Surah Al-Qiyamah : Ayat 1-6

\"\"

Surah Al-Qiyamah – سورة القيامة
MUQADDIMAH DAN INTISARI SURAH, MUNASABAH & ALLAH BERSUMPAH DENGA QIYAMAT, AJAIB JARI JEMARI.

بِسْمِ اللهِ الرَّحْمٰنِ الرَّحِيْم

Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani.

Full video: https://www.youtube.com/watch?v=bYkP199pWe0

MUQADDIMAH :

  1. Alhamdulillah pada pagi ini, Isnin 12 Ramadhan 1444H bersamaan 3hb April 2023 kita dapat mulakan pengajian Kuliah tafsir bagi Surah Al-Qiyamah – سورة القيامة.
  2. Syukur kepada Allah s.w.t kerana kita dapat meneruskan pengajian dalam tafsir al-Quran & tadabburnya.
    Semoga Allah s.w.t kabulkan amalan kita, buka dan cerahkan hati kita untuk menerima panduan & hidayat dari al-Quran ini yang dapat membawa kita syurga-Nya.
  3. Surah Al-Qiyamah – سورة القيامة adalah surah ke-75 dalam tertib susunan al-Quran, iaitu selepas Surah Al-Muddaththir – سورة المدثر – surah yang kesembilan dalam juz ke 29, mengandungi 40 ayat yang pendek-pendek.
  4. Ulama\’ tafsir ijma\’ mengatakan surah ini Makkiyyah, yakni turun di Makkah sebelum hijrahnya Rasulullah s.a.w ke Madinah.

NAMA SURAH:

  1. Dinamakan surah ini sebagai:
    i- Surah سورة القيامة yang bermakna {Perihal Hari Kiamat} kerana pada ayat pertama surah ini Allah s.w.t bersumpah dengan hari Kiamat { القيامة }- Allah s.w.t juga bersumpah dengan nafsu yang suka mencela tuannya { بِٱلنَّفْسِ ٱللَّوَّامَةِ } bahawa manusia akan dibangkitkan semula sesudah mati.

INTISARI KANDUNGANNYA:

  1. Membentangkan dalil-dalil yang membuktikan kekuasaan Allah s.w.t untuk melaksanakan segala yang dijanjikan-nya.
    Apa yang Allah janjikan pasti akan berlaku!
  2. Pada hari itu manusia diberitahu akan segala yang telah dikerjakan & ditinggalkannya! Bahkan semua anggotanya akan menjadi saksi ke atas dirinya sendiri, tangan-kaki semuanya bercakap. Walaupun ia cuba memberi pelbagai alasan untuk membela dirinya.
  3. Kemudian Allah s.w.t menegaskan kepada orang-orang yang tidak percaya kepada hari Akhirat, ingatlah akan hal keadaan orang yang apabila nyawanya sampai di halkumnya dan anak cucu di sekelilingnya bising berkata siapakah yang dapat menjampinya untuk sembuh!
  4. Tetapi apa boleh buat, malaikat-maut sudah menarik nyawanya & dia sendiri sudah yakin bahawa sesungguhnya saat itu adalah saat perpisahan serta kedahsyatan pun bertindih-tindih.
    Maka kepada Tuhan-mu lah kamu akan dibawa untuk menerima balasan!

MAQASID/OBJEKTIF SURAH:

  1. Objektifnya yang terpenting ialah Allah s.w.t nak sifatkan hari Kiamat, cerita tentang huru-haranya (أهوال) & keadaan (أحوال) manusia ketika itu!

ISU PENTING DALAM SURAH:

  1. Allah peringatkan tentang hari Kiamat & apa yang ada padanya.
  2. Allah nyatakan bahawa Kiamat pasti akan berlaku serta balasan-balasan yang ada di sana.
  3. Allah nyatakan adab mendengar wahyu atau al-Quran, khas untuk nabi s.a.w, kena dengar dulu apabila Jibril bacanya. Dengar dulu jangan bercakap.
    Kita umat Nabi Muhammad juga kena ikut adab ini.
  4. Allah s.w.t sebut tentang berbezanya keadaan orang-orang yang bahagia & orang-orang yang celaka!
    Allah s.w.t muliakan orang yang bahagia dengan janji-Nya. Selain dari dapat masuk ke dalam syurga, mereka dapat memandang wajah Allah s.w.t! Inilah nikmat yang terbesar!
  5. Allah s.w.t ingatkan kita tentang mati, ia adalah permulaan pengembaraan di Akhirat.

