SURAH AZ-ZARIYAT : AYAT 15-19

\"\"

NIKMAT BAGI ORANG BERTAQWA & BEBERAPA AMALAN MEREKA.

Full video : https://youtu.be/d-9m8I6RZ0U

MUQADDIMAH :

  1. Dalam siri ini Allah s.w.t beritahu bagi orang yang bertaqwa Syurga yang begitu indah dan banyak nikmatnya.
  2. Apakah sifat dan kriteria orang yang bertaqwa ini sehingga melayakkan mereka mendapat anugerah ini?
  3. Antaranya ialah mereka:
    i- banyak beribadat pada waktu malam.
    ii- berinfaq fi-sabilillah.
  4. Munasabah ayat: Setelah diterangkan keadaan orang yang ingkar dan balasan buruk yang disediakan untuk mereka; maka dalam ayat ini dan ayat-ayat yang berikutnya Allah s.w.t menceritakan pula perihal orang-orang yang beriman dan balasan sebaiknya yang akan diterima oleh mereka.
    الله اجعلنا من المتقين
    Ya Allah jadikan kami dari golongan orang yang bertaqwa!
  5. Allah s.w.t juga sebut dalam ayat yang lepas sesiapa yang bebas diri dari fitnah dengan bertaqwa kepada Allah akan mendapat syurga yang mengalir mata air di dalamnya.

AYAT 15- {SESUNGGUHNYA ORANG-ORANG YANG BERTAQWA ADALAH DITEMPATKAN DI DALAM BEBERAPA TAMAN SYURGA, DENGAN MATAIR-MATAIR TERPANCAR PADANYA.} (AZ-ZAARIYAAT 51:15)

  1. Allah s.w.t nyatakan bahawa orang yang bertaqwa iaitu mereka yang takut kepada azab dan kemurkaan Allah dengan melakukan segala yang diperintahkan dan menjauhi segala yang dilarang-Nya akan ditempatkan dalam syurga-Nya.
  2. Mereka ini akan duduk tenang dalam kebun-kebun yang indah dengan sungai-sungai dan mata air yang mengalir.
  3. Firman Allah s.w.t: {Sesungguhnya orang-orang yang bertaqwa (akan ditempatkan) di tempat tinggal yang aman sentosa. Ia itu di dalam beberapa taman Syurga, dengan matair-matair terpancar padanya.} (Ad-Dukhaan 44: 51-52)
  4. Hadis dari Anas bin Malik r.a, bahawa Ummu Rubayyi\’- ibu kepada Harithah bin Suraqah r.a yang mati terkena panah semasa peperangan Badar, tetapi tidak diketahui dari sudut mana, yakni orang muslim atau kafir yang panahnya.

Lalu beliau datang bertanya kepada Rasulullah s.a.w:
\”Wahai Nabi Allah, beritahukan kepadaku tentang anakku, Harithah!\” Rasulullah menjawab, \”Wahai ibu Harithah, bersabarlah. Harithah terbunuh di medan perang.\” Ibu Harithah bertanya lagi tentang hal yang sama. Rasulullah juga menjawab dengan jawaban yang sama.
Kemudian, ibu Harithah bertanya lagi, \”Wahai Rasulullah aku tahu anakku terbunuh di jalan Allah. Namun, aku ingin mengetahui apakah ia di syurga atau di neraka?\” \”Wahai ibu Harithah, sesungguhnya syurga itu memiliki tingkatan-tingkatan. Sungguh, anakmu berada di dalam syurga Firdaus yang tertinggi.\” [HR Bukhari].

Kita dalam masalah benda ghaib jangan pandai-pandai buat analisa dan hukum sendiri, bahawa orang itu ahli syurga, orang itu husnu-khatimah matinnya dan lain-lain kerana benda yang tak nampak. Kecuali ada nas, apa yang diberitahu oleh Allah dan Rasulullah s.a.w yang mendapat wahyu dari Allah.

