SURAH AL-MUNAFIQUN : AYAT 1-3

\"\"

MUQADDIMAH DAN INTISARI SURAH, ALLAH DEDAHKAN PERANGAI MUNAFIQ & SUMPAH SEBAGAI PERISAI.

Full video : https://youtu.be/Cp1mijrKQwk

MUQADDIMAH SURAH :

  1. Alhamdulillah pada pagi ini, Ahad 8 Jumadal Thani 1444H bersamaan 1hb Januari 2023 kita dapat mulakan pengajian Kuliah tafsir bagi Surah Al-Munafiqun – سورة المنافقون.
  2. Syukur kepada Allah s.w.t kerana kita dapat meneruskan pengajian tafsir al-Quran & tadabburnya.
    Semoga Allah s.w.t kabulkan amalan kita, buka dan cerahkan hati kita untuk menerima panduan & hidayat dari al-Quran ini yang dapat membawa kita syurga-Nya.
  3. Surah Al-Munafiqun adalah surah ke-63 dalam tertib susunan al-Quran, iaitu selepas Surah As-Jumu\’ah dalam juz ke 28, mengandungi 11 ayat.
    Termasuk dalam kumpulan surah Mufassal (المفصل), iaitu surah yang pendek, iaitu sedikit ayatnya.
  4. Sepakat para ulama\’ (ijma\’ ulama\’) mengatakan surah ini Madaniiyyah, yakni turun di Madinah selepas hijrahnya Rasulullah s.a.w ke Madinah.
  5. Ini kerana golongan munafiq hanya muncul di Madinah apabila Islam kuat dan berkuasa. Semasa di Makkah tiada siapa yang berani saja-saja mengaku beriman kerana takut kepada musyrikin Quraisy.

NAMA SURAH :

  1. Dinamakan surah ini sebagai:
    i- Surah Al-Munafiqun – سورة المنافقون. yang bermakna golongan munafiq kerana pada awal Allah s.w.t menerangkan perihal kaum munafiq yang menyelit dalam masyarakat Islam di Madinah, yang menjadi duri dalam daging & musuh dalam selimut.
  2. Allah sebut sifat mereka ini supaya Rasulullah s.a.w dan umatnya yang beriman agar sentiasa berwaspada dan berjaga-jaga dengan kejahatan dan helah mereka. Walaupun ceritanya sudah banyak disebut dalam surah lain tetapi surah ini ditujukan khas tentang perihal golongan munafiq!
  3. Masyhur ia dengan nama Surah Al-Munafiqun – سورة المنافقون sebagaimana yang dikenali dan terdapat dalam beberapa hadis.
  4. Hadis- bahawa:
    أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ كَانَ يَقْرَأُ فِي صَلَاةِ الْجُمُعَةِ سُورَةَ الْجُمُعَةِ وَالْمُنَافِقِينَ .رواه مسلم (879)
    Rasulullah s.a.w telah membaca surat al-Jumu\’ah dan al-Munafiqun pada solat Jumaat\”. (HR. Muslim 879)

INTISARI KANDUNGANNYA :

  1. Pada keseluruhannya Surah ini menceritakan tentang gelagat dan kerenah puak munafiqin yang pada zahirnya kelihatan Islam tetapi pada batinnya tetap kufur dan tidak menyokong Islam. Mereka membuat pakatan dengan yahudi untuk menentang Rasulullah s.a.w.
  2. Kerana tabiat dan sifat mereka yang mementingkan diri dan harta-bendanya semata; maka Allah s.w.t mengingatkan orang yang beriman jangan bersifat sedemikian.
  3. Allah s.w.t juga perintahkan orang yang beriman agar janganlah harta benda dan anak-pinaknya melalaikan mereka dari mengingati Allah s.w.t, dengan mengerjakan suruhan-Nya & meninggalkan larangan-Nya.
  4. Juga hendaklah mereka menderma sebahagian harta yang direzekikan kepada mereka sebelum maut datang menemui mereka. Sehinggalah mereka berkata dengan penuh penyesalan alangkah baiknya jika ajalku dilewatkan supaya aku dapat bersedekah dan menjadi orang yang soleh.
  5. Surah ini diakhiri dengan mengingatkan bahawa Allah s.w.t Dia tidak akan sekali-kali melewatkan ajal manusia atau makhluk yang bernyawa apabila tiba ajalnya.
  6. Bahawa Allah s.w.t amat mendalam pengetahuan-Nya tentang apa yang dikerjakan oleh segala makhluk-Nya.

