SURAH AL-JIN : AYAT 1-2

\"\"

MUQADDIMAH DAN INTISARI SURAH, MUNASABAH & NABI S.A.W MENCERITAKAN TENTANG JIN.

Full video : https://youtu.be/HEjf7XnWPrg?si=9ZoRInhUB0TlTOC5

MUQADDIMAH SURAH :

  1. Alhamdulillah pada pagi ini, Rabu 22 Sya\’ban 1444H bersamaan 15hb Mac 2023 kita dapat mulakan pengajian Kuliah tafsir bagi Surah Al-Jin – سورة الجن
  2. Syukur kepada Allah s.w.t kerana kita dapat meneruskan pengajian dalam tafsir al-Quran & tadabburnya. Semoga Allah s.w.t kabulkan amalan kita, buka dan cerahkan hati kita untuk menerima panduan & hidayat dari al-Quran ini yang dapat membawa kita syurga-Nya.
  3. Surah Al-Jin – سورة الجن adalah surah ke-72 dalam tertib susunan al-Quran, iaitu selepas Surah Nuh – سورة نوح surah yang keenam dalam juz ke 29, mengandungi 28 ayat.
  4. Ulama\’ tafsir ijma\’ mengatakan surah ini Makkiyyah, yakni turun di Makkah sebelum hijrahnya Rasulullah s.a.w ke Madinah.
  5. Ini kerana Rasulullah s.a.w bertemu dengan jin itu sebelum Baginda berhijrah ke Madinah. Ia menceritakan tentang golongan jin yang datang berjumpa Rasulullah s.a.w samada secara spontan atau secara temu-janji.

NAMA SURAH :

  1. Dinamakan surah ini sebagai:
    i- Surah Al-Jin – سورة الجن yang bermakna {Perihal Jin} kerana pada awal surah ini Allah s.w.t memerintahkan Rasulullah s.a.w menyatakan kepada umum bahawa Baginda telah diwahyukan kepadanya perihal jin.

ii- tujuannya supaya diketahui umum bahawa sebagaimana Baginda diutuskan sebagai Rasul kepada manusia, Baginda juga diutuskan untuk menyampaikan tentang Islam kepada umat golongan jin. Ini kerana kaum jin tidak ada nabi & rasulnya sendiri.

iii- serta bahawa ada golongan jin yang telah Islam dengan beriman kepada Allah s.w.t & Rasul-Nya s.a.w serta kepada al-Quran yang mereka dengar Rasulullah s.a.w membacanya.

  1. Juga tentang golongan jin yang cuba naik ke langit untuk mencuri dengar maklumat wahyu di langit lalu dilontar dengan panahan api bintang dan lain-lain kisah jin yang ajaib & pelik yang kita akan baca dalam surah ini Insya\’Allah.

INTISARI KANDUNGANNYA :

  1. Membentangkan tentang hakikat bahawa satu rombongan jin telah mendengar al-Quran yang dibacakan oleh Rasulullah s.a.w dan bahawa mereka telah beriman dan kembali berdakwah menyampaikan Islam kepada kalangan kaum masing-masing.
    Mereka dengar, faham dan balik mengajar kepada orang lain!
  2. Setelah menerangkan bahawa jin itu ada Islam & ada yang kafir, maka Allah s.w.t wahyukan kepada Rasulullah s.a.w supaya menyatakan kepada umum bahawa jika jin & manusia berjalan atas landasan Islam yang betul, sudah tentu Allah s.w.t akan memberikan limpahan kemewahan. Ini untuk mengguji apakah mereka bersyukur & tetap betul menurut Islam atau sebaliknya.
  3. Yakni limpahan nikmat dari Tuhan yang Maha Pemurah kepada seseorang mewajibkan ke atasnya untuk bersyukur dan melipat-gandakan ibadat; bukan sombong & takabbur.
    Orang yang lupa & sombong Allah s.w.t akan tarik nikmatnya dalam waktu yang terdekat, Inilah bahayanya orang yang kufur nikmat akan lupa segala pegangan dan janji perjuangan sebelum ini!
  4. Sepatutnya kita bersyukur kepada Allah s.w.t atas setiap nikmat yang datang, jika tidak ia akan menjadi bala bencana.
  5. Surah ini diakhiri dengan menerangkan bahawa Rasulullah s.a.w hanya diberi kuasa menyampaikan wahyu yang diturunkan dari Allah dan perintah-perintah yang ditugaskan ke atasnya. Maka sesiapa yang menderhaka kepada Allah dan mengingkari bawaan Rasul-Nya; maka buruklah akibat & padahnya!

