SURAH AL-MUZZAMMIL : AYAT 20

\"\"

NABI S.A.W DAN SAHABAT BERTAHAJJUD, SEBAB DIRINGANKAN SOLAT MALAM & ARAHAN MENDIRIKAN SOLAT, ZAKAT DAN SEDEQAH.

Full video : https://youtu.be/g1W-LPYMmOc?si=pOkoFDahC6jL1B5N

MUQADDIMAH :

  1. Dalam siri ini kita akan lihat satu ayat sahaja iaitu yang ke-20, ayat terakhir bagi surah ini.
    Allah s.w.t ceritakan tentang Nabi s.a.w dan para sahabat telah bangun bertahajjud, ada satu perdua malam, ada satu pertiga atau dua pertiga malam. Kadarnya berbeza mengikut musim.
  2. Kemudian Allah s.w.t ceritakan kenapa sebab diringankan arahan solat malam, bila dan banyak mana kita mampu buat.
  3. Lalu Allah membawa arahan supaya mendirikan solat, zakat dan sedeqah, amal kebaikan, ibadat kepada Allah s.w.t.
  4. Munasabah ayat:
    i- Pada awal surah ini Allah sebut perintah-Nya agar Rasulullah s.a.w bangun berdiri malam samada pada satu pertiga malam, setengahnya atau 2/3-nya. Rasulullah s.a.w pasti akan menjadi contoh kepada umatnya.

ii- maka dalam ayat ini dinyatakan bahawa Rasulullah s.a.w & sahabat-sahabat Baginda sudah buat. Ini adalah satu perakuan & perisytiharan dari Allah s.w.t bahawa Rasulullah s.a.w & para sahabatnya telah melaksanakan perintah Allah s.w.t.

Ayat ini panjang jadi kita akan terjemahkannya ikut bahagian tajuk.

AYAT 20- {SESUNGGUHNYA TUHANMU (WAHAI MUHAMMAD) MENGETAHUI BAHAWASANYA ENGKAU BANGUN (SEMBAHYANG TAHAJJUD) SELAMA KURANG DARI DUA PERTIGA MALAM, DAN SELAMA SATU PERDUANYA, DAN SELAMA SATU PERTIGANYA; DAN (DEMIKIAN JUGA DILAKUKAN OLEH) SEGOLONGAN DARI ORANG-ORANG YANG BERSAMA-SAMAMU (KERANA HENDAK MENEPATI PERINTAH YANG TERDAHULU);}

  1. Allah s.w.t mengakui bahawa Dia tahu, Rasulullah s.a.w & para sahabat telah melaksanakan perintah Allah untuk bangun bersolat & beribadat pada waktu malam.
  2. Hadis UM Aisyah r.a, beliau menceritakan:
    Apabila solat, Rasulullah s.a.w berdiri hingga kaki Baginda bengkak.
    Sayyidah Aisyah berkata: Wahai Rasulullah, kenapa Tuan melakukan ini padahal Allah telah mengampuni dosa Tuan yang telah berlalu dan yang dikemudian?
    Baginda s.a.w bersabda: Apakah tidak boleh aku menjadi hamba yang bersyukur? [HR Bukhari & Muslim].
  3. Bagaimanakah sifat solat malam Rasulullah s.a.w?

عَنْ زَيْدِ بْنِ خَالِدْ الْجُهَنِيِّ أَنَّهُ قَالَ : لأَرْمُقَنَّ صَلاَةَ رَسُوْلُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ اللَّيْلَةَ ، فَصَلَّى رَكْعَتَيْنِ خَفِيْفَتَيْنِ ، ثُمَّ صَلَّى رَكْعَتَيْنِ طَوِيْلَتَيْنِ ، طَوِلَتَيْنِ ، طَوِلَتِيْنِ ، ثُمَّ صَلَّى رَكْعَتَيْنِ وَهُمَا دُوْنَ اللَّتَيْنِ قَبْلَهُمَا ، ثُمَّ صَلَّى رَكْعَتَيْنِ وَهَمَا دُوْنَ اللَّتَيْنِ قَبْلَهُمَا ، ثُمَّ صَلَّى رَكْعَتَيْنِ وَهُمَا دُوْنَ اللَّتَيْنِ قَبْلَهُمَا ، ثُمَّ صَلَّى رَكَعَتَيْنِ وَهُمَا دُوْنَ اللَّتَيْنِ قَبْلَهُمَا ، ثُمَّ أَوْتَرَ ، فَذَلِكَ ثَلاَثَ عَشَرَةَ رَكْعَةً.

