SURAH AZ-ZARIYAT : AYAT 52-55

\"\"

TUDUHAN JAHAT PUAK KAFIR KEPADA PARA RASUL & TAZKIRAH BERMANFAAT BUAT KAUM MUSLIMIN.

Full video : https://youtu.be/gJmnC9wNql0

MUQADDIMAH :

  1. Dalam siri ini Allah s.w.t menerangkan tentang tuduhan jahat semua puak kafir daripada dulu sehingga kepada zaman Rasulullah s.a.w dan kepada para rasul yang diutuskan kepada mereka.
  2. Tuduhan mereka dari otak dan fikiran yang satu iaitu samada menuduh rasul itu seorang ahli sihir (سَاحِرٌ) atau orang yang gila (مَجۡنُونٌ).
  3. Seruan agar kita semua memberi peringatan & tazkirah kerana ia bermanfaat buat kaum yang beriman dan akur taat kepada Allah s.w.t.
  4. Manakala bagi orang yang tidak mahu membuka hati & fikirannya; maka tiada faedah kerana mereka tidak akan beriman maka tidak akan memberi manfaat kepada mereka!
  5. Munasabah ayat:
    i- Allah telah sebut dalam ayat yang lepas bagaimana mereka berbeza pandangan dalam teknik mendustakan para rasul a.s. Tetapi mereka sepakat dalam membuat tuduhan iaitu para rasul itu adalah ahli sihir.
    Ini kerana kebanyakan mukjizat yang Allah berikan kepada para rasul itu adalah seolah sihir yang dipercayai mereka.
    Seperti tongkat nabi Musa yang menjadi ular dan lain-lain. Mereka mencari-cari tuduhan yang sesuai.

ii- sedangkan mereka ini apabila ditanya siapa yang mencipta langit dan bumi ini mereka akan menjawab Allah tetapi dalam penyembahan mereka menyekutukan-Nya pula! Ini kerana mereka tidak istiqomah dalam satu pegangan & iktikad. Kerana itu kita kena solid dan mantapkan akidah kita, menjauhkan segala bentuk syirik samada dalam perbuatan atau ideologi kefahaman.

AYAT 52- {DEMIKIANLAH (KEADAAN TIAP-TIAP KAUM TERHADAP RASULNYA SAMALAH SEPERTI KEADAAN KAUMMU WAHAI MUHAMMAD) – TIDAK ADA SEORANG RASUL PUN YANG DATANG KEPADA KAUM-KAUM YANG TERDAHULU DARI MEREKA, MELAINKAN ADA YANG BERKATA: \”DIA ADALAH SEORANG AHLI SIHIR, ATAU SEORANG GILA\”.} (AZ-ZAARIYAAT 51:52)

  1. Allah s.w.t memberitahu kepada Rasulullah s.a.w sifat & keadaan umat terdahulu terhadap rasulnya samalah seperti keadaan kaum Quraisy terhadap Baginda s.a.w!
  2. Tidak ada seorang Rasul pun yang datang kepada kaum-kaum yang terdahulu dari mereka, melainkan ada yang berkata: \”Dia adalah seorang ahli sihir, atau seorang gila.\”
  3. Sama seperti perangai Quraisy ini, begitulah sifat umat terdahulu juga!
    Tuduhan mereka hanya satu kepala sahaja, seolah mereka berpakat dalam membuat tuduhan kepada para rasul itu!

AYAT 53- {ADAKAH MEREKA SEMUA TELAH BERPESAN-PESAN (DAN MENCAPAI KATA SEPAKAT) UNTUK MELEMPARKAN TUDUHAN ITU? (SUDAH TENTU MEREKA TIDAK DAPAT BERBUAT DEMIKIAN), BAHKAN MEREKA SEMUANYA ADALAH KAUM YANG MELAMPAUI BATAS (DALAM KEINGKARANNYA).} (AZ-ZAARIYAAT 51:53)

