SURAH AL-FAJR : AYAT 21-30

\"\"

HURU HARA KIAMAT, PENYESALAN TIDAK BERGUNA & KEGEMBIRAAN BAGI ORANG MUKMIN.

Full video : https://youtu.be/fK4mPaHHtfs?si=jwniB3StEJCQCzX2

MUQADDIMAH :

  1. Dalam siri ini Allah s.w.t gambarkan kepada kita tentang huru hara hari kiamat, sehinggalah Allah s.w.t datang menyelesaikan masalah hamba-Nya, putuskan hukuman antara hamba-Nya ada yang ke syurga ada yang ke neraka, na\’uzubillah.
  2. Pada ketika itulah manusia mula menyesal, ingat apa yang berlaku atas dunia dulu- orang dakwah dia tolak, orang nasihat dia ingkar, orang beriman dia kufur, orang beribadat dia buat maksiat; maka barulah rasa menyesal tetapi penyesalan tidak berguna lagi!
    { وَأَنَّىٰ لَهُ ٱلذِّكْرَىٰ}
  3. Allah juga ceritakan pada hari itu kegembiraan bagi orang mukmin, jiwa yang mendapat ketenangan dunia & akhirat.
  4. Munasabah ayat:
    i- dalam ayat yang lepas Allah s.w.t sebut tentang azab dunia- tentang kebinasaan tiga ikon yang jahat atas dunia lagi iaitu kaum Ad, Thamud & Firaun yang ingkar durhaka.

ii- ayat-ayat ini adalah tentang azab di akhirat pula, jika ada yang terlepas di dunia- azab akhirat tetap menunggu!

Maka Allah larang kamu daripada bersikap buruk sedemikian.
Allah juga peringatkan bahawa azab tidak pilih masa, orang dahulu & kemudian semuanya akan kena hukum Allah!

AYAT 21- {JANGAN SEKALI-KALI BERSIKAP DEMIKIAN! (SEBENARNYA) APABILA BUMI (DIHANCURKAN SEGALA YANG ADA DI ATASNYA DAN) DIRATAKAN SERATA-RATANYA,} (AL-FAJR 89:21)

  1. Jangan sekali-kali kamu bersikap demikian; ini adalah ayat herdik agar tidak bersikap sebagaimana dalam ayat yang lepas!
  2. Sifat yang disebut iaitu apabila senang tidak bersyukur bahkan sombong takabbur, apabila susah tidak sabar & keluh kesah!

Mereka juga tidak beri hak anak yatim, tidak beri sedekah kepada orang miskin serta makan harta tanpa hak, sukakan harta melampaui batas!

Maka datanglah ayat ini, tengking jerkah- jangan kamu buat begini!

  1. Ingat juga apabila berlaku hari Kiamat nanti; bumi ini dihancur & diratakan { ٱلْأَرْضُ دَكًّۭا دَكًّۭا}! Tidak ada pokok apatah lagi bukit-bukau seperti sekarang!

AYAT 22- {DAN (PERINTAH) TUHANMU PUN DATANG, SEDANG MALAIKAT BERBARIS-BARIS (SIAP SEDIA MENJALANKAN PERINTAH),} (AL-FAJR 89:22)

  1. Pada hari Kiamat itu Allah s.w.t datang dengan kemuliaan-Nya, dengan sifat-Nya yang khas bukan seperti manusia yang kita dapat gambarkan.
    Datangnya Allah s.w.t dengan sifat-Nya yang selayak baginya-bukan seperti makhluk ini adalah tafsiran ulama\’ salaf (terdahulu).
  2. Ulama\’ terkemudian (khalaf) tidak mahu fikir banyak lalu mereka mentakwil dengan mengatakan datangnya perintah Allah s.w.t!
  3. Jika kita boleh terima sifat Allah bahawa Allah boleh mendengar, melihat & berkata-kata tanpa mentakwilnya, maka mengapa kita tidak boleh terima sifat-sifat lain yang Allah sebut sendiri.
    Tetapi terpaksa mentakwilkannya pula?
  4. Kata Ibnu Kathir rhm.: Peristiwa ini berlaku setelah manusia berarak mencari orang yang dapat memberi syafaat kepada mereka!