\”Dari Zaid bin Khalid al-Juhani r.a, dia berkata:
Aku pernah memerhatikan dengan teliti cara solat malamnya Rasulullah s.a.w.
Baginda memulakan dengan dua rakaat yang ringan (pendek bacaannya), kemudian solat dua rakaat yang amat panjang (panjang bacaannya), kemudian solat dua rakaat yang kurang panjang dari sebelumnya, dua rakaat yang kurang panjang dari sebelumnya, kemudian solat lagi dua rakaat yang lamanya kurang dari dua rakaat yang sebelumnya, lalu solat lagi dua rakaat yang lamanya kurang dari dua rakaat sebelumnya, kemudian solat lagi yang lamanya kurang dari dua rakaat sebelumnya, kemudian baginda solat witir satu rakaat, maka semuanya tiga belas rakaat\”. (H/R Muslim 2/183)

  1. Hadis Huzaifah ibnul Yaman r.a- yang ikut Nabi s.a.w solat malam:

عَنْ حُذَيْفَةَ قَالَ صَلَّيْتُ مَعَ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ذَاتَ لَيْلَةٍ فَافْتَتَحَ الْبَقَرَةَ فَقُلْتُ يَرْكَعُ عِنْدَ الْمِائَةِ ثُمَّ مَضَى فَقُلْتُ يُصَلِّي بِهَا فِي رَكْعَةٍ فَمَضَى فَقُلْتُ يَرْكَعُ بِهَا ثُمَّ افْتَتَحَ النِّسَاءَ فَقَرَأَهَا ثُمَّ افْتَتَحَ آلَ عِمْرَانَ فَقَرَأَهَا يَقْرَأُ مُتَرَسِّلًا إِذَا مَرَّ بِآيَةٍ فِيهَا تَسْبِيحٌ سَبَّحَ وَإِذَا مَرَّ بِسُؤَالٍ سَأَلَ وَإِذَا مَرَّ بِتَعَوُّذٍ تَعَوَّذَ ثُمَّ رَكَعَ فَجَعَلَ يَقُولُ سُبْحَانَ رَبِّيَ الْعَظِيمِ فَكَانَ رُكُوعُهُ نَحْوًا مِنْ قِيَامِهِ ثُمَّ قَالَ سَمِعَ اللَّهُ لِمَنْ حَمِدَهُ ثُمَّ قَامَ طَوِيلًا قَرِيبًا مِمَّا رَكَعَ ثُمَّ سَجَدَ فَقَالَ سُبْحَانَ رَبِّيَ الْأَعْلَى فَكَانَ سُجُودُهُ قَرِيبًا مِنْ قِيَامِهِ

\”Dari Huzaifah bin Al-Yaman r.a ia berkata, \”Pada suatu malam, aku solat bersama Nabi s.a.w, lalu Baginda memulai dengan surah Al-Baqarah (setelah Al Fatihah). Dalam hati aku berkata, \”(Mungkin) Baginda akan rukuk setelah sampai seratus ayat,\” namun ternyata Baginda melanjutkan.

Dalam hati aku berkata, \”(Mungkin) Baginda melakukan solat ini dengan membaca (habis) surah Al-Baqarah,\” namun Baginda melanjutkan dengan surat An-Nisa dan menyelesaikannya, kemudian membaca surat Ali Imran dan menyelesaikannya.

