SURAH AT-TUR : AYAT 22-28

\"\"

PELBAGAI NIKMAT BAGI AHLI SYURGA & PERBUALAN SESAMA MEREKA.

Full video : https://youtu.be/BemCWCOLx40

MUQADDIMAH :

  1. Dalam siri ini Allah s.w.t menceritakan tentang pelbagai nikmat yang disediakan bagi ahli syurga.
  2. Juga bagaimana dialog perbualan sesama mereka setelah berada d dalam syurga.
    Ya Allah jadikan kami dari golongan mereka ini.

AYAT 22- {DAN (PENDUDUK SYURGA ITU) KAMI TAMBAHI MEREKA (DARI SEMASA KE SEMASA), DENGAN BUAH-BUAHAN DAN DAGING DARI BERBAGAI JENIS YANG MEREKA INGINI.} (AT-TUUR 52:22)

  1. Selain daripada nikmat-nikmat yang disebut dalam ayat sebelum ini, Allah nyatakan dalam ayat ini bahawa Dia tambahkan lagi (وَأَمۡدَدۡنَٰهُم) untuk mereka nikmat-nikmat itu dari masa ke semasa.
  2. Iaitu tambahan nikmat kepada ahli syurga dari segi makanan seperti buah-buahan dan daging dari berbagai jenis yang mereka ingini.
  3. Kata al-Qurtubi rhm.- maksudnya ditambahkan (وَأَمۡدَدۡنَٰهُم) ialah diperbanyakkan lagi tambahan hidangan atau menu yang sentiasa bertukar dan bertambah dari masa ke semasa.
  4. Firman Allah s.w.t:
    {Serta buah-buahan yang banyak,
    Yang tidak putus-putus dan tidak pula terlarang mendapatnya,} (Al-Waaqi\’ah 56: 32-33)
    Iaitu buah-buahnya tidak ada musim, sentiasa ada dan tidak ada pantang dan tidak memberi mudharat.
  5. Sebagaimana kata pakar pemakanan bahawa elok kita makan buah dulu sebelum hidangan berat yang lain, sepertimana yang dalam beberapa ayat al-Quran ini, disebut buah dulu sebelum daging dan lain-lain. Wallahu a\’lam.

AYAT 23- {MEREKA DI DALAM SYURGA ITU (KERANA MELAHIRKAN KEMESRAAN ANTARA SATU DENGAN YANG LAIN): BEREBUT-REBUT MENGAMBIL PIALA YANG BERISI ARAK YANG TIDAK MENYEBABKAN TIMBUL (DARI PEMINUMNYA) PERKARA YANG SIA-SIA DAN TIDAK PULA MENYEBABKAN (PEMINUMNYA MENANGGUNG) DOSA.} (AT-TUUR 52:23)

  1. Mereka ahli syurga berebut-rebut dengan mesra & gembira, mengambil piala-piala (كَأۡسٗا)- gelas berkaki kecil yang berisi arak.
  2. Nama saja arak, tetapi bukan seperti yang haram dan memabukkan di dunia ini. Ia tidak akan memudharatkan peminumnya (لَّا لَغۡوٞ) iaitu dengan menjadi mabuk dan tidak sedar diri merapu, juga mereka tidak akan menanggung dosa (وَلَا تَأۡثِيمٞ) akibat perbuatan itu.
  3. Ini kerana di akhirat kelak tidak ada lagi dosa atau pahala, hanya ada nikmat syurga atau azab neraka!
  4. Kata al-Auza\’i: Maksud mereka berebut-rebut (يَتَنَٰزَعُونَ) itu ialah hukur-menghulur dengan mesra dan bergembira tanpa perasaan dengki dan pentingkan diri, saja untuk menunjukkan kegembiraan dan kemesraan persahabatan sesama mereka.
  5. Ini kerana di dalam syurga hatinya bersih, tiada lagi penyakit hati seperti hasad dengki dan seumpamanya. Kita atas dunia ini jika datang perasaan itu cepat-cepat tolak dan ubatinya dengan beristighfar dan ingat kepada nikmat yang kita ada, mungkin dia tiada.
  6. Kerana semasa di dunia ini arak adalah sesuatu yang haram, memabukkan dan berdosa peminumnya, maka Allah s.w.t nyatakan dengan jelas bahawa arak di dalam syurga itu ialah arak nikmat:

i- yang tidak akan memudharatkan peminumnya (لَّا لَغۡوٞ) iaitu dengan menjadi mabuk dan tidak sedar diri merapu, menghina diri.

ii- juga mereka tidak akan menanggung dosa (وَلَا تَأۡثِيمٞ) kerana ia tidak lagi haram dan tiada dosa pahala dalam syurga.

