SURAH AT-TUR : AYAT 37-43

\"\"

BEBERAPA PERTANYAAN KEPADA GOLONGAN KAFIR TENTANG KEKUASAAN ALLAH UNTUK MEREKA BERFIKIR & SUCIKAN ALLAH DARI SEBARANG SYIRIK.

Full video : https://youtu.be/eOl9EZzPpxE

MUQADDIMAH :

  1. Dalam siri ini Allah s.w.t membawa beberapa Pertanyaan (أَمۡ) Kepada Golongan Kafir. Ini adalah termasuk dalam 15 soalan (أَمۡ) yang Allah s.w.t tanya kepada puak kafir dalam surah ini.
  2. Allah tanya Tentang Kekuasaan Allah Untuk Mereka Berfikir mudah-mudahan akan terbuka hati mereka untuk menerima kebenaran.
  3. Serta perintah agar sucikan Allah Dari Sebarang Syirik dan tuduhan jahat puak kafir terhadap-Nya serta tuduhan jahat terhadap Rasulullah s.a.w.
  4. Munasabah ayat: Dalam ayat yang lepas Allah s.w.t telah nafikan bahawa mereka ada kuasa untuk memutuskan sesuatu perkara! Lalu Allah s.w.t minta pula jika mereka ada maklumat & hujjah yang benar maka bawakannya!

AYAT 37- {ADAKAH PADA TANGAN MEREKA PERBENDAHARAAN TUHANMU (SEHINGGA MEREKA BOLEH MEMBERI ATAU MENAHAN SESUATU NIKMAT ATAU PANGKAT), ATAU MEREKALAH YANG BERKUASA MENTADBIRKAN SEGALA-GALANYA?} (AT-TUUR 52:37)


1. Allah s.w.t bertanya kepada puak kafir itu adakah di sisi mereka gedung perbendaharaan Tuhanmu?

  1. Kata ulama\’ makna Gedung perbendaharaan Tuhanmu (خَزَآئِنُ رَبِّكَ) ini ialah:
    i- Gedung rezeki.
    ii- gedung rahmat- ini Allah berikan kepada sesiapa yang Dia mahu.
    iii- gedung Kenabian, siapa yang Allah pilih dan lantik.
    iv- Umum- Semua benda dari anugerah nikmat Allah s.w.t seperti rezeki harta, kesihatan anak pinak dan lain-lain.
  2. Apakah mereka ada kuasa untuk mentadbir dan mengguruskannya?
    Apakah mereka ada kuasa memberi atau menahan sesuatu nikmat yang akan diberikan Allah?
  3. Semua soalan ini tidak perlu kepada jawapan kerana sudah pasti semuanya TIDAK! Mereka tiada apa kuasa, mereka sendiri pun mendapat rezeki dari apa yang Allah s.w.t berikan.
  4. Hanya orang yang tidak kenal Nabi s.a.w yang berani membuat pelbagai tduhan ini! Begitu juga kita hari, walaupun kita tidak kenal orang itu, kita mudah-mudah membuat resolusi membuat tuduhan terhadapnya!

AYAT 38- {ADAKAH MEREKA MEMPUNYAI TANGGA (UNTUK NAIK KE LANGIT), YANG DENGANNYA MEREKA DAPAT MENDENGAR (APA YANG DIPERINTAHKAN DAN DITETAPKAN OLEH ALLAH? (JIKA ADA) MAKA BIARLAH ORANG MEREKA YANG MENDENGAR ITU MEMBAWA SESUATU BUKTI YANG MENYATAKAN KEBENARANNYA.} (AT-TUUR 52:38)

  1. Allah s.w.t tanya lagi apakah mereka ada tangga untuk naik ke langit mencuri dengar perbualan malaikat tentang arahan Allah s.w.t kepada mereka.
  2. Maka siapa yang katakan bahawa dia dengar orang kata, maka bawakan hujjahnya untuk menyatakan benarnya apa yang mereka dakwa itu!
  3. Manusia ini ada dua kategori:
    i- golongan ilmu & intelek, mereka yang berfikir dan bercakap dengan hujjah & fakta.
    Dengan dalil & maklumat yang bersandarkan kepada sumber yang kukuh seperti al-Quran & Hadis Nabi s.a.w. yang ditafsirkan oleh ulama\’ muktabar!

ii- golongan in-celik. Bila orang cakap apa-apa dia celik mata dan bertanya dengan penuh emosi dan lawan tanpa fakta!
Mereka ini tidak fikir dan buka mata, bahkan celik mata bila kita minta dalil dan hujjah yang berasas dari mereka pula.