Mereka berjumpa dengan Nabi Adam a.s manusia pertama yang pertama, dia menolaknya, lalu mereka pergi ke Nuh, kemudian Ibrahim, Musa & Isa a.s- semuanya menolak dengan mengatakan mereka tidak layak untuk memberi syafa\’at kerana mereka ada kesalahan & dosa.

Akhirnya mereka bertemu dengan Rasulullah s.a.w yang menerima dan mengatakan akulah orangnya yang dapat menyelesaikan masalah kamu ini!

انا لها انا لها

Lalu Rasulullah s.a.w bersujud kepada Allah s.w.t di bawah Arasy, memuji Allah s.w.t dan meminta kuasa syafaat yang kita semua doakan selepas azan
(وَابْعَثْهُ مَقَامًا مَحْمُودًا الَّذِي وَعَدْتَهُ،).
Maka Rasulullah s.a.w menyelesaikan masalah umatnya & manusia seluruhnya dengan kuasa syafa\’atnya yang besar yang Allah kurniakan kepada Baginda s.a.w!
[Ringkasan HR Bukhari & Muslim].

5. Para malaikat datang dengan bersaf-saf dalam barisan yang tersusun, siap sedia menjalankan perintah Allah s.w.t!

6. Banyak juga ayat-ayat lain yang menyebut tentang perkara ini (ayat sifat yang menunjukkan kepada kedudukan Allah s.w.t):
{(Orang-orang yang ingkar itu) tidak menunggu melainkan kedatangan Allah kepada mereka dalam lindungan-lindungan awan, bersama-sama dengan malaikat (yang menjalankannya), padahal telahpun diputuskan perkara itu (balasan azab yang menimpa mereka); dan kepada Allah jua kembalinya segala urusan.} (Al-Baqarah 2:210)

7. Ini adalah ayat-ayat sifat Allah s.w.t yang disebut sendiri oleh Allah s.w.t & Rasulullah s.a.w- maka kita menerimanya dengan beriman Allah bersifat demikian serta dalam masa yang bersama ingat bahawa tiada sesuatupun yang menyerupai Allah s.w.t!
{لَيْسَ كَمِثْلِهِۦ شَىْءٌۭ}.

Kumpulan Jahmiyyah yang pertamanya menolak & memandulkan ayat-ayat sifat Allah s.w.t ini!

AYAT 23- {SERTA DIPERLIHATKAN NERAKA JAHANNAM PADA HARI ITU, (MAKA) PADA SAAT ITU MANUSIA AKAN INGAT (HENDAK BERLAKU BAIK), DAN BAGAIMANA INGATAN ITU AKAN BERGUNA LAGI KEPADANYA?} (AL-FAJR 89:23)

  1. Pada hari itu neraka Jahannam telah dinyalakan apinya dan diperlihatkan kepada manusia yang akan masuk ke dalamnya!
  2. Firman Allah s.w.t:
    (Mereka bukan sahaja mendustakanmu) bahkan mereka juga mendustakan hari kiamat; dan Kami telah sediakan bagi sesiapa yang mendustakan hari kiamat itu, api yang menjulang-julang.
    Apabila neraka itu melihat mereka dari tempat yang jauh, kedengaranlah mereka suara marahnya yang menggelegak dan mengeluh.} (Al-Furqaan 25: 11-12)
  3. Hadis- sabda Rasulullah s.a.w:

يُؤتى بالنارِ يومَ القيامةِ لها سبعون ألفَ زمامٍ مع كلِّ زمامٍ سبعون ألفَ ملَكٍ يجرُّونَها

\”Neraka (Jahannam) pada hari kiamat akan didatangkan, ia memiliki 70,000 tali. Pada setiap talinya terdapat 70,000 malaikat yang menariknya\” (HR. Muslim no: 2842).

