SURAH AL-INSAN : AYAT 27-31

\"\"

PUAK KAFIR CINTAKAN DUNIA, AL-QURAN SEBAGAI TAZKIRAH & SEMUA BERLAKU DENGAN KEHENDAK ALLAH.

Full video : https://youtu.be/Qe-KyW9f_F8?si=6UD-fu0JaYzuzSoe

MUQADDIMAH :

  1. Dalam siri ini Allah s.w.t nyatakan bahawa puak kafir cintakan dunia, kesenangannya yang sementara. Ini kerana mereka tidak yakin dengan akhirat. Manakala bagi kita orang beriman dunia ini hanya titian untuk ke syurga!
  2. Allah s.w.t nyatakan bahawa semua ayat-ayat al-Quran yang kamu baca ini sebagai tazkirah atau peringatan. Siapa mahu ambil jalan menuju kepada Allah inilah jalannya, jalan al-Quran & jalan Sunnah Nabi s.a.w.
  3. Allah s.w.t nyatakan bahawa semuanya berlaku dengan kehendak Allah. Walaupun kita mempunyai kehendak sendiri tetapi semuanya berlaku dengan izin Allah. Tetapi kita tetap kena usaha untuk mencapai apa yang kita pilih! Apa yang kita dapat alhamdulillah, apa yang tidak, pasti ada hikmahnya.
  4. Munasabah ayat:
    i- Allah s.w.t dalam ayat lepas sebut tentang beberapa perintah dan larangan-Nya. Serta mereka yang ingkar berpaling dari seruan Allah & rasul-Nya ini.

ii- kemudian dalam ayat ini Allah s.w.t nyatakan kenapa mereka orang kafir tidak beriman kerana tidak mahu kehilangan pangkat, jawatan, kemewahan, harta-benda dan kedudukan atas dunia ini!

AYAT 27- {SESUNGGUHNYA ORANG-ORANG (YANG MENENTANGMU) ITU SENTIASA MENCINTAI (KESENANGAN DAN KEMEWAHAN DUNIA) YANG CEPAT HABISNYA, SERTA MEREKA MEMBELAKANGKAN (TIDAK MENGHIRAUKAN BEKALAN) UNTUK HARI AKHIRAT YANG AMAT BERAT (PENDERITAANNYA KEPADA ORANG-ORANG YANG TIDAK BERTAQWA).} (AL-INSAAN 76:27)

  1. Dalam ayat ini Allah s.w.t cerca & cela puak kafir yang keras kepala & tidak mahu beriman, iaitu para penentang Rasulullah s.a.w. Mereka sentiasa mencintai dan mengejar dunia ini yang cepat habisnya. Mereka tidak mahu kehilangan habuan dunia.
  2. Mereka juga membelakangkan bekalan untuk hari Akhirat yang amat berat terhadap mereka yang tidak beriman. Amaran & peringatan sudah diberi, siapa tidak percaya tunggulah! Hari yang tiada guna lagi penyesalan & pengakuan.
  3. Firman Allah s.w.t:
    {Kerana apabila telah ditiup sangkakala,
    Maka saat yang demikian adalah saat (berlakunya) hari yang sukar –
    Kepada orang-orang kafir, lagi tidak mudah (mengelak azabnya).} (Al-Muddaththir 74: 8-10)
  4. Kata as-Sam\’ani, dinamakan hari {yang amat berat- يَوْمًۭا ثَقِيلًۭا} ialah berat penderitaannya kepada orang-orang yang tidak bertaqwa, dengan hisab, pengadilan dan hukumannya! Hari perbicaraan yang pasti berat dirasakan kesannya.