YANG berakhir hanya episod perjalanan di dunia, tetapi tidak di akhirat, ia baru bermula.

MUNASABAH SURAH AL-QIYAMAH- القيامة DENGAN SURAH AL-MUDDATHTHIR – سورة المدثر SEBELUMNYA;
HUBUNG-KAIT SURAH INI DENGAN SURAH AL-MUDDATHTHIR
:

  1. Kedua-dua surah ini menceritakan tentang hari Kiamat & hari Akhirat.

i- Allah s.w.t menyebut dalam Surah Al-Muddaththir menyatakan sebab-sebab asal golongan yang tidak mahu beriman kepada Allah s.w.t adalah kerana tidak percaya kepada hari Akhirat (Ayat 53)

ii- Dalam Surah Al-Qiyamah – ini Allah s.w.t bawa dalil-dalil tentang hari Kiamat serta keadaan huru-haranya.

iii- Dalam Surah Al-Qiyamah juga Allah s.w.t tentang keadaan roh yang keluar dari badan manusia kemudian disebut permulaan kejadian manusia! Ini tertib (susunan dari belakang ke depan) tiga kejadian manusia.


أَعُوذُ بِاَللَّهِ السَّمِيعِ الْعَلِيمِ مِنْ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ
بِسْمِ اللهِ الرَّحْمٰنِ الرَّحِيْمِ

AYAT 1- {AKU BERSUMPAH DENGAN HARI KIAMAT;} (AL-QIYAMAH 75:1)

  1. Allah s.w.t mulakan seorang yang mulia ini dengan bersumpah dengan Hari Kiamat.
  2. Iaitu hari manusia akan menerima balasan amalan mereka samada baik atau buruk.
  3. Sebagaimana kata ulama\’: Suratan amalan yang akan terima nanti, kitalah penulisnya! Maka berhati-hatilah!

AYAT 2- {DAN AKU BERSUMPAH DENGAN \”NAFSUL LAWWAAMAH\” (BAHAWA KAMU AKAN DIBANGKITKAN SESUDAH MATI)!} (AL-QIYAMAH 75:2)

  1. Allah s.w.t juga bersumpah dengan \”Nafsul Lawwamah\”; iaitu jiwa yang banyak mencela dan menegur tuannya sendiri semasa dia berbuat baik atau jahat!
    Ia adalah pembisik yang sentiasa menyedarkan kita supaya kita tidak lagha & berasa selesa selalu. Iaitu samada semasa buat baik yang sedikit atau semasa buat jahat!
  2. Bahawa demi sesungguhnya manusia ini akan dibangkitkan kembali sesudah kematian pertama mereka di dunia ini.
  3. Timbul persoalan di kalangan ulama\’ apakah ada dua sumpah di sini atau hanya satu sahaja?
  4. Kata Imam al-Mawardi rhm. tentang ayat ini ada pandangan ulama\’ tafsir:
    i- Ada yang mengatakan ada dua sumpah disini. Pertama Allah bersumpah dengan hari Kiamat kemudian bersumpah dengan Nafsul Lawwamah ini.
    ii- Pendapat kedua iaitu al-Hasan Basri: Tidak hanya ada satu sumpah sahaja iaitu sumpah dengan hari Kiamat tetapi tidak bersumpah dengan Nafsul Lawwamah.

AYAT 3- {PATUTKAH MANUSIA (YANG KAFIR) MENYANGKA BAHAWA KAMI TIDAK AKAN DAPAT MENGUMPULKAN TULANG-TULANGNYA (DAN MENGHIDUPKANNYA SEMULA)?} (AL-QIYAMAH 75:3)

