SURAH AT-TUR : AYAT 17-21

\"\"

KEADAAN GOLONGAN MUTTAQIN DALAM SYURGA, KELUARGA MEREKA AKAN BERSAMA & SETIAP ORANG TERIKAT DENGAN AMALANNYA.

Full video : https://youtu.be/HhfxUNailik

MUQADDIMAH :

  1. Dalam siri ini Allah s.w.t menyatakan tentang keadaan golongan al-Muttaqin di dalam syurga yang penuh nikmat.
    Senang dan gembira dengan nikmat yang ada, buah-buahan yang tidak putus serta berteleku atas pelamin yang indah.
  2. Orang yang beriman akan bersama keluarga mereka jika sama-sama beriman. Akan berkumpul di dalam syurga. Kita jaga keluarga kita dengan beriman serta jaga iman, ibadat & akhlak, Insya\’ Allah untuk masuk syurga sekeluarga.
  3. Allah s.w.t juga menegaskan bahawa setiap orang terikat dengan amalannya sendiri. Yakni masing-masing akan menanggung dosa atau menikmati pahala berdasarkan amalannya sendiri.
  4. Munasabah ayat: Setelah Allah s.w.t menerangkan akibat siksaan yang akan ditimpakan bagi orang ingkar mendustakan Allah s.w.t & ayat-ayat-Nya, maka dalam ayat ini Allah s.w.t ceritakan pula tentang sebaik-baik balasan untuk orang bertaqwa para muttaqin yang mengerjakan perintah Allah & menjauhi larangan-Nya.
  5. Beginilah uslub al-Quran ia akan bawa dua-dua yang baik dan buruk, yang positif & negatif, ikut susunan & keadaan ayat, kadang disebut yang baik dulu, kadang dibawa yang buruk dulu.

Hikmahnya- Allah s.w.t mahu kumpulkan bersama antara ancaman (ترغيب) & galakan (ترهيب), maka hati manusia akan duduk antara khauf (خوف) takut kepada siksaan & kemurkaan Allah dan raja\’ (رجاء) iaitu mengharapkan limpah kurnia Allah s.w.t!

Dalam ayat yang lepas Allah beri amaran dan ancaman untuk orang yang tidak beriman, maka dalam ayat ini Allah beri galakan untuk menjadi orang yang bertaqwa.

AYAT 17- {SESUNGGUHNYA ORANG-ORANG YANG BERTAQWA, DI TEMPATKAN DALAM TAMAN-TAMAN SYURGA DAN NIKMAT KESENANGAN (YANG TIDAK ADA TARANYA).} (AT-TUUR 52:17)

  1. Allah nyatakan bahawa orang yang bertaqwa akan duduk di dalam taman-taman syurga yang penuh dengan nikmat kesenangan!
  2. Apakah makna taqwa? Iaitu orang yang takut kepada kemurkaaan Allah & takut kepada azab-Nya, iaitu dengan buat apa yang Allah suruh & tinggalkan yang dilarang sudah memadai secara umumnya.
  3. Disebut secara jamak (plural) syurga itu (جَنَّٰتٖ) kerana ia ada banyak peringkat dan tahap. Bergantung kepada iman dan taqwa seseorang hamba itu, di mana keadaan dalam syurga yang bertingkat-tingkat itu!

AYAT 18- {MEREKA BERSENANG LENANG DENGAN APA YANG DIKURNIAKAN OLEH TUHAN MEREKA, DAN MEREKA DIPELIHARA TUHAN DARI AZAB NERAKA.} (AT-TUUR 52:18)

  1. Mereka bersenang-senang dan menikmati segala nikmat yang dikurniakan Allah s.w.t kepada mereka di dalam syurga itu.
  2. Perkataan (فَٰكِهِينَ) fakihin ada dua bacaan yang memberi kesan kepada maknanya:
    i- pertama dengan bacaan panjang (فَٰكِهِينَ) maksudnya buah-buahan yang banyak sebagai nikmat kepada ahli syurga.

ii- bacaan pendek (فَكِهِينَ) makna gembira dan suka dengan nikmat yang Allah s.w.t berikan! Mereka teruja & kagum dengan nikmat yang banyak.

