SURAH AL-WAQI\’AH : AYAT 27-40

\"\"

ASHABUL YAMIN DAN NIKMAT SYURGA YANG DISEDIAKAN & KUMPULAN MEREKA.

Full video : https://youtu.be/wZd8ifrGfcY

MUQADDIMAH :

  1. Dalam siri ini Allah s.w.t ceritakan tentang kumpulan kedua dari tiga kumpulan yang disebut dalam surah al-Waqi\’ah ini.
  2. Iaitu Ashabul Yamin {أَصْحَـٰبُ ٱلْيَمِين} atau Ashabul Maimanah iaitu kumpulan kanan atau kumpulan tangan kanan.
  3. Juga tentang nikmat syurga yang disediakan untuk kumpulan mereka.
  4. Munasabah ayat: Setelah Allah s.w.t nyatakan keadaan orang yang terdahulu iaitu yang terawal ke syurga (ٱلسَّـٰبِقُونَ ٱلسَّـٰبِقُونَ), Allah s.w.t mulakan dengan mereka sebagai yang paling tinggi darjatnya.
    Dalam siri ini adalah tentang kumpulan kanan pula. Tentang betapa tingginya kedudukan mereka dan betapa indahnya keadaan mereka juga.

AYAT 27- {DAN PUAK KANAN, – ALANGKAH BAHAGIANYA KEADAAN PUAK KANAN ITU?} (AL-WAAQI\’AH 56:27)

  1. Puak kanan ini iaitu mereka yang mendapat kebahagian nikmat dengan balasan syurga.
  2. Betapa tinggi dan mulianya kedudukan mereka! Lalu Allah s.w.t perkenalkan nikmat -nikmat yang mereka dapat.

AYAT 28- {MEREKA BERSENANG-LENANG DI ANTARA POHON-POHON BIDARA YANG TIDAK BERDURI.} (AL-WAAQI\’AH 56:28)

  1. Mereka bersenang-senang di dalam taman syurga di celah pokok bidara yang tidak berduri, dahannya hanya berat dengan buah-buanya sahaja.
  2. Ini kerana pokok yang bernama bidara (سِدْرٍۢ) ini atas dunia ini adalah sejenis pokok yang berduri biasanya.
  3. Ulama\’ kata (مَّخْضُودٍۢ) maknanya telah dihilangkan durinya, boleh saja Allah nak buat. Namanya saja sama tetapi keadaannya tidak sama.

AYAT 29- {DAN POKOK-POKOK PISANG YANG TERSUSUN RAPI BUAHNYA,} (AL-WAAQI\’AH 56:29)

  1. Serta pokok pisang (وَطَلْحٍۢ) yang bertingkat atau bertindan dengan susunan yang sangat rapi dan indah.

AYAT 30- {DAN NAUNGAN YANG TETAP TERBENTANG,} (AL-WAAQI\’AH 56:30)

  1. Mereka juga berada di bawah bayang, teduhan (وَظِلٍّۢ ۢ) yang sentiasa ada, tidak berubah atau hilang naungan keteduhannya.
  2. Firman Allah s.w.t:
    {Serta Kami masukkan mereka ke tempat yang teduh yang sentiasa dinaungi.} (An-Nisaa\’ 4:57)
  3. Hadis- dari Abi Said al-Khudri R.A dari Rasulullah S.A.W sabdanya: Sesungguhnya dalam syurga itu ada pokok sekiranya seorang penunggang kuda menunggang dengan laju selama seratus tahun tidak boleh habis naungannya.\” [HR Bukhari & Muslim]
  4. Kata ulama\’ Salaf:- Di dalam syurga, cahayanya seperti cahaya pada waktu pagi ketika matahari baru nak naik. Cahayanya ada tetapi matahari sudah tiada.