AYAT 16- { (KEADAAN MEREKA DI SANA) SENTIASA MENERIMA NIKMAT DAN RAHMAT YANG DIBERIKAN KEPADANYA OLEH TUHAN MEREKA. SESUNGGUHNYA MEREKA DI DUNIA DAHULU ADALAH ORANG-ORANG YANG BERBUAT KEBAIKAN.} (AZ-ZAARIYAAT 51:16)

  1. Keadaan mereka di dalam syurga itu pula menerima dan menikmati- mengambil { ءَاخِذِينَ} segala nikmat syurga yang Allah s.w.t anugerahkan kepada mereka.
  2. Ada pandangan kedua yang mengatakan bahawa makna mengambil { ءَاخِذِينَ} ini lain. Seperti Imam Jarir rhm. pula berkata: Mereka itu beramal di dunia dengan amalan fardhu lalu mereka telah mengambil dan menerima, beramal dengan semua yang diperintahkan Allah s.w.t.
  3. Kata Ibnu Kathir rhm. pandangan kedua ini juga diambil daripada Ibnu Abbas r.a tetapi satu analisa yang perlu diperhalusi lagi (kerana tidak kuat dan dhaif sanadnya). Kerana ikut susunan ayat ia adalah cerita di dalam syurga, tidak mungkin kembali kepada cerita di dunia pula.
    *Jadi pandangan yang lebih sesuai adalah yang pertama- wallahu a\’lam.
  4. Sebagaimana firman Allah s.w.t: {Mereka bersenang lenang dengan apa yang dikurniakan oleh Tuhan mereka, dan mereka dipelihara Tuhan dari azab neraka.} (At-Tuur 52:18)
  5. Hadis-hadis tentang nikmat syurga lagi:
    i- Allah s.w.t berfirman kepada ahli syurga bertanya apakah mereka telah redha. [HR Bukhari & Muslim]. ***

ii- Daripada Suhaib R.A, bahawa Rasulullah S.A.W membaca ayat 26 dari surah Yunus lalu bersabda:
إِذَا دَخَلَ أَهْلُ الْجَنَّةِ الْجَنَّةَ – قَالَ – يَقُولُ اللَّهُ تَبَارَكَ وَتَعَالَى تُرِيدُونَ شَيْئًا أَزِيدُكُمْ فَيَقُولُونَ أَلَمْ تُبَيِّضْ وُجُوهَنَا أَلَمْ تُدْخِلْنَا الْجَنَّةَ وَتُنَجِّنَا مِنَ النَّارِ – قَالَ – فَيَكْشِفُ الْحِجَابَ فَمَا أُعْطُوا شَيْئًا أَحَبَّ إِلَيْهِمْ مِنَ النَّظَرِ إِلَى رَبِّهِمْ عَزَّ وَجَلَّ

Maksudnya: Apabila seorang ahli syurga memasuki syurga, Allah Tabaraka wa Ta\’ala berfirman: \”Apakah kamu ingin aku tambahkan lagi nikmat kepadamu?\” Mereka menjawab: \”Tidakkah Engkau telah memutihkan wajah-wajah kami? Tidakkah Engkau telah memasukkan kami ke dalam syurga dan menyelamatakan kami daripada api neraka?\”
Lalu Allah S.W.T membuka hijab (dan menampakkan diri-Nya, dan tidaklah mereka itu diberikan sesuatu yang lebih mereka cintai berbanding nikmat melihat Tuhan mereka Allah \’Azza wa Jalla.\” [HR Muslim (181)]

  1. Sesungguhnya mereka ini yang mendapat keredhaan Allah & memandang wajah-Nya adalah orang yang semasa di dunianya bersifat dengan ihsan dengan dan sentiasa berbuat kebaikan!
  2. Ihsan ini sebagai dalam hadis Jibril datang berjumpa Rasulullah s.a.w:
    \”Apakah itu Ihsan? Baginda menjawab: \’Sesungguhnya kamu beribadat kepada Allah seolah-olah kamu melihatnya, walaupun kamu tidak melihatnya, akan tetapi Allah melihat kamu.\’\” (HR Bukhari dan Muslim)
  3. Ihsan itu ialah menunaikan hak-hak Allah dan menjaga hak sesama manusia.
  4. Ini adalah sifat mereka yang pertama (مُحۡسِنِينَ).