Baginda membacanya dengan perlahan. Ketika sampai pada ayat tentang tasbih, maka Baginda bertasbih, dan ketika sampai pada ayat tentang permohonan, maka Baginda memohon. Ketika sampai pada ayat permohonan dimintanya dan ayat perlindungan, maka Baginda berlindung kepada Allah.

Setelah itu Baginda rukuk dan mengucapkan:
\”Subhaana rabbiyal \’azhiim\”
(Maha suci Tuhanku Yang Maha Agung).

Ketika itu rukuknya hampir sama dengan berdirinya, lalu Baginda mengucapkan \”Sami\’allahu liman hamidah,\”
(Allah mendengar orang yang memuji-Nya).

Baginda berdiri lama seperti ketika rukuk, lalu Baginda sujud dan mengucapkan, \”Subhaana rabbiyal a\’laa,\”
(Maha suci Tuhanku Yang Maha Tinggi).

Ketika itu sujud Baginda hampir sama dengan berdirinya.\” [HR Muslim].

5.Daripada Abdullah ibnu Mas\’ud r.a, dia berkata:

صَلَّيْتُ مَعَ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ لَيْلَةً فَلَمْ يَزَلْ قَائِمًا حَتَّى هَمَمْتُ بِأَمْرِ سَوْءٍ
قُلْنَا: وَمَا هَمَمْتَ. قَالَ: هَمَمْتُ أَنْ أَقْعُدَ وَأَذَرَ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ

Maksudnya: Aku pernah solat bersama Nabi s.a.w pada suatu malam, Baginda tetap sahaja berdiri (panjang bacaannya) sehingga aku ingin melakukan perbuatan yang buruk.

Kami (sahabat) bertanya: Apakah yang ingin kamu lakukan? Dia menjawab: Aku ingin duduk dan membiarkan Nabi s.a.w bersolat sendirian. [HR Bukhari].

AYAT 20- {PADAHAL ALLAH JUALAH YANG MENENTUKAN DENGAN TEPAT KADAR MASA MALAM DAN SIANG. IA MENGETAHUI BAHAWA KAMU TIDAK SEKALI-KALI AKAN DAPAT MENGIRA DENGAN TEPAT KADAR MASA ITU, LALU IA MENARIK BALIK PERINTAHNYA YANG TERDAHULU (DENGAN MEMBERI KEMUDAHAN) KEPADA KAMU;}

  1. Allah s.w.t menetapkan kadar waktu malam & siang itu, kita tidak tahu untuk mengira waktunya yang tepat.
  2. Maka Allah s.w.t beri kelonggaran untuk membuat anggaran sahaja waktu untuk bangun solat malam, tidak perlu waktu yang tepat seperti arahannya sebelum ini!

AYAT 20- {OLEH ITU BACALAH MANA-MANA YANG MUDAH KAMU DAPAT MEMBACANYA DARI AL-QURAN (DALAM SEMBAHYANG).

  1. Maka bacalah apa-apa yang mudah bagi kamu daripada al-Quran itu.
  2. Apakah maksudnya al-Quran { مَا تَيَسَّرَ مِنَ ٱلْقُرْءَانِ} ini?
    i- kata ibnu al-\’Arabi rhm.: maksudnya bacaan al-Quran itu, kamu pilihlah apa yang kamu mahu baca.

ii- maksudnya solat. Kamu solatlah berapa rakaat yang kamu mampu dan boleh dalam solat malam itu. Allah s.w.t permudahkannya.

  1. Kenapa diringankan? Asalnya berat.
    Jawapan dalam ayat sambungannya ini.

AYAT 20- {IA JUGA MENGETAHUI BAHAWA AKAN ADA DI ANTARA KAMU ORANG-ORANG YANG SAKIT; DAN YANG LAINNYA ORANG-ORANG YANG MUSAFIR DI MUKA BUMI UNTUK MENCARI REZEKI DARI LIMPAH KURNIA ALLAH; DAN YANG LAINNYA LAGI ORANG-ORANG YANG BERJUANG PADA JALAN ALLAH (MEMBELA AGAMANYA).

