SURAH AR-RAHMAN : AYAT 26-30

\"\"

SEMUA MAKHLUK AKAN BINASA KECUALI ZAT ALLAH S.W.T & SETIAP MASA DALAM URUSAN PENTABIRANNYA.

Full video : https://youtu.be/_RPGz4NQuYo

MUQADDIMAH :

  1. Dalam siri ini Allah s.w.t menyatakan bahawa semua makhluk akan binasa, yang tinggal kekal hanyalah Zat Allah s.w.t.
  2. Kemudian Allah nyatakan semua makhluk ini berhajat kepada Allah s.w.t samada yang di langit dan yang di bumi.
  3. Setiap hari Allah melaksanakan segala perancangan yang telah ditulis sebelum diciptanya langit & bumi ini.
  4. Dalam siri hari ini terdapat dua soalan lagi tentang adakah nikmat Allah yang didustakan. Iaitu yang ketujuh & yang kelapan.
  5. Munasabah ayat:
    i- selepas Allah s.w.t menyebut nikmat-nikmat yang dianugerahkan kepada hamba-Nya di daratan, lautan & bumi, dinyatakan bahawa semua akan binasa tidak akan kekal. Walaupun kamu sangat menyayanginya, kerana dunia ini tempat meninggal bukan tempat tinggal yang kekal. Ia hanya pinjaman yang sementara, samada ia tinggalkan kita (dengan rosak) atau kita tinggalkan ia (dengan mati).

KATA ULAMA\’ :

Dunia ini seperti bayang yang dikejar! Tidak akan dapat selamanya!

ii- setelah Allah sebut dalam ayat 24- bahtera yang diangkat tinggi layarnya- Allah mahu nyatakan dalam ayat ini:
a- sebab-sebab keselamatan, perlu ikhtiar
b- sebab-sebab usaha untuk mencari rezeki.
c- Allah sifatkan kapal itu seperti bukit- menunjukkan besarnya nikmat Allah.
semua ini Allah permudahkan untuk manusia berjalan atas bumi ini, jaga keselamatannya & buka rezekinya.

iii- lalu Allah s.w.t bawa ayat ini sebagai nasihat peringatan bahawa semua benda itu walaupun sebesar bukit akan binasa rosak semuanya apabila tiba masanya. Inilah uslub al-Quran untuk kita berfikir dan ambil peringatan!

AYAT 26- {SEGALA YANG ADA DI MUKA BUMI ITU AKAN BINASA:} (AR-RAHMAAN 55:26)

  1. Allah nyatakan bahawa semua yang ada di atas muka bumi ini akan hancur binasa.
  2. Samada manusia, jin serta semua makhluk lain tidak akan yang tinggal!
  3. Timbul persoalan:
    Kenapa dalam ayat ini digunakan perkataan (مَنْ) yang bererti siapa; yakni untuk yang berakal saja? Bukan guna (مَا) yang bererti apa- sedangkan ada semua yang berakal & yang tidak berakal- akan binasa semuanya?

JAWAPAN :

i- Ini untuk menunjukkan kekuatan & kemenangan itu duduk pada manusia yang ada akal, manakala makhluk lain hanya menumpang sama, diutamakan yang berakal.

ii- Jika guna apa (مَا)- manusia pula yang akan termasuk dalam golongan tidak berakal. Maka ini menunjukkan akan kemuliaan manusia.

  1. Firman Allah s.w.t:
    i- {Tiap-tiap yang bernyawa akan merasai mati, dan bahawasanya pada hari kiamat sahajalah akan disempurnakan balasan kamu.} (A-li\’Imraan 3:185).

ii- {Di mana jua kamu berada, maut akan mendapatkan kamu (bila sampai ajal), sekalipun kamu berada dalam benteng-benteng yang tinggi lagi kukuh.} (An-Nisaa\’ 4:78)
Tidak boleh lari semua kita akan mati walaupun lari ke mana saja!

