SURAH AL-MA\’ARIJ : AYAT 1-7

\"\"

MUQADDIMAH DAN INTISARI SURAH, SIKAP KAFIR KERAS KEPALA & SABAR BERDAKWAH.

Full video : https://youtu.be/NGXAjblShR0

MUQADDIMAH SURAH :

  1. Alhamdulillah pada pagi ini, Sabtu 11 Sya\’ban 1444H bersamaan 4hb Mac 2023 kita dapat mulakan pengajian Kuliah tafsir bagi Surah Al-Ma\’arij – سورة المعارج.
  2. Syukur kepada Allah Allah Azza wa Jalla kerana kita dapat meneruskan pengajian dalam tafsir al-Quran & tadabburnya. Semoga Allah s.w.t kabulkan amalan kita, buka dan cerahkan hati kita untuk menerima panduan & hidayat dari al-Quran ini yang dapat membawa kita syurga-Nya.
  3. Surah Al-Ma\’arij adalah surah ke-70 dalam tertib susunan al-Quran, iaitu selepas Surah Al-Haqqah – سورة الحاقة – surah yang keempat dalam juz ke 29, mengandungi 44 ayat.
  4. Ramai ulama\’ tafsir mengatakan ijma\’ surah ini Makkiyyah, yakni turun di Makkah sebelum hijrahnya Rasulullah s.a.w ke Madinah.

NAMA SURAH :

  1. Dinamakan surah ini sebagai :
    i- Surah Al-Ma\’arij – سورة المعارج yang bermakna {Tempat Turun Naik} kerana pada ayat ketiga Allah s.w.t sebut perkataan {المعارج ُ} ini. – Allah s.w.t tegaskan pada awal surah ini azab yang dijanjikan kepada orang kafir akan tetap berlaku tidak ada sesiapa yang dapat menolaknya.

ii- Azab itu ditimpakan kepada mereka oleh Allah s.w.t yang menguasai tempat turun naik para malaikat yang diketuai oleh malaikat Jibril ke tempat permerintahan Allah untuk meneriman dan menyempurnakan tugas masing-masing.

iii- Dalam kitab tafsir surah ini masyhur dengan namanya sebagai Surah Al-Ma\’arij – سورة المعارج.

  1. Ia juga dikenali dengan nama surah { سَأَلَ سَآئِلٌۢ} kerana Allah s.w.t mulakan pembukaan surah ini dengan ayat ini.
  2. Ia juga dinamakan surah al-Waqi\’ kerana disebut perkataan itu dalam ayat ke-3 {وَاقِعٍۢ }.

INTISARI KANDUNGANNYA :

  1. Menerangkan tentang telatah kaum kafir musyrikin yang meminta secara mengejek supaya mereka segera ditimpakan dengan azab yang dijanjikan.
  2. Dalam hal ini Allah s.w.t memerintahkan Nabi Muhammad s.a.w agar bersabar terhadap golongan kafir dan ejekan yang menentang. Serta menegaskan bahawa azab itu tetap akan berlaku pada hari Kiamat kelak di mana langit menjadi seperti tembaga cair dan gunung-ganang menjadi seperti bulu berterbangan!
  3. Pada saat itu sahabat karib tidak akan bertamya tentang sahabat karibnya yang lain kerana setiap orang akan sibuk memikirkan hal diri masing-masing. Meskipun mereka dapat melihat atau nampak antara satu sama lain.
  4. Pada ketika itu orang kafir suka sekiranya dapat menebus diri daripada azab siksa dengan anak-isteri, kaum kerabatnya dan seluruh manusia di bumi ini, yakni sesiapa saja agar dia dapat lepas daripada azab itu!
  5. Diceritakan suatu peristiwa ketika Rasulullah s.a.w sedang mengerjakan solat & membaca al-Quran di sisi Ka\’bah, kaum kafir musyrikin datang berkumpul mengelilingi di sebelah kanan & kiri Baginda lalu mengejek dengan berkata jika Muhammad dan pengikut masuk syurga, pastilah mereka yang lebih berhak mendahuluinya kerana kedudukan mereka sebagai pembesar dan orang kaya.
  6. Dalam hal ini Allah s.w.t mendedahkan kesesatan mereka, mengharapkan syurga sedangkan mereka kufur ingkar dan tidak percayakan hari Akhirat.
  7. Oleh kerana balasan di akhirat adalah natijah daripada hasil amal yang dikerjakan, maka ditegaskan dalam surah ini bahawa orang yang beriman yang bersifat dengan sifat-sifat yang mulia, itulah akan mendapat sebaik balasan dalam syurga dengan mendapat penghormatan dan kemuliaan.

