SURAH AN-NAJMI : AYAT 19-25

\"\"

BATIL SEMBAHAN PUAK KAFIR, NISBAHKAN ANAK PEREMPUAN KEPADA ALLAH & CITA-CITA YANG SIA-SIA.

Full video : https://youtu.be/_9ZfVSDovO4

MUQADDIMAH :

  1. Dalam ayat-ayat ini Allah s.w.t menyatakan kebatilan berhala-berhala sembahan puak kafir, walaupun mereka namakannya sempena nama-nama orang soleh sebelum ini. Ia tetap satu kebatilan dan adalah perbuatan syirik yang menyekutukan Allah s.w.t!
  2. Juga tuduhan jahat mereka, yang menisbahkan anak perempuan kepada Allah, sedangkan mereka membencinya dan menyukai anak lelaki!
  3. Allah s.w.t juga nyatakan cita-cita manusia yang menjadi sia-sia, kerana dia tidak mengikut hukum Allah s.w.t.
  4. Munasabah ayat: Allah s.w.t sebut dalam ayat yang lepas tentang ajaran Rasulullah s.a.w yang membawa agama tauhid menyembah Allah s.w.t.

Dengan petunjuk dan tanda yang benar yang dibawa oleh Rasulullah s.a.w melalui wahyu dari Allah. Serta tanda-tanda besar yang Allah s.w.t perlihatkan kepada Rasulullah s.a.w semasa Isra\’ & Mikraj.

ii- Maka dalam ayat hari ini Allah s.w.t nyatakan akan kebatilan perbuatan kaum musyrikin Makkah yang menolak kebenaran yang dibawa oleh Rasulullah s.a.w dan menyembah berhala patung-patung!

  1. Sejarah penyembahan yang bermula dari memuja & memuliakan orang-orang soleh di kalangan mereka yang telah meninggal dunia ini bermula dari sejak zaman Nabi Nuh a.s lagi, kemudian berterusan sehingga ke zaman Quraisy dan sehingga ke hari ini- na\’uzubillah.
  2. Boleh baca sejarah kisah ini di:
    http://www.abuanasmadani.com/…/sebab-berlakunya-syirik…/

AYAT 19- {(SETELAH KAMU – WAHAI KAUM MUSYRIK MAKKAH – MENDENGAR KETERANGAN YANG MEMBUKTIKAN KEKUASAAN DAN KEAGUNGAN ALLAH) MAKA ADAKAH KAMU NAMPAK BAHAWA \”AL-LAAT\” DAN \”AL-UZZA\”.} (AN-NAJM 53:19)

  1. Allah s.w.t mencela musyrikin Makkah yang masih ingkar & kufur walaupun telah mendengar & melihat bukti kebenaran yang dibawa oleh Rasulullah s.a.w.
  2. Lalu Allah meminta mereka ceritakan tentang tuhan-tuhan lain yang mereka sembah selain dari Allah! Apakah ianya dapat memberi faedah & manfaat serta pertolongan kepada mereka!
  3. Al-Lata, al-Uzza & Manaat adalah nama berhala-berhala utama yang disembah oleh kaum Arab Jahiliyah. Ia diukir daripada batu kemudian disembah oleh mereka dengan nama tuhan.

AYAT 20- {SERTA \”MANAAT\” YANG KETIGA, YANG BERTARAF RENDAH LAGI HINA ITU (LAYAK DISEMBAH DAN DIANGGAP SEBAGAI ANAK-ANAK PEREMPUAN ALLAH)?} (AN-NAJM 53:20)

  1. Jika diikut sejarah nama-nama berhala itu diambil:
    i- al-Lata di ambil dari nama Allah.
    Ia juga nama lelaki baik dari kalangan mereka yang berkhidmat kepada Jemaah haji.
    Bila dia mati pakat puja kuburnya, buat patungnya & lalu disembah.

Sama seperti asal penyembahan berhala pada zaman Nabi Nuh a.s. Ia berasal dari batu yang diukir & adalah sembahan puak Thaqif, Taif.

ii- al-Uzza- nama versi perempuan bagi al-Aziz, yang dibesarkan oleh puak Arab di Semenanjung Tanah Arab.

iii- Manaat- tempat sembelih sempena korban dam haji. Ia terletak dekat dengan Wadi Qudaid. Ia dipuja oleh kabilah Aus & Khazraj dari Madinah ketika datang haji.

