SURAH AN-NAJMI : AYAT 31-32

\"\"

ALLAH S.W.T AKAN MEMBALAS AMALAN HAMBA-NYA, ORANG MUHSININ MENJAUHI DOSA BESAR DAN FAWAHISH & LUAS RAHMAT ALLAH S.W.T.

Full video : https://youtu.be/MeshJcjHPnA

MUQADDIMAH :

  1. Dalam siri ini Allah s.w.t menyatakan kekuasaan-Nya memiliki alam ini, dan Allah akan membalas setiap perbuatan hamba-Nya, yang baik atau buruk.
  2. Kemudian dinyatakan kategori dosa & maksiat itu, orang yang menjauhi dosa besar akan diampunkan dosa-dosa kecilnya!
  3. Sifat orang muhsinin ialah menjauhi dosa besar dan fawahish (pebuatan keji).
  4. Serta Allah s.w.t Maha Mengetahui semua perkara yang berlaku dan betapa luasnya rahmat Allah S.W.T.
  5. Munasabah ayat: Dalam ayat yang lepas Allah s.w.t tahu apa yang berlaku kepada hamba-Nya.

i- Dia tahu siapa yang sesat & siapa yang mendapat petunjuk dan Dia akan balas keduanya.

ii- kemudian Allah s.w.t arahkan kepada Rasulullah s.a.w, setelah Baginda menyampaikan dakwah dan menyampaikan ilmu dengan sempurna untuk bepaling dari mereka jika masih tidak mahu menerima dakwahnya.
Ini kerana Rasulullah itu amat menginginkan agar umatnya beriman semuanya, tetapi taqdir Allah ada hamba-Nya yang beriman ada yang sesat.

iii- kemudian Allah nyatakan dalam ayat ini bahawa Allah yang Esa, Dia-lah pemilik segala yang ada di langit dan di bumi serta apa yang ada keduanya. Maka jangan ada yang rasa boleh terlepas dari hukum Allah di dunia & Akhirat.

iv- semua itu dicipta untuk membalas perbuatan manusia mengikut amalan mereka; yang buat buruk akan dapat satu balasan seumpamanya, manakala yang buat baik mendapat balasan yang baik iaitu syurga, Insya\’Allah!

AYAT 31-{DAN ALLAH JUALAH YANG MEMILIKI SEGALA YANG ADA DI LANGIT DAN YANG ADA DI BUMI; (DICIPTAKAN SEMUANYA ITU) UNTUK MEMBALAS ORANG-ORANG YANG BERBUAT JAHAT MENURUT APA YANG MEREKA LAKUKAN, DAN MEMBALAS ORANG-ORANG YANG BERBUAT BAIK DENGAN BALASAN YANG SEBAIK-BAIKNYA.} (AN-NAJM 53:31)

  1. Allah nyatakan bahawa Dia-lah yang memiliki segala yang ada di langit dan yang ada di bumi. Semuanya dicipta dengan matlamat khas.
  2. Allah s.w.t berjanji akan membalas dengan adil & sebaiknya kepada hamba-nya, iaitu:
    i-yang buat buruk akan dibalas dengan satu seumpamanya, samada dia kufur atau derhaka. Ada orang yang kufur & syirik dari segi aqidah tetapi integritinya ada, ada yang imannya ada tetapi tetap makan rasuah atau riba.

ii- tetapi yang berbuat baik akan dibalas dengan gandaan yang banyak. Iaitu mereka beriman kepada Allah dan menjauhi syirik (dari segi aqidah) serta baik amalannya.

  1. YANG dengar kata & taat ini maka syurga balasannya, manakala yang derhaka & kufur nerakalah tempatnya. Kerana itulah kita kena sentiasa belajar agar tahu jalan mana yang dapat menolong dan menyelamatkan kita di akhirat kelak!
  2. Apabila Allah s.w.t perintahkan Rasulullah s.a.w untuk tinggalkan puak kafir yang ingkar, Allah nyatakan dalam ayat ini pula bahawa semua itu di bawah kuasa Allah s.w.t! Jika Allah nak beri hidayah mereka akan beriman tetapi jika tidak begitulah keadaan mereka!
  3. Yakni agar Rasulullah s.a.w tidak merasa terbeban dan terlalu kecewa dengan umatnya yang tidak beriman! PAsti ada rasa sedih & kecewa tetapi jangan sampai tertekan dan hilang semangat.