MAQASID/OBJEKTIF SURAH :

  1. Antara objektifnya yang terpenting ialah Allah mahu memperingatkan kita tentang hari Kiamat dan huru-haranya. Serta akan berlaku hisab hitungan dosa pahala dan balasannya. Samada kita akan dapat pahala atau dosa bala!

ISU PENTING DALAM SURAH :

  1. Allah nyatakan gopohnya orang kafir untuk segerakan azab kerana mereka tidak percaya. Allah juga beri amaran kepada orang kafir tentang huru hara hari Kiamat.
  2. Ta\’kid bahawa hari Kiamat itu benar dan akan berlaku serta tetap akan berlaku, juga Allah s.w.t sebut beberapa perkara huru-hara yang akan berlaku pada hari Kiamat.
  3. Allah s.w.t sebut tentang neraka Jahannam dan sebab-sebab orang-orang yang berhak mendapat azabnya. Serta sebaliknya Allah juga sebut amalan orang beriman yang akan membawa mereka ke syurga!
  4. Allah cela puak kafir dan dan Allah nyatakan hinanya mereka pada hari Kiamat.
  5. Untuk menetapkan hati Rasulullah s.a.w dan tenangkan hatinya terhadap ujian yang ditimpa ke atasnya melalui perlakuan puak kafir Quraisy, agar Baginda tenang & bersabar.

MUNASABAH SURAH AL-MA\’AARIJ – سورة المعارج DENGAN SURAH AL-HAQQAH – سورة الحاقة SEBELUMNYA :

Hubung-kait surah ini dengan Surah Al-Haqqah.
i- Ia diturunkan selepas al-Haqqah sebagai ayat pelengkap kepada ayat yang ringkas tentang hari Kiamat, sifatnya, huru-haranya dan tentang dahsyatnya azab neraka!

ii- Dalam surah Surah Al-Ma\’arij ini Allah s.w.t sebut tentang mukmin yang bahagia di akhirat dan orang kafir yang celaka di akhirat.

YA Allah jadikan kami daripada golongan mukimin yang bertaqwa yang melayakkan mendapat anugerah syurga-Mu.

أَعُوذُ بِاَللَّهِ السَّمِيعِ الْعَلِيمِ مِنْ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ

AYAT 1- {(SALAH SEORANG (DARI KALANGAN ORANG-ORANG KAFIR MAKKAH, SECARA MENGEJEK-EJEK) MEMINTA KEDATANGAN AZAB YANG (DIJANJIKAN) AKAN BERLAKU,} (AL-MA\’AARIJ 70:1)

  1. Kaum Quraisy Makkah yang datang secara mengejek kepada Rasulullah s.a.w meminta disegerakan kedatangan azab yang dijanjikan akan berlaku.
  2. Maka Allah s.w.t peringatkan agar kamu jangan gopoh kerana Kiamat dan azab itu tetap akan berlaku!
  3. Tentang perkataan meminta { سَأَلَ} ini ulama\’ kata dua erti:
    i- dengan makna doa- minta disegerakan jika betul azab yang kamu janjikan.

ii- dengan makna minta maklumat tentang hari Kiamat yang kamu ceritakan itu.
Keduanya betul dan boleh dikumpulkan iaitu dengan degil & keras kepala.