  1. Allah s.w.t juga jaga mereka dari disentuh oleh azab neraka! Yakni mereka masuk syurga terus tanpa perlu melalui azab terlebih dahulu!
    Inilah yang kita mahu dan doakan selalu, masuk syurga tanpa hisab dan tanpa azab, atau dengan hisab yang mudah.
    Kita berdoa kepada Allah dan dalam masa sama berusaha ke arahnya dengan membuat persiapan!
  2. Firman Allah s.w.t:
    {Dengan sebab (mereka menjaga diri dari kesalahan), maka Allah selamatkan mereka dari kesengsaraan hari yang demikian keadaannya, serta memberikan kepada mereka keindahan yang berseri-seri (di muka), dan perasaan ria gembira (di hati).} (Al-Insaan 76:11)

AYAT 19- {(DAN DIKATAKAN KEPADA MEREKA): \”MAKAN DAN MINUMLAH KAMU MAKANAN DAN MINUMAN YANG LAZAT SERTA BAIK KESUDAHANNYA, DENGAN SEBAB APA YANG KAMU TELAH KERJAKAN\”.} (AT-TUUR 52:19)

  1. Malaikat yang menyambut mereka berkata kepada mereka para ahli syurga; makan dan minumlah dengan penuh kenikmatan tanpa perlu bimbang yakni tiada pantang larang, had atau apa-apa sekatan.
    Bukan seperti kita di atas dunia sekarang.
  2. Semua ini sebagai balasan terhadap amal soleh yang kamu kerjakan atas dunia dulu! Maka makanlah tidak ada larangan dan sekatan.
  3. Ayat ini ditafsirkan juga dengan firman Allah s.w.t:
    i- {(Masing-masing dipersilakan menikmatinya dengan dikatakan): \”Makan dan minumlah kamu makanan dan minuman sebagai nikmat yang lazat dan baik kesudahannya, dengan sebab (amal-amal soleh) yang telah kamu kerjakan pada masa yang lalu (di dunia)!\”} [Al-Haqqah: 24].

ii- {Sesungguhnya orang-orang yang bertaqwa berada di tempat teduh (yang dipenuhi pelbagai nikmat), dan yang berdekatan dengan matair-matair (yang mengalir), –
Serta menikmati buah-buahan dari segala jenis yang mereka ingini.
(Pada ketika itu dikatakan kepada mereka): \”Makanlah dan minumlah kamu dengan lazatnya, disebabkan apa yang kamu telah kerjakan.
Sesungguhnya, demikianlah Kami membalas orang-orang yang berusaha mengerjakan amal-amal yang baik.} (Al-Mursalaat 77: 41-44)

AYAT 20- {MEREKA DUDUK BERBARING DI ATAS PELAMIN-PELAMIN YANG BERDERET; DAN KAMI JADIKAN KAWAN TEMAN MEREKA BIDADARI-BIDADARI YANG PUTIH MELEPAK, LAGI LUAS CANTIK MATANYA.} (AT-TUUR 52:20)

  1. Mereka juga duduk bersandar dan berteleku dengan penuh kerehatan atas pelamin yang indah, bersusun dan berbaris.
  2. Mereka juga ditemani oleh pasangan bidadari yang indah jelita, yang Allah sediakan khas untuk mereka. Ianya samada pasangan isteri mereka di dunia dulu dan bidadari penghuni syurga yang dicipta khas sebagai peneman ahli syurga lain.