  1. Perbuatan syirik & buruk ini tidak akan mati dan pupus, dia akan muncul & dikitar semula oleh para pengikut yang baru pula!
  2. Hadis Rasulullah s.a.w:
    لَعَنَ اللَّهُ الْيَهُودَ وَالنَّصَارَى اتَّخَذُوا قُبُورَ أَنْبِيَائِهِمْ مَسَاجِدَ

\”Semoga Allah melaknat orang-orang Yahudi dan Nasrani, mereka mengambil kubur para Nabi mereka sebagai masjid.\” [HR Bukhari & Muslim].

  1. Fenomena memuliakan kubur-kubur orang soleh ini jika dibiarkan akhirnya akan membawa kepada penyembahan manusia soleh yang telah mati seperti zaman jahiliyyah.

AYAT 21- {PATUTKAH KAMU MEMBAHAGI UNTUK DIRI KAMU SENDIRI ANAK LELAKI (YANG KAMU SUKAI), DAN UNTUK ALLAH ANAK PEREMPUAN (YANG KAMU BENCI)?} (AN-NAJM 53:21)

  1. Apakah patut bagi kamu nisbahkan kepada Allah s.w.t bahawa Tuhan ada anak?
  2. Apatah lagi kamu nisbahkan kepada Allah anak perempuan sedangkan kamu sendiri membencinya?
    Bagi kamu-kamu suka & ingin anak lelaki.
  3. Telah terkenal dalam sejarah; kisah Arab quraisy pada zaman jahiliyyah tidak mahu anak perempuan serta bila dapatnya mereka amat malu & marah, dan ada yang menanamnya hidup-hidup!

AYAT 22- {PEMBAHAGIAN YANG DEMIKIAN, SUDAH TENTU SUATU PEMBAHAGIAN YANG TIDAK ADIL.} (AN-NAJM 53:22)

  1. Sedangkan ini adalah satu pembahagian/nisbah yang tidak adil!
  2. Zalim dan batil kerana ia bertentangan dengan kebenaran & hak!

AYAT 23- {BENDA-BENDA YANG KAMU SEMBAH ITU TIDAK LAIN HANYALAH NAMA-NAMA YANG KAMU DAN DATUK NENEK KAMU MENAMAKANNYA.Allah tidak sekali-kali menurunkan sebarang bukti yang membenarkannya. Mereka yang berbuat demikian, tidak menurut melainkan sangkaan-sangkaan dan apa yang diingini oleh hawa nafsunya. Padahal demi sesungguhnya telah datang kepada mereka petunjuk dari Tuhan mereka.} (An-Najm 53:23)

  1. Semua berhala yang kamu sembah itu tidak lain hanyalah rekaan & buatan yang kamu dan datuk nenek kamu, kamu beri nama kemudian kamu dakwa sebagai tuhan.
  2. Tiada bukti dari Allah s.w.t bahawa apa yang kamu buat itu telah diakui benar!
  3. Firman Allah s.w.t: {Dan mereka menyembah yang lain dari Allah iaitu benda-benda yang Allah tidak menurunkan sebarang keterangan membenarkannya, dan yang mereka tidak mempunyai sebarang pengetahuan mengenainya dan (ingatlah) tiadalah bagi orang-orang yang zalim (dengan perbuatan syirik) itu sesiapapun yang dapat memberikan pertolongan (di dunia dan di akhirat).} (Al-Hajj 22:71)
  4. Semua itu hanyalah dakwaan yang batil, ikut sangkaan yang rendah (ٱلظَّنَّ) dan ikut hawa nafsu!
  5. Padahal telah datang kepada mereka Rasul yang membawa petunjuk dari Tuhan mereka! Rasul dari kalangan mereka. yang mereka kenal sifat dan akhlaknya, yang amanah lagi tidak pernah berdusta!
  6. Allah telah hantar al-Quran yang telah menjelaskan segalanya tetapi mereka tetap tidak hiraukannya!

AYAT 24- {ADAKAH MANUSIA TETAP AKAN DAPAT MENCAPAI SEGALA YANG DICITA-CITAKANNYA? (TIDAK!).} (AN-NAJM 53:24)

  1. Apakah kamu sangka kamu akan dapat mencapai segala cita-cita & angan-angan kamu? Pastilah tidak sama sekali kerana angan-angan kamu itu semuanya menyalahi kebenaran & hukum Allah s.w.t!
  2. Ulama\’ mengatakan maksudnya angan-angan mereka itu ialah samada:
    i- untuk mendapat anak lelaki sahaja.

ii- untuk mendapat balasan yang baik walaupun mereka buat benda jahat.

iii- supaya nabi itu dilantik dari kalangan mereka.

iv- berhala mereka menjadi Tuhan dan ada kuasa.

