SURAH AL-MUZZAMMIL : AYAT 5-9

\"\"

NABI S.A.W MENERIMA TUGAS BERAT, QIYAMULLAIL PENGUAT JIWA & BANYAK BERZIKIR.

Full video : https://youtu.be/9AZ7EOmnFhg?si=3EI8MfnsOTXKqBl5

MUQADDIMAH :

  1. Dalam siri ini Allah s.w.t menyuruh Nabi s.a.w memperbanyakkan berdiri malam, solat tahajjud dan beribadat kerana Baginda akan menerima tugas berat.
  2. Jadi qiyamullail adalah sebagai penguat jiwa, sebagai persediaan untuk Baginda s.a.w menjalankan tugasnya menyampaikan dakwah dengan wahyu yang disampaikan kepadanya.
  3. Kebetulan ayat yang kita tadabbur ini sempena dengan masuknya Ramadhan semoga ia menjadi motivasi & penguat semangat untuk kita berdiri malam dan beribadat sebanyak mungkin!
  4. Allah s.w.t juga menyuruh kita untuk memperbanyakkan berzikir dan mengingati Allah s.w.t sepenuhnya tanpa menyekutukan-Nya dengan sesuatu apa-pun.
  5. Munasabah ayat:
    i- dalam ayat sebelum ini Allah s.w.t perintahkan Rasulullah s.a.w untuk bangun beribadat solat malam & berzikir kepada Allah s.w.t. Untuk kuatkan semangat, kentalkan jiwa dan mengajar kesabaran.

ii- maka ayat ini adalah jawapan kenapa kena bangun solat malam; kerana Allah s.w.t akan menurunkan tugas yang berat iaitu al-Quran yang mengandungi hukum perundangan yang berat ke atas manusia. Maka antara persiapan yang perlu dibuat ialah solat malam!

AYAT 5- {(SAYUGIALAH ENGKAU DAN PENGIKUT-PENGIKUTMU MEMBIASAKAN DIRI MASING-MASING DENGAN IBADAT YANG BERAT KEPADA HAWA NAFSU, KERANA) SESUNGGUHNYA KAMI AKAN MENURUNKAN KEPADAMU WAHYU (AL-QURAN YANG MENGANDUNGI PERINTAH-PERINTAH) YANG BERAT (KEPADA ORANG-ORANG YANG TIDAK BERSEDIA MENYEMPURNAKANNYA).} (AL-MUZZAMMIL 73:5)

  1. Allah s.w.t memerintahkan Rasulullah s.a.w dan para pengikutnya untuk membiasakan diri beribadat & melawan hawa nafsu.
    Ia sebagai satu latihan dan persediaan.
  2. Ini kerana Allah katakan kami akan turunkan ke atas kamu satu perkataan / tugasan yang berat {قَوْلًۭا ثَقِيلًا} iaitu al-Quran.
  3. Al-Quran itu berat kerana ada taklif, ada undang-undang yang menjadi Syari\’ah hukum-hakan kepada manusia.
  4. Kata Ibnu Juzai tentang makna {قَوْلًۭا ثَقِيلًا} ini juga: Bahawa ulama\’ berbeza pendapat tentang kenapa al-Quran itu berat kepada 5 pandangan:

i- dinamakan berat kerana apabila turunnya wahyu kepada Rasulullah s.a.w ia amat berat.
Iaitu apabila wahyu turun walaupun pada musim sejuk dingin, tetap berpeluh dahinya kerana amat berat. Jika Baginda s.a.w sedang berada dia atas unta, unta itu akan duduk. Ini adalah berat secara fizikal.

