SURAH AL-QAMAR : AYAT 9-17

\"\"

KISAH PERTAMA: NABI NUH DAN KAUMNYA DILANDA BANJIR & AL-QURAN SEBAGAI PERINGATAN.

Full video : https://youtu.be/3WzwyEIvuy0

MUQADDIMAH :

  1. Dalam siri ini adalah Kisah Pertama tentang nabi-nabi yang terdapat surah al-Qamar: iaitu tentang Nabi Nuh Dan pendustaan kaumnya.
  2. Mereka ditimpa azab dengan dilanda banjir & musnah semuanya yang kafir kecuali sedikit yang beriman bersama Nabi Nuh a.s.
  3. Kemudian Allah s.w.t ingatkan nikmat yang dikurniakan kepada Nabi Nuh dan pengikutnya yang selamat di atas kapal bahtera dengan penjagaan Allah.
  4. Diakhir ayat Allah s.w.t sebut bahawa Dia permudahkan Al-Quran sebagai Peringatan, yang mudah untuk difahami & dihayati.
  5. Munasabah ayat:
    i- Dalam ayat sebelum ini Allah s.w.t nyatakan sebahagian peristiwa yang berlaku kepada nabi-nabi yang terdahulu, yang sepatutnya memberi pengajaran kepada mereka. Tetapi kerana mereka masih degil, lalu dalam ayat ini diulang balik amarannya dengan lebih detail, agar mereka dapat peringatan dan kesan yang lebih kuat.

ii- Allah s.w.t sebut tentang orang yang mendustakan rasul-rasul mereka, yang ayat-ayat Allah tidak memberi manfaat & bekas dalam jiwa mereka, maka ditunjukkan sejarah orang-orang yang telah binasa sebelum mereka, jika mereka terus berkelakuan begitu mengambil jalan yang sama, maka mereka akan binasa juga!

AYAT 9- {SEBELUM MEREKA, KAUM NABI NUH JUGA TELAH MENDUSTAKAN (RASULNYA); IAITU MEREKA MENDUSTAKAN HAMBA KAMI (NABI NUH) SERTA MEREKA MENUDUHNYA DENGAN BERKATA: DIA SEORANG GILA DAN DIA TELAH DIANCAM (DAN DIHALANG DARIPADA MENJALANKAN DAKWAH AGAMA).} (AL-QAMAR 54:9)

  1. Allah nyatakan bahawa sebelum kafir Quraisy lagi telah berlaku pendustaan kaum Nabi Nuh ke atas rasul mereka iaitu Nabi Nuh a.s. Ini untuk menenangkan hati Rasulullah s.a.w.
  2. Puak kafir itu menuduh Nabi Nuh sebagai seorang yang gila. Mereka juga mengancam dan memberi amaran keras kepada nabi Nuh agar jangan meneruskan dakwahnya dalam agama jika nak selamat.

AYAT 10- {LALU DIA BERDOA MERAYU KEPADA TUHANNYA DENGAN BERKATA: SESUNGGUHNYA AKU INI DIKALAHKAN (OLEH KAUMKU YANG INGKAR), OLEH ITU MENANGKANLAH DAKU (TERHADAP MEREKA)!} (AL-QAMAR 54:10)

  1. Tiada yang dapat membantunya kecuali Nabi Nuh berdoa kepada Tuhannya!
  2. Nabi Nuh mengadu kepada Allah; bahawa dia telah dikalahkan oleh kaumnya dan memohon agar dia diberi kemenangan ke atas mereka!
  3. Firman Allah s.w.t juga tentang doa Nabi Nuh ini:
    {Dan (sebutkanlah peristiwa) Nabi Nuh, ketika ia menyeru (berdoa kepada Kami) sebelum (Nabi-nabi yang tersebut) itu, lalu Kami perkenankan doanya serta Kami selamatkan dia dan pengikut-pengikutnya dari kesusahan yang besar.} (Al-Anbiyaa\’ 21:76)

AYAT 11- {MAKA KAMI BUKAKAN PINTU-PINTU LANGIT, DENGAN MENURUNKAN HUJAN YANG MENCURAH-CURAH.} (AL-QAMAR 54:11)

  1. Doa Nabi Nuh diperkenankan lalu Allah s.w.t bukakan pintu langit dan air hujan turun dengan mencurah-curah.
  2. Kata Ibnu Juzai rhm.: Hujan yang begitu lebat seolah pintu langit telah terbuka.
    Atau mungkin pintu langit terbuka sungguh menurunkan hujan.