  1. Firman Allah s.w.t:
    {Dan mereka (Yahudi dan Nasrani) berkata pula: \”Tidak sekali-kali akan masuk Syurga melainkan orang-orang yang beragama Yahudi atau Nasrani\”. Yang demikian itu hanyalah angan-angan mereka sahaja. Katakanlah (wahai Muhammad): \”Bawalah kemari keterangan-keterangan yang (membuktikan kebenaran) apa yang kamu katakan itu, jika betul kamu orang-orang yang benar\”.} (Al-Baqarah 2:111)
  2. Beza antara angan-angan & cita-cita:
    i- cita-cita: seseorang itu pasti akan berusaha dan bekerja untuk mencapainya.
    Beribadat & buat amalan baik jika bercita-cita masuk syurga.

ii- angan-angan: hanya berangan dan berharap untuk mencapainya tanpa ada usaha dan ikhtiar yang sepatutnya!
Berangan untuk kaya tetapi malas bekerja, berangan mahu masuk syurga tetapi malas beribadat!

  1. Jadi lihatlah kita ini berada dalam kategori mana, berangan atau bercita-cita???

AYAT 25- {KERANA ALLAH JUALAH YANG MENGUASAI SEGALA URUSAN AKHIRAT DAN URUSAN DUNIA.} (AN-NAJM 53:25)

  1. Allah jualah Yang Maha Berkuasa Maha Besar yang menguasai segala urusan & pentadbiran alam ini.
  2. Bagi Allah Yang Esa Yang Tunggal sahajalah yang berhak & berkuasa segala urusan akhirat & dunia. Dia berhak memberi kepada sesiapa saja yang dikehendakinya samada yang baik atau buruk. Segala urusan kita adalah mengikut kehendak Allah bukan seperti yang kita angan-angankan!
  3. Tetapi bukan bererti kita tidak boleh berangan atau bercita-cita; bahkan kita mesti bercita-cita yang besar ini iaitu:
    i- menjadi hamba Allah yang soleh.

ii- menjadi orang yang berilmu dalam ilmu-ilmu agama.

iii- untuk duduk atas landasan agama, aqidah & ibadat yang benar berpandukan al-Quran & hadis bukan ikut saja apa yang orang bawa!

  1. Kata Ibnu Ijlan: Kekuatan seorang mukmin itu terpacak dalam hatinya, bukan hanya setakat kekuatan fizikal!

Walaupun badan besar & kuat tidak mampu menolong & memberi manfaat kepada orang yang memerlukan atau melakukan ibadat yang memberi pahala kepadanya sendiri.

PENUTUP/BEBERAPA FAEDAH RINGKAS :

  1. Ayat 21- {Patutkah kamu membahagi untuk diri kamu sendiri anak lelaki (yang kamu sukai), dan untuk Allah anak perempuan (yang kamu benci)?}- semua nama-nama berhala itu adalah perempuan, kemudian mereka nisbahkan pula anak perempuan kepada Tuhan.

Kata ulama\’; ayat ini menjadi dalil bahawa perempuan itu adalah lemah & lembut dari segi fizikal, mengikut kejadian asalnya berbanding dengan lelaki! Ini sesuai dengan peranan asalnya sebagai seorang ibu yang melahir, menyusu dan mendidik anak secara lansung!

Lelaki lebih kuat dan sesuai dari segi fizikalnya serta afdhal untuk beberapa tugas tertentu seperti menjadi nabi, imam dan lain-lain. Serta beberapa perkara dari segi kedudukan & hukum seperti menjadi wali, menerima akad nikah, melafazkan cerai dan lain-lain.

Yakni dari sudut memegang kuasa lelaki yang bertanggung-jawab ke atas isteri, anak-anak & adik beradik perempuannya!

Realitinya jika kaum bukan Islam menuntut mahukan persamaan (women\’s right) antara lelaki & perempuan- pasti tidak akan sama kerana memang sudah fitrah kejadian manusia begitu! Puak jahiliyyah pun tahu tentang ini.

Tetapi ini tidak bererti kaum perempuan itu hina dan dipinggirkan dalam Islam!
Bahkan Islam yang memuliakan dan mengangkat martabat wanita berbanding dengan semua agama dan kepercayaan lain atas muka bumi ini!