MAQASID/OBJEKTIF SURAH :

  1. Antara objektifnya yang terpenting ialah Allah mahu ceritakan kepada kita tentang maklumat & cerita jin. Mereka mendengar al-Quran, ada yang menolaknya dan ada yang mendengar al-Quran, menerima wahyu Allah ini, lalu beriman dan beramal dengannya.
    Sama seperti golongan manusia, ada yang beriman ada yang menolak.

ISU PENTING DALAM SURAH :

  1. Sekumpulan dari jin mendengar al-Quran dan mereka beriman dengannya. Allah s.w.t juga menceritakan beberapa kata-kata jin sebagai respon mereka apabila mendengar al-Quran.
  2. Jin ini suka mencuri dengar maklumat yang diterima malaikat di langit. Jin yang nakal akan turun ke bumi lalu menceritakan kepadanya kepada golongan nujum & tukang ramal. Mereka ini akan ceritakan kepada orang ramai bahawa akan berlaku suatu kejadian-sekian lalu orang menganggapnya hebat & tahu perkara ghaib.
    Apabila Rasulullah s.a.w dilantik menjadi Rasul, mereka tidak dapat naik lagi ke langit.
  3. Allah nyatakan bahawa jin ini sama seperti manusia, terbahagi kepada dua, ada yang beriman ada yang kafir derhaka.
  4. Menyatakan & balasan orang yang istiqomah melaksanakan suruhan Allah Azza wa Jalla & balasan yang buruk ke atas orang yang lari daripada mengikuti al-Quran & Sunnah Rasulullah s.a.w.
  5. Allah s.w.t juga menyatakan perintah-Nya kepada Rasulullah s.a.w agar menyampaikan segala ilmu yang telah disampaikan Allah kepadanya s.a.w.
  6. Allah nyatakan bahawa ilmu ghaib hanya di bawah kuasa & ilmu Allah, tiada manusia yang tahu hatta Rasulullah s.a.w kecuali apa yang diwahyukan Allah kepada Baginda.
    Baginda tidak mengetahuinya, tiada kuasa ghaib kecuali apa yang Allah anugerahkan kepadanya. Yang mereka-cerita ini hanya ahli nujum, tukang tilik, ahli teori dan seumpamanya.
  7. Maka kita jangan melampau (ghuluw) menyatakan bahawa Rasulullah s.a.w adalah pemilik dunia & alam ini yang mengetahui segala yang ghaib & batin. Kerana pemilik alam & dunia ini hanyalah Allah s.w.t yang Maha Berkuasa bukan di bawah kuasa Nabi s.a.w.

MUNASABAH SURAH AL-JIN – سورة الجن DENGAN SURAH NUH – سورة نوح SEBELUMNYA :

Hubung-kait surah ini dengan Surah Nuh.

  1. Dalam Surah Nuh Allah s.w.t menyebut dalam {ayat 10-11} supaya meminta keampuan dari Allah Yang Maha Mengampun; lalu Allah s.w.t akan hantar hujan rahmat yang mencurah-curah, menghidupkan bumi & menyegarkan haiwan.

ii- Dalam Surah Al-Jin – سورة الجن ini Allah s.w.t bagi perintah kepada kaum Quraisy dalam {ayat 16}- jika kamu patuh & ikut Syariah Allah s.w.t, ikut ajaran Nabi s.a.w; Kami akan curahkan ke atas kamu air yang baik memberi manfaat.

Iaitu kaitannya tawaran istimewa dari Allah s.w.t agar beristighfar & istiqomah akan membawa kepada Allah turunkan rahmat di atas muka bumi ini. Jika maksiat banyak, istighfar tiada; maka jika hujan turun pun tidak lagi sebagai rahmat tetapi membawa bencana!

