SURAH ASY-SYARH : AYAT 1-8

\"\"

MUQADDIMAH INTISARI SURAH & ALLAH SEBUT BEBERAPA NIKMAT MUHAMMAD S.A.W, SENANG SELEPAS SUSAH & SENTIASA BERIBADAT.

Full video : https://youtu.be/YhDphgF0NKY?si=dHYbQJDC9JN6d01l

MUQADDIMAH SURAH :

  1. Alhamdulillah, syukur kepada Allah s.w.t kerana pada pagi ini, Khamis 9 Muharram 1445H bersamaan 27hb Julai 2023 kita dapat mulakan pengajian Kuliah tafsir bagi Surah Asy-Syarh – سورة الشرح.
  2. Juga kita dapat hidupkan Sunnah Rasulullah s.a.w dengan berpuasa pada hari ini Tasu\’a iaitu hari kesembilan Zulhijjah.
    Semoga Allah s.w.t kabulkan amalan kita, buka dan cerahkan hati kita untuk menerima panduan & hidayat dari al-Quran ini yang dapat membawa kita ke syurga-Nya.
  3. Surah Asy-Syarh – سورة الشرح adalah surah ke-94 dalam tertib susunan al-Quran, surah yang ketujuh-belas dalam juz ke 30, iaitu selepas Surah Al-Lail – سورة الليل.
    Mengandungi 8 ayat yang pendek.
  4. Ulama\’ tafsir ijma\’ mengatakan surah ini Makkiyyah, yakni turun di Makkah sebelum hijrahnya Rasulullah s.a.w ke Madinah.

NAMA SURAH :

  1. Dinamakan surah ini sebagai:
    i- Surah Asy-Syarh – سورة الشرح yang bermakna {Perihal Melapang Dada Nabi s.a.w} kerana pada awal surah Allah s.w.t sebut dalam ayat pertama.
    Ia menegaskan salah satu nikmat-Nya kepada Rasulullah s.a.w ialah melapangkan dadanya serta mengisinya dengan iman & hidayah petunjuk.
  2. Kata Ibnu Asyur rhm. dalam kitab-kitab tafsir serta dalam kitab Bukhari & Tirmizi menamakan surah ini;
    i- {أَلَمْ نَشْرَحْ} iaitu diambil dari ayat pertamanaya.
    ii- surah ini juga dikenali dengan nama surah al-Insyirah- {سورة الإنشراح}- lapang dada.

INTISARI KANDUNGANNYA :

  1. Menerangkan tentang nikmat Allah yang telah diberkan kepada Nabi s.a.w antara:
    i- melapangkan dadanya untuk menerima hidayah petunjuk ke jalan yang betul.

ii- meringankan beban tugas Baginda dalam menyiarkan Islam dengan diberikan pelbagai kemudahan dalam melaksanakannya.

ii- meninggikan sebutan nama Baginda dengan mengurniakan kepadanya pangkat Nabi dan pelbagai kemuliaan.

iv- antara kemuliaan itu ialah wajibnya seorang mengakui kerasulannya disamping mengakui keesaan Allah Azza wa Jalla bagi mengesahkan Islam.

v- juga wajibnya seorang menyebut nama Baginda dalam kalimah syahadah bagi mengesahkan solatnya dalam tasyahud.

  1. Setelah itu Allah s.w.t memberi semangat dan harapan dengan menegaskan bahawa di sebalik setiap kesusahan pasti ada kesenangan & kemudahan maka tetapkanlah kepercayaanmu.
  2. Juga untuk menghapuskan sebarang perasaan putus-asa yang lazimnya terdapat dalam hati manusia setelah menjalani jalan buntu.
    Lalu ditegaskan sekali lagi bahawa setiap kesusahan pasti akan disertai oleh kemudahan!
  3. Asalkan kesusahan itu dihadapi dengan tabah hati, disertakan dengan usaha & ikhtiar untuk mencari jalan keluar setelah berazam & menyerah diri bulat- bulat yakni bertawakkal kepada Allah yang amat melimpah nikmat-Nya.
  4. Surah ini diakhiri dengan ajaran yang mengharapkan supaya setiap seorang berusaha bersungguh-sungguh mematuhi perintah Tuhannya & berbakti untuk kebaikan dirinya kepada masyarakat!

MAQASID/OBJEKTIF SURAH :

  1. Antara objektifnya yang terpenting ialah untuk menyatakan kedudukan Nabi s.a.w yang mulia & tinggi di sisi Allah s.w.t!