  1. Ayat 19- {(Setelah kamu – wahai kaum musyrik Makkah – mendengar keterangan yang membuktikan kekuasaan dan keagungan Allah) maka adakah kamu nampak bahawa \”Al-Laat\” dan \”Al-Uzza\”.} dan Ayat 20- {Serta \”Manaat\” yang ketiga, yang bertaraf rendah lagi hina itu (layak disembah dan dianggap sebagai anak-anak perempuan Allah)?} (An-Najm 53:20)- ayat ini untuk membatalkan satu kisah karut yang dipanggil sebagai (قصة الغرانيق) di kalangan kaum Quraisy pada masa itu!

Iaitu kononnya yang mengatakan ketika Rasulullah s.a.w membaca ayat ini, syaitan datang mencampakkan atas lidah Nabi s.a.w, lalu tanpa sedar Baginda menukar ayat ini menjadikan seolah dia memuji 3 berhala ini! Kerana itulah para kafir itu turut bersujud kerana tidak pernah lagi sebelum ini Rasulullah memuji tuhan berhala mereka!

Tetapi majoriti ulama\’ & ahli tafsir mengatakan kisah ini tidak sahih, tidak betul, karut dan rekaan semata ini kerana Rasulullah s.a.w itu adalah seorang yang ma\’sum!
Tidak mungkin syaitan boleh menguasainya!

Ibnu Kathir rhm. berkata: Para ulama\’ tafsir ramai menyebut kisah ini dalam tafsir mereka apabila menafsirkan ayat ini.
Tetapi semuanya mengatakan ia adalah satu kisah yang tidak benar!
Ramai ulama\’ telah menulis untuk menghancurkan tuduhan jahat yang tidak benar ini!

  1. Ayat 23- {Mereka yang berbuat demikian, tidak menurut melainkan sangkaan-sangkaan dan apa yang diingini oleh hawa nafsunya.}- yakni ajaran yang mereka ikut itu bukan berdasarkan fakta & dalil yang jelas, hanya berdasarkan sangkaan-sangkaan dan ikut nafsu sahaja!
    Kebanyakan (ٱلظَّنَّ) itu hanyalah sangkaan semata, nafsu itu pula selalunya akan ikut yang tidak benar!

Dalam agama kita ini, amalan & ibadat wajib ikut dalil dan ambil fakta yang jelas bukan hanya ikut sangkaan dan ikutan.

Sangkaan yang kita tidak tahu jangan kita ikut, hanya ikut & dengar yang orang dulu maka buat!
Agama Islam adalah agama yang berfakta, jangan jadikannya satu ajaran auta!

  1. Ayat 23- {Padahal demi sesungguhnya telah datang kepada mereka petunjuk dari Tuhan mereka.} – di dalam ayat ini isyarat bahawa tidak boleh kita mengambil ilmu Syaria\’t ini kecuali melalui Allah s.w.t & Rasulullah s.a.w ajar. Allah telah bawa kepada kita petunjuk & kebenaran. Ajaran & amalan melalui mimpi tidak boleh dibuat hujjah dalam agama! Bukan begitu caranya!

Allah s.w.t telah bawa kepada kita petunjuk (ٱلۡهُدَىٰٓ) yang jelas dan nyata!

Yang merosakkan manusia adalah dua:
i- Syahwat- nafsu yang suka akan hiburan & maksiat. Nafsu mesti dididik, jangan lepas & ikut bebas dia memilih!

ii- Syubhat yang meragukan pemikiran dan aqidah manusia.

Kata bijak-pandai: Nafsu itu seperti kanak-kanak yang menyusu, jika dibiarkan dia tidak akan berhenti dengan sendiri.
Yakni nafsu itu kena didik, ajar & asuh barulah dia dengar kata!

  1. Ayat 24- {Adakah manusia tetap akan dapat mencapai segala yang dicita-citakannya?}- ketahuilah angan-angan saja tanpa ikhtiar itu dicela!

Tetapi bercita-cita untuk dapatkan benda baik lalu berusaha untuk mencapainya adalah dipuji tetapi jika hanya berangan-angan tidak akan memberi faedah.

Lalu Allah s.w.t menutup ruang angan-angan manusia ini dengan mengatakan:
Ayat 25- {Kerana Allah jualah yang menguasai segala urusan akhirat dan urusan dunia.}

Jika kamu bercita-cita besar ingatlah kepada Allah yang menguasai segalanya, maka jadikanlah cita-cita utama kita adalah untuk mendapat keredhaan Allah s.w.t & menjauhi kemurkaan-Nya.
Maka semoga syurga menjadi tempat kembali kita, Insya\’Allah!

Powered by BetterDocs