SURAH AL-LAIL : AYAT 12-21

\"\"

JALAN PETUNJUK, NERAKA UNTUK PENJAHAT & SYURGA UNTUK PENGINFAQ YANG IKHLAS.

Full video : https://youtu.be/yNWuHEvvMKg?si=9tq_wz0yzG02xBmN

MUQADDIMAH :

  1. Dalam siri ini Allah s.w.t menyatakan bahawa Dia-lah yang memberi jalan petunjuk, serta menyatakan bahawa akhirat itu yang kekal maka buatlah persiapaan untuk hidup abadi kerana atas dunia ini hanya sementara!
  2. Dinyatakan dua tempat kembali yang kekal di akhirat kelak ialah:
    i- neraka untuk penjahat.
    ii- syurga untuk yang bertaqwa & baik.
  3. Dalam surah ini fokus kepada orang baik itu ialah orang yang beriman & memberi dengan ikhlas; maka kita akan lihat apakah ciri-ciri orang bertaqwa & menginfak { أَعْطَىٰ وَٱتَّقَىٰ} yang disebut oleh Allah s.w.t ini!
  4. Munasabah ayat:
    i- dalam ayat yang lepas Allah nyatakan bahawa usaha & kerja-buat kamu itu berbeza-beza. Maka Allah permudahkan jalan yang baik kepada orang yang baik dan jalan yang sebaliknya dipermudahkan kepada orang yang tidak baik!

ii- maka dalam ayat-ayat ini Allah s.w.t jelaskan apakah jalan yang baik, yang dapat menyampaikan manusia itu kepada Allah & ke syurga yang dijanjikan-Nya!

AYAT 12- {SESUNGGUHNYA TANGGUNGAN KAMILAH MEMBERI HIDAYAH PETUNJUK (TENTANG YANG BENAR DAN YANG SALAH).} (AL-LAIL 92:12)

  1. Allah berjanji di sini bahawa Dia akan memberi kepada kita jalan petunjuk ke arah kebaikan!
    Maka kita janganlah cari yang lain jika mahu berjaya & selamat di akhirat.
  2. Jalan yang sebaliknya adalah jalan yang buruk yang akan membawa kepada azab & neraka!
    Jangan kita terjatuh atau memilih jalan ini!

AYAT 13- {DAN SESUNGGUHNYA KAMILAH YANG MENGUASAI HARI AKHIRAT DAN ALAM DUNIA.} (AL-LAIL 92:13)

  1. Allah s.w.t yang menguasai dunia akhirat, janganlah kamu berasa sombong & takabbur dari rahmat & pertolongan Allah!
    Mintalah keduanya dari Allah dunia & akhirat.
  2. Firman Allah s.w.t:
    {Sesiapa yang mahukan pahala (balasan) dunia sahaja (maka rugilah ia), kerana di sisi Allah disediakan pahala (balasan) dunia dan akhirat. Dan (ingatlah) Allah sentiasa Mendengar, lagi sentiasa Melihat.} (An-Nisaa\’ 4:134)
  3. Kata Imam Ibnu Jarir at-Tabari apakah maksudnya {}:
    i- iaitu Allah s.w.t akan memberi taufik untuk melakukan ketaatan ini kepada hamba-Nya yang disayangi-Nya atas dunia ini, diberinya kemuliaan di dunia & disediakan tempat & nikmat syurga di akhirat kelak.

ii- manakala orang yang tidak baik, tidak ikut agama & Sunnah Nabi s.a.w akan mendapat kehinaan walaupun atas dunia ini dia nampak macam mulia & tinggi kedudukannya di mata manusia.

  1. Anugerah yang kita dapat atas dunia ini tidak akan berulang lagi, maka ambillah manfaat darinya. Kesihatan sebelum kesakitan, gagah & muda sebelum tua & lemah, peluang masa & tempat bagi yang berada di Tanah Suci, atau waktu masih hidup sebelum mati dan seumpamanya.

Jika kita tidak ambil pemuang untuk beribadat & menambah ibadat apakah kita yakin kita akan dapat lagi peluamng begitu????

AYAT 14- {MAKA (SERENTAK DENGAN MEMBERI HIDAYAH PETUNJUK) AKU JUGA TELAH MEMBERI AMARAN MENGINGATKAN KAMU AKAN API NERAKA YANG MARAK MENJULANG,} (AL-LAIL 92:14)

  1. Selain memberi petunjuk Allah s.w.t juga telah memberi amaran kepada manusia yang tidak mahu ikuit petunjuk itu; tentang api neraka Jahannam yang sudah menyala sekarang, yang begitu panas!
  2. Sentiasalah kita berdoa setiap masa untuk dilindungi Allah s.w.t daripada azab neraka ini!