AYAT 17- {MEREKA SENTIASA MENGAMBIL SEDIKIT SAHAJA: MASA DARI WAKTU MALAM, UNTUK MEREKA TIDUR.} (AZ-ZAARIYAAT 51:17)

  1. Mereka ini selain menjaga tauhid, mereka juga menjaga ibadat.
  2. Mereka hanya tidur sedikit sahaja pada waktu malam, mereka bangun berjaga membuka mata; bangun untuk bermunajat, beribadat kepada Allah s.w.t!
  3. Bukan bangun untuk berbuat sebaliknya: Kata AAM- Jika tidak mampu buat ibadat jangan pula kamu buat maksiat!
  4. Banyak sekali ayat-ayat al-Quran tentang bangun malam:
    i- {Dan bangunlah pada sebahagian dari waktu malam serta kerjakanlah \”sembahyang tahajjud\” padanya, sebagai sembahyang tambahan bagimu; semoga Tuhanmu membangkit dan menempatkanmu pada hari akhirat di tempat yang terpuji.} (Al-Israa\’ 17:79)

ii- {Dan mereka (yang diredhai Allah itu ialah) yang tekun mengerjakan ibadat kepada Tuhan mereka pada malam hari dengan sujud dan berdiri,} (Al-Furqaan 25:64)

iii- {Mereka merenggangkan diri dari tempat tidur, (sedikit sangat tidur, kerana mengerjakan sembahyang tahajjud dan amal-amal soleh); mereka sentiasa berdoa kepada Tuhan mereka dengan perasaan takut (akan kemurkaanNya) serta dengan perasaan ingin memperolehi lagi (keredaanNya); dan mereka selalu pula mendermakan sebahagian dari apa yang Kami beri kepada mereka.} (As-Sajdah 32:16)

iv- {\”(Engkaukah yang lebih baik) atau orang yang taat mengerjakan ibadat pada waktu malam dengan sujud dan berdiri sambil takutkan (azab) hari akhirat serta mengharapkan rahmat Tuhannya?} (Az-Zumar 39:9)

v- {Bangunlah sembahyang Tahajjud pada waktu malam, selain dari sedikit masa (yang tak dapat tidak untuk berehat),
Iaitu separuh dari waktu malam, atau kurangkan sedikit dari separuh itu,
Ataupun lebihkan (sedikit) daripadanya; dan bacalah Al-Quran dengan \”Tartil\”.} (Al-Muzzammil 73: 2-4)

vi- {Dan (dengan apa keadaanpun maka) pada sebahagian dari waktu malam sujudlah kepada Tuhan (dengan mengerjakan sembahyang), dan (seboleh-bolehnya) bertasbihlah memujiNya (dengan mengerjakan sembahyang Tahajjud), pada sebahagian yang panjang dari waktu malam.} (Al-Insaan 76:26)

  1. Hadis- Dari Abdullah ibnu Salam r.a- bekas pendeta yahudi yang masuk Islam- katanya: Antara pesanan pertama yang aku dengar dari Rasulullah s.a.w di Madinah ialah:
    \”Sebarkanlah salam, sentiasa menjamu makan, hubungi silaturrahim dan bangun solat pada waktu malam di kala orang lain tidur. Maka kamu akan dapat masuk syurga dengan sejahtera!\” [HR at-Tirmizi, Ahmad dan lain-lain].