AYAT 32-{ (IAITU) ORANG-ORANG YANG MENJAUHI DOSA-DOSA BESAR SERTA PERBUATAN-PERBUATAN YANG KEJI, KECUALI SALAH SILAP YANG KECIL-KECIL (YANG MEREKA TERLANJUR MELAKUKANNYA, MAKA ITU DIMAAFKAN). SESUNGGUHNYA TUHANMU MAHA LUAS KEAMPUNANNYA. IA LEBIH MENGETAHUI AKAN KEADAAN KAMU SEMENJAK IA MENCIPTA KAMU (BERASAL) DARI TANAH, DAN SEMASA KAMU BERUPA ANAK YANG SEDANG MELALUI BERBAGAI PERINGKAT KEJADIAN DALAM PERUT IBU KAMU; MAKA JANGANLAH KAMU MEMUJI-MUJI DIRI KAMU (BAHAWA KAMU SUCI BERSIH DARI DOSA). DIA LAH SAHAJA YANG LEBIH MENGETAHUI AKAN ORANG-ORANG YANG BERTAQWA.} (AN-NAJM 53:32)

  1. Sifat orang yang baik ialah menjauhi dosa-dosa besar serta perbuatan-perbuatan yang keji. Kenapa Allah kembarkan dua ini sedang keduanya adalah dosa besar? In kerana untuk menunjukkan kategorinya.
  2. Kecuali salah silap yang kecil-kecil (ٱللَّمَمَۚ) yang mereka terlanjur melakukannya, maka itu dimaafkan.
  3. Berbeza pandangan ulama\’ tentang syarat\\kriteria dosa besar:
    i- dosa yang kena balas dengan hukuman hudud seperti mencuri potong tangan, zina kena rejam dan seumpamanya.

ii- perbuatan yang dijanjikan balasan neraka.

iii- perbuatan yang dilaknat oleh Allah & Rasulullah s.a.w.

Seperti Allah kata Dia murka dengan perbuatan atau hadis Rasulullah s.a.w laknat lelaki menyerupai pakaian wanita & sebaliknya.

iv- mendapat kemurkaan Allah s.w.t!

  1. Al-Imam az-Zahabi rhm. telah menulis sebuah buku bertajuk- Dosa-Dosa Besar (الكبائر) yang menyenaraikan 76 Dosa Besar.
    AAM telah khatam kitab ini dalam lebih daripada 50 siri Kuliah:
  2. Imam Ibnu Hajar al-Haitami dalam bukunya yang bertajuk: Tegahan Dari menghampiri Dosa Besar- terdapat 300 lebih senarai dosa-dosa besar di dalamnya.
  3. Apakah perbezaan antara dosa besar (كَبَٰٓئِرَ ٱلۡإِثۡمِ) & perbuatan keji (ٱلۡفَوَٰحِشَ):
    i- perbuatan keji- iaitu sesuatu yang keji pada jiwa,kita tengoknya nampak keji & terlibat dengan maruah diri, keluarga & masalah pribadi seperti zina,liwat dan seumpamanya!

ii- dosa besar- semua selain dari itu adalah dosa besar yang lain seperti mencuri, rasuah, riba dan lain-lain.

iii- ada kata kabair adalah syirik manakala yang lain adalah fawahish.