  1. Dalam kedua surah ini Nuh & Jin ada kaitan Allah s.w.t sebut tentang langit
    i- {\”Tidakkah kamu mengetahui dan memikirkan bagaimana Allah telah menciptakan tujuh petala langit bertingkat-tingkat,} (Nuh 71:15)

ii- {Dan bahawa sesungguhnya kami telah berusaha mencari berita langit, lalu kami dapati langit itu penuh dengan pengawal-pengawal yang sangat kuat kawalannya, dan (dengan rejaman-rejaman) api yang menyala.} (Al-Jin 72:8)

  1. Sama juga ada cerita tentang orang derhaka yang akan diazab samada di dalam kubur atau neraka:
    i- {Disebabkan dosa-dosa dan kesalahan mereka, mereka ditenggelamkan (dengan banjir dan taufan), kemudian (pada hari akhirat) dimasukkan ke dalam neraka; maka mereka tidak akan beroleh sebarang penolong yang lain dari Allah (yang dapat memberikan pertolongan).} (Nuh 71:25)

ii- {Dan sesiapa yang menderhaka kepada Allah dan ingkarkan bawaan RasulNya, maka sesungguhnya disediakan baginya neraka Jahannam; kekallah mereka di dalamnya selama-lamanya.\”} (Al-Jin 72:23)

أَعُوذُ بِاَللَّهِ السَّمِيعِ الْعَلِيمِ مِنْ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ

AYAT 1- {KATAKANLAH (WAHAI MUHAMMAD): \”TELAH DIWAHYUKAN KEPADAKU, BAHAWA SESUNGGUHNYA: SATU ROMBONGAN JIN TELAH MENDENGAR (AL-QURAN YANG AKU BACAKAN), LALU MEREKA (MENYAMPAIKAN HAL ITU KEPADA KAUMNYA DENGAN) BERKATA: `SESUNGGUHNYA KAMI TELAH MENDENGAR AL-QURAN (SEBUAH KITAB SUCI) YANG SUSUNANNYA DAN KANDUNGANNYA SUNGGUH MENAKJUBKAN!} (AL-JIN 72:1)

  1. Rasulullah s.a.w diwahyukan oleh Allah s.w.t menceritakan tentang sekumpulan {نَفَرٌۭ } yang mendengar bacaan al-Qurannya. Rasulullah s.a.w tidak tahu perkara ini.
    Dalam kumpulan yang tidak sampai 10 orang {نَفَرٌۭ }.
  2. Sebab Nuzul Ayat:
    Hadis riwayat dari Ibnu Abbas r.a:
    Bahawa Rasulullah s.a.w sedang berjalan bersama beberapa orang sahabatnya ke Pasar \’Ukaz untuk berdakwah.
    Ketika Rasulullah s.a.w. bersama rombongan sahabat menuju ke pasar \’Ukaz, setibanya Baginda di suatu tempat bernama Nakhlah di Tihamah, Rasulullah s.a.w. dan rombongan berhenti untuk mendirikan solat Subuh.

Pada masa itu syaitan sudah tidak boleh mendengar lagi rahsia dari langit. Maka ia termenung tiada kerja.
Perkara ini menyebabkan berita-berita di langit yang dicuri oleh syaitan terhalang, malahan mereka mendapat lemparan bintang-bintang sehingga terpaksa pulang ke kaumnya.

Setibanya ia di tempat kaumnya, syaitan itu pun ditanya: \”Apa yang terjadi sehingga kamu kembali?\”

Mereka menjawab: \”Kami terhalang untuk mendapatkan berita dari langit. Bahkan kami dikejar oleh bintang-bintang.\”
Kaumnya berkata: \”Kita tidak mungkin terhalang dari berita langit. Tentu ada sebabnya. Bertebaranlah kamu ke Timur dan Barat dan carilah sebab kepada penghalangan ini.\”
(Yakni mereka berpecah untuk menyiasat sebabnya)

Maka, bertebaranlah mereka ke Timur dan Barat sehingga sebahagian daripada mereka pun tiba di Tihamah tempat Rasulullah s.a.w. berhenti untuk solat Subuh.

Mereka mendengar bacaan Rasul serta memerhatikannya, lalu berkata: \”Demi Allah, inilah yang menghalang kita untuk mendapatkan berita dari langit.\”

Kemudian, mereka pun pulang ke kaum mereka dan menyampaikan berita tersebut sambil mengagumi al-Quran yang membawa mereka ke jalan penuh hidayat Allah, sehingga mereka beriman.

