SURAH AL-JUMU\’AH : AYAT 1-4

\"\"

MUQADDIMAH SURAH, DIUTUSKAN RASUL YANG UMMI & LIMPAH KURNIA ALLAH KEPADA HAMBA-NYA.

Full video : https://youtu.be/wCI5BIkE7Og

MUQADDIMAH SURAH :

  1. Alhamdulillah pada pagi ini, Khamis 05 Jumadal Thani 1444H bersamaan 29hb Disember 2022 kita dapat mulakan pengajian Kuliah tafsir bagi Surah Al-Jumu\’ah – سورة الجمعة.
  2. Syukur kepada Allah s.w.t kerana kita dapat meneruskan pengajian dalam tafsir al-Quran & tadabburnya.
    Semoga Allah s.w.t qabulkan amalan kita, buka dan cerahkan hati kita untuk menerima panduan & hidayat dari al-Quran ini yang dapat membawa kita syurga-Nya.
  3. Surah Al-Jumu\’ah adalah surah ke-62 dalam tertib susunan al-Quran, iaitu selepas Surah As-Saff, dalam juz ke 28, mengandungi 11 ayat. Termasuk dalam kumpulan surah Mufassal (المفصل), iaitu surah yang pendek, iaitu sedikit ayatnya.
  4. Sepakat para ulama\’ (ijma\’ ulama\’) mengatakan surah ini Madaniiyyah, yakni turun di Madinah selepas hijrahnya Rasulullah s.a.w ke Madinah.

NAMA SURAH :

  1. Dinamakan surah ini sebagai:
    i- Surah Al-Jumu\’ah – سورة الجمعة. yang bermakna Hari Jumaat kerana pada ayat ke-9, Allah s.w.t menyebut perkataan ini {الجمعة} dan memerintahkan umat Islam agar bersegera ke tempat solat Jumaat sebaik saja mendengar seruan azan serta meninggalkan segala kerja, jual beli dan segala urusan yang lain.
    Iaitu untuk pergi ke masjid mendengar khutbah dan mengerjakan solat Jumaat yang termaklum.
  2. Setelah selesai mengejakan solat Jumaat mereka digalakkan untuk meneruskan usaha mencari rezeki sambil mengingati Allah s.w.t banyak-banyak dalam segala keadaan.
  3. Masyhur ia dengan nama Surah Al-Jumu\’ah – سورة الجمعة.
    Sebagaimanan yang dikenali dan terdapat dalam beberapa hadis.
  4. Hadis- dari Ibnu \’Abbas r.anhuma:
    أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ كَانَ يَقْرَأُ فِي صَلَاةِ الْجُمُعَةِ سُورَةَ الْجُمُعَةِ وَالْمُنَافِقِينَ. رواه مسلم (879)
    \”Bahawa Rasulullah s.a.w telah membaca surat al-Jumu\’ah dan al-Munafiqun pada solat Jumaat\”. (HR. Muslim 879)

INTISARI KANDUNGANNYA :

  1. Allah s.w.t menerangkan limpah kurnia-Nya yang merupakan sebesar-besar nikmat dan sebesar-besar rahmah – yang diberikan kepada bangsa Arab secara khusus dan bangsa-bangsa yang lain secara umum sehingga mereka menjadi umat Islam, iaitu dengan mengutuskan Rasul-Nya: Nabi Muhammad s.a.w.
    Untuk memimpin mereka ke jalan keselamatan dan kebahagiaan di dunia dan di akhirat. Maka sudah sewajibnya mereka bersyukur akan nikmat dan rahmatNya itu.
  2. Mengenai penolakan kaum Yahudi terhadap Islam, Allah Ta\’ala menegaskan:
    \”(Nabi Muhammad s.a.w yang diutuskan kepada umat manusia seluruhnya itu telah pun diterangkan sifat-sifatnya di dalam kitab Taurat, tetapi orang-orang Yahudi tidak juga mempercayainya.
  3. Maka bandingan orang-orang Yahudi yang dipertanggungkan dan ditugaskan mengetahui dan melaksanakan hukum kitab Taurat, kemudian mereka tidak menyempurnakan tanggungan dan tugas itu, samalah seperti keldai yang memikul berkotak-kotak kitab-kitab besar (sedang ia tidak tahu kandungannya).
    Buruk sungguh bandingan kaum yang mendustakan ayat-ayat keterangan Allah; dan (ingatlah!) Allah tidak memberi hidayah pertunjuk kepada kaum yang zalim!\”