Agama ini ada hujjah & fakta bukan sesuatu yang boleh direka & berdasarkan kepada sentiment semata, jangan asal ada orang kata terus diterima!

  1. Hadis Rasulullah s.a.w begitu jelas:
    تَرَكْتُكُمْ عَلَى الْبَيْضَاءِ لَيْلُهَا كَنَهَارِهَا لَا يَزِيغُ عَنْهَا بَعْدِي إِلَّا هَالِكٌ
    \”Aku tinggalkan kepada kamu dalam suatu keadaan terang-benderang (landasan yang jelas), siangnya seperti malamnya. Tidak ada yang berpaling dari keadaan tersebut kecuali dia pasti celaka.\” (HR. Ahmad)
  2. Yakni dalam ayat ini Allah s.w.t cabar dua perkara:
    i- jika kamu mengaku dengar maka bawakan hujjahnya!
    ii- jika setakat mengaku saja tidak boleh diterima!

AYAT 39- {ADILKAH (KAMU SEDIAKAN) BAGI ALLAH – ANAK-ANAK PEREMPUAN (YANG KAMU BENCI), DAN UNTUK KAMU – ANAK-ANAK LELAKI (YANG KAMU SUKAI)?} (AT-TUUR 52:39)

  1. Allah tanya lagi- apakah tergamak orang yang mempunyai akal fikiran yang tidak lemah; untuk berlaku tidak adil kepada Allah s.w.t? Pembahagian yang tidak adil dan tuduhan yang batil!
  2. Iaitu mereka mahu berbagi anak dengan Tuhan, mereka pilih & ambil anak lelaki manakala anak perempuan yang mereka tidak suka, mereka beri kepada Tuhan!
  3. Mereka mengatakan bahawa malaikat itu adalah anak perempuan Allah! Betapa buruknya tuduhan & sangkaan mereka itu!
  4. Firman Allah s.w.t juga:
    i- {Dan mereka mengatakan Allah mempunyai anak-anak perempuan. Maha Suci Ia. Sedang bagi mereka pula mereka sediakan apa yang mereka sukai (anak-anak lelaki).} (Al-Nahl 16:57)

ii- {(Oleh sebab ada di antara kaum musyrik Arab yang mendakwa bahawa malaikat itu anak-anak perempuan Allah) maka bertanyalah (wahai Muhammad) kepada mereka itu: Adilkah mereka membahagi untuk Tuhanmu anak-anak perempuan, dan untuk mereka anak-anak lelaki?
Atau adakah mereka hadir sendiri menyaksikan Kami mencipta malaikat-malaikat itu – perempuan?
Ketahuilah! Bahawa sesungguhnya, dengan sebab terpesongnya dari kebenaran, mereka berkata:
\”Allah beranak\”; sedang mereka, sesungguhnya adalah orang-orang yang berdusta!
(Patutkah kamu mendakwa bahawa Tuhan mempunyai anak, dan anak itu pula ialah anak-anak perempuan yang kamu tidak sukai?) Adakah Tuhan memilih serta mengutamakan anak-anak perempuan dari anak-anak lelaki (sedang kedua-dua jenis itu Dia lah yang menciptakannya)?
Apa sudah jadi kamu?
Bagaimana kamu menetapkan hukum (yang terang-terang salahnya itu)?
Setelah ditegur, maka tidakkah kamu mahu berusaha mengingatkan (bahawa Allah mustahil bagiNya anak-pinak)?} (As-Saaffaat 37: 149-155)

AYAT 40- {PERNAHKAH ENGKAU (WAHAI MUHAMMAD) MEMINTA SEBARANG BAYARAN KEPADA MEREKA (MENGENAI AJARAN ISLAM YANG ENGKAU SAMPAIKAN), LALU MEREKA MERASA BERAT MENANGGUNG BAYARAN ITU (SEHINGGA MENJAUHKAN DIRI DARIPADA MENYAHUT SERUANMU)?} (AT-TUUR 52:40)

  1. Allah s.w.t bertanya lagi kepada mereka apakah Rasulullah s.a.w meminta daripada mereka puak kafir, bayaran yang memberat & menyusahkan mereka atas dakwahnya itu?
  2. Munasabah ayat: Allah s.w.t telah menafikan cara mereka menerima ilmu sebelum ini, sebagaimana dakwaan mereka yang mendapatnya sekian-sekiannya, kononnya mereka dengar dari langit dan seumpamanya.

