SURAH AL-QAMAR : AYAT 33-40

\"\"

KISAH EMPAT: SIKAP KAUM LUT YANG DERHAKA, ORANG MUKMIN DISELAMATKAN & SEBAB MEREKA DIBINASAKAN.

Full video : https://youtu.be/ZFh8K1fsj24

MUQADDIMAH :

  1. Dalam siri ini adalah Kisah keempat dalam surah ini: Allah nyatakan sikap Kaum Lut Yang Derhaka kepada rasul mereka iaitu Nabi Lut as.
  2. Mereka dibinasakan dengan satu azab yang tidak pernah diturunkan sebelum ini, kerana dosa yang mereka buat tidak ada lagi orang yang buat, merekalah pelopor dan pelaku utama jenayah keji seks sejenis (homoseks). Sehingga sekarang jenayah ini disambung dan diteruskan oleh orang yang rosak fitrahnya dan terencat akalnya.
  3. Manakala Orang Mukmin Diselamatkan daripada azab itu.
  4. Allah juga nyatakan Sebab Mereka Dibinasakan.
  5. Munasabah ayat: Kerana kisah Nabi Lut & peristiwa yang berlaku kepada kaumnya adalah sesuatu yang jijik dan dahsyat, yang berlaku setelah kaum Thamud. Berita ini telah tersebar dan diketahui oleh puak Arab yang tinggal di Semenanjung Tanah Arab. Mereka juga telah melihat sendiri tempat kesan kebinasaan peninggalan kaum Lut ini dalam rehlah perdagangan mereka ke Syam (Laut Mati).

Bagaimana Allah gambarkan kebinasaan mereka dengan dibalik bumi & dihujani dengan batu api!

AYAT 33- {(DEMIKIAN JUGA) KAUM NABI LUT TELAH MENDUSTAKAN PERINGATAN DAN AMARAN (YANG DISAMPAIKAN OLEH RASULNYA).} (AL-QAMAR 54:33)

  1. Demikianlah kaum Nabi Lut juga telah mendustakan dengan apa yang dibawa oleh nabi Lut tentang peringatan dan amaran dari Allah s.w.t.

Iaitu azab bagi mereka yang derhaka & tak dengar kata.

  1. Ayat ini ditafsir dengan firman Allah s.w.t juga:
    {Dan (ingatkanlah peristiwa) Nabi Lut tatkala ia berkata kepada kaumnya: \”Sesungguhnya kamu melakukan perbuatan yang keji, yang tidak pernah dilakukan oleh seorangpun dari penduduk alam ini sebelum kamu.
    \”Patutkah kamu mendatangi orang lelaki (untuk memuaskan nafsu syahwat kamu)? Dan kamu memotong jalan lalu-lalang (untuk tujuan jahat kamu)? Dan kamu pula melakukan perbuatan yang mungkar di tempat-tempat perhimpunan kamu?\” Maka kaumnya tidak menjawab selain daripada berkata (secara mengejek-ejek): \”Datangkanlah kepada kami azab dari Allah (yang engkau janjikan itu) jika betul engkau dari orang-orang yang benar\”.} (Al-\’Ankabuut 29: 28-29)
  2. Mereka adalah pelopor maksiat keji hubungan sesama jenis -LGBT, tiada manusia sebelum mereka yang mengamalkannya. Walaupun mereka telah dibinasakan semuanya kaum Nabi Lut ini, tetapi sepanjang zaman ia akan bangkit dan muncul lagi kaum yang melakukan perbuatan fahisyah ini.
  3. Begitulah sebagaimana kata ulama\’, dosa dan perbuatan maksiat keji orang dahulu akan disambut dan dihidupkan balik oleh zaman ini!
  4. Kita cuba hitung berapa kali Allah s.w.t sebut kalimah amaran (ٱلنُّذُرِ) dalam surah ini dan buat analisa kenapa Allah s.w.t mengulang-ulangnya.

AYAT 34- {SESUNGGUHNYA KAMI TELAH MENGHANTARKAN KEPADA MEREKA ANGIN RIBUT YANG MENGHUJANI MEREKA DENGAN BATU, KECUALI KELUARGA NABI LUT, KAMI SELAMATKAN MEREKA (DENGAN MENYURUH MEREKA KELUAR DARI SITU) PADA WAKTU JAUH MALAM,} (AL-QAMAR 54:34)

1.Azab yang membinasakan ke atas mereka ialah Allah hantar angin ribut serta hujan batu api. Ada kata angin yang di dalamnya ada batu, yang penting mereka dilempari batu yang panas lalu dibalikkan bumi.