ISU PENTING DALAM SURAH :

  1. Menyebut beberapa nikmat yang Allah anugerahkan kepada rasul-Nya:
    i- lapang dadanya.
    ii- mengangkat kedudukannya.
    iii- mengangkat sebutannya dalam azan & kalimah syahadah
    iv- janji Allah untuk menghilangkan segala kesusahan dan ujian dari Baginda Mabi s.a.w.
  2. Allah s.w.t perintahkan Rasulullah s.a.w agar sentiasa berterusan melakukan amal soleh & sentiasa ingat untuk mendapat pahala yang disediakan Allah s.w.t.
    Juga agar sentiasa menumpukan perhatian terhadap amalannya.
    Yakni berterusan dalam ibadat kepada Allah s.w.t!

MUNASABAH SURAH ASY-SYARH – سورة الشرح DENGAN SURAH ADH-DHUHA – سورة الضحى SEBELUMNYA :

Hubung-kait surah ini dengan Surah Adh-Dhuha – سورة الضحى:

  1. Kata ulama\’ tadabbur dua surah ini sangat rapat kerana susunan ayatnya hampir sama serta tajuk juga sama.
  2. Persamaan dalam permulaan surah:
    i- keadaan awal Rasulullah s.a.w yang susah & yatim, kemudian Allah s.w.t bela bantu & tolongnya, angkat darjatnya.
    Kemudian Allah perintahkannya supaya bersyukur.

ii- Kemudian dalam surah ini seolah pertolongan atau nikmat yang keempat iaitu:
Tidakkah aku telah lapangkan dadamu!

Ini tidak pelik bahkan menunjukkan bahawa al-Quran itu dari sumber & dalil yang sama iaitu dari Allah Azza wa Jalla.

Ya Allah jadikan kami & semua orang kami sayangi dari golongan {المتقين}, orang yang layak menerima nikmat-Mu pada hari Kiamat nanti.

أَعُوذُ بِاَللَّهِ السَّمِيعِ الْعَلِيمِ مِنْ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ
بِسْمِ اللهِ الرَّحْمٰنِ الرَّحِيْمِ
AYAT 1- {BUKANKAH KAMI TELAH MELAPANGKAN BAGIMU: DADAMU (WAHAI MUHAMMAD SERTA MENGISINYA DENGAN IMAN DAN HIDAYAH PETUNJUK)?} (ASH-SYAR-H 94:1)

  1. Ayat ini seolah satu soalan. Allah s.w.t nyatakan bahawa Dia telah melapangkan dada Rasulullah lalu mengisinya dengan hikmah & kebijaksanaan. Sama ada secara fizikal atau lilterally saja,.
  2. Ayat ini ditafsir dengan firman Allah:
    i- {Maka sesiapa yang Allah kehendaki untuk memberi hidayah petunjuk kepadanya nescaya Ia melapangkan dadanya (membuka hatinya) untuk menerima Islam; dan sesiapa yang Allah kehendaki untuk menyesatkannya, nescaya Ia menjadikan dadanya sesak sempit sesempit-sempitnya, seolah-olah ia sedang mendaki naik ke langit (dengan susah payahnya). Demikianlah Allah menimpakan azab kepada orang-orang yang tidak beriman.} (Al-An\’aam 6:125)

ii- {Jika demikian, adakah orang yang telah dilapangkan Allah dadanya untuk menerima Islam, lalu ia tetap berada dalam cahaya (hidayah petunjuk) dari Tuhannya, (sama seperti orang yang tertutup mata hatinya dengan selaput kederhakaan)? Maka kecelakaan besarlah bagi orang-orang yang keras membatu hatinya daripada menerima peringatan yang diberi oleh Allah. Mereka yang demikian keadaannya, adalah dalam kesesatan yang nyata.} (Az-Zumar 39:22)

iii- {Nabi Musa berdoa dengan berkata: \”Wahai Tuhanku, lapangkanlah bagiku, dadaku; \”Dan mudahkanlah bagiku, tugasku;} (Taha 20: 25-26)

  1. Hadis- dari Anas bin Malik r.a, beliau berkata:
    \”Rasulullah S.A.W telah didatangi oleh malaikat Jibril A.S ketika baginda S.A.W sedang bermain-main bersama budak-budak kecil yang lain.
    Maka, Jibril A.S telah mengambil baginda S.A.W lalu merebahkan baginda S.A.W. Kemudian, Jibril A.s telah membelah dada baginda s.a.w dengan mengeluarkan segumpal darah daripada hati baginda S.A.W sambil berkata \”Ini adalah bahagian syaitan yang terdapat di dalam dirimu\”.

