SURAH AL-MUDDATHTHIR : AYAT 18-30

\"\"

SI KAFIR PERAH OTAK UNTUK LAWAN QURAN, MENCIPTA PERSEPSI TOHMAHAN & JENIS AZAB DISEDIAKAN.

Full video : https://youtu.be/CkhrbDLMOhM?si=K30bNwRC_t9Agr3n

MUQADDIMAH :

  1. Dalam siri ini Allah s.w.t menceritakan tentang sifat si kafir tidak kiralah al-Walid bin al-Mughirah atau kafir sehingga kini, yang kerjanya perah otak untuk lawan al-Quran.
  2. Serta bersungguh mencari dan mencipta persepsi tohmahan ke atas al-Quran & Rasulullah s.a.w.
    Sama seperti peranan kafir hari ini yang membuat tohmahan dan persepsi kepada para pendakwah yang mahu mengajak manusia kepada al-Quran & Sunnah Nabi s.a.w.
    Ini untuk menjauhkan orang daripada al-Quran & Sunnah Nabi s.a.w.
  3. Kemudian di akhir ayat; Allah nyatakan bahawa orang yang kufur keras kepala akan dicampakkan ke dalam neraka & pelbagai jenis azab disediakan bagi mereka. Itulah nasib yang setimpal bagi perbuatan mereka dulu!

AYAT 18- {KERANA SESUNGGUHNYA IA TELAH MEMIKIRKAN DAN MEREKA-REKA BERBAGAI TUDUHAN TERHADAP AL-QURAN)-} (AL-MUDDATHTHIR 74:18)

  1. Dalam siri yang lepas Allah s.w.t telah ceritakan tentang al-Walid bin al-Mughirah, seorang yang kaya banyak harta & anak. Kemudian bagaimana dia tamak nak lagi supaya Allah tambah nikmatnya.
  2. Dalam ayat-ayat ini Allah s.w.t gambarkan betapa watak buruk si jahat ini berfikir untuk membuat tohmahan & tuduhan terhadap Al-Quran dan Rasulullah s.a.w.
  3. Bila baca kisah begini dalam al-Quran, kita jangan ingat ia hanya berlaku pada zaman Rasulullah s.a.w sahaja. Pada zaman kita ini pun masih wujud lagi watak-watak yang sama perangai, cuma berbeza nama.
    Dulu dipanggil orang jahiliyah, kaum Quraisy, sekarang ini lain pula nama kumpulan dan kaumnya. Kita minta berlindung dengan Allah dari perangai buruk ini!
  4. Mereka sibuk berfikir bagaimana mahu membuat tohmahan dan tuduhan terhadap al-Quran. Lalu mereka telah berjaya kononnya membuat tuduhan yang relevan dengan al-Quran yang boleh diterima oleh orang ramai!
  5. Kata Ibnu Kathir rhm. maksudnya perkataan ini { فَكَّرَ وَقَدَّرَ} –
    Mereka bukan berfikir secara spontan sahaja, tetapi berfikir dengan teliti kerah segala tenaga & akal.

AYAT 19- {MAKA BINASALAH DIA HENDAKNYA! BAGAIMANAKAH DIA BERANI MEREKA-REKA (YANG DEMIKIAN)?} (AL-MUDDATHTHIR 74:19)

  1. Maka binasalah si kafir ini. Berani sekali dia cuba mereka-reka tuduhan jahat terhadap al-Quran.
  2. Binasa & laknatlah si kafir ini. Bagaimana mereka sanggup habislan masa dan kerahkan tenaga.

AYAT 20- {SEKALI LAGI: BINASALAH DIA HENDAKNYA! BAGAIMANA IA BERANI MEREKA-REKA (TUDUHAN-TUDUHAN ITU)?} (AL-MUDDATHTHIR 74:20)

  1. Sekali lagi binasa & celakalah dia buat kali kedua! Berani dia cuba membuat tohmahan & penghinaan terhadap al-Quran.
  2. Maka pastilah kebinasaan & celaka ke atas mereka dengan perbuatan mereka terhadap al-Quran itu!
    Tujuan mereka kerana mahu sekat manusia dari al-Quran & jalan Allah s.w.t!

