SURAH AL-MULK : AYAT 12-15

\"\"

KEAMPUNAN BAGI ORANG TAKUT, ALLAH MENGETAHUI SEMUANYA & NIKMAT PENCIPTAAN BUMI UNTUK HAMBANYA.

Full video : https://youtu.be/o0exNwb2z0o

MUQADDIMAH :

  1. Dalam siri ini Allah s.w.t menyatakan kelebihan bagi orang yang takut kepada Allah s.w.t, dijanjikan keampunan daripada Allah Azza wa Jalla.
  2. Allah juga menyatakan bahawa Dia mengetahui semuanya tiada yang tersembunyi daripada ilmu-Nya.
  3. Kemudian Allah ungkit nikmat-Nya dalam penciptaan bumi untuk hamba-Nya. Serta disuruh untuk kita berjalan mencari rezeki di atasnya.
  4. Kemudian diingatkan kepada sekelian manusia bahawa kepada Allah jualah tempat kita kembali akhirnya!

AYAT 12- {SESUNGGUHNYA ORANG-ORANG YANG TAKUT (MELANGGAR HUKUM) TUHANNYA SEMASA MEREKA TIDAK DILIHAT ORANG DAN SEMASA MEREKA TIDAK MELIHAT AZAB TUHAN, MEREKA BEROLEH KEAMPUNAN DAN PAHALA YANG BESAR.} (AL-MULK 67:12)

  1. MUNASABAH AYAT : i- dalam ayat yang lepas Allah s.w.t sebut janji siksa (وعيد) kepada orang-orang kafir yang tidak mahu beriman dan derhaka kepada Allah s.w.t.
    Allah s.w.t juga sebut keadaan dan kedudukan orang yang jahat & celaka di akhirat kelak.

ii- maka dalam ayat ini Allah s.w.t bawa pula janji baik (وعد) kepada orang yang beriman dan takut kepada Allah s.w.t.
Serta hal keadaan orang yang bahagia dan bertuah yang mendapat kejayaan dan kesenangan di Akhirat pula!

Inilah uslub al-Quran, dibawa dua-dua yang baik & buruk, yang positif & negatif; maka kamu pilihlah apa yang kamu mahu; bahagia atau celaka, syurga atau neraka!

  1. Sesungguhnya orang yang betul-betul takut kepada Allah s.w.t, mereka tidak melanggar hukum Allah dan melampaui batas; samada ketika di khayalak ramai atau ketika tersembunyi dari pandangan mata orang ramai. Bukan hanya warak di depan orang tetapi di belakang orang- Allahu al-Musta\’an.
  2. Mereka ini juga takut dan taat kepada Allah meninggalkan maksiat dan menjaga hak Allah s.w.t walaupun mereka tidak pernah melihat azab Allah s.w.t.
  3. Beza antara takut (خوف) dengan takut (خشية):
    i- khauf (خوف)- takut biasa seperti kepada sesuatu yang membahayakan & yang tidak disukai seperti binatang buas atau penjahat!

ii- takut (خشية) adalah takut dengan ilmu & pengetahuan akan keagungan maka ia adalah takut dan mengagungkan seperti takut kepada Allah. Ia adalah martabat yang lebih tinggi.

  1. Maka bagi mereka yang takut dan mengagungkan Allah ini; Allah s.w.t sediakan keampunan dan pahala yang amat besar.

AYAT 13- {DAN TUTURKANLAH PERKATAAN KAMU DENGAN PERLAHAN ATAU DENGAN NYARING, (SAMA SAHAJA KEADAANNYA KEPADA ALLAH), KERANA SESUNGGUHNYA ALLAH MAHA MENGETAHUI AKAN SEGALA (ISI HATI) YANG TERKANDUNG DI DALAM DADA.} (AL-MULK 67:13)

  1. Munasabah ayat:
    i- Sifat takut itu sifat yang ada dalam hati manusia, tiada siapa yang dapat mengesah atau menafikannya.
    Maka setiap orang boleh dakwa dia takut kepada Allah, dia tidak buat derhaka dan maksiat di hadapan orang dan seumpamanya.

ii- Maka dalam ayat ini Allah s.w.t peringatkan agar kamu jangan buat dakwaan palsu, ingatlah bahawa kamu sentiasa di bawah perhatian Allah s.w.t. supaya kita jangan terpedaya dengan sifat Allah s.w.t yang bersifat Rahim & Ghafur tetapi jika langar perintah & hukum Allah, tidak ada sifat itu bagi kamu; Dia akan gunakan sifat-Nya yang lain pula, yang Amat Kuat & Gagah perkasa (Jabbar).