AYAT 31- {DAN AIR YANG SENTIASA MENGALIR,} (AL-WAAQI\’AH 56:31)

  1. Minuman mereka pula air yang sentiasa mengalir (مَّسْكُوبٍۢ) sepanjang masa.

AYAT 32- {SERTA BUAH-BUAHAN YANG BANYAK,} (AL-WAAQI\’AH 56:32)

  1. Serta buah-buahan yang banyak. Iaitu banyak kuantitinya serta banyak jenisnya, pelbagai pilihan.

AYAT 33- {YANG TIDAK PUTUS-PUTUS DAN TIDAK PULA TERLARANG MENDAPATNYA,} (AL-WAAQI\’AH 56:33)

  1. Buahnya tidak putus-putus, iaitu tidak ada musim khas dan tertentu. Sepanjang masa ada.
  2. Juga tidak ada larangan selama-lamanya. Ini kerana:
    i- bukan hak-milik sesiapa. Untuk seluruh ahli syurga.
    ii- tidak ada penyakit yang menghalang lagi.
  3. Hadis- Dari riwayat Ibnu Abbas r.a dinyatakan bahawa Rasulullah s.a.w melihat syurga dan neraka dalam solat gerhana.

قَالُوا يَا رَسُولَ اللَّهِ، رَأَيْنَاكَ تَنَاوَلْتَ شَيْئًا فِي مَقَامِكَ، ثُمَّ رَأَيْنَاكَ كَعْكَعْتَ‏.‏ قَالَ صلى الله عليه وسلم ‏\”‏ إِنِّي رَأَيْتُ الْجَنَّةَ، فَتَنَاوَلْتُ عُنْقُودًا، وَلَوْ أَصَبْتُهُ لأَكَلْتُمْ مِنْهُ مَا بَقِيَتِ الدُّنْيَا، وَأُرِيتُ النَّارَ، فَلَمْ أَرَ مَنْظَرًا كَالْيَوْمِ قَطُّ أَفْظَعَ،

Para sahabat berkata: Ya Rasulullah, kami melihat tuan cuba mengambil sesuatu dari tempat tuan, kemudian kami melihat tuan berundur.
Baginda s.a.w menjawab:
\”Sesungguhnya aku melihat syurga, maka aku cuba mengambil buah-buahannya. Seandainya aku mengambil buah-buahan itu, nescaya kamu akan memakannya selama mana dunia ini masih wujud.
Kemudian aku diperlihatkan neraka. Tidak ada pemandangan yang sangat teruk yang pernah aku lihat seperti hari ini.\” Sehingga akhir hadis… [HR Bukhari].

AYAT 32- {DAN TEMPAT-TEMPAT TIDUR YANG TERTINGGI KEADAANNYA.} (AL-WAAQI\’AH 56:34)

  1. Mereka pula duduk di atas katil atau singgahsana yang indah lagi tinggi. Hamparan yang tebal lagi lembut.

AYAT 35- {SESUNGGUHNYA KAMI TELAH MENCIPTAKAN ISTERI-ISTERI MEREKA DENGAN CIPTAAN ISTIMEWA,} (AL-WAAQI\’AH 56:35)

  1. Pasangan mereka pula ada isteri dari kalangan bidadari yang dicipta khas untuk keseronokan ahli syurga. Satu ciptaan istimewa yang indah, bukan dari kalangan manusia dari dunia.
  2. Manakala bagi wanita dunia yang menjadi ahli syurga; mereka adalah ketua kepada segala bidadari itu, pasangan mereka adalah suami mereka yang di dunia dulu. Jika ramai boleh pilih satu yang sama-sama masuk dalam syurga.
  3. Tidak ada bidadara yang ramai-ramai bagi wanita kerana di atas dunia pun wanita hanya boleh bersuami seorang sahaja. Yakni bertentangan dengan fitrah wanita.

AYAT 36- {SERTA KAMI JADIKAN MEREKA SENTIASA DARA (YANG TIDAK PERNAH DISENTUH),} (AL-WAAQI\’AH 56:36)

  1. Mereka adalah anak dara, yang tidak pernah disentuh oleh sesiapa sebelumnya.
  2. Juga akan sentiasa kembali menjadi dara selamanya.

