SURAH AT-TUR : AYAT 29-36

\"\"

ALLAH PERINTAH SAMPAIKAN RISALAHNYA, MENOLAK TUDUHAN KAFIR TERHADAP NABI S.A.W & MENCABAR MEREKA.

Full video : https://youtu.be/0TpSWu0_eS4

MUQADDIMAH :

  1. Dalam siri ini Allah s.w.t perintahkan Rasulullah s.a.w untuk menyampaikan risalah-Nya.
  2. Serta menolak tuduhan jahat puak kafir terhadap Rasulullah s.a.w yang menuduhnya macam-macam.
  3. Kemudian Allah suruh Nabi s.a.w cabar puak kafir, jika mereka benar maka bawalah perkataan yang sama seperti al-Quran; yang kamu kata sihir dan dongeng ini, kita lihat siapa yang hebat & benar!
  4. Munasabah ayat:
    i- Dalam ayat-ayat yang lepas Allah s.w.t gambarkan nikmat syurga yang indah supaya orang yang inginkan syurga merinduinya dengan melakukan amal-amal yang boleh menyampaikannya ke syurga. Iaitu dengan mengikut nasihat peringatan yang dapat melembutkan hati dan menghilangkan kesusahan.

ii- maka Allah sebut agar sentiasa memperbaharui peringatan (فَذَكِّرۡ) agar orang yang inginkan syurga itu tidak lupa & lalai dan sentiasa ingat untuk beramal baik.

iii- Allah s.w.t juga telah bersumpah bahawa azab pasti akan menimpa orang yang derhaka. Allah juga telah menyebut beberapa keadaan orang yang celaka kena azab dan orang yang selamat dari azab.

iv- maka di sini Allah s.w.t sekali lagi perintahkan Rasulullah s.a.w untuk memberi peringatan (فَذَكِّرۡ) kepada orang yang ingkar tak dengar kata agar mereka insaf & kembali ke jalan Allah.
Juga supaya mereka kenal Rasulullah s.a.w bahawa Baginda s.a.w bukan seorang yang gila, bomoh, tukang sihir atau penyair!

v- maka kita sebagai seorang pendakwah, muallim, murabbi para ustaz; ajar dan bimbinglah masyarakat kepada Sunnah Nabi s.a.w.
Janganlah banyak mengajar masyarakat ajaran-ajaran yang seperti ilmu perbomohan dengan percaya tangkal azimat dan lain-lain perlindungan yang boleh membawa kepada syubhat!

AYAT 29- {MAKA HENDAKLAH ENGKAU (WAHAI MUHAMMAD) TETAP TEKUN MEMBERI PERINGATAN (DENGAN AJARAN-AJARAN AL-QURAN YANG DITURUNKAN KEPADAMU, DAN JANGANLAH DIHIRAUKAN GOLONGAN YANG INGKAR), KERANA ENGKAU DENGAN NIKMAT TUHANMU (YANG DILIMPAHKANNYA KEPADAMU ITU) BUKANLAH SEORANG PAWANG DAN BUKAN PULA SEORANG GILA.} (AT-TUUR 52:29)

  1. Allah s.w.t ajar kepada Rasulullah untuk terus tekun memberi peringatan (فَذَكِّرۡ) dengan ajaran al-Quran yang diturunkan kepadanya kepada kaumnya, jangan goyah & koyak dengan tentangan & halangan oleh golongan yang ingkar!
  2. Allah s.w.t juga menafikan tuduhan jahat puak kafir itu terhadap Rasulullah s.a.w! Bahawa Rasulullah s.a.w membawa ajaran yang diberikan oleh Allah s.w.t kepadanya! Bukan yang Baginda reka, ia adalah wahyu dari Allah s.w.t walaupun ia adalah benda pelik & ghaib!
  3. Baginda dengan nikmat kurnia dari Allah adalah rasul pilihan yang dilantik\’-Nya; bukanlah seorang bomoh dan bukan pula seorang gila!
  4. Jelaslah Allah s.w.t menafikan segala tuduhan puak kafir terhadap Rasulullah s.a.w!