HADIS-HADIS :

a- UM Aisyah r.a berkata, \”Aku pernah melihat Nabi ketika diturunkan wahyu kepadanya pada hari yang sangat dingin, lalu wahyu selesai darinya sementara keningnya penuh dengan keringat,\” (HR Bukhari & Muslim).

b- Hadis riwayat Zaid bin Thabit r.a:
Pernah terjadi turunnya wahyu ketika paha Rasulullah s.a.w berada di atas pahaku. Aku berasa sangat keberatan dan khuatir jika pahaku hancur, hampir saja tidak kuat menahannya. [HR Bukhari].

ii- berat ke atas orang kafir. apabila dengar al-Quran mereka terduduk tidak boleh nak lawan & cabarnya. Tetapi malangnnya anak-anak orang Islam sendiri pula yang merendahkan al-Quran!

iii- berat pada timbangan di Akhirat kelak. Sesiapa yang mahu mizan timbangannya berat dengan kebaikan, bacalah al-Quran banyak-banyak.

iv- ucapan & bahasa al-Quran amat tersusun & teratur, pakar bahasa tidak dapat melawannya.

v- beratnya al-Quran ini kerana undang-undang yang terkandung di dalamnya seperti hukum hudud. Penzina direjam, pembunuh dibunuh balas, pencuri dipotong tangan dan lain-lain.

banyak lagi sebabnya tetapi cukuplah 5 ini dulu untuk kita fahami bahawa al-Quran itu berat secara mental & fizikal.

AYAT 6- {SEBENARNYA SEMBAHYANG DAN IBADAT MALAM LEBIH KUAT KESANNYA (KEPADA JIWA), DAN LEBIH TETAP BETUL BACAANNYA.} (AL-MUZZAMMIL 73:6)

  1. Solat & ibadat malam akan lebih memberi kesan kepada jiwa {أَشَدُّ وَطْـًۭٔا}.
  2. Ini kerana ia adalah lebih berat & lebih susah daripada solat & ibadat pada waktu siang, ia adalah waktu tidur, sunyi semua orang tidur. Maka jika kita boleh bangun kita adalah orang yang kuat {أَشَدُّ وَطْـًۭٔا}.
  3. Baacan & solat kita juga adalah lebih tenang {وَأَقْوَمُ قِيلًا } dan ikhlas kepada Allah s.w.t, hanya kita dengan Allah s.w.t pada waktu yang sangat berharga, iaitu satu pertiga malam.
  4. Hadis- Sabda Rasulullah S.A.W:
    \”Tuhan kita turun ke langit dunia setiap malam ketika tinggal satu pertiga malam terakhir lalu berfirman: \”Sesiapa meminta kepada AKU, AKU akan tunaikan permintaannya. Sesiapa beristighfar kepada AKU, AKU akan mengampuni dosanya.\” (Sahih al-Bukhari dan Muslim)

AYAT 7- {(KAMI GALAKKAN ENGKAU DAN UMATMU BERIBADAT PADA WAKTU MALAM), KERANA SESUNGGUHNYA ENGKAU PADA SIANG HARI MEMPUNYAI URUSAN-URUSAN YANG PANJANG KIRA BICARANYA;} (AL-MUZZAMMIL 73:7)

  1. Solat & ibadat malam ini adalah peruntukan untuk kita beribadat kepada Allah s.w.t kerana pada waktu siang manusia mencari rezeki bekerja, makan minum dan lain-lain.
  2. Tetapi manusia sekarang ini sudah bertukar & terbalik keadaannya, masih melakukan segala aktiviti siang pada waktu malam yang sepatutnya kita beribadat! Kedai makan beroperasi 24 jam!
  3. Munasabah ayat:
    i- Allah sebut di awal surah tentang ibadat malam & betapa besar kesan dan pahalanya.

ii- ini kerana pada waktu siang kamu ada tugas lain, maka peruntukkanlah waktu malam itu untuk beribadat bermunajat kepada Allah s.w.t!

AYAT 8- {DAN SEBUTLAH (DENGAN LIDAH DAN HATI) AKAN NAMA TUHANMU (TERUS MENERUS SIANG DAN MALAM), SERTA TUMPUKANLAH (AMAL IBADATMU) KEPADANYA DENGAN SEBULAT-BULAT TUMPUAN.} (AL-MUZZAMMIL 73:8)

