SURAH AL-MUJADILAH : MUQADDIMAH

\"\"

MUQADDIMAH DAN INTISARI SURAH, MUNASABAH ANTARA SURAH & KISAH DISEBALIK NAMA.

Full video : https://youtu.be/PtJsinjAZnY

MUQADDIMAH SURAH :

  1. Alhamdulillah pada pagi ini, Sabtu 01 Jumadal Ula 1444H bersamaan 26hb November 2022 kita dapat mulakan pengajian Kuliah tafsir bagi Surah Al-Mujadilah – سورة المجادلة.

Dalam bahasa Arab permulaan atau hari pertama bulan biasanya dipanggil- ghurrah (غرة)- غرة جمادى الأولى – yakni 1hb Jumadal Ula.

  1. Surah Al-Mujadilah adalah surah ke-58 dalam tertib susunan al-Quran, iaitu selepas Surah Al-Hadid – سورة الحديد, surah pertama dalam juz ke 28 dan mengandungi 22 ayat yang agak panjang.
  2. Majoriti para ulama\’ tafsir (ittifaq\’ ulama\’) mengatakan surah ini Madaniyyah, yakni turun di Madinah selepas hijrahnya Rasulullah s.a.w ke Madinah.

i- Ada juga ulama\’ kata (وقيل) ia Madaniyyah kecuali dari ayat ke-7 adalah Makkiyyah.

iii- ada yang kata juga 10 terawal adalah Madaniyyah tetapi bakinya adalah Makkiyyah.
Imam al-Mawardi kata pendapat ini tiada adil.
Kita memilih untuk mengatakan ia adalah surah Madaniyyah.

NAMA SURAH DAN KISAH DISEBALIK NAMA :

  1. Dinamakan surah ini sebagai: Al-Mujadilah- المجادلة yang bermaksud (orang yang membantah) atau dipanggil juga surah Al-Mujadalah yang bermaksud (bersoal-jawab/berbantah-bantah).
    Kerana pada awal surah ini ditegaskan bahawa Allah s.w.t mendengar pengaduan atau soal-jawab (مجادلة) seorang wanita yang diziharkan oleh suaminya kepada Rasulullah s.a.w.
  2. Allah nyatakan dalam surah ini bahawa perempuan itu datang membantah suaminya. Perempuan itu ialah Khaulah binti Tha\’labah r.a (خولة بنت ثعلبة) dan suaminya bernama Aus bin As- Somit.
    (أوس بن الصامت).
  3. Kata Ibnu Asyur rhm.: Al-Mujadilah dengan baris bawah lebih tepat atau zahir kerana ia adalah tentang seorang perempuan yang datang mengadu atau membantah tentang perbuatan suaminya. Bukan kerana ia berbantah-bantah (mujadalah) dengan suaminya.
    Namun keduanya adalah diterima.
  4. Ada juga ulama\’ yang menamakannya sebagai surah
    { قَدْ سَمِعَ ٱللَّهُ }
    iaitu diambil dari ayat pertama surah ini, Allah s.w.t telah mendengar pengaduan atau rintihan wanita itu.
  5. Tentang makna zihar (ظِهَار):
    i- Zihar adalah satu perbuatan apabila seorang suami tidak mahu dan mahu menceraikan isterinya lagi dan dia kata kepada isterinya dengan perkataan: Kamu ke atasku seperti \’belakang\’ ibuku.
    (أنت علي كظهر أمي).

ii- Apabila dia berkata begitu maka isterinya itu sudah haram untuk digauli olehnya selamanya, tercerai terus. Kerana seorang lelaki tidak boleh mengadakan hubungan seks dengan ibunya sendiri. Hukum ini sudah menjadi adat dalam masyarakat Arab Jahiliyah lagi.

iii- Zihar ini bukan hanya terjadi kalau disamakan dengan isteri sahaja, tetapi kalau disamakan dengan wanita yang haram dikahwini seperti anak dan juga kakak.

iv- Zihar itu terjadi jikalau seorang suami menyamakan tubuh badan yang haram dipandang oleh lelaki itu. Jadi kalau samakan dengan kepala, kaki dan tangan, tidaklah termasuk Zihar.
Tapi mestilah perkataan Zihar itu terjadi kerana ada niat untuk menzihar isteri.