  1. Mereka semua musnah kecuali keluarga Nabi Lut yang beriman, Allah selamatkan mereka dengan segera keluar dari tempat itu pada waktu tengah malam, sebelum azab datang pada waktu subuhnya!
  2. Firman Allah s.w.t:
    {(Mendengarkan yang demikian tetamunya berkata: \”Wahai Lut! Sesungguhnya kami (adalah malaikat) utusan Tuhanmu. Kaum engkau yang jahat itu tidak sekali-kali akan dapat melakukan kepadamu (sebarang bencana). Oleh itu, pergilah berundur dari sini bersama-sama dengan keluargamu pada tengah malam, dan janganlah seorangpun di antara kamu menoleh ke belakang. Kecuali isterimu, sesungguhnya ia akan ditimpa azab yang akan menimpa mereka (kerana ia memihak kepada mereka). Sesungguhnya masa yang dijanjikan untuk menimpakan azab kepada mereka ialah waktu subuh; bukankah waktu subuh itu sudah dekat?\”} (Hud 11:81)
  3. Kecuali isterinya yang tidak selamat dan turut binasa dalam azab itu juga. Dia tidak melakukan perbuatan keji itu cuma menjadi penyokong & talibarut kaumnya yang fasiq dan jahat itu!
    Sebagai seorang isteri nabi & rasul dia tidak melakukan perbuatan keji itu.

AYAT 35- {SEBAGAI LIMPAH KURNIA DARI KAMI. DEMIKIANLAH KAMI MEMBALAS ORANG-ORANG YANG BERSYUKUR.} (AL-QAMAR 54:35)

  1. Nabi Lut & keluarganya yang beriman itu Allah beri mereka nikmat sebagai limpah kurnia-Nya:
    i- selamat daripada bala.
    ii- binasakan musuh mereka yang jahat itu.
  2. Demikianlah balasan Allah terhadap hamba-Nya yang bertaqwa & bersyukur kepada-Nya.

AYAT 36- {DAN DEMI SESUNGGUHNYA! NABI LUT TELAH MEMBERI AMARAN KEPADA MEREKA MENGENAI AZAB SEKSA KAMI; DALAM PADA ITU, MEREKA TETAP MENDUSTAKAN AMARAN-AMARAN ITU.} (AL-QAMAR 54:36)

  1. Nabi Lut telah memberi amaran dan peringatan dan kaumnya, menakutkan mereka akan bala & bencana yang datang, azab dari Allah jika mereka terus dalam perbuatan keji itu.
  2. Tetapi begitulah mereka memperlekehkan para nabi & rasul, dengan mendakwa Lut hanyalah orang kampung mereka yang biasa. Tidak menghiraukan nasihat & amarannya.
  3. Begitulah kita hari ini, walaupun tidak memperlekehkan rasul, tetapi tidak ikut & dengar ajaran Rasulullah s.a.w juga dikira tidak hirau nasihatnya!

AYAT 37- {DAN DEMI SESUNGGUHNYA! MEREKA TELAH MEMUJUK NABI LUT MENGENAI TETAMUNYA, LALU KAMI HAPUSKAN BIJI MATA MEREKA, SERTA (DIKATAKAN KEPADA MEREKA): RASALAH AZABKU DAN KESAN AMARAN-AMARANKU!} (AL-QAMAR 54:37)

  1. Apabila para malaikat yang menjadi tetamu nabi Lut datang ke rumahnya dalam rupa bentuk jejaka yang tampan, isterinya terus memaklumkan kepada kaumnya!
  2. Ada tafsir kata para tetamu malaikat itu ialah: Jibrail, Mikail & Israfil dalam bentuk rupa pemuda remaja yang tampan dan comel!
  3. Kaum Lut amat berminat, lalu memujuk dan merayu kepada nabi Lut untuk memberikan kepada mereka tetamunya itu untuk mereka berhibur dengannya!
  4. Lalu Allah jadikan mata mereka tidak nampak, hilang penglihatan (فَطَمَسۡنَآ أَعۡيُنَهُمۡ) tidak nampak lagi para tetamu itu.
    Ada ahli tafsir kata Jibril memukul wajah mereka dengan sayapnya lalu menjadi tidak nampak.
  5. Firman Allah s.w.t lagi:
    {Dan kaumnya pun datang meluru kepadanya (dengan tujuan hendak mengganggu tetamunya), sedang mereka sebelum itu sudah biasa melakukan kejahatan.
    Nabi Lut berkata: \”Wahai kaumku!
    Di sini ada anak-anak perempuanku mereka lebih suci bagi kamu (maka berkahwinlah dengan mereka). Oleh itu takutlah kamu kepada Allah, dan janganlah kamu memberi malu kepadaku mengenai tetamu-tetamuku. Tidakkah ada di antara kamu seorang lelaki yang bijak berakal (yang dapat memberi nasihat)?\”
    Mereka menjawab: \”Sesungguhnya engkau telahpun mengetahui bahawa kami tidak ada sebarang hajat kepada anak-anak perempuanmu, dan sebenarnya engkau sedia mengetahui akan apa yang kami kehendaki.\”
    Nabi Lut berkata: \”Kalaulah aku ada kekuatan untuk menentang kamu, atau aku dapat bertumpu ke sesuatu tempat bertahan yang kuat (dari penyokong-penyokong, tentulah aku akan membinasakan kamu)\”.} (Hud 11: 78-80)
  6. Lalu dikatakan kepada mereka: {Rasalah azabKu dan kesan amaran-amaranKu!}
    Ini sebelum turun hujan batu, mereka hilang penglihatan dulu.