KELEBIHAN SURAH :

  1. Ia sunat dibaca pada rakaat kedua pada solat Jumaat.
  2. Sebagaimana hadis dari Abdullah bin Abbas r.a bahawa:
    أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ كَانَ يَقْرَأُ فِي صَلَاةِ الْجُمُعَةِ سُورَةَ الْجُمُعَةِ وَالْمُنَافِقِينَ .رواه مسلم (879)
    Rasulullah s.a.w telah membaca surat al-Jumu\’ah dan al-Munafiqun pada solat Jumaat\”. (HR. Muslim 879)

MAQASID/OBJEKTIF SURAH :

  1. Antara objektifnya yang terpenting ialah menzahirkan keadaan orang munafiq dan membuka segala rahsia perancangan jahat mereka & menyatakan bahawa mereka mempunyai jiwa yang jahat dan tidak baik!

ISU PENTING DALAM SURAH :

  1. Allah s.w.t nyatakan sifat munafiqin dan nyatakan buruknya sifat dan perangai mereka yang suka:
    i- berbohong
    ii- bersumpah palsu
    iii- penakut, dia tidak buat kerja depan-depan tetapi menghasut untuk melagakan orang Islam.
  2. Larangan daripada lupa untuk mngingati Allah s.w.t dan larangan daripada lalai berzikir.
  3. Menggalakkan orang mukmin supaya sentiasa taat kepada Allah & infaq harta sebelum tibanya ajal. Tidak boleh lagi sedekah bila dah mati!

MUNASABAH SURAH AL-MUNAFIQUN – سورة المنافقون DENGAN SURAH AL-JUMU\’AH – سورة الجمعة SEBELUMNYA :

Hubung-kait surah ini dengan Surah Al-Jumu\’ah :

  1. Dalam Surah Al-Jumu\’ah Allah s.w.t meyebut tentang orang mukmin.
    ii- Dalam surah ini Allah s.w.t sebut tentang orang yang kafir tetapi berpura-pura beriman, namanya munafiqin.
    iii- Kerana itu Rasulullah s.a.w membaca dua surah ini dalam solat Jumaat supaya orang ramai boleh mendengar akan dua sifat golongan ini.

Dalam rakaat pertamanya surah al-Jumu\’ah, sebagai galakan kepada kaum beriman agar rajin beribadat. Manakala pada rakaat kedua pula Baginda membaca surah \”al-Munafiqun\” sebagai peringatan, herdikan dan amaran kepada golongan munafiq.

  1. Dalam surah Al-Jumu\’ah – disebut tentang yahudi yang mendustakan Rasulullah s.a.w dengan hati & lidah yakni kufur dan menentang secara zahir batin.

ii- Kemudian dalam ayat ini Allah s.w.t menyebut tentang golongan munafiq ini yang hatinya kufur tetapi lidahnya manis mengaku beriman tetapi hati tidak sama sekali!