Maka Allah s.w.t batalkan pula dakwaan mereka yang kononnya, kenapa mereka tidak mahu menerima dakwah Nabi s.a.w kerana ada bayaran! Allah tanya adakah kamu minta harta atau bayaran kepada dakwah ini?
Pastilah Rasulullah s.a.w TIDAK PERNAH memintanya.

  1. Firman Allah s.w.t:
    i- {Padahal engkau tidak meminta kepada mereka sebarang upah tentang ajaran Al-Quran, sedang Al-Quran itu tidak lain hanyalah peringatan dan pengajaran dari Allah bagi umat manusia seluruhnya.} (Yusuf 12:104)

ii- {Katakanlah (wahai Muhammad): \”Aku tidak meminta kepada kamu sebarang bayaran kerana menyampaikan ajaran Al-Quran ini, dan bukanlah aku dari orang-orang yang mengada-ngada \”.} (Saad 38:86)

  1. Masalah tentang minta upah ini adalah satu masalah besar. kerana itu Allah s.w.t ulangnya beberapa kali dalam al-Quran, bila sebut tentang dakwah Nabi s.a.w Allah nafikan bahawa ia minta upah!
  2. Maka kita para pendakwah berhati-hati dan beringatlah, jangan berdakwah semata-mata kerana upah tetapi kerana Allah.
    Duit minyak dan perjalanan boleh diambil tetapi jangan terlalu letak harga untuk masa Kuliah kita.
    Sedangkan isi kuliah & ceramah; tidak banyak ilmu & pengajaran yang disampaikan kepada masyarakat kecuali gelak ketawa & jenaka! Hadis-hadis tidak ditapis sumbernya, yang dhaif & palsu semua disapu dan digunakan!

AYAT 41- {ADAKAH PADA SISI MEREKA (LAUH MAHFUZ YANG MENGANDUNGI) PERKARA-PERKARA YANG GHAIB, LALU MEREKA MENYALIN (DARIPADANYA UNTUK MENENTANG AJARAN DAN PERINGATANMU)?} (AT-TUUR 52:41)

  1. Allah tanya lagi apakah mereka ada ilmu ghaib sehingga dapat tahu rahsia-rahsia di Lauh Mahfuz?? Yakni rahsia apa yang telah Allah tetapkan dari segi qadha\’ & qadar.
  2. Munasabah ayat: Setelah Allah s.w.t menolak keingkaran mereka tentang Islam, seolah mereka berat hati kerana Rasulullah s.a.w minta upah! Maka Allah s.w.t bawa ayat apakah mereka tahu benda ghaib, apakah mereka ada ilmu yang dapat tahu apa yang orang lain tidak tahu; sehingga mereka berani membuat tuduhan itu ini?
  3. Jawapannya pastilah TIDAK juga! Maka apakah yang mereka mahu sebenarnya??? Jawapannya dalam ayat seterusnya ini.

AYAT 42- {(MEREKA TIDAK CUKUP DENGAN KATA-KATA DAN TUDUHAN-TUDUHAN YANG BURUK SAHAJA) BAHKAN MEREKA HENDAK MELAKUKAN RANCANGAN JAHAT (TERHADAPMU WAHAI MUHAMMAD; TETAPI MEREKA TIDAK AKAN BERJAYA) KERANA ORANG-ORANG YANG KAFIR ITULAH YANG AKAN DITIMPA BALASAN RANCANGAN JAHATNYA.} (AT-TUUR 52:42)

  1. Setelah Allah s.w.t membatalkan dakwaan dan hujjah mereka, di mana mereka akhirnya kata mereka mahu tunggu Nabi s.a.w mati saja. Sedangkan mereka tidak ada ilmu ghaib yang boleh tahu siapa yang akan mati dulu! samada mereka atau Rasulullah s.a.w yang mati dulu tiada siapa yang tahu!
  2. Mereka sebenarnya mahu melakukan rancangan jahat terhadap Nabi Muhammad s.a.w, setelah kata-kata fitnah & tuduhan jahat mereka tidak berjaya. Mereka mahu melakukan tindakan buruk pula terhadap Baginda s.a.w!
  3. Tetapi pastilah mereka tidak akan berjaya kerana Allah s.w.t akan menggagalkannya dan memelihara Rasulullah s.a.w!
    Bahkan bala tipu daya & rancangan jahat yang mereka buat itu akan kembali balik menimpa mereka sendiri!