Kalau tersilap cakap atau hanya membuat persamaan rupa antara ibu dan anak sahaja, itu tidaklah jatuh kepada hukum zihar itu.

v- Hukumnya: Kita akan bincangkan apabila sampai kepada ayatnya nanti.

  1. Untuk menghapuskan adat zihar yang karut ini Allah s.w.t menegaskan seorang isteri yang diziharkan itu tidak akan menjadi seperti seorang ibu. Apa yang didakwa oleh mereka itu hanyalah rekaan mereka semata-mata kerana seorang ibu tidak akan menjadi seperti seorang isteri.

INTISARI KANDUNGANNYA :

  1. Menerangkan tentang bahawa salahnya perbuatan zihar. Orang-orang yang menentang Allah dan Rasul-Nya akan menerima akibat seburuknya apabila dibangkitkan di akhirat kelak.
  2. Allah s.w.t Maha mengetahui apa berlaku di langit dan dibumi. Tidak akan berlaku bisikan antara 3 orang kecuali Allah yang keempatnya, tidak juga bisikan antara 4 orang kecuali Allah adalah yang ke5 dan tiada yang kurang atau yang lebih dari itu melainkan semuanya dalam ilmu Allah s.w.t.

Allah s.w.t juga akan mendedahkan kepada mereka apa yang mereka buat dan bisikkan di dunia dulu!

  1. Kemudian diterangkan tentang kaum yahudi yang banyak angkara itu, yang merancang perbuatan jahat terhadap Rasulullah s.a.w dan umat Islam. Mereka dijanjikan dengan azab siksaan dalam neraka.
  2. Kemudian diberi panduan kepada orang beriman apabila mereka bertindak dan hendak melakukan sesuatu hendaklah mengikut dasar dan prinsip Islam, bukan ikut emosi & sentimen.
  3. Berbisiklah atau merancanglah dalam perkara yang baik bukan perkara yang sebaliknya.
  4. Apabila diminta untuk melapangkan tempat duduk untuk orang lain maka lapangkanlah supaya Allah melapangkan serba-serbi untuk di dunia & akhirat kelak.

Jika diminta bangun untuk orang lain maka bangunlah. Supaya Allah meninggikan darjat orang-orang yang beriman dari kamu dan Allah s.w.t meninggikan orang-orang yang berilmu di kalangan kamu beberapa darjat! Iaitu kelebihan orang yang berilmu.

  1. Allah ceritakan tentang kaum munafiq dan akibat buruk yang akan menimpa mereka; kerana mereka berpihak kepada musuh-musuh Islam dan perbuatan khianat mereka terhadap orang Islam.

OBJEKTIF/MAQASID SURAH (TAFSIR AL-MUHARRAR) :

  1. Pertamanya kerana Allah s.w.t mahu menjelaskan tentang hukum zihar dan membatalkan adat jahiliyyah yang menganggap ia sebagai satu talaq dan kata-kata yang menyakitkan. Ini kerana kata-kata itu adalah sesuatu yang tidak benar!
  2. Allah s.w.t mahu dedahkan tembelang si munafiq yang mendakwa beriman tetapi sebenarnnya kafir. Allah menyatakan kesesatan mereka serta perkataan dan perbuatan mereka batil & keji!
  3. Allah juga menyebut beberapa adab yang menjadi kewajipan bagi orang mukmin untuk bersifat dengan akhlak ini.

TAJUK-TAJUK SURAH :