AYAT 2- {AZAB YANG DISEDIAKAN UNTUK ORANG-ORANG YANG KAFIR, YANG TIDAK ADA SESIAPAPUN DAPAT MENOLAK KEDATANGANNYA.} (AL-MA\’AARIJ 70:2)

  1. Wahai orang kafir kamu jangan keras kepala meminta azab ini/ jika ia datang tiada sesiapa yang dapat menolak atau menghalangnya!
  2. Firman Allah s.w.t:
    {Katakanlah (wahai Muhammad): \”Sesungguhnya ilmu pengetahuan (tentang masa kedatangannya) hanya ada pada sisi Allah, dan sesungguhnya aku hanyalah seorang Rasul pemberi ingatan dan amaran yang terang nyata\”.} (Al-Mulk 67:26)

AYAT 3- {DARI ALLAH YANG MENGUASAI TEMPAT-TEMPAT TURUN NAIK.} (AL-MA\’AARIJ 70:3)

  1. Azab ini datang dari Allah s.w.t yang Maha Tinggi Kedudukan-Nya, darjat dan nikmat-Nya. Maka tiada siapa boleh tolak azab ini!
  2. Kata ulama\’ maksudnya { ذِى ٱلْمَعَارِجِ} ini ialah langit. Iaitu tempat turun naik malaikat dari langit ke bumi untuk menjalankan tugasnya.
  3. Kata Mujahid rhm.: Iaitu tempat khas, tempat turun naik malaikat dalam menjalankan tugas mereka!

AYAT 4- {YANG DILALUI OLEH MALAIKAT-MALAIKAT DAN JIBRIL KE PUSAT PEMERINTAHANNYA (UNTUK MENERIMA DAN MENYEMPURNAKAN TUGAS MASING-MASING, TERUTAMA) PADA SATU MASA YANG ADALAH TEMPOHNYA (DIRASAI OLEH ORANG-ORANG YANG BERSALAH) SUNGGUH PANJANG, (KERANA BANYAK HITUNGAN HISAB DAN BERAT SOAL JAWABNYA).} (AL-MA\’AARIJ 70:4)

  1. Ia adalah tempat laluan atau turun-naik para Malaikat { ٱلْمَلَـٰٓئِكَةُ ُ} dan Jibril {ٱلرُّوحُ} khasnya untuk menunaikan tugas yang diberikan Allah s.w.t kepada mereka!
  2. Kata Ibnu Kathir maksudnya { ٱلرُّوحُ} ialah khas kepada Jibril kerana ia adalah ketua segala malaikat, memegang banyak tugas dan arahan dari Allah dan kedudukannya yang tinggi.
  3. Ada juga pendapat yang mengatakan maksud { ٱلرُّوحُ} di sini ialah ruh anak Adam yang telah mati dan dibawa naik ke langit! Sebagaimana dalam sebuah hadis yang panjang tentang kisah ini.
  4. Hadis daripada Abu Hurairah r.a:

أَنَّ نَبِيَّ اللهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ : إِذَا حُضِرَ الْمُؤْمِنُ أَتَتْهُ مَلاَئِكَةُ الرَّحْمَةِ بِحَرِيرَةٍ بَيْضَاءَ ، فَيَقُولُونَ: اخْرُجِي رَاضِيَةً مَرْضِيًّا عَنْكِ إِلَى رَوْحِ اللهِ ، وَرَيْحَانٍ ، وَرَبٍّ غَيْرِ غَضْبَانَ فَتَخْرُجُ كَأَطْيَبِ رِيحِ مِسْكٍ حَتَّى إِنَّهُ لَيُنَاوِلُهُ بَعْضُهُمْ بَعْضًا حَتَّى يَأْتُوا بِهِ بَابَ يَعْنِي السَّمَاءِ فَيَقُولُونَ: مَا أَطْيَبَ هَذِهِ الرِّيحَ الَّتِي جَاءَتْكُمْ مِنَ الأَرْضِ فَيَأْتُونَ بِهِ أَرْوَاحَ الْمُؤْمِنِينَ فَلَهُمْ أَشَدُّ فَرَحًا بِهِ مِنْ أَحَدِكُمْ بِغَائِبِهِ يَقْدَمُ عَلَيْهِ فَيَسْأَلُونَهُ مَا فَعَلَ فُلاَنٌ مَا فَعَلَ فُلاَنٌ ؟ فَيَقُولُونَ: دَعُوهُ فَإِنَّهُ كَانَ فِي غَمِّ الدُّنْيَا فَإِذَا قَالَ أَمَا أَتَاكُمْ ؟ قَالُوا : ذُهِبَ بِهِ إِلَى أُمِّهِ الْهَاوِيَةِ وَإِنَّ الْكَافِرَ إِذَا حُضِرَ أَتَتْهُ مَلاَئِكَةُ الْعَذَابِ بِمِسْحٍ فَيَقُولُونَ: اخْرُجِي سَاخِطَةً مَسْخُوطًا عَلَيْكِ إِلَى عَذَابِ اللهِ فَتَخْرُجُ كَأَنْتَنِ رِيحِ جِيفَةٍ حَتَّى يَأْتُونَ بِهِ بَابَ الأَرْضِ فَيَقُولُونَ : مَا أَنْتَنَ هَذِهِ الرِّيحَ حَتَّى يَأْتُوا بِهِ أَرْوَاحَ الْكُفَّارِ.

Bahawasanya Nabi S.A.W bersabda :
Apabila seorang Mukmin nazak, datang kepadanya malaikat Rahmat dengan membawa sutera putih. Para Malaikat berkata: Keluarlah wahai ruh dalam keadaan redha lagi diredhai kepada Allah, penuh rahmat serta tidak dimurkai Tuhan. Maka Ruh tersebut keluar seperti bau misk (wangian) yang terbaik sehingga bau tersebut sampai ke pintu langit
.
Para malaikat (di langit) berkata: \”Wanginya bau yang kamu bawa dari dunia! Mereka membawa Roh tersebut menemui roh-roh orang yang beriman. (Pada ketika itu) mereka (roh orang mukmin) terlalu gembira dengan kedatangan roh tadi. Mereka bertanya kepadanya apa yang dilakukan oleh fulan ini, apa yang dilakukan oleh fulan ini?

Para Malaikat berkata: Tinggalkan dia. Sesungguhnya dia pernah berada di dalam kesedihan dunia. Lalu ruh itu berkata: Apa yang menyebabkan kamu ke sini? Mereka menjawab: Dia telah dibawa dari ibunya.

Ketika mana orang kafir nazak, datang kepadanya malaikat azab dengan membawa guni. Lalu para Malaikat berkata: Keluarkan wahai Ruh dalam keadaan murka lagi dimurkai serta (rasalah) azab Allah. Maka Ruh itu keluar seperti bau nanah (yang keluar dari bangkai mereput) sehingga bau tersebut sampai ke pintu dunia. Maka para malaikat berkata: Busuknya bau nanah ini sehingga mereka membawa ruh-ruh orang kafir.\” [HR an-Nasaie (1972)].

  1. Firman Allah s.w.t:
    {Dan sesungguhnya Al-Quran (yang di antara isinya kisah-kisah yang tersebut) adalah diturunkan oleh Allah Tuhan sekalian alam.
    Ia dibawa turun oleh malaikat Jibril yang amanah.} (Asy-Syu\’araa\’ 26: 192-193)
  2. Suatu hari pada waktu itu kadarnya terasa sangat panjang oleh orang yang bersalah kerana banyak hisabnya. Suatu harinya terasa seolah lima puluh ribu tahun { خَمْسِينَ أَلْفَ سَنَةٍۢ }.
  3. Kata Ibnu Juzai rhm. ulama\’ berbeza pendapat tentang makna {خَمْسِينَ أَلْفَ سَنَةٍۢ} hari yang tempohnya 50 ribu tahun ini:
    i- hari Kiamat, seharinya sama seperti 50 ribu tahun di dunia.

ii- ada kata hari dunia ini- seolah 50 ribu tahun hari dunia ini!