ii- Dari Ali bin Abi Talib R.A, bahawa Nabi Muhammad S.A.W bersabda:
إِنَّ فِي الْجَنَّةِ غُرَفًا تُرَى ظُهُورُهَا مِنْ بُطُونِهَا وَبُطُونُهَا مِنْ ظُهُورِهَا فَقَامَ أَعْرَابِيٌّ فَقَالَ لِمَنْ هِيَ يَا رَسُولَ اللَّهِ قَالَ لِمَنْ أَطَابَ الْكَلامَ وَأَطْعَمَ الطَّعَامَ وَأَدَامَ الصِّيَامَ وَصَلَّى لِلَّهِ بِاللَّيْلِ وَالنَّاسُ نِيَامٌ
\”Sesungguhnya dalam syurga terdapat bilik-bilik, yang bahagian luarnya nampak terlihat dari bahagian dalamnya, dan bahagian dalamnya nampak terlihat dari bahagian luarnya.\”

Ada seorang Badwi yang bangun berdiri dan kemudian bertanya, \”Untuk siapakah bilik-bilik tersebut, wahai Rasulullah?\”

Rasulullah S.A.W bersabda, \”Bilik-bilik itu untuk orang yang, baik dan lembut ucapannya, memberi makan orang, sentiasa berpuasa, melakukan solat untuk Allah di malam hari ketika manusia sedang tidur.\” (HR at-Tirmizi).

  1. Inilah sifat orang yang bertaqwa yang kedua; iaitu banyak bangun bertahajjud pada waktu malam.

AYAT 18- {DAN PADA WAKTU AKHIR MALAM (SEBELUM FAJAR) PULA, MEREKA SELALU BERISTIGHFAR KEPADA ALLAH (MEMOHON AMPUN).} (AZ-ZAARIYAAT 51:18)

  1. Juga pada waktu sahur iaitu akhir malam sebelum fajar mereka bangun beristighfar kepada Allah s.w.t.
  2. Mereka beristighfar kepada Allah memohon keampunan samada:
    i- bagi dosa-dosa mereka. Yakni kerana kesalahan.
    ii- bagi kecuaian mereka dalam lemahnya beribadat. Yakni kerana kelemahan.
  3. Firman Allah s.w.t: {(Dan juga) orang-orang yang sabar (dalam menjunjung perintah Allah), dan orang-orang yang benar (perkataan dan hatinya), dan orang-orang yang sentiasa taat (akan perintah Allah), dan orang-orang yang membelanjakan hartanya (pada jalan Allah), dan orang-orang yang beristighfar (memohon ampun) pada waktu sahur.} (A-li\’Imraan 3:17)
  4. Hadis- Allah turun ke langit dunia yang layak dengan keagungan-Nya
    يَنْزِلُ رَبُّنَا تَبَارَكَ وَتَعَالَى كُلَّ لَيْلَةٍ إِلَى السَّمَاءِ الدُّنْيَا حِينَ يَبْقَى ثُلُثُ اللَّيْلِ الآخِرُ يَقُولُ: مَنْ يَدْعُونِي، فَأَسْتَجِيبَ لَهُ مَنْ يَسْأَلُنِي فَأُعْطِيَهُ، مَنْ يَسْتَغْفِرُنِي فَأَغْفِرَ لَهُ
    Tuhan kita yang Maha Agung dan Maha Tinggi turun setiap malam ke langit dunia ketika telah berlalu sepertiga malam terakhir.
    Allah berfirman: Siapakah yang berdoa kepadaku, maka aku akan mengabulkannya, Siapa yang meminta kepadaku, maka aku akan memberikannya. Siapa yang memohon ampun kepadaku maka akan Aku ampuni. (HR. Bukhari & Muslim)

AYAT 19- {DAN PADA HARTA-HARTA MEREKA, (ADA PULA BAHAGIAN YANG MEREKA TENTUKAN MENJADI) HAK UNTUK ORANG MISKIN YANG MEMINTA DAN ORANG MISKIN YANG MENAHAN DIRI (DARIPADA MEMINTA).} (AZ-ZAARIYAAT 51:19)

  1. Ini adalah sifat mereka yang keempat: iaitu suka berinfaq, mengkhususkan hartanya, ada bahagian khas bagi orang yang memerlukan bantuan.
  2. Mereka memberikan sedekah harta mereka samada kepada orang miskin yang meminta-minta (السَّآئِلِ) atau mereka yang tidak meminta walaupun ada keperluan.
  3. Rasulullah s.a.w mengajar kepada kita bahawa orang miskin yang tidak meminta-minta itu adalah lebih baik untuk kita cari dan bantunya!
  4. Hadis Riwayat dari Abu Hurairah r.a: \”Yang dinamakan orang miskin (itu) bukanlah orang yang berkeliling-kelalang meminta-minta kepada orang ramai, lalu peminta-minta itu diberi orang (dengan) sesuap dua suap (makanan), atau sebutir dua butir kurma.

