SURAH AT-TAHRIM : AYAT 10-12

\"\"

BANDINGAN DUA KATEGORI WANITA, BERIMAN DAN KAFIR & DUDUK BERSAMA ORANG BAIK BUKAN JAMINAN JADI BAIK.

Full video : https://youtu.be/uCh4MfWzNMw

MUQADDIMAH :

  1. Dalam siri ini Insya\’ Allah tamatlah surah at-Tahrim dengan 12 ayat.
  2. Dalam ayat ini Allah s.w.t membuat bandingan tiga kategori wanita iaitu:
    i- wanita yang beriman tetapi suaminya kafir iaitu Asiah, isteri Firaun.

ii- wanita yang beriman tetapi tidak mempunyai suami iaitu Maryam, ibu Nabi Isa a.s.

iii- dua wanita yang kafir tetapi suami mereka beriman bahkan seorang nabi, iaitu isteri kepada nabi Nuh & Lut.

  1. Kisah ini juga menunjukkan bahawa mempunyai hubungn yang rapat serta duduk bersama orang baik dan soleh bukan jaminan seseorang itu jadi baik juga.
  2. Munasabah ayat:
    i- Allah s.w.t sebut kata putus orang beriman akan selamat di akhirat manakala orang kafir akan binasa. Juga pada awal surah adalah teguran Allah s.w.t kepada sebahagian isteri Nabi s.a.w. supaya tidak menyakiti dan taat kepada Rasulullah s.a.w. Kemudian ditegur semua orang agar beradab dengan Allah & dengan Rasulullah s.a.w.

ii- maka di tutup surah ini tentang wanita juga maka surah at-Tahrim ini lebih kepada surah wanita iaitu membincangkan tentang wanita dari sudut kekeluargaan

AYAT 10- {ALLAH MENGEMUKAKAN SATU MISAL PERBANDINGAN (YANG MENYATAKAN TIDAK ADA MANFAATNYA) BAGI ORANG-ORANG KAFIR (BERHUBUNG RAPAT DENGAN ORANG-ORANG MUKMIN SELAGI MEREKA TIDAK BERIMAN DENGAN SEBENAR-BENARNYA), IAITU: PERIHAL ISTERI NABI NUH DAN ISTERI NABI LUT; MEREKA BERDUA BERADA DI BAWAH JAGAAN DUA ORANG HAMBA YANG SOLEH DARI HAMBA-HAMBA KAMI (YANG SEWAJIBNYA MEREKA BERDUA TAATI); DALAM PADA ITU MEREKA BERLAKU KHIANAT KEPADA SUAMI MASING-MASING; MAKA KEDUA-DUA SUAMI MEREKA (YANG BERPANGKAT NABI ITU) TIDAK DAPAT MEMBERIKAN SEBARANG PERTOLONGAN KEPADA MEREKA DARI (AZAB) ALLAH, DAN (SEBALIKNYA) DIKATAKAN KEPADA MEREKA BERDUA (PADA HARI PEMBALASAN): \”MASUKLAH KAMU BERDUA KE DALAM NERAKA BERSAMA-SAMA ORANG-ORANG YANG MASUK (KE SITU)\”.} (AT-TAHRIM 66:10)

