya al-Quran untuk diterjemah kepada pelbagai bahasa agar dapat difahami oleh orang yang tidak pandai bahasa Arab.

Ini untuk membolehkan mereka baca, fahami maknanya, buat kajian, fikir dan mendapat hidayah petunjuk darinya Insya\’ Allah!
Ia juga supaya manusia tidak dapat buat hujjah bahawa mereka tidak beriman kerana tidak faham al-Quran.

Powered by BetterDocs