أَعُوذُ بِاَللَّهِ السَّمِيعِ الْعَلِيمِ مِنْ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ

AYAT 1- {APABILA ORANG-ORANG MUNAFIK DATANG KEPADAMU (WAHAI MUHAMMAD), MEREKA BERKATA: \”KAMI MENGAKUI BAHAWA SESUNGGUHNYA ENGKAU – SEBENAR-BENARNYA RASUL ALLAH\”. DAN ALLAH SEMEMANGNYA MENGETAHUI BAHAWA ENGKAU IALAH RASULNYA, SERTA ALLAH MENYAKSIKAN BAHAWA SESUNGGUHNYA PENGAKUAN MEREKA ADALAH DUSTA.} (AL-MUNAAFIQUUN 63:1)

  1. Apabila orang munafiq datang mengatakan bahawa mereka bersaksi bahawa Rasulullah s.a.w adalah sebenar-benarnya Rasul Allah.
  2. Lalu Allah s.w.t mendustakan atau menafikan persaksian mereka itu dan mengatakannya BOHONG!
  3. Sabab nuzul ayat:
    Dari Zaid bin Arqam bahawa dia mendengar \’Abdullah bin Ubai berkata kepada teman-temannya:
    \”Kamu jangan memberi nafkah kepada orang-orang yang dekat dengan Rasulullah s.a.w sebelum mereka meninggalkan agamanya.
    Kelak apabila kita pulang ke Madinah, pasti orang yang mulia (yakni mereka) akan mengusir orang yang hina (yakni muslim) dari kota itu.\”
    Kejadian ini diterangkan oleh Zaid kepada bapa saudaranya, kemudian bapa saudaranya sampaikan kepada Rasulullah s.a.w.
    Rasulullah memanggil Zaid bin Arqam. Zaid menerangkan kejadian itu kepada Baginda.
    Kemudian Rasulullah s.a.w memanggil Abdullah bin Ubai dan kawan-kawannya. Akan tetapi mereka bersumpah di hadapan Rasulullah s.a.w bahawa mereka tidak pernah berkata demikian.
    Rasulullah s.a.w seolah tidak mempercayai Zaid bin Arqam, bahkan Baginda lebih mempercayai Abdullah bin Ubai.
    Zaid merasa sedih, kerana belum pernah mendapat musibah seperti itu. Ia pun tinggal di rumahnya, dan tidak mahu keluar. Bapa saudaranya berkata: \”Aku tidak bermaksud supaya Rasulullah membenci dan tidak mempercayaimu.\”
    Maka Allah menurunkan ayat ini (Al-Munafiqun: 1) yang menegaskan bahawa kaum munafiqun selalu berdusta; dan ayat ini pun membenarkan ucapan Zaid bin Arqam. Kemudian Rasulullah s.a.w mengutus seseorang kepada Zaid bin Arqam untuk membacakan ayat tersebut, dan menegaskan bahawa Allah membenarkan ucapannya. [HR Bukhari].
  4. Dalam ayat ini dan ayat-ayat berikutnya Allah s.w.t menerangkan sifat orang munafiq yang menyeselit dalam kalangan muslimin di Madinah yang menjadi musuh dalam selimut, api dalam sekam. Ini supaya orang mukmin berhati-hati dan berwaspada dengan mereka.

AYAT 2- {MEREKA MENJADIKAN SUMPAHNYA (ATAU AKUANNYA) SEBAGAI PERISAI (UNTUK MENYELAMATKAN DIRINYA DAN HARTA BENDANYA DARIPADA DIBUNUH ATAU DIRAMPAS), LALU MEREKA MENGHALANG (DIRINYA DAN ORANG LAIN) DARI MENURUT JALAN ALLAH. SESUNGGUHNYA AMATLAH BURUK APA YANG MEREKA TELAH KERJAKAN.} (AL-MUNAAFIQUUN 63:2)

  1. Antara sifat buruk mereka ialah menjadikan sumpah-sumpah palsu mereka pelindung untuk menyelamatkan diri harta bendanya daripada dibunuh atau dirampas oleh orang Islam.
  2. Yakni mereka menyembunyikan kekafiran mereka dengan sumpah itu lalu selamatlah mereka atas dunia ini.
    Ini kerana Allah s.w.t memerintahkan Rasulullah s.a.w untuk menjatuhkan hukuman secara zahir sahaja, yang batin serahkan kepada Allah kerana ia adalah di luar kuasa dan ilmu manusia!
  3. Allah s.w.t sifatkan bahawa sesungguhnya amatlah buruk apa yang mereka telah kerjakan.

