SURAH AL-MUJADILAH : AYAT 11-13

\"\"

ADAB BERADA DALAM MAJLIS, BERI RUANG, KELEBIHAN ILMU & BERSEDEQAH SEBELUM BERJUMPA NABI S.A.W.

Full video : https://youtu.be/x42Ja93yv00

MUQADDIMAH :

  1. Dalam siri ini Allah s.w.t ajarkan tentang adab-adab berada dalam majlis, atau tempat orang ramai.
  2. Juga tentang kelebihan ilmu, di mana Allah s.w.t akan angkat darjatnya.
  3. Diceritakan pada permulaan Islam, ada arahan untuk bersedeqah sebelum berjumpa Nabi S.A.W. kemudian ia dimansukhkan.
  4. Dalam ayat yang lepas tentang larangan berbisik-bisik dengan keburukan dan berbisik berdua sahaja apabila ada bertiga tanpa memasukkannya sekali.
  5. Bisikan itu syaitan mengacau menyebabkan manusia menjadi stress, depression, tidak boleh tidur malam dan pelbagai gangguan yang mesti kita berlindung dengan Allah s.w.t.

AYAT 11- {WAHAI ORANG-ORANG YANG BERIMAN! APABILA DIMINTA KEPADA KAMU MEMBERI LAPANG DARI TEMPAT DUDUK KAMU (UNTUK ORANG LAIN) MAKA LAPANGKANLAH SEBOLEH-BOLEHNYA SUPAYA ALLAH MELAPANGKAN (SEGALA HALNYA) UNTUK KAMU. DAN APABILA DIMINTA KAMU BANGUN MAKA BANGUNLAH, SUPAYA ALLAH MENINGGIKAN DARJAT ORANG-ORANG YANG BERIMAN DI ANTARA KAMU, DAN ORANG-ORANG YANG DIBERI ILMU PENGETAHUAN AGAMA (DARI KALANGAN KAMU) – BEBERAPA DARJAT. DAN (INGATLAH), ALLAH MAHA MENDALAM PENGETAHUANNYA TENTANG APA YANG KAMU LAKUKAN.} (AL-MUJADILAH 58:11)

1. MUNASABAH AYAT:

i- Dalam ayat yang lepas Allah s.w.t melarang hamba-hamba-Nya beriman dari melakukan perbuatan yang boleh menimbulkan perbalahan dan permusuhan.
Maka dalam ayat ini Allah s.w.t ajar beberapa adab yang dapat melahirkan kasih sayang dan persaudaraan sesama Islam (mawaddah wa mahabbah).

ii- juga diceritakan dalam ayat yang lepas bagaimana puak yahudi apabila berjumpa dengan Rasulullah s.a.w dan orang Islam mereka mengeluarkan kata-kata buruk yang tidak di ajar dalam Islam.
Maka dalam ayat ini Allah s.w.t mengajar kita orang beriman agar mengeluarkan perkataan yang baik yang dapat membuat kita berasa selesa & tenang, melarang dari mengeluarkan perkataan tidak baik.

iii- Allah s.w.t juga melarang dari perbuatan berbisik ke arah keburukan bahkan hendaklah berbisik merancang ke arah kebaikan.
Maka dalam ayat ini bila duduk beramai-ramai, kita bercakaplah perkara yang boleh membawa kepada kebaikan dan taqwa.

  1. Dalam ayat ini Allah s.w.t mengajar orang yang beriman agar melapangkan atau meluaskan tempat bagi orang yang baru datang untuk bersama duduk di dalam saf atau majlis. Ini supaya Allah melapangkan serba-serbi kepada kita di dunia & akhirat.
  2. Apakah maksudnya majlis ini?
    Kata ibnu al-Jauzi ada 3 pandangan:
    i- dalam saf peperangan.

ii- majlis Rasulullah s.a.w kerana semua orang mahu dekat dengan Baginda s.a.w untuk mendengar dan melihat wajahnya yang mulia.

iii- semua majlis ilmu atau masjid secara umumnya
ulama\’ bersetuju maksudnya semua majlis ilmu yang bermanfaat.

