SURAH AL-QALAM : AYAT 17-33

\"\"

KISAH TUAN KEBUN YANG BAKHIL, HABIS KEBUNNYA TERBAKAR & ANCAMAN AZAB AKHIRAT KEPADA KAFIR.

Full video : https://youtu.be/secpVGzoh0I

MUQADDIMAH :

  1. Dalam siri ini Allah s.w.t ceritakan kisah tuan kebun yang bakhil, akhirnya habis kebunnya terbakar dan mereka kebingungan kerana terkejut dengan apa yang berlaku!
  2. Allah s.w.t ceritakan kisah kepada puak kafir agar mereka ambil pengajaran dari apa yang terjadi. Itu hanya baru azab di dunia.
  3. Allah juga bawa ancaman azab akhirat kepada kafir jika mereka terus berada dalam kekufuran dan tidak beriman.
  4. Munasabah ayat:
    i- Dalam ayat yang lepas Allah s.w.t telah ceritakan tentang beberapa sifat buruk iaitu 10 atau 12 sifat buruk bagi kaum musyrikin Quraisy yang suka bersumpah dan lain-lain.

ii- kemudian dalam ayat ini Allah s.w.t sebut bencana yang menimpa mereka akibat kejahatan yang mereka buat ke atas kaum muslimini; lalu Rasulullah s.a.w berdoa ke atas mereka:

اَللَّهُمَّ اشْدُدُ وَطْأَتَكَ عَلَى مُضَرَ وَاجْعَلْهَا عَلَيْهِمْ سِنِيْنَ كَسِنِيْ يُوْسُفَ

Ya Allah, keraskanlah siksaan-Mu atas (kaum) Mudhar, Ya Allah, jadikanlah atas mereka musim kemarau seperti musim kemarau (yang terjadi pada zaman) Yusuf. (HR. Al-Bukhari)

AYAT 17- {SESUNGGUHNYA KAMI TELAH TIMPAKAN MEREKA DENGAN BALA BENCANA, SEBAGAIMANA KAMI TIMPAKAN TUAN-TUAN PUNYA KEBUN (DARI KAUM YANG TELAH LALU), KETIKA ORANG-ORANG ITU BERSUMPAH (BAHAWA) MEREKA AKAN MEMETIK BUAH-BUAH KEBUN ITU PADA ESOK PAGI;} (AL-QALAM 68:17)

  1. Dalam ayat ini Allah s.w.t cerita bahawa kaum musyrikin Makkah telah ditimpa bala bencana dengan satu musim kemarau & kebuluran sehingga mereka terpaksa memakan bangkai!
  2. Mereka mengkhianti Rasulullah s.a.w dan para muslim dengan memboikot kaum muslimin sehingga terpaksa keluar berkumpul di satu lembah pinggir Makkah.
    Mereka hidup dalam kesusahan buat beberapa lama sehingga terpaksa memakan daun-daun kayu akibat sekatan dan boikot kaum musyrik Quraisy.
  3. Lalu Allah s.w.t balas dan menimpakan bencana juga atas kekufuran dan kesombongan mereka. Inilah peringatan Allah ke atas puak kafir.
  4. Sesungguhnya Allah timpa ke atas mereka sebagaimana Allah telah timpakan bala bencana ke atas tuan-tuan kebun dari kaum yang telah lalu.
  5. Kata ahli tafsir: Allah telah memberi nikmat yang banyak kepada ahli Makkah, tetapi mereka tetap sombong & angkuh & takabbur.
    Mereka kufur dengan dakwah Rasulullah s.a.w lalu Allah balakan ke atas mereka dengan kemarau yang dahsyat!
  6. Sebagaimana tuan kebun itu, yang mempunyai kebun yang subur & indah tetapi dek kerana sifat bakhil mereka, Allah musnahkan kebun mereka!
  7. Tuan kebun telah bersumpah bahawa mereka akan memetik hasil kebun mereka pada awal pagi lagi sebelum orang miskin datang untuk meminta bahagian mereka daripada hasil kebun mereka!