AYAT 15- {YANG TIDAK AKAN MENDERITA BAKARANNYA MELAINKAN ORANG YANG SUNGGUH CELAKA,} (AL-LAIL 92:15)

  1. Siapakah yang akan masuk dalam neraka ini?
  2. Iaitu orang yang celaka; tidak akan merasa kepanasan neraka ini melainkan orang kafir & orang jahat!
  3. Firman Allah s.w.t juga:
    {Kerana orang yang takut (melanggar perintah Allah) akan menerima peringatan itu;
    Dan (sebaliknya) orang yang sangat celaka akan menjauhinya,
    Dia lah orang yang akan menderita bakaran neraka yang amat besar (azab seksanya),
    Selain dari itu, ia tidak mati di dalamnya dan tidak pula hidup senang.} (Al-A\’laa 87: 10-13)

AYAT 16- {YANG TELAH MENDUSTAKAN (KEBENARAN) DAN BERPALING INGKAR.} (AL-LAIL 92:16)

  1. Siapakah juga orang celaka {ٱلْأَشْقَى } itu?
  2. Iaitu mereka yang mendustakan kebenaran & ingkar akannya!
    Kebenaran yang dibawa oleh Rasulullah s.a.w, tidak mahu ikut & beramal dengan apa yang diajarkan dari Sunnah Rasulullah s.a.w.

AYAT 17- {DAN (SEBALIKNYA) AKAN DIJAUHKAN (AZAB NERAKA) ITU DARIPADA ORANG YANG SUNGGUH BERTAQWA,} (AL-LAIL 92:17)

  1. Orang benar-benar bertaqwa akan selamat dari neraka. Iaitu orang mukmin yang takut akan kemurkaan & azab Allah s.w.t!
  2. Kata Syeikh Ibnu Athiyah rhm.: tidak berbeza pandangan ulama\’ tafsir bahawa orang yang bertaqwa yang dimaksudkan dalam ayat 17- 21 ini ialah Sayyidina Abu Bakar as-Siddiq r.a.
  3. Beliau mengetuai semua orang mukmin yang bertaqwa dan ikhlas dalam menginfaqkan hartanya fi-sabilillah, yang disebut dalam ayat al-Quran ini!
  4. Sesiapa yang bersifat seperti Abu Bakar yang mencintai Rasulullah s.a.w, beramal dengan Sunnahnya dan infaq fi-sabilillah akan termasuk dalam golongan ini!
    Mereka juga akan dijauhkan daripada api neraka.
  5. Ibnu Kathir rhm. juga telah menguatkan pendapat Ibnu Athiyah rhm. dan menyatakan bukan seorang dari kalangan ulama\’ tafsir yang berpandangan bahawa Abu Bakar r.a-lah yang dimaksudkan dalam ayat-ayat ini!
  • Ya Allah jadikan kami bersifat seperti golongan ini dalam semua bidang lalu mendapat rahmat Allah!
    Walaupun kita tidak boleh menjadi seperti Abu Bakar yang amat tinggi keimanannya; tetapi kita mampu mengikut jejaknya dalam infaq fi-sabilillah!

AYAT 18- {YANG MENDERMAKAN HARTANYA DENGAN TUJUAN MEMBERSIHKAN DIRINYA DAN HARTABENDANYA,} (AL-LAIL 92:18)

  1. Tujuan infaq itu adalah kerana dua sebab:
    i- untuk membersihkan jiwanya daripada sifat bakhil sayangkan harta tidak mahu keluar.

ii- membersihkan hartanya dalam hak faqir-miskin- seperti zakat yang wajib & sedekah yang digalakkan!

  1. Munasabah ayat:
    i- Allah s.w.t sebut dalam ayat yang lepas tentang kekuatan ilmiah iaitu bertaqwa dan iman yang mantap.

ii- maka dalam ayat ini disebut pula orang yang mantap dalam amali- iaitu amalannya!

Orang yang pemurah & dermawan, yang suburkan harta mereka dengan zakat.

AYAT 19- {SEDANG IA TIDAK MENANGGUNG BUDI SESIAPAPUN, YANG PATUT DI BALAS,} (AL-LAIL 92:19)

  1. Sifat pemberi nafkah ini juga tidak mengharapkan balasan atau memberi kerana mahu membalas balik budi atau membayar budi seseorang.
  2. Inilah sifat seperti Abu Bakar r.a; bukan kerana ada sebab atau sesuatu tujuan lain. Lillahi Ta\’ala- inilah sifat penginfaq yang istimewa itu!