  1. Hadis- riwayat dari Ibnu Umar r.a bahawa Rasulullah s.a.w melarang dari kita menyuruh orang yang sudah duduk untuk bangun ke belakang bagi menempatkan orang lain atau kita sendiri duduk. Tetapi lapang dan luaskaan tempat. [HR Bukhari & Muslim].
  2. Apatah lagi jika dalam saf solat, siapa datang dulu dia berhak duduk depan. Tidak boleh menanda tempat dalam solat, sedangkan dia datang kemudian.
  3. Tetapi hakikat hari ini semuanya tolak-menolak untuk ke saf depan, bukan berebut-rebut untuk duduk di depan.
    *Ingatlah; dalam dalam bab ibadat kita tidak boleh mengutamakan orang lain, tetapi dalam bab muamalat pergaulan digalakkan.
  4. Kemudian apabila datang arahan untuk bangun (ٱنشُزُوا۟), maka bangunlah!
    Panggilan untuk perang, untuk berdakwah, untuk memberi bantuan, untuk solat dan lain-lain.
  5. Ulama\’ seperti al-Mawardi rhm. membawa beberapa pandangan tentang makna bangun (ٱنشُزُوا۟) ini:
    i- apabila berlaku peperangan, bangun berjihad apabila ada seruannya.
    ii- apabila dipanggil untuk buat kebajikan. Hendaklah bangun untuk menolong.
    iii- bangun untuk menunaikan solat apabila dengar seruan azan.
    iv- ini khusus untuk majlis Nabi s.a.w. Apabila selesai majlis, segeralah bangun keluar jangan berlambat-lambat keluar dari rumah Baginda s.a.w.

Al-Qasimi rhm. berkata: Keempat-empat pandangan ini boleh diterima. Mengikut situasi dan keadaan yang berlaku, semuanya hendaklah diamalkan.

  1. Bagi orang beriman yang ikut arahan dan patuh kepada perintah ini, Allah s.w.t angkat darjatnya. Semua orang yang beriman tinggi darjatnya berbanding dengan yang tidak beriman!
  2. Kemudian di kalangan orang beriman pula, mereka yang berilmu pula ada beberapa tingkat darjat yang tinggi lagi!
  3. Kata Ibnu Rajab rhm. dalam tafsirnya: Darjat orang yang beriman kemudian berilmu lebih tinggi darjatnya daripada orang beriman yang tidak berilmu.
    *Begitulah juga kata Ibnu Mas\’ud r.a.
  4. Kata Ibnu Kathir rhm.: Kamu jangan ingat apabila kita beri ruang kepada orang, atau kita bangun apabila diarahkan bangun, akan menjadi satu benda mengurangkan darjat atau kedudukan kita.
    Bahkan yang mengikut adab peraturan majlis yang digariskan oleh Islam inilah yang akan diberikan darjat oleh Allah s.w.t! Allah akan balas dengan meluaskan hidupnya di akhirat kelak!
  5. Dari Umar r.a, Rasulullah s.a.w bersabda:
    Sesungguhnya Allah s.w.t angkat darjat beberapa kaum itu dengan al-Quran dan jatuhkannya juga dengan sebab al-Quran! [HR Muslim].

Yakni orang yang beramal dan berpegang dengan al-Quran, darjatnya tinggi. Manakala orang yang tidak berpegang dengan al-Quran dan melawannya; darjatnya jatuh walaupun nampak hebat di dunia, tetapi di sisi Allh s.w.t tidak ada nilai!

  1. Serta ingatlah Allah Maha Mendalam PengetahuanNya tentang apa yang kamu lakukan. Yakni apakah kamu melakukan semua kebaikan itu dengan ikhlas atau terpaksa.

AYAT 12- {WAHAI ORANG-ORANG YANG BERIMAN! APABILA KAMU HENDAK MENGADAP DAN BERTANYAKAN SESUATU KEPADA RASULULLAH, MAKA HENDAKLAH KAMU BERSEDEKAH (KEPADA FAKIR MISKIN) SEBELUM KAMU MENGADAPNYA; (PEMBERIAN SEDEKAH) ITU ADALAH LEBIH BAIK BAGI KAMU DAN LEBIH BERSIH. DALAM PADA ITU, KALAU KAMU TIDAK ADA BENDA YANG HENDAK DISEDEKAHKAN, (KAMU DIBENARKAN JUGA MENGADAPNYA MENGENAI PERKARA YANG TAK DAPAT DIELAK), KERANA SESUNGGUHNYA ALLAH MAHA PENGAMPUN, LAGI MAHA MENGASIHANI.} (AL-MUJADILAH 58:12)