AYAT 37- {YANG TETAP MENCINTAI JODOHNYA, SERTA YANG SEBAYA UMURNYA.} (AL-WAAQI\’AH 56:37)

  1. Mereka amat setia dan mencintai pasangan yang dijodohkan kepada mereka.
  2. Umur mereka sebaya, sentiasa muda remaja atas umur yang sama. Mereka tidak tua dan bertambah usianya. Ada ulama\’ kata awal 30-an. Wallahu a\’lam.
  3. Sebagaimana gurauan Rasulullah s.a.w yang benar bahawa tiada orang tua di dalam syurga. Ini kerana semua wanita-wanita ahli syurga akan berubah menjadi wanita-wanita cantik dan muda belia seperti dalam ayat al-Quran ini.

AYAT 38- {(SEMUANYA ITU DISEDIAKAN) BAGI PUAK KANAN;} (AL-WAAQI\’AH 56:38)

  1. Semua itu disediakan bagi puak kanan!
  2. Ya Allah jadikanlah kami dari puak kanan ini!

AYAT 39- {IAITU SEBILANGAN BESAR DARI ORANG-ORANG YANG TERDAHULU,} (AL-WAAQI\’AH 56:39)

  1. Sebilangan besar (ثُلَّةٌۭ) dari kumpulan kanan ini adalah dari umat yang terdahulu (مِّنَ ٱلْأَوَّلِينَ)!

AYAT 40- {DAN SEBILANGAN BESAR DARI ORANG-ORANG YANG DATANG KEMUDIAN.} (AL-WAAQI\’AH 56:40)

  1. Juga sebilangan besar (ثُلَّةٌۭ) dari kumpulan kanan ini adalah dari umat yang terkemudian (مِّنَ ٱلْـَٔاخِرِينَ); iaitu umat Nabi Muhammad s.a.w!
  2. Berbeza dengan kumpulan yang pertama (ٱلسَّـٰبِقُونَ ٱلسَّـٰبِقُونَ)- sebilangan besar mereka dari adalah dari umat yang terdahulu, hanya sedikit dari kalangan umat terkemudian.
  3. Hadis- dari Ibnu Mas\’ud r.a. berkata: Kami semua berada bersama-sama Rasulullah saw. dalam sebuah khemah, kira-kira ada empat puluh orang, lalu Baginda s.a.w bersabda:
    Mahukah kamu menjadi seperempat (1/4) penghuni syurga?
    Kami menjawab: Ya.

Baginda s.a.w bersabda pula: Mahukah kamu menjadi sepertiga (1/3) penghuni syurga?
Kami menjawab: Ya.

Baginda s.a.w lalu bersabda:
Demi Zat yang jiwa Muhammad ada di dalam genggaman kekuasaan-Nya, sesungguhnya aku berharap kamu menjadi setengah (1/2) penghuni syurga.

Ini disebabkan kerana tidak ada yang dapat masuk syurga selain jiwa orang-orang Islam. Dibanding dengan orang-orang musyrik, kamu laksana selembar rambut putih di antara kulit lembu hitam. Atau, laksana selembar rambut hitam di antara kulit lembu merah. (Muttafaq \’alaih)

PENUTUP & FAEDAH :

  1. Ayat 27- {Dan puak kanan, – alangkah bahagianya keadaan puak kanan itu?}- ulama\’ kata dalam ayat ini Allah s.w.t detailkan sifatnya puak kanan setelah sebut secara umum 3 kategori dahulu.
    Begitulah sepatutnya sebelum cerita tentang sesuatu kategori secara khusus kita kena sebut dahulu pecahannya secara umum.
  2. Ayat 29- {Dan pokok-pokok pisang yang tersusun rapi buahnya,}
    Ayat 30- {Dan naungan yang tetap terbentang,} – dalam ayat ini Allah s.w.t sebut dua nikmat syurga, buah yang tersususun & pokok yang teduh.