AYAT 24- {DAN MEREKA DILAYANI OLEH ANAK-ANAK MUDA LELAKI YANG SENTIASA BEREDAR DI SEKITAR MEREKA, (YANG CANTIK PARASNYA) SEOLAH-OLAH ANAK-ANAK MUDA ITU MUTIARA YANG TERSIMPAN DENGAN SEBAIK-BAIKNYA.} (AT-TUUR 52:24)

  1. Para pelayan atau pembantu mereka di dalam syurga pula para pemuda (غِلۡمَانٞ) yang sentiasa siap sedia berkhidmat memberi layanan kepada mereka.
  2. Rupa paras mereka pula amat cantik & indah, seolah permata mutiara (لُؤۡلُؤٞ) yang tersimpan rapi di dalam bekasnya (مَّكۡنُونٞ).
  3. Firman Allah s.w.t juga:
    {Mereka dilayani oleh anak-anak muda lelaki (وِلۡدَٰنٞ) yang tetap kekal (dalam keadaan mudanya), yang sentiasa beredar di sekitar mereka, –
    Dengan membawa piala-piala minuman dan tekoh-tekoh serta piala atau gelas yang berisi arak (yang diambil) dari sungainya yang mengalir.
    Mereka tidak merasa pening kepala dan tidak pula mabuk dengan sebab menikmatinya.
    Dan juga (dibawakan kepada mereka) buah-buahan dari jenis-jenis yang mereka pilih,
    Serta daging burung dari jenis-jenis yang mereka ingini.
    Dan (mereka dilayani) bidadari-bidadari yang cantik parasnya,
    Seperti mutiara yang tersimpan dengan sebaik-baiknya.
    (Semuanya itu) sebagai balasan bagi (amal-amal baik) yang mereka telah kerjakan.} (Al-Waaqi\’ah 56: 17-24)
  4. Jika pelayan syurga saja sudah begitu indah rupanya, bayangkanlah ahli syurga yang dilayannya pula!
    Ya Allah jadikanlah kami ahli syurga-Mu!

AYAT 25- {DAN (DENGAN BERADA DALAM NIKMAT ITU) MEREKA BERHADAP-HADAPAN SATU SAMA LAIN SAMBIL BERTANYA-TANYA.} (AT-TUUR 52:25)

  1. Para ahli syurga itu duduk berhadap antara satu sama lain sambil berbual mesra bertanya khabar sesama mereka.
  2. Mereka bercerita dan bercakap tentang keadaan mereka di dunia dulu. Sebagaimana dalam ayat seterusnya.

AYAT 26- {MEREKA BERKATA: \”SESUNGGUHNYA KAMI DAHULU, SEMASA BERADA DALAM KALANGAN KELUARGA KAMI – SELALU MERASA CEMAS TAKUT (DARIPADA BERLAKU DERHAKA KEPADA ALLAH),} (AT-TUUR 52:26)

  1. Mereka mengatakan bahawa mereka dulu semasa di dunia dulu sentiasa dalam keadaan takut & cemas (مُشۡفِقِينَ). Iaitu takut & berhati-hati akan azab Allah s.w.t!
    Yakni tidak akan buat perkara mungkar & maksiat kepada Allah.
  2. Ini adalah sifat yang melayakkan kita menjadi ahli syurga!
    Maka jika nak jadi ahli syurga kita kena ada sifat takut kepada Allah di dalam hati kita, takut akan kemurkaan Allah s.w.t, berhati-hati daripada terjebak dengan mungkar & maksiat, tidak keluar dari landasan Sunnah Nabi s.a.w.
  3. Firman Allah s.w.t:
    i- {Iaitu mereka yang takut (melanggar hukum-hukum) (يَخۡشَوۡنَ) Tuhannya semasa mereka tidak dilihat orang, dan mereka pula gerun cemas (مُشۡفِقُونَ) akan (peristiwa-peristiwa yang mengerikan pada) hari kiamat.} (Al-Anbiyaa\’ 21:49)

ii- {Dan mereka yang cemas takut (مُّشۡفِقُونَ) daripada ditimpa azab Tuhannya,} (Al-Ma\’aarij 70:27)