AYAT 27- {DAN AKAN KEKALLAH ZAT TUHANMU YANG MEMPUNYAI KEBESARAN DAN KEMULIAAN:} (AR-RAHMAAN 55:27)

  1. KECUALI yang akan kekal ialah Zat Allah s.w.t Yang mempunyai kebesaran dan kemuliaan.
  2. Yakni Tuhan yang bersifat dengan keagungan, kehebatan & kemuliaan. Maka Allah yang bersifat dengan sifat inilah yang layak untuk diagungkan, disayangi dan dibesarkan.
  3. Ayat ini mengisbatkan sifat kemuliaan dan kesempurnaan bagi Allah yang kekal abadi tidak mati selama-lamanya.
  4. Makhluk lain yang bernyawa semuanya akan mati termasuk malaikat-maut, semua malaikat dan iblis yang minta tangguh mati dulu itu!
  5. Apabila kita sebut { ذُو ٱلْجَلَـٰلِ وَٱلْإِكْرَامِ}- iaitu dua sifat yang berbeza iaitu:
    i- sifat (ذُو ٱلْجَلَـٰلِ) yakni kita mesti agungkan Allah s.w.t dan membesarkan-Nya, lihat kepada kehebatan-Nya.

ii- sifat (ٱلْإِكْرَام)- kita muliakan Allah s.w.t dengan puja-puji, cinta & sayang kepada-Nya.

Ulama\’ kata apabila Allah s.w.t sebut bersama dua sifat-Nya yang berdekatan bermakna ada dua dimensi tentang ketuhanan yang kita kena belajar.

iii- ada ulama\’ kata maksudnya juga: Allah s.w.t yang selayaknya yang sepatutnya dipuji, diagungkan & dimuliakan. Allah itu (أهل التقوى والمغفرة) iaitu yang mesti kita takut dan tempat minta ampun.

iv- yang pasti ia menunjukkan kepada kemuliaan, kebesaran & keagungan Allah s.w.t!

  1. Firman Allah s.w.t:
    i- {Dan janganlah engkau menyembah tuhan yang lain bersama-sama Allah. Tiada Tuhan melainkan Dia. Tiap-tiap sesuatu akan binasa melainkan Zat Allah.} (Al-Qasas 28:88)

ii- {Dan berserahlah engkau kepada Allah Tuhan Yang Hidup, yang tidak mati; serta bertasbihlah dengan memujiNya; dan cukuplah Ia mengetahui secara mendalam akan dosa-dosa hambaNya;} (Al-Furqaan 25:58)

AYAT 28- {MAKA YANG MANA SATU DI ANTARA NIKMAT-NIKMAT TUHAN KAMU, YANG KAMU HENDAK DUSTAKAN?} (AR-RAHMAAN 55:28)

  1. Setelah diceritakan tentang keagungan Allah s.w.t ditanya lagi soalan ini.
  2. Ini adalah soalan yang ketujuh. Manakah nikmat Tuhan kamu yang kamu dustakan? Kenapa Allah s.w.t tanya soalan ini selepas ayat kebinasaan/mati?
  3. Munasabah ayat: Pada mati itu sendiri terdapat padanya nikmat yang tidak boleh diingkar. Yakni apabila mati seseorang yang jahat, maka orang yang baik akan mendapat nikmat keamanan dan keselamatan. Yakni dia mati orang lain rehat.
  4. Hadis Rasulullah s.a.w: Baginda mensifatkan orang yang mati sebagai al-mustarih (si mati yang beriman, berehat dari kesusahan dunia menuju kepada kasih sayang Allah) & al-Mustaroh pula (orang lain rehat dari keburukannya jika dia seorang yang tidak baik). [HR Bukhari].
  5. Sama-samalah kita berdoa Semoga kita semua mati dalam husnul-khatimah dan menuju kepada keredhaan Allah s.w.t!

AYAT 29- {SEKALIAN MAKHLUK YANG ADA DI LANGIT DAN DI BUMI SENTIASA BERHAJAT DAN MEMOHON KEPADANYA. TIAP-TIAP MASA IA DI DALAM URUSAN (MENCIPTA DAN MENTADBIRKAN MAKHLUK-MAKHLUKNYA)!} (AR-RAHMAAN 55:29)

  1. Munasabah ayat: Apabila Allah sebut bahawa semua manusia berhajat kepada Allah s.w.t; maka Allah nyatakan semua makhluk meminta keperluan hajat mereka kepada Allah s.w.t, samada yang di langit & yang di bumi.

Yakni bukan manusia di bumi sahaja, bahkan malaikat yang di langit juga meminta hajat keperluan mereka kepada Allah s.w.t!
Tiada makhluk yang terkaya, bebas tidak perlu meminta kepada Allah s.w.t.