  1. Hadis: Riwayat dari Abu Hurairah r.a bahawa Rasulullah s.a.w bersabda:
    \”Tidak seorang pun yang memiliki emas dan perak yang tidak dibayar zakatnya kecuali di hari kiamat nanti dia akan disediakan dengan lembaran atau kepingan (besi) yang diperbuat dari api neraka kemudian dipanaskan di dalam api neraka jahanam seterusnya digosok ke badan, dahi dan punggungnya.

Setiap kali kepingan tersebut sejuk, ia akan dipanaskan kembali kemudian digosok lagi kepadanya secara berterusan pada satu masa yang mana tempohnya sama seperti 50 ribu tahun sehinggalah selesai diputuskan nasib seluruh manusia.

Pada waktu itu setiap orang masing-masing dapat melihat nasibnya (jalannya) adakah dia ditempatkan ke syurga atau ke neraka. [HR Muslim].

  1. Kenapa Allah s.w.t sebut jarak menggunakan hari iaitu 50 ribu tahun?
    i- untuk menyatakan bahawa walaupun jarak itu jauh tetapi malaikat mampu turun naik beberapa kali dengan lajunya dengan izin dan kehendak Allah. Kerana itu mereka diperbuat daripada cahaya yang pantas bergerak!

AYAT 5- {MAKA BERSABARLAH (WAHAI MUHAMMAD TERHADAP EJEKAN GOLONGAN YANG KAFIR ITU), DENGAN CARA KESABARAN YANG SEBAIK-BAIKNYA.} (AL-MA\’AARIJ 70:5)

  1. Allah s.w.t memerintahkan Rasulullah s.a.w agar bersabar terhadap ejekan golongan yang kafir itu dengan sabar yang sebaik-baiknya.
  2. Munasabah ayat ini dengan ayat sebelumnya:
    i- oleh kerana puak kafir ini minta dengan Rasulullah s.a.w agar segerakan azab dengan secara perli dan mendustakan, sedangkan mereka telah diberi amaran oleh Rasulullah s.a.w.

ii- maka Allah s.w.t memerintahkan Rasulullah s.a.w agar bersabar atas pendustaan & pembohongan puak kafir ini dan perbuatan mereka yang menyakiti Baginda. Kesabaran yang penuh tanpa sebarangn pengaduan, juga agar redha dan jangan gopoh, sabarlah tunggulah hukuman dari Allah s.w.t.

  1. Kata ulama\’ tafsir kesabaran ini mengambil masa:
    i- Doa Nabi Musa a.s kepada Firaun hanya terjadi selepas 40 tahun barulah binasa Firaun di dalam Laut Merah.

ii- Manakala para pemuka musyrikin Makkah yang menyakiti Rasulullah s.a.w seperti Abu Jahal dan gengnya, kebanyakannya binasa di dalam peperangan Badar selepas hampir 14 tahun perlawanannya.

Abu Sufyan pula dapat nikmat Islam selepas bertahun menentang Rasulullah s.a.w.

AYAT 6- {SEBENARNYA MEREKA MEMANDANG AZAB ITU JAUH (DARIPADA BERLAKU),} (AL-MA\’AARIJ 70:6)

  1. Kerana mereka tidak beriman dan tidak percaya kepada Rasulullah s.a.w mereka merasakan kebangkitan semula dan azab itu jauh yakni tidak akan berlaku!
  2. Inilah kerana mereka tidak percaya ia adalah jauh, itulah bahayanya orang yang tidak percaya kepada Allah & Rasulullah s.a.w!