AYAT 28- {KAMILAH YANG MENCIPTAKAN MEREKA SERTA MENGUATKAN TULANG SENDI DAN URAT SARAF MEREKA; (KAMI BERKUASA MEMBINASAKAN MEREKA) DAN APABILA KAMI KEHENDAKI, KAMI GANTIKAN (MEREKA DENGAN) ORANG-ORANG YANG SERUPA DENGAN MEREKA, DENGAN PENGGANTIAN YANG SEBAIK-BAIKNYA.} (AL-INSAAN 76:28)

  1. Lalu Allah s.w.t mengungkit bahawa Dia-lah yang menciptakan mereka serta menguatkan tulang sendi dan urat saraf mereka dengan sempurna perjalan hidupnya.
  2. Kata al-Qurtubi rhm.: dalam ayat ini Allah s.w.t mahu mengungkit kepada orang kafir bahawa Allah buat & cipta mereka sebaiknya, kemudian mereka tetap syirik kepada Allah??!!! Yakni banyak nikmat yang Allah beri tetapi orang kafir tetap lawan Dia!!!!
  3. Hatta sesama manusia pun, jika kita buat baik tetapi orang balas sebaliknya pastilah akan terasa juga!
  4. Allah ungkit lagi bahawa Dia juga berkuasa untuk membinasakan semua mereka yang kafir itu & menggantikannya dengan kaum lain yang beriman & baik semuanya!

AYAT 29- {SESUNGGUHNYA (SEGALA KETERANGAN YANG DISEBUTKAN) INI, MENJADI PERINGATAN; MAKA SESIAPA YANG MAHUKAN (KEBAIKAN DIRINYA) BOLEHLAH IA MENGAMBIL JALAN YANG MENYAMPAIKAN KEPADA KEREDAAN ALLAH (DENGAN IMAN DAN TAAT).} (AL-INSAAN 76:29)

  1. Surah al-Insan ini (dan al-Quran seluruhnya) dengan susunannya yang tertib & baik, ada nasihat & peringatan, ancaman & galakan, adalah menjadi satu peringatan kepada manusia untuk ambil iktibar & buat persediaan.
  2. Dengan semua peringatan yang telah diberi & disebut ini, maka sesiapa yang mahu kebaikan bagi dirinya- bolehlah ia mengambil jalan yang menyampaikan kepada keredaan Allah iaitu dengan iman dan taat.
  3. Apabila beriman, bertaqwa & taat akan mendapat keredhaan Allah, apabila mendapat keredhaan Allah akan membawa ke syurga Insya\’ Allah, begitulah jalan & tahapnya.

AYAT 30- {DAN TIADALAH KAMU BERKEMAHUAN (MELAKUKAN SESUATU PERKARA) MELAINKAN DENGAN CARA YANG DIKEHENDAKI ALLAH; SESUNGGUHNYA ALLAH ADALAH MAHA MENGETAHUI, LAGI MAHA BIJAKSANA (MENGATURKAN SEBARANG PERKARA YANG DIKEHENDAKINYA).} (AL-INSAAN 76:30)

  1. Walaupun ada dua jalan untuk dipilih, pastilah kita kena pilih yang baik, jalan Allah & Rasul-Nya!
  2. Ayat ini mengajar kepada kita bahawa manusia ada hajat, kehendak & citarasanya sendiri.
    Tetapi kamu tidak boleh menjadi orang yang beriman dan bertaqwa kecuali dengan kehendak & petunjuk Allah Azza wa Jalla. Dengan sendiri tidak akan boleh terjadi.
  3. Maka kita kena banyak bergantung kepada Allah s.w.t, banyak bertawakkal kerana kita sudah tahu bahawa hidayah itu ada dua.
  4. Jenis hidayah:
    i- hidayah irsyad- memberi bimbingan & ajaran, berdakwah itu kerja para rasul & pendakwah semuanya.

ii- hidayah memberi taifiq untuk orang beriman & beramal itu milik & kuasa Allah s.w.t!

Jika kita laung & paksa sekuat mana pun, jika Allah s.w.t tak cuit hati mereka, tidak akan memberi kesan!

  1. Alhamdulillah kita bersyukur kepada Allah kerana dipilih untuk menjadi orang yang pergi ke masjid, mampu solat Jemaah, mengikuti kuliah agama & tadabbur al-Quran dan lain-lain kebaikan.

