SURAH AL-BALAD : AYAT 11-20

\"\"

GALAKAN MELAKUKAN KEBAIKAN, INFAQ PADA JALAN ALLAH, BURUKNYA GOLONGAN KIRI.

Full video: https://youtu.be/KjISxjqQCv0?si=oEQtJI6YvTY7oOn5

MUQADDIMAH :

  1. Dalam siri ini Allah s.w.t beri galakan supaya banyak melakukan kebaikan seperti melepaskan hamba yang ditawan, mengembirakan anak yatim & memberi makan orang yang kelaparan & membantu orang miskin.
  2. Perbuatan infaq pada jalan Allah ini mestilah bantuan yang Ikhlas, tidak ada sebarang niat lain seperti nak menunjuk atau nak ambil kesempatan!
  3. Kemudian Allah nyatakan kepada kita golongan yang menerima suratan dengan tangan kanan & tangan kiri serta betapa buruknya golongan kiri.
  4. Munasabah ayat:
    i- dalam ayat yang lepas Allah s.w.t kempen & galakkan kita untuk melakukan kebaikan dan memperbaiki jiwa kita.
    Ini kerana Allah telah beri kita dua jalan untuk dipilih, jalan yang baik & jalan yang tidak baik! Jalan yang baik itu mempunyai banyak lorong yang akan membawa kepada kita kebaikan dunia & akhirat.

ii- tetapi dalam ayat ini Allah s.w.t nyatakan ada juga orang (yang kaya & mampu) yang tidak pilih jalan yang baik lalu tidak ambil tanggung-jawab yang berat ini untuk kebaikan di akhirat.
Pengikut nafsu juga tidak melawan nafsu mereka untuk melakukan kebajikan.

AYAT 11- {DALAM PADA ITU MANUSIA TIDAK (MEMILIH JALAN KEBAIKAN) MEREMPUH MASUK MENGERJAKAN AMAL-AMAL YANG TINGGI DARJATNYA DI SISI TUHAN;} (AL-BALAD 90:11)

  1. Allah nyatakan; Nikmat telah Allah beri kepada kita iaitu nikmat iman & akal maka kamu timbanglah pilih jalan yang mana boleh beri kebaikan kamu!

Jika orang yang cerdik dia akan buat amalan yang dapat memberatkan timbangannya di akhirat.

  1. Tetapi ada juga manusia terutama yang kaya-kaya tidak ambil dan pilih jalan yang berat ini. Seolah mereka tidak melawan nafsu mereka untuk melakukan kebaikan, nafsu yang menyintai harta & dunia.
  2. Maknanya { ٱلْعَقَبَة} ini adalah seolah satu teluk, satu tempat tinggi untuk naik.

Kata ulama\’ ia adalah ibarat kepada amalan-amalan berikut yang Allah senaraikan dalam ayat selepas ini!

AYAT 12- {DAN APA JALANNYA ENGKAU DAPAT MENGETAHUI: APA DIA AMAL-AMAL YANG TINGGI DARJATNYA DI SISI TUHAN ITU?} (AL-BALAD 90:12)

  1. Tahukah kamu apakah itu tempat tinggi { ٱلْعَقَبَة} amal-amal yang tinggi darjatnya di sisi Tuhan yang Allah s.w.t suruh kamu gapainya!

AYAT 13- {(DI ANTARA AMAL-AMAL ITU – BAGI ORANG YANG MAMPU) IALAH: MEMERDEKAKAN HAMBA ABDI;} (AL-BALAD 90:13)

  1. Antaranya ialah memerdekakan seorang hamba abdi bagi mereka yang mampu!
    Yakni bebaskan seorang manusia dari belenggu perhambaan!
  2. Ini menunjukkan satu rahmat & belas kasihan sesama manusia!
    Betapa Islam mengambil berat masalah ini, cuba untuk menghapuskan sistem perhambaan yang sudah lama bertapak dalam kehidupan manusia sebelum kedatangan Islam lagi!
  3. Dalam Islam sebab untuk menjadi hamba hanya satu iaitu tawanan perang tetapi jalan untuk membebaskan banyak sekali! Islam sangat menggalakkan untuk membebaskan hamba!
  4. Hadis Abu Hurairah r.a: bahawa Rasulullah s.a.w telah bersabda:

مَنْ أعتقَ رقبةً مسلِمَةً، أَعْتَقَ اللهُ لَهُ بِكُلِّ عضْوٍ منها عضْوًا منه مِنَ النارِ، حتى فَرْجَهُ بِفَرْجِهِ
أبو هريرة • المحدث :الألباني (ت )، المصدر :صحيح الجامع ٦٠٥١ • صحيح • أخرجه البخاري (٦٧١٥)، ومسلم (١٥٠٩) باختلاف يسير.

