SURAH AN-NAJMI : AYAT 56-62

\"\"

RASUL PEMBERI AMARAN, HURU HARA KIAMAT & ARAHAN SUJUD KEPADA ALLAH.

Full video : https://youtu.be/NvK_zbCr2Ug

MUQADDIMAH :

  1. Ini adalah siri yang ke-10 dan terakhir bagi surah an-Najmi ini.
  2. Dalam siri ini Allah s.w.t menyatakan bahawa Rasul sebagai Pemberi Amaran kepada mereka yang tidak mahu beriman & keras kepala, supaya mereka akur bahawa Kiamat itu dekat, jika tidak beriman mereka akan rugi.
  3. Tentang huru hara kiamat yang tidak tidak akan ada orang yang dapat menyelamatkannya kecuali Allah s.w.t.
  4. Juga arahan agar sujud kepada Allah s.w.t semata dengan ikhlas.
  5. Pada akhir ayat ini juga ada sujud tilawah (sejadah) maka kita semua bersedia untuk sujud dengan menghadap kiblat.
  6. Munasabah ayat:
    Apabila Allah s.w.t sudah sempurnakan perbincangan perjalanan agama yang indah ini dengan susunan yang teratur & jelas, cerita & hikayat yang sahih, maka Allah s.w.t memberi amaran kepada puak kafir dengan pelbagai jenis:
    i- samada secara iktibar atau peringatan tentang kebinasaan orang terdahulu!

ii- maka dinyatakan bahawa Rasulullah s.a.w itu adalah salah seorang pemberi peringatan kepada manusia sebagaimana rasul-rasul terdahulu.

AYAT 56-{(AL-QURAN) INI ADALAH PEMBERI AMARAN DI ANTARA JENIS-JENIS AMARAN YANG TELAH LALU!} (AN-NAJM 53:56)

  1. Tentang pemberi amaran (نَذِيرٞ) ini kata al-Mawardi, ada dua pandangan:
    i- Rasulullah s.a.w sebagai pemberi amaran
    ii- Kitab al-Quran sebagai salah satu jenis amaran yang telah didatangkan!
  2. Kata ulama\’ tafsir, dua pandangan ini boleh digabungkan iaitu Rasulullah s.a.w sebagai pemberi amaran dengan membawa al-Quran yang juga sebagai satu Kitab yang mengandungi peringatan & amaran.
  3. Banyak ayat al-Quran lain yang menyatakan Rasulullah s.a.w & al-Quran sebagai pemberi amaran:
    {Maha berkat Tuhan yang menurunkan Al-Furqaan kepada hambaNya (Muhammad), untuk menjadi peringatan dan amaran bagi seluruh penduduk alam.} (Al-Furqaan 25:1)

AYAT 57-{TELAH HAMPIR MASA DATANGNYA SAAT YANG DEKAT ITU (HARI KIAMAT);} (AN-NAJM 53:57)

  1. Sesungguhnya hari Kiamat, masa yang dijanjikan itu sudah amat dekat wahai manusia.
  2. Munasabah ayat: Setelah Allah s.w.t sebut tentang kebinasaan umat terdahulu, maka ayat in mengingatkan agar kamu ambil peringatan agar tidak binasa seperti mereka umat terdahulu! Maka berimanlah kepada Allah s.w.t & rasul-Nya.
  3. Kebanyakan ulama\’ tafsir bersepakat mengatakan masa yang dijanjikan itu ialah Hari Kiamat, hari pengakhiran Dunia ini.
  4. Ibnu Asyur rhm. kata: Peringatan ini amat dekat sangat bukan sesuatu yang jauh maka ia adalah kematian manusia.
  5. Kiamat itu ada dua:
    i- Kiamat yang besar dan umum kelak iaitu kehancuran dunia ini.
    ii- Kiamat individu iaitu kematian yang pasti bagi setiap manusia apabila tiba ajal masing-masing.
  6. Firman Allah s.w.t juga yang menunjukkan bahawa Kiamat itu dekat:
    i- {Telah hampir datangnya kepada manusia hari perhitungan amalnya sedang mereka dalam kelalaian, tidak hiraukan persediaan baginya.} (Al-Anbiyaa\’ 21:1)

ii- {Allah yang menurunkan Kitab Suci dengan membawa kebenaran, dan menurunkan keterangan yang menjadi neraca keadilan. Dan apa jalannya engkau dapat mengetahui? Boleh jadi hari kiamat itu sudah hampir (masa datangnya).} (Asy-Syuura 42:17)

