SURAH AR-RAHMAN : AYAT 31-36

\"\"

SEMUA AKAN DIHISAB, MANUSIA DAN JIN LEMAH & AMARAN BAGI PARA PENENTANG AGAMA.

Full video : https://youtu.be/1IYI0cUA5Bk

MUQADDIMAH :

  1. Ini adalah episode kedua dalam surah ini iaitu Allah s.w.t menyatakan keadaan yang akan berlaku pada hari Kiamat. Semua manusia akan dihisab, dibongkar balik apa yang dia buat atas dunia dulu.
  2. Kemudian Allah cabar jin dan manusia jika tidak mahu mati, agar lari keluar dari bumi Allah ini. Tetapi pastilah manusia dan jin lemah, maka tunggulah saat kematian kamu yang tidak dapat dielakkan!
  3. Kemudian Allah bagi amaran kepada bagi para penentang agama bahawa mereka akan dibinasakan dengan dibakar oleh api yang begitu dahsyat!
  4. Dalam siri ini akan diulang lagi pertanyaaan { فَبِأَىِّ ءَالَآءِ رَبِّكُمَا تُكَذِّبَانِ} sebanyak tiga kali lagi, iaitu dari tujuh solan semuanya dalam episod yang kedua.
  5. Munasabah ayat:
    i- Setelah Allah sebut dalam ayat yang lepas tentang anugerah nikmat-Nya, Allah lalu ajar kepada kita ilmu bahawa Allah s.w.t yang mencipta langit bumi dan segala isi kandungannya. Kemudian Allah nyatakan bahawa bumi ini akan binasa. Penduduk atas bumi juga akan binasa seluruhnya.

ii- kemudian Allah s.w.t bawa dalam ayat ini perkara yang berkait dengan hari Kiamat. Semua manusia & jin akan dihitung dihisab, kemudian akan dibalas mengikut amalan kamu semasa hidup dulu. Maka siapa yang nak selamat bersedialah dengan amalan-amalan yang baik!

iii- Surat amalan yang kita nak baca di hadapan Allah s.w.t di akhirat nanti, kitalah penulisnya!

AYAT 31- {KAMI HANYA AKAN MENGURUSKAN HITUNGAN DAN BALASAN AMAL KAMU SAHAJA (PADA HARI KIAMAT,) WAHAI MANUSIA DAN JIN!} (AR-RAHMAAN 55:31)

  1. Ayat ini adalah amaran kepada golongan yang menyalahi peraturan Allah dari kalangan manusia & jin.
  2. Allah akan tumpukan kepada urusan muhasabah, audit dan hitung hisab semua pada hari Kiamat wahai manusia & jin, kemudian Allah akan balas samada pahala atau siksaan mengikut amalan yang kamu buat di dunia dulu.
  3. Ada ulama\’ kata maksudnya (سَنَفْرُغُ):
    i- kami akan tumpukan kepada apa yang dijanjikan dulu iaitu balasan baik untuk amal yang baik & balasan azab untuk perbuatan yang derhaka & buruk.

ii- Allah akan beri masa dulu, tinggalkan mereka dengan apa yang mereka mahu buat semasa di dunia ini kemudian pada hari Kiamat baru akan dihisab. Dunia adalah tempat bercucuk tanam manakala Akhirat adalah tempat menuai hasilnya.

iii- Yakni ada jadual dan waktunya yang telah ditetapkan Allah.

iv- Allah akan balas mengikut apa yang telah dijanjukan-Nya iaitu buat baik dapat pahala & balasan baik, yang buat jahat pastilah balasan dosa dan azab-Nya!

AYAT 32- {MAKA YANG MANA SATU DI ANTARA NIKMAT-NIKMAT TUHAN KAMU, YANG KAMU HENDAK DUSTAKAN?} (AR-RAHMAAN 55:32)

  1. Ini adalah soalan yang kesembilan dan yang pertama dalam kategorinya.
  2. Munasabah sayat:
    i- Soalan ini setelah Allah sebut tentang anugerah nikmat yang besar yang diberikan kepada kita, setelah diberi negeri-negeri yang aman dan subur, berlakunya keadilan & ketelusan, lalu tertegaknya langit dan bumi dengan keadilan!