AYAT 30- {(MEREKA MENUDUH NABI MUHAMMAD DENGAN YANG BUKAN-BUKAN), BAHKAN MEREKA MENGATAKAN: \”(MUHAMMAD) ITU SEORANG PENYAIR YANG KAMI TUNGGU-TUNGGU SAAT KEBINASAANNYA\”.} (AT-TUUR 52:30)

  1. Puak Quraisy juga mengatakan Nabi Muhammad itu seorang penyair yang menipu orang ramai, maka tunggu sajalah kematiannya, maka akan mati jugalah dakwah dan ajarannya yang pelik itu!
  2. Kata ahli tafsir makna (saat kebinasaan )-( ٱلۡمَنُونِ) itu bererti maut atau mati.
  3. Mereka menyangka dengan matinya Rasulullah s.a.w mereka akan senang dan tak perlu susah-payah lagi menentang ajaran Islam lagi, kerana mereka sangka Islam & al-Quran itu akan mati bersamanya!

AYAT 31- {KATAKANLAH (WAHAI MUHAMMAD): \”TUNGGULAH KAMU (AKAN APA YANG KAMU TUDUH ITU), MAKA SESUNGGUHNYA AKU JUGA DARI ORANG-ORANG YANG MENUNGGU BERSAMA-SAMA KAMU (AKAN APA YANG DIJANJIKAN OLEH ALLAH TAALA)\”.} (AT-TUUR 52:31)

  1. Allah meyuruh Rasulullah s.a.w berkata kepada puak kafir itu: Jika kamu menunggu aku mati, aku juga meninggu kamu mati! Maka ketika itu kita akan lihat siapa yang akan selamat dan siapa yang akan kena azab.
  2. Kata ulama\’: Ajaran sesat ini seperti api dalam sekam, kita ingat dia sudah mati kerana tak nampak apinya lagi, tetapi bila datang angin ia akan hidup balik!
    Ia tidak mati, akan tersebar balik oleh para pengikutnya yang mendiamkan diri sebelum ini.

AYAT 32- {ADAKAH MEREKA DISURUH OLEH AKAL FIKIRAN MEREKA MELEMPARKAN TUDUHAN-TUDUHAN YANG SEDEMIKIAN ITU, ATAU SEMEMANGNYA MEREKA SUATU KAUM YANG MELAMPAUI BATAS (DALAM KEINGKARAN DAN KEDEGILANNYA)?} (AT-TUUR 52:32)

  1. Adakah mereka menggunakan akal mereka dalam membuat tuduhan-tuduhan itu?
    Mereka seolah bercakap tanpa berpijak di bumi nyata.
  2. Mana ada orang gila yang boleh menjadi penyair yang fasih atau tukang sihir yang hebat!
  3. Mereka adalah satu kaum yang melampaui batas dalam kedegilan dan pengingkaran mereka! Degil tidak mahu beriman dan menerima kebenaran.

AYAT 33- {(BUKAN SAHAJA MEREKA INGKAR DAN DEGIL) BAHKAN MEREKA BERKATA: \”DIA (MUHAMMAD) TELAH MEREKA-REKA AL-QURAN ITU\”. (TUDUHAN MEREKA YANG DEMIKIAN TIDAK BERASAS) BAHKAN MEREKA SENGAJA TIDAK MAHU BERIMAN!} (AT-TUUR 52:33)

  1. Segala tuduhan mereka itu tidak bersas, bahkan semuanya kerana mereka sengaja tidak mahu beriman!
  2. Mereka kata Rasulullah s.a.w mereka-buat sendiri al-Quran itu, kemudian mendakwa bahawa ia adalah dari Tuhan!
  3. Firman Allah s.w.t juga:
    i- {(Orang-orang kafir tidak mengakui hakikat yang demikian itu) bahkan mereka mengatakan: \”Dia lah (Muhammad) yang mengada-adakan Al-Quran menurut rekaannya\”. Katakanlah (wahai Muhammad): \”Kalau demikian, datangkanlah satu surah yang sebanding dengan Al-Quran itu, dan panggilah siapa sahaja yang kamu dapat memanggilnya, yang lain dari Allah (untuk membantu kamu), jika betul kamu orang-orang yang benar!\”.} (Yunus 10:38)