  1. Apa yang perlu kita ingat Kiamat itu dekat samada Kiamat besar atau kematian, maka kita akan jumpalah dengan apa yang Allah janjikan samada kita orang beriman yang percaya atau orang yang ingkar mendustakannya.
  2. Ini supaya kita tidak lalai & lagha, jika kita rasa Kiamat atau mati itu jauh lagi kita akan rasa leka menghabiskan masa tidak tentu pasal, enjoy sana sini seperti mati haiwan yang tidak akan dihisab!

AYAT 58-{TIDAK ADA SESIAPAPUN SELAIN ALLAH YANG DAPAT MENAHAN ATAU MENGHAPUSKAN HURU-HARA \”HARI KIAMAT\” ITU.} (AN-NAJM 53:58)

  1. Munasabah ayat: Setelah berasa sempit dada dengan kedatangan Kiamat, samada yang besar atau kecil, maka mereka mencari, menanti-nanti menunggu siapakah yang akan dapat melepaskan dan menolong mereka dari huru-haranya hari Kiamat.
  2. Maka Allah menyatakan tiada siapa yang mampu menghilangkan huru-haranya {كَاشِفَة} hari Kiamat kecuali Allah Azza wa Jalla yang maha Berkuasa.
  3. Juga tiada siapa yang boleh tahu & tengok bilakah tarikh Kiamat yang akan berlaku!
  4. Apakah erti {كَاشِفَة}? Kata al-Wahidi terdapat dua pandangan ulama\’:
    i- ulama\’ lughah:- yang boleh menghilangkan huru-hara hari Kiamat iaitu Allah s.w.t. Yang boleh mennyelamatkan dan menolong dari kesusahan.

ii- yang boleh membuka, menjelaskan atau menunjukkan tarikh Kiamat. Tiada siapa kecuali Allah s.w.t.

  1. Ayat ini sering dijadikan zikir oleh sesetengan orang sedangkan ia tidak warid dari Rasulullah s.a.w yang mengajar atau mengamalkannya sebagai zikir atau mempunyai kelebihan khas atau tersendiri. Ia adalah satu ayat al-Quran yang menceritakan tentang hari Kiamat serta kelebihan sebagai ayat al-Quran yang dibaca akan dapat pahala.

Jika kita nak berzikir yang dijadakan amalan khas, lebih baik kita amalkan yang warid diajar oleh Rasulullah s.a.w, yang ada dalil dari nas yang jelas.
Ini kerana setiap orang tidak sama dari sudut pengalaman.

  1. Tedapat banyak hadis Rasulullah s.a.w yang menunjukkan sifat & amal yang boleh menyelamatkan kita daripada huru-hara hari Kiamat ini:
    i- Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud:
    \”Tujuh golongan manusia yang akan diberi perlindungan oleh Allah dalam naungannya di hari yang tiada naungan melainkan perlindungan Allah itu sendiri iaitu:
    i- Imam (pemimpin) yang adil,
    ii- Pemuda yang sentiasa beribadat kepada Allah,
    iii- Lelaki yang hatinya sentiasa terpaut dengan masjid,
    iv- Dua orang yang saling cinta mencintai kerana Allah di mana keduanya berkumpul dan berpisah kerana Allah,
    v- Seorang lelaki yang diajak oleh wanita rupawan serta berkedudukan tinggi untuk melakukan zina, lalu ia menjawab, \”Aku takut kepada Allah\”,
    vi- Seseorang yang bersedekah dengan sesuatu sedekah lalu menyembunyikan sedekahnya itu sehingga tangan kirinya tidak mengetahui apa yang dibelanjakan oleh tangan kanannya,
    vii- Seseorang yang mengingati Allah di tempat yang sunyi lalu mengalir air matanya.\”
    [HR Abu Daud, Tirmizi dan Ibnu Majah].

