SURAH AN-NAJMI : AYAT 50-55

\"\"

ALLAH S.W.T BINASAKAN KAUM AD DAN THAMUD, TENGGELAMKAN KAUM NUH & ADAKAH KAMU MASIH RAGU?

Full video : https://youtu.be/4D8DcP9tAzI

MUQADDIMAH :

  1. Dalam siri ini Allah s.w.t menyatakan bahawa Dia telah binasakan Kaum Ad dan Thamud, tenggelamkan Kaum Nuh yang kafir kerana mereka zalim & jahat. Juga Allah binasakan kaum Nabi Lut iaitu puak mu\’tafikah dengan menimbusnya.
  2. Kemudian Allah tanya adakah kamu masih ragu lagi wahai manusia tentang kebesaran Allah Azza wa Jalla? Setelah kamu lihat & bukti-bukti yang jelas masih mahu berbalah & ingkar lagi?
  3. Munasabah ayat: Setelah diperbincangkan secara terperinci tentang kumpulan batil yang berada di dalam syirik, mereka mengingkari dan mendusta Rasulullah s.a.w, mencela al-Quran dan menyembah berhala & membuat tuduhan macam-macam kepada malaikat dengan iktikad yang fasiq.

i- Ayat ini amaran kepada kaum Quraisy yang tidak mahu beriman kepada Rasulullah S.A.W supaya ambil pengajaran dari kaum Aad, Thamud dan seumpamanya.
Maka kamu kaum Quraisy jika masih tak dengar kata mahu lawan juga maka lihatlah apa yang telah terjadi kepada mereka itu, maka akan binasa.

ii- Allah s.w.t juga telah tunjukkan kepada kita sempurnanya ilmu & kekuasaan Allah s.w.t samada di alam atas langit & juga di alam bumi, sepatutnya semua manusia ini akur taat mengenali Allah s.w.t, mencari keredhaan Allah & menjauhi diri dari kemurkaan-Nya.

Oleh kerana mereka tetap kufur tidak mahu dengar juga, maka datang ayat ini sebagai tahdid, amaran bahawa kamu jangan tunjuk keras kepala, belajarlah dari sejarah umat terdahulu yang telah binasa, hasil dari kesombongan, kezaliman & kejahatan mereka terhadap Allah Azza wa Jalla.

AYAT 50-{DAN BAHAWA SESUNGGUHNYA, DIA LAH YANG MEMBINASAKAN KAUM \”AAD\” YANG PERTAMA (KAUM NABI HUD),} (AN-NAJM 53:50)

  1. Allah nyatakan Dia telah binasakan kabilah Aad iaitu kaum nabi Hud a.s yang dulu, yang berada di Yaman.
  2. Ulama\’ membincangkan kenapa Allah kata kaum Aad yang pertama (عَادًا ٱلۡأُولَىٰ):
    i- Kata Ibnu Jarir rhm. & sebahagian ulama\’ tafsir lain: kaum Aad tatkala dibinasakan dengan angin ribut yang kuat dan telah binasa semuanya, maka datang pula kumpulan Aad yang kedua!
    Ibnu Atiyah rhm. kata pendapat ini adalah lemah kerana tiada dalil tentang sahihnya.

ii- Ibnu Atiyah kata: Majoriti Ulama\’ berpendapat maksudnya ialah Aad yang zaman dulu- tiada Aad satu atau dua.
Disebut yang pertama kerana Aad yang dibinasakan dahulu, orang yang zaman dulu.

  1. Sama seperti apabila disebut kaum Jahiliyyah yang pertama dulu.

AYAT 51-{DAN KAUM \”THAMUD\” (KAUM NABI SOLEH). MAKA TIDAK ADA SEORANGPUN (DARI KEDUA-DUA KAUM ITU) YANG DIBIARKAN HIDUP.} (AN-NAJM 53:51)

  1. Juga tentang kebinasaan kaum \”Thamud\” iaitu kaum Nabi Soleh yang mendiami Al-Ula atau dipanggil Madain Soleh sekarang ini.
  2. Kaum ini tidak ada seorang yang selamat atau dibiarkan hidup- total loss.
  3. Bukan seperti umat Nabi Muhammad s.a.w yang walaupun ada dikenakan bala tetapi tidak mati keseluruhannya, kerana inilah Rasulullah s.a.w di panggil Rahmatan lil-\’Alamin.