ii- {(Orang-orang kafir tidak mengakui hakikat yang demikian) bahkan mereka mengatakan: \”Dia lah (Muhammad) yang mengada-adakan Al-Quran menurut rekaannya\”. (Dakwaan mereka itu tidaklah benar) bahkan Al-Quran ialah perkara yang benar dari Tuhanmu (wahai Muhammad), supaya engkau memberi ingatan dan amaran kepada kaum (mu) yang telah lama tidak didatangi sebarang pemberi ingatan dan amaran sebelummu, semoga mereka beroleh hidayah petunjuk.} (As-Sajdah 32:3

AYAT 34- {(KALAU TIDAK) MAKA HENDAKLAH MEREKA MEMBUAT DAN MENDATANGKAN KATA-KATA (YANG FASIH DAN INDAH) SEPERTI AL-QURAN ITU, JIKA BETUL MEREKA ORANG-ORANG YANG BENAR DAKWAANNYA.} (AT-TUUR 52:34)

  1. Kemudian Allah s.w.t cabar mereka- jika begitu kamu buat dan rekalah juga sesuatu yang indah & fasih serta berfakta seperti al-Quran ini!
  2. Yakni jika betul tuduhan mereka bahawa Nabi Muhammad yang mereka-cipta, membuat sendiri al-Quran itu, maka cubalah buat juga sepertinya!

AYAT 35- {(MENGAPA MEREKA TIDAK BERIMAN?) ADAKAH MEREKA TELAH TERCIPTA DENGAN TIADA YANG MENCIPTANYA, ATAU ADAKAH MEREKA YANG MENCIPTA DIRI MEREKA SENDIRI?} (AT-TUUR 52:35)

  1. Mengapa mereka tidak mahu beriman dengan ajaran Rasulullah s.a.w? Apakah kerana sebab ini?
  2. Dalam ayat ini Allah s.w.t memberi beberapa soalan:
    i- apakah mereka tercipta atau terjadi dengan sendiri saja? Tiada ibu bapa atau penciptanya.

ii- atau adakah kamu mencipta diri kamu sendiri? Serta makhluk lain itu?

  1. Dalam surah at-Tur terdapat 15 kali kalimah (أَمۡ) yang bermakna apakah/adakah.
    Ianya sebagai satu hujjah & soalan yang mantap, puak kafir & orang yang disoal dan dicabar itu tidak akan dapat menjawabnya lansung!
  2. Munasabah ayat:
    i- apabila puak kafir mendustakan Rasulullah s.a.w dan mengatakannya sebagai ahli nujum, orang gila & penyair, lalu Allah s.w.t membebaskannya dari segala tuduhan itu.

ii- maka sekarang ini Allah s.w.t membawa dalil-dalil yang menunjukkan benarnya Baginda untuk membatalkan tuduhan puak kafir itu dengan bertanya tentang kejadian diri mereka sendiri dulu!

Seolah Allah s.w.t tanya puak kafir, bagaimana kamu mendustakan Nabi Muhammad s.a.w sedangkan dalam diri kamu itu sendiri sudah ada dalil tentang kebenarannya!

  1. Hadis riwayat dari sahabat Jubair Bin Mut\’im yang belum Islam lagi ketika itu:
    Jubair bin Mut\’im berkata:

سَمِعْتُ النَّبِيَّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقْرَأُ فِي المَغْرِبِ بِالطُّورِ، فَلَمَّا بَلَغَ هَذِهِ الآيَةَ: أَمْ خُلِقُوا مِنْ غَيْرِ شَيْءٍ أَمْ هُمُ الخَالِقُونَ، أَمْ خَلَقُوا السَّمَوَاتِ وَالأَرْضَ بَلْ لاَ يُوقِنُونَ، أَمْ عِنْدَهُمْ خَزَائِنُ رَبِّكَ أَمْ هُمُ المُسَيْطِرُونَ. قَالَ: كَادَ قَلْبِي أَنْ يَطِيرَ