Lalu bertanya para sahabat: \”Kalau begitu, siapakah yang dinamakan orang miskin itu ya Rasulullah?\”
Jawab Baginda: \”Orang miskin itu sesungguhnya ialah orang yang tidak memiliki apa-apa untuk menutupi keperluannya, namun keadaannya itu tidak diketahui orang supaya orang bersedekah kepadanya, dan tidak pula dia meminta-minta ke sana-sini.\” [HR Muslim].

  1. Jadi jika kita nak tolong, siasat carilah orang susah dan miskin yang memerlukan bantuan tetapi dia tidak meminta-minta dan menghebahkannya kepada orang ramai.
  2. Lalu mereka ini ialah yang terhalang dari sedekah (ٱلۡمَحۡرُومِ) iaitu orang tidak memberi sedekah kepada mereka; kerana orang menyangka dia tidak perlu sedekah dan bantuan, ini kerana dia tidak meminta dan menzahirkannya kerana baik nafsunya yang tidak tamak.

PENUTUP/BEBERAPA FAEDAH RINGKAS :

  1. Ayat 15- {Sesungguhnya orang-orang yang bertaqwa adalah ditempatkan di dalam beberapa taman Syurga, dengan matair-matair terpancar padanya.}- ayat ini menyatakan dalil secara isyarat dan peringatan bahawa orang yang bertaqwa akan layak masuk syurga.

ii- kenapa Allah s.w.t sebut kebun-kebun (جَنَّٰتٖ) dengan mataair (وَعُيُونٍ)- untuk menunjukkan keindahan syurga dan nikmatnya yang tidak terbayang, ada kebun-kebun yang banyak, yang mengalir dicelah-celahnya mata-air.

  1. Ayat 16- {(Keadaan mereka di sana) sentiasa menerima nikmat dan rahmat yang diberikan kepadanya oleh Tuhan mereka.} – ayat ini menjadi dalil kepada beberapa perkara:
    i- mereka telah terima nikmat Allah.
    ii- mereka redha dengan pemberian Allah.
    iii- mereka telah sampai ke syurga tanpa halangan lagi.
    iv- mereka menerima balasan mengikut amalan.

Kerana mereka atas dunia dulu telah terima perintah Allah s.w.t dengan redha dan akur, maka sekarang mereka terimalah pula balasan kebaikan itu.

  1. Ayat 16- {Sesungguhnya mereka di dunia dahulu adalah orang-orang yang berbuat kebaikan.}- Allah nyatakan bahawa mereka adalah orang berbuat ihsan kebaikan (مُحۡسِنِينَ).

Siapakah mereka ini?
Iaitu mereka yang:
i- mereka beribadat dengan sepenuhnya, menjiwai seolah Allah tengok mereka.

ii- ihsan kepada hamba Allah dengan memberi infaq kepada orang yang memerlukan.

iii- berihsan dengan ilmu mereka kepada orang yang tidak tahu.

iv- ihsan kepada sesama manusia dengan memberi makan dan bercakap lemah-lembut kepada mereka.

Hadis- Rasulullah s.a.w bersabda: \”Sesungguhnya ALLAH S.W.T telah mewajibkan supaya sentiasa bersikap ihsan (baik) terhadap segala sesuatu. Apabila kamu hendak membunuh, maka bunuhlah dengan cara yang paling baik. Apabila kamu hendak menyembelih haiwan, maka sembelihlah dengan cara yang paling baik iaitu dengan menajamkan alat sembelihan dan hendaklah meletakkan haiwan dalam keadaan yang selesa.\” [HR Muslim].