  1. Allah s.w.t nyatakan bahawa Dia mengetahui ada hamba-Nya yang uzur tidak mampu kerana beberapa sebab. Maka diringkaskan boleh solat bila dan berapa.
  2. Maka diberikan keuzuran kepada tiga golongan ini:
    i- iaitu mereka yang sakit uzur.

ii- orang yang bermusafir, berjalan mencari rezeki di muka bumi ini.
Dua golongan ini juga boleh berbuka puasa Ramadhan jika ada keuzuran.

iii- orang-orang yang berjuang pada jalan Allah membela agama-Nya. Yakni berjihad fi-sabilillah.

AYAT 20- {MAKA BACALAH MANA-MANA YANG SUDAH KAMU DAPAT MEMBACANYA DARI AL-QURAN; DAN DIRIKANLAH SEMBAHYANG SERTA BERIKANLAH ZAKAT; DAN BERILAH PINJAMAN KEPADA ALLAH SEBAGAI PINJAMAN YANG BAIK (IKHLAS).}

  1. Maka solat & beribadatlah setakat yang kamu mampu.
  2. Kata al-Wahidi rhm.: Pada awal Islam wajib berdiri setakat mana yang telah ditentukan. Kemudian apabila solat 5 waktu difardhukan, diringankan solat malam itu serta ada pilihan kelonggrannya.

Rasulullah s.a.w pula apabila Baginda memulakan sesuatu ibadat Baginda tidak akan tinggalkanya lagi, akan diteruskan.

  1. Maka dirikanlah solat, tunaikanlah zakat (wajib) dan berilah sedekah sunat sebagai satu pinjaman kepada Allah yang ikhlas. Yakni sedekan akan menjadi asset kita di sisi Allah s.w.t di akhirat kelak, Insya\’ Allah!

AYAT 20- {DAN (INGATLAH), APA JUA KEBAIKAN YANG KAMU KERJAKAN SEBAGAI BEKALAN UNTUK DIRI KAMU, TENTULAH KAMU AKAN MENDAPAT BALASANNYA PADA SISI ALLAH, -SEBAGAI BALASAN YANG SEBAIK-BAIKNYA DAN YANG AMAT BESAR PAHALANYA.}

  1. Apabila kita nak buat kebaikan, buatlah dengan ikhlas kerana Allah, jangan mengungkit atau diiringi dengan kata-kata buruk.
  2. Ini kerana segala sedekah & kebaikan yang kita buat adalah sebagai persediaan bekalan kita untuk akhirat kelak!
  3. Allah s.w.t akan membalasnya sebagai balasan yang sebaik-baiknya dan yang amat besar pahalanya.
  4. Hadis Nabi s.a.w daripada Ibn Abbas R.anhuma, daripada Nabi S.A.W:

إِنَّ اللَّهَ كَتَبَ الحَسَنَاتِ وَالسَّيِّئَاتِ ثُمَّ بَيَّنَ ذَلِكَ، فَمَنْ هَمَّ بِحَسَنَةٍ فَلَمْ يَعْمَلْهَا كَتَبَهَا اللَّهُ لَهُ عِنْدَهُ حَسَنَةً كَامِلَةً، فَإِنْ هُوَ هَمَّ بِهَا فَعَمِلَهَا كَتَبَهَا اللَّهُ لَهُ عِنْدَهُ عَشْرَ حَسَنَاتٍ إِلَى سَبْعِ مِائَةِ ضِعْفٍ إِلَى أَضْعَافٍ كَثِيرَةٍ، وَمَنْ هَمَّ بِسَيِّئَةٍ فَلَمْ يَعْمَلْهَا كَتَبَهَا اللَّهُ لَهُ عِنْدَهُ حَسَنَةً كَامِلَةً، فَإِنْ هُوَ هَمَّ بِهَا فَعَمِلَهَا كَتَبَهَا اللَّهُ لَهُ سَيِّئَةً وَاحِدَةً

Maksudnya: \”Sesungguhnya Allah telah menetapkan nilai kebaikan dan kejahatan, kemudian Dia menjelaskannya.
Maka barangsiapa berniat mengerjakan kebaikan tetapi tidak dikerjakannya, Allah mencatatnya sebagai satu kebaikan yang sempurna.