  1. Ayat ini menceritakan tentang satu undang-undang sebelum Islam. Iaitu sesiapa yang mahu masuk berjumpa Rasulullah s.a.w, kena mengeluarkan sedekah kepada fakir miskin sebelum itu.
  2. Tujuannya supaya orang tidak sewenang-wenangnya masuk berjumpa Rasulullah s.a.w. Supaya yang datang hanyalah mereka yang betul-betul ada masalah dan berhajat, memerlukan nasihat dan petunjuk dari Baginda s.a.w. Jika tidak tunggu saja di masjid.
  3. Ittifaq (sepakat) ulama\’ berkata undang-undang ini telah dimansukhkan dengan ayat yang ke-13 selepas ini. Kerana pada masa itu Allah mahu menghalang orang munafiq yang bakhil dari masuk ke rumah Rasulullah, lalu Baginda selamat dari gangguan mereka.
  4. Kata al-Wahidi rhm.: Apabila turun ayat jika nak berjumpa Rasulullah s.a.w wajib bersedekah dulu, maka tiada orang yang buatnya, ini kerana kaum muslimin pada waktu itu kebanyakannya miskin, jika ada hajat sedikit-sedikit merekak tangguhkan.

Kecuali Ali bin Talib r.a yang sempat bersedekah sebanyak satu dinar kepada orang miskin kemudian berjumpa Nabi s.a.w.

  1. Akhirnya Allah kata jika kamu tiada harta nak sedekahkan yakni tidak mampu, tidak mengapa, kamu dibenarkan juga berjumpa Rasulullah s.a.w kerana jika ada perkara yang tak dapat dielakkan. Ini kerana sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani (غَفُورٌۭ رَّحِيمٌ).
  2. Ayat seterusnya adalah membatalkan undang-undang ini, kerana nampak menyusahkan orang Islam yang tidak mampu tetapi ada hajat.

AYAT 13- {ADAKAH KAMU TAKUT (AKAN KEMISKINAN) KERANA KERAP KALI KAMU MEMBERI SEDEKAH SEBELUM KAMU MENGADAP? KALAU KAMU TIDAK MELAKUKAN (PERINTAH) ITU, DAN ALLAH PUN MEMAAFKAN KAMU (KERANA KAMU TIDAK MAMPU), MAKA DIRIKANLAH SEMBAHYANG DAN BERIKANLAH ZAKAT (SEBAGAIMANA YANG SEWAJIBNYA), SERTA TAATLAH KAMU KEPADA ALLAH DAN RASULNYA. DAN (INGATLAH), ALLAH MAHA MENDALAM PENGETAHUANNYA AKAN SEGALA AMALAN YANG KAMU LAKUKAN.} (AL-MUJADILAH 58:13)

  1. Allah s.w.t bertanya apakah kamu tidak bersedekah kerana takut miskin? Kerana bakhil lalu takut bakhil.
  2. Tetapi jika kamu memang miskin dan tidak mampu, tidak mengapa, Allah s.w.t memaafkannya. Tetapi dalam masa yang sama kena jaga amalan lain seperti solat, zakat dan taatlah kepada Allah dan Rasul-nya.
  3. Sesungguhnya Allah s.w.t Maha Mengetahui dengan mendalam (وَٱللَّهُ خَبِيرٌۢ) semua yang kamu lakukan, yang zahir dan yang batin. Lalu Dia akan membalasnya mengikut amalan kamu itu!

PENUTUP & FAEDAH :

  1. Ayat 11- {Wahai orang-orang yang beriman! Apabila diminta kepada kamu memberi lapang dari tempat duduk kamu (untuk orang lain) maka lapangkanlah seboleh-bolehnya supaya Allah melapangkan (segala halnya) untuk kamu.}- dalam ayat ini Allah s.w.t mendidik hamba-hamba-Nya agar beradab apabila berada dalam majlis yang baik. Beradab bila masuk majlis, kita sempitkan tempat duduk kita agar diberi ruang kepada orang lain boleh masuk dan duduk juga.

Majlis ini samada majlis ilmu, majlis zikir atau semasa dalam peperangan. Ini adalah adab yang mulia yang menyebabkan kita berasa gembira dan menggalakkan untuk berkasih-sayang.

Allah beri arahan dan nyatakan terus balasannya dalam ayat ini:
Kamu lapangkan dan bagi ruang sesama manusia, Aku akan bagi ruang dan lapangkan segala urusan kamu dunia & akhirat.

Jangan takut janji Allah s.w.t itu sangat benar, siapa yang tidak ambilnya dia akan rugi, siapa yang terimanya akan beruntung!

  1. Ayat 11- {Wahai orang-orang yang beriman! Apabila diminta kepada kamu memberi lapang dari tempat duduk kamu (untuk orang lain) maka lapangkanlah seboleh-bolehnya supaya Allah melapangkan (segala halnya) untuk kamu.}- ayat ini bukan khas untuk majlis saja, tetapi untuk jenis lapangan dan urusan kehidupan, apabila kita perluaskan untuk orang yang memerlukan, mudahkan segala urusan orang, segala pintu kebajikan dan kerehatan untuk orang, Allah akan perluaskan pintu-pintu kesenangan untuk kita juga di dunia & akhirat.