  1. Maka samada kamu bercakap dengan suara yang kuat atau perlahan (sembunyikan) perbuatan kamu zahir atau batin, kesemuanya adalah sama saja bagi Allah s.w.t, Dalam gelap atau cerah dalam ramai atau sedikit.
  2. Firman Allah s.w.t:
    i- {Sama sahaja kepada-Nya: sesiapa di antara kamu yang merahsiakan kata-katanya dalam hati dan yang menyatakannya; juga yang bersembunyi pada waktu malam dan yang keluar berjalan pada waktu siang.} (Ar-Ra\’d 13:10)

ii- {Dan jika engkau menyaringkan suara dengan doa permohonanmu, (maka yang demikian tidaklah perlu), kerana sesungguhnya Allah mengetahui segala rahsia dan segala yang tersembunyi.} (Taha 20:7)

  1. Sesungguhnya Allah s.w.t mempunyai ilmu yang sempurna dan lengkap tentang simpulan iman yang ada dalam hati hamba-Nya. Yakni dari segi aqidah dan niat- apakah kerana Allah atau kerana manusia? Segala lintasan hati yang baru kamu khayalkan pun Allah tahu!
  2. Sedangkan yang tersembunyipun Allah tahu apatah lagi yang kamu nyaringkan atau tunjuk zahirkan- semuanya tiada beza bagi lah s.w.t!

AYAT 14- {TIDAKKAH ALLAH YANG MENCIPTAKAN SEKALIAN MAKHLUK ITU MENGETAHUI (SEGALA-GALANYA)? SEDANG IA MAHA HALUS URUSAN PENTADBIRANNYA, LAGI MAHA MENDALAM PENGETAHUANNYA!} (AL-MULK 67:14)

  1. Allah nyatakan bahawa Dia yang mencipta segala makhluk atas dunia ini pastilah mengetahui segala urusan dan kejadian mereka!
  2. Munasabah: Tadi Allah sebut bahawa sifat-Nya Dia tahu segala yang tersembunyi atau nyata, dalam hati atau yang zahir; maka di sini Allah s.w.t bawa dalil bahawa Dia tahu semua kejadian dalam alam ini, dalam bukit atau dalam sungai, dalam batu atau dalam kayu, semuanya di bawah pengetahuan-Nya tiada yang tersembuyi daripada Allah s.w.t!
  3. Maka datanglah ayat ini bahawa Allah s.w.t Maha Halus urusan PentadbiranNya, lagi Maha Mendalam PengetahuanNya.
    Bagaimana kita nak kata Tuhan tidak tahu sedangkan Dia yang mencipta segalanya, Dia susun, atur dan mentadbir segalanya!
  4. Dari makhluk-nya yang sehabis besar sehingga yang sehabis halus seperti cacing atau ulat dalam batupun semuanya ada rezekinya.
  5. Jika yang dalam dada pun pun Allah tahu apatah lagi yang zahir, maka ia adalah satu peringatan dan amaran kepada kita agar sentiasa menyedari dan merasai muraqabah (pemantauan) Allah s.w.t!

AYAT 15- {DIA LAH YANG MENJADIKAN BUMI BAGI KAMU: MUDAH DIGUNAKAN, MAKA BERJALANLAH DI MERATA-RATA CERUK RANTAUNYA, SERTA MAKANLAH DARI REZEKI YANG DIKURNIAKAN ALLAH; DAN (INGATLAH), KEPADA ALLAH JUALAH (TEMPAT KEMBALI KAMU SESUDAH) DIBANGKITKAN HIDUP SEMULA; (MAKA HARGAILAH NIKMATNYA DAN TAKUTILAH KEMURKAANNYA).} (AL-MULK 67:15)