KELEBIHAN SURAH :

  1. Sebagaimana hadis Ibnu Abbas di atas menunjukkan sunat untuk kita membacanya pada rakaat pertama dalam solat Jumaat.
  2. Hadis dari Nu\’man bin Basyir R.A yang ditanya selain surah al-Jumu\’ah, surah apa lagi yang dibaca oleh Rasulullah s.a.w semasa solat Jumu\’ah.
    Jawabnya:
    كَانَ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقْرَأُ فِي الْعِيدَيْنِ، وَفِي الْجُمُعَةِ بِسَبِّحِ اسْمَ رَبِّكَ الْأَعْلَى، وَهَلْ أَتَاكَ حَدِيثُ الْغَاشِيَةِ
    Maksudnya: \”Adapun Rasulullah S.A.W membaca (di dalam solat) pada hari Jumaat dan hari Raya \”سَبِّحِ اسْمَ رَبِّكَ الْأَعْلَى\” dan \”وَهَلْ أَتَاكَ حَدِيثُ الْغَاشِيَةِ.\” [Riwayat Muslim (878)]
  3. Hadis- dari Abu Hurairah r.a: Kami berada bersama dengan Rasulullah s.a.w apabila surah al-Jumu\’ah diturunkan Allah s.w.t. [HR Bukhari & Muslim].

MAQASID/OBJEKTIF SURAH :

  1. Antara objektif besar surah ini ialah Allah s.w.t sebut tentang kebaikan yang Dia pilih untuk umat Nabi Muhammad s.a.w ini. Antaranya ialah solat Jumaat serta menjelaskan sebahagian hukumnya. Iaitu apabila azan Jumaat tidak boleh melakukan sebarang jual-beli dan urusan perniagaan.

ISU PENTING DALAM SURAH :

  1. Pujian kepada Allah dan menyebut beberapa nikmat-nikmat Allah s.w.t yang jelas dan kita boleh nampak.
    Antara nikmat-Nya yang paling besar ialah Allah mengutus rasul untuk membimbing mendidik umatnya al-Quran & Sunnah Nabi s.a.w serta kepada tauhid kepada Allah s.w.t.
  2. Mencela kaum yahudi yang ada Kitab tetapi tidak beramal. Kitab itu akan menjadi hujjah ke atas mereka.
    Mereka menyangka mereka adalah wali pilihan Allah tetapi ajaibnya mereka tidak mahu ikut arahan dan perintah Allah s.w.t!
  3. Menyeru orang mukmin supaya menjaga solat Jumaat dan amaran dari meninggalkannya!
    Serta mencela mana-mana kaum yang meninggalkannya.

MUNASABAH SURAH AL-JUMU\’AH – سورة الجمعة DENGAN SURAH AS-SAFF SEBELUMNYA :

Hubung-kait surah ini dengan Surah As-Saff:

  1. Dalam Surah As-Saff Allah s.w.t meyebut keadaan Musa a.s dan kaumnya serta bagaimana mereka menyakitinya.
    ii- Dalam surah ini Allah s.w.t sebut tentang hal Rasulullah s.a.w dan kelebihan umatnya yang mulia; berbeza dengan umat Musa yang degil & keras kepala.
  2. Dalam surah as-Saff- Nabi Isa telah memberi khabar gembira tentang kedatangan Rasul yang selepasnya yang bernama Ahmad.

ii- Kemudian dalam ayat ini Allah s.w.t nyatakan siapakah Ahmad, rasul yang disebut oleh Isa a.s. Inilah orangnya seorang rasul yang dihantar kepada kaum yang tidak tidak membaca & menulis.

  1. Allah s.w.t khatamkan surah Saff dengan arahan supaya berjihad serta Allah s.w.t namakannya sebagai satu tijarah (perniagaan).
    ii- dalam surah ini Allah s.w.t akhiri dengan solat Jumaat.
    Tinggalkan dunia mari menuju ke akhirat.
  2. Dalam surah yang lepas Allah s.w.t ajar supaya buat saf peperangan yang mantap dan tersusun cantik supaya nampak kesatuan umat di mata musuh.

ii- dalam surah ini pula diajar cara membuat saf dalam solat Jumaat dan solat Jemaah yang cantik dan tersusun, juga supaya nampak kesatuan ummah dan kekuatan umat Islam itu apabila mereka mengadakan solat dengan teratur dan tersusun.
Terutama dalam solat Jumaat dan solat Jemaah yang dihadiri oleh ramai muslimin!