AYAT 52- {DAN KAUM NABI NUH SEBELUM ITU (TELAH JUGA DIBINASAKAN). SESUNGGUHNYA MEREKA ADALAH ORANG-ORANG YANG SANGAT ZALIM DAN SANGAT MELAMPAUI BATAS.}(AN-NAJM 53:52)

  1. Kemudian kaum Nabi Nuh a.s sebelum Aad & Thamud ini yang juga telah dibinasakan juga.
  2. Kenapa disebut kaum Aad dan Thamud dulu sedangkan kaum Nuh dulu yang hidup sebelum mereka? Kerana nabi Nuh datang setelah nabi Adam a.s.
  3. Ulama\’ buat munasabah tertib dengan sebab kebinasaan:
    i- sebelum datang air banjir pastilah datang angin & guruh dan ribut dulu, kerana itu Allah sebut dua kaum itu dahulu. Kerana kaum Nuh binasa dengan sebab banjir besar, yang datang selepas angin & guruh yang berdentum!
  4. Inilah analisa yang dibuat oleh al-Biqa\’i dalam kitabnya.
  5. Firman Allah s.w.t:
    {Dan (demikian juga) kaum Nabi Nuh, ketika mereka mendustakan Rasul-rasul Kami, Kami tenggelamkan mereka, dan Kami jadikan mereka satu tanda (yang menjadi contoh) bagi umat manusia; dan Kami sediakan bagi sesiapa yang zalim; azab seksa yang tidak terperi sakitnya.} (Al-Furqaan 25:37)
  6. Kaum Nuh ini dibinasakan kerana mereka orang-orang yang sangat zalim (أَظۡلَمَ) dan sangat melampaui batas (وَأَطۡغَىٰ).
  7. Kenapa Allah sifatkan mereka begini?
    a) Kata Ibnu Atiyah rhm. ini kerana:

i- mereka yang pertama yang mendustakan seorang rasul tanpa ada contoh sebelumnya, merekalah pelopor penentang & pendusta kepada rasul.

ii- Mereka juga amat jahat kerana lama masanya masa Nabi Nuh a.s berdakwah kepada mereka tanpa jaya, iaitu selama 950 tahun tetapi amat sedikit yang beriman!

b) Kata Ibnu Asyur rhm. pula:
i- Ini kerana kaum Nuh lebih zalim & jahat daripada kaum Aad & Thamud selepasnya tadi.

ii- atau boleh juga dikatakan ketiga-tiga mereka ini lebih zalim & jahat daripada kaum Quraisy.

Maka ayat ini untuk menenangkan hati Rasulullah s.a.w yang menghadapi tentangan kaumnya.

  1. Kata Syeikh Muhammad Soleh rhm. kedua pendapat ini betul:
    i- ketiga mereka lebih zalim & jahat daripada kaum Quraisy
    ii- dan kaum Nuh lebih zalim & jahat daripada kaum Aad & Thamud.

AYAT 53- {DAN BANDAR-BANDAR YANG DITUNGGANG BALIKKAN ITU, DIA LAH YANG (MENGANGKATNYA KE ANGKASA DAN) MENGHEMPASKANNYA KE BUMI;} (AN-NAJM 53:53)

  1. Kemudian Allah ceritakan tentang kaum (وَٱلۡمُؤۡتَفِكَةَ), iaitu kaum Nabi Lut di Qura Sadum yang dibinasakan dengan diangangkat buminya ke angkasa dan dihempaskannya semula ke bumi oleh para malaikat yang ditugaskan Allah.
  2. Sepakat ulama\’ mengatakan kaum ini (وَٱلۡمُؤۡتَفِكَةَ) ialah kaum Lut di Qura Sadum yang mengamalkan aktiviti homoseks (LGBT) iaitu satu dosa besar, perbuatan keji yang dilaknat Allah.
  3. Firman Allah s.w.t: {Maka Kami jadikan negeri kaum Lut itu tunggang-balik (tertimbus segala yang ada di muka buminya), dan kami hujani atasnya dengan batu dari tanah yang dibakar.} (Al-Hijr 15:74)

AYAT 54- {LALU (PENDUDUK) BANDAR-BANDAR ITU DILIPUTI AZAB SEKSA YANG MELIPUTINYA.} (AN-NAJM 53:54)

  1. Kampung itu diterbalikkan buminya kemudian ditimbus pula dengan hujan batu.
  2. Ulama\’ tafsir mengatakan tempatnya sekarang ialah Laut Mati yang berada di sempadan Jordam & Palestin.
  3. Kita dapat melihat I\’jaz (mukjizat) al-Quran berdasarkan susunan tertib sebutan kaum yang dilaknat ini, iaitu berdasarkan jenis azab yang diturunkan kepada mereka!