  1. Dalam ayat ini dan ayat-ayat berikutnya Allah s.w.t memberi misal perbandingan yang menggambarkan keadaan orang kafir & juga orang yang beriman.
  2. Allah mengemukakan misal bandingan bahawa tiada manfaatnya bagi orang kafir walaupun berhubung rapat dengan orang mukmin jika mereka tidak beriman dengan sebenarnya. Contohnya adalah hal isteri Nabi Nuh & Isteri Nabi Lut a.s. yang tetap kufur sehingga akhir.
  3. Dua orang wanita ini berada di bawah jagaan dua orang hamba & Nabi Allah yang soleh sebagai isteri mereka, yang sewajarnya mereka taat kepada suami itu. Tetapi apa yang berlaku mereka telah khianat kepada suami masing-masing.
  4. Mereka berdua ini, isteri nabi Nuh & isteri Nabi Lut a.s, tidak beriman kepada Allah dan tidak menerima dakwah & ajaran yang suami mereka bawa itu. Bahkan mereka khianat dengan menjadi tali-barut kepada puak kafir yang menentang suami mereka!
  5. Kata ulama\’ tadabbur al-Wahidi rhm.:
    Ayat ini untuk memberi amaran kepada UM Aisyah & UM Hafsah r.a, jika mereka masih lagi tidak taat dan buat karenah kepada Rasulullah s.a.w, lihatlah- ambil iktibar apa yang terjadi kepada dua orang isteri nabi yang telah binasa itu.
  6. Isu kedua pula ialah apakah maksudnya mereka dua isteri itu telah mengkhianati suami mereka {فَخَانَتَاهُمَا}?
  7. Jawapannya kata ulama\’: Mereka telah mengkhianati suami mereka dari segi agama dan aqidah. Bukan dalam kehidupan atau perbuatan buruk.
  8. Sebagaimana kata Ibnu Abbas r.a dan lain-lain ulama\’ Salaf;
    Tidak ada mana-mana isteri para nabi yang khianat dari segi hubungan atau peribadi, buat perkara fahisyah (keji) atau curang seperti berzina dan seumpamanya. Ini kerana Allah s.w.t menjaga kesucian keturunan para nabi ini.
    Cuma yang ada khianat dari sudut agama, aqidah dan perjuangan dakwah Nabi itu.
  9. Lalu mereka berdua itu tidak mendapat manfaat di sisi Allah s.w.t daripada kedudukan suami mereka walaupun mereka itu isteri nabi!
  10. Firman Allah s.w.t tentang ini juga:
    {Pada hari seseorang itu lari dari saudaranya, Dan ibunya serta bapanya, Dan isterinya serta anak-anaknya; Kerana tiap-tiap seorang dari mereka pada hari itu, ada perkara-perkara yang cukup untuk menjadikannya sibuk dengan hal dirinya sahaja.} [Abasa 80: 34-37)
  11. Hadis riwayat Abu Hurairah r.a katanya,
    \”Apabila turunnya ayat 214 surah Al-Shu\’ara\’ (\”Dan berilah peringatan serta amaran kepada kaum kerabatmu yang dekat\”), Rasulullah S.A.W pun nak ke atas Bukit Safa lalu menyeru, memanggil mereka lalu disebutkan nama secara umum dan khusus.

Rasulullah S.A.W berkata, \”Hai, semua orang Quraisy! Selamatkan dirimu dari api neraka! Hai, sekalian Bani Kaab, selamatkan dirimu dari api neraka! Hai, Fatimah binti Muhammad! Selamatkan dirimu dari api neraka!
Sesungguhnya demi Allah, aku tidak memiliki sebarang kuasa untuk membelamu dari hukuman Allah melainkan kamu mempunyai tali persaudaraan (Islam) yang akan aku kuatkan hubungan itu.\” [HR Muslim].

