SURAH AL-FAJR : AYAT 15-20

\"\"

KEADAAN MANUSIA KETIKA SENANG, KETIKA SUSAH & TIDAK MULIAKAN YATIM DAN MISKIN.

Full video : https://youtu.be/aSysHIwQ9rs?si=oFAtZqlXuAtQEShv

MUQADDIMAH :

  1. Dalam siri ini Allah s.w.t ceritakan tentang keadaan manusia ketika dia senang & ketika susah.
  2. Lalu Allah s.w.t ajar kepada kita bagaimana cara untuk menghadapi kedua keadaan ini; iaitu:
    i- orang beriman syukur ketika senang &
    ii- sabar ketika susah.
  3. Allah juga ceritakan beberapa sifat buruk orang kafir iaitu:
    i- tidak muliakan yatim dan
    ii- menghina orang miskin.
    Bahkan mereka yang membolot dan memakan harta anak yatim tanpa hak.
  4. Munasabah ayat:
    i- dalam ayat yang lepas Allah s.w.t bawa contoh tiga ikon manusia yang takabbur & sombong atas dunia ini, iaitu kaum Ad, Thamud & Firaun yang ingkar derhaka terhadap Allah & rasul-Nya. Lalu Allah s.w.t binasakan mereka!

ii- maka dalam ayat ini Allah s.w.t gambarkan kepada kita bahawa manusia ini ada kumpulan iaitu-
a- syukur ketika senang & sabar ketika susah ditimpa ujian.
b- sombong ketika senang & keluh-kesah tidak sabar apabila ditimpa ujian.

AYAT 15- {(DALAM PADA ITU MANUSIA TIDAK MENGHIRAUKAN BALASAN AKHIRAT), OLEH YANG DEMIKIAN, MAKA KEBANYAKAN MANUSIA APABILA DIUJI OLEH TUHANNYA DENGAN DIMULIAKAN DAN DIMEWAHKAN HIDUPNYA, (IA TIDAK MAHU BERSYUKUR TETAPI TERUS BERSIKAP TAKBUR) SERTA BERKATA DENGAN SOMBONGNYA: \”TUHANKU TELAH MEMULIAKAN DAKU!\”} (AL-FAJR 89:15)

  1. Sesungguhnya manusia tidak menghiraukan tentang balasan akhirat- cuma nampak & mahu mengejar dunia yang penuh tipu-daya ini.
  2. Seorang manusia itu apabila diberi kesenangan & kemewahan dunia; dia tidak bersyukur bahkan terus takabbur dan berkata dengan sombong bahawa Tuhannya telah memuliakannya!
  3. Kata Ibnu Athiyah rhm.: Ini adalah gambaran tentang puak Quraisy yang menyatakan kedudukan mereka yang terhormat dan tinggi di kalangan kaum mereka- manakala puak yang ikut Nabi Muhammad s.a.w adalah golongan yang miskin & hina!
  4. Maka Allah s.w.t tegur di sini bahawa kaya & terhormat tidak semestinya Allah sayang serta miskin & susah bukan bererti Allah hina dan benci dia!

AYAT 16- {DAN SEBALIKNYA APABILA IA DIUJI OLEH TUHANNYA, DENGAN DISEMPITKAN REZEKINYA, (IA TIDAK BERSABAR BAHKAN IA RESAH GELISAH) SERTA MEREPEK DENGAN KATANYA: \”TUHANKU TELAH MENGHINAKAN DAKU!\”} (AL-FAJR 89:16)

  1. Mereka ini juga apabila Allah s.w.t uji dengan menyempitkan sedikit rezeki mereka- dengan kesusahan & kemiskinan; mereka terus berkata dengan jahilnya, yang menunjukkan tidak sabar bahawa Tuhan mereka telah menghina mereka!
  2. Ini menunjukkan bagi puak kafir ini hina & mulia seseorang itu adalah dengan pangkat & harta.
    Inilah pemikiran puak kafir yang tidak pandai bersyukur & sabar!
  3. Kita orang beriman jangan sesekali bersifat begini kerana kita akan kehilangan begitu banyak perkara yang Allah sediakan kepada kita!
    Hilang dunia, hilang nikmat & rahmat yang Allah sediakan di akhirat nanti dengan sebab tidak bersyukur!
  4. Maka Allah s.w.t nyatakan bahawa fahaman mereka itu silap- kerana mereka tidak menjalankan tanggung-jawab & tugas yang sepatutnya- iaitu dalam ayat berikut ini.