AYAT 18- {SERTA MEREKA TIDAK MENYEBUT PENGECUALIAN.} (AL-QALAM 68:18)

  1. Tetapi mereka tidak sebut pengecualian
    (وَلَا يَسْتَثْنُونَ).
  2. Kata al-Mawardi rhm. maksudnya ialah:
    i- mereka tidak simpan (kecualikan) bahagian khas untuk fakir-miskin. Mahu jual semua hasil kebun mereka.

ii- ada yang kata mereka tidak kata: subhanallah (سبحان الله) syukur kepada Allah atas segala nikmat ini.

iii- mereka tidak berkata: Insya\’ Allah (إن شاء الله) iaitu dengan kehendak Allah.

AYAT 19- {MAKA KEBUN ITU DIDATANGI SERTA DILIPUTI OLEH BALA BENCANA DARI TUHANMU (PADA MALAM HARI), SEDANG MEREKA SEMUA TIDUR.} (AL-QALAM 68:19)

  1. Lalu Allah s.w.t turunkan ke atas kebun mereka bala bencana dari langit {طائف} pada waktu malam hari, ketika mereka semua sedang tidur.
  2. Ia adalah kebun kepunyaan satu keluarga beriman yang diwarisi oleh anak-anaknya selepas kematian bapanya yang soleh dan pemurah.
  3. Di mana kebun ini tidak disebut di dalam al-Quran mahupun hadis Rasulullah s.a.w. apa yang penting pengajaran dari kisah ini, jangan bakhil dan berikan hak orang miskin!
  4. Siapakah yang bawa bencana { طَآئِفٌۭ} itu?
    i- kata al-Qurtubi ialah Jibril yang turun bawa bencana dengan perintah Allah.

ii- kata Ibnu Abbas maksudnya arahan dari Allah s.w.t.

iii- ada yang kata ia adalah api yang membakar.

Iv- kata Ibnu Asyur rhm.- sejenis bala bencana, tidak disebut jenisnya.

AYAT 20- {LALU MENJADILAH IA SEBAGAI KEBUN YANG TELAH BINASA SEMUA BUAHNYA.} (AL-QALAM 68:20)

  1. Selepas bencana itu jadilah kebun itu hangus-rentung. Menjadi hitam seperti malam yang gelap gelita.
  2. Kata ulama\’ makna {كَٱلصَّرِيمِ} ialah seperti malam yang gelap gelita atau arang yang terbakar menjadi abu!
  3. Kerana itu jika kita nak buat kenduri senaraikan terlebih dahulu golongan yang memerlukan iaitu golongan yang tidak mampu, yang lapar dari para fakir-miskin. Jangan sampai majlis kita menjadi majlis yang tidak berkat iaitu beri makan orang kenyang tetapi ditinggalkan orang yang lapar (miskin).
    Bukan salah jemput orang kaya, tetapi jangan abaikan si miskin juga!

AYAT 21- {KEMUDIAN PADA PAGI-PAGI, MEREKA PANGGIL MEMANGGIL ANTARA SATU DENGAN YANG LAIN – LAIN} (AL-QALAM 68:21)

  1. Pada pagi hari mahu memetik hasil itu mereka saling panggil-memanggil satu sama lain!

AYAT 22- {(SETENGAHNYA BERKATA): \”PERGILAH PADA PAGI-PAGI KE KEBUN KAMU, KALAU BETUL KAMU MAHU MEMETIK BUAHNYA\”.} (AL-QALAM 68:22)

  1. Mereka berkata lagi: Kita harus pergi segera ke kebun, pada pagi-pagi hari lagi jika kita mahu memungut hasilnya!

AYAT 23- {LALU BERJALANLAH MEREKA SAMBIL BERBISIK (KATANYA):} (AL-QALAM 68:23)

  1. Mereka pun berjalan sambil berbisik-bisik (agar tidak didengari oleh orang miskin).

AYAT24- {\”PADA HARI INI, JANGANLAH HENDAKNYA SEORANG MISKIN PUN MASUK KE KEBUN ITU MENDAPATKAN KAMU\”.} (AL-QALAM 68:24)

  1. Mereka berkata: Pada hari ini, dengan kita pergi awal dan senyap-senyap, semoga orang miskin tidak sempat datang ke kebun sebelum kita selesaikan segala urusan dan simpan segala hasil!