  1. Para pendakwah kena belajar ilmu daripada ayat ini bahawa keluarga kita yang terdekat belum pasti bersama kita bahkan mungkin ada yang menentang kita.
    Kita ajar yang Sunnah yang nabi ajar tetapi mereka keluarga kita dok amal dan ajar apa yang Rasulullah s.a.w tidak ajar.
    Maka tunggulah di Akhirat kelak, lihat siapa yang benar.
  2. Kayu ukur atau pembaris kita ialah apa yang kita buat itu ikut atau bertepatan dengan yang Nabi ajar, bukan setakat kerana orang ramai buat, orang itu ini buat, semuanya tidak ada authority, tidak ada siapa yang boleh boleh lepas dari azab Allah sekiranya tidak ikut apa yang Rasulullah s.a.w ajar.
  3. Maka dikatakan kepada dua orang isteri Nabi itu: Masuklah kamu berdua ke dalam neraka bersama-sama orang-orang yang masuk ke dalamnya.
    Suami mereka seorang nabi hanya mampu lihat saja tidak boleh buat apa untuk menolong mereka.
  4. Hatta Rasulullah s.a.w sendiri tidak dapat menyelamatkan bapa saudaranya Abu Talib daripada neraka.
    Hadis:
    Al-Abbas bin Abdul Muttalib r.a meriwayatkan bahawa sesungguhnya beliau bertanya kepada Rasulullah s.a.w:
    Wahai Rasulullah! Adakah engkau dapat memberikan sesuatu manfaat kepada Abu Talib? Sesungguhnya dia membelamu iaitu menolong, menjaga, memenuhi segala keperluan dan marah kepada musuhmu demi keselamatanmu.
    Rasulullah s.a.w menjawab dengan sabdanya: Ya, dia berada di Neraka yang paling cetek iaitu kurang panas. Kalaulah tidak kerana aku, nescaya dia berada di Neraka yang paling bawah iaitu paling panas. [HR Muslim].
  5. Kita minta berlindung daripada azab neraka Allah yang tiada pelindung dan penghalang darinya!

AYAT 11- {DAN ALLAH MENGEMUKAKAN SATU MISAL PERBANDINGAN (YANG MENYATAKAN TIDAK ADA MUDARATNYA) KEPADA ORANG-ORANG MUKMIN (BERHUBUNG RAPAT DENGAN ORANG-ORANG KAFIR KALAU TIDAK TERJEJAS KEADAAN IMANNYA), IAITU: PERIHAL ISTERI FIRAUN, KETIKA IA BERKATA: \”WAHAI TUHANKU! BINALAH UNTUKKU SEBUAH RUMAH DI SISIMU DALAM SYURGA, DAN SELAMATKANLAH DAKU DARI FIRAUN DAN PERBUATANNYA (YANG KUFUR DAN BUAS), SERTA SELAMATKANLAH DAKU DARI KAUM YANG ZALIM\”;} (AT-TAHRIM 66:11)

  1. MUNASABAH AYAT :
    i- Allah s.w.t sebut sebelum ini bahawa orang yang beriman dan taat tidak akan memberi darurat kepadanya jika ada orang yang rapat dengannya yang kufur atau derhaka. Tetapi syaratnya dia telah menjalankan tugas dan tanggung-jawabnya memberi bimbingan dan nasihat kepada mereka. Kena ada sudut amar ma\’ruf dan nahi munkar.

ii- maka di sini Allah s.w.t membuat satu lagi bandingan yang menarik, seorang perempuan yang beriman hidup serumah bersama orang kafir. Maka jika kekafiran itu tidak menjejaskan iman dan tauhidnya maka tidak mengapa. Ini pada zaman dahulu.

Zaman kita ini tidak boleh lagi orang beriman samada lelaki atau perempuan kahwin dengan orang kafir, yakni tidak boleh kahwin campur agama, tidak sah dan haram.

  1. Menurut Syeikh as-Sam\’ani nama isteri Firaun ini ialah- Asiah binti Muzahim. Dia telah beriman kepada Allah & kepada Musa a.s secara rahsia. Pada peringkat awal lagi dia tahu Musa bayi angkat mereka adalah orang yang akan menjatuhkan Firaun tetapi berjaya memujuk Firaun untuk membela bayi Musa.
  2. Firman Allah s.w.t:
    {Dan berkatalah isteri Firaun: \”(Semoga ia menjadi) cahaya mata bagiku dan bagimu; janganlah kamu membunuhnya; mudah-mudahan ia berguna kepada kita, atau kita jadikan dia anak\”. Padahal mereka tidak menyedari (kesudahannya).} [Al-Qasas, ayat 9].
  3. Akhirnya apabila dia menzahirkan Islamnya dia diazab oleh Firaun lalu berdoa dekat kematiannya: {\”Wahai Tuhanku! Binalah untukku sebuah rumah di sisiMu dalam Syurga}.
  4. Menurut satu riwayat daripada Salman al-Farisi r.a:
    \”Asiah isteri Firaun disiksa dengan dijemur bawah panas matahari yang terik. Apabila Firaun meninggalkannya, datang malaikat memayunginga dengan sayap mereka dan Allah tunjukkan bakal rumahnya di dalam syurga nanti. Dia pun tersenyum.\” [Riwayat al-Hakim dan al-Baihaqi].
  5. Ada juga riwayat lain yang mengatakan apabila Firaun mahu menghempapnya dengan batu, dekat kematiannya; lalu Allah s.w.t bukakan hijab tunjuk rumahnya di dalam syurga, maka dia mati dalam senyuman!