  1. Apakah manusia (orang kafir) itu menyangka Allah s.w.t tidak mampu untuk mengumpul semula tulang-tulang mereka yang telah mati & menghidupkannya semula?
  2. Firman Allah s.w.t juga:
    {Serta ia mengemukakan satu misal perbandingan kepada Kami (tentang kekuasaan itu), dan ia pula lupakan keadaan Kami menciptakannya sambil ia bertanya: \”Siapakah yang dapat menghidupkan tulang-tulang yang telah hancur seperti debu?\”
    Katakanlah: \”Tulang-tulang yang hancur itu akan dihidupkan oleh Tuhan yang telah menciptakannya pada awal mula wujudnya; dan Ia Maha Mengetahui akan segala keadaan makhluk-makhluk (yang diciptakanNya);} (Yaa Siin 36:79)
  3. Kisahnya salah seorang ketua Quraisy datang berjumpa Rasulullah s.a.w membawa tulang reput sambil meramasnya dan bertanya siapakah yang mampu atau berkuasa menghidupkan semula tulang yang hancur ini????
    Lalu Allah s.w.t ajar Rasulullah s.a.w untuk menjawab dengan ayat ini.
  4. Bahawa tulang-tulang itu akan Allah hidupkan dan balik & kamu akan dicampakkan ke dalam neraka!

AYAT 4- {BUKAN SEBAGAIMANA YANG DISANGKA ITU, BAHKAN KAMI BERKUASA MENYUSUN (DENGAN SEMPURNANYA SEGALA TULANG) JARINYA, (TULANG YANG LEBIH HALUS DARI YANG LAIN).} (AL-QIYAMAH 75:4)

  1. Bukan sebagaimana yang kamu sangka, Allah berkuasa menyusun semua tulang-tulang itu, bukan hanya tulang yang besar sahaja, tetapi tulang jari-jemari (بَنَانَهُۥ) yang banyak & tulang yang lebih halus dari yang lain pun Allah berkuasa menyusun dengan sempurnanya!
  2. Bahkan saintis membuat penemuan dan mengesahkan bahawa corak di jari (thumb print) setiap manusia itu berbeza dari satu sama lain! Ini adalah salah satu kekuasaan Allah s.w.t yang amat besar!

AYAT 5- {(KEBENARAN ITU BUKAN TIDAK ADA BUKTINYA), BAHKAN MANUSIA (YANG INGKAR) SENTIASA SUKA HENDAK MENERUSKAN PERBUATAN KUFUR DAN MAKSIAT (DI SEPANJANG HAYATNYA, SEHINGGA IA TIDAK MENGAKUI ADANYA HARI KIAMAT).} (AL-QIYAMAH 75:5)

  1. Semua ini adalah bukti dan dalil-dalil kebenaran & kekuasaan Allah s.w.t. Tetapi mereka tetap kufur & tidak mahu beriman, terus dengan perbuatan kufur dan maksiat di sepanjang hayatnya, ingkar & tidak mengakui adanya hari kiamat.
  2. Yakni bukan kerana tiada ada dalil atau bukti yang nyata di depan mata mereka, tetapi memilih untuk menutup mata & menolak kebenaran itu! Sehinggalah datang Kiamat kepada mereka!
  3. Kiamat itu samada:
    i- Kiamat kecil atau individu iaitu kematian;
    ii- Kiamat besar & umum iaitu hari Kiamat dunia ini!
  4. Kata Ibnu Juzai rhm. maksud (لِيَفْجُرَ أَمَامَهُۥ) ada 3 pandangan:
    i- Dia masih lagi nak buat maksiat, dengan umurnya yang masih ada ke hadapan ini ia belum insaf!
    ii- Masih lagi mengikut hawa nafsu mereka pada masa depan.
    iii- Hadapan itu maksudnya hari Kiamat. Yakni mereka masih lagi buat maksiat & benda tak baik sehinggalah hari Kiamat. Yakni tidak mahu bertaubat atau masih menangguh-nangguhkannya.
  5. Kita orang beriman ni pula; kita percaya dengan hari Kiamat dan hidup semula, tetapi kita masih tidak buat persiapan yang sepatutnya!

AYAT 6- {DIA BERTANYA (SECARA MENGEJEK): \”BILAKAH DATANGNYA HARI KIAMAT ITU?\”} (AL-QIYAMAH 75:6)

  1. Bahkan mereka bertanya dengan mengejek-ngejek dan tidak percaya bilakah Kiamat itu akan tiba!?

PENUTUP & FAEDAH:

  1. Ayat 1- {Aku bersumpah dengan Hari Kiamat;}- Allah s.w.t mulakan surah ini dengan bersumpah dengan hari Kiamat.
    Apakah sebabnya, apa yang penting selepasnya?