AYAT 3- {(PERBUATAN BURUK) YANG DEMIKIAN KERANA MEREKA MENGAKU BERIMAN (DI HADAPAN ORANG-ORANG ISLAM) KEMUDIAN MEREKA TETAP KAFIR SESAMA SENDIRI, MAKA DENGAN SEBAB ITU DIMETERAIKAN ATAS HATI MEREKA; LALU MEREKA TIDAK DAPAT MEMAHAMI (YANG MANA BENAR DAN YANG MANA SALAH).} (AL-MUNAAFIQUUN 63:3)

  1. Keburukan itu kerana mengaku beriman di hadapan orang Islam tetapi mereka kufur apabila sesama mereka, di belakang Rasulullah & orang mukmin.
  2. Yakni walaupun mereka tahu bahawa Rasulullah s.a.w itu benar, mereka tetap mendustakannya maka Allah meteraikan atas hati mereka; lalu mereka tidak dapat memahami yang mana benar dan yang mana salah. Terus sesat dalam keburukan dan kesesatan yang nyata.

PENUTUP & FAEDAH :

  1. Ayat 1- {Apabila orang-orang munafik datang kepadamu (wahai Muhammad), mereka berkata: \”Kami mengakui bahawa sesungguhnya engkau – sebenar-benarnya Rasul Allah\”.}- apa yang mereka saksikan itu benar bahawa Rasulullah s.a.w itu seorang Rasul tetapi kenapa Allah s.w.t bohongkan persaksian munafiqin itu?

JAWAPAN :

Pembohongan yang Allah katakan itu kembali kepada hati mereka kerana secara batinnya mereka tidak percaya, hanya ucapkan dengan mulut secara zahir sahaja. Kerana itu Allah s.w.t bantah terus bahawa sesungguhnya orang munafiq itu berdusta! Allah dedahkan terus pendustaan mereka itu agar tidak memberi pengaruh kepada orang lain!

Bukan Allah s.w.t menafikan bahawa Rasulullah s.a.w itu rasul-Nya, risalahnya benar, tapi Allah mendustakan persaksian munafiq itu!

  1. Ayat 1- {Apabila orang-orang munafik datang kepadamu (wahai Muhammad), mereka berkata: \”Kami mengakui bahawa sesungguhnya engkau – sebenar-benarnya Rasul Allah….}- bukan semua orang yang mengaku Islam dan beriman secara zahirnya adalah benar.
    Kita kena cuba kesan dan test dengan amalan, perbuatan dan percakapannya.
    Jika dia sentiasa menghina agama, hina Allah & Rasul- jelaslah itu tanda-tanda bahawa mereka munafiq dan membenci Islam. Walaupun lidahnya manis mengaku beriman.

Allah menyaksikan bahawa mereka berbohong itu adalah kuasa Allah s.w.t!
Kita sebagai manusia tiada kemampuan dan kuasa untuk melihat apa yang ada dalam hati orang lain!

Ayat ini sekaligus menyatakan sifat berbohong bukanlah sifat orang mukmin.
Bahkan sifat berdusta dan berbohong adalah sifat munafiq, maka kita orang mukmin jangan jadikannya satu kebiasaan yang normal dalam masyarakat sehingga tidak menjadi sesuatu benda pelik dan tidak dianggap kesalahan lagi.

  1. Ayat 2- {Mereka menjadikan sumpahnya (atau akuannya) sebagai perisai (untuk menyelamatkan dirinya dan harta bendanya daripada dibunuh atau dirampas),}- kata ulama\’ tadabbur- ayat ini menunjukkan bahawa hukum Islam ini kita ikut apa yang zahir.