Begitulah para pejuang Islam mereka tidak takut akan mati dan ancaman kerana mereka telah merasai kemanisan iman dan nampak nikmat yang akan diberi Tuhan mereka!

  1. Allah s.w.t malukan Firaun dengan menjadikan orang yang paling dekatnya beriman dan tidak mengikut ajarannya.
  2. Asiah berdoa lagi: {Dan selamatkanlah daku dari Firaun dan perbuatannya (yang kufur dan buas), serta selamatkanlah daku dari kaum yang zalim\”;}.
    Maka selamatlah Asiah dari kekejaman Firaun dengan kematiannya dan kembali ke sisi Tuhannya.

AYAT 12- {DAN JUGA (SATU MISAL PERBANDINGAN LAGI, IAITU): MARYAM BINTI IMRAN (IBU NABI ISA SEORANG PEREMPUAN) YANG TELAH MEMELIHARA KEHORMATAN DAN KESUCIANNYA (DARI DISENTUH OLEH LELAKI; TETAPI OLEH SEBAB KAMI TELAH TAKDIRKAN DIA MENDAPAT ANAK) MAKA KAMI PERINTAHKAN JIBRIL MENIUP MASUK KE DALAM KANDUNGAN TUBUHNYA DARI ROH (CIPTAAN) KAMI; DAN (SEKALIPUN MARYAM ITU HIDUP DI ANTARA KAUM KAFIR) IA MENGAKUI KEBENARAN KALIMAH-KALIMAH TUHANNYA SERTA KITAB-KITABNYA; DAN IA MENJADI DARI ORANG-ORANG YANG TETAP TAAT.} (AT-TAHRIM 66:12)

  1. Ini pula adalah kisah seorang perempuan beriman yang tidak pernah ada suami, iaitu Maryam binti Imran, ibu kepada Nabi Isa a.s. Dia adalah seorang perempuan yang mulia, menjaga diri & maruah tidak pernah berlaku persetubuhan atau disentuh oleh mana-mana lelaki.
  2. Apabila Allah taqdirkan dia untuk melahirkan seorang anak, maka Allah s.w.t perintahkan malaikat Jibri a.s untuk meniup roh masuk ke dalam tubuh Maryam.
  3. Maryam ini adalah dari kalangan orang yang beriman dengan kalimah Allah iaitu Syari\’ah Kitab Taurah dan dengan anaknya Nabi Isa a.s.
  4. Hadis – daripada Abu Musa al-Asy\’ari r.a bahawa Rasulullah s.a.w bersabda:
    كَـمُـلَ مِنَ الرِّجَالِ كَثِيرٌ، وَلَمْ يَكْمُلْ مِنَ النِّسَاءِ غَيْرُ مَرْيَمَ بِنْتِ عِمْرَانَ، وَآسِيَةَ امْرَأَةِ فِرْعَوْنَ، وَإِنَّ فَضْلَ ‏عَائِشَةَ عَلَى النِّسَاءِ كَفَضْلِ الثَّرِيدِ عَلَى سَائِرِ الطَّعَامِ

\”Lelaki yang sempurna jumlahnya banyak. Dan tidak ada wanita yang sempurna selain ‎Maryam binti Imran dan Asiah isteri Firaun.\” ‎‎(HR. Bukhari 5418 dan Muslim 2431).