أَعُوذُ بِاَللَّهِ السَّمِيعِ الْعَلِيمِ مِنْ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ

AYAT 1- {SEGALA YANG ADA DI LANGIT DAN YANG ADA DI BUMI SENTIASA MENGUCAP TASBIH KEPADA ALLAH YANG MENGUASAI (SEKALIAN ALAM), YANG MAHA SUCI, YANG MAHA KUASA, LAGI MAHA BIJAKSANA.} (AL-JUMU\’AH 62:1)

  1. Ini adalah salah satu surah yang dimulakan dengan tasbih. Allah s.w.t bertasbih bersihkan diri-Nya, zat-Nya yang Maha Mulia dari segala kekurangan dan kelemahan.
  2. Kemudian Allah s.w.t perkenalkan sifat-Nya yang:
    i- Yang Menguasai sekalian alam (ٱلْمَلِكِ), yakni pemilik Alam ini.
    ii- Yang Maha Suci (ٱلْقُدُّوسِ), dari segala bentuk kekurangan.
    *Sebagaimana bacaan Rasulullah s.a.w, bertasbih 3x setiap kali selepas solat sunat witir:
    سُبْحَانَ الـمَلِكِ القُدُّوسِ
    Maksudnya: \”Maha Suci (Allah) Yang Maha Menguasai Lagi Maha Suci.\”[HR Abu Daud]
    Elok kita bacanya setiap malam setiap kali selepas solat witir.

iii- Yang Maha Kuasa (ٱلْعَزِيزِ),- Allah maha berkuasan dan gagah untuk melaksanakan segala kehendak-Nya.
iv- lagi Maha Bijaksana (ٱلْأَرْضِ ٱلْمَلِكِ ٱلْقُدُّوسِ ٱلْعَزِيزِ ٱلْحَكِيمِ), – semua yang Allah s.w.t buat cantik dan sempurna, kita tidak boleh pertikaikannya! Semua yang Allah cipta ada hikmah disebaliknya.
Cubalah memahami dan menjiwainya bukan mencari sebab untuk pertikaikannya.

  1. Tasbih ada dua jenis:
    i- semua makhluk bertasbih kepada Allah secara umumnya yang kafir atau mukmin.
    (لسان الحال)
    ii- tasbih khas iaitu dari makhluk yang beriman dari kalangan manusia & jin kepada Allah s.w.t. (لسان المقال) yang kafir tidak, ini tasbih khas.

AYAT 2- {DIA LAH YANG TELAH MENGUTUSKAN DALAM KALANGAN ORANG-ORANG (ARAB) YANG UMMIYYIN, SEORANG RASUL (NABI MUHAMMAD S.A.W) DARI BANGSA MEREKA SENDIRI, YANG MEMBACAKAN KEPADA MEREKA AYAT-AYAT ALLAH (YANG MEMBUKTIKAN KEESAAN ALLAH DAN KEKUASAANNYA), DAN MEMBERSIHKAN MEREKA (DARI IKTIQAD YANG SESAT), SERTA MENGAJARKAN MEREKA KITAB ALLAH (AL-QURAN) DAN HIKMAH (PENGETAHUAN YANG MENDALAM MENGENAI HUKUM-HUKUM SYARAK). DAN SESUNGGUHNYA MEREKA SEBELUM (KEDATANGAN NABI MUHAMMAD) ITU ADALAH DALAM KESESATAN YANG NYATA.} (AL-JUMU\’AH 62:2)

  1. Kemudian Allah s.w.t perkenalkan Rasulullah s.a.w sebagai seorang yang (ٱلْأُمِّيِّـۧنَ) iaitu yang tidak membaca dan menulis.
  2. Bukan bodoh, tetapi memang masyarakat Arab Quraisy pada masa itu budayanya tidak membaca dan menulis, hanya segelintir sahaja yang boleh.
    Jadi ia bukan sesuatu kekurangan dan yang pelik. Mereka berdagang dan kaya-raya.
  3. Rasulullah s.a.w membesar dalam masyarakat ini. Lalu kelebihan dan hikmah sifat ini terserlah selepas Baginda diutuskan menjadi seorang Rasul.
  4. Dapat difahami hikmah dari Rasulullah s.a.w tidak membaca dan menulis;
    i- orang tidak boleh membuat tuduhan bahawa Rasulullah s.a.w mereka-reka sendiri ajaran dan dakwahnya.

