SURAH AL-WAQI\’AH : AYAT 75-82

\"\"

ALLAH PUJI KITABNYA AL-QURAN, BESAR MANFAAT & BEBAS DARI KEKURANGAN.

Full video : https://youtu.be/oETazanN8EE

MUQADDIMAH :

  1. Dalam siri ini Allah s.w.t bersumpah dengan (مواقع النجوم) tempat turunnya bintang/ masa turun al-Quran; menyatakan bahawa al-Quran itu benar, juga puji kitabnya al-Quran, ia terpelihara & tersimpan, tidak menyentuhnya kecuali orang-orang yang suci.
  2. Al-Quran itu turun dari Allah s.w.t, bagaimana kamu berani menolak dan mendustakannya, tidak mahu menerimanya dengan pelbagai alasan yang tidak betul & benar!
  3. Betapa besarnya manfaat al-Quran dan ia bebas dari segala kekurangan dan kesalahan.
  4. Munasabah ayat: Setelah Allah nyatakan Dia cipta makhluk, berikan rezeki kepadanya serta membawa kepada mereka dalil-dalil yang jelas; mereka masih tetap tidak mahu beriman.
  5. Maka Allah s.w.t kuatkan hujjah dengan bersumpah dengan sesuatu yang besar! Menunjukan bahawa al-Quran benar, kamu masih tidak mahu beriman maka berimanlah, jika tidak buruk padahnya!

AYAT 75- {MAKA AKU BERSUMPAH: DEMI TEMPAT-TEMPAT DAN MASA-MASA TURUNNYA BAHAGIAN-BAHAGIAN AL-QURAN,} (AL-WAAQI\’AH 56:75)

  1. Allah s.w.t bersumpah dengan tempat-tempat dan masa-masa turunnya bahagian-bahagian Al-Quran.
  2. Ada juga ulama\’ kata makna (ٱلنُّجُومِ) ialah tempat turunnya bintang-bintang.
  3. Timbul persoalan tentang makna (لا):
    i- Kata Ibnul Jauzi: ialah lam at-taukid iaitu untuk mengguatkan ayat.
    Bukan dengan makna tidak.

ii- ada ulama\’ yang mengatakan ia balik kepada makna asalnya iaitu tidak!
Larangan agar kamu jangan mendustakan, jangan lawan al-Quran, maka Allah bersumpah ia adalah benar!

iii- ada juga (لَ) dengan makna nafi. Yakni Allah nafi bukan! Kemudian disambung dengan Aku bersumpah!

  1. Persoalan kedua tentang makna perkataan (ٱلنُّجُومِ):
    i- ada yang kata bintang di langit.

ii- ada yang kata seperti terjemahan dalam kitab tafsir ini iaitu: {Demi tempat-tempat dan masa-masa turunnya bahagian-bahagian Al-Quran }.
Kedua-dua pandangan ini diterima atau ada pandangan dari oleh ulama\’ salaf.

AYAT 76- {DAN SEBENARNYA SUMPAH ITU ADALAH SUMPAH YANG BESAR, KALAULAH KAMU MENGETAHUINYA,} (AL-WAAQI\’AH 56:76)

1.Kamu kena tahu bahawa sumpah Allah itu adalah sesuatu yang besar dan berat!

  1. Jika kamu tahu keadaan & nilainya, barulah kamu tahu kesannya!

AYAT 77- {BAHAWA SESUNGGUHNYA (YANG DIBACAKAN KEPADA KAMU) ITU IALAH AL-QURAN YANG MULIA, (YANG SENTIASA MEMBERI AJARAN DAN PIMPINAN),} (AL-WAAQI\’AH 56:77)

  1. Sesungguhnya al-Quran yang dibacakan kepada kamu itu bersifat sempurna, suci dari segala kelemahan dan kekurangan dari sudut bahasa, fakta dan apa saja!
  2. Ia adalah al-Quran yang agung kerana ia datang dari Allah yang agung!
  3. Maka kita jika nak jadi orang yang mulia dampingkan diri dengan al-Quran, baca al-Quran, hafaz & tadabbur iaitu fikir tentang kesan dari ayat-ayat yang kita baca itu!

AYAT 78- {YANG TERSIMPAN DALAM KITAB YANG CUKUP TERPELIHARA,} (AL-WAAQI\’AH 56:78)

  1. Al-Quran ini tersimpan dan terpelihara (محفوظ) di sisi Allah s.w.t.
  2. Tentang makna kitab (كِتَـٰبٍۢ مَّكْنُونٍۢ) ini pula ulama\’ tafsir berbeza pandangan dalam menentukannya:
    i- pendapat pertama: ialah kitab al-Quran yang tertulis di Lauh Mahfuz.