AYAT 12- {DAN KAMI JADIKAN BUMI MEMANCARKAN MATA AIR-MATA AIR (DI SANA SINI), LALU BERTEMULAH AIR (LANGIT DAN BUMI) ITU UNTUK (MELAKUKAN) SATU PERKARA YANG TELAH DITETAPKAN.} (AL-QAMAR 54:12)

  1. Dalam pada masa yang sama air dari perut bumi juga memancar keluar dari sana sini!
  2. Lalu bertemulah dua air; dari atas langit & air dari bawah yang keluar dari bumi!
  3. Ini untuk melaksanakan ketetapan Allah s.w.t iaitu membinasakan kaum Nuh dengan air banjir taufan.
  4. Kata ulama\’ maksudnya; {satu perkara yang telah ditetapkan.} ialah:
    i- berkumpul kedua air untuk melaksanan taqdir yang telah Allah tetapkan.

ii- Allah telah tetapkan sebanyak mana air yang keluar dari bumi & yang turun dari langit itu.

AYAT 13- {DAN KAMI BAWA NAIK NABI NUH (BERSERTA PENGIKUT-PENGIKUTNYA) DI ATAS (BAHTERA YANG DIBINA) DARI KEPING-KEPING PAPAN DAN PAKU;} (AL-QAMAR 54:13)

  1. Nabi Nuh dan pengikutnnya yang beriman dibawa naik ke atas sebuah bahtera yang besar.
  2. Iaitu bahtera daripada kayu, papan yang dipaku, yang dibuat oleh Nabi Nuh sebelum ini dengan arahan Allah s.w.t!

AYAT 14- {YANG BELAYAR LAJU DENGAN PEMELIHARAAN DAN PENGAWASAN KAMI; (KAMI MELAKUKAN YANG DEMIKIAN DAN MENIMPAKAN TAUFAN ITU) SEBAGAI BALASAN BAGI ORANG-ORANG YANG KUFUR INGKAR!} (AL-QAMAR 54:14)

  1. Bahtera itu belayar dengan selamat di bawah pemeliharaan dan pengawasan Allah s.w.t walaupun mengharungi gelombang air yang amat dahsyat!
  2. Allah s.w.t hantar taufan banjir itu & tenggelamkan mereka sebagai balasan bagi orang-orang yang kufur ingkar!

AYAT 15- {DAN DEMI SESUNGGUHNYA! KAMI TELAH JADIKAN BAHTERA ITU SEBAGAI SATU TANDA YANG MENJADI PENGAJARAN, MAKA ADAKAH ORANG YANG MAHU BERINGAT DAN INSAF?} (AL-QAMAR 54:15)

  1. Semua itu: Azab taufan & bahtera itu sebagai satu pengajaran kepada manusia lain.
  2. Yakni dengan selamatnya Nabi Nuh & pengikutnya sebagai satu tanda pengajaran bagi orang yang mahu beringat dan insaf.
  3. Yakni Allah telah memberi ancaman & peringatan bahawa siapa yang kufur dan ingkar kepada Allah, akan dibinasakan sebagaimana kaum Nabi Nuh ini.
  4. Allah kekalkan (selamatkan) bahtera dan penumpangnya yang beriman sebagai pengajaran kepada mereka yang datang selepasnya.
  5. Kata Ibnu Asyur rhm. maksudnya:
    i- Allah s.w.t tidak rosakkan bahtera Nabi Nuh, tersimpan selamat untuk menjadi pengajaran bagi sesiapa yang mahu tengok akan kekuasaan Allah s.w.t.

ii- Juga sebagai amaran dan ancaman kepada mereka yang mendustakan.

iii- Sebagaimana ada kesan kaum Ad & Thamud sedikit-sebanyak. Yang banyaknya ialah kesan kaum al-Mu\’tafikat.