  1. Kemudian Allah s.w.t kata; kecuali mereka yang tersilap melakukan dosa-dosa kecil (ٱللَّمَمَۚ) tanpa sengaja.
  2. Apakah pula dosa-dosa kecil (ٱللَّمَمَۚ) ini? Kata ulama\’ ia adalah dosa yang dilakukan secara spontan bukan yang berkekalan atau selalu dilakukan, yang tidak termasuk dalam dosa besar & fawahish serta tidak mengeluarkannya dari sifat orang muhsinin tadi.
  3. Kata ulama\’ tafsir seperti Ibnu Jarir rhm. dan lain-lain lagi tentang (ٱللَّمَمَۚ) ini:
    i- ialah dosa kecil.

ii- dosa yang tidak kena hukum hudud di dunia.

iii- lelaki yang tengok wanita. Seperti keluar rumah tertengok tanpa dapat dielak.

iv- atau tersentuh wanita tanpa sengaja.

  1. Ibnu Rajab al-Hanbali buat kesimpulan tentang tafsiran kepada (ٱللَّمَمَۚ) ini ada dua pandangan ulama\’ salaf:
    i- permulaan kepada zina. Tetapi tidak sampai kena hudud.

ii- orang yang pernah terjebak dengan dosa sekali, tetapi dia telah insaf & bertaubat darinya.

  1. Hadis Rasulullah s.a.w:
    عن عبد الله بن عباس قال ما رأيت شيئاً أشبه باللمم مما قال أبو هريرة إن النبي {صلى الله عليه وسلم} قال إن الله كتب على ابن آدم حظه من الزنا أدرك ذلك لا محالة فزنا العينين النظر وزنا اللسان النطق والنفس تمنى وتشتهي والفرج يصدق ذلك أو يكذبه

Dari Abdullah bin Abbas R.A, dia berkata:
Bahawa aku tidak melihat sesuatu yang lebih hampir dengan \’kesalahan kecil\’ daripada hadis riwayat Abu Hurairah R.A bahwa Rasulullah S.A.W bersabda: \”Allah telah takdirkan & tulis bagi setiap anak Adam itu bahagiannya daripada zina, yang akan dia akan alaminya & tidak akan terlepas iaitu:
i- Zina kedua mata adalah melihat.
ii- Zina mulut adalah berkata.
iii- Zina hati adalah berharap dan berkeinginan.
iv- Sedangkan alat kelamin itu membuktikannya atau mendustakannya,\’\” (HR Bukhari & Muslim]

  1. Setelah Allah s.w.t keluarkan orang jahat yang keluar dari mendapat rahmat-Nya tadi, Allah s.w.t nyatakan bahawa ada juga keluasan, Dia buka balik pintu rahmat & Dia Maha Luas keampunan-Nya terhadap hamba-Nya yang insaf & bertaubat.
  2. Firman Allah s.w.t:
    { Jika kamu menjauhkan dosa-dosa besar yang dilarang kamu melakukannya, Kami akan ampunkan kesalahan-kesalahan (dosa kecil) kamu, dan kami akan masukkan kamu ke tempat yang mulia (syurga).} (An-Nisaa\’ 4:31)
  3. Hadis:
    i- Rasulullah s.a.w bersabda: \”Iringilah perbuatan dosa dengan kebaikan, nescaya kebaikan itu akan menghapusnya.\” [HR at-Tirmizi].

ii- Daripada Abu Hurairah R.A, bahawa Rasulullah S.A.W bersabda:
الصَّلَوَاتُ الْخَمْسُ، وَالْجُمْعَةُ إِلَى الْجُمْعَةِ، وَرَمَضَانُ إِلَى رَمَضَانَ، مُكَفِّرَاتٌ مَا بَيْنَهُنَّ إِذَا اجْتَنَبَ الْكَبَائِرَ

Maksudnya: \”Solat Fardhu lima waktu, Jumaat hingga ke Jumaat (seterusnya), Ramaahan hingga Ramadhan seterusnya adalah semuanya ini penebus dosa di antara keduanya selama mana tidak dilakukan dosa-dosa besar.\” [HR Muslim (209)].