AYAT 27- {\”MAKA ALLAH MENGURNIAKAN KAMI (RAHMAT DAN TAUFIQNYA), SERTA MEMELIHARA KAMI DARI AZAB NERAKA.} (AT-TUUR 52:27)

  1. Maka dengan rahmat & taufiq dari Allah s.w.t, kami selamat dari azab neraka dan mendapat nikmat ini!
    Ya Allah selamatkan kami dari azab neraka-Mu! Kurniakan kami taufiq & hidayah-Mu!
  2. Inilah ucapan ahli syurga nak menyatakan nikmat yang mereka dapat sekarang setelah menyatakan sebab-sebab yang menyampaikan mereka ke syurga!
  3. Maka kita juga kena ada dua-dua ini, cari sebab untuk ke syurga & bersyukur atas nikmat yang kita ada iaitu anugerah iman & Islam ini.

AYAT 28- {\”SESUNGGUHNYA KAMI DAHULU TETAP MENYEMBAHNYA (DAN MEMOHON PERTOLONGANNYA). KERANA SESUNGGUHNYA DIA LAH SAHAJA YANG SENTIASA MELIMPAHKAN IHSANNYA, LAGI YANG MAHA MENGASIHANI\”.} (AT-TUUR 52:28)

  1. Ahli syurga ini juga berkata lagi bahawa mereka di dunia dulu tetap menyembah Allah & banyak berdoa kepada Allah dengan doa yang murni & ikhlas kepada Allah s.w.t semata-mata.
    Tiada perantaraan atau orang tengah, terus kepada Allah s.w.t, tidak bercampur dengan sebarang yang lain!
  2. Inilah sifat kedua seorang ahli syurga itu. Sentiasa beribadat, berdoa dan meminta murni terus kepada Allah semata!
  3. Doa itu ada dua kategori:
    i- doa ibadat (دعاء العبادة)- semua perbuatan yang kita buat seperti solat, zikir, doa dan lain-lain.

ii- doa permohonan (دعاء المسألة) meminta sesuatu seperti meminta pertolongan dan kebaikan atau & memohon perlindungan-Nya dari keburukan.

4. Maka Allah s.w.t kabulkan doa mereka, masukkan mereka dalam rahmat-Nya, mendapat segala nikmat sebagai ahli syurga.

5. Firman Allah s.w.t:
{Sesungguhnya mereka sentiasa berlumba-lumba dalam mengerjakan kebaikan dan sentiasa berdoa kepada kami dengan penuh harapan serta gerun takut; dan mereka pula sentiasa khusyuk (dan taat) kepada Kami.} (Al-Anbiyaa\’ 21:90)

6. Antara sifat doa yang mustajab, Allah s.w.t nyatakan dalam firman-Nya ini:
{Mereka merenggangkan diri dari tempat tidur, (sedikit sangat tidur, kerana mengerjakan solat tahajjud dan amal-amal soleh); mereka sentiasa berdoa kepada Tuhan mereka dengan perasaan takut (خَوۡفٗا) (akan kemurkaan-Nya) serta dengan perasaan ingin memperolehi lagi (وَطَمَعٗا) (keredhaan-Nya); dan mereka selalu pula mendermakan sebahagian dari apa yang Kami beri kepada mereka.} (As-Sajdah 32:16)

7. Adab berdoa dengan senyap, jangan bertempik dan melaung ramai-ramai, berdoa dalam keadaan takut (خوف) dan mengharapkan rahmat Allah s.w.t!

8. Ini kerana Allah s.w.t sahajalah yang melimpahkan ihsan-Nya, lagi Yang Maha Mengasihani, maka pengharapan kita sepenuh kepada-Nya.

PENUTUP/BEBERAPA FAEDAH RINGKAS :

  1. Ayat 22- {Dan (penduduk Syurga itu) Kami tambahi mereka (dari semasa ke semasa), dengan buah-buahan dan daging dari berbagai jenis yang mereka ingini.}- ayat ini begitu halus uslubnya, Allah tambahkan kepada mereka nikmat-Nya ke atas mereka.

Ini kerana dalam ayat sebelumnya Allah nafikan bahawa pahala & nikmat mereka di dalam syurga akan dikurangkan dengan sebab berkumpul ramai-ramai.

Maka Allah sebut tambahan nikmat lagi dari segi buah-buahan dan daging dari berbagai jenis, apa saja yang mereka ingini.

