SURAH AT-TALAQ : AYAT 8-12

\"\"

AMARAN KEPADA PENDERHAKA, JANJI SYURGA BAGI YANG TAAT & SEMPURNANYA KUASA ALLAH.

Full video : https://youtu.be/21ZMFRjKfqU

MUQADDIMAH :

  1. Dalam siri ini Allah s.w.t memberi amaran kepada para penderhaka, tidakkah mereka lihat kesan akibat yang telah ditimpa ke atas mereka sebelum ini, azab yang dahsyat kepada para penderhaka!
  2. Juga janji syurga dan rahmat keampunan dari Allah bagi mereka yang taat kepada perintah Allah & rasul-Nya serta menjauhi larangan-Nya.
  3. Kemudian Allah s.w.t perkenalkan kepada kita kuasa-Nya yang mutlaq serta sempurnanya ilmu & kuasa Allah s.w.t.
  4. Munasabah ayat ini dengan ayat yang lepas:
    i- Setelah menerangkan tentang hukum talaq dan kategori wanita yang diceraikan ada tiga jenis.
    Serta hukum yang berhubung dengannya selepasnya, seperti hamil kemudian melahirkan anak & penyusuan serta wanita dalam iddah masih kena diberi nafkah.
    Allah juga melarang daripada melampaui batas dalam hukum yang diperintahkan-Nya.

ii- maka dalam ayat ini dan ayat-ayat berikutnya diberi amaran kepada orang yang melanggar perintah Allah & Rasul-Nya s.a.w. Bahawa mereka akan ditimpa azab siksa dari Allah sebagai mana yang telah ditimpakan ke atas orang-orang yang telah lalu disebabkan penderhakaan mereka.

iii- sebaliknya orang yang beriman, beramal soleh dan taat ikut perintah Allah s.w.t & Rasulullah s.a.w, maka mereka dijanjikan dengan balasan yang sebaik-baiknya iaitu syurga yang kekal penuh nikmat Allah!

AYAT 8- {DAN BUKAN SEDIKIT NEGERI-NEGERI YANG PENDUDUKNYA MENDERHAKA TERHADAP PERINTAH TUHAN MEREKA DAN RASUL-RASULNYA, MAKA KAMI HITUNG AMAL MEREKA SATU PERSATU DENGAN HITUNGAN YANG KERAS RAPI, SERTA KAMI SEKSAKAN MEREKA DENGAN AZAB YANG TIDAK PERNAH DIKENAL DAHSYATNYA.} (AT-TALAAQ 65:8)

  1. Allah nyatakan berapa banyak negeri-negeri yang penduduknya telah melampaui batas, menderhaka kepada Allah, melawan Rasul-Nya, langgar Syari\’ah Allah dan merempuh batasan yang Allah buat dengan melakukan perkara maksiat dan mungkar, lalu Allah s.w.t ambil tindakan atas dosa-dosa dengan membinasakan mereka dengan ditimpa azab yang cukup dahsyat.
  2. Sebagaimana yang telah kita telah belajar sebelum ini tentang Firaun dan kaumnya, kaum Ad, Thamud, kaum Nabi Nuh, Lut dan lain-lain. Yang Allah s.w.t telah timpakan ke atas mereka azab yang cukup dahsyat dan mengerikan.
  3. Firman Allah s.w.t:
    {Ia berkata: \”Adapun orang yang melakukan kezaliman (kufur derhaka), maka kami akan menyeksanya; kemudian ia akan dikembalikan kepada Tuhannya, lalu diazabkannya dengan azab seksa yang seburuk-buruknya.} [al-Kahfi: 87]

AYAT 9- {LALU MEREKA MERASAI KESAN YANG BURUK DARI PERBUATAN DERHAKANYA, DAN MENJADILAH AKIBAT PERBUATAN MEREKA SATU KERUGIAN YANG BESAR.} (AT-TALAAQ 65:9)

  1. Lalu mereka dikenakan azab itu dan setiap kaum telah merasai azabnya kesan akibat daripada perbuatan derhaka mereka kepada Allah & Rasul-Nya.
    Sebagaimana Abu Jahal dan gengnya pada zaman Rasulullah s.a.w.
  2. Azab itu adalah satu kerugian yang besar kepada mereka, betapa mereka dikenakan azab yang dahsyat dan penuh penghinaan di dunia & Akhirat.
  3. Ayat ini sebagai satu amaran kepada kita agar sedar jangan hanyut dan lalai kerana di hadapan kita banyak lagi ujian dan perhitungan yang bakal dihadapi.
    Janganlah kita termasuk dalam golongan yang diazab dan kerugian.