AYAT 7- {SEDANG KAMI MEMANDANGNYA DEKAT, (TETAP AKAN BERLAKU),} (AL-MA\’AARIJ 70:7)

  1. Tetapi bagi kita orang beriman kerana kita percaya dan yakin, maka kita merasakannya dekat sahaja dengan kita.
  2. Kata pepatah bahasa Arab:\” كُلُّ آتٍ قَرِيبٌ Setiap yang akan datang itu adalah dekat!\”

PENUTUP & FAEDAH :

  1. Ayat 1- {{Salah seorang (dari kalangan orang-orang kafir Makkah, secara mengejek-ejek) meminta kedatangan azab yang (dijanjikan) akan berlaku,}- puak kafir itu datang tanya tentang Kiamat kepada Rasulullah s.a.w atau mereka meminta azab disegerakan kepada mereka.

Apabila Allah turunkan azab tiada siapa yang dapat menolaknya dari orang kafir. Tidak akan ada yang berani atau mampu untuk menghalangnya!

Sebaliknya kepada orang beriman ada beberapa sebab yang dapat menjadi benteng penolak kepada azab:
i- azab tidak datang samada kerana rahmat dari Allah s.w.t.

ii- dengan sebab syafa\’at para rasul, nabi dan orang-orang soleh.

iii- dengan sebab kebajikan yang dibuat atas dunia dulu. Maka Allah s.w.t hapuskan kesalahannya.

Manakala orang kafir tidak akan mendapat rahmat Allah s.w.t, tiada syafaat, tiada siapa yang dapat menolongnya dan mereka tidak akan mendapat pahala daripada kebajikan yang dibuat semasa di dunia dulu. Ini kerana mereka tiada akaun sebagai seorang muslim.

  1. Ayat 4- {Yang dilalui oleh malaikat-malaikat dan Jibril ke pusat pemerintahanNya.}- ayat ini menunjukkan akan Ketinggian kedudukan Allah s.w.t kerana ayat ini menunjukkan bahawa para malaikat itu naik kepada Allah s.w.t, tiada ayat yang menunjukkan malaikat menerima dengan berada pada semua tempat atau di mana saja.

Pusat pentadbiran Allah s.w.t di mana para malaikat menerima arahan tugas dan adalah di langit yang tinggi. Jika tidak apa faedahnya Allah s.w.t menyebutnya khas- langit sebagai tempat turun naik malaikat!

  1. Ayat 4- {Pada satu masa yang adalah tempohnya (dirasai oleh orang-orang yang bersalah) sungguh panjang, lima puluh ribu tahun { خَمْسِينَ أَلْفَ سَنَةٍۢ} (kerana banyak hitungan hisab dan berat soal jawabnya).}

Kenapa dalam surah as-Sajadah disebut sebanyak 1000 tahun;
{Allah mentadbirkan makhluk-makhlukNya; (bagi melaksanakan tadbirNya itu Ia menurunkan segala sebab dan peraturan) dari langit ke bumi; kemudian diangkat naik kepada pengetahuanNya (segala yang berlaku dari perlaksanaan tadbirNya itu untuk dihakimiNya) pada suatu masa yang (dirasai oleh orang-orang yang bersalah) banyak bilangan tahunnya seribu tahun {أَلْفَ سَنَةٍۢ} menurut hitungan masa kamu yang biasa.} (As-Sajadah 32:5)

Jawapannya kata ulama\’ ini adalah dua ayat yang berbeza:
i- ayat dalam surah as-Sajadah adalah tentang dunia. Allah s.w.t tadbirkan urusan langit dan bumi ini, malaikat turun naik uruskannya dalam sehari dengan kadar hari dunia atau perjalanan manusia seolah seribu tahun.

Manakala ayat dalam Surah al-Ma\’arij adalah tentang kadar huru-haranya, lama masanya pada hari Kiamat, tempohnya seolah 50 ribu tahun biasa.

ii- pendapat kedua: ayat dalam Surah al-Ma\’arij adalah tentang jarak turun naik malaikat dari langit ke bumi.

Manakala dalam surah as-Sajadah ialah tentang naik turun arahan Allah s.w.t dengan laju iaitu seribu tahun tempohnya.

iii- pandangan ketiga: ada kemungkinan bahawa ia adalah dari bawah langit (bumi) sehingga ke Arasy adalah 50 ribu tahun jaraknya.