Sesiapa yang memerdekakan seorang hamba mukmin, maka Allah akan membebaskan setiap anggota tubuhnya termasuk farajnya dari api neraka sebagaimana setiap anggota hamba tadi, dibebaskan dari belenggu pengabdian. [HR Muslim].

AYAT 14- {ATAU MEMBERI MAKAN PADA HARI KELAPARAN.} (AL-BALAD 90:14)

  1. Amal kebajikan yang kedua: memberi makanan kepada orang yang lapar & memerlukannya.
  2. Hari ini ramai orang & NGO yang menjalankan kebajikan yang boleh dipercayai- kita boleh tumpang buat kebajikan melalui saluran mereka.

Tetapi jangan lupa untuk memberi bantuan kepada orang yang terdekat atau dalam kawasan, daerah, negeri atau negara kita dahulu sebelum pergi jauh.
Terutamanya keluarga sendiri dahulu!

AYAT 15- {KEPADA ANAK YATIM DARI KAUM KERABAT,} (AL-BALAD 90:15)

  1. Juga kebajikan yang besar ialah memberi makan/bantuan kepada anak yatim, lebih-lebih lagi jika kaum kerabat sendiri!
  2. Hati-hati juga bagi penjaga & pengurus rumah anak yatim; uruslah dengan amanah dan jujur. Dalam Islam banyak amaran kepada orang yang khianat amanah harta anak yatim, firman Allah s.w.t:
    {\”Sesungguhnya orang-orang yang memakan harta anak yatim secara zalim, sebenarnya mereka itu menelan api dalam perutnya dan mereka akan masuk kedalam api yang menyala-nyala (nereka)\”}. [An-Nisa ayat 10].

AYAT 16- {ATAU KEPADA ORANG MISKIN YANG TERLANTAR DI ATAS TANAH.} (AL-BALAD 90:16)

  1. Juga memberi bantuan kepada orang miskin yang tidak mempunyai tempat berteduh yang selesa, sehingga seolah terlantar di atas tanah.
  2. Ini adalah galakan untuk berbuat kebaikan dalam 4 perkara iaitu:
    i- membebaskan hamba.
    ii- beri makan orang miskin yang tidak ada makanan.
    iii- buat baik kepada anak yatim.
    iv- beri bantuan orang miskin yang terlantar.
  3. Nanti bila mati kita akan keseorangan di dalam kubur; tetapi kalau kita ada ibadat yang baik, amalan itulah yang akan meluaskan kubur kita, meneduh & menyejukkannya.

AYAT 17- {SELAIN DARI (TIDAK MENGERJAKAN AMAL-AMAL) ITU, IA (TIDAK PULA) MENJADI DARI ORANG-ORANG YANG BERIMAN DAN BERPESAN-PESAN DENGAN SABAR SERTA BERPESAN-PESAN DENGAN KASIH SAYANG.} (AL-BALAD 90:17)

  1. Mereka ini selain daripada tidak melakukan kebajikan-kebajikan ini, mereka juga tidak beriman!
    Yakni sudahlah kafir bakhil & zalim pula!
  2. Tetapi bagi orang kafir yang banyak buat kebajikan pun tetap rugi dan sia-sia amalannya itu di akhirat. Dia tidak akan dapat pahala atas segala kebaikan yang dia buar!
  3. Ini kerana syarat untuk mendapat pahala ialah wajib orang yang beriman!

Terdapat banyak ayat al-Quran yang menunjukkan tentang ini:
{\”Sesiapa yang mengerjakan sesuatu perbuatan jahat maka ia tidak dibalas melainkan dengan kejahatan yang sebanding dengannya; dan sesiapa yang mengerjakan amal soleh – dari lelaki atau perempuan – sedang ia beriman, maka mereka itu akan masuk Syurga; mereka beroleh rezeki di dalam Syurga itu dengan tidak dihitung.} (Ghaafir 40:40)

  1. Hadis tentang orang kafir yang banyak buat kebajikan:
    Aisyah r.a suatu hari pernah bertanya kepada Rasulullah s.a.w tentang Abdullah bin Jud\’an yang mati dalam keadaan syirik pada masa jahiliyah, akan tetapi dia orang yang baik, suka memberi makan, suka menolong orang yang teraniaya dan punya kebaikan yang banyak.
    Rasulullah s.a.w menjawab:
    \”Semua amalan itu tidak memberinya manfaat sedikitpun, kerana dia tidak pernah mengatakan: \’Wahai Tuhanku, berilah keampunan atas kesalahan-kesalahanku pada hari kiamat kelak.\” (HR. Muslim no. 214).
  2. Kisah TG Haji Abdul Rahman (رحمه الله) pengasas Pondok Sungai Durian dengan manager Estate orang putih bukan Islam yang nak derma tanah kepada pondok.
    TG katakan kepadanya dia tidak dapat terima pahala kerana tidak ada akaun (bukan Islam).
  3. Mereka orang beriman ini juga sentiasa berpesan-pesan dengan sabar.