AYAT 20- {HANYALAH MENGHARAPKAN KEREDAAN TUHANNYA YANG MAHA TINGGI;} (AL-LAIL 92:20)

  1. Tujuan mereka menginfaq itu ialah semata-mata kerana Allah, mengharapkan keredhaan-Nya & balasan yang dijanjikan di akhirat kelak!
  2. Ayat ini ditafsirkan juga dengan firman Allah s.w.t ini:
    i- {Maka (bagi menyatakan sikap syukur) berikanlah kepada kerabatmu, dan orang miskin serta orang musafir akan haknya masing-masing; pemberian yang demikian adalah baik bagi orang-orang yang bertujuan memperoleh keredaan Allah dan mereka itulah orang-orang yang berjaya.} (Ar-Ruum 30:38)

ii- {(Sambil berkata dengan lidah atau dengan hati): \”Sesungguhnya kami memberi makan kepada kamu kerana Allah semata-mata; kami tidak berkehendakkan sebarang balasan dari kamu atau ucapan terima kasih,} (Al-Insaan 76:9)

  1. Inilah darjat yang tinggi bagi pengikut Sayyidina Abu Bakar r.a- memberi tanpa mahukan balasan mahupun ucapan terima kasih!
    Bukan seperti masayarakat hari ini yang semuanya dirakam lalu diviralkan!
  2. Sebahagian ulama\’ tafsir berkata: Betapa ikhlasnya mereka yang memberi tanpa mengharapkan apa-apa balasan walaupun doa!
    Atas orang yang menerimalah untuk mendoakan kepada pemberi tanpa menunggu diminta!
  3. Hadis- Kisah UM Aisyah r.a yang apabila memberi sedekah dan didoakan oleh penerima, dia akan segera mendoakan mereka balik agar tidak berkurang pahala infaqnya!
  4. Dalam bab infaq: Banyakkan hulur; kurangkan tayang!

AYAT 21- {DAN DEMI SESUNGGUHNYA, IA TETAP AKAN BERPUAS HATI (PADA HARI AKHIRAT, DENGAN MENDAPAT SEGALA YANG DIHARAPKANNYA).} AL-LAIL 92:21)

  1. Bagi mereka yang bersifat sedemikian- mereka akan berpuas hati di akhirat kelak- menerima balasan, pulangan anugerah yang sangat besar dari Allah s.w.t!

PENUTUP & FAEDAH :

  1. Ayat 12- {Sesungguhnya tanggungan Kamilah memberi hidayah petunjuk (tentang yang benar dan yang salah).}- Allah bagi jaminan bahawa dia akan beri hidayah petunjuk kepada semua makhluk-Nya.

Persoalan:
Tetapi dalam ayat lain Allah s.w.t kata bahawa Dia tidak akan beri petunjuk kepada orang yang fasiq! Macamana ni?

JAWAPAN :

Kalimah petunjuk dalam al-Quran ada dua kategori-; khas & umum:
i- apabila Allah kata Dia mahu beri petunjuk kepada semua hamba-Nya, ini adalah umum.

ii- tetapi dalam masa yang sama ada pengecualian inilah yang khas. Iaitu kecuali kepada mereka yang fasiq, yang tidak mahu beriman & menerima kebenaran; maka mereka ini tidak akan termasuk dalam kategori orang yang akan menerima petunjuk Allah s.w.t!

Maka kita yang dengar ini kena berusahalah untuk mendapat petunjuk dari Allah Azza wa Jalla kerana Allah telah janjikannnya!
Ya Allah jadikanlah kami orang yang menerima petunjuk Allah s.w.t serta orang yang berpegang serta mengikut Sunnah Nabi s.a.w yang sahih!

  1. Ayat 15- {Yang tidak akan menderita bakarannya melainkan orang yang sungguh celaka,}- ada yang kata neraka itu hanya untuk orang kafir sahaja.

Bukan begitu, yang celaka ini { ٱلْأَشْقَى } ini adalah semua yang derhaka kepada Allah samada:
i- derhaka dari segi aqidah seperti kafir juga
ii- orang Islam yang derhaka dari segi perbuatan dosa & maksiat.

Neraka itu beberapa peringkat- ia bukan hanya untuk orang kafir- bahkan orang kafir itu juga ada pelbagai peringkat!

Ada kafir yang baik tidak buat jahat & zalim sesama manusia, kafir yang memang jahat dan jahat kelakuannya, kafir yang munafiq iaitu zahirkan iman sedangkan batinnya kufur!