  1. Ayat 24- {Dan mereka dilayani oleh anak-anak muda lelaki yang sentiasa beredar di sekitar mereka, (yang cantik parasnya) seolah-olah anak-anak muda itu mutiara yang tersimpan dengan sebaik-baiknya.}- Allah sebut dalam ayat ini bahawa para pelayan, pemuda itu adalah milik mereka (غِلۡمَانٞ لَّهُمۡ). Mereka tidak akan pergi tinggalkan tuan mereka ahli syurga itu.
    Allah ciptakan pemuda (غِلۡمَانٞ) ini khas untuk ahli syurga para pelayan ini!

Rupa paras mereka juga amat indah dan cantik.
Maka kata ulama\’, jika para pelayan sahaja sudah begitu indah kejadiannya, tidak dibayangkan bagaimana pula keadaan dan rupa paras tuan yang dilayannya?
Para ahli syurga yang berasal dari dunia dulu!

  1. Ayat 25- {Dan (dengan berada dalam nikmat itu) mereka berhadap-hadapan satu sama lain sambil bertanya-tanya.}- sempurnanya adab para ahli syurga itu, mereka bercakap sambil menghadap muka dan memandang wajah/mata satu sama lain!

Kita di dunia ini juga cubalah beradab seperti ahli syurga ini! Tumpukan perhatian kepada orang yang bercakap dengan kita, pandang mukanya!

Kecuali jika bukan mahram, seperti antara wanita & lelaki ajnabi, jangan menghadap & duduk dekat dan teralu mesra tanpa batasan dan malu.
Wajib ada batasan kerana Allah s.w.t telah perintahkan untuk tundukkan pandangan, jangan bertentangn mata tanpa keperluan yang darurat!

  1. Ayat 26- {Mereka berkata: \”Sesungguhnya kami dahulu, semasa berada dalam kalangan keluarga kami – selalu merasa cemas takut (daripada berlaku derhaka kepada Allah),} – ayat ini Allah sebut antara sebab seseorang itu layak menjadi ahli syurga!

Iaitu sentiasa muhasabah diri, takut cuai dan terpesong dari perintah Allah, takut terjebak dengan maksiat dan segala perkara yang menyebabkan kemurkaan Allah s.w.t!

Firman Allah s.w.t:
i- {Dan mereka yang cemas takut (مُّشۡفِقُونَ) daripada ditimpa azab Tuhannya,} (Al-Ma\’aarij 70:27)

ii- {Sesungguhnya orang-orang yang sentiasa bimbang disebabkan takut (مُّشۡفِقُونَ) kepada (kemurkaan) Tuhan mereka; (Al-Mu\’minuun 23:57)

Sifat (خوف) & (مُّشۡفِقُونَ) takut inilah yang akan melayakkan kita menjadi ahli syurga dan selamat dari azab neraka!

  1. Ayat 28- {\”Sesungguhnya kami dahulu tetap menyembahNya (dan memohon pertolonganNya)}- yakni mereka ahli syurga ini sentiasa berdoa memohon kepada Allah s.w.t Maka kita kena amalkan sifat ini sentiasa.

Hadis Nabi s.a.w:
عن أبي هريرة رضى الله عنه أن رسول الله صلى الله عليه وسلم قال : إذا مات ابن آدم انقطع عمله إلا من ثلاث: صدقة جارية أو علم ينتفع يه أو ولد صالح يدعو له

Daripada Abu Hurairah r.a katanya: Rasulullah S.A.W telah bersabda:
Jika anak Adam meninggal dunia, maka amalnya terputus kecuali dari tiga perkara, sedekah jariyah (waqaf), ilmu yang bermanfaat, dan anak soleh yang berdoa kepadanya.\” (HR Muslim).

Sebagaimana dalam ayat sebelum ini seorang bapa yang soleh dapat menolong zuriat keturunannya yang beriman.
Begitu juga anak yang soleh yang sentiasa berbakti & mendoakan kedua ibu bapanya, maka mereka akan mendapat syafaat dari amal solehnya.

Inilah sifat doa yang perlu kita amalkan, dalam keadaan takut & penuh pengharapan kepada lah Azza wa Jalla!

Insya\’ Allah rahmat Allah s.w.t itu sangat luas, kita berdoa semoga rahmat-Nya samapi kepada kita di dunia ini dan di akhirat kelak!

Hari ini hari Jumaat, ingat Jumaat ingat selawat dan jangan lupa baca surah al-Kahfi!

Powered by BetterDocs