Sebagaimana kita telah bincang dulu sabar ini terbahagi kepada tiga:
i- sabar dalam melakukan ketaatan.
ii- sabar meninggalkan maksiat.
iii- sabar dalam menerima ujian!

7. Serta berpesan-pesan dengan kasih sayang untuk berbuat baik sesama manusia serta juga haiwan.

8. Hadis riwayat dari Jarir bin Abdullah r.a bahawa Rasulullah s.a.w bersabda:
\”Allah tidak mengasihi orang yang tidak mengasihi manusia.\” [HR Bukhari].
Serta banyak lagi hadis-hadis lain!

AYAT 18- {(KETAHUILAH! BAHAWA ORANG-ORANG YANG BERIMAN SERTA BERUSAHA MENGERJAKAN AMAL-AMAL YANG TINGGI DARJATNYA DI SISI TUHAN), MEREKALAH GOLONGAN PIHAK KANAN (YANG AKAN BEROLEH SYURGA).} (AL-BALAD 90:18)

  1. Mereka ini yang beriman dan berusaha melakuakn segala kebajikan itu adalah golongan pihak kanan { أَصْحَـٰبُ ٱلْمَيْمَنَةِ} yang akan beroleh Syurga!

Ya Allah jadikam kami daripada golongan ini.

AYAT 19- {DAN (SEBALIKNYA) ORANG-ORANG YANG KUFUR INGKAR AKAN AYAT-AYAT KETERANGAN KAMI, MEREKALAH GOLONGAN PIHAK KIRI. -} (AL-BALAD 90:19)

  1. Manakala manusia yang kufur dengan ayat-ayat Allah & tidak melakukan kebajikan- merekalah golongan pihak kiri { أَصْحَـٰبُ ٱلْمَشْـَٔمَةِ}!

AYAT 20- {MEREKA DITIMPAKAN (AZAB SEKSA) NERAKA YANG DITUTUP RAPAT (SUPAYA KUAT BAKARANNYA).} (AL-BALAD 90:20)

  1. Balasan bagi mereka adalah azab siksa di dalam neraka yang tertutup rapat pintunya (seolah oven atau periuk tekanan) untuk memaksimakan kepanasan dan azabnya!
    Wal \’iyazubillah!

PENUTUP & FAEDAH :

  1. Ayat 11- {Dalam pada itu manusia tidak (memilih jalan kebaikan) merempuh masuk mengerjakan amal-amal yang tinggi darjatnya di sisi Tuhan;}-

Allah kata mereka ini tidak memilih untuk merempuh masuk (ambil peluang) untuk melakukan amal kebajikan yang tinggi nilainya di sisi Allah s.w.t!

Semua orang ada ruang dan peluang untuk berkhidmat, tetapi mereka tidak ambil peluang itu, maka inilah manusia yang sangat rugi & akan menyesal di akhirat kelak!

Kita yang masih hidup di dunia ini, masih ada peluang, sihat wal-afiat, gagah & ada harta maka ambillah peluang ini untuk tambah ketaatan, amal kebajikan kita untuk menuju kepada Allah.

Allah sebut amal kebaikan itu sebagai { ٱلْعَقَبَةَ} yang bererti tempat tinggi- sesuatu yang kita perlu daki untuk mencapainya.

Yakni jika nak benda baik, kena buat amal kebajikan, kita perlu usaha untuk melakukannya serta mujahadah untuk melawan nafsu!

Kata ulama\’:
Berjalan kepada makhluk dengan kaki;
berjalan kepada Allah dengan hati!

  1. Ayat 13- {(Di antara amal-amal itu – bagi orang yang mampu) ialah: memerdekakan hamba abdi;}
    Ayat 14- {Atau memberi makan pada hari kelaparan.}
    Ayat 15- {Kepada anak yatim dari kaum kerabat,}
    Ayat 16- {Atau kepada orang miskin yang terlantar di atas tanah.} –

Allah senaraikan kepada kita empat perkara kebaikan.
Ini adalah dalam konteks galakan untuk berinfaq- memberi sedekah & pertolongan kepada orang yang sedang memerlukan!

Kerana beri makan kepada orang miskin & kelaparan ini antara punca besar kita masuk syurga!