ii- Ajarannya adalah sesuatu yang boleh diterima oleh akal & sesuai dengan fitrah tabi\’in manusia yang salimah (sejahtera).

iii- Maklumat dan faktanya pelik, tentang dari awal dunia, selepas dunia ini serta dari sudut sains yang terbukti kebenarannnya.

  1. Nak kata teori Baginda tidak membaca, nak kata ambil dari umat lain- Baginda tidak mengembara keluar dari Tanah Arab. Maka ini menunjukkan satu mukjizat yang datang dari Allah s.w.t!
  2. Allah juga nyatakan tugas Rasulullah s.a.w:
    i- membacakan ayat-ayat al-Quran yang diturunkan kepada Baginda kepada kaum Quraisy. Ayat yang membuktikan keesaan dan kekuasaan Allah s.w.t!

ii- membersihkan mereka daripada iktikad, ajaran jahiliyyah yang sesat & syirik kepada tauhid kepada Allah s.w.t semata.
jangan nisbahkan zaman lalu kita kepada sifat atau zaman jahiliyyah yang gelap.

iii- mengajar kepada mereka Kitab al-Quran.

iv- serta mengajarkan hikmah; iaitu pengetahuan yang mendalam tentang hukum-hukum Syara\’.

Ada juga ulama\’ kata maksud hikmah ini Sunnah Nabi s.a.w.

Yakni kerja Nabi ajar al-Quran & ajar Sunnah- keduanya berkembar tidak dapat dipisahkan.

  1. Inilah teknik ilmu pendidikan yang kita kena belajar dan amalkan dalam mentarbiyah dan mendidik jiwa anak-anak, para pelajar dan khayalak masyarakat yang mahu didakwah.
  2. Kemudian Allah s.w.t mengungkit bahawa mereka sebelum kedatangan Nabi Muhammad itu adalah dalam kesesatan yang nyata!
  3. Dalam ayat ini dan ayat berikutnya Allah s.w.t menyebut limpah kurnia-Nya yang merupakan nikmat yang diberi kepada bangsa Arab secara khusus dan seluruh umat manusia lain secara umumnya; sehingga mereka menjadi umat Islam dengan mengutuskan Rasul-Nya nabi Muhammad s.a.w.
    Untuk memimpin mereka ke jalan keselamatan dan kebahagiaan di dunia dan di akhirat. Maka sudah sewajibnya mereka bersyukur akan nikmat dan rahmat-Nya itu.
  4. Yakni mereka sebelum kebangkitan Rasulullah s.a.w adalah bangsa yang sesat dan terumbang-ambing tanpa agama yang benar!

AYAT 3- {DAN JUGA (TELAH MENGUTUSKAN NABI MUHAMMAD KEPADA) ORANG-ORANG YANG LAIN DARI MEREKA, YANG MASIH BELUM (DATANG LAGI DAN TETAP AKAN DATANG) MENGHUBUNGI MEREKA; DAN (INGATLAH), ALLAH JUALAH YANG MAHA KUASA, LAGI MAHA BIJAKSANA.} (AL-JUMU\’AH 62:3)