Jika ia berniat untuk berbuat kebaikan lalu ia mengerjakannya, Allah mencatatnya sebagai 10 sampai 700 kali kebaikan atau lebih banyak lagi.

Jika ia berniat melakukan kejahatan, tetapi ia tidak mengerjakannya, Allah mencatatkan padanya satu kebaikan yang sempurna.

Jika ia berniat melakukan kejahatan lalu dikerjakannya, Allah mencatatnya sebagai satu kejahatan.\” [HR al-Bukhari, no. 6491]

AYAT 20- {DAN MINTALAH AMPUN KEPADA ALLAH; SESUNGGUHNYA ALLAH MAHA PENGAMPUN, LAGI MAHA MENGASIHANI.} (AL-MUZZAMMIL 73:20)

  1. Kemudian Allah s.w.t perintahkan untuk kita beristighfar & meminta ampun kepada Allah s.w.t.

Beristighfar ialah; selepas kita bersalah, kita minta Allah hapuskan segala dosa & kesalahan yang telah kita buat.

Ia berkembar dengan taubat; iaitu kita menyesal & bertaubat darinya dengan meninggalkan perbuatan itu.

  1. Kasih sayang Allah s.w.t amat besar untuk kita kerana sesungguhnya Allah Maha Pengampun {غَفُورٌ} ۭlagi Maha Mengasihani {رَّحِيمٌ} kepada para hamba-Nya.

PENUTUP & FAEDAH :

  1. Ayat 20- {Sesungguhnya Tuhanmu (wahai Muhammad) mengetahui bahawasanya engkau bangun (sembahyang Tahajjud) selama kurang dari dua pertiga malam,}- Allah nyatakan bahawa Dia tahu kamu bangun berdiri pada 2/3 malam.

Persoalan: Kenapa Allah sebut bangun berdiri untuk solat? Sedangkan dalam solat itu ada berdiri, rukuk sujud, duduk dan lain-lain?

Jawapan: Kerana kebanyakan waktu dalam solat itu ialah berdiri yakni panjang berdirinya; maka ia diistilahkan solat sebagai Qyiam (berdiri).

Ayat ini memberi galakan supaya kita berdiri lama & panjang dalam solat. Maka kita peruntukkan malam Ramadhan ini untuk beribadat ikhlas kerana Allah s.w.t sebanyak & sepanjang mungkin.

Jangan malas dan banyak alasan dalam bulan yang begitu besar tawaran pahala yang Allah tawarkan!

  1. Ayat 20- {Ia mengetahui bahawa kamu tidak sekali-kali akan dapat mengira dengan tepat kadar masa itu,}- dalam ayat in Allah s.w.t nyatakan kenapa diringankan solat malam. Allah mengetahui bahawa manusia tidak mampu untuk mengira waktu itu dengan kadar yang tepat.

i- Maka Allah beri kelonggaran, pilihlah mana waktu yang sesuai dengan kamu.

ii- Allah juga nyatakan kenapa Allah beri kelonggaran ini.
Ini kerana Allah s.w.t mengetahui manusia yang uzur terbahagi kepada tiga golongan tadi (uzur, musafir & berperang), maka diberi keuzuran.

iii- sebahagian dari para sahabat juga mengambil istinbat dari ayat ini adalah digalakkan untuk berniaga. Kerana Allah s.w.t sebut khas keuzuran untuk meringankan solat malam bagi orang bermusafir kerana perniagaan (berperang untuk jaga maslahah masyarakat- jihad ekonomi) sekali dengan kategori orang yang Musafir keluar berjihad (berperang jaga agama).