Kemudian Jibril A.S menyucikannya di dalam sebuah bekas yang diperbuat daripada emas dengan menggunakan air zamzam.

Setelah itu, Jibril A.S menjahitnya kembali dan mengembalikan baginda S.A.W di tempat permainannya tadi.

Budak-budak kecil yang bermain bersama baginda S.A.W tadi pergi mengadu kepada ibunya dengan mengataka bahawa: \”Muhammad telah dibunuh\”.

Orang ramai menyambut baginda S.A.W yang dalam keadaan pucat kerana baginda masih di dalam ketakutan.

Anas berkata: \”Aku telah melihat kesan jahitan tersebut di dada baginda S.A.W\”. [HR Bukhari & Muslim].

Pembedahan ini berlaku secara fizikal, kerana Anas kemudiannya menceritakan: Aku pernah melihat kesan jahitan itu di dada Baginda s.a.w.

  1. Dari Anas bin Malik r.a meriwayatkan:
    Abu Zar r.a bercerita bahawa Rasulullah s.a.w bersabda: Ketika aku berada di Makkah atap rumahku terbuka, tiba-tiba datang malaikat Jibril, lalu dia membelah dadaku, kemudian membersihkannya dengan air zam- zam.
    Kemudian dia membawa bejana terbuat dari emas berisi hikmah dan iman, lalu dituangnya ke dalam dadaku dan menutupnya kembali.

Lalu dia memegang tanganku dan membawaku menuju langit dunia. Ketika aku tiba di langit dunia, malaikat Jibril berkata :

Wahai penjaga langit, bukalah! dia berkata: Siapa ini? Malaikat Jibril menjawab: Ini Jibril. Dia berkata: Apakah kamu bersama seseorang? Malaikat Jibril menjawab: Iya. Bersama saya Muhammadd s.a.w.
Dia berkata lagi: Apakah dia diutus oleh Allah? Jibril menjawab: Ya
(Sehingga akhir hadis.) (HR. Bukhari, no. 349).

  1. Sebuah lagi hadis riwayat Anas bin Malik juga dari Malik bin So\’so\’ah r.a, Rasulullah s.a.w menceritakan ketika Baginda berada dekat Ka\’bah antara sedar & tidur tiba-tiba datang Jibril membawa bekas emas yang pebuh dengan hikmah & keimanan. Jibril lalu membelah dadanya sehingga dekat dengan perut lalu dicuci dengan air Zamzam, kemudian diisi dengan iman & hikmah. Kemudian datang Buraq untuk membawanya Isra\’ & Mi\’raj. [HR Bukhari & Muslim].
  2. Banyak lagi hadis-hadis yang menyebut bahawa dada Rasulullah s.a.w dibedah secara fizikal oleh malaikat Jibril yang dihantar oleh Allah s.w.t!
  3. Yakni ayat ini boleh membawa dua makna yakni:
    i- Rasulullah s.a.w diluaskan dadanya secara fizikal dengan dibedah & diisi hikmah.

ii- Allah cerahkan dada Baginda dengan ilmu, hikmah & iman!

AYAT 2- {DAN KAMI TELAH MERINGANKAN DARIPADAMU: BEBANMU (MENYIARKAN ISLAM)} (ASH-SYAR-H 94:2)

  1. Yakni Allah telah hilangkan daripada Rasulullah s.a.w segala dosa & kesalahan.
  2. Sebagai manusia Nabi juga ada silap & salah tetapi ia bukan dosa besar dan tidak berlaku dalam perundangan kerana Allah s.w.t telah menjaganya!

AYAT 3- {YANG MEMBERATI TANGGUNGANMU, (DENGAN MEMBERIKAN BERBAGAI KEMUDAHAN DALAM MELAKSANAKANNYA)?} (ASH-SYAR-H 94:3)

  1. Yakni semua perundangan yang berat-berat Allah s.w.t telah ringankan daripada Rasulullah s.a.w.
  2. Umat ini amat banyak keringanan dalam agama bukan seperti umat terdahulu! Masalahnya jangan meringan-ringankan agama!