Sebagaimana firman Allah s.w.t:
{(Sebenarnya apa yang engkau sampaikan kepada mereka bukanlah syair atau sihir), bahkan ialah Al-Quran yang tertinggi kemuliaannya;
(Lagi yang terpelihara dengan sebaik-baiknya) pada Lauh Mahfuz.} (Al-Buruuj 85: 21-22)

ii- maksudnya mushaf (al-Quran) yang kita baca ini. Yang ditulis padanya ayat-ayat al-Quran.

iii- atau lembaran al-Quran yang ada di tangan malaikat yang hendak dibawa turun kepada Rasulullah s.a.w.

Sebagaimana firman Allah s.w.t juga:
{(Terpelihara) di tangan malaikat-malaikat yang menyalinnya dari Lauh Mahfuz;} (Al-Buruuj 85: 15)

AYAT 79- {YANG TIDAK DISENTUH MELAINKAN OLEH MAKHLUK-MAKHLUK YANG DIAKUI BERSIH SUCI;} (AL-WAAQI\’AH 56:79)

  1. Ini pandangan yang maksudnya al-Quran itu ada di tangan malaikat- makhluk-makhluk yang diakui bersih suci.
  2. Yakni tidak menyentuh al-Quran ini kecuali malaikat yang Allah bersihkannya daripada segala dosa & maksiat. Ia adalah satu makhluk yang tidak pernah derhaka kepada Allah s.w.t dan patuh taat melakukan segala perinta Allah s.w.t!
  3. Inilah dalil yang dipegang oleh pendapat yang kedua tadi (majoriti ulama\’) mengatakan ia bermakna al-Quran yang ada ditangan kita tidak boleh disentuh kecuali orang suci iaitu berwudhuk.
  4. Manakala bagi pendapat yang pertama yang mengatakan maksudnya Kitab yang Lauh Mahfuz; mereka mengatakan boleh sentuh al-Quran walaupun tiada wudhuk.
  5. Walaupun ada khilaf kita berpegang dengan hukum yang lebih berhati-hati adalah lebih baik!

AYAT 80- {AL-QURAN ITU DITURUNKAN DARI ALLAH TUHAN SEKALIAN ALAM.} (AL-WAAQI\’AH 56:80)

  1. Al-Quran yang mulia ini diturunkan dari Allah s.w.t, Tuhan sekelian alam. Maka Allah itu benar, al-Quran itu benar tiada keraguan padanya!
  2. Firman Allah s.w.t: {Diturunkan Al-Quran ini, dengan tidak ada sebarang syak padanya, dari Tuhan yang memelihara dan mentadbirkan sekalian alam.} (As-Sajdah 32:2)

AYAT 81- {PATUTKAH KAMU (WAHAI GOLONGAN YANG KUFUR INGKAR) BERSIKAP SAMBILEWA TERHADAP KETERANGAN-KETERANGAN AL-QURAN INI?} (AL-WAAQI\’AH 56:81)

  1. Maka wahai golongan yang kufur dan ingkar, tidak patut sekali kamu bersikap acuh tak acuh terhadap al-Quran ini! Tidak mengambil berat terhadap segala keterangan yang dibawanya!
  2. Makna (مُّدْهِنُونَ) ialah mendustakan dan kufur ingkar. Ada juga yang kata maknanya orang munafiq, dia baca al-Quran tetapi dia tidak percaya isi kandungannya & tidak terima hukumnya!

AYAT 82- {DAN KAMU JADIKAN SIKAP KAMU MENDUSTAKANNYA (SEBAGAI GANTI) BAHAGIAN DAN NASIB KAMU (MENERIMA DAN BERSYUKUR AKAN AJARANNYA)?} (AL-WAAQI\’AH 56:82)

  1. Kamu bersikap mendustakan al-Quran sedangkan sepatutnya kamu menerima dan bersyukur akan ajarannya.
  2. Sepatutnya kamu menerima segala nikmat Allah s.w.t dengan syukur, kamu bahkan menerimanya dengan kufur!!!
  3. Hadis Rasulullah s.a.w: selepas solat subuh di Hudaibiyah Nabi s.a.w bersabda kepada para sahabat:

هَلْ تَدرُوْنَ مَاذَا قَالَ رَبُّكُمْ؟ قَالُوْا: اللهُ وَرَسُوْلُهُ أَعْلَمُ. قَالَ: قَالَ: أَصْبَحَ مِنْ عِبَادِيْ مُؤْمِنٌ بِيْ وَكَافِرٌ، فَأَمَّا مَنْ قَالَ: مُطِرْنَا بِفَضْلِ اللهِ وَرَحْمَتِهِ، فَذَلِكَ مُؤْمِنٌ بِيْ كَافِرٌ بِالْكَوْكَبِ، وَأَمَّا مَنْ قَالَ: مُطِرْنَا بِنَوْءِ كَذَا وَكَذَا، فَذَلِكَ كَافِرٌ بِيْ مُؤْمِنٌ بِالْكَوْكَبِ