  1. Ini menunjukkan bahawa dosa-dosa kecil dapat dihapuskan dengan perbuatan-perbuatan baik itu tadi, tetapi dosa besar perlu kepada taubat khusus kepada Allah Azza wa Jalla.
  2. Ayat seterusnya Allah s.w.t menyatakan bahawa Dia Maha mengetahui tentang kamu sejak kamu mula dicipta dbg janin dalam perut ibumu lagi. Semuanya di dalam pengetahuan Allah s.w.t, jangan kamu rasa hebat & selamat kerana Allah tidak tahu.
  3. Allah s.w.t juga larang daripada memuji diri sendiri kerana Dia lebih mengetahui tentang makhluk-Nya.
  4. Munasabah ayat: Ini kerana telah menjadi satu adat kebiasaan manusia itu apabila dia tidak buat dosa, bila dia selamat dari terjebak dengan mungkar & maksiat, dia rasa bangga dengan kawan-kawannya! Maka Allah s.w.t pesan agar jangan puji diri sendiri dan rasa diri cukup baik & banyak amalan!
  5. Hadis riwayat Abu Hurairah R.A, katanya:

أَنَّ زَيْنَبَ، كَانَ اسْمُهَا بَرَّةَ، فَقِيلَ تُزَكِّي نَفْسَهَا‏.‏ فَسَمَّاهَا رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم زَيْنَبَ

Maksudnya: \”Sesungguhnya nama asal UM Zainab ialah Barrah, maka dikatakan kepadanya: \”Engkau memuji diri sendiri\”, maka Rasulullah S.A.W pun menukarkan namanya kepada Zainab.\”[HR Bukhari]

Yakni jika nama yang menunjukkan kepada tazkiyah (memuji diri) kita jangan letak nama anak- tidak elok. Orang sekarang ini letak nama dengan banyak nama-nama yang menunjukkan kepada tazkiyah seperti: Khairunnisa\’ (sebaik perempuan), Khairul Bariyyah (sebaik-baik manusia) Khairul Rijal (sebaik lelaki) dan seumpamanya!

  1. Rasulullah s.a.w juga melarang daripada memuji orang secara depan-depan. Kerana memuji orang seolah telah potong tengkuknya. Sepatutnya tabur pasir atas kepala orang yang memuji.
  2. Larangan keras Rasulullah S.A.W. melalui sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abu Bakrah R.anh bahawa seorang lelaki telah memuji seorang lelaki yang lain di sisi Nabi S.A.W.
    Lalu Rasulullah S.A.W bersabda:
    وَيْحَكَ قَطَعْتَ عُنُقَ صَاحِبِكَ قَطَعْتَ عُنُقَ صَاحِبِكَ مِرَارًا إِذَا كَانَ أَحَدُكُمْ مَادِحًا صَاحِبَهُ لاَ مَحَالَةَ فَلْيَقُلْ أَحْسِبُ فُلاَنًا وَاللَّهُ حَسِيبُهُ وَلاَ أُزَكِّي عَلَى اللَّهِ أَحَدًا

Maksudnya: Celaka kamu. Kamu telah memotong leher sahabatmu, kamu telah memotong leher sahabat kamu. Sekiranya salah seorang daripada kamu semua ingin memuji sahabatnya sekalipun, hendaklah dia mengucapkan \”aku menyangka fulan sedemikian dan Allah S.W.T-lah sebenar yang menghitungnya, dan aku sama sekali tidak memuji seseorangpun mengatasi Allah S.W.T\”. [Muslim (3000)].

  1. Jika kita dipuji orang maka bacalah doa ini:
    i- Terdapat satu doa yang baik yang diamalkan oleh seorang sahabat Baginda SAW, di mana diriwayatkan bahawa Adi bin Arthah -rahimahullah – (seorang ulama tabi\’in) meriwayatkan:
    Dahulu ada seorang sahabat Nabi S.A.W, yang apabila dia dipuji mengucapkan:

اللَّهُمَّ لاَ تُؤَاخِذْنِي بِمَا يَقُولُونَ، وَاغْفِرْ لِي مَا لا يَعْلَمُونَ
\”Ya Allah, jangan Engkau menghukumku disebabkan pujian yang dia ucapkan, ampunilah aku, atas kekurangan yang tidak mereka ketahui\”. [Riwayat al-Bukhari dalam al-Adab al-Mufrad (761)].