  1. Ayat 20- {Maka bacalah mana-mana yang sudah kamu dapat membacanya dari Al-Quran; dan dirikanlah sembahyang}-bacalah apa yang mudah bagi kamu dari al-Quran.

i- Ulama\’ kata sesiapa yang dapat berdiri malam dengan solat, lebih afdhal daripada berzikir & baca al-Quran sahaja tanpa solat pada waktu malam. Kerana itu Allah kata jika kamu tidak dapat berdiri lama, bacalah setakat yang mampu.

Motivasi untuk kita selesaikan solat tarawih pada bulan Ramadhan ini sehingga selesai bersama imam, jangan lari di tengah jalan!

ii- Ulama\’ tadabbur juga kata daripada ayat ini difahami bahawa orang sakit, orang Musafir & mujahidin fi-sabilillah (juga wanita haidh), ditulis pahala bagi mereka seolah mereka beramal ketika mereka tidak sempat/ tidak mampu melakukannya.

Yakni semasa di rumah, sihat & tidak musafir, semasa tidak haidh, dia sentiasa buat solat sunat itu dengan istiqomah maka, Insya\’ Allah ketika dia uzur itu, Allah s.w.t akan berikan dia pahala seumpamanya.
(kata AAM- ini pahala pencen). Tapi kena buatlah ketika tiada keuzuran itu!

iii- kata ulama\’ juga: Harus kamu baca al-Quran mana-mana saja yang kamu ingat dalam solat kamu. Jika boleh ikut tertib, tetapi jika tidak ingat banyak, baca atau ulanglah sahaja apa yang kamu ingat, tidak mengapa!

  1. Ayat 20- {Ia juga mengetahui bahawa akan ada di antara kamu orang-orang yang sakit; dan yang lainnya orang-orang yang musafir di muka bumi untuk mencari rezeki dari limpah kurnia Allah; dan yang lainnya lagi orang-orang yang berjuang pada jalan Allah (membela agamaNya).}- dari ayat ini kita dapati:

A- Asas (usul) kepada keuzuran itu adalah tiga:
i- orang sakit.
ii- sibuk musafir kerana mencari rezeki.
iii- menjaga kepentingan ummah seperti mujahid pada jalan Allah.

B- Maka mereka ini diberi kelonggaran untuk berbuka puasa, meringankan ibadat sunat dan seumpamanya. Mereka juga diberi pahala pencen jika mereka sudah sunat melakukannya ketika tidak uzur dulu!

  1. Ayat 20- {Dan mintalah ampun kepada Allah; sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.}- Allah memerintahkan supaya kita sentiasa beristighfar minta ampun kepada allah kerana Allah itu maha Pengampun.

Setelah kita digalakkan buat amalan yang baik seperti ibadat solat, baca al-Quran, berzikir, sedekah & berjihad fi-sabilillah; kenapa Allah suruh beristighfar lagi. Kenapa?

Jawapan: Arahan untuk beristighfar selepas melakukan ibadat adalah satu faedah yang besar. Ini untuk menutup apa-apa yang tak kena & kekurangan jika ada.

Rasulullah s.a.w sendiri selepas solat Baginda terus beristighfar, bimbang jika ada kekurangan dan kecacatan dalam solatnya. Maka kita jangan sekali-kali tukar atau tinggalkannya apa yang dibuat & diajar warid (sahih) dari Rasulullah s.a.w.

Maka kita pun selepas buat benda baik terus kita beristighfar kepada Allah, bimbang jika ada yang tak kena & kurang dalam perbuatan kita itu. Ini untuk menjadikan kita sentiasa berasa duduk di bawah perhatian Allah s.w.t, bahawa kita ini lemah dan di bawah pergantungan terhadap-Nya.

Alhamdulillah tamatlah kita surah al-Muzzammil yang mengandungi motivasi & panduan yang besar kepada para pendakwah iaitu untuk bangun solat & beribadat tahajjud pada waktu malam sebagai bekalan penguat jiwa & semangat.

Doa.

Powered by BetterDocs