\”Tahukah kamu, apakah yang difirmankan oleh Tuhanmu?\” Mereka (para sahabat) menjawab, \”Allah dan Rasul-Nya yang lebih mengetahui.\” Beliau pun bersabda, \”Dia berfirman, \’Pagi ini di antara hamba-hamba-Ku ada yang beriman dan ada pula yang kafir.
Adapun orang yang mengatakan, \’Hujan turun kepada kita berkat karunia Allah dan rahmat-Nya, maka dia beriman kepada-Ku dan kafir kepada bintang, sedangkan orang-orang yang mengatakan, \’Hujan turun kepada kita karena bintang ini atau bintang itu, maka dia kafir kepada-Ku dan beriman kepada bintang\’\” (HR. Bukhari, no. 1038).

  1. Yakni bagi setiap benda dan perkara yang berlaku kepada Allah s.w.t kita sandarkan kepada Allah s.w.t agar selamat.

PENUTUP & FAEDAH :

  1. Ayat 75- {Maka Aku bersumpah: Demi tempat-tempat dan masa-masa turunnya bahagian-bahagian Al-Quran,}- Allah s.w.t itu segala kata-katanya benar jika tidak bersumpah pun benar, jadi kenapa Allah bersumpah juga?

i- Sedangkan mereka yang beriman sudah percaya,
ii- manakala mereka yang tidak beriman pasti tetap tidak akan percaya walaupun dengan sumpah.

Jawapan:
Faedah bersumpah ini ada beberapa sebab:
i- ini gaya bahasa Arab, sudah dimaklumi oleh orang Arab yang fasih, apabila mahu mengguatkan sesuatu pandangan & hujjah mereka bersumpah.

ii- bagi orang mukmin walaupun sudah percaya, ia dapat menambahkan lagi kepercayaan mereka tentang kebenaran al-Quran, menambahkan kekuatan keimanan.

iii- Allah s.w.t biasanya bersumpah dengan benda-benda besar untuk menunjukkan kesempurnaan kekuasaan-Nya, keesaan-Nya dan keagungan-Nya untuk menguatkan hujjah agar manusia lebih peka, buka mata & telinga.

iv- untuk menunjukkan akan besarnya kedudukan al-Quran sehingga Allah s.w.t bersumpah deminya.

v- ayat ini juga untuk menunjukkan akan kelebihan al-Quran untuk kita tadabbur, perhati & fikir. Ia bukanlah satu sihir, syair atau nujum sebagaimana yang kamu sangka wahai Arab jahiliyyah!

  1. Ayat 75- {Maka Aku bersumpah: Demi tempat-tempat dan masa-masa turunnya bahagian-bahagian Al-Quran,}- kenapa Allah s.w.t bersumpah dengan (بِمَوَٰقِعِ ٱلنُّجُومِ) ini?
    Kita ambil makna pandangan yang kedua iaitu sumpah dengan tempat naiknya bintang. Kemudian dinyatakan al-Quran itu sebagai mulia.
    Kenapa???

Jawapan- munasabah kaitan antara dua ini ialah:
i- bintang-bintang Allah s.w.t jadikannya sebagai pedoman di langit, kepada manusia yang di dalam kegelapan di bumi samada di lautan atau daratan. Ia sebagai petunjuk arah perjalanan.

Manakala al-Quran sebagai pedoman kepada manusia yang di dalam kegelapan kejahilan. Maka dikumpul antara dua hidayah ini, hidayah zahir dan hidayah rohani.

ii- bintang juga sebagai pelontar kepada syaitan yang cuba mencuri naik ke langit untuk mendengar rahsia ghaib, yang Allah sampaikan kepada malaikat.

Ayat-ayat al-Quran sebagai pelontar kepada hati kedua-dua manusia & jin atau khas kepada syaitan yang mengganggu manusia

iii- bintang itu tandanya masyhur dan nampak dilihat.
Manakala al-Quran boleh didengari dengan telinga atau dibaca juga dengan mata sekarang ini.

iv- Maka turun naik bintang itu menjadi pengajaran kepada kita sebagaimana turunnya al-Quran menjadi pengajaran juga kepada kita, semuanya ada hikmah.

  1. Ayat 77- {Bahawa sesungguhnya (yang dibacakan kepada kamu) itu ialah Al-Quran yang mulia, (yang sentiasa memberi ajaran dan pimpinan),} – yakni apakah maksud mulianya al-Quran ini.

Jawapan; antara sebab mulianya al-Quran ini:
i- diturunkan oleh Allah s.w.t, Tuhan yang sangat mulia.

ii- melalui malaikat yang mulia

iii- kepada rasul yang mulia iaitu Muhammad s.a.w.

iv- pada malam yang mulia iaitu Lailatul-Qadar.