AYAT 31- {IA MEMASUKKAN SESIAPA YANG DIKEHENDAKINYA (MENURUT ATURAN YANG DITETAPKAN) KE DALAM RAHMATNYA (DENGAN DIEMPATKANNYA DI DALAM SYURGA); DAN ORANG-ORANG YANG ZALIM, IA MENYEDIAKAN UNTUK MEREKA AZAB SEKSA YANG TIDAK TERPERI SAKITNYA.} (AL-INSAAN 76:31)

  1. Allah s.w.t juga yang berkuasa untuk pilih sesiapa saja untuk dimasukkan ke dalam rahmat & syurga-nya!
  2. Manakala untuk orang yang zalim kufur, Allah sediakan bagi mereka azab siksa yang tidak terperi siksanya!
  3. Pilihan di tangan kita; Kita pilihlah jalan & perkara yang baik, yang Allah s.w.t suka untuk kita pilih! Jangan menzalimi diri sendiri dengan pilih untuk melakukan syirik, maksiat & kemungkaran kepada Allah Azza wa Jalla!

PENUTUP & FAEDAH :

  1. Ayat 27- {Sesungguhnya orang-orang (yang menentangmu) itu sentiasa mencintai (kesenangan dan kemewahan dunia) yang cepat habisnya, serta mereka membelakangkan (tidak menghiraukan bekalan) untuk hari akhirat yang amat berat (penderitaannya kepada orang-orang yang tidak bertaqwa).}- kenapa mereka menjadi begitu tidak mahu beriman dan ingkar?

Kata ulama\’ ini kerana mereka cintakan dunia yang fana ini! Satu perkara yang cukup bahaya.

Ayat ini merupakan khabar dari Allah s.w.t bahawa punca seorang hamba itu tidak mahu cari keselamatan di akhirat ialah kerana mereka mahu nikmat kesenangan dunia yang segera.

Maka sesiapa yang membesarkan dunia, membelakangkan akhirat, maka akan dicela oleh Allah s.w.t!

  1. Ayat 28- {Kamilah yang menciptakan mereka serta menguatkan tulang sendi dan urat saraf mereka; (Kami berkuasa membinasakan mereka) dan apabila Kami kehendaki, Kami gantikan (mereka dengan) orang-orang yang serupa dengan mereka, dengan penggantian yang sebaik-baiknya.}- ayat ini celaan & ungkitan ke atas manusia yang Allah s.w.t cipta mereka dengan begitu baik tetapi mereka lupa daratan dengan kufur & ingkar lalu buat maksiat pula!

Allah s.w.t boleh mengungkit ke atas hamba-Nya supaya kita insaf & sedar diri!

Kata ulama\’: ibu bapa juga boleh mengungkit kepada anak mereka untuk menyedarkan mereka.

Jika orang lain mengungkit kebaikannya, akan hilang pahalanya!

Celaan juga kepada sesiapa yang tidak mengenang budi orang yang pernah buat baik kepadanya.

  1. Ayat 29- {Sesungguhnya (segala keterangan yang disebutkan) ini, menjadi peringatan (تَذْكِرَةٌۭ );}- ayat ini menjadi peringatan kepada kita & manusia ini amat perlukan peringatan!

Tazkirah amat penting bagi kehidupan manusia, selalulah dengar ceramah, kuliah dan seumpamanya yang dapat memberi & menambah ilmu.

Tetapi pilih-pilih kepada isi yang disampaikan – apakah dia cerita yang sahih atau hanya sekadar cerita Israiliyyat yang tiada sumber yang sahih yang dibawa untuk menyedapkan cerita.

Ayat-ayat (tanda) Allah s.w.t ada dua jenis:
i- ayat yang dibaca seperti ayat al-Quran ini. (آيات المقروءة)
ii- ayat-ayat atau tanda yang dapat dilihat dan disaksikan! (الآيات المنظورة)

  1. Ayat 30- {Dan tiadalah kamu berkemahuan (melakukan sesuatu perkara) melainkan dengan cara yang dikehendaki Allah;} Allah kata apa yang kamu hendak tak akan terjadi kecuali dengan kehendak & kuasa Allah s.w.t.