AYAT 59-{MAKA PATUTKAH KAMU MERASA HAIRAN TERHADAP KETERANGAN-KETERANGAN AL-QURAN INI (SEHINGGA KAMU MENGINGKARINYA)?} (AN-NAJM 53:59)

  1. Munasabah ayat: Setelah kita dapat faham bahawa Allah s.w.t akan hilangkan dukacita & huru-hara pada hari Kiamat daripada mana-mana hamba yang dipilihnya, ada yang berat ujian dan siksaannya, maka tidak ad acara untuk kita selamat kecuali beriman kepada Allah s.w.t!
  2. Ayat ini juga untuk memberi amaran kepada orang yang masih degil & merasa bahawa al-Quran itu pelik! Antara kepelikan bagi mereka ialah menyembah Tuhan yang satu/esa!
  3. Firman Allah s.w.t:
    {\”Patutkah ia menafikan tuhan-tuhan yang berbilang itu dengan mengatakan: Tuhan hanya Satu? Sesungguhnya ini adalah satu perkara yang menakjubkan!\”} (Saad 38:5)

AYAT 60-{SERTA KAMU TERTAWA (MENGEJEK-EJEKNYA), DAN KAMU TIDAK MAHU MENANGIS (MENYESALI KESALAHAN KAMU SERTA TAKUTKAN BALASAN BURUK YANG AKAN MENIMPA KAMU)?} (AN-NAJM 53:60)

  1. Orang beriman akan takut & gerun apabila mendengar ayat-ayat al-Quran. Hati mereka gementar, menangis menyesali kesalahan mereka serta takutkan balasan buruk yang akan menimpanya.
  2. Tetapi puak kafir ini bukan hanya tidak takut & gerun, mereka hanya ketawa & mengejek-ejek, tidak takut dan tidak bimbang lansung akan apa yang akan dihadapi nanti!

AYAT 61-{SEDANG KAMU ADALAH ORANG-ORANG YANG SOMBONG ANGKUH, LAGI YANG MELALAIKAN KEWAJIPAN?} (AN-NAJM 53:61)

  1. Mereka adalah orang yang sombong angkuh {سَٰمِدُونَ}, lagi lalai dari kewajipan & lagha dari mengingati Allah s.w.t!
  2. Kata ibnu Jauzi rhm. tentang makna {سَٰمِدُونَ} ini 5 pandangan ulama\’:
    i- mereka dalam keadaan lagha (لاهون).
    ii- mereka berpaling tidak mahu ikut (معرضون).
    iii- mereka asyik dalam menyanyi & mengejek (الغناء).
    iv- lalai (غافلون).
    v- sombong & takabbur. (اشرون باطرون)
    Kesimpulannya; orang kafir memang memiliki kesemua sifat ini!
  3. Kerana itu kata-kata syair:
    Cinta kepada al-Quran dan cintakan kepada nyanyian & muzik;
    tidak akan berkumpul bersama dalam hati seorang manusia!
  4. Kerana itu jika mengaku cintakan Rasulullah s.a.w; jangan pula kita membuat amalan & perbuatan yang tidak diajar oleh Rasulullah bahkan yang dilarangnya! Mengaku cinta Nabi tanpa mengamalkan ajaran & Sunnah Baginda s.a.w adalah cinta palsu!
  5. Ayat ini ditafsirkan juga oleh firman Allah s.w.t:
    i- {Telah hampir datangnya kepada manusia hari perhitungan amalnya sedang mereka dalam kelalaian, tidak hiraukan persediaan baginya.
    Tidak datang kepada mereka itu sebarang peringatan yang diturunkan dari Tuhan mereka lepas satu: satu, melainkan mereka memasang telinga mendengarnya sambil mereka mempermain-mainkannya –
    Dengan keadaan hati mereka leka daripada memahami dan mengamalkan maksudnya. Dan orang-orang yang zalim itu, berbisik-bisik sesama sendiri dengan berkata: \”Bukankah (Muhammad) ini hanyalah seorang manusia biasa seperti kamu? Maka patutkah kamu turut hadir mendengar sihir yang dibawanya itu sedang kamu nampak dan mengetahui karutnya?\”} (Al-Anbiyaa\’ 21: 1-3)