AYAT 21- {KEMUDIAN IA MERENUNG DAN MEMIKIRKAN (BERKALI-KALI: JALAN-JALAN MENCACI AL-QURAN, TETAPI IA GAGAL);} (AL-MUDDATHTHIR 74:21)

  1. Betap bersungguhnya mereka buat kerja jahat itu dengan pernuh perasaan dan usaha untuk menghina dan menjatuhkan al-Quran. Bukan sekali mereka termenung dan berfikir untuk membuat tohmahan ini!
  2. Kata ar-Razi maksudnya ialah:
    i- pertama sekali berfikir bagaimana cara nak buat tuduhan terhadap al-Quran!

ii- kemudian dia meneliti apakah tuduhannya sudah sesuai & baik untuk dilancarkan.

iii- kemudian dia semak balik, fikirkan kembali apakan tuduhan itu relevan, sesuai untuk disebarkan bagi mempengaruhi manusia!

  1. Ini semua adalah- berfikir, kaji, selidik, fikir balik – adalah perbuatan yang berkaitan dengan hati & perasaan.

AYAT 22- {SETELAH ITU IA MEMASAMKAN MUKANYA SERTA IA BERTAMBAH MASAM BERKERUT;} (AL-MUDDATHTHIR 74:22)

  1. Setelah semua usaha fikiran mereka itu tidak berjaya, mereka memasamkan mukanya serta ia bertambah masam berkerut.
  2. Ini pula adalah penampilan fizikal mereka, Allah ceritakan mimik muka mereka, berubah wajahnya menjadi pucat, masam mencuka, berkerut dahinya kerana dukacita dan marah, kerana tidak ada idea, tidak berjaya rancangan & fikiran jahat mereka!

AYAT 23- {KEMUDIAN IA BERPALING (DARI KEBENARAN) DAN BERLAKU SOMBONG ANGKUH,} (AL-MUDDATHTHIR 74:23)

  1. Tetapi mereka tetap berpaling dari kebenaran, tidak mahu terima juga kelemahan mereka yang tidak jumpa untuk cari kelamahan al-Quran.
  2. Padahal telah jelas di depan mata mereka akan kebenaran & keistimewaan al-Quran, betapa segala maklumat dan faktanya benar, susunan ayatnya tertib dan indah, tetapi kerana takabbur dan sombong mereka terus kufur!

AYAT 24- {SERTA IA BERKATA: \”(AL-QURAN) INI TIDAK LAIN HANYALAH SIHIR YANG DITUNTUT SERTA DIPELAJARI (DARI AHLI-AHLINYA);} (AL-MUDDATHTHIR 74:24)

  1. Akhirnya mereka jumpa dengan tuduhan yang mahu digunakan setelah segala yang difikir tidak berhasil.
  2. Lalu mereka kata al-Quran ini adalah satu sihir yang dituntut dan dipelajari oleh Muhammad s.a.w.
  3. Begitulan manusia, apabila dia telah menutup mata & hatinya daripada melihat & mendengar kebenaran maka tidak ada jalan lagi yang dapat menyelamatkannya.
  4. Maka kita bersyukurlah kita hari ini menjadi seorang yang beriman kepada Allah & Rasulullah s.a.w, cintakan Sunnah dan bencikan perkara bid\’ah.
    Walaupun mungkin iman kita lemah, tetapi kita seorang Islam & mukmin, alhamdulillah.