Ulama\’ tafsir kata ayat ini mngisbatkan dua kehendak, kehendak manusia & kehendak Allah s.w.t.

Kehendak Allah s.w.t ada dua jenis:
i- kehendak Kauniyyah- Allah tetapkan sesuatu sedemikian, sudah tidak akan berubah lagi, seperti Firaun & Abu Lahab yang kafir & Abu Bakar yang beriman!

ii- iradah Syar\’iyyah- Allah mahu semua hamba-Nya beriman & jadi baik. Tetapi kehendak yang terjadi sebaliknya.

Kita ini mengikut semua yang dikehendaki oleh Allah s.w.t, tetapi kita diberi akal untuk memilih mana yang baik & mana yang buruk!

Ayat ini menunjukkan bahawa manusia itu ada kehendak bukan sebagaimana pegangan mazhab Qadariyyah yang mengatakan manusia ini buat rancangan kemudian dia sendiri yang melaksanakannya.

Mazhab Ahli Sunnah kata tidak, kita ini semuanya apa yang dikehendaki Allah s.w.t, tetapi kerana kita ada akal maka kita boleh pilih mana yang baik & mana yang buruk.

Setiap ayat yang datang tentang kehendak Allah, akan dibawa hikmahnya pula selepas itu, dikaitkan dengan kebijaksanaan Allah s.w.t!

Contoh ayat kita ini:
Ayat 30- {Dan tiadalah kamu berkemahuan (melakukan sesuatu perkara) melainkan dengan cara yang dikehendaki Allah; sesungguhnya Allah adalah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana.}

Semua perkara yang berkait dengan perbuatan Allah s.w.t & bergantung dengan kehendak-Nya akan bergantung dengan hikmah, kerana semua yang Allah buat & tetapkan tiada yang sia-sia dan tidak faedah.

Ini penting kita untuk faham & pegang jika kita tidak kita akan berasa apa yang manusia buat & rancang lebih baik daripada ketetapan Allah Azza wa Jalla.

Untuk melihat hikmah & sebab hukum Syariah boleh baca buku ini, semoga terjawab segala pertanyaan yang berlegar dalam fikiran:
Keindahan Islam.
https://dartaibah.com/ ATAU https://dartaibah.com/?page_id=179#!/Keindahan-Islam-Cetakan-Baru/p/10311704/category=0

  1. Ayat 31- {dan orang-orang yang zalim, Ia menyediakan untuk mereka azab seksa yang tidak terperi sakitnya.}- apa yang kita mahu di sini ialah kalimah { أَعَدَّ لَهُمْ} iaitu Allah sudah sediakan – bagi orang kafir azab neraka.

Yakni segalanya sudah tertulis bahawa semuanya telah ditetapkan, orang kafir akan masuk neraka, orang mukmin masuk syurga!

Sudah termaktub di Lauh Mahfuz, pena sudah menulis, dakwat sudah kering, tunggu sajalah perlaksanannya. Semua itu berlaku dengan kehendak Allah s.w.t!

Alhamdulillah pada hari ini tamatlah kita siri kuliah tafsir surah al-Insan, surah yang dianjurkan pada pagi Jumaat, yang berkait dengan kehidupan, hukuman & tentang hari Kiamat.

Semoga kita dapat manfaat & kefahaman dari tadabbur ini dan beramal dengan segala perintah-Mu ya Allah.

YA Allah semoga kami dan semua orang yang kami sayangi tersenarai sebagai orang selamat dari neraka, dapat beribadat pada malam Lailatul Qadar dengan keimanan & perngharapan serta diterima segala amal ibadatnya.

Akhirkan Ramadhan kami ini dengan segala amalan baik dikabulkan.

Hari ini hari Jumaat, jangan lupa:
i- baca surah al-Kahfi
ii- perbanyakkan selawat ke atas Rasulullah s.a.w.

Powered by BetterDocs