  1. Wahai Muhammad s.a.w sebutlah nama Tuhanmu pada setiap waktu dan buanglah segala perkara yang boleh melekakan & menghanyutkan daripada mengingati Allah s.w.t!
  2. Tumpukan amal ibadat dengan berzikir kepada kepada Allah s.w.t dan hanya ikhlas kepada-Nya Yang Esa semata-mata!
    Putuskan ibadat daripada terikat kepada manusia, kepada dunia yang boleh melarikan tujuan asal ibadat.
  3. Segala jenis zikir digalakkan seperti zikir pagi petang, zikir pergerakan bermula dari bangun tidur sehingga tidur pula pada waktu malam.
    Pilihlah zikir yang ma\’thur (sahih) dari Rasulullah s.a.w.
  4. Ada ulama\’ kata ia adalah kita seru nama Allah s.w.t dengan nama-namanya yang indah
    (الأسماء الحسنى).
  5. Firman Allah s.w.t:
    {Wahai orang-orang yang beriman, (untuk bersyukur kepada Allah) ingatlah serta sebutlah nama Allah dengan ingatan serta sebutan yang sebanyak-banyaknya;
    Dan bertasbihlah kamu kepadaNya pada waktu pagi dan petang.} [Al-Ahzaab 33: 41-42]

AYAT 9- {DIA LAH TUHAN YANG MENGUASAI TIMUR DAN BARAT; TIADA TUHAN MELAINKAN DIA; MAKA JADIKANLAH DIA PENJAGA YANG MENYEMPURNAKAN URUSANMU.} (AL-MUZZAMMIL 73:9)

  1. Munasabah ayat:
    i- Allah s.w.t perintahkan supaya berzikir kepada Allah s.w.t semata-mata, putuskan segala kaitan dengan makhluk, ikhlaskannya kepada Allah s.w.t.

ii- maka dalam ayat ini Allah s.w.t nyatakan sebabnya; iaitu kerana Allah s.w.t adalah Tuhan Sekelian Alam ini, Tuhan yang menguasai timur dan barat, Pemilik & Pengaturnya.

Dalam siri yang lepas sudah ada perbincangan tentang kalimah timur & barat ini jika mufrad (single) dan Muthanna (dua). { رَّبُّ ٱلْمَشْرِقِ وَٱلْمَغْرِبِ}

  1. Dijelaskan bahawa tiada Tuhan melainkan Allah; maka jadikanlah Dia sebagai Wakil, Pelindung & Penjaga yang menyempurnakan segala urusan.

PENUTUP & FAEDAH :

  1. Ayat 5- {(Sesungguhnya Kami akan menurunkan kepadamu wahyu (Al-Quran yang mengandungi perintah-perintah) yang berat (kepada orang-orang yang tidak bersedia menyempurnakannya).}-Allah nyatakan bahawa akan diturunkan ke atas Rasulullah s.a.w al-Quran yang berat.

Kata ulama\’ tadabbur apabila ayat ini diturunkan, ayat-ayat al-Quran yang turun baru sedikit saja.
Maka Allah s.w.t beri peringatan bahawa Dia akan turunkan lebih banyak lagi ayat-ayat al-Quran, maka buatlah persediaan untuk menghadapi dan menerimanya!

Kata Imam Malik rhm.: Sesiapa yang ditanya hukum kepadanya, kamu lihat dulu samada jawapan kamu itu akan membawa kamu ke syurga atau ke neraka!
Yakni jika kamu tidak ada ilmu dan maklumat tentangnya jangan pandai-padai kamu menjawabnya.

Beliau sendiri pernah ditanya orang dan menjawab:
\”La Adri\” Aku tidak tahu.
Apabila ditanya kenapa tidak tahu, ini hanyalah persoalan yang ringan sahaja, takkan kamu tidak boleh menjawabnya!
Maka jawab Imam Malik dengan marah: Setiap benda yang terlibat dengan ilmu dan hukum tiada yang ringan!
Lalu dia membacakan ayat ini: Ayat 5- {(Sesungguhnya Kami akan menurunkan kepadamu wahyu (Al-Quran yang mengandungi perintah-perintah) yang berat.}
Maka semua ilmu tentang Allah, tentang Rasul, tentang halal-haram itu berat, dan kamu akan ditanya di Akhirat kelak tentang ilmu yang kamu sebarkan & ajar.