AYAT 38- {DAN DEMI SESUNGGUHNYA! MEREKA TELAH DITIMPA AZAB YANG KEKAL PADA PAGI-PAGI HARI (ESOKNYA).} (AL-QAMAR 54:38)

  1. Lalu pagi esoknya turunlah azab yang besar, setelah Nabi Lut dan keluarganya yang beriman keluar dari kampung itu!
  2. Ulama\’ membincangkan apakah maksudnya azab yang kekal itu:
    i- iaitu azab yang berterusan dan tidak putus-putus sehinggalah mereka musnah dan pupus semuanya tidak meninggalkan baki!
  3. Firman Allah s.w.t: {Maka apabila datang (masa perlaksanaan) perintah Kami, Kami jadikan negeri kaum Lut itu diterbalikkan (tertimbus segala yang ada di muka buminya) dan kami menghujaninya dengan batu-batu dari tanah yang dibakar, menimpanya bertalu-talu.
    Batu-batu itu ditandakan di sisi Tuhanmu (untuk membinasakan mereka), dan Ia pula tidaklah jauh dari orang-orang yang zalim itu.} (Hud 11:83)

AYAT 39- {LALU (DIKATAKAN KEPADA MEREKA): RASALAH AZABKU DAN KESAN AMARAN-AMARANKU!} (AL-QAMAR 54:39)

  1. Lalu dikatakan pula kepada mereka: {Rasalah azabKu dan kesan amaran-amaranKu!}

AYAT 40- {DAN DEMI SESUNGGUHNYA! KAMI TELAH MUDAHKAN AL-QURAN UNTUK PERINGATAN DAN PENGAJARAN, MAKA ADAKAH SESIAPA YANG MAHU MENGAMBIL PERINGATAN DAN PELAJARAN (DARIPADANYA)?} (AL-QAMAR 54:40)

  1. Allah s.w.t akhiri kisah ini dengan mengulang lagi ayat ini bahawa sesungguhnya Allah telah memudahkan al-Quran untuk dijadikan peringatan & pengajaran.
  2. Iaitu Allah s.w.t permudahkan al-Quran untuk orang yang nak mengaji, nak belajar, hafaz serta tadabbur memahaminya. Ia sebagai satu galakan untuk orang yang nak belajar bahawa al-Quran itu senang.
  3. Tetapi hati-hati dan ingatlah al-Quran itu ia mudah dihafaz tetapi mudah juga hilangnya jika kita tidak jaga & muraja\’ahnya selalu!
  4. Ada setengah manusia yang takut untuk tadabbur al-Quran, rasa susah; itu adalah permainan syaitan yang mahu memesongkan manusia agar lari & jauh dari al-Quran. Itulah tablis iblis- belitan iblis.
  5. Begitulah masyarakat ini suka cari sesuatu yang pelik dan asing, bukan yang Rasulullah s.a.w ajar.

PENUTUP & FAEDAH :

  1. Ayat 33- {(Demikian juga) kaum Nabi Lut telah mendustakan peringatan dan amaran (yang disampaikan oleh Rasulnya).} – dalam ayat ini Allah sebut kaum Nabi Lut, mereka tiada nama khas seperti kaum Ad atau Thamud, mereka hanya disandarkan kepada nabi & rasul mereka iaitu Nabi Lut.
    Kenapa mereka dinisbahkan kepada kepada Nabi Lut terus?
    Jawapan: Ini kerana mereka adalah kaum lama dan tidak dikenali nama kaum mereka oleh orang Arab.

Dalam surah ini juga tidak diceritakan secara terperinci tentang dakwah Nabi Lut kepada kaumnya ini. Kerana cerita penuh tentangnya sudah ada dalam surah al-A\’raf, surah Hud & surah al-Hijri.