  1. Kata Ibnu Kathir rhm.: Ayat ini menceritakan kepada kita bahawa Allah s.w.t tidak perlu kepada makhluk tetapi sebaliknya segala makhluk ini berhajat kepada lah s.w.t.
    Berdoa meminta kepada Allah s.w.t dengan lisan, perbuatan dan segala suasananya.
  2. Firman Allah s.w.t:
    {Dan Ia telah memberi kepada kamu sebahagian dari tiap-tiap apa jua yang kamu hajati. Dan jika kamu menghitung nikmat Allah nescaya lemahlah kamu menentukan bilangannya. Sesungguhnya manusia (yang ingkar) sangat suka menempatkan sesuatu pada bukan tempatnya lagi sangat tidak menghargai nikmat Tuhannya.} (Ibrahim 14:34)
  3. Setiap hari Allah s.w.t akan cipta perkara-perkara besar yang berlaku; seperti:
    i- menghidupkan orang ini atau mematikan yang lain. Semoga Allah Rahmati kita dan keluarga kita semua.

ii- melepaskan masalah & kesusahan dari seseorang, diberi keampunan, memperkenankan doanya, menyembuhkan penyakit, mengkayakan yang faqir.

iii- mengajar orang yang jahil, memberi petunjuk, memuliakan sesuatu kaum atau menghinanya.
Inilah maksudnya Allah melaksanakan apa yang telah disusun atau ditetapkan sebelum ini.

  1. Qalam telah siap menulis taqdirnya sehingga Hari Kiamat, lalu Allah melaksanakan apa yang telah dirancang-Nya semua urusan dunia atau akhirat dengan susun atur dan pentadbiran-Nya yang maha sempurna dan teratur.

AYAT 30- {MAKA YANG MANA SATU DI ANTARA NIKMAT-NIKMAT TUHAN KAMU, YANG KAMU HENDAK DUSTAKAN)?} (AR-RAHMAAN 55:30)

  1. Kemudian Allah tanya lagi: Mana satukah nikmat Tuhan kamu yang kamu dustakan? Ini adalah soalan yang kelapan.
  2. Selesailah kumpulan pertama iaitu lapan soalan {فَبِأَىِّ ءَالَآءِ رَبِّكُمَا تُكَذِّبَانِ} ini selepas Allah sebut nikmat-Nya ke atas manusia.

PENUTUP & FAEDAH :

  1. Ayat 26- {Segala yang ada di muka bumi itu akan binasa:}- kata ulama\’ tadabbur- ayat ini:
    i- menggalakkan kita melakukan ibadat dan tumpukan masa yang sedikit, yang Allah beri ini untuk melakukan ketaatan!
    Lakukan ibadat kepada Allah & kebaikan sebagai persiapan untuk negeri akhirat yang kekal abadi. Maka janganlah kita sibuk dengan benda yang fana & tinggalkan yang kekal.

ii- jangan terlalu percaya dengan apa yang kita miliki atas dunia ini. Kerana semuanya akan hilang samada kita nak atau tak nak.
Harta atau anak cucu akan tinggalkan kita atau kita akan meninggalkannya!
Anak cucu & harta semuanya tidak akan kekal di samping kita, yang ada hanya kita dan amalan kita di dalam kubur.

Kata Ibnu Umar r.a: Yang meneduhkan mayat ini bukan pokok atau binaan yang dibuat atas kubur tetapi amalannya sendiri!

iii- juga arahan supaya kita bersabar menghadapi bala & ujian atas dunia ini kerana semuanya tidak kekal, ia akan hilang tidak lama.

iv- juga supaya kita ikhlaskan ibadat kepada Allah s.w.t, jangan dok menjadi pengampu kepada para pemimpin yang akan merosakkan hidup kita nanti!

  1. Ayat 26- {Segala yang ada di muka bumi itu akan binasa:}- ini menunjukkan bahawa dunia ini dicipta untuk rosak atau binasa (فَانٍۢ), manusia juga tidak dicipta untuk kekal atas dunia ini. Bahkan manusia lagi cepat akan binasa.

i- Kata Imam asy-Sya\’bi: Apabila kamu baca ayat ini jangan berhenti pada ayat itu sahaja, tetapi kena sambung terus kepada ayat selepasnya, iaitu; Semua dunia ini akan binasa kecuali Allah s.w.t yang akan kekal.

ii- Ayat ini untuk menunjukkan kemuliaan dan kebesaran Allah s.w.t.

iii- persoalan tentang penggunaan (مَنْ) yakni siapa bukan apa (مَا):
a- kerana yang akan manfaat daripada ayat ini ialah orang yang berakal.

b- jika dikumpul antara yang berakal dan tidak berakal, maka akan diguna kata untuk yang berakal.