AYAT 55- {MAKA YANG MANA SATU DI ANTARA NIKMAT-NIKMAT TUHANMU (YANG TIDAK TERHINGGA ITU) ENGKAU RAGU-RAGUKAN (WAHAI MANUSIA)?} (AN-NAJM 53:55)

  1. Allah s.w.t tutup ayat ini dengan pertanyaan sentap: Wahai manusia mana lagi nikmat Tuhan kamu yang kamu ragu & tidak percaya? Yang kamu bantah & berdebat padanya?
    Ayat ini khitab (ditujukan) kepada manusia seluruhnya.
  2. Kata Syeikh Ahmad Abdul Halim rhm.:
    Allah sebut dalam surah an-Najmi ini kumpulan-kumpulan yang sudah binasa, yang mendustakan rasul-rasul mereka.
    Kemudian Allah s.w.t tanyakan adakah kamu masih ragu & tidak percaya sedangkan kamu sudah melihat sendiri kesan-kesannya????
    Kaum Quraisy pada masa itu melalui dan melihatnya setiap tahun dalam rehlah perdagangan mereka ke Yaman & Syam. Bahkan kaum ini masih ada kesan peninggalannya dan dapat dilihat sehingga sekarang!
  3. Binasanya mereka ini termasuk dalam nikmat yang Allah berikan kepada orang yang beriman supaya berfikir & mengambil iktibar pengajaran! Yakni bagi orang yang mempunyai akal dan berfikir dengannya.

PENUTUP/BEBERAPA FAEDAH RINGKAS :

  1. Ayat 52-{Dan kaum Nabi Nuh sebelum itu (telah juga dibinasakan). Sesungguhnya mereka adalah orang-orang yang sangat zalim dan sangat melampaui batas.}- Allah s.w.t sebut tentang kaum nabi Nuh a.s, maksudnya untuk menegaskan bahawa orang yang zalim akan binasa.

Maka timbul persoalan orang yang zalim akan berkata; Mereka itu terlampau zalim & melampaui batas, maka jika kami yang zalim sikit-sikit ini apakah akan terlepas dan tidak kena azab?

Jawapan: Allah sebut amat zalim itu untuk menyatakan fizikal tubuh badan mereka yang besar & kuat, gagah perkasa & panjang umur mereka. Maka apabila mereka berterusan dalam kezaliman dengan sifat ini maka pastilah kezaliman itu lagi dahsyat daripada orang zalim yang pendek umur dan lemah fizikalnya!

Tidak bermakna yang zalim sedikit itu akan terlepas, asalkan zalim akan dikenakan hukuman.

Ayat ini menjadi dalil peringatan bahawa sifat zalim dan melampaui batas (taghut) tidak akan menyelamatkan seorang manusia samada zalim sedikit atau banyak!

Kerana itu jangan kamu zalim ketika kamu mampu & berkuasa kerana ia akan membawa kepada kebinasaan.

  1. Ayat 53-{Dan bandar-bandar yang ditunggang balikkan itu, Dia lah yang (mengangkatnya ke angkasa dan) menghempaskannya ke bumi;}- Allah sebut nama al-Mu\’tafikah (وَٱلۡمُؤۡتَفِكَةَ), nama tempat iaitu bandar yang ditunggang- terbalik oleh malaikat!

i- Sepakat ulama\’ mengatakan kaum (وَٱلۡمُؤۡتَفِكَةَ) ini ialah iaitu kaum Nabi Lut di Qura Sadum yang dibinasakan kerana mengamalkan satu dosa besar, aktiviti homoseks (LGBT).

ii- Apakah hikmahnya kaum ini disebut dengan nama tempatnya? Manakala kaum Aad & Thamud disebut terus nama kaumnya?
Kata ulama\’ ada dua pandangan kenapa Thamud itu adalah nama tempat, Aad & Nuh adalah nama kaum, manakala Mu\’tafikah pula ialah nama tempat.