Maka maksudnya { ٱلْأَشْقَى} di sini ialah:
i- kafir
ii- musyrik
iii- orang beriman yang tidak sempat bertaubat dari dosanya!
Kita minta perlindungan Allah s.w.t daripada api neraka!

  1. Ayat 17- {Dan (sebaliknya) akan dijauhkan (azab neraka) itu daripada orang yang sungguh bertaqwa,} & Ayat 18- {Yang mendermakan hartanya dengan tujuan membersihkan dirinya dan hartabendanya,}-orang yang bertaqwa & mendermakan (infaq) hartanya dengan tujuan membersihkan diri & mencari keredhaan Allah s.w.t!

Jelas di sini harta yang memberi manfaat ialah yang diinfaqkan ikhlas kerana Allah s.w.t, bukan kerana membalas budi, membayar hutang atau untuk menunjuk mencari pujian atau balasan manusia!

Infaq ada dua kategori:
i- yang wajib seperti nafkah anak isteri ke atas suami, zakat ke atas orang kaya yang cukup nisab hartanya, atau hutang orang yang wajib dibayar, hutang dengan Allah seperti nazar atau kaffarah dan lain-lain.

ii- infaq fi-sabilillah yang sunat seperti sedekah, waqaf dan seumpamanya.

Maka infaqlah dengan ikhlas dan kerana Allah.

  1. Ayat 19- {Sedang ia tidak menanggung budi sesiapapun, yang patut di balas,}- yakni harta itu dikeluarkan ikhlas kerana Allah; bukan kerana tujuan untuk membalas jasa atau mengharapkan balasan!

Maka di sini para ulama\’ mengeluarkan hukum bahawa tidak boleh bayar zakat kepada ibu bapa samada mereka sakit atau sihat, susah atau tidak!
Mereka telah memberi yang terbaik kepada kita, sanggup kita berikan kepada mereka hampas harta yang mesti dibersihkan???!!!
Zakat- harta yang kita tidak boleh guna, yang haram guna iaitu hak faqir miskin!

Di mana kasih sayang dan penghormatan kita kepada ibu bapa???
Zakat ini tidak diberi kepada usul (ibu bapa ke atas) dan furu\’ (anak ke bawah).

  1. Ayat 19- {Sedang ia tidak menanggung budi sesiapapun, yang patut di balas,} & Ayat 20- {Hanyalah mengharapkan keredaan Tuhannya Yang Maha Tinggi;}- tiada nikmat yang boleh dibalas!

Kata ulama\’ nikmat Islam yang kita terima daripada Rasulullah s.a.w ialah nikmat Islam. Nikmat lain boleh dibalas tetapi tidak nikmat agama Islam yang dibawa oleh Nabi s.a.w ini!

Kerana itu lelaki yang dipuji dalam ayat ini iaitu Sayyidina Abu Bakar as-Siddiq r.a sebagai seorang lelaki yang pertama yang beriman kepada Rasulullah s.a.w serta menggunakan seluruh hartanya untuk infaq fi sabilillah!

Cara nak balasnya ialah siapa yang cintakan Nabi s.a.w, ikut ajarannya & Sunnahnya, serta perbanyakkan selawat ke atas Baginda s.a.w sebagaimana yang diajarnya!

Ingat- Rasulullah s.a.w tidak pernah minta untuk kita sedekahkan amalan kepada Baginda- maka siapa yang nak buat umrah, bacaan al-Quran untuk sedekah kepada Baginda dan lain-lain amal ibadat adalah satu perbuatan yang tidak berasas kepada ajaran Baginda!

Apakah kamu berasa sudah banyak benar pahala & amalan kamu sehingga mahu sedekahnya kepada Rasulullah s.a.w???

Begitu juga berkat ilmu yang kita terima dari seseorang ustaz ialah menganbil faedah, mengamalkan ilmu yang kita dapat darinya bukan sekadar berselfie bergambar dengannya!

Allah tutup surah ini menyatakan: Jika kamu lakukan semua yang Aku sebut tadi; kamu akan tenang hati, lapang dada & redha dengan apa yang telah Allah s.w.t sediakan di akhirat kelak!

Ya Allah jadikan kami ahli syurga, orang yang berinfaq fi-sabilillah dengan penuh ikhlas, yang tidak meminta balasan & mengharapkan pujian; ikhlas semata-mata kerana-Mu.

Serta hilangkan sifat bakhil, kupit & cintakan harta & dunia dari dalam hati kami, supaya tangan kami ini laju untuk berinfaq pada jalan yang diredahi oleh-Mu ya Allah, sehingga kami mendapat title orang yang redha dengan apa yang kamu sediakan di akhirat kelak!

Powered by BetterDocs