  1. Allah buat persolan; apakah mereka semua telah berpakat membuat resolusi kata sepakat (أَتَوَاصَوۡاْ بِهِۦۚ) dalam melemparkan tuduhan terhadap para rasul a.s itu!
  2. Sama tuduhan dan tohmahan mereka dalam mendustakan para rasul yang diutuskan kepada mereka.
    Puak kafir itu fikrah mereka satu walaupun mereka dipisahkan oleh masa & jarak!
  3. Mustahil mereka boleh berkumpul terutama kerana masa yang berbeza, zaman & umat lain semuanya. Mereka satu kepala dalam kekufuran berpakat menuduh seorang itu samada seorang yang gila atau ahli sihir.
  4. Begitulah senjata orang yang jahat itu ialah lidah yang buruk. Kerana itu tuduhan mereka sama kerana mereka adalah satu kaum yang jahat sama fikirannya, kaum yang taghut yakni jahat!
  5. Lalu Allah s.w.t menjatuhkan hukuman kepada mereka sebagai satu kaum (قَوۡمٞ طَاغُونَ) yang melampaui batas dalam kedegilan & kekufuran. Ini kerana sifat taghut mereka sama, sepakat syirik kepada Allah s.w.t, melampaui melanggar segala hukum Allah s.w.t!
  6. Firman Allah s.w.t:
    {Dan (orang-orang musyrik) yang tidak berilmu pengetahuan, berkata: \”Alangkah eloknya kalau Allah berkata-kata dengan kami (mengenai kebenaran Muhammad) atau datang kepada kami sesuatu keterangan (mukjizat)?\” Demikian pula orang-orang (kafir) yang terdahulu dari mereka pernah berkata seperti yang dikatakan oleh mereka; hati mereka (sekaliannya) adalah bersamaan (degil dan kufur). Sesungguhnya Kami telah pun menerangkan ayat-ayat keterangan (yang menjadi dalil dan bukti) kepada kaum yang mahu percaya dengan yakin.} (Al-Baqarah 2:118)

AYAT 54- {OLEH ITU, BERPALINGLAH (WAHAI MUHAMMAD) DARIPADA MEREKA (YANG MENENTANGMU ITU DAN JANGANLAH DIHIRAUKAN), KERANA ENGKAU TIDAK AKAN DISALAHKAN (SETELAH ENGKAU MEMBERI AMARAN KEPADA MEREKA).} (AZ-ZAARIYAAT 51:54)

  1. Lalu Allah s.w.t menyuruh Rasulullah s.a.w meneruskan tugas dakwahnya, jangan hiraukan segala perbuatan jahat orang kafir ini! Tinggalkan mereka dan perbuatan jahat mereka itu!
  2. Munasabah ayat: Allah s.w.t sekali lagi menenangkan hati Rasulullah yang berasa bersalah & menyalahkan dirinya sendiri yang mungkin tidak pandai dan lemah dalam berdakwah lalu kaum Quraisy itu tidak beriman dan menolak dakwahnya. Ini kerana akhlak Baginda yang mulia.

Allah menafikan perasaan ini dengan menurunkan ayat ini.
{Kerana engkau tidak akan disalahkan (setelah engkau memberi amaran kepada mereka).}
Mereka sendiri yang menolak dan berpaling daripada dakwah Rasulullah s.a.w.

  1. Allah s.w.t bagi tempoh seperti dalam firman-Nya ini:
    {Oleh itu berpalinglah (wahai Muhammad) dari mereka, (jangan hiraukan celaan mereka serta bersabarlah) hingga ke suatu masa (‌حَتَّىٰ ‌حِينٖ).} (As-Saaffaat 37:174)
  2. Tempoh suatu masa (‌حَتَّىٰ ‌حِينٖ) ini ada dua samada:
    i- apabila tiba masa mereka beriman menerima dakwah.
    Seperti yang berlaku semasa Pembukaan Kota Makkah, orang ramai berduyun-duyun memeluk Islam, Makkah bukan lagi Kota syirik dan berhala.

ii- apabila tiba tempoh kebinasaan mereka samada tiba ajal atau hari Kiamat nanti.
Seperti puak Quraisy & Abu Jahal yang binasa dalam peperangan Badar selepas berbelas tahun melawan Rasulullah & golongan mukmin di Makkah.

  1. Allah juga menegaskan bahawa Rasulullah s.a.w tidak akan dicela lagi selepas Baginda menjalankan tugas dakwahnya!

Kita para pendakwah hari ini apakah kita telah bertugas menyampaikan dawah dan menghidupkn Sunnah Nabi s.a.w yang sahih?

  1. Ulama\’ membincangkan maksud perkataan berpaling dari mereka (فَتَوَلَّ عَنۡهُمۡ) ini:
    i- iaitu setiap orang yang tidak mahu dengar & menerima dakwah dan ajaran Islam yang dibawa oleh Rasulullah s.a.w.

ii- kata Ibnu Asyur rhm.: Apabila kita berdakwah dan orang tidak mahu terima maka cukuplah, tinggalkan daripada merayu & memujuk-mujuk mereka!