AYAT 25- {\”INI TIDAK LAIN HANYALAH KATA-KATA (REKAAN) MANUSIA!\”} (AL-MUDDATHTHIR 74:25)

  1. Mereka mengatakan al-Quran ini hanya kata-kata manusia, iaitu rekaan Nabi Muhammad s.a.w. Bukan kata-kata dari Allah.
  2. Jika begitu kenapa mereka tidak mampu membuat sebuah kitab seperti al-Quran juga? Mereka telah gagal segagal-gagalnya dalam semua perkara.

AYAT 26- {(DISEBABKAN KEKUFURANNYA ITU) AKU AKAN MASUKKAN DIA KE DALAM NERAKA SAQAR.} (AL-MUDDATHTHIR 74:26)

  1. Apabila mereka telah putuskan untuk tetap keras kepala menentang Rasulullah s.a.w maka Allah s.w.t jatuhkan hukuman ke atas mereka!
  2. Maka Allah s.w.t akan masukkan mereka ke dalam neraka Saqar!

AYAT 27- {DAN APA JALANNYA ENGKAU DAPAT MENGETAHUI KEDAHSYATAN NERAKA SAQAR ITU?} (AL-MUDDATHTHIR 74:27)

  1. Allah tanya apakah yang kamu tahu apakah neraka Saqar itu?

AYAT 28- {IA MEMBAKAR MANGSANYA DENGAN TIDAK MENINGGALKAN SISA, DAN TIDAK MEMBIARKANNYA (BINASA TERUS).} (AL-MUDDATHTHIR 74:28)

  1. Sesiapa yang dicampakkan ke dalamnya tidak akan hidup seperti manusia biasa lagi serta tidak akan mati lagi.
  2. Neraka itu akan terus menyiksa mangsanya dengan tidak meninggalkan sisa daging atau isinya, tetapi apabila habis hangus terbakar tidak akan dibiarkan begitu saja seperti mati, tetapi dihidupkan kembali untuk disiksa kembali!
  3. Firman Allah s.w.t:
    {Sesungguhnya orang-orang yang kufur ingkar kepada ayat-ayat keterangan Kami, Kami akan membakar mereka dalam api neraka. Tiap-tiap kali kulit mereka masak hangus, Kami gantikan untuk mereka kulit yang lain supaya mereka dapat merasa azab sengsara itu. Dan (ingatlah) sesungguhnya Allah adalah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.} (An-Nisaa\’ 4:56)

AYAT 29- {IA TERUS-MENERUS MEMBAKAR KULIT MANUSIA!} (AL-MUDDATHTHIR 74:29)

  1. Ia akan terus membakar kulit manusia, apabila terbakar hanggus tumbuh kulit baru lalu dibakar pula terus-menerus tanpa henti, tanpa mati! Ini supaya mereka merasai azab itu. Wal\’iyazu billah!
  2. اللَّهُمَّ أَجِرْنَا مِنْ النَّارِ-
    Ya Allah, lindungilah kami dari api neraka.

AYAT 30- {PENGAWAL DAN PENJAGANYA ADALAH SEMBILAN BELAS (MALAIKAT).} (AL-MUDDATHTHIR 74:30)

  1. Atas neraka itu, ada 19 orang pengawal khas yang menjaga neraka itu!
  2. Firman Allah s.w.t tentang ini juga:
    {Neraka itu dijaga dan dikawal oleh malaikat-malaikat yang keras kasar (layanannya); mereka tidak menderhaka kepada Allah dalam segala yang diperintahkanNya kepada mereka, dan mereka pula tetap melakukan segala yang diperintahkan.} (At-Tahriim 66:6)
  3. Syeikh al-Qurtubi rhm. setelah menukilkan pandangan-pandangan ulama\’ tentang siapakah 19 malaikat ini, berkata:
    Yang sahihnya Insya\’Allah- 19 ini adalah ketua-ketua penjaga neraka, maka bilangan sebenar penjaga neraka hanya Allah s.w.t yang tahu sebagaimana firman Allah s.w.t selepas ayat ini:

{Dan tiada yang mengetahui tentera Tuhanmu melainkan Dia lah sahaja.} (Al-Muddaththir 74:31)

  1. Alangkah takut kita mendengarnya, hanya orang yang mati hatinya tidak akan terasa apa-apa!

PENUTUP & FAEDAH :

  1. Ayat 18- {Kerana sesungguhnya ia telah memikirkan dan mereka-reka berbagai tuduhan terhadap Al-Quran)-} (Al-Muddaththir 74:18)- kerja puak kafir hanya berfikir berusaha mahu mendustakan al-Quran.

