SURAH AZ-ZARIYAT : AYAT 24-30

\"\"

KISAH NABI IBRAHIM A.S DIDATANGI TETAMU, KEADAAN MENCEMASKAN & ISTERINYA TERKEJUT NAK DAPAT ANAK.

Full video : https://youtu.be/FqF8aE0Xteg

MUQADDIMAH :

  1. Dalam siri ini Allah ceritakan kisah Nabi Ibrahim a.s yang didatangi tetamu yang tidak dikenali.
  2. Keaadan mencemaskan kerana tetamu itu tidak mahu makan. Tetapi setelah memperkenalkan diri bahawa mereka adalah malaikat, Ibrahim tidak takut lagi.
  3. Timbul juga satu khabar gembira yang mengejutkan iaitu nabi Ibrahim dan isterinya Sarah akan dikurniakan anak sedangkan mereka sudah tua.
  4. Munasabah ayat: Ayat-ayat yang lepas adalah dalam bentuk nasihat, ancaman, peringatan serta beberapa pengajaran iktibar tentang umat terdahulu untuk menenangkan hati Rasulullah s.a.w.
    Begitulah dalam al-Quran itu ada hukum-hakam, nasihat peringatan dan ancaman, galakan dan khabar gembira, dalil-dalil atau tanda kebesaran Allah s.w.t; semuanya untuk kita mengambil iktibar & pengajaran.


AYAT 24- {SUDAHKAH SAMPAI KEPADAMU (WAHAI MUHAMMAD) PERIHAL TETAMU NABI IBRAHIM YANG DIMULIAKAN?} (AZ-ZAARIYAAT 51:24)

  1. Sudahkah kamu tahu wahai Muhammad s.a.w akan kisah nabi Ibrahim a.s yang didatangi tetamunya iaitu sekumpulan malaikat yang berupa manusia.
  2. Tentang makna yang dimuliakan (ٱلۡمُكۡرَمِينَ) ulama\’ bawa dua pendapat:
    i- malaikat adalah makhluk yang mulia di sisi Allah kerana mereka tidak pernah derhaka dan Allah lantik mereka sebagai pegawai pelaksana tugas.

ii- tetamu yang dimuliakan oleh Ibrahim a.s, kerana dia sambut mereka dengan hormat dan sediakan makanan yang istimewa.

  1. Firman Allah s.w.t juga:
    {Bahkan (malaikat) ialah hamba-hambaNya yang dimuliakan.} (Al-Anbiyaa\’ 21:26)

AYAT 25- {KETIKA MEREKA MASUK MENDAPATKANNYA LALU MEMBERI SALAM DENGAN BERKATA: \”SALAM SEJAHTERA KEPADAMU!\” IA MENJAWAB: SALAM SEJAHTERA KEPADA KAMU! \”(SAMBIL BERKATA DALAM HATI): MEREKA INI ORANG-ORANG YANG TIDAK DIKENAL.} (AZ-ZAARIYAAT 51:25)

  1. Malaikat itu sampai dan memberi salam sejahtera (سَلَٰمٗاۖ) kepada Ibrahim. Begitulah adab bertamu dan baru berjumpa, memberi salam keamanan dulu.
  2. Ibrahim menjawab salam mereka itu (سَلَٰمٞ). Sambil berkata dalam hatinya: Mereka ini adalah orang-orang yang tidak aku kenali (قَوۡمٞ مُّنكَرُونَ).
  3. Ini kerana malaikat itu datang dalam bentuk rupa manusia. Lalu Ibrahim tidak cam mereka.

AYAT 26- {KEMUDIAN IA MASUK MENDAPATKAN AHLI RUMAHNYA SERTA DIBAWANYA KELUAR SEEKOR ANAK LEMBU GEMUK (YANG DIPANGGANG).} (AZ-ZAARIYAAT 51:26)

  1. Walaupun tidak dikenali, Ibrahim tetap melayan dan menyambut mereka dengan penuh hormat, mempersilakan mereka masuk dan duduk.
  2. Ibrahim kemudian cepat-cepat (فَرَاغَ) ke dapur dan senyap-senyap menyediakan hidangan makanan untuk mereka.
  3. Tidak lama Ibrahim membawa keluar seekor anak lembu gemuk (بِعِجۡلٖ سَمِينٖ) yang dipanggang.