ii- maka di sini Allah s.w.t beri pula amaran supaya berhati-hati, setelah kamu gunakan segala nikmat dari Allah ini, berjalan dengan bebas ke sana sini dan dengan mudah atas muka bumi ini, maka ingat jangan derhaka & takabbur. Bahkan nikmat itu perlu dihayati & disyukuri dengan mengerjakan amalan & kebaikan. Lagi banyak kita dapat nikmat, lagi banyak kita solat dan sedekah, buat kebaikan sesama manusia!

iii- maka setelah Allah s.w.t sebut tentang pembalasan, Dia tanya setelah segala kemudahan yang Allah sediakan ini; nikmat mana lagi kamu mahu dustakan?
Setelah Aku beri segala nikmat kemudahan ini; kamu mahu lawan dan ingkari lagi nikmat Allah ini?

  1. Tentang orang yang masuk syurga tanpa hisab: Mereka adalah orang yang layak dan cukup syaratnya, bukan dengan senang atau mudah tanpa beramal dan taat kepada perintah Allah s.w.t!

AYAT 33- {WAHAI SEKALIAN JIN DAN MANUSIA! KALAU KAMU DAPAT MENEMBUS KELUAR DARI KAWASAN-KAWASAN LANGIT DAN BUMI (UNTUK MELARIKAN DIRI DARI KEKUASAAN DAN BALASAN KAMI), MAKA CUBALAH KAMU MENEMBUS KELUAR. KAMU TIDAK AKAN MENEMBUS KELUAR MELAINKAN DENGAN SATU KEKUASAAN (YANG MENGATASI KEKUASAAN KAMI; MASAKAN DAPAT)!} (AR-RAHMAAN 55:33)

  1. Allah menyeru jin & manusia; dua jenis makhluk yang ada taklif iaitu tanggung-jawab Syara\’.
  2. Allah cabar mereka jika mampu berkuasa untuk keluar menembus langit dan bumi jika mahu lari dari kekuasaan dan balasan Allah s.w.t!
  3. Tetapi pastilah kamu tidak dapat menembus keluar atau lari dari Allah s.w.t kecuali dengan kekuasaan-NYA.
  4. Munasabah ayat:
    i- Allah s.w.t telah sebut dalam ayat yang lepas bahawa tidaklah Allah s.w.t itu menyibukkan diri-Nya dengan sesuatu urusan sehingga tertinggal perkara atau urusan yang lain- TIDAK SAMA SEKALI!

Allah s.w.t buat satu perkara dan boleh tunaikan segala perkara yang Dia mahu dalam satu masa sahaja!

ii- Kerana ini timbul persoalan seolah ada yang kata kenapa Allah tangguhkan azab, kenapa tunggu di akhirat, tidak diberi selalu azab? Bukankah Allah buat semua benda dalam satu masa?

Jawapan:
Allah jawab bahawa semua makhluk di bawah kuasa-Nya boleh saja Allah azab dan binasakan semuanya! Tetapi Allah s.w.t bagi tempoh semoga mereka insaf kembali kepada Allah s.w.t. Yang kufur dan syirik menjadi beriman, yang tholeh menjadi orang yang soleh, yang jahat jadi baik.

Yakni Allah beri peluang untuk bertaubat dan kembali kepada-Nya! Sedang semua makhluk itu di bawah kuasa Allah s.w.t, tidak akan ada sesiapa yang akan terlepas dari-Nya.
Alhamdulillah kita bersyukurlah kepada Allah s.w.t atas nikmat peluang yang diberi ini.

5. Kata as-Sam\’ani rhm.: ulama\’ berbeza pandangan tentang bilakah kata-kata ini dikatakan kepada mereka:
i- kebanyakan ulama\’ tafsir kata ia terjadi pada hari Kiamat- apabila mereka mahu lari dari Hisab, Allah s.w.t lalu hantar malaikat untuk menolak balik mereka kepada tempat perhitungan.

ii- atas dunia iaitu- apabila mereka nak mati dan mahu lari darinya.
Kedua tafsiran ini boleh diterima, samada ia berlaku di dunia atau di akhirat, tiada siapa yang boleh lari dari ketentuan & kuasa Allah s.w.t!