Ayat ini bermula kisahnya dari Ayat 16-{ Kerana sesungguhnya dia menentang dengan degilnya akan ayat-ayat Kami (Al-Quran, yang disampaikan oleh Rasul Kami).}- sifat mereka yang keras kepala nak lawan juga al-Quran!

Maka untuk menggambarkan keadaan mereka itu, Allah s.w.t bawa tiga ayat diulang berturut-turut memikirkan betapa mereka bersungguh memikirkan caranya untuk menghina dan melemahkan al-Quran, berfikir, kaji, akhirnya garu kepala!
Satu pekerjaan yang bersungguh bukan main-main!

Jika puak kafir begitu bersungguh bekerja berfikir mahu melawan al-Quran dan Rasulullah s.a.w maka kita orang Islam apa peranan, apa tanggung-jawab kita untuk menjaga al-Quran? Mengapa kita tidak bersungguh untuk mengkaji al-Quran & menyerlahkan keistimewaanya!

Betapa puak kafir, orientalis hari ini, betapa mereka bersungguh mengkaji al-Quran untuk mencari kelemahan dan kesilapannya; tetapi mereka gagal kerana Allah telah jamin untuk jaga al-Quran.
Kebanyakan tohmahan dan keraguan yang ditimbukan mereka telah dijawab oleh para ulama\’ Islam. Ada Arab bahkan ada bukan Arab seperti ulama\’ dari India.

Kata ulama\’: Orang kafir dan barat mengkaji al-Quran dulu sebelum mengaji al-Quran!
Kita ni mengaji al-Quran dari muda sehingga tua tetapi tidak pernah cuba mengkaji al-Quran! Bila nak kaji al-Quran ada orang kata tidak boleh takut jadi kafir & sesat!!! Alangkah ruginya!

  1. Ayat 25- {\”Ini tidak lain hanyalah kata-kata (rekaan) manusia!\”} (Al-Muddaththir 74:25)- akhirnya mereka mengatakan al-Quran adalah kata-kata manusia, kata makhluk, bukan kata-kata Allah- yakni yang direka oleh nabi Muhammad s.a.w!

Ayat ini telah menolak semua tuduhan jahat yang dibuat oleh puak kafir terhadap al-Quran.

Kita ahli Sunnah wal-Jama\’ah berpegang bahawa:
Al-Quran ini adalah Kalamullah yang Allah turunkan kepada Rasulullah s.a.w melalui wahyu dengan perantaraan malaikat Jibril a.s dalam tempoh selama 23 tahun.

Yakni Allah s.w.t berkata-kata kepada makhluk-Nya yang terpilih, ada yang mendengarnya seperti malaikat dan Nabi Musa a.s!

  1. Ayat 25- {\”Ini tidak lain hanyalah kata-kata (rekaan) manusia!\”} (Al-Muddaththir 74:25)- mereka puak kafir mengatakan al-Quran hanyalah rekaan manusia iaitu Nabi Muhammad s.a.w.

Ulama\’ tafsir kata: Sesiapa yang kata al-Quran ini perkataan manusia maka dia telah kafir!

Kerana dia telah mengatakan sebagaimana yang dikatakan oleh al-Walid dan puak Quraisy yang bersidang di Makkah dulu untuk membuat tohmahan terhadap al-Quran!