  1. Allah yang menjadikan bumi mudah untuk kamu gunakan (ٱلْأَرْضَ ذَلُولًۭا).
    Yakni Allah s.w.t permudahkan segala perkara atas dunia ini untuk kita guna dan ambil manfaat daripadanya.
  2. Munasabah ayat:
    i- apabila Allah s.w.t menceritakan tentang pemciptaan manusia sebelum ini, Allah cipta kita.

ii- maka dalam ayat ini Allah s.w.t nyatakan bahawa bumi yang kita duduk ini pun Dia yang cipta untuk kita. Allah s.w.t ungkitkan hal ini supaya kita sedar & insaf. Mudah untuk kita berjalan serta segala sumber rezeki kita ada atas atau di dalam perut bumi. Semuanya Allah s.w.t buat untuk kita!

  1. Maka maka berjalanlah di merata-rata ceruk rantaunya (فِى مَنَاكِبِهَا), berjalan mengembaralah atas muka bumi ini untuk mencari rezeki & manfaat darinya.
  2. Kata ulama\’ maksudnya (فِى مَنَاكِبِهَا) ialah:
    i- berjalanlah di segenap lorong dan jalan-jalan yang ada untuk mencari rezeki & teman.
    ii- naik atas bukitnya.
  3. Serta makanlah daripada rezekinya yang ada dan disediakan untuk kamu.
  4. Tetapi ingatlah walau sebebas mana kamu berjalan dan mengembara atas muka bumi ini, kepada Tuhan jualah kamu akan kembali!
  5. Maka hargailah nikmat-Nya dan takutilah hukum-Nya.

PENUTUP & FAEDAH :

  1. Ayat 12- {Sesungguhnya orang-orang yang takut (melanggar hukum) Tuhannya semasa mereka tidak dilihat orang}- orang yang takut (يَخْشَوْنَ) kepada Allah walaupun dia tidak nampak Tuhan & orang tidak nampak dia.

Kita hendaklah (خشية) takut, gerun dengan penuh takzim dan mahabbah kepada Allah s.w.t dalam setiap keadaan ketika zahir atau batin, nampak atau rahsia!

Ada orang yang hanya takut kepada Allah ketika orang nampak, di hadapan orang sahaja!

Hadis- BAHAYA ZAHIRNYA BAIK TAPI MELAKUKAN MAKSIAT TERSEMBUNYI.

عَنْ ثَوْبَانَ عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَنَّهُ قَالَ لَأَعْلَمَنَّ أَقْوَامًا مِنْ أُمَّتِي يَأْتُونَ يَوْمَ الْقِيَامَةِ بِحَسَنَاتٍ أَمْثَالِ جِبَالِ تِهَامَةَ بِيضًا فَيَجْعَلُهَا اللَّهُ عَزَّ وَجَلَّ هَبَاءً مَنْثُورًا قَالَ ثَوْبَانُ يَا رَسُولَ اللَّهِ صِفْهُمْ لَنَا جَلِّهِمْ لَنَا أَنْ لَا نَكُونَ مِنْهُمْ وَنَحْنُ لَا نَعْلَمُ قَالَ أَمَا إِنَّهُمْ إِخْوَانُكُمْ وَمِنْ جِلْدَتِكُمْ وَيَأْخُذُونَ مِنْ اللَّيْلِ كَمَا تَأْخُذُونَ وَلَكِنَّهُمْ أَقْوَامٌ إِذَا خَلَوْا بِمَحَارِمِ اللَّهِ انْتَهَكُوهَا

Thauban r.a meriwayatkan bahawa Nabi s.a.w bersabda:
\”Sungguh aku telah mengetahui bahawa ada suatu kaum dari ummatku yang datang pada hari Kiamat dengan membawa kebaikan sebesar gunung Tihamah yang putih, kemudian Allah menjadikannya sia-sia seperti debu yang berhamburan!

Thauban berkata; \”Wahai Rasulullah, sebutkanlah ciri-ciri mereka dan jelaskanlah tentang mereka kepada kami, supaya kami tidak menjadi seperti mereka, sedangkan kami tidak menyedarinya.\”

Baginda s.a.w bersabda: \”Sesungguhnya mereka adalah saudara-saudara kamu dan dari golongan kamu juga, mereka beribadat pada waktu malam sebagaimana kamu mengerjakannya, tetapi mereka adalah kaum yang apabila mereka bersendirian dengan apa yang diharamkan Allah, mereka melanggarnya (yakni melakukannya). [HR Ibnu Majah, sanadnya Sahih].