  1. Cerita tentang seorang perempuan yang datang mengadu kepada Rasulullah s.a.w tentang suaminya. Maka Allah s.w.t nyatakan hukum haramnya zihar dan apa kaffarahnya- iaitu penyelesaian darinya. Inilah cara Islam, yakni dinyatakan penyakit dan dibawakan penawarnya sekali.
  2. Allah nyatakan dalam ayat ini kumpulan yang menentang Allah & Rasulullah s.a.w serta dinyatakan buruknya akhir kesudahan mereka.
  3. Allah nyatakan betapa luasnya ilmu Allah s.w.t, tiada apa yang boleh tersembunyi dari-Nya, semua akan diketahui oleh Allah s.w.t!
    Allah menceritakan tentang orang yang berbisik-bisik, apa yang mereka katakan kepada Rasulullah s.a.w. Kemudian Allah s.w.t nyatakan apakah SOP atau syarat untuk berbisik ini.
  4. Pada peringkat awal Islam disyaratkan sedekah kepada faqir-miskin sebelum berjumpa dengan Nabi s.a.w. Kemudian ianya dibatalkan.
  5. Allah nyatakan dalam surah ini beberapa adab berada dalam majlis.
  6. Allah s.w.t menyebut beberapa sifat munafiq dan betapa mereka memberi kepatuhan kepada yahudi. Serta janji mereka yang bohong dan dusta, hanya menyebut nama Allah di depan orang Islam. Betapa buruknya perangai mereka si munafiqin!
  7. Allah s.w.t tutup surah ini dengan memuji orang yang beriman, beberapa sifat mereka yang mulia serta destinasi perjalan mereka yang terakhir adalah syurga!

Ya Allah jadikan kami dan seluruh keluarga kami dari kalangan ahli syurga yang diredhai-Mu.

MUNASABAH SURAH AL-MUJADILAH – سورة المجادلة DENGAN SURAH AL-HADID – سورة الحديد SEBELUMNYA :

Terdapat tiga kaitan melalui tiga dimensi:
1- Kaitan bahawa Allah Maha Mengetahui & Meliputi segalanya:
i- pada permulaan surah al-Hadid, Allah s.w.t sebut sifat-Nya yang agung seperti: zahir & batin alim (Yang tahu semua perkara- turun naik dari langit & keluar masuk dari bumi). Yakni ilmu Allah s.w.t meliputi semua yang dilangit & dibumi.

ii- dalam surah ini al-Mujadilah ini Allah s.w.t menyatakan bahawa Dia mendengar rintihan dan aduan seorang perempuan tentang suaminya yang menziharnya tanpa keadilan. Lalu Allah s.w.t memberi contoh bahawa Dia mendengar segalanya hatta aduan seorang wanita di bumi.

HADIS :

Menurut riwayat Ibnu Abu Hatim dari Al-A\’masy, dari Tamim ibnu Salamah, dari Urwah, dari UM Aisyah r.a, disebutkan bahawa dia pernah berkata,
\”Maha suci Tuhan Yang pendengaran-Nya meliputi segala sesuatu, sesungguhnya mendengar suara pembicaraan Khaulah binti Tha\’labah, tetapi sebahagiannya tidak dapat kudengar, iaitu ketika dia mengadukan perihal suaminya kepada Rasulullah s.a.w.

Dia mengatakan, \’Wahai Rasulullah, suamiku telah makan hartaku dan menghabiskan masa mudaku, serta kubentangkan perutku untuknya, hingga manakala usiaku telah menua dan aku tidak dapat beranak lagi, tiba-tiba dia melakukan zihar terhadapku. Ya Allah, aku mengadu kepada Engkau masalah yang menimpaku ini\’.\”

Sayyidah Aisyah r.a. melanjutkan kisahnya, bahawa sebelum Khaulah keluar pulang, Jibril turun dengan membawa ayat ini, iaitu: Sungguh, Allah telah mendengar perkataan wanita yang mengajukan aduan kepadamu (Muhammad) tentang suaminya. (Al-Mujadilah: 1) [HR Bukhari].

2- Tentang luasnya limpah kurnia Allah s.w.t:
i- surah al-Hadid ditutup dengan menyatakan betapa luasnya rahmat Allah s.w.t kepada hamba-Nya.

ii- kemudian dalam surah ini disebut beberapa isyarat kepada sebahagian dari limpah kurnia rahmat Allah s.w.t. yang Allah telah sebut secara umum dalam surah al-Hadid sebelumnya.

3- Iaitu Allah s.w.t mengetahui segala apa yang ada di langit & dibumi.
i- Disebut dalam al-Mujadilah ayat 7- tentang Allah s.w.t mendengar segala bisikan manusia itu walaupun berapa orang mereka berbisik.

ii- Ini merupakan penjelasan terperinci kepada apa yang disebut dalam surah al-Hadid secara ringkas dan umum dalam ayat 4 bahawa pengetahuan Allah s.w.t meliputi segalanya.

Powered by BetterDocs