Manakala dari bumi ke langit dunia yang paling dekat kita pula hanyalah seribu tahun. Wallahu a\’lam, serahkan kepada Allah s.w.t!

  1. Ayat 5- {Maka bersabarlah (wahai Muhammad terhadap ejekan golongan yang kafir itu), dengan cara kesabaran yang sebaik-baiknya.}- Allah s.w.t memerintahkan Rasulullah s.a.w agar bersabar dengan sepenuh dan sebaiknya { صَبْرًۭا جَمِيلً}! Terhadap semua ujian bermula dari awal dakwahnya sehingga ke akhirnyna, bukan hanya separuh atau sebahagian sahaja!

Perintah untuk kesabaran untuk Rasulullah itu berterusan bukan hanya berkala, maka kita para pendakwah juga kena sabar berterusan bukan berkala.

Tetapi kena ingat daripada menjadi syaitan bisu baiklah kita menyampaikan kebenaran. Kalau dimarah oleh manusia kerana mencari keredhaan Allah s.w.t, kita akan selamat di akhirat walaupun dikecam manusia atas dunia ini!
Jangan diam untuk mencari keredhaan manusia sehingga mengundang kemurkaan Allah s.w.t!

  1. Ayat 5- {Maka bersabarlah dengan cara kesabaran yang sebaik-baiknya.}- apakah maksudnya sabar dengan cara baik { صَبْرًۭا جَمِيلًا} ini? Ia mengandung beberapa makna.

Allah s.w.t juga telah menyebut perkataan { جَمِيلًا } sebaik-baiknya ini dalam beberapa ayat lain:
i. {Dan bersabarlah terhadap apa yang dikatakan oleh mereka (yang menentangmu), dan jauhkanlah dirimu dari mereka dengan cara yang baik.} (Al-Muzzammil 73:10)

  • iaitu { هَجْرًۭا جَمِيلًۭ} – kita tinggalkan orang dengan tidak menyakiti dan memburukkannya. الهجر جميل هجر بلا أذى bila tidak ada persetujuan, jauhi & tinggalkannya tanpa menyakiti dan mencerca.

ii. {Oleh itu biarkanlah (golongan kafir yang mendustakanmu itu wahai Muhammad) serta layanlah mereka dengan cara yang elok.} (Al-Hijr 15:85)

  • iaitu { ٱلصَّفْحَ ٱلْجَمِيل} yakni maaf dan tinggalkan mereka yang khianat kepadamu secara baik tidak perlu mencerca dan mengata mereka lagi. Maafkan tanpa mengutuk dan cerca, jika maaf tapi tetap cerita keburukan maka itu tidak baik.

iii. Begitu juga suami isteri jika berpisah, bercerai dengan cara baik. Bermaafan mungkin akan ditakdirkan bertemu dengan yang lebih baik. Jangan sekali-kali menceritakan keburukan & sebab perceraian kepada umum.

Firman Allah s.w.t: {Dan lepaskanlah mereka dengan cara yang sebaik-baiknya.} (Al-Ahzaab 33:49)- { سَرَاحًۭا جَمِيلًۭا}- jika sudah tidak sesuai, tidak ada persefahaman maka berpisah adalah jalan penyelesaiannya, tanpa dendam dan pendedahan yang buruk-buruk.

iv. {Maka bersabarlah (wahai Muhammad terhadap ejekan golongan yang kafir itu), dengan cara kesabaran yang sebaik-baiknya.} (Al-Ma\’aarij 70:5)- iaitu الصبر جميل صبر بلا شكوى- Sabar yang cantik, sabar tanpa mengadu, sabar dengan tidak mengumumkan atau mengadu kepada orang lain.

Seperti kita sakit, jangan asyik mengadu kepada orang, apatah lagi di media sosial, itu sabar yang tidak baik. Habis perkara mahu diadu (atau share) dengan public, Allahu al-Musta\’an.

Powered by BetterDocs