  1. Ayat 7- {(Kami galakkan engkau dan umatmu beribadat pada waktu malam), kerana sesungguhnya engkau pada siang hari mempunyai urusan-urusan yang panjang kira bicaranya.}- kata ulama\’ dari ayat ini adalah pesanan dan peringatan untuk para pendakwah.

Bila kita tau kita akan menerima tugas yang berat seperti pendakwah; maka kita hendaklah membuat persiapan yang rapi, perbanyakkan ibadat & munajat kepada Allah siang & malam; lebih-lebih lagi bangun beribadat pada waktu malam, kerana ia amat susah nak bangun, orang yang boleh bangun qiyamullail ialah orang yang kuat!

Ya Allah, jadikan kami dari golongan yang boleh bangun beribadat pada waktu malam ini!

Kata ibnu \’Ijlan rhm.: Kekuatan jiwa seorang mukmin adalah di dalam hatinya!
Ada orang tua yang boleh berpuasa pada musim panas, bertongkat ke masjid, bersandar untuk qiyam solat!
Tetapi ada orang muda boleh berlari atau mengayuh basikal berkilo-kilo tetapi nak melangkah ke masjid 50 langkah tidak mampu!
Boleh berjaga malam untuk berhibur dan berbual makan-makan, tetapi tidak untuk beribadat kepada Allah!
Allahu al-Musta\’an!

  1. Ayat 7- {(Kami galakkan engkau dan umatmu beribadat pada waktu malam), kerana sesungguhnya engkau pada siang hari mempunyai urusan-urusan yang panjang kira bicaranya.}- Allah kata berdiri malam itu susah tetapi lebih tenang untuk solat & baca al-Quran.

Maka dalam ayat ini Alllah s.w.t nyatakan kelebihan solat & beribadat pada waktu malam, ia lebih afdhal daripada solat sunat & baca al-Quran pada waktu siang.

Maka sesiapa yang bangun malam untuk beribadat maka lebih besar pahalanya, lebih banyak kebaikan & kelebihan untuk jiwanya. sesiapa nak faham & menjiwai al-Quran elok dibaca & tadabbur pada waktu malam kerana ia lebih tenang daripada gangguan!

  1. Ayat 7- {(Kerana sesungguhnya engkau pada siang hari mempunyai urusan-urusan yang panjang kira bicaranya. }- ayat ini kata ulama\’ tadabbur menunjukkan adalah elok untuk kita tidur rehat sekejap (qailulah) pada waktu siang sebagai bekalan untuk bangun malam. Iaitu untuk menuntut ilmu dan beribadat.

Ianya sebagai persiapan untuk kita bangun beribadat pada waktu malam, seperti kita cas bateri kita. Dikatakan syaitan tidak tidur siang maka kita buat juga untuk berlawan dengan sifat syaitan!

  1. Ayat 8- {Dan sebutlah (dengan lidah dan hati) akan nama Tuhanmu (terus menerus siang dan malam), serta tumpukanlah (amal ibadatmu) kepadaNya dengan sebulat-bulat tumpuan.}- Allah s.w.t suruh kita sebut nama Allah selalu, iaitu bertasbih, berzikir & mengingati Allah s.w.t sentiasa.

ZIKIR ITU ADA DUA JENIS :

i- zikir dengan lidah, kita menyebut dan berzikir sebut nama Allah dengan lidah.

ii- zikir dengan hati, kita ingat & fikirkan tentang Allah & keagungan dalam hati kita.

Allah s.w.t juga memerintahkan kita untuk putuskan { وَتَبَتَّلْ } pergantungan dan ingatan kepada makhluk lain hanya bermunajat kepada Allah!

Ada juga perkataan ini dalam hadis Nabi s.a.w yang bermaksud orang yang tidak mahu kahwin!

Semoga dengan kedatangan Ramadhan ini Allah berkati kita, menjadikan kita lebih berusaha perbanyakkan ibadat kita, solat, zikir, baca al-Quran dan puasa ikhlas kerana Allah s.w.t! Kita tidak tahu apakah kita akan bertemu lagi dengan Ramadhan seterusnya!

Powered by BetterDocs