  1. Allah s.w.t mengutuskan Rasulullah s.a.w dengan satu risalah yang berkekalan dan tidak mati hanya dengan wafatnya Rasulullah s.a.w.
  2. Tugas Rasulullah s.a.w berdakwah dan menyampaikan risalah ajarannya kepada kaumnya dan seluruh umat manusia yang selepasnya sehingga ke hari Kiamat.
  3. Kita tetap menjadi pengikut dan umat Rasulullah s.a.w walaupun kita tidak pernah bertemu dengan Baginda s.a.w.
    Ayat ini mengatakan Rasulullah diutuskan kepada kaumnya yang telah ada dan kepada manusia yang belum ada lagi ketika itu, yakni manusia yang akan datang pada masa depan.
  4. Ayat ini mengatakan secara jelas bahawa umat terdahulu dan umat yang terkemudian selepasnya, semua akan menjadi umat Nabi Muhammad s.a.w!
    Alhamdulillah kita termasuk ke dalam golongan ini juga.
  5. Hadis dari Abu Hurairah r.a- mereka duduk bersama Rasulullah s.a.w apabila turun ayat ini: {Dan mereka yang masih belum (datang lagi dan tetap akan datang) menghubungi mereka;}- lalu sahabat bertanya siapakah mereka itu?
    Tiga kali sahabat bertanya barulah Rasulullah s.a.w sambil menepuk bahu Salman al-Farisi yang sedang berada di sebelahnya:
    مِن هذا وَقَومِه , والذي نفسي بيده لَوْ أنَّ الدّينَ تَعَلَّقَ بالثُّرَيَّا لَنالَتْهُ رِجالٌ من أهْل فارِس
    \”Yang berasal dari orang ini dan kaumnya. Demi zat yang jiwaku ada di dalam genggamannya, jika agama itu bergantung pada salah satu bintang Thurayya, maka akan di dapatkan oleh orang-orang dari Persia\”. [HR Bukhari & Muslim].
  6. Kata Ibnu Asyur rhm.: Maksudnya kata-kata Rasulullah dalam hadis ini ialah untuk menyatakan apa yang disebut dalam al-Quran bahawa pada masa akan datang pun akan ada orang yang bukan Arab (a\’jam) yang ikut Rasulullah s.a.w yang akan memperjuangkan Islam dengan ikhlas.
    Bukan khas kepada puak Salman sahaja tetapi seluruh umat manusia secara umumnya.
  7. Allah tutup ayat ini dengan mengulang sekali bahawa Dia adalah Allah:
    i- Yang Maha Kuasa,
    ii- lagi Maha Bijaksana
    Maka kamu jangan ragu dan pertikaikan hukum-hakam Allah s.w.t!

AYAT 4- {(PENGUTUSAN NABI MUHAMMAD S.A.W, KEPADA UMAT MANUSIA SELURUHNYA) ITU (YANG MENJADI RAHMAT) ADALAH LIMPAH KURNIA ALLAH, DIBERIKANNYA KEPADA SESIAPA YANG DIKEHENDAKINYA; DAN SEMEMANGNYA ALLAH MEMPUNYAI LIMPAH KURNIA YANG BESAR.} (AL-JUMU\’AH 62:4)

  1. Kenabian & kerasulan adalah rahmat Allah kepada umat manusia seluruhnya.
    Allah s.w.t memberi jawatan dan melantik para nabi dan rasul dari kalangan sesiapa yang dikehendaki-Nya.
  2. Sesungguhnya Allah mempunyai limpah kurnia yang besar. Terlalu banyak dan tidak terhitung nikmat-Nya.

PENUTUP & FAEDAH :

  1. Ayat 1- {Segala yang ada di langit dan yang ada di bumi sentiasa mengucap tasbih kepada Allah}- timbul perbahasan dari sudut bahasa pula kenapa dikatakan { يُسَبِّحُ لِلَّهِ }- bertasbih bagi Allah, bukan { يُسَبِّحُ الِلَّهِ} bertasbih kepada Allah terus?
    Jawapan:
    Kata ulama\’ kedua ayat atau lafaz ini boleh digunakan dalam bahasa Arab.
    Seperti kita mmeuji seseorang atau memuji bagi dia.
    ii- sama seperti persoalan kenapa digunakan perkataan (-ما ma-apa) untuk benda yang tidak berakal bukan (من – man-siapa)- makhluk berakal.
    Jawapan:
    Kerana yang bertasbih itu bukan manusia & jin sahaja, tetapi semua makhluk yang ada di langit & bumi.
    Jadi digunakan perkataan ma (apa) yang lebih umum dan merangkumi semuanya, kita walaupun manusia masih tetap satu benda!
  2. Ayat 1- {Segala yang ada di langit dan yang ada di bumi sentiasa mengucap tasbih kepada Allah}- timbul perbahasan dari sudut bahasa pula kenapa:
    i- bagi bumi digunakan perkataan perkataan mufrad (singular) { ٱلْأَرْض}-
    ii- manakala bagi langit digunakan perkataan jamak (plural) {ٱلسَّمَـٰوَٰتِ}
    Jawapan:
    i- ini kerana dalam al-Quran biasanya bila sebut bumi akan digunakakan perkataan mufrad (singular) kerana lafaz jamaknya (plural) adalah berat sebutannya iaitu (الأراض).
    Kerana itu apabila mahu disebut bumi yang banyak di
    ii- manakala langit disebut dengan lafaz jamak kerana ia ringan sebutannya dan untuk menunjukkan langit itu luas dan banyak lapisnya.
    Kecuali apabila mahu ditunjukkan arah disebut dengan lafaz mufrad langit (السماء) sahaja.
    Inilah keindahan gaya bahasa dan rahsis penggunaan lafaz al-Quran.
  3. Ayat 2- {Dia lah yang telah mengutuskan dalam kalangan orang-orang (Arab) yang Ummiyyin, seorang Rasul (Nabi Muhammad s.a.w) dari bangsa mereka sendiri.}- timbul persoalan kenapa hantar rasul yang tidak membaca? Apa peliknya?
    JAWAPAN : i- Untuk menunjukkan fakta yang sama dalam Taurat dan Injil yang telah menyebut akan datang lahir Nabi yang sifatnya adalah ummiyy.