Sekali disebut nama tempat sekali disebut nama kaum;
i- supaya manusia mengetahui bahawa sesuatu kaum tidak mampu untuk menjaga tempatnya, tempat juga tidak boleh melindungi kaumnya apabila datang azab Allah!
Adakala Allah sebut penduduknya kuat dapat mempertahankan tempatnya tetapi ini untuk menunjukkan bahawa azab Allah itu tiada siapa yang boleh sekat!

ii- kaum Aad, Thamud & kaum Nuh adalah yang terdahulu daripada kaum ini dan rumah-rumah mereka juga telah terhapus dan hilang, tetapi cerita mereka masyhur dan semua orang tahu. Maka disebutnya dengan nama kaum kerana tempat mereka itu sudah tidak dapat dicari, kita sudah tidak tahu di mana berlakunya taufan nabi Nuh itu, manakala kesan kaum Thamud & Aad walaupun ada, hanyalah kecil.

Tetapi kesan kaum Nabi Lut, al-Mu\’tafikah ini satu bandar yang ditenggelamkan dibalik bumi ada kesannya besar dapat dilihat iaitu Laut Mati. Maka disebut nama tempatnya.

  1. Ayat 55-{Maka yang mana satu di antara nikmat-nikmat Tuhanmu (yang tidak terhingga itu) engkau ragu-ragukan (wahai manusia)?}- dalam ayat ini nikmat-nikmat Tuhanmu yang engkau ragukan (تَتَمَارَىٰ) adalah dengan makna nikmat yang kamu dustakan. Diambil juga daripada perkataan yang bermaksud perbahasan/perdebatan.

Kerana itu kata ulama\’ tafsir jika kamu ragu akan al-Quran adalah kufur kerana kalimah (تَتَمَارَىٰ) itu membawa maksud kepada keraguan & pendustaan!

  1. Ayat 55-{Maka yang mana satu di antara nikmat-nikmat Tuhanmu (yang tidak terhingga itu) engkau ragu-ragukan (wahai manusia)?}- kaliamah (ءَالَآءِ) adalah dengan makna nikmat.
    Persoalan: Kenapa setelah Allah ceritakan tentang kebinasaan kaum terdahulu; Allah sebut & ungkit pula tentang nikmat-Nya yang didustakan ini? Kenapa selepas binasa ada nikmat???

Jawapan: Sebelum ini Allah s.w.t telah sebut banyak tentang nikmat-Nya iaitu tentang langit, bumi, hujan, air lautan dan lain-lain.
Kita kena ingat dalam bala itu ada nikmat, dalam ujian ada hikmah bagi orang yang berfikir.

Iaitu nikmat Allah s.w.t mahu kita berfikir mengambil pengajaran dan iktibar dari sebalik bala yang menimpa orang lain!
Binasanya puak kafir menyebabkan bersihnya bumi daripada akidah yang sesat & menyeleweng, maka ummat yang tinggal akan membina negara yang murni akidahnya!

  1. Ayat 55-{Maka yang mana satu di antara nikmat-nikmat Tuhanmu (yang tidak terhingga itu) engkau ragu-ragukan (wahai manusia)?}- kata ulama\’ tadabbur; semua perkara yang Allah s.w.t ciptakan ini menjadi nikmat bagi orang yang beriman.

Yang mesti kita puja-puji Allah, apabila dapat nikmat kita kena kata alhamdulillah segala puji bagi Allah yang telah menganugerahkan segala nimat yang tidak terhitung ini.

Apabila kita kena uji atau musibah pula, kita kata juga alhamdulillah atas segala hal!
الحمد لله على كل حال وفي كل حال
ونعوذ بالله من حال أهل النار

Yakni Allah s.w.t itu wajib dipuji dalam semua keadaan, samada ketika susah atau senang! Tiada orang lain yang dipuji di dalam perkara yang makruh (dibenci) kecuali Allah Azza wa Jalla. Alhamdulillah.

Powered by BetterDocs