\”Aku mendengar Nabi s.a.w membaca surah At-Tur pada solat maghrib. Apabila sampai kepada ayat ini;
{Apakah mereka diciptakan tanpa sesuatupun ataukah mereka yang menciptakan (diri mereka sendiri)? Ataukah mereka telah menciptakan langit dan bumi itu? Sebenarnya mereka tidak meyakini (apa yang mereka katakan). Ataukah di sisi mereka ada perbendaharaan Tuhanmu ataukah mereka yang berkuasa?} (Ath-Thur: 35-37)\’.
Ia (Jubair) berkata, \’Jantungku hampir-hampir akan tercabut (kerana mendengarnya)\’.\” [HR Bukhari]

Yakni tersentap hatinya apabila mendengar dalil ini kerana dia faham bacaan itu. Terlalu dalam hujjah yang Allah bawa dalam al-Quran.

  1. Dalam riwayat lain ada tambahan: Maka ketika itu iman pun mula masuk dalam hatinya dan dia mula mengenal Islam.
  2. Kata Ibnu Kathir rhm.: Jubair ini datang bertemu Rasulullah s.a.w selepas peperangan Badar untuk membincangkan tentang tawanan Quraisy, ketika itu dia masih belum Islam. Ketika itulah dia mendengar Rasulullah s.a.w membaca surah ini dalam solatnya. Ketika ini tahun ke-2 H.
    Tetapi dia tidak terus memeluk Islam dan menggucap dua kalimah syahadah sehingga pada hari Pembukaan Makkah pada tahun ke-8 H. Yakni selama 6 tahun dia memendam rasa dan berfikir!

AYAT 36- {ADAKAH MEREKA YANG MENCIPTA LANGIT DAN BUMI ITU? (SUDAH TENTU TIDAK!) BAHKAN MEREKA ADALAH ORANG-ORANG YANG TIDAK MEYAKINI (KEBENARAN APA YANG MEREKA PERNAH MENGAKUINYA).} (AT-TUUR 52:36)

  1. Allah s.w.t bertanya lagi: Apakah mereka yang mencipta langit & bumi ini??? Pasti sekali tidak.
  2. Tetapi jika ditanya siapakah yang mencipta langit & bumi ini mereka mengakuinya pula ia dicipta oleh Tuhan!
  3. Mereka ternganga tidak dapat menjawabnya tetapi mereka tetap degil tidak mahu beriman dan menolaknya!

PENUTUP/BEBERAPA FAEDAH RINGKAS :

  1. Ayat 29- {Maka hendaklah engkau (wahai Muhammad) tetap tekun memberi peringatan (dengan ajaran-ajaran Al-Quran yang diturunkan kepadamu, dan janganlah dihiraukan golongan yang ingkar), kerana engkau dengan nikmat Tuhanmu (yang dilimpahkanNya kepadamu itu) bukanlah seorang pawang dan bukan pula seorang gila.}- kata ulama\’ tafsir Allah s.w.t membatalkan tuduhan puak kafir itu dengan menafikannya begitu saja,

In kerana terlalu jelas bagi orang yang menggunakan akalnya akan nampak bahawa Baginda Rasulullah s.a.w bukan seorang yang gila berdasarkan penampilan dan akhlaknya! Ucapan dan perkataannya penuh fakta dan fasih, tidak menyalahi akal & fikiran manusia.
Inilah dalil musyahadah (yang dapat disaksikan), ia adalah dalil yang mantap bagi yang berakal!

Sama seperti segelintir manusia hari ini yang menerima atau membuat tuduhan terhadap seseorang ustaz atau pendakwah tanpa menyiasat, melihat atau mendengar dulu buktinya! Apakah yang sesat atau yang bertentangan dengan al-Quran dan Sunnah dalam ajaran atau kuliahnya!

Cuba dengar dan ikuti dulu, cari bukti sebelum membabi buta menerima tuduhan terhadap seseorang itu!
Takutlah kepada Allah dan hari pembalasan di akhirat kelak.