Manakala surah al-Qamar ini mahu memberi amaran kepada golongan musyrikin yang tidak mahu menerima dakwah Rasulullah s.a.w serta tidak mengambil pengajaran serta mereka tahu & lihat apa yang sudah terjadi!

Kaum Arab ini tahu tentang kisah kaum Lut ini cuma tidak kenal & tidak tahu nama khas mereka.

  1. Ayat 34- {Sesungguhnya Kami telah menghantarkan kepada mereka angin ribut yang menghujani mereka dengan batu, kecuali keluarga Nabi Lut, Kami selamatkan mereka (dengan menyuruh mereka keluar dari situ) pada waktu jauh malam,}- berdasarkan ayat ini ulama\’ tafsir mengatakan orang yang melakukan liwat- hukumnya adalah bunuh! Bukan seperti zina yang ada beberapa tahap.

i- Yakni tedapat pendapat yang kuat yang mengatakan sedemikian dan ada perbincangan yang panjang tentangnya.

ii- Dalam ayat ini dikatakan Allah selamatkan keluarga Nabi Lut (ءَالَ لُوطٖۖ). Jika dalam al-Quran kata Aal (keluarga)- ia termasuk sekali bapanya yang disandarkan kepada mereka itu. Yakni Lut juga turut selamat bersama bukan keluargaya sahaja!

iii- Allah sebut pada waktu sahur (بِسَحَرٖ), yakni awal pagi – kerana Allah s.w.t mahu beritahu kepada kita bahawa azab itu datang dengan segera, kerana itu kita jangan sekali-kali menangguhkan arahan & perintah Allah s.w.t!

Jika mereka tak keluar terus pada waktu yang Allah arahkan itu, maka akan musnah bersama kaum yang fasiq itu.

Kita pun jika tahu bahawa benda itu salah & berdosa, jangan kita tangguhkan untuk bertaubat & meninggalkannya. Kerana ajal & maut tidak akan menunggu kita! Kita tidak tahu bilakah kita akan mati!

  1. Ayat 35- {Sebagai limpah kurnia dari Kami. Demikianlah kami membalas orang-orang yang bersyukur.}- kita selamat & binasanya musuh itu adalah tanda dari kurniaan Allah s.w.t.
    Kita kena tahu nikmat itu ada dua keadaan:
    i- kita selamat,
    ii- serta musuh kita binasa!

Demikianlah juga janji Allah s.w.t kepada umat Nabi Muhammad s.a.w ini: Sesiapa yang bersyukur akan mendapat nikmat Allah s.w.t! Allah selamatkan dia dari binasa dan Allah tambahkan nikmatnya yang sedia ada.

Syukur itu dapat:
i- menjaga (حفظ) nikmat yang sedia ada.
ii- menarik (جلب) nikmat yang baru Insya\’ Allah.

  1. Ayat 37- {Dan demi sesungguhnya! Mereka telah memujuk Nabi Lut mengenai tetamunya, lalu Kami hapuskan biji mata mereka, serta (dikatakan kepada mereka): Rasalah azabKu dan kesan amaran-amaranKu!}- ayat ini menjadi dalil bahawa kaum Nabi Lut dibutakan dulu mata mereka sebelum turunnya azab hujan batu.

Ia juga menjadi dalil bahawa sesama lelaki yang melihat kepada pemuda-muda remaja dengan syahwat adalah satu maksiat dan dosa! Sama seperti melihat perempuan dengan syahwat juga.

Kaum nabi Nuh yang melihat tetamu nabi Lut, para malaikat yang menyamar itu dengan pandangan nafsu & syahwat, maka Allah butakan mata mereka!

Maka sesiapa yang mahu Allah butakan mata mereka, maka lihatlah kepada perempuan atau lelaki dengan nafsu & keburukan! Yakni buta mata hati dan gelap perut.

  1. Ayat 39- {Lalu (dikatakan kepada mereka): Rasalah azabKu dan kesan amaran-amaranKu!} – Allah suruh kaum kafir itu merasai amaran-Nya.

Kata ulama\’ amaran itu macamana nak kita nak rasa? Yakni merasai kesannya, mengambil peringatan & pengajaran dari apa yang diberi amaran & ancaman.

Ulama\’ lughah kata lafaz rasa (فَذُوقُواْ) itu:
Digunakan kepada setiap benda yang kita boleh alami kesakitan dan keselesaannya. Yakni bukan rasa dengan lidah saja, tetapi boleh juga dengan hati & perasaan.

Sekian; ingat Jumaat- ingat Selawat dan jangan lupa baca surah Al Kahfi.

Powered by BetterDocs