AYAT 25- {DAN PERGILAH MEREKA PADA PAGI-PAGI ITU, DENGAN KEPERCAYAAN, (BAHAWA) MEREKA BERKUASA MENGHAMPAKAN FAKIR MISKIN DARI HASIL KEBUN ITU.} (AL-QALAM 68:25)

  1. Maka pergilah mereka pada awal pergi dengan keyakinan bahawa mereka akan berjaya menyelamatkan hasil kebun mereka dari orang miskin yang memerlu dan menunggu-nunggunya!
  2. Betapa dahsyat dan buruknya niat & rancangan mereka, begitu bakhil sekali mereka tidak mahu memberi sedekah daripada hasil kebun mereka kepada orang miskin walaupun sedikit.
  3. Sanggup menghampakan fakir miskin kerana ketamakan dan kebakhilan mereka! Tak nak bagi sudah tetapi jangan sampai bangga dan suka pula dengan perbuatan buruk itu!

AYAT 26- {SEBAIK-BAIK SAHAJA MEREKA MELIHAT KEBUNNYA, MEREKA BERKATA: \”SEBENARNYA KITA SESAT JALAN, (INI BUKANLAH KEBUN KITA)\”.} (AL-QALAM 68:26)

  1. Sebaik sahaja mereka tiba di kebun mereka, mereka berkata: Eh ini bukan kebun kita. Kita telah tersesat jalan. Kebun kita lain, subur dan hijau merimbun!
  2. Sedangkan kebun itu telah hitam legam hangus terbakar gelap gelemat seolah malam!

AYAT 27- {(SETELAH MEREKA PERHATI DENGAN TELITI, MEREKA BERKATA: \”TIDAK! KITA TIDAK SESAT), BAHKAN KITA ORANG-ORANG YANG DIHAMPAKAN (DARI HASIL KEBUN KITA, DENGAN SEBAB INGATAN BURUK KITA SENDIRI)\”.} (AL-QALAM 68:27)

  1. Setelah mereka perhati dengan teliti barulah mereka sedar dan yakin bahawa itulah kebun mereka yang sebenarnya, bukan mereka sesat atau salah jalan!
  2. Terus mereka sedar dan insaf bahawa merekalah sebenarnya yang telah terhalang dari mendapat hasil kebun itu akibat dari niat dan rancangan tidak baik mereka sendiri!
  3. Mereka tidak mendapat apa-apa hasil dari kebun pada tahun itu akibat kebakhilan mereka sendiri, Allah terus membalasnya!

AYAT 28- {BERKATALAH ORANG YANG BERSIKAP ADIL DI ANTARA MEREKA: \”BUKANKAH AKU TELAH KATAKAN KEPADA KAMU (SEMASA KAMU HENDAK MENGHAMPAKAN ORANG-ORANG FAKIR MISKIN DARI HABUANNYA): AMATLAH ELOK KIRANYA KAMU MENGINGATI ALLAH (SERTA MEMBATALKAN RANCANGAN KAMU YANG JAHAT ITU) ?\”} (AL-QALAM 68:28)

  1. Berkatalah yang baik & adil di kalangan mereka: Tidakkah aku telah menasihati & mengingati kamu agar jangan buat begini; iaitu niat untuk menghalang orang miskin daripada mendapat bahagiannya!
  2. Alangkah baiknya jika kamu ingat kepada Allah, batalkan rancangan buruk kamu, tetapi kamu tidak dengar bahkan aku pula kena marah!
  3. Begitulah dalam mana-mana kumpulan; pasti ada orang yang bersikap adil (wasati) dan baik, tetapi mereka biasanya tidak didengar katanya bahkan diperlekehkan.

AYAT 29- {MEREKA BERKATA (DENGAN SESALNYA): \”MAHA SUCI TUHAN KAMI! SESUNGGUHNYA KAMI ADALAH ORANG-ORANG YANG BERLAKU ZALIM!\”} (AL-QALAM 68:29)

  1. Kali ini apabila diberi peringatan mereka terus insaf, bertaubat dan menyesal!
  2. Mereka berkata: \”Maha Suci Tuhan Kami! Sesungguhnya kami adalah orang-orang yang berlaku zalim!\”
  3. Ibnu Jarir berkata: Mereka berkata begitu kerana telah sedar akan akan kesalahan mereka yang telah lalu itu. Tetapi penyesalan itu tidak berguna lagi, kebun mereka telah rosak!