  1. Ayat 13- {Dan tuturkanlah perkataan kamu dengan perlahan atau dengan nyaring, (sama sahaja keadaannya kepada Allah), – ayat ini Allah s.w.t tujukan kepada semua makhluk dalam semua keadaan & perbuatan.

Ini supaya kita sentiasa ingat bahawa perkataan atau perbuatan kita adalah sama saja bagi Allah s.w.t samada kita zahirkan atau sembunyikan; bukan seperti kita sesama makhluk!

Kita kena yakin dan tahu bahawa Allah s.w.t sentiasa perhatikan kita, tidak ada tempat & masa yang dapat kita bersembunyi daripada pengetahuan atau penglihatan Allah s.w.t!

  1. Ayat 15- {Maka berjalanlah di merata-rata ceruk rantaunya, serta makanlah dari rezeki yang dikurniakan Allah;}- ulama\’ membincangkan apakah arahan ini wajib atau harus?

JAWAPAN :

Ia hanyalah perkara yang harus jika tiada keperluan maka tidak wajib kamu keluar mengembara atau bermusafir.

Setiap manusia sepatutnya makan daripada hasil usaha kerja buatnya, maka keluar bekerja & berniaga adalah satu keperluan, samada perlu bermusafir atau tidak, lihat kepada keperluannya. Yang penting berusaha bukan hanya tunggu rezeki datang bergolek!

  1. Ayat 15- {Maka berjalanlah di merata-rata ceruk rantaunya, serta makanlah dari rezeki yang dikurniakan Allah;}- Islam telah mengajar kepada kita untuk mengutamakan apa sahaja yang dapat memberi kebaikan kepada umat ini samada dari segi kemajuan atau teknologi.
    Islam tidak menghalang kemajuan dan kebaikan dunia juga.
    Benda baik yang hilang daripada orang mukmin kita kena ambil baliknya walaupun kita jumpainya di bukan negara Islam, di Eropah atau bukan di kalangan orang mukmin!

Kerana itulah Allah s.w.t menggesa agar kamu keluar mencari rezeki, jika tiada yang dekat keluarlah cari yang jauh walaupun terpaksa keluar mengembara, jika tiada di lembah bumi, naiklah walaupun ke atas bukit.

Setiap orang itu rezekinya tidak sama dan lain-lain, ada yang mudah & dekat saja, ada yang jauh dan sukar untuk mendapatkannya. Maka keluar berusahalah mencari rezeki kamu, bukan hanya bergantung kepada nasib!

  1. Ayat 15- {Dan (ingatlah), kepada Allah jualah (tempat kembali kamu sesudah) dibangkitkan hidup semula;}- Allah memperingatkan bahawa sejauh mana kamu pergi, kamu semua akan mati dan kembali kepada Allah s.w.t.

Kita akan berhadapan dengan Allah s.w.t jadi segala amalan perbuatan & usaha kita mestilah patuh Syari\’ah, jauhi yang haram & syubhah!

Maka ingatlah dunia ini adalah satu tempat ujian, diberi rezeki yang halal & haram; kamu pilih yang mana? Mahu taat atau mahu derhaka? Mahu bahagia atau celaka? Mahu syurga atau neraka?

Dunia ini bukan tempat tinggal yang kekal tetapi tempat meninggal!
Kita meninggalkan perkara yang baik, yang boleh menjadi asset kepada kita selepas kita mati, meninggalkan keluarga yang kita sayangi, meninggalkan segala harta yang kita kejar selama ini!

Akhir sekali kita keseorangan di dalam kubur, duit tiada, bekalan tiada, amalan pun tidak banyak, maka apa yang akan berlaku kepada kita?

Semoga Allah selamatkan kita dari segala huru-hara & azab kubur dan hari Kiamat.

Kitab Keindahan Islam cetakan baru yang baru sampai:
https://dartaibah.com/

Powered by BetterDocs