  1. Kapal itu kekal terdampar di atas bukit Jud buat beberapa lama pada masa itu.
    Sekarang ini tiada lagi, apa yang didakwa sebagai kapal atau kayunya sekarang ini tidak dapat dipastikan kesahihannya!
    Replika atau papannya wallahu a\’lam dari mana diambil!
    Masalahnya apa yang pelik begini para netizen akan bersungguh mempercayainya!
  2. Kata Syeikh Syanqiti maksudnya {Kami tinggalkannya- تَّرَكۡنَٰهَآ} adalah: Dhamir kami tinggalkannya adalah kembali kepada perbuatan/operasi pembersihan etnik kaum kafir pada zaman Nabi Nuh a.s
  3. Allah s.w.t tanya: Maka adakah orang yang mahu beringat dan insaf selepas melihat atau mendengar apa yang digambarkan dalam al-Quran ini????
  4. Maka kita sebagai orang yang beriman kena ingat dan insaf, ambil pengajaran terhadap apa yang telah terjadi kepada umat yang binasa ini!
  5. Dalam siri surah sebelum ini terdapat perbincangan tentang kapal Nabi Nuh ini secara lebih terperinci.
    Kita ambillah setakat yang Allah s.w.t atau Rasulullah s.a.w beritahu dengan nyata, apa yang tidak dinyatakan kita tinggalkan ia, tidak perlu dikorek, dicari-gali atau dibahaskan, tiada faedahnya!

AYAT 16- {OLEH ITU, PERHATIKANLAH BAGAIMANA BURUKNYA AZABKU DAN KESAN AMARAN-AMARANKU.} (AL-QAMAR 54:16)

  1. Oleh itu wahai orang yang beriman & berakal; perhatikanlah bagaimana azab Allah terhadap puak kafir itu, bagaimana Allah telah beri amaran kepada mereka sebelum itu!
  2. Jika kamu tidak mahu ambil pengajaran maka terimalah kebinasaan seperti mereka juga!

AYAT 17- {DAN DEMI SESUNGGUHNYA! KAMI TELAH MUDAHKAN AL-QURAN UNTUK MENJADI PERINGATAN DAN PENGAJARAN, MAKA ADAKAH SESIAPA YANG MAHU MENGAMBIL PERINGATAN DAN PELAJARAN (DARIPADANYA)?} (AL-QAMAR 54:17)

  1. Allah nyatakan Dia telah permudahkan al-Quran (وَلَقَدۡ يَسَّرۡنَا ٱلۡقُرۡءَانَ) bagi sesiapa yang mahu:
  • ambil pengajaran, pelajaran, mahu belajar atau mengajar, tafsir atau tadabbur al-Quran, hatta dipermudahlan untuk menghafaznya.

2. Sesiapa yang kata al-Quran itu payah, dia adalah orang yang bermasalah & tidak mahu belajar!

3. Allah tanya lagi apakah ada orang yang mahu ambil iktibar, nasihat & pengajaran dengan apa yang terkandung dalam al-Quran.

4. Orang yang selamat ialah orang yang berpegang dengan al-Quran berpandukan kepada tafsiran dan huraian para ulama\’ Islam yang muktabar!
Perluaskan dada kita Insya\’ Allah segalanya jelas dan mudah!

PENUTUP :

  1. Ayat 9- {Sebelum mereka, kaum Nabi Nuh juga telah mendustakan (Rasulnya); iaitu mereka mendustakan hamba Kami (Nabi Nuh)- Allah kata kaum Nuh (قَوۡمُ نُوحٖ) telah mendustakan (كَذَّبَتۡ) Nabi mereka.
    Kenapa diguna kata perbuatan (mu\’annas- perempuan- كَذَّبَتۡ) untuk kaum (قَوۡمُ)? Sepatutnya (كَذَّبَ)?

Jawapan:
i- ulama\’ bahasa berkata perkataan (قَوۡمُ) boleh digunakan dua-dua untuk nama lelaki atau perempuan (مذكر\\مؤنث) kerana ia adalah antara nama jumuk yang jika diguna kepada anak Adam boleh diguna keduanya.

Harus diguna sekali lelaki sekali perempuan seperti dalam firman ini:
{Dan kaum engkau (wahai Muhammad) mendustakannya (Al-Quran), padahal ia adalah benar.} (Al-An\’aam 6:66) {وَكَذَّبَ بِهِۦ قَوۡمُكَ}

ii- ada juga ulama\’ yang berkata Allah menggunakan sighah مؤنث
ini untuk perkataan (كَذَّبَتۡ) untuk menghina perbuatan mereka ini dan memandang rendah kelakuan mereka berbanding dengan kekuasaan Allah s.w.t!