ii- Terdapat juga riwayat daripada sebahagian ulama salaf yang berpesan dengan doa ini:

اللهُمَّ أَنْتَ أَعْلَمُ بِي مِنْ نَفْسِي، وَأَنَا أَعْلَمُ بِنَفْسِي مِنَ النَّاسِ، اللهُمَّ لَا تُؤَاخِذْنِي بِمَا يَقُولُونَ، وَاغْفِرْ لِي مَا لَا يَعْلَمُونَ
Maksudnya: \”Ya Allah, sesungguhnya Engkau Maha Mengetahui keadaan diriku lebih dari aku sendiri, dan aku lebih mengetahui keadaan diriku berbanding orang lain. Ya Allah, jangan Engkau menghukumku disebabkan pujian yang mereka ucapkan, ampunilah aku atas kekurangan yang tidak mereka ketahui.\”

Dalam riwayat yang lain, terdapat tambahan lafaz:

وَاجْعَلْنِي خَيْرًا مِمَّا يَظُنُّونَ
Maksudnya: Jadikanlah aku lebih baik daripada apa yang mereka sangkakan. [Riwayat al-Baihaqi dalam Syu\’ab al-Iman (4524 dan 4534)]

PENUTUP/BEBERAPA FAEDAH RINGKAS :

  1. Ayat 31-{Dan Allah jualah yang memiliki segala yang ada di langit dan yang ada di bumi}- yakni Allah s.w.t Pencipta & Pemilik dua makhluk yang besar bumi & langit ini serta seluruh isi kandunganya.
    Allah boleh buat apa saja yang Dia kehendaki:.
    Kata ulama\’ ada 2 faedah besar yang kita dapat dari ayat ini:
    i- kena redha taqdir Allah- kerana kita ini makhluk milik Allah s.w.t, bukan kita boleh lari ke mana, musim panas atau musim sejuk!
    Kita terima dengan redha ketetapan Allah Azza wa Jalla. Tetapi sebelum terjadinya ketetapan itu kita kena usaha dan ikhtiar dulu, buat yang terbaik!

ii- kena redha dengan hukum dan Syariat perundangan yang Allah tetapkan ke atas kita seperti hukum hudud dan lain-lain.
Jika tak mahu ikut hukum Allah, pergi cari bumi lain dan ikut undang-undangnya.
Selagi kita hidup atas bumi milik Allah ini, yang Allah telah nyatakan ini hak-Nya, kita kena akur, patuh & taat kepada undang-undang Syariah Allah s.w.t!
Orang yang tak ikutnya adalah mereka yang buat jenayah ke atas diri sendiri & akan dipersolakan di hadapan Allah Azza wa Jalla di Akhirat nanti!

  1. Ayat 31-{(diciptakan semuanya itu) untuk membalas orang-orang yang berbuat jahat menurut apa yang mereka lakukan, dan membalas orang-orang yang berbuat baik dengan balasan yang sebaik-baiknya.}- dari ayat ini kena faham adanya dosa adanya pintu taubat, adanya kesalahan adanya istighfar.

Maka tidaklah menjadi satu keaiban besar bagi seorang yang pernah melakukan dosa setelah dia insaf & bertaubat daripada dosa-dosa itu. Kenapa mahu dikorek & diungkit lagi.

Allah s.w.t buat timbal-balasnya iaitu kejahatan akan dibalas setakat kejahatan itu sahaja tetapi kebaikan akan dibalas dengan kebaikan berganda-ganda.

Ya Allah jadikanlah kami dari kalangan orang muhsin yang layak mendapat husna (kebaikan) dari Allah s.w.t!
Dengan solat dua rakaat Allah s.w.t balas syurga untuk kita, inilah yang dikatakan husna!