  1. Hadis- daripada Anas nin Malik r.a, Nabi Muhammad S.A.W bersabda:
    \”Wanita terbaik di dunia ini ada empat, iaitu Maryam puteri Imran, Asiah permaisuri Firaun, Khadijah puteri Khuwailid, dan Fatimah puteri Muhammad Rasulullah SAW.\” [HR an-Nasae\’i & Ahmad].
  2. Hadis tangisan dan tawa Fatimah r.a binti Rasulullah:
    \”Setelah hampir kematiannya, Nabi S.A.W memanggil Fatimah lalu membisikkan sesuatu kepadanya, lantas Fatimah pun menangis. Kemudian baginda memanggilnya sekali lagi lalu membisikkan sesuatu sehingga Fatimah tertawa.

Selepas kewafatan Rasulullah s.a.w UM Aisyah R.anha bertanya tentang hal itu, lalu Fatimah r.a menjawab:
\”Rasulullah S.A.W membisikkan kepadaku bahawa Baginda S.A.W akan wafat dengan sakit yang sedang dihadapinya, lantas aku menangis.
Kemudian Baginda S.A.W membisikkan kepadaku bahawa aku adalah ahli keluarganya yang pertama akan menyusul selepas kewafatan Baginda S.A.W.
Baginda juga memberitahu bahawa aku adalah ketua atau penghulu wanita di dalam syurga kecuali Maryam yang lebih tinggi darjatnya. Lalu aku gembira dan ketawa.\” [HR At-Tirmizi & An-Nasa\’ei].

  1. Sayyidah Maryam ini adalah seorang yang tetap taat {مِنَ ٱلْقَـٰنِتِينَ} dan tidak goyah imannya kepada Allah s.w.t walau apapun yang terjadi!

PENUTUP & FAEDAH :

  1. Ayat 10- {Allah mengemukakan satu misal perbandingan (yang menyatakan tidak ada manfaatnya) bagi orang-orang kafir…}- daripada ayat-ayat ini kata ulama\’ tadabbur, Allah s.w.t bawa 3 kategori wanita iaitu:
    i- wanita kafir yang walaupun pasangan kepada suami yang beriman dan soleh tetapi tidak memberi kesan dan faedah kepada mereka, tetap kafir!

ii- wanita mukminah duduk di bawah kafir tetapi imannya tetap mantap juga tidak memberi apa-apa kesan.

iii- wanita yang tidak ada suami. Dia beriman tanpa ada bimbingan atau pengaruh suami. Maka tidak memberi mudharat kepada wanita yang tidak pernah berkahwin asalkan dirinya sendiri yang beriman!

Dia sendiri yang solehah dan taat, masuk syurga dengan sebab dirinya sendiri.

  1. Ayat 10- {Allah mengemukakan satu misal perbandingan (yang menyatakan tidak ada manfaatnya) bagi orang-orang kafir…}- walaupun seorang suami itu seorang yang soleh, baik dan taat, jangan dia rasa aman dan sudah selamat isteri & anak-anaknya tanpa perlu memberi bimbingan ilmu dan nasihat dalam agama & adab.

Jangan lupa tidak ada yang boleh selamat, sedangkan dua wanita isteri kepada dua nabi itu tetap kufur dan tidak beriman, berpaling lari daripada ajaran dan dakwah suami mereka.

Maka ini adalah satu kerugian yang amat besar jika kita rasa aman dan selamat tanpa ada usaha & tanggung-jawab. Dia kena ajar dan bimbing isteri, bawa isteri belajar dan mencari ilmu sama-sama kerana kita mahu masuk syurga sekeluarga!

Satu kerugian jika duduk di bawah nabi atau orang soleh tetapi kita tidak mendapat faedah manfaat darinya!

  1. Ayat 12- {Dan juga (satu misal perbandingan lagi, iaitu): Maryam binti Imran (ibu Nabi Isa seorang perempuan) yang telah memelihara kehormatan dan kesuciannya (dari disentuh oleh lelaki; – kata ulama\’ dalam misal bandingan ini ada sesuatu rahsia yang indah dan halus tentang ayat-ayat surah ini.