AYAT 21- {DAN ORANG-ORANG YANG BERIMAN YANG DITURUT OLEH ZURIAT KETURUNANNYA DENGAN KEADAAN BERIMAN, KAMI HUBUNGKAN (HIMPUNKAN) ZURIAT KETURUNANNYA ITU DENGAN MEREKA (DI DALAM SYURGA); DAN KAMI (DENGAN ITU) TIDAK MENGURANGI SEDIKITPUN DARI PAHALA AMAL-AMAL MEREKA; TIAP-TIAP SEORANG MANUSIA TERIKAT DENGAN AMAL YANG DIKERJAKANNYA.} (AT-TUUR 52:21)

  1. Ini adalah syarat untuk berkumpul semula dalam syurga iaitu: orang yang beriman dan anak cucu keturunan zuriat mereka yang beriman juga!
  2. Ayat ini memberi peringatan kepada orang mukmin untuk memberi didikan dan ajaran agama kepada zuriat keturunannya supaya mereka dapat berkumpul di dalam syurga nanti. Maka sentiasalah kita ingatkan keluarga agar menjaga hak Allah s.w.t & hak Rasulullah s.a.w.
  3. Dalam masa yang sama jangan bimbang, semua ini tidak akan menggurangkan sedikit pun pahala amal-amal mereka (datuk moyang). Setiap orang ada tempatnya, duduk bersama untuk menambahkan kegembiraan.
  4. Tentang maksud zuriat (ذُرِّيَّتُهُم) ini, ada beberapa pendapat ulama\’:
    i- Kata ulama\’ tafsir seperti al-Wahidi: Semua zuriatnya yang beriman, anaknya yang kecil atau yang baligh semuanya bersama.

ii- Kata asy-Syaukani rhm.: Allah akan angkat zuriat orang mukmin itu untuk duduk bersamanya walaupun kurang darjatnya. Tetapi ia hanya khas untuk anak yang sudah baligh dan beriman juga!

iii- Ada juga ulama\’ kata zuriat yang dapat bersama bapanya itu adalah anak kecil sahaja, manakala yang sudah besar dan baligh adalah bergantung kepada amalannya sendiri dan masing-masing.

Pendapat pertama itulah yang kita harapakan, iaitu semua sekali kita dapat bersama. Leih-lebih lagi orang yang mati kecil anaknya, ia akan menjadi satu asset yang besar di akhirat kelak Insya\’ Allah.

  1. Ayat ini adalah tentang kelebihan seorang datuk/bapa yang baik dapat memberi faedah kepada anak keturunannya.
  2. Kemudian Allah s.w.t nyatakan keadilan-Nya pula: Setiap seorang manusia terikat dengan amal yang dikerjakannya. Ia atau orang lain tidak akan dizalimi untuk menanggung dosa orang lain!
  3. Ayat ini untuk terus memotong khayalan atau kefahaman buruk manusia yang sebaliknya dari kenyataan tentang ayah yang baik dapat mengangkat darjat anak-anaknya! Dosa seseorang tidak akan dapat menarik orang lain kecuali dia juga berdosa. Ini secara umumnya.
  4. Firman Allah s.w.t: {Dan (ketahuilah), seseorang pemikul tldak akan memikul dosa perbuatan orang lain; dan jika seseorang yang berat tanggungnya (dengan dosa), memanggil (orang lain) untuk menolong memikul sama bebanan itu, tidak akan dapat dipikul sedikitpun daripadanya, walaupun orang yang diminta pertolongannya itu dari kerabatnya sendiri.} (Faatir 35:18)
  5. Asal dosa manusia tidak ditanggung oleh orang lain kecuali dosa yang berkait atau bersebab seperti:
    i- ayah yang tidak didik anak-anaknya dengan agama.
    ii- suami yang tidak jaga mebiarkan isterinya langgar hukum Syariah.
    iii- penganjur atau penaja maksiat.