AYAT 30- {KEMUDIAN SETENGAHNYA MENGADAP YANG LAIN, SAMBIL CELA-MENCELA.} (AL-QALAM 68:30)

  1. Kemudian mereka mengadap satu sama lain sambil saling tuduh-menuduh!

AYAT 31- {MEREKA BERKATA: \”ADUHAI CELAKANYA KITA! SESUNGGUHNYA KITA ADALAH ORANG-ORANG YANG MELAMPAUI BATAS.} (AL-QALAM 68:31)

  1. Mereka berkata lagi, menyalahkan diri mereka sendiri, bahawa mereka adalah orang-orang yang melampaui batas {طَـٰغِينَ}.
  2. Yakni melampaui batasan kerana bakhil, rezeki yang Allah beri nak bolot semuanya, akhirnya mereka terlepas semuanya & kerugian!

AYAT 32- {\”SEMOGA TUHAN KITA, (DENGAN SEBAB KITA BERTAUBAT) MENGGANTIKAN BAGI KITA YANG LEBIH BAIK DARIPADA (KEBUN YANG TELAH BINASA) ITU; SESUNGGUHNYA, KEPADA TUHAN KITA SAHAJALAH KITA BERHARAP\”.} (AL-QALAM 68:32)

  1. Mereka lalu berdoa semoga Allah menggantikan kebun mereka itu dengan yang lebih baik daripada yang telah musnah itu!
  2. Doa dari Perisai Muslim apabila ditimpa musibah:
    Diriwayatkan dari Ummu Salamah r.a bahawa:
    Aku mendengar Rasulullah S.A.W bersabda:
    \”Tidaklah musibah menimpa seorang hamba, lalu ia mengatakan:

إِنَّا لِلهِ وَإِنَّا إِلَيْهِ رَاجِعُوْنَ، اَللّهُمَّ آجِرْنِيْ فِيْ مُصِيْبَتِيْ وَاخْلِفْنِيْ خَيْرًا مِنْهَا

{Sesungguhnya kami kepunyaan Allah dan sesungguhnya kami akan kembali kepada Allah.
Ya Allah, berikanlah ganjaran pahala kepadaku dalam musibahku ini, dan gantikanlah kepadaku apa yang lebih baik dari itu}.

Nescaya Allah akan menggantikan dengan yang lebih baik.\” [HR Muslim].

  1. Sesungguhnya kita ini hanya kepada Allah sahajalah kita berharap dan memohon pertolongan!
  2. Kebun ini kepunyaan orang beriman cuma mereka tersilap dalam sifat bakhil dan tamak, serta bercakap tanpa mengucapkan Insya\’ Allah.
    Kita pun jangan lupa kerana inilah yang Allah s.w.t ajar kepada kita!
  3. Allah s.w.t sudahkan ayat ini dengan memberi amaran kepada puak kafir supaya jangan keras kepala & degil, jangan cuba lawan Allah Azza wa Jalla & Rasulullah s.a.w, jika tidak mereka akan dibinasakan sebagaimana kebun milik si bakhil itu.
  4. Ini semua pengajaran untuk kita, harta kita bukan milik kita yang sebenarnya, hanya diberi pinjam dan diberi guna oleh Allah s.w.t.
    Jangan kita bakhil menyangkanya milik kita yang hakiki. Kita hanya pengguna yang sementara, maka kita pulangkannya kepada Allah s.w.t dengan kita sedekah & infaq baru seimbang dan selamat!

AYAT 33- {DEMIKIANLAH AZAB SEKSA (YANG TELAH DITIMPAKAN KEPADA GOLONGAN YANG INGKAR DI DUNIA), DAN SESUNGGUHNYA AZAB HARI AKHIRAT LEBIH BESAR LAGI; KALAULAH MEREKA ORANG-ORANG YANG BERPENGETAHUAN (TENTULAH MEREKA BERINGAT-INGAT).} (AL-QALAM 68:33)

  1. Apabila selesai cerita pemilik kebun itu, Allah kembali kepada beri peringatan kepada puak kafir Quraisy.
  2. Lihatlah apa yang telah terjadi kepada kebun itu, itu baru azab yang ditimpakan kepada golongan yang ingkar semasa di dunia, sedangkan azab hari akhirat lebih besar dan dahsyat lagi!
  3. Inilah kisah & peringatan yang dibawa oleh al-Quran, kalaulah mereka orang-orang yang berpengetahuan (لَوْ كَانُوا۟ يَعْلَمُونَ) tentulah mereka beringat dan ambil iktibar.