AYAT 17- {JANGAN DEMIKIAN, (SEBENARNYA KATA-KATA KAMU ITU SALAH). BAHKAN (PERBUATAN KAMU WAHAI ORANG-ORANG YANG HIDUP MEWAH, LEBIH SALAH LAGI KERANA) KAMU TIDAK MEMULIAKAN ANAK YATIM, (MALAH KAMU MENAHAN APA YANG IA BERHAK MENERIMANYA);} (AL-FAJR 89:17)

  1. Jangan begitu! { كَلَّا} Tidak sekali-kali begitu! Sesungguhnya fahaman buruk kamu itu salah- iaitu kekayaan & kemewahan seseorang itu bukan menandakan Allah sayang & memuliakannya; serta kesempitan hidup seseorang itu tidak bermakna Allah menghinanya!
  2. Ini kerana kemuliaan yang sebenar ialah hidayah & taufiq yang Allah s.w.t beri kepada seseorang untuk beriman & beramal soleh.

Manakala kehinaan yang sebenar ialah ketiadaan hidayah & taufiq untuk beriman & beramal soleh. Inilah kayu ukur yang sebenar!

  1. Sebenarnya kesalahan kamu ialah tidak memuliakan anak yatim iaitu menahan & tidak memberi hak anak yatim!
  2. Yakni Allah muliakan seseorang itu dengan ketaatan & hinanya dengan maksiat sebagaimana firman Allah s.w.t ini:
    {Tiap-tiap diri akan merasai mati, dan Kami menguji kamu dengan kesusahan dan kesenangan sebagai cubaan; dan kepada Kamilah kamu semua akan dikembalikan.} (Al-Anbiyaa\’ 21:35)
  3. Parameter atau kayu ukur yang sebenar ialah ada dalam ayat ini!
    {Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih taqwanya di antara kamu, (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Mendalam PengetahuanNya (akan keadaan dan amalan kamu).} (Al-Hujuraat 49:13).
  4. Maka jika kamu nak jadi orang mulia ialah dengan bertaqwa kepada Allah iaitu dengan taat perintah Allah & menjauhi larangannya.
  5. Kadang-kadang Allah s.w.t beri kemuliaan kepada seseorang samada pangkat atau harta adalah untuk menampakkan watak sebenarnya, siapa dia & apakah sifatnya!
    Inilah yang dikatakan istidraj- beri sebagai ujian bertambah lupa diri dan lagha!
  6. Sebagaimana sabda Rasulullah s.a.w dalam hadisnya:
    \”Wahai manusia! Sesungguhnya tuhan kamu sama, bapa kamu sama (Adam). Ketahuilah! Tiada kelebihan orang Arab ke atas \’ajam (yang bukan Arab), atau \’ajam ke atas Arab, atau yang berkulit merah ke atas yang berkulit hitam, atau yang berkulit hitam ke atas yang berkulit merah melainkan ketakwaan.\” (HR Ahmad dan al-Baihaqi,)
  7. Siapakah anak yatim { ٱلْيَتِيم} ini? Iaitu anak yang kehilangan bapanya sebelum umur baligh!

Orang yang jaga anak yatim ini besar pahalanya jika amanah & besar juga dosanya jika khianat!