  1. Maka pada hari itu barulah mereka ingat untuk buat kebaikan dan beramal soleh!
    Jika orang kafir baru teringat untuk beriman!
    Tetapi apa guna lagi penyesalan pada hari itu! Penyesalan yang terlambat & tiada gunanya lagi!
  2. Kata ulama\’ tafsir: Mereka teringat akan perbuatan mereka atas dunia dulu, maksiat & kejahatan yang dia buat dulu, ingat akan masanya yang tidak dipenuhi dengan ibadat sebaiknya!
    Orang kafir ingat akan perbuatan syiriknya.
    Tetapi Allah kata tiada guna lagi penyesalan pada hari itu!
  3. Maka marilah kita menyesal sekarang semasa hidup ini sebelum terlambat!
    Apa yang kita terlepas pada peringkat awal kita perbetulkannya sekarang sebelum terlambat!
  4. Marilah kita mengingati Allah s.w.t setiap masa, perbaiki hidup kita, tingkatkan amal soleh & ibadat kita.

Semoga Allah s.w.t matikan kita dalam husnul-khatimah, dalam kita belajar, tadabbur al-Quran, berulang balik ke masjid & menyesal akan dosa-doa yang lepas lalu beristighfar memohon ampun dari Allah!

AYAT 24- {IA AKAN BERKATA: \”ALANGKAH BAIKNYA KALAU AKU DAHULU SEDIAKAN AMAL-AMAL BAIK UNTUK HIDUPKU (DI SINI)!\”} (AL-FAJR 89:24)

  1. Mereka penuh penyesalan di akhirat dan berkata: \”Alangkah baiknya kalau aku dahulu sediakan amal-amal baik untuk hidupku di sini!\”
  2. Tetapi tiada guna lagi!
    Sekarang inilah jika kita nak jadi baik, perbaiki apa yang rosak & terlepas dulu.

Inilah yang kita nak bawa supaya kita terus beribadat kepada Allah s.w.t dengan amalan & ibadat yang sahih datang dari Rasulullah s.a.w!

Kita tidak mahu menjadi golongan yang dihalau dari kolam nabi s.a.w kelak kerana menambah ibadat yang tidak diajar oleh Rasulullah s.a.w!

  1. Firman Allah s.w.t lagi tentang penyesalan yang tidak berguna ini:
    i- {Sesungguhnya telah rugilah orang-orang yang mendustakan pertemuan mengadap Allah; sehingga apabila hari kiamat datang secara mengejut kepada mereka, mereka berkata; \”Aduhai kesalnya kami atas apa yang telah kami cuaikan dalam dunia!\” Sambil mereka memikul dosa-dosa mereka di atas belakang mereka. Ingatlah, amatlah buruk apa yang mereka pikul itu.} (Al-An\’aam 6:31)

ii- {Dan (ingatkanlah) perihal hari orang-orang yang zalim menggigit kedua-dua tangannya (marahkan dirinya sendiri) sambil berkata: \”Alangkah baiknya kalau aku (di dunia dahulu) mengambil jalan yang benar bersama-sama Rasul?} (Al-Furqaan 25:27)

Rasul sudah tiada tetapi kita masih ada pendakwah & pencinta ilmu yang ikut al-Quran & Sunnah Rasulullah s.a.w!

AYAT 25- {MAKA PADA HARI ITU TIADA SESIAPAPUN YANG DAPAT MENYEKSA SEPERTI AZAB (YANG DITIMPAKAN OLEH) ALLAH.} (AL-FAJR 89:25)

  1. Pada hari Kiamat kelak tiada siapa yang dapat memberi azab sebagaimana azab yang Allah timpakan.
    Tiada siapa boleh banding & buat seperti itu- azab di dunia kita rasa sudah dahsyat tetapi azab neraka tidak terbanding!
  2. Firman Allah s.w.t:
    {Maka Allah akan menyeksanya dengan azab seksa yang sebesar-besarnya.} (Al-Ghaasyiyah 88:24)

AYAT 26- {DAN TIADA SESIAPAPUN YANG DAPAT MENGIKAT SERTA MEMBELENGGU SEPERTI IKATAN DAN BELENGGUNYA.} (AL-FAJR 89:26)

  1. Ikatan serta belenggu yang Allah sediakan di dalam neraka bagi orang kafir & derhaka ini juga tidak dibandingkan & digambarkan kedahsyatannya!
  2. Firman Allah s.w.t:
    {(Dalam pada itu), sesungguhnya Kami telah menyediakan bagi sesiapa yang berlaku kufur (atau menderhaka): beberapa rantai dan belenggu serta neraka yang menjulang-julang.} (Al-Insaan 76:4)