Hadis Rasulullah s.a.w:
\”Sesiapa yang melapangkan satu kesusahan dunia daripada seorang mukmin, maka Allah melapangkan daripadanya satu kesusahan di hari kiamat. Sesiapa yang memudahkan orang yang kesulitan, maka Allah akan memudahkan baginya di dunia dan akhirat. Sesiapa yang menutupi aib seorang muslim, maka Allah akan menutup aibnya di dunia dan akhirat. Allah sentiasa menolong seorang hamba selama mana hamba tersebut menolong saudaranya.\” (HR Muslim)

Maka para jemaah ayuh kita bersegera membantu dalam apa saja untuk orang yang memerlukan! Tiada harta atau wang, kita sumbangkan tenaga dan bantuan, semua pintu kebajikan itu terbuka luas!

  1. Ayat 11- {Wahai orang-orang yang beriman! Apabila diminta kepada kamu memberi lapang dari tempat duduk kamu (untuk orang lain) maka lapangkanlah seboleh-bolehnya supaya Allah melapangkan (segala halnya) untuk kamu.}- apabila diminta atau dikata kepada kamu { إِذَا قِيلَ لَكُمْ}. Siapakah yang berkata itu?

Jawapan: Ulama\’ membawa beberapa pendapat :
i- orang yang baru datang itu sendiri minta.
ii- pengerusi majlis, minta bagi ruang kepada orang yang baru datang.
iii- atau kita sendiri yang peka dan bertimbang-rasa.
semuanya akan termasuk dalam yang Allah janjikan ini.

  1. Ayat 11- {Supaya Allah meninggikan darjat orang-orang yang beriman di antara kamu, dan orang-orang yang diberi ilmu pengetahuan agama (dari kalangan kamu) – beberapa darjat.}- ayat ini menunjukkan bahawa Allah s.w.t mengangkat darjat seseorang itu dengan beberapa cara:
    i- orang beriman satu darjat.
    ii- orang yang berilmu beberapa darjat lagi.
    *Bukan sebab duduk di depan dalam majlis saja, tetapi dia beramal dengan ilmu yang diterimanya.

SIAPAKAH ORANG YANG BERILMU INI :

i- dia belajar dan baca al-Quran dan membenarkan segala isi kandungannya, beramal dan berakhlak dengan apa yang diajar oleh al-Quran.
Petunjuk hidayah al-Quran diikuti dan diamalkan.
Orang yang dapat ilmu tetapi tidak mengamalkannya bukanlah seorang berilmu tetapi orang yang dapat maklumat sahaja.

ii- Kata Imam Ghazali rhm.: Orang yang berilmu ialah seorang yang apabila dia dapat ilmu, ilmu itu mendekatkan dirinya kepada Allah s.w.t!

  1. Ayat 11- {Dan orang-orang yang diberi ilmu pengetahuan agama (dari kalangan kamu) – beberapa darjat.}- Allah cuma memaklumkan sahaja darjat itu tidak diberitahu berapakah tingkat darjatnya itu, kenapa?

JAWAPAN :

Ini kerana darjat itu umum mengikut kedudukan seorang manusia.
i- Jika iman dia mantap, ilmunya banyak, dia beramal dengan ilmunya serta orang lain juga turut mendapat manfaat darinya, maka pastilah darjatnya tinggi sekali.

ii- ada juga orang yang ada ilmu dan dia mengamalkanya, tetapi orang tidak mendapat manfaat dari ilmunya, dia tidak dapat mengajar orang lain, rendah sikit darjatnya.

iii- Ada orang yang ada ilmu tetapi dia tidak mengamalkanya, orang juga tidak dapat manfaat dari ilmunya- rendahlah darjatnya daripada yang dua itu.

Yakni lagi banyak ilmunya tersebar lagi kuat dia beramal dan lagi ramai yang mendapat manfaat dari ilmunya- maka darjatnya lagi tinggi.

Ayat ini juga menunjukkan akan kelebihan ilmu daripada hanya beribadat saja.

Ilmu kita ini berbeze-beza, darjat kefahaman & amalan juga berbeza maka darjatnya juga berbeza.

Menuntut ilmu itu lebih mulia daripada beramal ibadat semata tanpa cuba mencari ilmu!

Alhamdulillah kita memohon kepada Allah s.w.t agar kita semua mendapat ilmu yang bermanfaat dan yang benar, beramal dengannya serta menyebarkannya juga!

Powered by BetterDocs