  1. Banyak ayat-ayat al-Quran yang melarang agar jangan mengkhianati hak anak-anak yatim ini:
    i- {Dan janganlah kamu menghampiri harta anak yatim melainkan dengan cara yang baik (untuk mengawal dan mengembangkannya), sehingga ia baligh (dewasa, serta layak mengurus hartanya dengan sendiri); dan sempurnakanlah perjanjian (dengan Allah dan dengan manusia), sesungguhnya perjanjian itu akan ditanya.} (Al-Israa\’ 17:34)

ii- {\”Sesungguhnya orang-orang yang memakan harta anak yatim secara zalim, sebenarnya mereka itu menelan api dalam perutnya dan mereka akan masuk kedalam api yang menyala-nyala (nereka)\”.} (An-Nisaa\’ 4:10)

AYAT 18- {DAN KAMU TIDAK MENGGALAKKAN UNTUK MEMBERI MAKANAN (YANG BERHAK DITERIMA OLEH) ORANG MISKIN;} (AL-FAJR 89:18)

  1. Perangai buruk mereka juga ialah menghalang orang lain dari memberi makanan atau sedekah yang berhak diterima oleh orang miskin!

Sudah mereka sendiri bakhil & khianat- halang orang lain pula dari buat kebaikan!

AYAT 19- {DAN KAMU SENTIASA MAKAN HARTA PUSAKA SECARA RAKUS (DENGAN TIDAK MEMBEZAKAN HALAL HARAMNYA),} (AL-FAJR 89:19)

  1. Perangai buruk mereka lagi ialah makan harta pusaka dengan rakus tanpa mengira halal haramnya. Iaitu mengambil bahagian waris lain tanpa hak, semuanya mahu dibolot kepadanya!
  2. Munasabah ayat:
    i- sebelum ini Allah ceritakan tentang keburukan seseorang dengan perbuatan dan amalnya.

ii- dalam ayat ini Allah nyatakan keburukan seseorang dengan perasaan yang ada dalam hati & perasaannya!

  1. Boleh baca Buku Keindahan Islam tentang hikmah hukum harta pusaka dan lain-lain: https://dartaibah.com/?page_id=179%E2%80%A6
  1. Perkara ini bukan terjadi pada zaman jahiliyah sahaja tetapi masih berlaku dengan banyaknya pada hari ini, mereka yang dihalang dari menerima harta pusaka yang mereka berhak & layak!
    Manusia ini apabila tidak takut kepada Tuhan mereka akan berbuat dengan sewenangnya!

AYAT 20- {SERTA KAMU PULA SAYANGKAN HARTA SECARA TAMAK HALOBA!} (AL-FAJR 89:20)

  1. Inilah punca utamanya iaitu; tamak & sayang harta dengan penuh tamak haloba!

Mana ada jalan akan diambil harta serta harta yang ada tidak diinfak dengan sepatutnya!

  1. Banyaklah ayat-ayat al-Quran yang menunjukkan manusia cintakan dunia sehingga menjadi bakhil & tidak peduli halal-haram:
    i- {(Tetapi kebanyakkan kamu tidak melakukan yang demikian), bahkan kamu utamakan kehidupan dunia;
    Padahal kehidupan akhirat lebih baik dan lebih kekal.} (Al-A\’laa 87:17)

ii- {Dan sesungguhnya ia melampau sangat sayangkan harta (secara tamak haloba).} (Al-\’Aadiyaat 100:8)

PENUTUP & FAEDAH :

  1. Ayat 15 & Ayat 16- kata ulama\’ tadabbur orang yang diberi nikmat jangan lupa kepada Pemberi nikmat!

Kenapa bila dapat nikmat kamu sombong & takabbur!

Maka setiap orang kena sedar & akur bahawa segala nikmat yang dia dapat ini adalah anugerah dari Allah s.w.t!

Jika dia rasa nikmat itu adalah kerana Allah muliakannya, berkata dengan sombong, takabbur dan dengan bangga maka ini adalah perbuatan yang tidak baik!

Tetapi jika kita menggunakan nikmat itu untuk kebaikan dan menyebutnya sesekali tanpa sombong & riya\’ sekadar untuk memaklumkan dengan rasa syukur & rendah diri; itu tidak mengapa!