AYAT 4- {DAN KAMI TELAH MENINGGIKAN BAGIMU: SEBUTAN NAMAMU (DENGAN MENGURNIAKAN PANGKAT NABI DAN BERBAGAI KEMULIAAN)?} (ASH-SYAR-H 94:4)

  1. Allah telah meninggikan sebutan nama Rasulullah s.a.w dengan ingatan yang baik.
    Serta dengan mengurniakan pangkat nabi & rasul serta berbagai kemuliaan yang disediakan & anugerahkan Allah s.w.t kepada Baginda.
  2. Antara kemuliaan itu ialah:
    i- wajibnya seorang mengakui kerasulannya disamping mengakui keesaan Allah Azza wa Jalla bagi mengesahkan Islam.

ii- juga wajibnya seorang menyebut nama Baginda dalam kalimah syahadah bagi mengesahkan solatnya dalam tasyahud.

Yakni mengucap dua-dua; jika separuh tak jadi & tidak sah!

AYAT 5- {OLEH ITU, MAKA (TETAPKANLAH KEPERCAYAANMU) BAHAWA SESUNGGUHNYA TIAP-TIAP KESUKARAN DISERTAI KEMUDAHAN,} (ASH-SYAR-H 94:5)

  1. Jika ada masalah atau kesusahan, tanganinya dengan sabar pasti akan ada jalan & kesenangan selepas itu!

AYAT 6- {(SEKALI LAGI DITEGASKAN): BAHAWA SESUNGGUHNYA TIAP-TIAP KESUKARAN DISERTAI KEMUDAHAN.} (ASH-SYAR-H 94:6)

  1. Sekali lagi ditegaskan bahawa di sebalik setiap kesusahan pasti ada kemudahan!
  2. Kata ulama\’ tafsir ayat ini mengandungi janji Allah s.w.t bahawa semua susah pasti akan jadi senang, payah jadi mudah, kesar jadi lembut!
    Tetapi kena usaha & ikhtiarlah!
  3. Setiap benda susah itu pasti tidak disukai jiwa. Tetapi Allah menjadikan semua itu dengan hikmah-Nya.
    Setiap hikmah itu tidak dapat dikesan oleh semua orang kecuali orang yang mentadabbur & memerhatikannya.
  4. Kerana itu Allah s.w.t mengulangi ayat ini sebanyak dua kali untuk menguatkan & memberi peringatan dan galakan supaya orang yang ditimpa kesusahan hendaklah sentiasa ingat kepada Allah s.w.t. Serta jangan runsing; disebalik setiap ujian dan kesusahan pasti ada kesenangannya yang akan kita lalui.
  5. Sebagaimana kata para pendakwah; Panjang setaramana pun malam pasti akan tiba siangnya! Tetapi tidak mudah adakalanyna ia memakan masa mengambil waktu, apa yang penting sabar atas ujian Allah.
  6. Ingatlah disebalik kesusahan itu pasti ada kemudahan. Sebagaimana firman Allah s.w.t tentang perceraian:
    {Allah akan memberikan kesenangan sesudah berlakunya kesusahan.} (At-Talaaq 65:7)
  7. Hadis dari Ibnu Abbas r.a, Rasulullah s.a.w bersabda:
    \”Kelapangan akan datang selepas kesulitan & bersama kesulitan, ada kemudahan.\” [HR Ahmad]

AYAT 7- {KEMUDIAN APABILA ENGKAU TELAH SELESAI (DARIPADA SESUATU AMAL SOLEH), MAKA BERSUNGGUH-SUNGGUHLAH ENGKAU BERUSAHA (MENGERJAKAN AMAL SOLEH YANG LAIN),} (ASH-SYAR-H 94:7)

  1. Jangan terputus melakukan amal soleh. Habis solat subuh baca zikir pagi kemudian urusan dunia kemudian bersedia untuk solat zohor pula! Demikianlah selagi nyawa dikandung badan.
  2. Munasabah ayat:
    i- Allah s.w.t telah sebut beberapa nikmat dalam ayat yang lepas kemudian Allah sebut pula nikmat dalam ayat ini.
    ii- maka Allah mahu beri kepada Rasulullah s.a.w satu motivasi, ilmu bersyukur kepada Allah Azza wa Jalla! Kerana itu Allah kata bila selesai ini, sambung dengan yang lain pula jangan terhenti.
  3. Yakni apabila selesai urusan yang kamu buat, samada urusan dunia atau akhirat, kamu hendaklah berusaha ibadat & berdoa.
  4. Selesaikan urusan duniamu kemudian tumpukan kepada ibadat. Selesai satu ibadat teruskan dengan ibadat yang lain pula, jangan putus dalam ibadat kepada Allah!