PENUTUP & FAEDAH :

  1. Ayat 17- {Sesungguhnya Kami telah timpakan mereka dengan bala bencana, sebagaimana Kami timpakan tuan-tuan punya kebun (dari kaum yang telah lalu),}- kata ulama\’ tafsir ayat ini Allah s.w.t mahu nyatakan keadaan orang bakhil dan apakah hukuman yang Allah jatuhkan kepada mereka di dunia sebelum akhirat lagi.

Iaitu semasa atas dunia lagi dengan dibinasakan kebun mereka, habis musnah. Azab ini samada musnah ditimpa banjir, diserang penyakit dan seumpamanya.

Sifat bakhil ialah satu sifat yang buruk, mengundang bala Allah s.w.t dan menjauhkan rezeki serta menyusahkan diri. Bakhil juga menyekat hak orang yang memerlukan & tidak tunai tanggung-jawab yang sepatutnya.

  1. Ayat 18- {Serta mereka tidak menyebut pengecualian.}- ulama\’ sudah bincang pengecualian { يَسْتَثْنُونَ} ini samada:
    i- dengan perkataan; iaitu tidak kata Insya\’ Allah.

ii- atau tidak mengecualikan bahagian khas untuk diberikan kepada orang miskin.

Ayat ini satu pengajaran yang besar & peringatan untuk orang yang suka bercakap lepas, mulutnya tidak pernah mengucapkan Insya\’ Allah atau subhanallah. Tidak bersyukur atau ingat kepada Allah.

Firman Allah s.w.t: {وَمَا تَشَآءُونَ إِلَّآ أَن يَشَآءَ ٱللَّهُ ۚ}
{Dan tiadalah kamu berkemahuan (melakukan sesuatu perkara) melainkan dengan cara yang dikehendaki Allah;}. (Al-Insaan 76:30)

  1. Ayat 19- {Maka kebun itu didatangi serta diliputi oleh bala bencana dari Tuhanmu (pada malam hari), sedang mereka semua tidur.}- bala dari Allah biasanya turun pada waktu pagi seperti yang menimpa kaum Nabi Lut a.s.

Tetapi dalam kes ini Allah turunkan bencananya pada waktu malam lagi. Ini kerana untuk menyekat rancangan buruk mereka yang mahu menjual semua hasil kebun pada waktu awal pagi dan tidak mahu bersedekah kepada fakir miskin yang menunggu-nunggunya.

Sesiapa yang buat helah untuk menggugurkan hak Allah s.w.t, mereka akan dibinasakan!
Tidak ada sesiapa yang dapat lari daripada ketetapan dan hukum Allah s.w.t!

  1. Ayat 29- {Mereka berkata (dengan sesalnya): \”Maha Suci Tuhan Kami! Sesungguhnya kami adalah orang-orang yang berlaku zalim!\”} – ini adalah dalil bahawa apabila kita diperingatkan setelah terlupa atau tersalah; hendaklah kita terus bertaubat kembali kepada Allah, buatlah apa yang kita lupa itu!

Allah mulakan dengan tasbih dulu barulah dengan bertaubat. Ini kerana tasbih adalah muqaddimah untuk istighfar!

Firman Allah s.w.t:
{Maka ucapkanlah tasbih dengan memuji Tuhanmu dan mintalah ampun kepadaNya, sesungguhnya Dia amat menerima taubat.} (An-Nasr 110:3)

Sentiasalah basahkan lidah kita dengan tasbih dan taubat walaupun kita tidak terasa kita telah buat salah atau dosa.

  1. Ayat 33- {Demikianlah azab seksa (yang telah ditimpakan kepada golongan yang ingkar di dunia), dan sesungguhnya azab hari akhirat lebih besar lagi;}- demikianlah cara uslub dalam al-Quran.

Dibawa cerita kemudian diberi penutup sebagai peringatan dan tazkirah untuk menyentap hati kita, jika hanyut agar kembali ke pangkal jalan, insaf & bertaubat.

Semak balik hubungan kita dengan manusia & hubungan dengan Allah juga.
Dimanakah nikmat yang Allah beri kepada kita?
Jika banyak, kita kongsikan dengan mereka yang memerlukan lebih-lebih lagi dari kalangan kaum kerabat yang terdekat, tunaikan hak harta seperti zakat & nafkah serta sedekah.

Powered by BetterDocs