AYAT 62-{OLEH YANG DEMIKIAN, HENDAKLAH KAMU SUJUD KEPADA ALLAH (YANG TELAH MENURUNKAN AL-QURAN ITU), DAN BERIBADATLAH KAMU KEPADANYA (DENGAN SEPENUH-PENUH TAUHID).} (AN-NAJM 53:62)

  1. Surah ini ditamatkan dengan arahan untuk sujud & beribadat kepada Allah s.w.t yang Esa dengan ikhlas & tauhid.
  2. Kata as-Sam\’ani, makna arahan tentang sujud (فَٱسۡجُدُواْۤ) kepada Allah s.w.t ini ialah:
    i- sebahagian ulama\’ mengatakan ia adalah solat yang 5 waktu.

ii- dengan makna tunduk dan esakan Allah s.w.t yakni dengan makna taat.

iii- sujud tilawah, yakni apabila dengar ayat ini kita kena sujud.
Inilah pandangan Ibnu Mas\’ud r.a.
Wallahu a\’lam.

PENUTUP/BEBERAPA FAEDAH RINGKAS :

  1. Ayat 56-{(Al-Quran) ini adalah pemberi amaran di antara jenis-jenis amaran yang telah lalu!}- kenapa dalam ayat ini dimulakan dengan amaran (نَذِيرٞا) terus tanpa menyebut khabar gembira (بشيرا)? Sedangkan sifat Rasulullah s.a.w adalah kedua-duanya.

JAWAPAN :

Kerana ayat ini ayat yang menyebut tentang peringatan Allah s.w.t kepada orang yang derhaka. Surah ini dari awal & akhirnya menceritakn tentang kaum Quraisy yang menentang mendustakan Rasulullah s.a.w & menyembah berhala!

Maka ia adalah tentang peringatan bahawa nabi Muhammad itu adalah salah seorang pemberi amaran sebagaimana rasul-rasul yang lain! Jadi jika kamu nak selamat ambillah peringatan!

  1. Ayat 57-{Telah hampir masa datangnya saat yang dekat itu (hari kiamat);}- ulama\’ mengatakan ayat ini memberi peringatan kepada kita bahawa apa yang diberikan peringatan itu adalah dekat (ٱلۡأٓزِفَةُ)!

Ini adalah satu amaran yang begitu sempurna untuk kita memulakan langkah kita dengan menjauhi perkara-perkara yang telah diberi amaran itu!

Jadi apabila kita merasainya dekat kita akan berhati-hati dengan kematian & takut dan membuat persiapan yang sepatutnya! Jangan duduk rasa sedap hati dan rasa umur kita masih panjang dan mati itu jauh!

  1. Ayat 59- Ayat 61: {Maka patutkah kamu merasa hairan terhadap keterangan-keterangan Al-Quran ini (sehingga kamu mengingkarinya)?} & Ayat 60-{Serta kamu tertawa (mengejek-ejeknya), dan kamu tidak mahu menangis (menyesali kesalahan kamu serta takutkan balasan buruk yang akan menimpa kamu)?}
    & Ayat 61-{Sedang kamu adalah orang-orang yang sombong angkuh, lagi yang melalaikan kewajipan?}

Kata para ulama\’ dalam ayat ini Allah s.w.t mencela orang-orang yang tidak mahu mendengar al-Quran tetapi dia suka mendengar nyanyian & lagu-lagu!