  1. Ayat 32-{(Iaitu) orang-orang yang menjauhi dosa-dosa besar serta perbuatan-perbuatan yang keji, kecuali salah silap yang kecil-kecil (yang mereka terlanjur melakukannya, maka itu dimaafkan).}- Allah sifatkan orang yang muhsin itu adalah yang menjauhkan dosa besar.

Apakah dosa besar?
Seperti di atas tadi:
i- dosa yang kena balas dengan hukuman hudud seperti mencuri potong tangan, zina kena rejam dan seumpamanya.
ii- perbuatan yang dijanjikan balasan azab neraka.
iii- perbuatan yang dilaknat oleh Allah & Rasulullah s.a.w.
iv- perbuatan yang dimurkai Allah s.w.t!

Untuk menjadi orang muhsin marilah kita tinggalkan dosa-dosa besar.
Jika ada sedikit dosa-dosa kecil (ٱللَّمَمَۚ) yang tidak dapat kita elak dan lari darinya maka itu dimaafkan! Seperti dalam hadis di atas tadi tentang bahagian zina bagi semua orang.

4) Ayat 32- {maka janganlah kamu memuji-muji diri kamu (bahawa kamu suci bersih dari dosa). Dia lah sahaja yang lebih mengetahui akan orang-orang yang bertaqwa.}- Allah s.w.t larang jangan kamu puji diri kamu sendiri. Ini yang kita bimbang hari ini, amalan yang dibuat hanya sedikit tetapi pujian itu pula lebih-lebih!

i- Tazkiyatun-nafsi (bersih diri) insan boleh dilakukan dengan dua cara:
a- dengan perbuatan iaitu seperti firman Allah s.w.t:
‌قَدۡ ‌أَفۡلَحَ مَن زَكَّىٰهَا
{Sesungguhnya berjayalah orang yang menjadikan dirinya – yang sedia bersih – bertambah-tambah bersih (dengan iman dan amal kebajikan).} (Asy-Syams 91:9)

Iaitu membersihkan diri sendiri secara amali, buat amalan untuk bersihkan diri dengan tinggalkan maksiat, baca al-Quran, berzikir, solat malam. Membersihkan diri daripada kotoran najis dosa & maksiat- ini dipuji.

b- Tazkiyah diri (angkat diri) yang tidak dibenarkan ialah puji diri sendiri dengan perkataan kita sendiri; seperti saya solat malam, saya bertahajjud, saya buat ni saya buat tu, puji ibadat sendiri, ceritakan kebaikan & ibadat yang dah kita buat dan seumpamanya yang dikatakan perbuatan masuk bakul & angkat sendiri.

Juga jangan benarkan orang puji kita apatah lagi yang melampau sedangkan kita tahu keadaan sebenar diri kita.

Kita juga jangan benarkan orang keji kita. Tapi bersihkan diri dengan perbuatan baik & soleh, tinggalkan maksiat, sentiasa berzikir dan beristighfar.

Jangan juga memuji orang lain secara berdepan dengan melampau/mengampu untuk kepentingan diri; yakni ada udang disebalik mee. Jika kita terpaksa juga puji orang pun kita kena sebut; Aku sangkakannya sedemikian tetapi hanya Allah s.w.t yang lebih mengetahuinya.

  1. Ayat 32- {Ia lebih mengetahui akan keadaan kamu semenjak Ia mencipta kamu (berasal) dari tanah, dan semasa kamu berupa anak yang sedang melalui berbagai peringkat kejadian dalam perut ibu kamu;}- ia juga mengingatkan kita agar jangan suka dipuji dan berbangga diri. Sebagaimana kita tidak suka diri kita dikeji, kita juga jangan suka dipuji!

Allah Maha Mengetahui siapa kita, jika buat amalan baik hanya Allah tahu siapa yang bertaqwa & ikhlas beramal.

Elakkan ketaksuban melampau terhadap tok-tok guru dan syeikh yang diikuti, dengan perbuatan yang tidak pernah dibuat oleh para sahabat hatta kepada Rasulullah s.a.w!

Powered by BetterDocs