Maka, turun Allah s.w.t turunkan ayat ini (Surah al Jin: 72:1) sebagai pemberitahuan kepada Nabi Muhammad s.a.w. untuk diceritakan kepada umatnya tentang kejadian tersebut. [HR Bukhari & Muslim]

  1. Maksudnya Rasulullah s.a.w tidak mengetahui perkara ini kecuali selepas Allah s.w.t menyatakannya melalui wahyunya.
  2. Ahli tafsir mengatakan bahawa:
    i- Jin yang datang berjumpa Rasulullah s.a.w ini dikatakan dari kaum Nasibin.

ii- manakala jin yang berada di Nakhlah datang dari Ninawa. Wallahu a\’lam.

  1. Perkara ini dijelaskan juga dalam firman Allah s.w.t ini:
    {Dan (ingatkanlah peristiwa) semasa Kami menghalakan satu rombongan jin datang kepadamu (wahai Muhammad) untuk mendengar Al-Quran; setelah mereka menghadiri bacaannya, berkatalah (setengahnya kepada yang lain): \”Diamlah kamu dengan sebulat-bulat ingatan untuk mendengarnya!\” Kemudian setelah selesai bacaan itu, kembalilah mereka kepada kaumnya (menyiarkan ajaran Al-Quran itu dengan) memberi peringatan dan amaran.} (Al-Ahqaaf 46:29)

AYAT 2- {KITAB YANG MEMBERI PANDUAN KE JALAN YANG BETUL, LALU KAMI BERIMAN KEPADANYA, DAN KAMI TIDAK SEKALI-KALI AKAN MEMPERSEKUTUKAN SESUATU MAKHLUK DENGAN TUHAN KAMI.} (AL-JIN 72:2)

1.mendengar bacaan al-Quran ini, jin itu kagum dan terkesan dengannya lalu terus balik untuk menyampaikan kepada kaumnya juga.

  1. Mereka mengakuinya sebagai sebuah kitab yang memberi petunjuk dan panduan ke arah jalan yang betul dalam hidup.
  2. Lalu mereka terus beriman kepada Allah s.w.t dan berjanji bahawa mereka tidak akan sekali-kali akan mempersekutukan sesuatu makhluk dengan Tuhan.
  3. Begitulah jin yang mendapat petunjuk & hidayah dengan sekali mendengar bacaan al-Quran. Mereka juga terus berdakwah menyampaikannya agar orang lain juga dapat beriman dan selamat.
  4. Firman Allah s.w.t lagi:
    {Mereka berkata: \”Wahai kaum kami! Sesungguhnya kami telah mendengar Kitab (Al-Quran) yang diturunkan (oleh Allah) sesudah Nabi Musa, yang menegaskan kebenaran Kitab-kitab Suci yang terdahulu daripadanya, lagi, memandu kepada kebenaran (tauhid) dan ke jalan yang lurus (agama Islam)} (Al-Ahqaaf 46:30)

PENUTUP & FAEDAH :

Ayat 1- {Katakanlah (wahai Muhammad): \”Telah diwahyukan kepadaku, bahawa sesungguhnya: satu rombongan jin telah mendengar (Al-Quran yang aku bacakan), lalu mereka (menyampaikan hal itu kepada kaumnya dengan) berkata: `Sesungguhnya kami telah mendengar Al-Quran (sebuah Kitab Suci) yang susunannya dan kandungannya sungguh menakjubkan!}-

  1. Faedah pertama dari ayat ini: Ayat ini menunjukkan bahawa ketika membaca al-Quran itu Rasulullah s.a.w tidak nampak jin & tidak tahu pun mereka sedang mendengar bacaannya.
    Kerana itu Allah s.w.t wahyukan menceritakan hal ini kepada Baginda.
    Ini dalil bahawa tiada siapa yang tahu ilmu ghaib kecuali Allah s.w.t!
    Bahkan Rasulullah s.a.w tidak mengetahu perkara ghaib kecuali apa yang diberitahu oleh Allah s.w.t. Jika sesiapa yang mendakwa sebaliknya maka dia telah menyalahi nas al-Quran ini!
  2. Faedah kedua:
    Ayat ini juga mencela puak kafir dari kalangan manusia, iaitu Bani Adam!
    i- Betapa golongan jin itu yang walaupun hanya mendengar sekali & sedikit sahaja bacaan ayat al-Quran terus terkesan, faham lalu mendapat manfaat dari al-Quran dengan terus beriman kepadanya!

ii- Bertentangan dengan kaum Quraisy yang hidup bersama dengan Rasulullah s.a.w sejak dari kecil, keluarganya sendiri, dari awal lagi mendengar al-Quran pada setiap hari, tetapi tetap lari dan tidak hirau, lalu mereka tidak beriman & tidak mendapat manfaat darinya! Amat malang & rugi sekali.