AYAT 10- {ALLAH MENYEDIAKAN BAGI MEREKA AZAB SEKSA YANG SEBERAT-BERATNYA. MAKA BERTAQWALAH KEPADA ALLAH KEPADA WAHAI ORANG YANG BERAKAL SEMPURNA DARI KALANGAN ORANG YANG BERIMAN. SESUNGGUHNYA ALLAH TELAH MENURUNKAN KEPADA KAMU PERINGATAN -} (AT-TALAAQ 65:10)

  1. Allah nyatakan lagi di Akhirat kelak mereka akan dikenakan pula azab yang seberat-beratnya!
  2. Kemudian Allah nyatakan sesiapa yang nak selamat dari azab ini maka bertaqwalah kepada Allah s.w.t!
    Hendaklah kamu takut kepada kemurkaan dan azab Allah.
  3. Iaitu dengan mengikut dan melakukan segala perintah dan arahan Allah s.w.t DAN menjauhkan segala larangan-Nya.
  4. Allah kata hanya mereka yang beriman kepada Allah, beriman dengan Rasul-Nya s.a.w serta berakal sempurna akan mengambil peringatan dan pengajaran daripada amaran dan peringatan ini!
  5. Sesungguhnya Allah s.w.t telah menrunkan kepada kamu satu peringatan {ذِكْرًۭا } yang jelas!

AYAT 11- {(DENGAN MENGUTUSKAN) SEORANG RASUL (NABI MUHAMMAD S.A.W) YANG MEMBACAKAN KEPADA KAMU AYAT-AYAT ALLAH YANG MENERANGKAN KEBENARAN, SUPAYA ALLAH MENGELUARKAN ORANG-ORANG (YANG SEDIA DIKETAHUINYA AKAN) BERIMAN DAN BERAMAL SOLEH – DARI GELAP-GELITA (KESESATAN) KEPADA CAHAYA (HIDAYAH PETUNJUK). DAN (INGATLAH), SESIAPA YANG BERIMAN KEPADA ALLAH DAN BERAMAL SOLEH, AKAN DIMASUKKAN OLEH ALLAH KE DALAM SYURGA YANG MENGALIR DI BAWAHNYA BEBERAPA SUNGAI; KEKALLAH MEREKA DI DALAMNYA SELAMA-LAMANYA. SESUNGGUHNYA ALLAH (DENGAN YANG DEMIKIAN) TELAH MENGURNIAKAN KEPADANYA SEBAIK-BAIK PEMBERIAN.} (AT-TALAAQ 65:11)

  1. Sesungguhnya Allah s.w.t telah mengutuskan seorang Rasul iaitu Nabi kita Muhammad s.a.w untuk memberi peringatan (ذِكْرًۭا) kepada kita melalui ayat-ayat al-Quran.
  2. Ada ulama\’ kata makna peringatan itu adalah:
    i- al-Quran.
    ii- Rasulullah s.a.w sendiri.
    iii- semua benda yang boleh memberi peringatan dan kebaikan kepada kita adalah zikra (ذِكْرًۭا).
  3. Al-Quran yang dibaca oleh Rasulullah s.a.w itu ayat-ayat Allah itu sebagai peringatan yang sangat jelas, tiada kesamaran di dalamnya, memberi petunjuk dan cahaya.
  4. Tujuan diturunkan al-Quran itu ialah :
    i- untuk mengeluarkan orang yang beriman dan melakukan ketaataan daripada kegelapan kafir, jahil & maksiat kepada cahaya iman, ilmu yang mantap dan melakukan ketaatan kepada Allah ar-Rahman!
  5. Sesiapa yang beriman kepada Allah dan beramal soleh akan dimasukkan ke dalam syurga yang penuh nikmat dan kekallah mereka di syurga selama-lamanya!
  6. Syarat sesuatu amalan untuk menjadi soleh itu ada dua:
    i- ikhlas kepada Allah s.w.t.
    ii- mengikut Syari\’at sebagaimana yang diajar oleh Rasulullah s.a.w!

Tidak cukup dua syarat ini amalan kita tidak diterima dan tidak menjadi soleh walaupun zahirnya nampak baik!

  1. Balasan ini adalah sebaik-baik pemberian yang Allah kurniakan kepada orang yang beriman, beramal soleh dengan ikhlas dan ikut ajaran Nabi s.a.w.
  2. Kita tidak boleh mereka-reka ibadat, kerana ibadat itu adalah satu taufiq dari Allah s.w.t yang diajar melalui perantaraan Rasulullah s.a.w!
  3. Hadis- Sabda Rasulullah s.a.w:
    \”Sesungguhnya perkara yang paling aku bimbangkan setelah peninggalanku, iaitu orang munafik yang petah berbicara.\” [HR Ibnu Hibban & Ahmad].