Maka jka nak jadi orang yang mulia juga, maka jadilah ahli al-Quran.
Apa saja yang berkait dengan al-Quran itu mulia.
Al-Quran al-Karim, al-Quran yang mulia dan memberi kebaikan yang banyak.

Antara mukjizatnya juga walaupun diulang beribu kali, setiap hari tidak akan jemu dan bosan. Jika tidak membacanya kerana malas itu mungkin, kerana jemu tidak.
Kata Sayyidina Usman r.a: Sesiapa yang betul-betul beriman, hatinya tidak akan jemu mendengar Kalamullah!

  1. Ayat 79- {Yang tidak disentuh melainkan oleh makhluk-makhluk yang diakui bersih suci;}- ia membawa beberapa maksud mengikut perbincangan ulama\’, samada yang bersih itu ialah:
    i- al-Quran yang di Lauh Mahfuz; iaitu tidak menyentuhnya kecuali malaikat yang mulia & suci dari dosa & kesalahan.
    Sepakat mazhab Feqah yang Empat; bahawa tidak boleh bawa atau menyentuh al-Quran kecuali orang yang ada wudhuk.

ii- atau al-Quran, mashaf yang ada di tangan kita sekarang ini, tidak boleh menyentuhnya kecuali orang yang bersih dari hadas kecil & besar.
Ada juga beberapa pandangan ulama\’ lain seperti az-Zahiri dan lain-lain yang mengatakan tidak. Kitab yang dimaksudkan itu di Lauh Mahfuz, orang yang suci itu malaikat, bukan kita manusia, boleh sentuh.

Kita katakan; jika ada pilihan jangan sekali-kali sentuh al-Quran kecuali ada wudhuk. Atau dalam keadaan darurat atau terdesak untuk menyelamatkan al-Quran yang jatuh atau seumpamanya, boleh dengan segera mengangkatnya.

Sebagai ganti supaya kita mudah untuk membaca al-Quran di mana-mana dan bila-bila masa, gunakalah applikasi al-Quran dalam hp atau mana-mana gajet yang kita ada.

iii- satu lagi pandangan yang menarik oleh tokoh ulama\’ tafsir, seperti al-Fairuz Abadib dan lainnya berkata:
Ayat ini memberi isyarat bahawa tidak akan memahami & mendapat manfaat dari al-Quran serta kefahaman yang betul-betul kecuali mereka yang hatinya bersih dari segala sifat buruk seperti syirik, hasad dengki dan benci sesama mukmin.

Bersihkanlah hati daripada sifat ini dan belajarlah tadabbur – tidak akan mendapat kefahaman al-Quran dengan betul jika hati masih bergelumang dengan maksiat, benci orang mukmin, takabbur dan masih mengamalkan bid\’ah, munkar dan maksiat.

Kata Imam Bukhari ketika menta\’liq ayat ini dalam sahihnya: Tidak akan mendapat manfaat dan kemanisan al-Quran itu kecuali mereka yang betul-betul beriman dengan al-Quran.

Maka kita kena faham bahawa SOP untuk mengaji al-Quran kena bersihkan hati dulu. Tetapi jangan ikut syaitan pula- hati kamu belum bersih maka tak perlu mengaji al-Quran lagi, buat rugi je.

Ya Allah sucikan hati kami dari sifat munafiq, bersihkan lidah kami dari sifat bohong dan jagalah tangan kami dari mudah-mudah share, komen dan forward benda-benda yang tiada manfaat dan memberi faedah!

  1. Ayat 80- {Al-Quran itu diturunkan dari Allah Tuhan sekalian alam.}- ayat ini mengandungi beberapa perkara yang kita dapat ambil pengajaran:
    i- Allah s.w.t itu Maha Tinggi. Mengatasi segala makhluk ciptaan-Nya.

ii- Allah s.w.t berkata-kata dengan al-Quran- iaitu Kalamullah bukan makhluk.

iii- ia turun dari Tuhan Pemilik alam, yang sempurna pentadbiran-Nya.
Dia cipta manusia, Dia tidak biarkan kita mati kelaparan lalu diberikan rezeki dan nikmat.
Dia cipta manusia, Dia tidak biarkan kita dalam kesesatan terumbang-ambing maka diutuskan rasul, diturunkan al-Quran kitab hidayah sebagai petunjuk yang memberi bimbingan.

iv- jelaslah kepada kita al-Quran itu turun dari Allah, bukan makhluk, sesuai untuk semua manusia, setiap masa dan tempat.
Al-Quran bukan sesuai pada zaman Nabi atau untuk orang zaman dulu saja kerana ia datang dari Tuan Sekelian alam, Dia tahu tentang keperluan makhluk-Nya.

Powered by BetterDocs