Ini kerana Rasulullah s.a.w ini sangat loba mahu sangat keluarga dan kaumnya beriman menerima Islam, maka Baginda akan rasa sedih dan kecewa apabila mereka tidak beriman. Maka Allah s.w.t sentiasa memberi ketenangan kepada Rasulullah bahawa Baginda tidak akan dicela dan disalahkan kerana Baginda telah terbukti & jelas melakukan tugasnya!

  1. Beberapa firman Allah s.w.t lagi:
    i- {Jangan-jangan pula engkau (wahai Muhammad), membinasakan dirimu dengan menanggung dukacita, kerana mereka tidak menjadi orang-orang yang beriman.} (Asy-Syu\’araa\’ 26:3)

ii- {Maka jangan-jangan pula engkau (wahai Muhammad), membinasakan dirimu disebabkan menanggung dukacita terhadap kesan-kesan perbuatan buruk mereka, jika mereka enggan beriman kepada keterangan Al-Quran ini.} (Al-Kahfi 18:6)

  1. Sekaligus ayat ini mengajar kepada kita bahawa dakwah itu mesti diteruskan. Orang terima alhamdulillah, atau tidak kita jangan hiraukan selagi kita ada peluang dan jalan.
  2. Berapa ramai orang yang pada awalnya marah, menentang dan benci tetapi sekarang telah menerima dan merasa kemanisan beramal dengan Sunnah Rasulullah s.a.w.
  3. Ini kerana: Beramal dengan Sunnah hati tenang dan pahala confirm dapat Insya\’Allah.

AYAT 55- {DAN TETAP TEKUNLAH ENGKAU MEMBERI PERINGATAN, KERANA SESUNGGUHNYA PERINGATAN ITU MENDATANGKAN FAEDAH KEPADA ORANG-ORANG YANG BERIMAN.} (AZ-ZAARIYAAT 51:55)

  1. Teruskan istiqomah dalam kerja dakwah, jangan sekali-kali putus asa dan kecewa.
  2. Ini kerana peringatan & tazkirah itu akan memberi manfaat kepada orang yang benar-benar beriman! Orang yang beriman tidak memberi faedah, yang tidak mantap imannya hanya akan hadir secara fizikal tanpa apa-apa persediaan.
  3. Kata Syeikh as-Sa\’di tazkirah itu ada dua jenis:
    i- memberi peringatan kepada orang tidak tahu, sebagai penjelasan.
    Kita kena jelaskan secara terperinci, memperkenalkan benda-benda yang baik agar mereka mendapat penjelasan yang jelas. Sebab semua manusia mahu benda yang baik cuma mereka tiada penjelasan.

ii- peringatan untuk orang yang sudah tahu tetapi mereka lupa & lalai.
Seperti orang yang tahu bahawa solat Jemaah itu baik tetapi mereka lupa dan lagha.
Maka peringatan itu akan memberi faedah kepada mereka.

  1. Firman Allah s.w.t: {Oleh itu berilah peringatan (kepada umat manusia dengan ajaran Al-Quran), kalau-kalau peringatan itu berguna (dan sudah tentu berguna);} (Al-A\’laa 87:9)
  2. Berilah peringatan kerana ia akan memberi kebaikan kepada orang yang beriman.

PENUTUP/BEBERAPA FAEDAH RINGKAS :

  1. Ayat 52- {Demikianlah (keadaan tiap-tiap kaum terhadap Rasulnya samalah seperti keadaan kaummu wahai Muhammad) – tidak ada seorang Rasul pun yang datang kepada kaum-kaum yang terdahulu dari mereka, melainkan ada yang berkata: \”Dia adalah seorang ahli sihir, atau seorang gila\”.}- demikianlah setiap rasul itu menghadapi ujian termasuk nabi Muhammad s.a.w, menerima tentangan daripada kaumnya, dituduh gila ataupun ahli sihir.

Maka ayat ini menunjukkan bahawa setiap rasul dan para pendakwah mesti ada sikap sabar dalam menghadapi ujian dan cabaran dari puak kafir yang keras kepala lagi degil ini.

  1. Ayat 52- {Demikianlah (keadaan tiap-tiap kaum terhadap Rasulnya samalah seperti keadaan kaummu wahai Muhammad) – tidak ada seorang Rasul pun yang datang kepada kaum-kaum yang terdahulu dari mereka, melainkan ada yang berkata: \”Dia adalah seorang ahli sihir, atau seorang gila\”.}- Ayat ini juga menjadi bukti bahawa pendusta para rasul itu gaya & cara mereka satu saja walaupun berbeza jauh dari sudut masa dan tempat. Membuat tuduhan yang sama, rasul itu gila atau seorang ahli sihir. Walaupun mereka tidak pernah jumpa atau berpakat, kepala dan fikrah mereka sama!