Hati-hatilah dari sifat bahaya ini iaitu munafiq yang petah bercakap tetapi tindakan dan perbuatan mereka tidak seperti yang diucapkan!

AYAT 12- {ALLAH YANG MENCIPTAKAN TUJUH PETALA LANGIT DAN (IA MENCIPTAKAN) BUMI SEPERTI ITU; PERINTAH ALLAH BERLAKU TERUS MENERUS DI ANTARA ALAM LANGIT DAN BUMI. (BERLAKUNYA YANG DEMIKIAN) SUPAYA KAMU MENGETAHUI BAHAWA SESUNGGUHNYA ALLAH MAHA KUASA ATAS TIAP-TIAP SESUATU, DAN BAHAWA SESUNGGUHNYA ALLAH TETAP MELIPUTI ILMUNYA AKAN TIAP-TIAP SESUATU.} (AT-TALAAQ 65:12)

  1. Allah s.w.t menyatakan bahawa Allah yang menciptakan tujuh petala langit dan Dia menciptakan bumi juga seperti itu.
  2. Banyak ayat-ayat al-Quran yang menunjukkan bahawa langit itu tujuh lapis:
    i- {Dia lah (Allah) yang menjadikan untuk kamu segala yang ada di bumi, kemudian Ia menuju dengan kehendakNya ke arah (bahan-bahan) langit, lalu dijadikannya tujuh langit dengan sempurna; dan Ia Maha Mengetahui akan tiap-tiap sesuatu.} [Al-Baqarah: 29]

ii- {Dia lah yang telah mengaturkan kejadian tujuh petala langit yang berlapis-lapis; engkau tidak dapat melihat pada ciptaan Allah Yang Maha Pemurah itu sebarang keadaan yang tidak seimbang dan tidak munasabah; (jika engkau ragu-ragu) maka ulangilah pandangan -(mu)- dapatkah engkau melihat sebarang kecacatan?} [al-Mulk: 3].

iii- {Lalu Ia menjadikannya tujuh langit, dalam dua masa; dan Ia memberitahu kepada tiap-tiap langit akan urusan dan keperluannya masing-masing. } [As-Fussilat: 12].

  1. Menjadi sedikit perbincangan tentang berapa lapis bumi?
    Jika berdasarkan ayat ini Allah nyatakan Dia cipta bumi juga seperti langit; iaitu tujuh lapis juga.
  2. Kata Ibnu Athiyah rhm.:
    i- tiada khilaf ulama\’ tentang tujuh lapis langit
    ii- tentang bumi pula- ulama\’ sepakat juga bahawa bumi ini berlapis sebanyak tujuh lapis sebagaimana jelas dalil daripada ayat ini & hadis Rasulullah s.a.w di bawah ini.
    Bagaimana cara lapisan bumi itu kita kata- wallahu a\’lam!
  3. Hadis dari Abu Hurairah r.a bahawa Rasulullah s.a.w bersabda:
    \”Sesiapa yang rampas/ambil tanah orang walaupun sejengkal tanpa hak, Allah s.w.t akan gulung tujuh lapis bumi ini dan letakkan atas kepalanya!\” [HR Muslim]. Na\’uzubillah.
  4. Begitulah dosa ambil tanah orang tanpa hak begitu besar dosanya, sama juga jika kita wakafkan tanah kita untuk kegunaan umum (seperti wakaf jalan) betapa besarnya juga pahala. Ingatlah setiap orang yang lalu, hatta kambing lembu akan diberi pahala oleh Allah s.w.t!
  5. Allah s.w.t menyatakan bahawa perintah Allah berlaku terus menerus di antara alam langit dan bumi.
    Pusat pemerintahannya adalah di Arasy kemudian diturunkan di bumi mengikut perintah Allah s.w.t melalui malaikat kepada para Rasul.
  6. Penjelasan ini supaya kamu mengetahui bahawa sesungguhnya Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu, betapa sempurna ilmu dan kekuasaan-Nya.
  7. Juga bahawa sesungguhnya Allah tetap meliputi ilmuNya akan tiap-tiap sesuatu.