AYAT 27- {LALU DIHIDANGKANNYA KEPADA MEREKA SAMBIL BERKATA: \”SILALAH MAKAN\”.} (AZ-ZAARIYAAT 51:27)

  1. Daging itu dihidangkan, diletakkan di hadapan tetamunya sambil berkata dengan lembut: Silalah makan.

AYAT 28- {(SETELAH DILIHATNYA MEREKA MEREKA TIDAK MENJAMAH MAKANAN ITU), MAKA IA MERASA TAKUT DARI KEADAAN MEREKA. (MELIHAT KECEMASANNYA), MEREKA BERKATA: \”JANGANLAH ENGKAU TAKUT (WAHAI IBRAHIM)\”. LALU MEREKA MEMBERIKAN BERITA GEMBIRA KEPADANYA, BAHAWA IA AKAN BEROLEH SEORANG ANAK YANG BERPENGETAHUAN.} (AZ-ZAARIYAAT 51:28)

  1. Tetapi tetamu itu tidak menyentuh atau makan lansung makanan itu. Melihatkan itu Ibrahim merasa takut akan keadaan mereka.
  2. Melihat kecemasan Nabi Ibrahim, malaikat segera memperkenalkan diri mereka serta memberitahu agar jangan takut!
  3. Firman Allah s.w.t:
    {Maka apabila ia melihat tangan mereka tidak menyentuh hidangan itu, ia merasa pelik akan hal mereka serta merasa takut dari keadaan mereka. (Melihat kecemasannya) mereka berkata: \”Janganlah engkau takut wahai Ibrahim, sebenarnya kami ini diutus kepada kaum Lut (untuk membinasakan mereka)\”.} (Hud 11:70)
  4. Mereka juga memberikan berita gembira kepadanya, bahawa ia akan beroleh seorang anak yang cerdik dan berpengetahuan (عَلِيمٖ).
  5. Iaitu anak yang kedua, Ishak a.s. dari isterinya yang pertama Sarah (سارة).
  6. Firman Allah s.w.t:
    i- {Dan isterinya pada ketika itu berdiri (mendengar), lalu ia ketawa (kerana hilang perasaan takutnya). Maka Kami pun memberikan berita yang mengembirakan kepadanya (melalui malaikat itu), bahawa ia akan mendapat seorang anak: Ishak, dan sesudah Ishak, (ia pula akan mendapat seorang cucu): Yaakub.} (Hud 11:71)

ii- {Dan khabarkanlah kepada mereka perihal tetamu Nabi Ibrahim.
Ketika mereka masuk mendapatkannya lalu memberi salam dengan berkata: \”Selamat sejahtera kepadamu!\” Ia berkata: \”Sesungguhnya kami berasa takut kepada kamu\”.
Mereka menjawab: \”Janganlah engkau takut, sebenarnya kami hendak mengembirakanmu dengan berita bahawa engkau akan beroleh seorang anak lelaki yang bakal menjadi seorang yang berilmu\”. (Al-Hijr 15: 51-53)

AYAT 29- {(MENDENGARKAN BERITA YANG MENGEMBIRAKAN ITU), MAKA DATANGLAH ISTERINYA SAMBIL MENJERIT (KEHAIRANAN) LALU MENEPUK MUKANYA SAMBIL BERKATA: \”AKU SUDAH TUA, LAGI MANDUL, (BAGAIMANA AKU BOLEH MENDAPAT ANAK)?\”} (AZ-ZAARIYAAT 51:29)

  1. Sarah isteri Ibrahim a.s amat terkejut mendengar berita ini. Ini kerana dia sudah tua dan seorang perempuan yang mandul- maka tidak logik bagi keadaan biasa untuk dia beranak lagi!
  2. Firman Allah s.w.t juga:
    {Isterinya berkata: \”Sungguh ajaib keadaanku! Adakah aku akan melahirkan anak padahal aku sudah tua dan suamiku ini juga sudah tua? Sesungguhnya kejadian ini suatu perkara yang menghairankan\”.} (Hud 11:72)
    Dalam ayat ini ditambah dengan sebab ketiga: iaitu suaminya juga seorang yang sudah amat tua!
  3. Ini adalah sesuatu yang pelik dari sudut logik dan keadaan semasa mereka, bukan menafikan kuasa Allah s.w.t yang boleh melakukan apa sahaja dengan kehedak & kuasa-Nya.
    Kita pun jika nak percaya atau nak sebar sesuatu biar logik dan dapat diterima akal- bukan hanya menyandarkan kepada kuasa dan kehendak Allah semata!

AYAT 30- {MEREKA BERKATA: \”DEMIKIANLAH TUHANMU BERFIRMAN, (KAMI HANYA MENYAMPAIKAN SAHAJA); SESUNGGUHNYA DIA LAH YANG MAHA BIJAKSANA, LAGI MAHA MENGETAHUI\”.} (AZ-ZAARIYAAT 51:30)

  1. Malaikat berkata jika Tuhan sudah berfirman sedemikan maka ia bukan sesuatu yang mustahil lagi. Kami hanya menyampaikannya sahaja.
  2. Sesungguhnya ia adalah perintah dari Allah s.w.t Yang Maha Bijaksana, lagi Maha Mengetahui. Ia mahu memberi anak kepada Ibrahim untuk menyambung keturunannya dalam menyampaikan dakwah tauhid.

PENUTUP/BEBERAPA FAEDAH RINGKAS :

  1. Ayat 24- {Sudahkah sampai kepadamu (wahai Muhammad) perihal tetamu Nabi Ibrahim yang dimuliakan?}- ulama\’ tadabbur kata antara hikmat dan kepentingan ayat in ialah Allah s.w.t menceritakan kepada kita tentang hamba-Nya yang baik untuk kita ambil iktibar dan pengajaran.

a- dalam ayat ini ajar kepada kita bahawa tetamu itu dimuliakan dengan beberapa perkara:
i- perkataan- bila orang datang kita ucapkan salam serta mempersilakan dengan baik.

ii- perbuatan atau mimik muka, gaya sambutan yang baik, senyum dan ceria.

iii- muliakan tetamu dengan dihidangkan makanan apa yang ada.