Sebagaimana keadaan kaum jahiliyyah zaman Rasulullah s.a.w dahulu yang mendengar lagu-lagu, siulan dan hingar-bangar dekat Ka\’bah untuk menghalang orang daripada mendengar al-Quran.
Malangnya kita pada hari ini lagu & muzik sudah menjadi satu kebiasaan, hatta dalam berdoa atau bacaan ayat al-Quran & Hadis ada diiringi lagu & muzik juga!

Biarpun ada pendapat kata harus & khilaf, kita elakkan dan tinggalkanlah untuk lebih selamat dan berhati-hati!
Kerana itu video-video AAM Insya\’Allah dielakkan dari muzik & lagu kecuali yang dibuat oleh orang lain!

  1. Ayat 60- {Serta kamu tertawa (mengejek-ejeknya), dan kamu tidak mahu menangis (menyesali kesalahan kamu serta takutkan balasan buruk yang akan menimpa kamu)?}- kata ulama\’ tadabbur ini menunjukkan sunat & elok untuk kita memahami ayat-ayat al-Quran supaya memberi kesan sehingga kita menangis dan insaf takut kepada Allah! Takut kepada azab Allah s.w.t yang telah ditimpakan ke atas orang yang derhaka! Ya Allah jauhkan kami dari azab neraka!

Juga mencela daripada terlalu banyak ketawa, istihza\’ mempermain dan memerli orang! Juga mencela lagu & nyanyian serta segala bentuk permainan yang menjadikan kita lagha dan lalai daripada mengingati Allah!

Jika ada munasabah seperti majlis perkahwinan dan hari raya boleh, Nabi s.a.w benarkan paluan kompang dan nasyid yang baik pada tempatnya. Tetapi bukan dijadikan rutin dan amalan serta hiburan melampau sehingga lagha.

PERINGATAN :

i- Jika nak pasang lagu-lagu nasyid di majlis keramaian atau perkahwinan jangan sampai membingitkan telinga para tetamu yang datang mahu berbual, bermesra & ziarah menyambung ukhuwwah & silatur-rahim! Bukan lagi menjadi halwa telinga tetapi mengganggu dan menyakiti pula.

ii- Begitu memasang bacaan al-Quran kurang sesuai dalam majlis keramaian yang orang ramai makan dan berbual-bual, kerana al-Quran itu untuk didengar & ditadabbur bukan hanya sebagai suara latar.

  1. Ayat 62-{Oleh yang demikian, hendaklah kamu sujud kepada Allah (yang telah menurunkan Al-Quran itu), dan beribadatlah kamu kepadaNya (dengan sepenuh-penuh tauhid).}- arahan untuk sujud kepada Allah s.w.t ini adalah satu arahan yang khusus! Ini menunjukkan kelebihan dan keistimewaan sujud.

Rahsia ibadat itu adalah sujud kerana Rasulullah s.a.w telah bersabda bahawa:
\”Keadaan paling dekat seorang hamba dengan Tuhannya adalah ketika dia dalam keadaan sujud, maka perbanyak doa (di dalamnya). [HR Muslim].

Ini kerana kita letakkan wajah kita yang mulia di atas lantai tempat orang pijak- semata-mata untuk merendahkan diri kita kepada Allah Azza wa Jalla!

Maka ingat, sujud hanyalah untuk Allah semata-mata, jangan kita bermudah dengannya sewenang-wenangnya sujud atau menyembah kepada yang lain selain dari-Nya dgnniat menghormati dan membesarkan.

Alhamdulillah tamatlah siri Kuliah Surah an-Najmi ini, semoga memberi manfaat dan faedah kebaikan dunia akhirat untuk kita, dengan beramal dengan apa yang Allah s.w.t ajar kepada kita.

Powered by BetterDocs