PENUTUP/BEBERAPA FAEDAH RINGKAS :

  1. Ayat 17- {Sesungguhnya orang-orang yang bertaqwa, di tempatkan dalam taman-taman Syurga dan nikmat kesenangan (yang tidak ada taranya).}- kenapa Allah s.w.t sebut syurga dengan jamak sedangkan ia hanya satu?
    Ini kerana jenis syurga itu ada pelbagai tingkat & banyak jenis tahap atau darjatnya!

i- Firman Allah s.w.t: {Dan orang yang takut akan keadaan dirinya di mahkamah Tuhannya (untuk dihitung amalnya), disediakan baginya dua Syurga,} (Ar-Rahmaan 55:46)

ii- {Dan selain dari dua Syurga itu, dua Syurga lagi (untuk menjadi balasan bagi golongan peringkat yang kedua); (Ar-Rahmaan 55:62)
Dalam ayat ini Allah sebut 4 jenis syurga.

ii- Ada benda yang indah dan menggembirakan tetapi hanya boleh lihat sahaja, seperti pameran-pameran atas dunia ini. Tetapi di dalam syurga ia adalah pemandangan yang menggembirakan & indah SERTA untuk dinikmati juga, yakni boleh ambil, makan dan gunanya!

  1. Dari Ayat 17 sehingga Ayat 20- ayat ini Allah menyatakan sebab menikmati nikmat dalam syurga itu secara tertib.

Iaitu Allah sebut pertamanya:
i- tempat kita di dalam syurga.

ii- Allah beri kepada kita nikmat buah-buahan, makan & minum.
iii- diberikan perabot yang lengkap dalam syurga, dengan pelamin singgahsana dan lain-lain.

iv- bidadari yang jelita sebagai pasangan. Ini kerana manusia tidak akan bahgia dan sunyi jika berseorangan walaupun di dalam nikmat.

Ini menunjukkan betapa sempurnanya kuasa & susunan pentadbiran Allah s.w.t.

  1. Ayat 19- {(Dan dikatakan kepada mereka): \”Makan dan minumlah kamu makanan dan minuman yang lazat serta baik kesudahannya, dengan sebab apa yang kamu telah kerjakan\”.} – ayat ini jelas bahawa seseorang itu masuk syurga dengan sebab (بِمَا كُنتُمۡ تَعۡمَلُونَ) amalannya.

Tetapi kenapa dalam hadis ini seolah sebaliknya:
Diriwayatkan oleh Abu Hurairah bahawa Rasulullah s.a.w bersabda:
\”Tidak ada seorangpun yang masuk syurga kerana amalannya.\”
Para sahabat bertanya; \”Begitu juga dengan engkau wahai Rasulullah?\”
Baginda s.a.w bersabda: \”Ya, kecuali bila Allah melimpahkan kurnia dan rahmat-Nya padaku.\” [HR Bukhari no. 5241].

Ulama\’ kata tiada bercanggahan antara dua nas ini:
i- ini kerana betul seseorang tidak boleh masuk syurga dengan sebab solat atau puasa sahaja, tetapi dengan sebab limpah kurnia Allah s.w.t!

ii- yakni asalnya seseorang itu masuk syurga dengan sebab rahmat Allah s.w.t, tetapi bila masuk syurga tingkatan nikmatnya bergantung kepada amal ibadat yang dibuatnya.

iii- Syurga itu bertingkat, orang yang ibadatnya kurang pastilah tidak sama tingkatnya dengan orang yang banyak ibadatnya, walaupun nikmatnya tetap ada dan sudah banyak. Pastilah nikmat bagi darjat yang tinggi lebih indah dan banyak.

Kata ulama\’: Hadis ini untuk menyatakan bahawa syurga itu bukan seperti kita berjual-beli dengan Allah s.w.t, kita solat dan puasa sebanyak ini untuk dapat tempat atau nikmat sebanyak ini!

Bahkan nikmat itu Allah s.w.t anugerahkan kepada kita semata-mata dengan rahmat-Nya, nikmat yang amat besar!

Tentang kalimah dengan tenang (هَنِيٓـَٔۢا):
i-makan semata-mata untuk nikmat bukan sebab lapar atau dahaga.

ii- makan tanpa runsing, tiada mudarat atau pantang larang lagi.
Ini kerana di dalam syurga tiada lagi hospital & penyakit.