  1. Dari {ayat Ayat 24 sehingga Ayat 28}- kata ulama\’ kita dapat mengambil pengajaran tentang beberapa cara dan etika menyambut tetamu.

a- Antara adab menerima & melayan tetamu:
i- muliakan tetamu dengan menjawab salam mereka.
ii- tetamu yang datang mesti memberi salam dulu.
iii- walaupun tak kenal kita sambut dan terima dulu. Seperti Nabi Ibrahim walaupun tak kenal tetap sambut dan melayan tetamunya.
iv- Apabila tetamu datang; cepat-cepat masuk sediakan makanan atau minuman untuk dihidangkan.
v- segera ke dapur senyap-senyap tanpa perlu bising-bising.

vi- jika nampak tetamu kepenatan bagi masa untuk mereka rehat dan siapkan diri.
vii- di rumah kita kena sentiasa ada makanan untuk tetamu yang datang. Kena ada persediaan untuk menerima tetamu.
viii- tuan rumah sendiri yang kena berkhidmat kepada tetamu jika mampu, angkat keluar sendiri.
ix- jika ada makanan bawa keluar semuanya, supaya mereka ada pilihan.
x- pilih makanan yang baik dan elok untuk tetamu. Jangan yang kita tidak suka apatah lagi yang sudah rosak!

xi- kita kena hulurkan makanan kepada mereka.
xii- letakkannya di hadapan mereka. Jangan suruh mereka ambil sendiri.
xiii- kena guna bahasa yang baik dan lembut; sila makan. Jangan dok suruh atau paksa tambah.
xiv- bila mereka tak makan, jemput makan sekali lagi. Kerana adabnya jika sudah diangkat makanan untuk dimakan. Jika tidak mahu orang makan jangan dibawa keluar, kerana makanan bukan untuk ditayang sahaja.
xv- kena gembira apabila tetamu makan. Tunjukkan kegembiraan dan penghormatan.

xvi- jika orang suruh makan jangan tak makan, sentuhlah sedikit, sebagai menghormati tuan rumah dan makanan yang telah terhidang.

  1. Ayat 25- {Ia menjawab: Salam sejahtera kepada kamu! \”(Sambil berkata dalam hati): mereka ini orang-orang yang tidak dikenal.} siapa yang pergi ke rumah orang sila perkenalkan diri. Begitu juga jika call orang sekarang ini, perkenalkan nama supaya orang kenal dan tahu.
    Jangan suruh orang teka dan desak mereka untuk kenal kita tanpa diperkenalkan.
    Adab manusia mudah lupa atau tidak cam orang yang sudah lama tidak dijumpai.
  2. Ayat 28- {(Setelah dilihatnya mereka mereka tidak menjamah makanan itu), maka ia merasa takut dari keadaan mereka. (Melihat kecemasannya), mereka berkata: \”Janganlah engkau takut (wahai Ibrahim)\”.}- Melihat Ibrahim kecemasan, malaikat segera memperkenalkan dirinya kepada nabi Ibrahim dan memberi tahu tujuan kedatangan mereka.
    Inilah adab bertamu kena perkenalkan diri kita jika tuan rumah tidak cam.

Antara adab dari tetamu juga:
i- apabila kita makan jaga hak tuan rumah. Biar bersih dan sopan.
ii- nyatakan atau tunjukkan bahawa kita gembira dengan makanan yang dihidangkan.
iii- nyatakan sebab jika tidak mahu atau tidak boleh makan. Beritahu keuzuran sehingga tuan rumah rasa tenang.
iv- jangan masuk dan menjenguk-jenguk ke dalam rumah orang.

  1. Ayat 28- {Lalu mereka memberikan berita gembira kepadanya, bahawa ia akan beroleh seorang anak yang berpengetahuan.}- malaikat memberi khabar gembira kepada Ibrahim. Sunatnya kita sentiasa memberi khabar gembira kepada orang di sekeliling kita samada dalam urusan dunia atau akhirat.

Atau apabila sahabat kita mendapat khabar gembira kita turut gembira dan mengucapkan tahniah kepada mereka seperti mendapat anak/menantu, berkahwin, dapat tunaikan haji/umrah naik pangkat dan seumpamanya.

Yakni kesimpulannya:
i- Adalah baik untuk sentiasa saling memberi khabar gembira menyukakan satu sama lain serta ucap tahniah zahirkan kegembiraan atas berita baik kawan.

ii- Apatah lagi sebagai tetamu elok bawa buah tangan atau jika ada bawa khabar berita yang mendapat menyukakannya.

Semoga Allah s.w.t sentiasa memberkati hidup kita semua serta saling berkasih sayang dan hormat menghormati.

Powered by BetterDocs