Surah ini dimulai dengan teguran kepada dua isteri Nabi s.a.w agar tidak menyakiti dan menyusahkan Rasulullah s.a.w. Jadi walaupun kamu isteri Nabi, tetapi tidak ada manfaat jika kamu tidak taat dan tidak ikut ajaran Nabi s.a.w maka tidak ada faedahnya!

Sebagaimana dua orang isteri Nabi dahulu itu, yang walaupun hidup sebumbung dengan seorang nabi, melahirkan anak-anak Nabi tetapi tidak ada faedahnya jika tidak taat dan ikut ajaran nabi.
Surah ini adalah bandingan hubungan melalui perkahwinan bukan hubungan kerabat.

Manakala tentang Sayyidah Maryam pula adalah satu dimensi lain, tentang perempuan yang tidak pernah berkahwin, yang tetap beriman dan taat. Yakni kerana tidak ada jodoh bukan kerana sengaja tidak mahu berkahwin, maka dia juga boleh menjadi orang yang solehah dan taat kepada Allah.

Isu Maryam ini juga untuk membersihkan sekali lagi tuduhan jahat ke atas Um Aisyah r.a yang pernah difitnah sebagaimana dalam hadis al-Ifki oleh golongan munafiqin sebagaimana Maryam yang dituduh oleh yahudi melahirkan anak tak sah taraf!

  1. Ayat 11- {Dan Allah mengemukakan satu misal perbandingan (yang menyatakan tidak ada mudaratnya) kepada orang-orang mukmin (berhubung rapat dengan orang-orang kafir kalau tidak terjejas keadaan imannya), iaitu: perihal isteri Firaun,}- perkahwinan sesama kafir adalah sah. Asiah ini berkahwin dengan Firaun sebelum dia Islam lagi. Maka hukumnya perkahwinan sebelum Islam diiktiraf dan diterima dalam Islam, boleh diteruskan.

Ramai juga para sahabat Rasulullah s.a.w yang dilahirkan oleh ibu bapa mereka yang berkahwin bukan atau belum Islam. Tetapi mereka tetap dinisbahkan kepada bapa mereka.

Ramai sahabat yang masuk Islam pada zaman Rasulullah s.a.w tidak ditukar nama bapa atau keturunan mereka JUGA tidak disuruh memperbaharui akad nikah mereka dengan isteri yang mereka kahwini sebelum Islam.
Maka tidak peliklah Asiah bersama Firaun.
Berbeza dengan Syari\’ah dengan kita hari ini.

  1. Ayat 12- {Dan juga (satu misal perbandingan lagi, iaitu): Maryam binti Imran (ibu Nabi Isa seorang perempuan) yang telah memelihara kehormatan dan kesuciannya (dari disentuh oleh lelaki; tetapi oleh sebab Kami telah takdirkan dia mendapat anak)…}- Maryam adalah contoh ikon perempuan yang baik! Ini adalah sifat perempuan yang solehah, yang menjaga kehormatan dan maruah dirinya.

Apabila dia melihat malaikat yang berupa seorang lelaki masuk berjumpa dengannya terus dia meminta perlindungan dengan Allah s.w.t dan mengingatkan juga lelaki itu supaya takut kepada Allah s.w.t!

Maka kita kena didik dan ajar anak-anak perempuan kita agar belajar dengan Sirah Maryam ini, sentiasa menjaga diri dan maruah sebagai seorang perempuan Muslimah!

Lalu Allah s.w.t campakkan atau tiup roh ke dalam tubuhnya. Ulama\’ kata roh itu ditiup masuk, macamana wallahu a\’lam.

Alhamdulillah tamatlah kita surah at-Tahrim yang penuh pengajaran dalam mendidik dan hubungan keluarga ini.

Semoga Allah s.w.t menjaga kita dan semua keluarga kita daripada segala gejala tidak sihat dan sifat buruk.

Powered by BetterDocs