  1. Ayat 31- {Katakanlah (wahai Muhammad): \”Tunggulah kamu (akan apa yang kamu tuduh itu), maka sesungguhnya aku juga dari orang-orang yang menunggu bersama-sama kamu (akan apa yang dijanjikan oleh Allah Taala)\”.}- bila segala tuduhan dan strategi jahat mereka tidak berjaya, akhirnya mereka kata tunggu mati ajelah!

Maka Allah s.w.t ajar Rasulullah s.a.w untuk membalasnya bahawa dia juga akan menunggu kematian mereka, yakni sama-sama menunggu dan lihatlah siapa yang benar nanti! Siapa yang duduk atas landasan Allah s.w.t & siapa yang menyeleweng!

  1. Ayat 30- {(Mereka menuduh Nabi Muhammad dengan yang bukan-bukan), bahkan mereka mengatakan: \”(Muhammad) itu seorang penyair yang kami tunggu-tunggu saat kebinasaannya\”.} – kenapa mereka kata Rasulullah s.a.w itu seorang penyair dan tunggu dia mati?

JAWAPAN :

i- Ini kerana orang Arab dulu media sosial mereka adalah syair dan mereka amat takut kepada lidah penyair. Jika bermusuh, para penyair yang akan mencipta syair yang akan ditulis dan disebar. Ini adalah serangan yang amat berbisa dan dapat menjatukan seseorang!

ii- Kerana Rasulullah s.a.w kata ajarannya adalah ajaran yang benar dan akan berterusan sehingga ke hari Kiamat. Allah akan jaga dan terus sebarkan ajaran yang benar ini!

  1. Ayat 34- {(Kalau tidak) maka hendaklah mereka membuat dan mendatangkan kata-kata (yang fasih dan indah) seperti Al-Quran itu, jika betul mereka orang-orang yang benar dakwaannya.}- ulama\’ kata setiap ayat dalam al-Quran itu adalah satu mukjizat!

Maka kaum kafir Quraisy ini dicabar untuk membuat dan membawa kata-kata yang fasih dan indah seperti Al-Quran itu. Ini cabaran jika betul mereka orang-orang yang benar dakwaannya bahawa Rasulullah s.a.w juga mereka dan membuat sendiri ayat-ayat al-Quran itu!

  1. Ayat 35- {(Mengapa mereka tidak beriman?) Adakah mereka telah tercipta dengan tiada yang menciptanya, atau adakah mereka yang mencipta diri mereka sendiri?} & Ayat 36- {Adakah mereka yang mencipta langit dan bumi itu? (Sudah tentu tidak!) Bahkan mereka adalah orang-orang yang tidak meyakini (kebenaran apa yang mereka pernah mengakuinya).}- dalam dua ayat ini ada 3 soalan yang ditujukan kepada mereka puak kafir yang mengingkari ajaran dakwah Rasulullah s.a.w:

i- adakah diri kamu terjadi dengan sendiri?
ii- adakah kamu sendiri buat dirimu & makhluk lain.
iii- adakah kamu yang buat bumi & langit ini?

Jawapannya: Pastilah tidak semuanya, maka pastilah ada Penciptanya untuk kesemua soalan ini! Benda baru pasti ada yang mencipta dan mengadakannya!

Ini adalah dalil fitrah bahawa benda yang berlaku dan wujud itu pasti ada Penciptanya. Ada alam itu pasti ada penciptanya!
Kata Arab Badwi: Adanya tahi unta pastilah ada unta yang beraknya!

Satu kisah yang menarik tentang pengislaman Dr Lawrence Brown:
https://www.tiktok.com/@abua…/video/7148323434777300226…

Inilah dalil fitrah, manusia ini bila dia fikir dia akan jumpa dan kenal Allah s.w.t! Manusia ini akan cari Tuhan bila terkejut dan dalam kesusahan.

Maka pastilah satu kepelikan dan satu penyelewangan jika kita manusia meminta pertolongan dari yang lain selain daripada Allah sebagaimana perbuatan syiah dan lain-lain golongan sesat! Na\’uzubillah!

Powered by BetterDocs