4. Ayat 21- {Dan orang-orang yang beriman yang diturut oleh zuriat keturunannya dengan keadaan beriman, Kami hubungkan (himpunkan) zuriat keturunannya itu dengan mereka (di dalam Syurga);}- bagaimanakah cara untuk berkumpul ini?

i- Syaratnya bapa kena beriman & anak cucu juga kena beriman. Ini adalah limpah kurnia Allah s.w.t kepada anak-anak keturunan orang yang soleh dan baik. Manakala anak yang mati kecil akan ikut agama ibu bapanya.

ii- Sebagaimana kisah seorang anak cucu orang soleh dalam surah al-Kahfi ni:
{Adapun tembok itu pula, adalah ia dipunyai oleh dua orang anak yatim di bandar itu; dan di bawahnya ada \”harta terpendam\” kepunyaan mereka; dan bapa mereka pula adalah orang yang soleh.
Maka Tuhanmu menghendaki supaya mereka cukup umur dan dapat mengeluarkan harta mereka yang terpendam itu, sebagai satu rahmat dari Tuhanmu (kepada mereka).} (Al-Kahfi 18:82)

iii- Yakni semasa atas dunia lagi Allah jaganya, hantar nabi Musa & Khidir untuk baiki tembok bagi jaga kepentingan hartanya.
Bagaimankah di akhirat kelak?

Marilah kita jadi orang yang baik agar anak-cucu kita juga menjadi orang yang baik & soleh juga.

Persoalan lagi, jika anak soleh & banyak ibadat tetapi ayahnya kurang, bagaimana?
Jawapan: Ibu bapa juga akan dapat manfaat dan naik darjat yang tinggi dengan sebab doa dan istighfar anak-anaknya yang soleh.

Hadis Rasulullah s.a.w:
Daripada Abu Hurairah R.A, bahawa Nabi S.A.W bersabda:
إِنَّ اللهَ عَزَّ وَجَلَّ لَيَرْفَعُ الدَّرَجَةَ لِلْعَبْدِ الصَّالِحِ فِي الْجَنَّةِ، فَيَقُولُ: يَا رَبِّ، أَنَّى لِي هَذِهِ؟
فَيَقُولُ: بِاسْتِغْفَارِ وَلَدِكَ لَكَ

Maksudnya: \”Sesungguhnya Allah akan mengangkat darjat bagi seseorang hamba yang soleh di syurga. Maka dia berkata: Wahai Tuhan, dari mana yang aku dapat ini? Allah berfirman: dengan istighfar anak kamu kepadamu\”. [Riwayat HR Ibnu Majah & Ahmad (10610)].

Maka jika kita sayangkan ibu bapa kita maka sentiasa mendoakan mereka, kita mahu dua-dua pihak mendapat manfaat & faedah dari iman & amal soleh yg lain.

5. Ayat 21- {tiap-tiap seorang manusia terikat dengan amal yang dikerjakannya.}-setiap orang akain terikat dan tergadai dengan amalan masing-masing.
Jika atas dunia ini dia seorang yang baik & soleh maka dia akan selamat dan masuk syurga.
Tetapi jika sebaliknya dia seorang yang jahat dan ahli maksiat maka dia akan terperangkaplah dengan perbuatannya itu samada dia akan neraka atau bagaimana hukum Allah s.w.t!

Setiap manusia juga tidak akan menanggung asas dosa orang lain KECUALI dosa yang bersebab seperti yang kita nyatakan di atas tadi:
i- ayah yang tidak didik anak-anaknya dengan agama.
ii- suami yang tidak jaga mebiarkan isterinya langar hukum Syariah.
iii- penganjur atau penaja maksiat.

Maka jagalah diri kita dan anak-cucu zuriat keturunan kita agar terselamat daripada perangkap syaitan dan amalan buruk yang boleh membawa ke neraka!
Berusaha dan beramal-lah agar kita dapat masuk syurga sekeluarga semuanya!

Powered by BetterDocs