Allah s.w.t tidak jadikan Rasulullah s.a.w jatuhkan hukuman atas dunia ini berbeza dengan apa yang mereka zahirkan. Yang batin serahkan kepada Allah, walaupun Rasulullah s.a.w tahu siapa yang munafiq berdasarkan wahyu dari Allah s.w.t yang memberitahunya.
Rasulullah s.a.w pernah memberikan senarai orang munafiq di Madinah kepada Huzaifah ibnu al-Yaman r.a. Huzaifah menyimpan untuk dirinya tidak memberitahu kepada orang lain, hanya sebagai langkah berjaga-jaga.

Banyak contoh yang menunjukkan Rasulullah s.a.w hanya berhukum melalui apa yang terserlah secara zahir walaupun Baginda mengetahui apa yang sebenarnya berlaku. Supaya tidak menjadi kesusahan kepada khalifah selepas Baginda s.a.w yang tiada wahyu.

Kata Rasulullah s.a.w jika ada antara kamu yang pandai berhujjah dan bercakap mungkin kamu akan menang dan berjaya atas dunia ini, sedangkan kamu salah, maka ingatlah apa yang kamu dapat itu tidak halal bagi kamu dan api neraka menunggu di akhirat kelak!

  1. Ayat 3- {(Perbuatan buruk) yang demikian kerana mereka mengaku beriman (di hadapan orang-orang Islam) kemudian mereka tetap kafir sesama sendiri,}- apa maksudnya Allah s.w.t katakan mereka mengaku beriman kemudian kafir?

Ini kerana mereka bukan benar-benar beriman tetapi hanya mengaku dan mengucap di hadapan Nabi s.a.w & orang mukmin. Tetapi apabila kembali sesama geng mereka kembali menjadi kafir.

Mereka hanya mengaku beriman dengan mulut sahaja tetapi sebenarnya mereka tidak beriman, ini maksudnya ayat ini.

  1. Ayat 3- {Maka dengan sebab itu dimeteraikan atas hati mereka; lalu mereka tidak dapat memahami (yang mana benar dan yang mana salah).}- kata ulama\’ tadabbur manusia ini jika tidak mahu beriman, tidak mahu menerima kebenaran tidak mahu menerima Sunnah Nabi s.a.w, maka ia mempunyai penyakit dalam hati!
    Kemudian Allah s.w.t akan menambah penyakitnya dengan cop dalam hatinya maka ia akan bertambah jauh daripada menerima kebenaran & Islam.

Tidak akan diberi hidayah dan akan semakin jauh dari sunnah Nabi S.A.W, baca al-Quran & Sunnah tidak masuk dalam hati & kepala.
Juga terima sebahagian sahaja apa yang diajar dan dibawa oleh Rasulullah s.a.w maka dia akan semakin jauh dari ajaran Islam yang benar dan Sunnah Nabi s.a.w.

Banyakkanlah berdoa dengan doa ini:

اللَّهُمَّ طَهِّرْ قَلْبِي مِنَ النِّفَاقِ ، وَعَمَلِي مِنَ الرِّيَاءِ ، وَلِسَانِي مِنَ الْكَذِبِ ، وَعَيْنِي مِنَ الْخِيَانَةِ ، فَإِنَّكَ تَعْلَمُ خَائِنَةَ الأَعْيُنِ وَمَا تُخْفِي الصُّدُورُ \”

\”Ya Allah bersihkanlah hatiku dari nifaq, (bersihkanlah) amalku dari riya, (bersihkanlah) lisanku dari dusta, (bersihkanlah) mataku dari pengkhianatan. Sesungguhnya Engkau mengetahui pandangan mata yang khianat dan apa yang disembunyikan didalam dada.\”

Selamatkan kami dari sifat munafiq samada secara iktikad atau amali!

Powered by BetterDocs