Firman Allah s.w.t:
{\”Dan kamu tidak akan dapat melepaskan diri (dari kekuasaan Allah) di bumi dan tidak juga di langit (sekalipun); dan kamu tidak akan mendapat sebarang pelindung dan penolong yang lain dari Allah\”.} (Al-\’Ankabuut 29:22)

6. Persoalan juga tentang perkataan (بِسُلْطَـٰنٍۢ) di akhir ayat. Apakah makna kekuasaan ini?
i- kekuasaan & kekuatan mereka sendiri untuk keluar jika ada.
ii- ada kata kekuasaan Allah s.w.t.
iii- ada kata makna hujjah yakni dari sudut ilmiah.
iv- dengan kekuasaan kerajaan.
Semuanya tidak boleh lari kerana ayat ini menafikan bukan lagi cabar:- {Kamu tidak akan menembus keluar melainkan dengan satu kekuasaan}.

AYAT 34- {MAKA YANG MANA SATU DI ANTARA NIKMAT-NIKMAT TUHAN KAMU, YANG KAMU HENDAK DUSTAKAN?} (AR-RAHMAAN 55:34)

  1. Allah s.w.t tanya lagi selepas cabaran ini. Ini adalah soalan ke-10.
    Jawapannya tiada ya Allah. Kita bersyukur atas segalanya.

AYAT 35- {KAMU (WAHAI GOLONGAN YANG KUFUR INGKAR DARI KALANGAN JIN DAN MANUSIA) AKAN DITIMPAKAN DENGAN API YANG MENJULANG-JULANG DAN LEBURAN TEMBAGA CAIR (YANG MEMBAKAR); DENGAN YANG DEMIKIAN, KAMU TIDAK AKAN DAPAT MEMPERTAHANKAN DIRI (DARI AZAB SEKSA ITU);} (AR-RAHMAAN 55:35)

  1. Ancaman lagi terhadap golongan yang kufur ingkar dari kalangan jin & manusia! Ayat ini adalah amaran keras akan jenis azab di akhirat nanti.
  2. Allah s.w.t akan hantar api yang besar menjulang, terlalu panas sehingga tidak ada asap darinya! Juga cairan tembaga untuk disiram ke atas mereka sebagai satu lagi jenis azab!
  3. Kita minta perlindungan dari Allah s.w.t dari segala azab Allah s.w.t samada yang disebut atau yang tidak disebut!

AYAT 36- {MAKA YANG MANA SATU DI ANTARA NIKMAT-NIKMAT TUHAN KAMU, YANG KAMU HENDAK DUSTAKAN?} (AR-RAHMAAN 55:36)

  1. Allah s.w.t tanya lagi dengan soalan yang ke-sebelas ini.
  2. Munasabah ayat: Setelah Allah s.w.t nyatakan amaran-Nya kepada hamba-hamba-Nya- kita kena ingat bahawa amaran ini juga salah satu bentuk nikmat kepada kita- agar kita berhati-hati dan beringat untuk menjauhi dan tinggalkan perkara yang dibenci oleh Allah s.w.t!
  3. Amaran dan dinyatakan jenis azab ini untuk kita berusaha agar selamat darinya! Kerana itulah datangnya soalan yang ke-11 ini.

PENUTUP & FAEDAH :

  1. Ayat 31- {Kami hanya akan menguruskan hitungan dan balasan amal kamu sahaja (pada hari kiamat,) wahai manusia dan jin!}- ulama\’ tadabbur & lughah kata- (سَنَفْرُغُ) Allah s.w.t akan beri masa dan tempoh untuk hamba-Nya, bahawa masa untuk hisab itu akan datang, bukan segera.

Ayat ini juga membawa amaran & peringatan. Sebagaimana orang-orang berkuasa beri amaran kepada yang dibawahnya. Bukan bermakna Allah s.w.t kena selesaikan kerja lain sebelum dapat tumpukan untuk buat perhitungan iini, cuma masanya belum tiba!

Persoalan lagi: Kenapa diguna perkataan jamak {لَكُمْ} bagi kamu semua sedang selepas itu disebut dua kumpulan { ٱلثَّقَلَانِ}?
Kenapa tidak diguna lafaz untuk dua terus (مثنى)?

Jawapan:
Kerana mereka itu adalah dua kumpulan, setiap kumpulan itu ramai (jamak) setip kumpulan jin ada grupnya, begitu juga kumpukan manusia ada grupnya sendiri yang menunjukkan kepada banyak (jamak).