AYAT 43- {(APABILA DATANGNYA BALASAN RANCANGAN JAHAT ITU MAKA) ADAKAH BAGI MEREKA TUHAN (YANG DAPAT MENYELAMATKAN MEREKA) SELAIN DARI ALLAH? MAHA SUCI ALLAH DARI APA YANG MEREKA SEKUTUKAN ITU.} (AT-TUUR 52:43)

  1. Apabila bala tipu daya & rancangan jahat itu menimpa mereka; apakah ada Tuhan lain selain dari Allah yang dapat menyelamatkan mereka?
  2. Pastilah tiada, kerana segala tuhan dan sembahan yang mereka buat & reka-reka itu hanyalah satu ciptaan yang lemah dan tiada kuasa pun untuk menolong mereka.
  3. Begitulah apabila mereka membuat sesuatu tuduhan yang tidak menggunakan akal yang waras dan bukti yang kukuh, ianya akan kembali mengena dan membinasakan mereka!
  4. Kita meminta pertolongan Allah s.w.t untuk mematahkan hujjah puak kafir ini yang masih terumbang-ambing dalam kesesatan yang nyata. Apabila mereka membuat tuduhan yang tanpa hujjah yang tidak boleh diterima oleh akal yang waras apatah lagi oleh ajaran yang benar! الله المستعان

PENUTUP/BEBERAPA FAEDAH RINGKAS :

  1. Ayat 37- {Adakah pada tangan mereka perbendaharaan Tuhanmu (sehingga mereka boleh memberi atau menahan sesuatu nikmat atau pangkat), atau merekalah yang berkuasa mentadbirkan segala-galanya?}- ulama\’ tadabbur kata Allah s.w.t buat perbandingan KUASA itu dengan gedung harta perbendaharaan. Ini kerana bila kata gedung ia bererti satu binaan/rumah yang dibina untuk menyimpan harta yang berharga.

i- Jadi Allah s.w.t bandingkan kekuasaan Dia sebagai pemilik dunia ini sebagai pemilik gedung harta. Allah s.w.t itu pemilik alam ini sebagaiman firman-Nya:
{Segala puji tertentu bagi Allah, Tuhan yang Memelihara dan Mentadbirkan sekalian alam.} (Al-Faatihah 1:2)

iii- Ayat-ayat ini adalah berdalil dengan penafian kepada golongan kafir itu bahawa mereka tiada kuasa! Kerana jelasnya hujjah itu seperti rumah api yang menjadi pedoman bagi kapal di lautan! Mereka tiada kuasa seperti Allah, soalan yang tidak perlu dijawab kerana manusia ini tidak boleh lari dari apa yang ditetapkan oleh Allah s.w.t!

  1. Ayat 38- {Adakah mereka mempunyai tangga (untuk naik ke langit),}- Soalan ini juga hanya perlian, ada tangga atau tidak hakikatnya mereka memang tidak akan boleh naik ke langit! Tidak ada siapa yang boleh naik ke langit.

i- menafikan adanya tangga untuk menunjukkan penafain yang lebih kuat bahawa mereka tidak boleh naik!

ii- nak naik pun tak boleh, jadi macamana mereka boleh dengar rahsia Allah di Lauh Mahfuz! Hatta kalu boleh naik pun tak semestinya akan boleh dengar.

iii- jadi bagi mereka yang mengaku dengar itu Allah s.w.t cabar untuk bawa dalil dan bukti yang jelas, kita tidak tidak perlu bercakap!