AYAT 27- {(SETELAH MENERANGKAN AKIBAT ORANG-ORANG YANG TIDAK MENGHIRAUKAN AKHIRAT, TUHAN MENYATAKAN BAHAWA ORANG-ORANG YANG BERIMAN DAN BERAMAL SOLEH AKAN DISAMBUT DENGAN KATA-KATA): \”WAHAI ORANG YANG MEMPUNYAI JIWA YANG SENTIASA TENANG TETAP DENGAN KEPERCAYAAN DAN BAWAAN BAIKNYA!} (AL-FAJR 89:27)

  1. Allah menyeru pula kepada orang mukmin: Wahai jiwa yang tenang { ٱلنَّفْسُ ٱلْمُطْمَئِنَّةُ} iaitu orang yang beriman dengan Allah s.w.t, yakin dengan janji & beramal soleh.
  2. Ulama\’ kata ada dua pandangan tentang kata ini samada:
    i- malaikat datang berbisik ke telinga orang beriman semasa mereka nak mati.
    *Kisah penuh sebagaimana dalam hadis al-Bara\’ bin Azib r.a yang panjang sebelum ini!

ii- Allah katakan kepada hamba-Nya di akhirat kelak. Sambutan kepada mereka lalu dikatakan lagi kepada mereka seperti tiga ayat berikut ini.

AYAT 28- {\”KEMBALILAH KEPADA TUHANMU DENGAN KEADAAN ENGKAU BERPUAS HATI (DENGAN SEGALA NIKMAT YANG DIBERIKAN) LAGI DIREDHAI (DI SISI TUHANMU)!} (AL-FAJR 89:28)

AYAT 29- {\”SERTA MASUKLAH ENGKAU DALAM KUMPULAN HAMBA-HAMBAKU YANG BERBAHAGIA.} (AL-FAJR 89:29)

AYAT 30- {\”DAN MASUKLAH KE DALAM SYURGAKU!\”} (AL-FAJR 89:30)

  1. Allah akan menyeru hambanya yang soleh serta menjamin bahawa:
    i- mereka akan kembali kepada Allah dalam keadaan puas hati, Dia pula redha kepada mereka.

ii- mereka akan berada dalam kumpulan hamba-hamba Allah yang berbahagia.

iii- akhirnya mereka akan masuk ke dalam Syurga Allah!

  1. Firman Allah s.w.t:
    {Dan sesiapa yang taat kepada Allah dan RasulNya, maka mereka akan (ditempatkan di syurga) bersama-sama orang-orang yang telah dikurniakan nikmat oleh Allah kepada mereka, iaitu Nabi-nabi, dan orang-orang Siddiqiin, dan orang-orang yang Syahid, serta orang-orang yang soleh. Dan amatlah eloknya mereka itu menjadi teman rakan (kepada orang-orang yang taat).} (An-Nisaa\’ 4:69)
  2. Dalam hadis riwayat Anas r.a, Nabi s.a.w bersabda:

أَنْتَ مَعَ مَنْ أَحْبَبْتَ

Ertinya: \”Engkau (akan dibangkitkan) bersama orang (atau golongan) yang engkau cintai.\” [HR Bukhari & Muslim].

PENUTUP & FAEDAH :

  1. Ayat 21- {Jangan sekali-kali bersikap demikian! (Sebenarnya) apabila bumi (dihancurkan segala yang ada di atasnya dan) diratakan serata-ratanya,}- ini adalah ayat jerkahan- ayat bantahan kepada fahaman silap!

Allah telah sebut kefahaman mereka itu dalam ayat-ayat yang lepas- ia juga mengingkari perbuatan mereka yang sesat & salah!

Kemudian Allah kata pada hari Kiamat, bumi ini akan diratakan
{دكًّۭا دَكًّۭا}-
iaitu terhampar luas sejauh mata memandang pada hari Kiamat nanti!
Ini adalah ayat ta\’kid- hancur sehancurnya!