Bagi kita al-Quran adalah Kalamullah yang kita bacanya sebagai satu ibadat yang memberi pahala.

Cara baca al-Quran ada tiga:
i- baca dengan lidah. Cara ini pahalanya sebagaimana hadis Rasulullah s.a.w: Setiap huruf sama dengan 10 kebaikan.

ii- kita baca dengan hati (qalbiyyah)- baca serta fahami maknanya, baca dan berfikir (tadabbur) mencari faedah dan maksud yang hendak dibawanya!

iii- baca & amali. Kita baca dan beramal dengan hukum-hakam yang dibawanya!

  1. Ayat 24- {Serta ia berkata: \”(Al-Quran) ini tidak lain hanyalah sihir yang dituntut serta dipelajari (dari ahli-ahlinya);}- Allah s.w.t menolak lagi segala tuduhan yang dibuat oleh puak kafir lagi. Iaitu tohmahan bahawa Rasulullah s.a.w sebagai seorang gila, ahli sihir dan seumpamanya.

Maka Allah s.w.t bawa beberapa ayat al-Quran menolak tuduhan dan fitnah ini. Bahawa al-Quran adalah wahyu dari Allah yang diturunkan oleh malaikat Jibril kepada Nabi Muhammad s.a.w.

Firman Allah s.w.t:
{Sebenarnya Al-Quran itu, sungguh-sungguh Kalamullah (yang disampaikan oleh Jibril) Utusan yang mulia,} (At-Takwiir 81:19)

Serta banyak lagi firman Allah yang menyatakan bahawa al-Quran itu adalah dari Allah s.w.t, bukan kata-kata atau ciptaan mana-mana manusia.

Maka janganlah kita gopoh, mudah jemu dan tidak mahu lagi belajar al-Quran & tafsirnya kerana berasa sudah lama belajar.
Sedangkan Rasulullah s.a.w bersama al-Quran selama 23 tahun baru selesai.

Dikatakan Sayyidina Umar tadabbur surah al-Baqarah selama 12 tahun! YANG halalnya diambil yang haram dihapuskan!

  1. Ayat 26- {(Disebabkan kekufurannya itu) Aku akan masukkan dia ke dalam neraka Saqar.}- semua yang menolak al-Quran & melawan Rasulullah s.a.w akan dimasukkan ke dalam api neraka Saqar!

Kata ulama\’ tafsir: Antaranya ialah al-Walid ini serta bapa saudara Baginda sendiri iaitu Abu Lahab yang nasib celakanya diabadikan dalam surah al-Masad.

Ulama\’ kata ayat ini adalah tanda-tanda kenabian dan mukjizat yang ada dalam al-Quran. Semua orang kafir yang disebut dalam al-Quran tidak ada yang beriman dan selamat, semuanya akan dimasukkan ke dalam neraka.

Kecuali Abu Sufyan yang bertuah, setelah 20 tahun menentang Islam akhirnya dia menerima hidayah dan termasuk dalam golongan sahabat Rasulullah s.a.w, r.anhum ajma\’in.

Ayat ini mengajar kepada kita agar menanam dalam jiwa anak-anak kita supaya mengenali al-Quran, mengenali Rasulullah s.a.w & Sunnahnya, biar mereka tahu bahawa sesiapa yang menetang al-Quran & Sunnah Nabi s.a.w akan gagal & kecewa.

Pada akhir zaman ini sesiapa yang beramal dengan Sunnah akan menjadi orang yang asing (Gharib) dalam masyarakat bahkan dalam negara! Umat Islam ramai di akhir zaman tetapi tidak ramai yang berpegang dengan Sunnah.

Insya\’ Allah semoga kita menjadi orang yang beramal dan memperjuangakan Sunnah Nabi s.a.w di saat Islam menjadi asing.

Kata AAM: Beramallah dengan Sunnah, hati tenang & pahala konfirm dapat.

Powered by BetterDocs