  1. Ayat 15- {Maka kebanyakan manusia apabila diuji oleh Tuhannya dengan dimuliakan dan dimewahkan hidupnya, (ia tidak mahu bersyukur tetapi terus bersikap takbur)}
  • setiap orang yang dapat harta hendaklah muhasabah dirinya!
    Kenapa Allah berinya harta, pangkat kedudukan dan seumpamanya?!
    Apabila kita renung & fikir kita akan tahu Allah beri kerana Allah nak uji kita, untuk lihat samada kita bersyukur atau tidak!

Maka kita jangan lupa diri & budi orang, ingatlah kita sentiasa berada di bawah perhatian & pengawasan Allah s.w.t.

Allah nak tengok kita dari jenis mana apabila diberi harta & kesenangan; jenis syukur nikmat atau kufur nikmat!

  1. Ayat 16- {Dan sebaliknya apabila ia diuji oleh Tuhannya, dengan disempitkan rezekinya, (ia tidak bersabar bahkan ia resah gelisah) serta merepek dengan katanya: \”Tuhanku telah menghinakan daku!\”}

Kita kena ingat hina atau mulia seorang manusia bukan seperti yang difahami oleh orang kafir yang tidak syukur nikmat ini.

Hina mulia seseorang itu bukan dengan harta & pangkat kedudukan tetapi kerana hubungannya dengan Allah s.w.t!

Dia kaya dia syukur- ini mulia. Diuji susah, dia sabar- ini mulia!
Inilah ukuran dari kacamata agama, bukan seperti kaca mata manusia!

Kenapa Allah sebut { فَيَقُولُ رَبِّىٓ أَهَـٰنَنِ}- \”Tuhanku telah menghinakan daku!\”

Ini untuk ajar kita agar tidak menuduh yang bukan-bukan cakap berlapik dengan Allah s.w.t. Jangan kata Tuhan hina kita, tetapi itu adalah sedikit ujian untuk lihat kita sabar atau tidak!

  1. Ayat 17 & Ayat 18: Mereka tidak memuliakan anak yatim & menolong orang miskin!

Allah nyatakan perangai orang kaya ini mudah lupa diri, lupa kepada orang lain!

Bila kaya bermewah seorang, buat benda yang pelik-pelik tanpa ingat kepada mereka yang berhak & memerlukan!

Inilah perangai asal orang kafir yang cintakan dunia!

Orang yang sudah biasa hidup sederhana jangan kamu rosakkan pemahaman mereka dengan kemewahan dan harta sehingga mereka tidak akan bersyukur dan sabar atas kehidupan mereka selama ini!

Contoh pada bulan Ramadhan bawa anak-anak yatim berbuka puasa di hotel-hotel mewah- sedangkan selama ini dan selepas ini mereka hidup dengan penuh kesederhaan (bahkan ada yang amat dhaif) di rumah atau asrama masing-masing.

Sepatutnya kita derma untuk naik-tarafkan rumah atau prasarana tempat kediaman mereka, beri makanan yang diperlukan & kelengkapan yang mencukupi.

  1. Ayat 19- {Dan kamu sentiasa makan harta pusaka secara rakus (dengan tidak membezakan halal haramnya),}- kena ingat harta pusaka ini adalah hak orang!

Kena ikut apa yang Allah tetapkan bukan ikut kepala dan kemahuan sendiri.

Kita wajib tunaikan & bahagikannya ikut faraidh sebagaimana yang telah ditetapkan oleh Allah s.w.t!
Lebih-lebih lagi jika ada hak anak yatim & orang miskin!

Jika nak bagi pusaka bagilah dengan baik, jika ada keperluan boleh bertolak-ansur dan ada toleransi dengan persetujuan semua untuk membahagikannya ikut keperluan!

Hari ini hari Jumaat, jangan lupa:
i- baca surah al-Kahfi.
ii- perbanyakkan selawat ke atas Rasulullah s.a.w.
iii- bagi muslimin pergi awal ke masjid.

Powered by BetterDocs