Persoalan: Apakah hikmah apabila disebut pokok yang berdaun disebut nama pokoknya sedangkan apabila buah disebut nama buah terus?

JAWAPAN :
i- kerana pokok yang berdaun keistimewaan dan keindahannya adalah pada daunnya. Menarik dan indah dengan sebab pokok dan daunnya serta bayangannya yang rimbun dan teduh.

ii- manakala buah-buahan seperti pisang dan seumpamanya seperti buah tin, rambutan, durian dan lain-lain disebut buahnya terus kerana buah itu yang istimewa dan dikehendaki, bukan daun atau batangnya. Kerana itu jika buah, pokok itu akan dikenali dengan nama buah, kerana buah yang utamanya.

iii- Allah sebut juga pokok bidara yang tidak berduri (مَّخْضُودٍ)- untuk menunjukkan sesuatu yang tidak ada manfaat & memberi kesusahan atau menyakitkan atas dunia dulu seperti duri dan seumpamanya dibuang, tiada dalam syurga. Ini kerana syurga itu dicipta untuk nikmat, tiada kesusahan dan mudharat!

  1. Ayat 32- {Serta buah-buahan yang banyak,}- kenapa Allah sebut buah-buah yang banyak (كَثِيرَةٍۢ) bukan disebut buah yang lazat, manis atau sedap?

JAWAPAN :

Ini kerana buah-buahan itu dimakan bukan kerana lapar atau keperluan tetapi hanya untuk nikmat dan keseronokan. Maka buah-buahan itu disifatkan begitu banyak jenis dan pilihannya, sebagai perhiasan dan nikmat yang tidak putus-putus.

Contoh atas dunia- lihat saja buffet hotel-hotel besar, buah-buahnya sahaja diatur penuh meja yang panjang!

  1. Ayat 36- {Serta Kami jadikan mereka sentiasa dara (yang tidak pernah disentuh),} – ini menunjukkan keutamaan kahwin yang pertama dengan anak dara (perawan) berbanding dengan wanita yang sudah janda.

Allah s.w.t juga kumpulkan sifat ahli syurga itu sebagai:
i- indah rupanya & ii- elok perangai dan hubungannya.
Inilah sifat wanita yang dapat menggembirakan suami yang memilikinya hatta di atas dunia!

TETAPI ingat para lelaki & suami juga perlu baik perangai dan jalankan tanggung-jawabnya terhadap isteri dan keluarganya. Barulah berpeluang menjadi ahli syurga dan pemilik bidadari yang indah.

  1. Ayat 40- {Dan sebilangan besar dari orang-orang yang datang kemudian.}- jika dilihat dari ayat ini menunjukkan ramai juga umat nabi Muhammad yang terkemudian menjadi ahli syurga.
    Hadis – Sabda Rasulullah s.a.w: \”Ahli syurga terdiri daripada 120 barisan (saf), 80 daripada barisan itu adalah daripada kalangan umat ini (umat Nabi Muhammad) dan 40 barisan lagi daripada kalangan sekalian umat lain.\” [HR At-Tirmizi & Ibnu Majah]

Ukuran pintu syurga- dari Abu Hurairah r.a bahwa Nabi s.a.w bersabda:
\”Demi Zat yang jiwaku berada ditangan-Nya! Sungguh jarak antara dua pintu (yang ada daun pintunya) dari pintu-pintu syurga seperti antara Makkah dengan Hajar, atau seperti antara Majkah dengan Busyra.\” (HR. Muslim no. 287)

Mengikut ahli geografi: Jarak ukuran antara Makkah & Busyra sekarang ialah 1200 km.

Ya Allah masukkan kami dari golongan ahli syurga-MU.
Tiada guna ahli syurga yang ramai dan pintu syurga yang luas jika kita semua dan orang yang kita sayangi semua tidak dapat memasukinya!

Powered by BetterDocs