  1. Ayat 33- {Wahai sekalian jin dan manusia!}- ayat-ayat dalam surah ar-Rahman ini menunjukkan bahawa jin itu ada taklif Syara\’ sebagaimana kita manusia juga.

Mereka diperintahkan untuk taat dan dilarang daripada berbuat derhaka. Mereka juga diberi pahala dan mendapat dosa atas segala perbuatan dan amalan yang dilakukan. Sama seperti manusia, yang beriman dari kalangan jin seperti manusia yang mukmin, yang kafir dari kalangan jin adalah seperti manusia yang kafir juga.
Allah s.w.t tujukan ucapan kepada dua makhluk ini dengan ayat yang menunjukkan perintah dan larangan, janji baik bagi yang taat dan amaran bagi yang derhaka.

Jin itu mukallaf, cuma mereka tiada nabi sendiri, nabi dan rasul mereka ialah Rasul kita Muhammad s.a.w.

  1. Ayat 33- {Wahai sekalian jin dan manusia! Kalau kamu dapat menembus keluar dari kawasan-kawasan langit dan bumi (untuk melarikan diri dari kekuasaan dan balasan Kami), – ayat ini Allah cabar, beri amaran dan kesedaran kepada manusia bahawa mereka semua duduk di bawah kekuasaan Allah s.w.t! Mereka tidak akan selamat dan terlepas dari kekuasaan Allah s.w.t.

Ini supaya orang yang kafir, zalim dan jahat sedar diri, kembali kepada Allah s.w.t dan berhenti dari kekufuran, keluar dari maksiat yang mereka lakukan sekarang. Mereka tidak boleh keluar dari kss Allah s.w.t!

  1. Ayat 33- {Wahai sekalian jin dan manusia! Kalau kamu dapat menembus keluar dari kawasan-kawasan langit dan bumi.}- ayat ini menjadi dalil yang menunjukkan setiap kawasan ada sempadannya!
    Ahli bumi duduk dalam kawasan bumi, ahli langit duduk dalam kawasan langit.

Tiada siapa yang dapat menembusinya kecuali Rasulullah s.a.w yang dibawa naik oleh malaikat ke langit pada malam Isra\’ & Mikraj.
Diperlihatkan kepada Baginda segala kekuasaan Allah s.w.t di alam yang begitu tinggi! Manusia lain jangan mengaku dan bercakap besar.

  1. Ayat 33- {Wahai sekalian jin dan manusia! Kalau kamu dapat menembus keluar dari kawasan-kawasan langit dan bumi (untuk melarikan diri dari kekuasaan dan balasan Kami),- apabila membincangkan ayat ini, ada yang kata ianya menunjukkan kecanggihan teknologi manusia hari ini. Seperti penciptaan satellite, roket, stesen angkasa, manusia naik ke angkasa dan lain-lain lagi.

Ayat ini bagi sesetengah orang mengatakan benarnya dakwaan jet Apollo pernah naik ke bulan! Ia menjadi perdebatan antara tolibul-ilmu pelajar agama.

Ulama\’ tafsir ada beberapa pendapat:
i- Syeikh al-Amin Syanqiti membahaskan ayat ini dengan panjang dalam kitabnya
{أضواء البيان في إيضاح القرآن بالقرآن}.

Dibawa beberapa hujjah bahawa ia tidak mungkin berlaku:
i- Ayat ini Allah s.w.t maklumkan bahawa semua makhluk-Nya tidak boleh lari dari kekuasaan Allah s.w.t!

ii- Dalam ayat ini Allah seru jin dan manusia. Sedangkan jin adalah makhluk yang dulunya boleh turun-naik, bebas terbang ke langit sehinggalah kebangkitan Rasulullah s.a.w barulah mereka dihalang.
Jin ini tidak perlukan alat & teknologi canggih seperti manusia untuk naik ke langit, sedangkan dalam ayat ini Allah cabar dan sebut jin dulu!

Maka ayat ini bukan ayat Apollo tetapi ayat cabaran untuk melepaskan diri dari kekuasaan Allah s.w.t!

iii- ayat ini ayat mencabar manusia bahawa tidak ada siapa yang boleh lari dan selamat daripada kekuasaan Allah s.w.t!
Cubalah guna teknologi secanggih manapun, kamu tidak akan mampu!

Powered by BetterDocs