PENUTUP & FAEDAH :

  1. Ayat 8- {Dan bukan sedikit negeri-negeri yang penduduknya menderhaka terhadap perintah Tuhan mereka dan Rasul-rasulNya,}- ayat ini Allah peringatkan kepada orang muslim akan janji-Nya untuk memberi pertolongan kepada orang yang beriman.
    Ayat ini juga sebagai peringatan kepada para penguasa dan pemerintah dunia hari ini bahawa dunia ini akan binasa dengan rosaknya agama!

Akan aman dan selamat sesuatu negara itu jika pemerintah dan rakyatnya beriman, bertaqwa dan beramal soleh menjauhi maksiat dan mungkar!

  1. Ayat 10- {Maka bertaqwalah kepada Allah kepada wahai orang yang berakal sempurna dari kalangan orang yang beriman.}- Allah sifatkan orang yang beriman sebagai orang yang mempunyai akal yang baik dan sempurna. Dia juga akan mengajak orang kepada kebaikan dan taqwa kepada Allah Azza wa Jalla.

Timbul persoalan- orang yang beriman pastilah orang yang bertaqwa tetapi kenapa Allah menyeru lagi orang yang beriman untuk bertaqwa?

JAWAPAN :

Ini kerana taqwa itu ada beberapa darjat:
i- taqwa daripada syirik.
Ini bagi orang yang kafir; taqwa ini adalah seruan untuk beriman.

ii- taqwa daripada melakukan maksiat.
Ini bagi orang yang sudah beriman jagalah diri daripada maksiat kepada Allah dan dosa-dosa kecil yang tersembunyi.

  1. Ayat 11- {(Dengan mengutuskan) seorang Rasul (Nabi Muhammad s.a.w) yang membacakan kepada kamu ayat-ayat Allah yang menerangkan kebenaran,}- ayat ini maksudnya malaikat membawa turun wahyu iaitu al-Quran dari Allah s.w.t kepada Nabi Muhammad s.a.w.

Ini adalah di antara rahsia kenapa Allah kumpulkan tiga perkara ini dalam satu ayat.
Kita lihat kepada firman Allah s.w.t yang lain:
{Rasulullah telah beriman kepada apa yang diturunkan kepadanya dari Tuhannya, dan juga orang-orang yang beriman; semuanya beriman kepada Allah, dan Malaikat-malaikatNya, dan Kitab-kitabNya, dan Rasul-rasul-Nya.} [Al-Baqarah: 285]

Ini adalah tiga komponen yang perlu ada, tidak boleh berpisah. Allah kumpulkan Malaikat, Kitab & Rasul sebagai satu peringatan yang diturunkan kepada kamu manusia. Allah kumpulkan dalam satu ayat bahawa wajib beriman kepada ketiga ini iaitu malaikat, Kitab & Rasul.

  1. Ayat 11- {Dan (ingatlah), sesiapa yang beriman kepada Allah dan beramal soleh, akan dimasukkan oleh Allah ke dalam Syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai; kekallah mereka di dalamnya selama-lamanya.}- kata ulama\’ ayat ini menunjukkan bahawa syurga & neraka itu sudah ada sekarang dan ia tidak akan rosak selama-lamanya.

Sebagaimana banyak dalam hadis-hadis Rasulullah s.a.w yang menyatakan bahawa Baginda telah melihat syurga & neraka dengan matanya atau dalam mimpi Baginda.

Bukan seperti dakwaan setengah golongan sesat yang mengatakan syurga & neraka belum ada, hanya plan dan perancangan untuknya sahaja yang ada. Nanti di akhirat baru ada.

  1. Ayat 12- {Berlakunya yang demikian) supaya kamu mengetahui bahawa sesungguhnya Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu, dan bahawa sesungguhnya Allah tetap meliputi ilmu-Nya akan tiap-tiap sesuatu.}- Allah s.w.t maklumkan kepada kita bahawa Dia Maha Berkuasa.

i- Kamu jangan bimbang wahai para isteri/suami, jika berlaku perceraian samada kerana mati atau cerai hidup, jangan takut akan kesempitan hidup dan sumber rezeki kamu, pasti ada rezeki kamu, jangan bimbang Allah s.w.t Maha Berkuasa.

ii- ayat tentang talaq juga untuk menyatakan bahawa ada manusia yang tidak takut kepada Allah, dia sembunyikan talaqnya, apabila berlaku perceraian dia mengaku belum habis iddah dan rujuk semula. Sedangkan hakikatnya Allah s.w.t Maha Menegetahui.

iii- sebagaimana juga ayat tentang munafiq yang menyembunyikan kekufurannya dan menzahirkan keimanannya, sedang Allah s.w.t maha Mengetahui apa yang ada dalam hati mereka!

Powered by BetterDocs