Hadis- Sabda Rasulullah s.a.w:
فَاتَّقُوا النَّارَ وَلَوْ بِشِقِّ تَمْرَةٍ فَمَنْ لَمْ يَجِدْ فَبِكَلِمَةٍ طَيِّبَةٍ
\”Jagalah diri kalian dari neraka meskipun hanya dengan sedekah setengah biji kurma. Barangsiapa yang tak mendapatkannya, maka ucapkanlah perkataan yang baik.\” (HR. Bukhari no. 1413, 3595 dan Muslim no. 1016).

Ibaratnya walaupun sedikit, infaq itu antara sebab menjadi benteng kepada kita daripada api neraka!

Kita bersedekah di saat orang susah, ditimpa musibah & memerlukan lebih besar pahalanya!

  1. Ayat 17- {Selain dari (tidak mengerjakan amal-amal) itu, ia (tidak pula) menjadi dari orang-orang yang beriman dan berpesan-pesan dengan sabar serta berpesan-pesan dengan kasih sayang.}- orang beriman juga digalakkan untuk ada dua sifat ini iaitu; berpesan-pesan dengan sabar serta berpesan-pesan dengan kasih sayang.

Yakni bersifat rahmat, kasihan belas & membantu dalam segenap aspek yang dia mampu.

Orang kaya beri infaq, orang berilmu mengajar dan berkuliah sampaikan ilmunya, orang ada kuasa permudahkan urusan rakyat dan seumpamanya.

Dua sifat orang mukmin ini kena ada dalam hidup kita iaitu berpesan-berpesan memberi nasihat dengan rahmat & sabar!

Yakni jika kita nak berpesan dan beri nasihat kepada orang wajib ada sifat rahmat & kasihan belas!

Firman Allah s.w.t dalam surah al-Asr:
{Demi Masa!
Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian –
Kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh, dan mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan sabar.} (Al-\’Asr 103: 1-3)

  1. Ayat 17- {Selain dari (tidak mengerjakan amal-amal) itu, ia (tidak pula) menjadi dari orang-orang yang beriman dan berpesan-pesan dengan sabar serta berpesan-pesan dengan kasih sayang.}
    Kenapa Allah kembarkan dua sifat ini?
    Allah s.w.t ajar kepada kita untuk bersifat rahmat dalam berpesan & memberi nasihat ini!

Orang yang bersifat sabar & rahmat; itu orang yang berani!

Sama seperti Allah s.w.t kembarkan dalam al-Quran biasanya antara solat & zakat.

Bersabar dalam melakukan amal ibadat kepada Allah iaitu solat dan juga bersabar dalam mengeluarkan harta berinfaq fi sabilillah ini untuk membantu sesama manusia!

Yakni bersabar dalam menjalankan tanggung-jawab & menjaga:
i- hubungan dengan Allah- solat.
ii- hubungan dengan manusia- beri zakat bantuan.

  1. Ayat 13- {(Di antara amal-amal itu – bagi orang yang mampu) ialah: memerdekakan hamba abdi;}
    Dalam ayat ini Syari\’ah Islam menggalakkan kita untuk membebaskan hamba.

Dalam Islam pintu untuk menjadi hamba itu sempit iaitu cuma satu: kerana menjadi tawanan perang.

Kemudian apabila ada hamba- Allah s.w.t buka pintu yang luas jalan-jalan untuk membebaskan hamba.
Sebagaimana hadis yang di atas betapa besarnya pahala orang yang merdekakan hamba!

Beberapa hukuman yang memerlukan untuk membebaskan hamba dalam Islam:
i- siapa yang bebaskan hamba abdi, Allah akan bebaskannya dari api neraka,
ii- orang yang langgar sumpah kaffarah (dendanya) adalah merdekakan hamba.

iii- begitu juga kaffarah bagi orang yang menziharkan isterinya.

iv- orang yang tersalah bunuh orang- merdekakan hamba!
Serta banyak lagi.

Betapa Islam ini agama yang rahmat dan penuh kasihan belas, cuba menghapuskan sistem perhambaan yang telah berakar umbi dalam tamadun manusia sebelum datangnya Islam lagi!

Ada rang kafir mengatakan agama Islam zalim dan menohmah bahawa hamba adalah sistem dalam Islam.

Perkara ini perlu dijawab dengan hujjah dan diberi penjelasan yang sewajarnya!

Boleh baca penjelasan lanjut tentang hikmah-hikmah ini dalam buku Keindahan Islam:
https://dartaibah.com/?page_id=179…

Alhamdulillah kita telah tamat surah al-Balad ini, semoga Allah s.w.t kabulkan amalan kita, buka dan cerahkan hati kita untuk menerima panduan & hidayat dari al-Quran ini yang dapat membawa kita syurga-Nya.

Ya Allah jadikan kami & semua orang kami sayangi dari golongan {المتقين}, orang yang layak menerima nikmat-Mu pada hari Kiamat nanti.

Powered by BetterDocs