  1. Ayat 22- {Dan (perintah) Tuhanmu pun datang, sedang malaikat berbaris-baris (siap sedia menjalankan perintah),}- apabila Allah datang (muncul) pada hari Kiamat kelak serta malaikat juga datang dalam saf-saf yang tersusun!

Kata ulama\’ tadabbur kaedah dalam kita memahami nama-nama & sifat Allah s.w.t:

Apabila Allah sandarkan sesuatu sifat atau perbuatan kepada-Nya; maka ia adalah untuk DIA- kita serahkannya kepada Allah s.w.t untuk bersifat & berbuat dengan sifat & perbuatan yang layak baginya!
Rasulullah s.a.w juga tidak menyebut huraian lain!

Ayat ini juga menjadi hujjah ke atas golongan muktazilah yang menakwilkan ayat dan bawa lari jauh maknanya.

Sebagaimana firman Allah s.w.t dalam surah al-Baqarah ayat [210] di atas.

Timbul persolan juga dalam ayat ini seolah hanya satu malaikat {وَٱلْمَلَكُ} saja yang datang?

Jawapan: Kata ulama\’ ini menunjukkan malaikat-malaikat ini banyak jenisnya dan mereka duduk dalam saf-saf (barisan) mereka yang teratur dan tersusun dan penuh disiplin!

  1. Ayat 27- {\”Wahai orang yang mempunyai jiwa yang sentiasa tenang tetap dengan kepercayaan dan bawaan baiknya!}- wahai roh yang tenang!

Kata ulama\’ apabila disebut { ٱلنَّفْسُ} dalam al-Quran ia bermaksud roh- maka dalam ayat ini:
i- Allah s.w.t seru roh orang yang beriman & baik, roh yang diredhai Allah s.w.t!

ii- Malaikat menyeru roh orang beriman yang mahu mati, untuk keluar dengan tenang, dalam keadaan Allah s.w.t redha!

  1. Ayat 24- {Ia akan berkata: \”Alangkah baiknya kalau aku dahulu sediakan amal-amal baik untuk hidupku (di sini)!\”}- orang kafir & cuai menyesal dan berkata alangkah baiknya jika dulu mereka bersedia dengan membuat amal kebaikan semasa hidup dulu!

Kata ulama\’ tadabbur; ayat ini menjadi dalil bahawa kehidupan yang betul-betul kita kena buat persiapan & bersedia untuknya hanyalah kehidupan di akhirat kelak!
Maka semasa hidup ini kita kena betul-betul berusaha, beramal soleh, beribadat kepada Allah s.w.t sebaiknya untuk bekalan di akhirat kelak!

Ulama\’ juga kata ciri-ciri kehidupan yang baik & kekal abadi itu ialah:
i- Tiada kesusahan- semuanya penuh nikmat & kebahagiaan.

ii- kekal abadi. Bukan sementara & akan musnah seperti dunia ini!

Jika panjang setara manapun umur kita, kita tetap akan mati juga!
Akan tetap meninggalkan dunia ini, pergi untuk menemui Allah s.w.t!
Maka mantapakan ilmu agama & perelokkan ibadat kita!

  1. Ayat 29- {\”Serta masuklah engkau dalam kumpulan hamba-hambaku yang berbahagia.} & Ayat 30- {\”Dan masuklah ke dalam SyurgaKu!\”}- Allah dinisbahkan kumpulan hamba-Ku & Syurga-Ku { فِى عِبَـٰدِى} & {جَنَّتِى} kepada zat-Nya yang mulia!

Apabila Allah s.w.t nisbahkan sesuatu itu kepada zat-Nya yang mulia, maka ia juga menunjukkan mulianya juga perkara itu- semua yang Allah sandarkan kepada-Nya adalah mulia!

Allah mahu kita ambil berat & jaga betul-betul; Maka kita berusahalah sebaik mungkin untuk menjadi manusia yang terbaik, hamba yang soleh agar malaikat datang pada saat kematian kita dengan penuh rahmat & lemah-lembut!

Alhamdulillah tamatlah kita tafsir ringkas surah al-Fajr ini!

Semoga kita mendapat manfaat darinya, menjadi orang yang beriman & soleh yg diredhai Allah s.w.t.

Powered by BetterDocs