Sama seperti zaman sekarang, pendokong ajaran dan aliran sesat yang ada sekarang ini, yang meniru cara dan teknik para syiah Rafidhah yang mencerca &, Abu Hurairah r.anhum dan lain-lain.
Mereka menghentam dan para pendakwah yang mengajak kepada Sunnah dan meninggalkan ajaran yang pelik-pelik, menyuruh meninggalkan meminta pertolongan dari makhluk yang sudah mati & tak nampak, minta hanya kepada Allah yang Esa.

Tuduhan mereka sama dengan Syiah kerana fikiran dan aqidah mereka sama, kecelaruan dalam minda mereka tidak mahu menerima kebenaran!
Hati-hatilah kita dengan perangkap syaitan yang datang melalui kumpulan seperti ini!

Bahkan mereka salah guna dalam menafsir ayat-ayat al-Quran & hadis untuk membenarkan amalan dan fahaman mereka yang salah dalam akidah mahupun ibadat!

  1. Ayat 52- {tidak ada seorang Rasul pun yang datang kepada kaum-kaum yang terdahulu dari mereka, melainkan ada yang berkata: \”Dia adalah seorang ahli sihir, atau seorang gila\”.}- ayat ini: kaum terdahulu semuanya akan tuduh rasul itu sebagai ahli sihir sedangkan mereka adalah nabi.
    i- Seolah Allah s.w.t kata semua kaum para rasul itu semuanya berkata begitu, iaitu membuat tuduhan kepada para rasul mereka. Sedangkan ada juga mereka yang beriman dari kaumnya?
    Jawapan: Bukan semua tetapi seolah semua kerana majoriti mereka begitu. Maka disebut yang ramai dan majoriti.

ii- kenapa Allah s.w.t hanya sebut sebelah pihak yang jahat saja, tetapi Allah tidak sebut pula mereka yang membenarkan para rasul itu?
Jawapan: kerana ayat ini mahu menenangkan hati rasul dan para pendakwah yang ditentang maka cukuplah ini sebagai motivasi dan pemberi semangat untuk mereka.

Ayat ini untuk menenangkan hati Rasulullah s.a.w maka Allah s.w.t tak sebut tentang pihak yang menyokong!

  1. Ayat 53- {Adakah mereka semua telah berpesan-pesan (dan mencapai kata sepakat) untuk melemparkan tuduhan itu ? (Sudah tentu mereka tidak dapat berbuat demikian), bahkan mereka semuanya adalah kaum yang melampaui batas (dalam keingkarannya).}- ayat ini menunjukkan bahawa hati puak kafir itu sama sahaja. Sama syirik belaka maka perkataan & perbuatan mereka juga sama.

Firman Allah s.w.t: {Demikian pula orang-orang (kafir) yang terdahulu dari mereka pernah berkata seperti yang dikatakan oleh mereka; hati mereka (sekaliannya) adalah bersamaan (degil dan kufur). Sesungguhnya Kami telah pun menerangkan ayat-ayat keterangan (yang menjadi dalil dan bukti) kepada kaum yang mahu percaya dengan yakin.} (Al-Baqarah 2:118)

Dari zaman nabi Musa, Nuh, Soleh dan lain-lain, sama saja tuduhan mereka dengan orang Quraisy, kerana hati mereka syirik maka begitulah fikiran dan perbuatan mereka.

Ayat ini menunjukkan mana-mana pendakwah yang menegur menentang amalan setempat yang walaupun menyalahi Syarak, orang yang menegur tetap akan dituduh sebagai pemecah-belah masyarakat, macam ahli sihir yang boleh mempengaruhi orang dan macam-macam tuduhan buruk lagi.

Kita minta perlindungan agar jangan ditinggalkan Allah s.w.t terkapai-kapai atas dunia ini tanpa bimbingan hidayah & petunjuk pedoman.

  1. Ayat 55- {Dan tetap tekunlah engkau memberi peringatan, kerana sesungguhnya peringatan itu mendatangkan faedah kepada orang-orang yang beriman.}
    i- Allah syariatkan agar kita tegas dalam memberi peringatan.

ii- para pendakwah apabila telah memberikan peringatan dengan jujur dengan ilmu & amanah, dia telah menunanikan tanggung-jawabnya.

iii- apabila seseorang itu imannya mantap & kuat, dialah yang paling banyak akan mendapat manfaat!
Jika seorang itu imannya lemah, walaupun dia pergi & hadir majlis ilmu, dia tidak akan dapat manfaatnya!

Powered by BetterDocs