  1. Ayat 17- {Mereka sentiasa mengambil sedikit sahaja: masa dari waktu malam, untuk mereka tidur.}- Allah s.w.t puji mereka dengan sedikit tidur. Allah tidak kata mereka banyak bangun malam atau banyak berjaga malam.

Apakah bezanya?
Jawapan: Ini kerana sebagai isyarat bahawa tidur mereka pun sudah sebagai satu ibadat. Mereka tidur dengan niat untuk mengguatkan tubuh & tenaga untuk bangun beribadat dan berjihad kepada Allah s.w.t.
Mereka tidak tidur banyak kerana sibuk dengan ibadat dan istighfar lalu mereka tidak mempunyai perasaan takabbur dan bangga diri kerana banyak bangun malam!

Kita hari ini sedikit bangun tetapi banyak tular dan hebahan!
Kata ulama\’ tadabbur ayat ini menunjukkan sunat bagun beribadat pada waktu malam dan mencela mereka yang tidur terus, tidak bangun.

Kenapa ibadat besar ini selalu dikaitkan dengan pada waktu malam seperti banyak dalam firman Allah s.w.t ini:
i- {Maha Suci Allah yang telah menjalankan hambaNya (Muhammad) pada malam hari dari Masjid Al-Haraam (di Makkah) ke Masjid Al-Aqsa (di Palestin).} (Al-Israa\’ 17:1)

ii- {Dan bangunlah pada sebahagian dari waktu malam serta kerjakanlah \”sembahyang tahajjud\” padanya, sebagai sembahyang tambahan bagimu; semoga Tuhanmu membangkit dan menempatkanmu pada hari akhirat di tempat yang terpuji.} (Al-Israa\’ 17:79)

iii- {Sebenarnya sembahyang dan ibadat malam lebih kuat kesannya (kepada jiwa), dan lebih tetap betul bacaannya.} (Al-Muzzammil 73:6)

Jawapannya: Ini kerana waktu malam adalah waktu Allah s.w.t buka seluasnya pintu kepada kita. Waktu yang amat istimewa hanya sedikit orang yang mampu melakukannya!

  1. Ayat 18- {Dan pada waktu akhir malam (sebelum fajar) pula, mereka selalu beristighfar kepada Allah (memohon ampun).}- ayat ini menunjukkan bahawa mereka ini bersungguh bangun beribadat pada waktu malam ketika orang tidur supaya orang tidak tahu tentang amalan mereka. Ikhlas kerana Allah s.w.t bukan untuk riya\’ menunjuk kepada manusia.

Kata ar-Razi rhm.: Antara sifat orang yang mulia itu ialah dia banyak buat kebajikan tetapi dia menganggapnya sedikit. Dia juga banyak meminta ampun akan kelemahan dan kekurangannya.
Manakala orang yang akhlak buruk adalah sebaliknya, buat sedikit kebaikan tetapi membesar-besarkannya!

Selepas setiap ibadat yang besar kita digalakkan untuk beristighfar memohon keampunan Allah s.w.t:
i- Rasulullah s.a.w ajar untuk meminta ampun beristighfar selepas solat kerana bimbang ada kekurangan atau kelemahan dalam solatnya.

ii- Allah s.w.t juga menyuruh kita meminta ampun selepas mengerjakan ibadat haji melalui firman-Nya ini:
{Selain dari itu hendaklah kamu bertolak turun dari (Arafah) tempat bertolaknya orang ramai, dan beristighfarlah kamu kepada Allah (dengan memohon ampun), sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.} (Al-Baqarah 2:199)

iii- Maka selepas bangun solat malam kita juga beristighfar takut ada kelemahan dan kekurangannya.

Ya Allah jadikanlah kami dari golongan yang bertaqwa (متقين) dan yang banyak buat kebaikan (مُحۡسِنِينَ).

Powered by BetterDocs