  1. Ayat 9- {Sebelum mereka, kaum Nabi Nuh juga telah mendustakan (Rasulnya); iaitu mereka mendustakan hamba Kami (Nabi Nuh)- hamba Kami di sini ialah nabi Nuh a.s.
    Ini kerana Allah s.w.t apabila mahu memuliakan hamba-Nya. maka akan disebut dengan sifat perhambaan, iaitu sifat ubudiyyah, kerana ia adalah sifat yang paling tinggi dan mulia untuk hamba yang dicintai-Nya. Hamba yang menyerah & menghina diri kepada Allah, yang bertaqwa kepada Allah sepenuhnya!

Sebagaimana firman Allah s.w.t tentang Isra\’ Rasulullah s.a.w:
{Maha Suci Allah yang telah menjalankan hamba-Nya (Muhammad) pada malam hari dari Masjid Al-Haraam (di Makkah) ke Masjid Al-Aqsa (di Palestin),} (Al-Israa\’ 17:1)

Maka jika nak suruh Allah sayang, kita kena mengabdikan diri kepada Allah sepenuhnya!

  1. Ayat 11- {Maka Kami bukakan pintu-pintu langit, dengan menurunkan hujan yang mencurah-curah.} – ulama\’ tafsir kata ini menunjukkan langit itu ada pintu, ia boleh dibuka & ditutup oleh malaikat yang ditugaskan Allah!

Atau kerana hujan terlalu banyak, dikatakan pintu langit terbuka sebagai kiasan sahaja, wallahu a\’lam.

Tetapi ia bukan pecah, hanya terbuka pintunya untuk mengeluarkan air hujan. Langit pecah & terbelah hanya akan berlaku pada hari Kiamat.

Ayat 12- {Dan Kami jadikan bumi memancarkan mata air-mata air (di sana sini}- Manakala bumi pula dikatakan terbelah, ini kerana bumi memang sentiasa terbelah untuk mengeluarkan airnya.
Atau untuk keluar pokok-pokok tumbuh terpaksa terbelah juga.

Juga menunjukkan bahawa dalam perut bumi itu ada saja mata air di mana-mana, korek di sini ada korek di sana ada.
Untuk menunjukkan perbezaan antara dua langit & bumi ini dan indahnya bahasa al-Quran untuk di tadabbur.

  1. Ayat 14- {(Kami melakukan yang demikian dan menimpakan taufan itu) sebagai balasan bagi orang-orang yang kufur ingkar!} – Allah menyatakan sebab mengapa pembalasan buat mereka? Kenapa mereka dibinasakan? Sebab mereka kufur.
    Ulama\’ tadabbur kata- kita kena ambil pengajran dan iktibar sentiasa, Allah tak akan buat sesaja, Allah beri peringatan asal turun bala itu, kerana perbuatan mungkar & maksiat kita.

Supaya kita sedar yang kita dalam pemerhatianNya sentiasa. Kena kaitkan ia sebagai balasan kepada apa yang kita buat.
Tetapi bagi orang yang terkena bala jangan kita celupar menjatuhkan hukuman bahawa bala itu kerana keburukan dan kejahatan mereka pula!

Juga apabila kita jatuhkan hukuman kepada anak atau murid- kena nyatakan sebabnya supaya mereka tahu dan berasa dizalimi!

  1. Ayat 15- {Dan demi sesungguhnya! Kami telah jadikan bahtera itu sebagai satu tanda yang menjadi pengajaran, maka adakah orang yang mahu beringat dan insaf?}- Allah kata Dia permudahkan Al-Quran untuk kita ambil peringatan, Ini menunjukkan Allah sayang kita.

Sesiapa nak petunjuk, belajarlah Quran, Allah akan permudahkan untuk di fahami, ambil pengajaran, tafsir, tadabbur, hafal Insya Allah.

Sesiapa yang mahu petunjuk dan hidayah, betul-betul mahu mengaji dan belajar Al-Quran, maka Allah akan permudahkan untuknya. Jangan kita buat payah pula dengan al-Quran.

Ya Allah jadikanlah kami dari ahlul-Quran, yang dapat memandu kami sehingga ke syurga Insya\’Allah.

Powered by BetterDocs