ii- untuk menunjukkan persaaman dengan umatnya pada masa itu. Umat tidak membaca Nabi da pun tidak membaca & menulis juga.

iii- untuk menafikan tuduhan puak kafir bahawa Rasulullah s.a.w telah membaca dan mengkaji kitab-kitab lama seperti Taurat lalu bawa teori mereka-cipta ajarannya sendiri dengan melakukan rujukan dengan bacaannya!

Rasulullah s.a.w adalah seorang yang bijak lagi tetapi kerana Allah mahu menjaganya dari dituduh ahli teori dan pereka ajaran.
Rasulullah dan masyarakatnya bukan bodoh kerana itu adalah tidak sesuai untuk menterjemahakan ummiyy ini sebagai buta huruf!

  1. Ayat 2- {Dan sesungguhnya mereka sebelum (kedatangan Nabi Muhammad) itu adalah dalam kesesatan yang nyata.}- ini menunjukkan manusia itu sebelum kebangkitan nabi Muhammad s.a.w mereka berada dalam ksesatan.
    Sesat dengan syirik dan pegangan perjalanan hidupnya. Mereka tiada kitab dan panduan sebelum ini.
    Manakala puak yahudi dan Nasrani walaupun ada kitab, mereka telah selewengkannya dan reka-reka ibadat yang tiada.

Umat Muhammad s.a.w yang ada al-Quran & Hadis ini kena ingat bahawa Rasulullah s.a.w telah bersabda dalam hadisnya:
\”Aku telah tinggalkan kamu di atas (landasan) yang putih bersih, malamnya (terang) seperti siang, tidak akan tergelincir daripadanya kecuali orang yang celaka\”. [HR Ibnu Majah dan Imam Ahmad].

Maka sesiapa yang lari dari landasan ini dia akan sesat.
Tetapi malangnya agama ini telah berjerubu kerana dimasuki dari ajaran yang dibawa oleh puak yang masuk Islam kemudiannya.

  1. Ayat 3- {Dan juga (telah mengutuskan Nabi Muhammad kepada) orang-orang yang lain dari mereka, yang masih belum (datang lagi dan tetap akan datang) menghubungi mereka}- ayat ini adalah antara mukjizat Rasulullah s.a.w.

Baginda sebut benda yang akan berlaku.
Akan masuk Islam dan berjuang untuknya orang yang bukan Arab (\’ajam) dengan ramai sekali.

Tetapi malangnya ada juga sebahagian mereka yang bawa sekali ke dalam Islam ajaran-ajaran karut dan sesat dari agama lama mereka.
Telah bercampur gaul dan akhirnya sebati dalam amalan dan adab sebahagian orang Islam. Ditempelkan ajaran lama mereka dalam Syari\’ Islam.

Ayat 4- {(Pengutusan Nabi Muhammad s.a.w, kepada umat manusia seluruhnya) itu (yang menjadi rahmat) adalah limpah kurnia Allah, diberikanNya kepada sesiapa yang dikehendakiNya; dan sememangnya Allah mempunyai limpah kurnia yang besar.}- ini adalah khas untuk umat Nabi Muhammad s.a.w- diberikan limpah kurnia sebagai nikmat yang banyak oleh Allah s.w.t!

Powered by BetterDocs