  1. Ayat 39- {Adilkah (kamu sediakan) bagi Allah – anak-anak perempuan (yang kamu benci), dan untuk kamu – anak-anak lelaki (yang kamu sukai)?}- soalan (أَمۡ) ini juga satu isyarat untuk menafikan syirik kepada Allah s.w.t!
    i- Allah s.w.t itu tidak ada ada anak, baik lelaki mahupun perempuan! Maka dinafikan terus secara total. Tuduhan yang mereka lemparkan itu adalah batil!

ii- Allah s.w.t Yang Maha Kuasa tidak perlukan semua itu! Hanya orang yang lemah saja perlu bantuan, berbagi kuasa atau berkongsi pemerintahan.

Seperti manusia yang perlukan ibu bapa semasa kecil, kemudian kepada pasangan, kemudian ibu bapa yang sudah tua memerlukan anak cucu pula membantu!

Allah s.w.t yang Maha Kuasa lagi Maha Perkasa tidak perlukan semua itu!

  1. Ayat 40- {Pernahkah engkau (wahai Muhammad) meminta sebarang bayaran kepada mereka (mengenai ajaran Islam yang engkau sampaikan), lalu mereka merasa berat menanggung bayaran itu (sehingga menjauhkan diri daripada menyahut seruanmu)?}- dalam ayat ini Allah s.w.t menyebut khas perkataan upah (أَجۡرٗا). Apakah faedahnya?

Jawapan: Setiap lafaz dalam al-Quran itu ada faedah samada kita tahu atau tidak. Tentang perkataan ini antaranya:

i- ia isyarat kepada apa yang Nabi s.a.w buat itu (dakwahnya) adalah untuk kemaslahatan umat manusia. Bukan untuk kepentingan dirinya sendiri! Bukan seperti kita manusia yang buat sesuatu dan ambil upah untuk kegunaan kita. Sedangkan dalam dakwah Rasulullah s.a.w, Baginda tidak fikir tentang upah, kerana Baginda diutuskan oleh Allah s.w.t untuk menyelamatkan manusia dari api neraka.

Seperti orang yang mahu menyelamatkan orang lemas, apakah dia akan minta upah dulu? Pasti dia tidak akan fikirkan tentang upah tapi terus beraksi untuk menyelamatkannya.

Maka para pendakwah dan asatizah semua ikhlaskan niat dan matlamat kita jangan sampai upah & duit menjadi keutamaan dalam berdakwah. Ambillah ikut keperluan dan kesesuaian dengan suasana.

  1. Ayat 43- {(Apabila datangnya balasan rancangan jahat itu maka) adakah bagi mereka Tuhan (yang dapat menyelamatkan mereka) selain dari Allah? Maha Suci Allah dari apa yang mereka sekutukan itu.}- dalam ayat ini Allah s.w.t dedahkan tembelang puak kafir dan memberi peringatan kepada orang beriman akan kelicikan dan perancangan jahat orang kafir! Mereka ada rancangan dan strategi khas untuk melawan orang Islam.
    Maka kita juga kena ada plan dan strategi, kena buat kerja dan usaha demi menninggikan Islam dan menyelamatkan umatnya.

Allah s.w.t kata tidak mengapa mereka semua akan terperangkap dengan kejahatan mereka sendiri. Tiada siapa yang akan dapat menyelamatkan mereka selain dari Allah s.w.t! Apa yang disusun oleh Allah s.w.t itulah yang terbaik.

Maha Suci Allah yang selamat dari segala apa yang:
i- Orang kafir tuduh dan sekutukan itu.

ii- Juga daripada kekeliruan yang ditimbulkan oleh sebahagian orang Islam juga, dia mahu minta dengan Allah, mahu sembah Allah, tetapi tersalah guna perantaraan, minta dengan syeikh itu, cari tok ini, yang boleh membawa kepada kekeliruan. Tidak perlu kita guna orang tengah untuk memohon dan menyembah Allah s.w.t.

Sedangkan Allah s.w.t telah berfirman:
{Dan apabila hamba-hamba-Ku bertanya kepadamu mengenai Aku maka (beritahu kepada mereka): sesungguhnya Aku (Allah) sentiasa hampir (kepada mereka); Aku perkenankan permohonan orang yang berdoa apabila ia berdoa kepadaKu. Maka hendaklah mereka menyahut seruanku (dengan mematuhi perintahKu), dan hendaklah mereka beriman kepadaKu supaya mereka menjadi baik serta betul.} (Al-Baqarah 2:186)

Allah dengan kita adalah dekat, kenapa kita sendiri nak menjauhkan diri dari Allah s.w.t!

Powered by BetterDocs