Jawapan:
i- Allah s.w.t bersumpah dengan hari Kiamat adalah satu permulaan yang cantik kerana surah ini menceritakan tentang hari Kiamat. Maka ia adalah seperti pembukaan atau tajuknya yang sesuai.

  1. Ayat 2- {Dan Aku bersumpah dengan \”Nafsul Lawwaamah\”}- Allah s.w.t juga bersumpah dengan nafsu lawwamah yang banyak mencela dan menegur tuannya sendiri!

Nafsu itu ada tiga jenis:
i- Nafsu mutma\’inah (النفس المطمئنة)- sebagai jiwa yang tenang. Nafsu ini menempati tingkat tertinggi.

ii- Nafsu lawwamah (النفس اللوامة)- nafsu yang banyak mencela, mengeluh, dan menyalahkan. Cuma yang dicela, dikeluhkan dan disalahkan adalah dirinya sendiri.

Nafsu lawamah termasuk nafsu yang mulia juga kerana hanya orang Mukmin yang boleh menyesali dan menyalahkan dirinya sendiri.
Ia adalah pembisik yang sentiasa menyedarkan kita supaya kita tidak lagha & berasa selesa selalu.

iii- Dan nafsu ammarah (nafs al-ammarah bi as-su\’- النَّفْسَ الَأَمَّارَةٌ بِالسُّوءِ) ini adalah nafsu tingkat terendah.

Secara harfiyyah- perkataan (ammarah) bererti banyak menyuruh, sedangkan perkataan (su\’) bererti keburukan atau kejahatan.
Jadi nafsu amarah adalah nafsu yang cenderung menyuruh berbuat keburukan.

  1. Ayat 1- {Aku bersumpah dengan Hari Kiamat;} & Ayat 2- {Dan Aku bersumpah dengan \”Nafsul Lawwaamah\”}- Allah bersumpah dengan dua perkara.

Allah s.w.t kumpulkan dua sumpah di antara dua tempat iaitu:
i- Tempat kita akan pergi untuk menghitung amalan kita & pembalasan (Kiamat).

ii- Tempat kita beramal iaitu di dunia ini! Tempat kita membuat persiapan bercucuk tanam!

  1. Ayat 3- {Patutkah manusia (yang kafir) menyangka bahawa Kami tidak akan dapat mengumpulkan tulang-tulangnya (dan menghidupkannya semula)?} – suatu bantahan terhadap buruknya perangai manusia kafir yang tidak percaya kepada kebangkitan semula.

Semua itu adalah sesuatu yang amat mudah bagi Allah s.w.t untuk mengadakannya. Tulang yang kecil atau besar dapat disusun dengan sempurna kembali lalu dihidupkan semula setiap manusia itu!

  1. Ayat 4- {Bukan sebagaimana yang disangka itu, bahkan Kami berkuasa menyusun (dengan sempurnanya segala tulang) jarinya, (tulang yang lebih halus dari yang lain).}- ini penafian tentang sangkaan batil orang kafir yang mengatakan Allah s.w.t tidak mampu menghidupkan balik tulang yang telah hancur!

Lalu Allah s.w.t sebut tentang tulang jari manusia, iaitu tulang yang lebih halus dari yang lain dalam tubuh manusia.

Para ulama\’ mengatakan ayat ini sebagai satu peringatan untuk kita perhati & fikirkan tentang jari-jemari kita ini, betapa unik & istimewanya!

Untuk fikirkan tentang kejadiannya. Antara ibu bapa dan anak-anak sendiri pun tidak sama apatah lagi dengan orang lain.

*Contoh- kenapa setiap tulang ia berbeza? Jika sama semua jari kita ini pasti susah untuk makan atau memegang benda-benda. Serta pelbagai kepentingan lain!

Allah sebutnya untuk kita perhatikan bahawa semua ahli dalam satu masyarakat walaupun tidak sama, ada besar kecil, ada tinggi rendah, semuanya ada peranan & keistimewaan masing-masing. Yang pasti kita bersatu dan saling membantu antara satu sama lain, kena ada kesatuan ummah!

Juga perhatikan cara bertasbih menggunakan jari- setiap ruas yang kita gunakan dengan lima jari (pada sebelah tangan yang normal) ia tepat-tepat menghasilkan bilangan 33 kali! Caranya- belajarlah, lebih tepat & senang daripada menggunakan tasbih.

Powered by BetterDocs