Contoh: Selepas kita makan- satu yang paling simple; kita kena bersyukur- dengan menggucapkan alhamdulillah.

  1. Beberapa huraian ulama\’ tafsir tentang ayat ini { فَإِذَا فَرَغْتَ فَٱنصَبْ}:
    i- Kata Ibnu Juzai rhm.:
    Apabila kamu selesai urusan dunia maka bersedialah untuk urusan seterusnya, apabila selesai solat fardhu buatlah solat sunat!
    Apabila selesai semua solat berdoalah pula kepada Allah s.w.t!

ii- Kata Ibnu Kathir rhm.:
Apabila kamu selesai urusan dunia, tumpukan kepada urusan akhirat pula.
Barulah apabila beribadat otak kamu tidak akan memikirkan lagi akan hal dunia.

  1. Syeikh al-Qasimi rhm. berkata:
    Apabila kamu selesai dari berlawan dengan puak kafir dan kamu dapat kemenangan dengan pertolongan Allah s.w.t, maka jangan lupa takbir, beristighfar & banyak memuji Allah s.w.t sebagai menunjukkan tanda kesyukuran kamu

AYAT 8- {DAN KEPADA TUHANMU SAHAJA HENDAKLAH ENGKAU MEMOHON (APA YANG ENGKAU GEMAR DAN INGINI).} (ASH-SYAR-H 94:8)

  1. Apabila kamu inginkan sesuatu maka mintalah dengan Allah s.w.t! Jadikanlah harapan kamu kepada Allah s.w.t dan mengharapkan pertolongan dengan Allah.
  2. Mintalah dengan Allah jangan dengan makhluk dan bertawakkalalh kepada Allah bukan kepada pawang-pawang, dukun-dukun dan lain-lain mereka yang bahaya!

PENUTUP & FAEDAH :

  1. Ayat 1- {Bukankah Kami telah melapangkan bagimu: dadamu (wahai Muhammad serta mengisinya dengan iman dan hidayah petunjuk)?}- Allah telah lapangkan dada Rasulullah s.a.w selapang & secerahnya & telah hilangkan dari dadanya segala perkara yang dapat menyusahkannya!

Persoalan:
Kenapa Allah sebut dada { صَدْرَك} bukan hati atau jantung dalam ayat ini?


JAWAPAN :

Ini kerana tempat untuk syaitan masuk meracuni dan waswaskan manusia adalah dalam dada manusia.
Dalil: Firman Allah s.w.t:
{Yang melemparkan bisikan dan hasutannya ke dalam hati manusia.} {يُوَسْوِسُ فِى صُدُور لنَّاسِ } (An-Naas 114:5)
Jadi untuk hilangkan waswas itu ialah kena lapangkan dada, ia sebagai tempatnya (محل).

  1. Ayat 2- {Dan Kami telah meringankan daripadamu: bebanmu (menyiarkan Islam)}- Allah hilangkan bebanan { وِزْرَكَ } dari Rasulullah s.a.w. Bebanan ini juga dengan makna kesalahan.

Maka timbul persoalan apakah Rasulullah s.a.w juga ada kesalahan?


JAWAPAN :

Sebagai manusia pasti ada salah & silap tetapi kesilapan itu kecil dan diperbetulkan oleh Allah s.w.t & ia tidak berterusan.

Tetapi kesilapan itu bukanlah dosa besar atau sifat khianat, dusta bohong kerana sifat mereka adalah benar, amanah & menyampaikan!
para rasul juga tidak akan terjebak dalam akhlak buruk & dengan perkara yang tidak baik seperti zina & seumpamanya!

Sabda Rasulullah s.a.w:
\”Sesungguhnya tidak aku diutuskan melainkan untuk menyempurnakan kebaikan akhlak.\” [Riwayat Ahmad (8952)] Status: Hadis sahih]

Majoroti para ulama ahli Sunnah berpendapat\’: Para anbiya\’ terpelihara (ma\’sum) dari dosa-dosa besar tetapi kesilapan kecil mungkin berlaku.