Sifat terpuji golongan jin ini juga:
i- selepas mendengar al-Quran dan mendapat petunjuk darinya, mereka terus kembali berdakwah kepada kaumnya di kampung mereka!

ii- sedangkan ada setengah manusia yang selepas mendengar kuliah & tadabbur; tidak tahu & tidak pernah balik cerita hatta kepada keluarga yang terdekat!
Apatah lagi untuk berdakwah dan menyampaikan ilmu kepada orang lain!

  1. Faedah ketiga: Ayat ini menunjukkan bahawa sebagaimana Rasulullah s.a.w diutus & dibangkitkan kepada manusia, Baginda juga diutuskan kepada kaum jin. Golongan jin tidak ada rasul, Rasulullah s.a.w adalah rasul yang diutuskan kepada manusia & jin juga.

Kerana itulah Allah s.w.t tarik beberapa golongan jin ini mendengar al-Quran dan balik berdakwah menyampaikan kepada kaumnya.
Ini juga menunjukkan bahawa golongan jin juga mempunyai tanggung-jawab Syara\’ (mukallaf) seperti manusia juga; buat dapat pahala tak buat berdosa!

Ini juga menunjukkan jin juga faham bahasa manusia, mereka dapat melihat & mendengar kita. Kita yang tidak nampak & tidak faham bahasa mereka.

  1. Faedah keempat:
    Timbul persoalan: Dikatakan yang dilontar dengan api tadi ialah syaitan tetapi yang mendengar al-Quran ini puak jin- apa kaitannya?
    Jawapan:
    i- yang dilontar dengan api bintang itu ialah jin. Ini kerana jin yang nakal dipanggil syaitan; sama seperti manusia yang jahat juga.
    Dalilnya firman Allah s.w.t:
    {\”(Iaitu pembisik dan penghasut) dari kalangan jin dan manusia\”.} (An-Naas 114:6)

Semua yang jauh dari ketaatan kepada Allah s.w.t samada jin atau manusia maka ia adalah syaitan! Sesiapa yang menderhaka kepada Allah s.w.t maka ia adalah syaitan! Jin & manusia- jenis; sifat- syaitan!

Hadis diikat syaitan:
Rasulullah SAW bersabda; \”Apabila sampai bulan Ramadan, pintu-pintu syurga semua dibuka, pintu-pintu neraka pula ditutup dan diikat serta dibelenggu syaitan dan iblis\” [HR al-Bukhari dan Muslim].

ii- syaitan curi dengar & jin ikut juga, maka apabila dilontar syaitan, jin yang ikut itu juga kena lontar bersama. Wallahu a\’lam.

  1. Faedah kelima: Ayat ini juga menunjukkan kecerdikan jin! Mereka mudah mengesan sesuatu yang baik, yang menyebabkan mereka percaya dan menerima al-Quran, beradab dengannya, mereka mendengarnya dengan khusyuk lalu mendapat manfaat darinya!
    Jin yang beriman adalah lebih baik & lebih cerdik daripada manusia yang tidak beriman, yang dengar berkali-kali tetapi tidak mendapat manfaat.

Kerana itu kita kena dengar dan tadabbur kerana Al-Quran ini kerjanya ialah membawa manusia & jin ke arah jalan yang benar, jalan yang diredhai Allah s.w.t! Perintah & larangan yang ada dalam al-Quran semuanya baik & mempunyai maslahah.

Inilah kelebihan jin yang baik, mereka mendengar al-Quran dengan khusyuk, memahamimya, dapat mengesan kebaikannya, sekali dengar terus beriman. Apabila mendapat kefahaman dia tidak hanya duduk diam, tetapi terus balik berdakwah kepada kaumnya yang lain, menyampaikan kebenaran yang diterima!

Powered by BetterDocs