Seperti firman Allah ((يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا) wahai orang-orang yang beriman (lelaki) ia termasuk sekali dengan perempuan yang beriman. Tidak perlu sebut kedua-duanya kecuali ayat khusus untuk mukminat.

  1. Ayat 27- {Dan akan kekallah Zat Tuhanmu yang mempunyai Kebesaran dan Kemuliaan: (ذُو ٱلْجَلَـٰلِ وَٱلْإِكْرَامِ)}- sedangkan pada hujung surah ini ada juga ayatnya (ayat 78) yang berbunyi {ذِى ٱلْجَلَـٰلِ وَٱلْإِكْرَامِ}- yakni dengan menggunakan lafaz (zi-ذِى) bukan seperti di sini.
    Keduanya bererti- yang mempunyai.
    Apa maksud perbezaan ini?

Jawapan; ia adalah berdasarkan qawaid lughah (bahasa) Arab:
i- dalam ayat ini (zu-ذُو) adalah sifat kepada wajah yang menjadi (فاعل) pembuat, maka ia diberi baris depan.

ii- dalam ayat 78 diguna (zi-ذِى) ini adalah sifat bagi Allah s.w.t, bukan sifat bagi nama (اسم) maka ia sifat bagi zat, Maha Suci Allah s.w.t yang mempunyai kemuliaan & ketinggian.
Hanya perbezaan dari sudut bacaan.

  1. Ayat 29- {Sekalian makhluk yang ada di langit dan di bumi sentiasa berhajat dan memohon kepadaNya.}- ini menunjukkan semua manusia berhajat kepada Allah dan sentiasa berdoa kepada Allah s.w.t untuk kabulkan hajatnya.

Ingat:
i- Allah s.w.t terima hajat seseorang itu bukan bererti Allah muliakan seseorang itu. Kadang-kadang Allah beri itu kerana istidraj- yakni supaya dia tambah jauh dan lalai dari Allah & akhirat. Makin kaya makin takabbur.

ii- serta Allah tidak perkenankan doa seseorang itu tidak bermakna Allah hinakan seseorang itu- mungkin kerana sayangkannya tidak mahunya lalai dan lagha, menjadi sombong & takabbur. Maka Allah peliharanya supaya tidak rosak!

Maka pintalah dengan doa Allah dan jangan kecewa dan mudah putus asa, kerana Allah perkenankan doa kita samada dengan:
i- Perkenan dan tunaikannya terus atas dunia ini.

ii- tukar, beri dengan yang lain, yang lebih baik atau seumpamanya.

iii- tidak dapat semua, atau tidak perkenan atas dunia tetapi ia akan menjadi asset yang besar sebagai pahala di akhirat kelak!

{Tiap-tiap masa Ia di dalam urusan (mencipta dan mentadbirkan makhluk-makhlukNya)!}- kata ulama\’ ayat ini menunjukkan kepada taqdir harian, iaitu apa yang akan berlaku pada hari ini. Siapa yang akan mati siapa yang akan lahir, siapa yang dapat rezeki atau hilangnya.

Ada taqdir sanawi (tahunan) yang diberi kepada malaikat pada malam Lailatul-Qadar.

  1. {Tiap-tiap masa Ia di dalam urusan (mencipta dan mentadbirkan makhluk-makhlukNya)!}- timbul persoalan apa maksudnya ini? Baru nak rancang atau bagaimana? Sedangkan dalam hadis dikatakan pena sudah kering, sudah ditulis taqdir setiap sesuatu di Lauh Mahfuz pada awal kejadian dulu?

JAWAPAN :

Allah zahirkan apa yang telah dirancangnya, bukan baru mahu merancang! {شؤون يبديها ولا يبتديها} iaitu:
i- perkara yang Allah laksanakan atau zahirkannya- شؤون يبديها ـ أي يظهرها ـ

ii- Bukan perkara yang baru dirancang atau ditaqdirkannya- لا شؤون يبتديها أي يقدرها،

Seorang ulama\’ salaf al-Husain ibnu al-Fadhli berkata: Taqdir yang Allah s.w.t tulis dan rancangkan dulu itu dilaksanakan pada setiap hari dan setiap masa mengikut ketentuannya.

Yakni bajet & blue print sudah ada cuma dilaksanakan ikut jadualnya.

Powered by BetterDocs