Sebagaimana dalam al-Quran tentang doa para rasul ini meminta ampun kepada Allah s.w.t:
i- {Kemudian Nabi Adam menerima dari Tuhannya beberapa kalimah (kata-kata pengakuan taubat yang diamalkannya), lalu Allah menerima taubatnya; sesungguhnya Allah, Dia lah yang Maha Pengampun (Penerima taubat), lagi Maha Mengasihani.} (Al-Baqarah 2:37

ii- { Nabi Nuh berkata: \”Wahai Tuhanku! Sesungguhnya aku berlindung kepadaMu daripada memohon sesuatu yang aku tidak mempunyai pengetahuan mengenainya; dan jika Engkau tidak mengampunkan dosaku, dan memberi rahmat kepadaku, nescaya menjadilah aku dari orang-orang yang rugi\”.} (Hud 11:47)

  1. Ayat 4- {Dan Kami telah meninggikan bagimu: sebutan namamu (dengan mengurniakan pangkat Nabi dan berbagai kemuliaan)?}- Allah s.w.t telah mengangkat nama & kedudukan Rasulullah s.a.w.

Kata ulama\’ kerana itu terdapat beberapa tempat yang kita wajib berselawat ke atas Rasulullah s.a.w seperti:
i- dalam azan, dalam khutbah, dalam solat Jenazah, di akhir solat (tasyahud), dalam qunut dan lain-lain.

Maka kita pun jika kena angkat & muliakan juga nama Rasulullah s.a.w. untuk menyatakan cinta hakiki kita! Bukan hanya bernasyid berselawat sambil bergendang dalam rumah Allah!

  1. Ayat 5- {Oleh itu, maka (tetapkanlah kepercayaanmu) bahawa sesungguhnya tiap-tiap kesukaran disertai kemudahan,}-

Persoalan:
Susah { ٱلْعُسْرِ}tidak akan bersama senang { يُسْرًا} – tetapi kenapa Allah s.w.t sebut begitu?


JAWAPAN :

Ia tidak akan berlaku bersama begitu susah & senang, tetapi ia akan datang ikut tertib.
Susah dulu kemudian datang, senang bukan datang serentak.

Allah nyatakan bersama yakni serentak { مَعَ} untuk menyatakan ia pasti berlaku cuma ia akan ambil masa- ada yang lama tempohnya ada yang mungkin sekejap saja!

Ada perkara atau masalah yang datang lambat tetapi pergi awal- ini biasa seperti orang datang masjid- datang lewat balik awal!

Ada juga yang datang cepat tetapi balik lambat seperti penyakit! Kita minta perlindungan dari Allah s.w.t!

Ayat ini juga mendidik jiwa orang mukmin agar tenang bahawa selepas gelap akan datang cera, susah bukan bermakna susah selamanya.

  1. Ayat 7- {Kemudian apabila engkau telah selesai (daripada sesuatu amal soleh), maka bersungguh-sungguhlah engkau berusaha (mengerjakan amal soleh yang lain),}
    Ayat ini pula satu motivasi yang besar untuk melakukan ibadat yang berterusan!

Selesai yang wajib sambung dengan yang sunat pula!

Habis dunia pergi kepada akhirat.

Sebahagian ulama\’ feqah telah mengambil ayat ini untuk menunjukkan bahawa disyari\’atkan berzikir dan berdoa selepas solat fardhu!

Doa itu ada dua kategori:
i- doa meminta
ii- doa ibadat.

Kata ulama\’ tadabbur: Ayat ini juga menunjukkan bahawa tiada bagi orang muslim waktu lapang- waktu kosong yang tidak tahu nak buat apa!

Jika habis kerja dunia buatlah amal ibadat untuk akhirat pula.

Kisah dari Qadi al-Syuraih rhm.- Dia melihat dua orang lelaki yang sedang berkelahi lalu dia menasihat mereka dengan berkata: Allah tidak suruh orang yang tak ada kerja untuk berkelahi tetapi Allah suruh:
{Kemudian apabila engkau telah selesai (daripada sesuatu amal soleh), maka bersungguh-sungguhlah engkau berusaha (mengerjakan amal soleh yang lain),}

Kata Ibnu Mas\’ud r,a:
Aku cukup tidak suka melihat seorang lelaki muslim duduk diam tanpa sebarang aktiviti- tiada kerja dunia atau kerja akhirat!

Semoga Allah s.w.t lapangkan dada kita, cerahkan hati kita, beri taufiq hidayah untuk kita beribadat sebaik mungkin, tambahkan ilmu kita lalu menjadi golongan yang diredhai Allah s.w.t!

Powered by BetterDocs